10 Jun 2010

Nasya Hilang?

Tiada gambar Nasha di muktamar PAS

Apakah Timbalan Presiden PAS Nasharuddin Mat Isa ditolak di Kelantan?

Itu antara persoalan yang timbul pada Muktamar Tahunan Dewan Ulama PAS ke-56 di Kota Bharu kali ini, apabila tidak ada gambar Nasharuddin dipamerkan pada poster atau kain pemidang sempena muktamar itu.

Persoalan tersebut dibangkitkan oleh perwakilan ketika membahaskan ucapan dasar Ketua Dewan Ulama PAS Pusat di muktamar itu hari ini.

Bagaimanapun Pengerusi Lajnah Penerbitan Dewan Ulama PAS Pusat, Abdullah Abdul Razak menafikan bahawa gambar Nasharuddin tidak diletakkan disebabkan beliau tidak diterima di Kelantan, sebaliknya memberi keutamaan hanya kepada gambar pimpinan tertinggi sahaja.

"Gambar Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Mursyidul Am Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sudah memadai untuk mewakili kesemua saf kepimpinan parti," katanya kepada pemberita ketika ditemui kemudiannya.

Latar belakang pentas Muktamar Dewan Ulama PAS Pusat hanya meletakkan gambar Abdul Hadi dan Nik Abdul Aziz serta tiga pemimpin Dewan Ulama iaitu ketuanya Datuk Harun Taib; timbalannya Datuk Ahmad Yakub dan naib ketua Datuk Dr Mahfodz Mohamed.

Sebelum ini, muncul desas desus yang menyatakan Nasharuddin ditolak di negeri ini setelah dibidas oleh Nik Abdul Aziz kerana cuba untuk menjalinkan hubungan dengan Umno bagi membentuk kerajaan perpaduan. - Bernama

Ulasan GB

Tiada persangkaan buruk. Samada sengaja, tak sengaja atau tersengaja gambar Ust Nasya tidak terpapar, ia seharusnya diterima, dan setiap sesuatu kejadian itu, sekalipun syariat itu dari kita, hakikatnya adalah af'al Dia. Dan sepastinya ada hikmah yang tersembunyi yang belum difahami oleh hamba-hambaNya, sehinggalah sampai waktu dan ketika, Dia jugalah yang akan menjelaskan segala-galanya.

Ramai Kak Pidah Dalam Dewan Muslimat

Perwakilan tolak usul tubuh muslimat muda

Dewan Muslimat PAS hari ini menolak usul menubuhkan sayap baru muslimat muda biarpun Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Nik Mat menyarankan agar sayap baru itu ditubuhkan bagi menarik golongan muda.

Penolakan usul itu, yang dibawa perwakilan Pengkalan Chepa, Zaharah Mohd itu, dibuat secara sebulat suara oleh perwakilan di muktamar di Kota Bharu.

Zaharah mencadangkan usul muslimat muda itu supaya disertai wanita muda berusia bawah 40 tahun sebagai menampung pertambahan ahli membabitkan generasi muda dan langkah menarik golongan muda.

Bagaimanapun, ketika membahaskan usul berkenaan perwakilan Ipoh Timur, Diana Mohd Sani membantah usul itu.

Beliau berkata masanya belum tiba bagi Dewan Muslimat PAS menubuhkan sayap baru itu meskipun sudah menjangkau 50 tahun penubuhannya. - Bernama

Ulasan GB

Dewan Muslimat dah garang kerana dah tuntut kerusi Naib Presiden? Sudah tak perlu dengar nasihat dan saranan Mursyidul Am PAS, TGNA yang mencadangkan sendiri agar ditubuhkan sayap baru iaitu Muslimat Muda?

UMNO sudah ada Puteri UMNO, PKR sudah ada Srikandi, jadi saranan TGNA itu adalah tepat pada masanya bahawa Dewan Muslimat perlu ada sayap Muslimat Muda untuk menarik golongan muda menyertai aktiviti dan program parti.

Kita masih ingat sewaktu Puteri UMNO hendak ditubuhkan dulu, yang menentangnya ialah Ketua Wanita, Rafidah Aziz kerana bimbang Pergerakan Wanita UMNO akan lemah apatah lagi menggugat peranan dan status quo wanita UMNO yang sememangnya sudah kerepot di mata para pemuda dan pimpinan UMNO sendiri.

Kini nampaknya perwatakan Kak Pidah itu berulang di dalam Dewan Muslimat. Ditolaknya usul penubuhan sayap Muslimat Muda cadangan TGNA.

Yang rugi ialah wanita sendiri, terutama mahasiswi-mahasiswi di ipt tempatan tiada pilihan selain dari memenuhi borang Puteri UMNO yang diedarkan kepada mereka secara berleluasa, berputih mata dan berdosalah muslimat PAS kerana gagal menyediakan alternatif kepada mereka dan sekadar menjadi pemerhati apabila tenaga muda dari kalangan mereka sudah berada di pihak lain.

Ubah-ubahlah perangai supaya cerdik sikit demi keutuhan parti. TGNA tidak mencadangkan sesuatu untuk meruntuhkan parti seperti pemimpin lain. Yakinlah!

Ujian Bermula Sebelum Muslimat Menjadi Naib Presiden. Laporan Polis Terhadap YB Siti Zailah

Pegawai MP PAS buat laporan polis terhadap majikannya

KOTA BAHARU, 10 Jun – Seorang kerani hari ini membuat aduan polis mendakwa majikannya Anggota Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusof (gambar), mengugutnya kerana cuba mengemukakan laporan tentang prestasi majikannya kepada PAS pusat.

Lelaki berkenaan, Ahmad Syauqey Abdul Ghani, 35, yang mengaku sebagai pegawai khas kepada Anggota Parlimen tersebut, membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Baharu, pada pukul 10.30 pagi ini.

Bercakap kepada pemberita selepas laporan selama 1 jam 15 minit itu dibuat, beliau mendakwa majikannya mengugutnya melalui perbualan telefon dengan isterinya, Salwati Mohd Ariffin, 34, pada 5 Jun lalu.

Katanya, beliau mula berkhidmat dengan Siti Zailah awal Januari lalu.

Sementara itu ketika ditemui pemberita di muktamar ke-50 Dewan Muslimat PAS, Siti Zailah berkata Ahmad Syauqey bukan pegawai khasnya tetapi kerani di pusat khidmat rakyat Parlimen Rantau Panjang.

Katanya tugas kerani itu dipegang oleh isteri lelaki itu yang mengambil alih tugas tersebut tanpa memaklumkan kepadanya terlebih dahulu.

Ahmad Syauqey berkata satu salinan laporan “pemerhatian” ke atas majikannya juga diserahkan kepada Ketua Dewan Muslimat PAS Nuridah Mohd Salleh pada 1.40 tengah hari selepas Muktamar Muslimat berhenti bersidang untuk makan tengah hari. – Bernama


Muslimat PAS lulus usul wanita jadi naib presiden

Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS pusat hari ini meluluskan usul agar diwujudkan satu jawatan naib presiden untuk disandang anggota wanita parti itu.

Usul berkenaan, yang turut mencadangkan diwujudkan jawatan Pesuruhjaya IV peringkat negeri untuk disandang oleh wanita, telah dibentangkan oleh wakil Kubang Kerian, Nurliza Yahya, yang berpendapat jawatan-jawatan itu sebagai satu pengiktirafan kepada sumbangan muslimat terhadap parti.

Semasa perbahasan wakil Selangor, Noraini Hussin, bagaimanapun membantah usul itu kerana berpendapat bahawa selama inipun PAS tidak pernah meminggirkan muslimat dalam urusan parti.

"Saya bantah usul ini untuk diterima kerana selama ini PAS telah iktiraf kekuatan muslimat sama dengan naib presiden," katanya.

Noraini berkata kini terdapat 30 peratus penglibatan anggota wanita dalam urusan Pas termasuk dalam soal menggubal dasar parti.

"Malahan muslimat PAS juga terpilih untuk bertanding dalam pilihan raya sehingga menang dan dilantik sebagai ADUN dan juga ahli parlimen," katanya.

Wakil Padang Rengas, Husna Saidon, pula menyokong usul itu dan berkata jawatan naib presiden untuk muslimat penting bagi mendapatkan pemimpin wanita yang mampu membuat dasar khususnya dalam isu berkaitan wanita.

"Naib presiden muslimat juga penting dalam berperanan menghubungkan kepimpinan wanita dari parti komponen DAP dan PKR (dalam pakatan pembangkang)," katanya.

- Bernama


Ulasan GB

Sunnatullah- Allah dalam melaksanakan ketetapanNya sebagai Rabb yang terlaksana di alam semesta atau dalam bahasa akademis disebut hukum alam.

Setiap sesuatu yang dipohon akan diikuti dengan ujian terhadap kemampuan dan kebolehan muslimat menanganinya dengan baik dan sempurna.

Selepas ini mungkin akan ada lagi siri ujian dariNya terhadap pemimpin muslimat sebagai mengasah ketrampilan dan kebolehan kepimpinan muslimat sendiri jika benar-benar tegar dan tegas di dalam tuntutannya untuk jawatan Naib Presiden.

Kepada YB Siti Zailah, hadapinya dengan yakin dan semuga berjaya.

RMK-10 - Restoran Tom Yam Yang Dipenuhi Tikus, Lipas

Rancangan Malaysia Ke 10 ibarat restoran tom yam yang dipenuhi tikus dan lipas yang langsung tidak menunjukkan perubahan konkrit dalam pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pagi tadi.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar beranggapan ucapan pembenatangan RMK-10 oleh Najib tidak ada perkara baru dan sama dengan pembentangan RMK-9 sebelum ini.

"Kita ibarat pembentangan hari ini umpama restoran tom yam yang dengan tukang masak yang sama, kedai masih kotor dan dipenuhi dengan tikus dan lipas sahaja dan tidak ada pembaharuan yang konkrit.

"Walau pun Najib mengumumkan pelbagai projek, apa jaminan kerajaan Umno-Barisan Nasional berkaitan dengan ketelusan dan integriti bagaimana hasil perolehan daripada projek tersebut.

"Selama ini, kita menghadapi masalah pengurusan kewangan negara yang tidak telus dan tidak cekap.

Menurut Mahfuz, beliau yakin budaya kebocoran dan ketirisan ekonomi akan tetap di laporkan Ketua Audit Negara seperti mana yang dilakukan tahun demi tahun kerana tidak ada kemahuan politik untuk membanteras rasuah dan penyelewengan.

"Masalah sekarang ini adalah apa yang diumumkan adalah kelangsungan daripada pentadbiran terdahulu dan masih lagi dalam kerangka yang sama.

"Walau pun ada disebutkan projek yang berjumlah berbilion-bilion tetapi tidak ada garis panduan dalam pengurusan perjalanan ekonomi negara berjalan dengan telus seperti mana yang diumumkan Ketua Audit Negara berlakunya ketirisan dan kebocoran," tambah beliau. -SK

Keris UMNO Digunakan Untuk Menikam Bangsa Sendiri Yang Tak Sehaluan Dengan Mereka

Mursyidul Am PAS menyatakan keris yang dijulang oleh pemimpin Umno bukanlah untuk memperjuangkan Melayu tetapi digunakan untuk menghancurkan perpaduan kaum disamping menikam bangsa sendiri yang tidak mengikut mereka.

"Orang-orang Melayu perlu diingatkan bahawa keris yang dijulang oleh pemimpin Umno itubukannya untuk memperjuangkan Melayu tetapi hanyalah untuk merobek perpaduan kaum dan menikam bangsa sendiri yang tidak sehaluan dengan mereka," katanya.

Nik Aziz menyifatkan kerjasama mereka dalam Pakatan Rakyat bersama rakan sekutunya daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP bertujuan untuk menyebarkan dakwah di kalangan orang bukan Islam.

Beliau berkata, ia berikutan golongan ulama terdahulu hanya menyebarkan dakwah Islam di kalangan masyarakat Melayu semata-mata.

"Ini kerana setelah beberapa lama alim ulama kita termasuk tok-tok guru di pondok-pondok tidak melaksanakan tugas dakwah menyebarkan Islam kepada kumpulan bukan Muslim hingga menyebabkan sebaran dakwah hanya berkisar di kalangan sesama Islam sahaja. Melayu ajar melayu sahaja.

"Maka saya melihat kehadiran DAP dan PKR dalam Pakatan Rakyat ini semacam satu kifarah Allah kepada kita semua pejuang PAS," katanya semasa menyampaikan ucapan perasmian serentak Dewan Ulama, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (Putik), Pengkalan Chepa di sini.

Selain itu Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, pakatan politik yang dijalinkan bersama PKR dan DAP perlu disertakan dengan tugas dakwah untuk menegakkan Islam seperti yang diperjuangkan PAS.

"Secara politiknya kita berpakat, namun pakatan itu hendaklah bersama tugas dakwah.... sekarang rakan kita adalah mad'u kita.

"Strategi sebegini amat penting kerana nilai perjuangan suci kita adalah tidak boleh lagi bersekongkol dengan pihak yang menyuburkan maksiat," katanya.

Tambah beliau lagi, PAS perlu berani menawarkan alternatif terutamanya kepada masyarakat bukan Islam sebagai persediaan menghadapi pilihan raya umum ke-13.

"Kita mahu eratkan hubungan dengan DAP dan PKR dan kita mahu rakyat memberikan mandat kepada kita.

"Justeru itu, kita hendaklah berani menawarkan alternatif ini dan sedia berikrar kepada semua rakyat termasuk Cina, India, Siam dan seumpamanya bahawa kita akan membuang semua unsur-unsur keroasakan yang ada di dalam kerajaan Umno pada hari ini.

"Memang begitu ajaran Islam, itulah kelebihan kita bergerak di atas landasan Islam," katanya.

Nik Abdul Aziz juga mengingatkan agar PAS memberi fokus kepada pengundi Melayu dalam usaha untuk meraih sokongan mereka pada pilihan raya akan datang.

"Hari ini, tidak dinafikan bahawa yang menjadi tongkat Barisan Nasional (BN) ialah pengundi Melayu.

"PAS sebagai alternatif kepada Umno perlu bergerak dengan lebih cergas di dalam meraih sokongan pengundi Melayu.

Menurut beliau lagi, PAS perlu mendapatkan sokongan padu sama ada di kalangan pengundi Melayu Islam mahupun bukan Islam bagi memastikan parti itu bergerak sebagai peneraju politik negara.

"Bertolak daripada gagasan menghadapi pilihan raya umum ke-13, ke arah menjadikan PAS sebagai peneraju politik negara, maka PAS hendaklah menguasai politik Melayu Muslim dan sekaligus mendapat kepercayaan pengundi bukan Melayu ataupun bukan Muslim," katanya.

Tarik "Datuk Seri" Dan "Datuk" Chua, Petanda UMNO BN Johor Akan Bungkus

Umno-BN Dalangi Tarik Gelaran 'Datuk Seri', 'Datuk'

KUALA LUMPUR 9 Jun - Mantan Menteri Kesihatan, Datuk Chua Jui Meng berkata keputusan pihak Istana Johor menarik balik dua anugerah yang membawa gelaran 'Datuk Seri' dan 'Datuk' didalangi oleh Umno-Barisan Nasional Johor yang gentar kepada peranannya sebagai Pengerusi 'Gerakan KEADILAN-Pakatan Rakyat Menawan Johor' pada pilihan raya umum akan datang.

Bercakap kepada Suara Keadilan, Jui Meng berkata beliau sudah mengetahui daripada sumbernya bahawa Umno berhasrat untuk berbuat demikian

"Saya yakin ini bukannya tindakan Sultan Johor. Ini adalah tindakan keji Umno-BN yang takutkan peranan saya mengetuai 'taskforce' Pakatan Rakyat untuk mengambil alih kerajaan negeri Johor pada pilihan raya akan datang.

"Saya diberitahu bahawa Menteri Besar (Tan Sri Abdul Ghani Othman) memberitahu kepada beberapa rakan saya dalam Umno beliau mengertak mahu menarik balik anugerah dua 'Datuk' daripada saya. Saya percaya ini satu bentuk tekanan ke atas saya sejak saya menyertai KEADILAN dan hakikat ini tidak boleh diterima oleh Umno dan BN.

"Secara peribadi saya rasa tindakan ini agak menyedihkan saya kerana saya memang rapat dengan Almarhum Sultan Iskandar yang sentiasa mengiktiraf sumbangan saya bukan sahaja kepada negeri Johor tetapi juga negara tetapi kurang daripada setahun kemangkatan baginda perkara ini berlaku," kata Jui Meng ketika dihubungi.

Beliau yang juga Ahli Majlis Pimpinan KEADILAN Pusat berkata setakat ini beliau belum lagi menerima surat rasmi dari pihak istana.

"Saya tetap menghormati dan menerima keputusan itu dengan baik tetapi saya diberitahu bukan sahaja masyarakat Cina di Johor dan seluruh Malaysia amat marah dengan tindakan Umno-BN ini tetapi juga orang Melayu dan India. Mereka berpendapat pemimpin masyarakat Cina seperti saya dianiaya dan dipinggirkan hanya kerana berlainan fahaman politik bukannya kerana saya tidak setia kepada Sultan atau negeri Johor.

"Jika saya diberi peluang saya ingin mengadap Sultan dan meminta penjelasan dan alasan mengapa anugerah kepada saya ditarik balik.

"Walau bagaimanapun ramai orang memberitahu saya,' tidak apa Datuk, ini adalah satu cabaran yang perlu dihadapi, yang penting anda sentiasa adalah Datuk Seri dalam hati dan sanubari rakyat'," kata beliau.

Jui Meng di anugerahkan Darjah Paduka Mahkota Johor yang membawa gelaran Datuk dan kemudiannya Darjah Seri Paduka Mahkota Johor yang membawa gelaran Datuk Seri.

Bagaimana pun beliau tetap mengekalkan gelaran 'Datuk' yang diperolehi dari Pahang dan Selangor, masing-masing pada tahun 2002 dan 2003. -SK

Ulasan GB

Tunggu, Johor akan jatuh kepada Pakatan Rakyat selepas ini. Di dalam budaya orang Melayu, ada simpulan bahasa namanya BURUK SIKU.

Siku yang buruk tak boleh bertahan lama. Ia akan patah jua akhirnya. Lalu tak bertanganlah kerajaan UMNO negeri Johor. Tangan lambang kuasa. Tak bertangan ertinya tak berkuasalah lagi selepas ini.

Khabar-khabarkan ia kepada Ghani Othman dan Muhyiddin Yassin.


BN Akan Menjadi Pembangkang Di Parlimen Baru Putrajaya

Parlimen pindah ke Putrajaya, kos RM800 juta

KUALA LUMPUR, 9 Jun – Kerajaan sedang mengkaji kemungkinan membina bangunan baru Parlimen di Putrajaya manakala bangunan sedia ada akan dibaik pulih dan dikekalkan sebagai bangunan warisan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Katanya belum ada sebarang keputusan muktamad dibuat berhubung perkara itu.

“Benda ini akan dibawa balik ke Jemaah Menteri untuk dibincangkan, kita akan timbang dari semua aspek dan fikir cara mana yang terbaik tetapi belum ada keputusan muktamad mengenainya,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.

Beliau berkata pembinaan bangunan baru Parlimen dijangka menelan kos RM800 juta manakala RM150 juta pula diperlukan untuk menaik taraf bangunan Parlimen sedia ada.

“Sebenarnya Parlimen dah jadi bangunan warisan, kita tak boleh runtuhkan dan dalam masa yang sama kita kena pastikan bangunan ini juga diguna pakai, jadi kita akan fikir cara mana yang terbaik,” katanya.

Pada persidangan Dewan Rakyat sebelum itu dan dalam jawapan bertulisnya kepada soalan Sim Tong Him (DAP-Kota Melaka), Nazri berkata Jemaah Menteri baru-baru ini telah memutuskan agar bangunan Parlimen yang baru dibina di Putrajaya manakala bangunan yang lama akan dibaik pulih dan dikekalkan sebagai bangunan warisan.

“Bagaimanapun butiran lanjut mengenainya masih dalam peringkat kajian oleh Jabatan Kerja Raya,” katanya.

Beliau berkata terdapat juga cadangan untuk membina sebuah Kompleks Parlimen yang baru dalam kawasan sedia ada bagi memenuhi keperluan Parlimen Malaysia di masa akan datang dengan mengambil kira aspek keselesaan, keperluan, kemudahan dan pertambahan bilangan Ahli Parlimen.

“Kerja membaik pulih, menaik taraf dan mengubahsuai bangunan Parlimen sedia ada pula adalah bagi membaik pulih struktur bangunan dan mengganti sistem mekanikal yang telah uzur. Cadangan ini telah dibawa ke peringkat mesyuarat Jemaah Menteri untuk pertimbangan,” katanya. – Bernama

Ulasan GB

Firasat GB: Pakatan Rakyat akan memerintah Malaysia seawal-awalnya selepas PRU13 DAN selewat-lewatnya selepas PRU14. Ini bererti Pakatan Rakyat akan menjadi pemerintah yang akan menggunakan Parlimen yang baru dan waktu itu BN adalah pembangkang. InsyaAllah.

Justeru itu, lebih cepat Parlimen disiapkan di Putrajaya lebih cepat PR akan membentuk kerajaan Malaysia Baru.

Kehendak, kuasa dan ilmu Allah, siapa yang dapat menandinginya?

Jangan Khianat Kepercayaan Masyarakat Islam & Bukan Islam, Jauhi UMNO Dan Idea UG

Mursyidul Am Pas Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyeru Parti Islam Se-Malaysia untuk merapatkan barisan bersama komponen Pakatan Rakyat dan jangan sesekali menghampiri Umno-Barisan Nasional.

Bercakap ketika merasmikan muktamar Dewan Ulama, Pemuda dan Muslimat malam tadi, Pas hanya membunuh diri sendiri jika ia mengkhianati amanah rakyat berbilang bangsa dan bersekutu dengan Umno-Barisan Nasional yang beliau sifatkan sebagai gagasan yang menentang nilai-nilai Islam.

Ucapan Nik Aziz dijangka menjadi panduan kepada halatuju muktamar ketiga-tiga dewan utama Parti Islam SeMalaysia hari ini, dan dikatakan bakal mempengaruhi sentimen 1,000 perwakilan di muktamar utama 11 Jun depan.

Nik Aziz dalam amanatnya menggesa ketiga-tiga dewan fokus kepada merangka strategi menawan 110 kerusi Parlimen majoriti penganut Islam dalam pilihanraya umum ke-13 nanti.

Parti Islam SeMalaysia bagaimanapun diingatkan bahawa ia tidak akan kekal relevan jika ia mengabaikan denyut nadi masyarakat bukan Islam.

"Sejarah mencatatkan bagaimana Pas diajak masuk bergabung dalam barisan nasional. Pas pada masa itu menyambut tangan perpaduan dengan harapan kebaikan yang berpanjangan. rupanya BN adalah perangkap bagi Pas. Mereka merancang, Allah juga merancang, tetapi Allah sebaik perancang,"

"Saya rakamkan disini bukanlah untuk mengungkit luka lama berdarah kembali, jauh sekali bara dendam untuk dimarakkan, tetapi sebagai peringatan dalam menongkah arus perjuangan. Ingin saya ingatkan disini bahawa sejarah mencatit bahawa Umno bukanlah rakan yang setia - tangan kanan menghulur salam, tangan kiri melempar senjata,"

Bagi tokoh politik veteran ini, kesinambungan hayat Pas sebagai pemangkin perjuangan para anbiya terjamin jika ia memperkukuh perikatan sedia-ada dalam Pakatan Rakyat.

Pas digesa supaya lebih berani bergerak dalam arus kepelbagaian, sepertimana wajah Islam sebenar yang menolak garis perkauman dalam menilai keperibadian individu.

Dihadapan ribuan yang hadir malam tadi, Nik Aziz menegaskan tanpa Islam, Pas hanyalah jasad yang besar tanpa roh.

"Kita mahu eratkan hubungan kita dengan DAP dan PKR, dan kita mahu rakyat berikan mandat pada kita. Justeru itu kita harus berani tawarkan alternatif ini dan berikrar pada semua kaum bahawa kita akan membuang semua unsur kerosakan yang dibawa Umno-Barisan Nasional. Kita mahu gantikan dengan kerajaan yang berintegriti, yang adil, bermoral dan bertanggungjawab, kerana memang begitu ajaran Islam,"

"Strategi sebegini adalah penting kerana nilai perjuangan kita adalah tidak boleh lagi bersekongkol dengan pihak yang menyuburkan maksiat. Lantaran kita telah melihat sendiri kesan politik dan pentadbiran Umno-Barisan Nasional yang menimbulkan kekalutan pada rakyat dan pada negara,"

Nik Aziz memberi perhatian khususnya kerana peranan Dewan Muslimah dan Dewan Pemuda dan menyarankan kedua sayap ini merencana strategi menarik sokongan wanita dan golongan muda kepada Pas, menghadapi pilihanraya umum akan datang.

Beliau menyorot perhatian akar umbi bahawa tren para pengundi bukan Melayu dalam pilihanraya-pilihanraya sebelum ini secara keseluruhan menolak Barisan Nasional.

"Saya suka mengingatkan kita agar memerhati perkembangan ini dengan serius. Pas sebagai alternatif kepada Umno perlu bergerak dengan lebih cergas meraih sokongan pengundi-pengundi Melayu. Jangan dibiarkan orang Melayu terus diperbodohkan dengan pukauan Ketuanan Melayu, yang merupakan dongeng pemimpin Umno,"

"Mereka harus diingatkan bahawa keris yang dijulang pemimpin Umno digunakan untuk menikam bangsa sendiri yang tidak sehaluan dengan mereka. Buktinya adalah Kelantan dinafikan hak untuk royalti minyak yang diraih dari buminya sendiri,"

Nik Aziz sekali lagi mengingatkan Dewan Muslimah dan Dewan Pemuda bahawa slogan Ketuanan Melayu menanam rasa cemas, takut dan dendam dalam jiwa anak-anak bukan Islam. Jika perasaan negatif ini disemai secara berterusan, maka permusuhan akan sentiasa menghantui rakyat Malaysia.

"Sudah sampai masanya kita lebih serius mewajahkan Islam yang telah disolek dengan buruk oleh Umno. Rakyat Malaysia harus disedarkan bahawa Islam telah diterima masyarakat India dan Cina lebih awal dari orang Melayu,"

"Pada kesempatan ini saya mengucapkan tahniah diatas penubuhan Dewan Perhimpunan Penyokong Pas yang sedia berjuang bersama kita dan mendekatkan Islam pada golongan bukan Islam." -TVS


PAS akui semakin selesa di Pakatan, jauhi idea ‘UG’

Beberapa pemimpin PAS yang ditemui sebelum dan selepas majlis perasmian ketiga-tiga sayap parti itu di Kota Baru malam tadi memberikan pendirian yang sama — fokus kali ini mereka ialah memperkukuh dan memantapkan kerjasama dalam Pakatan Rakyat.

Bagaimana dengan kerajaan perpaduan atau UG (unity government) dengan Umno-BN? Tidak, demikian rumsuan mereka.

Pendirian ini semakin jelas berbanding dengan senario setahun lalu. Malah lebih jelas selepas pilihan raya umum ke-12 Mac lalu.

Susulan pertemuan di Ipoh dan Shah Alam, pada malam tadi Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan tegas menekankan bahawa parti Islam ini sudah tidak lagi berminat dengan idea kerajaan perpaduan bersama Umno-BN.

Dimaksudkan lebih awal berbanding tahun lalu kerana Menteri Besar dalam ucapan perasmian muktamar ketiga-tiga sayapnya PAS di Kota Baru menekankan bahawa beliau sudah pahit dengan pengalaman empat dekad lalu.

Jika pada muktamar lalu, Nik Aziz, yang juga Menteri Besar Kelantan menyatakan pendirian tidak memihak kepada idea kerajaan perpaduan ketika sedang berlangsungnya muktamar PAS Pusat, tetapi kali ini beliau menekankan pendirian beliau dengan jelas secara langsung tanpa menyebut perkataan “UG” ataupun “kerajaan perpaduan”.

Sebagaimana dalam pertemuan dengan The Malaysian Insider di pejabatnya pagi semalam, Nik Aziz memulakan ucapan perasmian beliau dengan mengimbas apa yang berlaku di Kelantan empat dekad lalu. Pengalaman di Terengganu juga dikongsi.

Pendirian beliau dinyatakan kepada kesemua sayap PAS serentak. Rata-rata mereka yang menghadiri majlis perasmian malam tadi merupakan mereka yang bakal mewarisi kepimpinan PAS pada masa-masa mendatang. Sama seperti pengalaman dilalui oleh Nik Aziz empat lalu.

Dalam ucapannya kira-kira 30 minit, kata Nik Aziz, PAS memilih untuk berjuang melalui medan siasah iaitu medan yang ditutup rapat pada zaman penjajah.

“Itulah penjajah Inggeris di Tanah Melayu, Belanda di Indonesia, Inggeris dan Perancis di Timur Tengah. Siasah PAS adalah politik-dakwah. Maka, kita bergerak sebagai parti politik dan kita berdakwah (berkempen) ketika bertanding dalam pilihan raya dan selepasnya demi mencapai cita-cita untuk mempersembahkan Islam yang sebenar kepada masyarakat.

“Dalam perjuangan inilah, PAS telah melalui sejarah panjang yang dipenuhi dengan peristiwa jatuh bangun di dalam arena politik-dakwah.

“Kesemua pengalaman pahit manis ini merupakan khazanah PAS yang berharga dalam mendepani cabaran pada masa akan datang,” katanya.

Dalam menyertai pilihan raya, PAS pernah bersendirian meraih sokongan rakyat.

Hasilnya, PAS berjaya menguasai Kelantan dan Terengganu dalam pilihan raya umum pada tahun 1959.

Sekalipun berdepan dengan parti gabungan Perikatan pada masa itu, namun kita berjaya mentadbir Kelantan dan Terengganu dengan baik. Sejarah juga mencatit bagaimana PAS telah diajak masuk bergabung ke dalam Barisan Nasional oleh Allahyarham Tun Abdul Razak.

“Kita menyertai Barisan Nasional demi perpaduan, namun kesannya amat parah kepada PAS khususnya di Kelantan, PAS sendiri telah berpecah empat — selain PAS, munculnya Bebas Bersatu, Hamim dan Berjasa,” katanya.

Kata Nik Aziz, PAS hampir-hampir ranap akibat perpecahan tersebut.

“Ia ditambah lagi dengan peristiwa PAS ditendang daripada Barisan Nasional dan akhirnya kehilangan kerajaan di Kelantan pada tahun 1978,” katanya.

“Inilah sejarah jatuh bangun PAS di dalam politik negara. Saya rakamkan semula di sini bukan untuk mengungkit luka lama agar berdarah kembali, jauh sekali mahu melemparkan bara dendam untuk dimarakkan, tetapi untuk menjadi pengajaran kepada kita semua dalam menongkah perjuangan,” kata Nik Aziz dengan mengulas lanjut bahawa “ingin saya peringatkan, lembaran sejarah mencatit Umno dan Barisan Nasional ialah rakan yang tidak setia, tangan kanan menghulur salam, tangan kiri melipat senjata.”

Dengan membawa ahli-ahlinya melihat sejarah, Nik Aziz berkata PAS juga akan tetap bersama dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam menghadapi pilihan raya nanti kerana pakatan itu “semacam” pertolongan daripada Tuhan.

Beliau juga melihat Pakatan Rakyat menjadi alternatif kepada Barisan Nasional.

Nik Aziz berkata melalui Pakatan Rakyat, ia membuka pintu lebih luas untuk PAS dalam berdakwah menyebarkan Islam kepada bukan Islam.

“Selama ini Islam diajar untuk orang Melayu sahaja di pondok dan tidak kepada bukan Islam,” katanya.

Beliau juga mengulangi pendiriannya agar PAS tidak bergabung dengan Umno yang pernah mengkhianati parti pada 1978 sehingga parti itu terjejas teruk.

Pandangan-pandangan pemimpin spiritual ini turut dikongsi oleh pemimpin lapisan kedua parti Islam ini.

Naib Ketua Dewan Ulama Datuk Ahmad Yakob berkata pertemuan kali ini akan lebih menjurus kepada usaha memantapkan PAS dengan mengeratkan kerjasama bersama Pakatan Rakyat.

“Kita akan lebih kepada soal ini,” kata beliau yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan apabila ditanya sama muktamar kali ini khususnya Dewan Ulama akan turut menyentuh isu kerajaan perpaduan.

Sebagaimana dikatakan oleh Nik Aziz, PAS pernah bertanding pilihan raya secara persendirian. Kemudian ia bergabung dengan Barisan Nasional, keluar dan bertanding dalam pilihan raya tanpa gandingan dengan mana-mana pihak. Pada 1990 PAS turun gelanggang bersama Semangat 46 dan kemudian dengan kerjasama Barisan Alternatif sembilan tahun kemudian.

Yang dimaksudkan usaha itu membolehkannya menawan satu negeri, kemudian dua negeri pada 1999 dan lima negeri bersama Pakatan Rakyat.

Kejayaan PAS ini bukan bersama Umno tetapi bersama parti-parti bukan Umno.


Apakah ini memberi nilai tambah kepada PAS sehingga mereka mahu menjauhi daripada idea kerajaan perpaduan Umno-BN?

Dua tahun lalu PAS-DAP-PKR membentuk Pakatan Rakyat susulan pilihan raya umum ke-12.

Timbalan Pesuruhjaya III PAS Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah. Pertemuan kali ini akan digunakan untuk mencari jalan memperkukuhkan ketiga-tiga komponen dalam Pakatan Rakyat yang kini memerintah empat buah negeri.

Perak telah beralih tangan awal tahun lalu ekoran tindakan tiga Adun Pakatan Rakyat - masing-masing dua PKR dan seorang DAP keluar parti.

“Kami hendak memperkukuhkan Pakatan tetapi apakah pendekatan kita?” kata Nik Mohd Amar yang cuba menjelaskan pendirian PAS.

“Perlu ada pemahaman... sikap bagi dan terima. PAS boleh menerajui, sebagai contoh dengan urus tadbir yang baik, agar komponen PR boleh menjadikannya sebagai contoh,” kata beliau.

Nik Mohd Amar memberitahu The Malaysian Insider bahawa PAS kini berada dalam kedudukan yang baik memandangkan ahli-ahlinya “lebih terbuka kepada realiti politik semasa.”

“Dalam usaha memperkukuhkan PAS, kami akan meminta ahli-ahli menerima realiti politik semasa,” kata beliau sambil mengakui ia sebagai satu cabaran bagi mengajak ahli-ahli PAS menerima kehadiran DAP dan PKR bersama Pakatan Rakyat.

“Kami mahu memberi tumpuan untuk membuat persiapan menghadapi pilihan raya umum akan datang,” kata beliau sambil menambah, respons kepada PAS mengalami pertumbuhan baik.

“Kelab Penyokong PAS, mereka menerima idea negara Islam,” Nik Mohd Amar yang juga Exco Kerajaan Negeri Kelantan.

Sambil menekankan keperluan kerjasama dalam Pakatan Rakyat dan melupakan idea kerajaan perpaduan, Setiausaha Dewan Pemuda PAS Kamaruzzaman Mohamad berkata sayap PAS itu akan membincangkan usaha-usaha untuk menghalang budaya melompat dalam parti.

Ketika ditemui di Kota Baru malam kelmarin, Kamaruzzaman memberitahu The Malaysian Insider, muktamar kali ini akan membangkitkan syor-syor kepada Pakatan Rakyat tentang cara untuk memilih calon.

“Kami menggunakan kaedah yang ketat dalam memilih calon. Calon yang dipilih melalui pelbagai tahap, mereka yang betul-betul mempunyai perwatakan moral yang baik dan juga komitmen kepada parti,” kata beliau dengan mengaitkan sejauh mana pentingnya kerjasama dalam Pakatan Rakyat dan sejauh mana seriusnya PAS dalam meneruskan kerjasama ini.

“Ini sebabnya mengapa kerajaan negeri Kelantan walaupun dengan beza satu kerusi boleh kekal antara tahun 2004 dan 2008,” kata beliau lagi.

Dua komponen Pakatan Rakyat — DAP dan PKR kehilagan lebih 10 wakil rakyat sepanjang dua tahun ini.

Ketika ditemui selepas majlis perasmian, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali menegaskan, pihaknya akan meneruskan perjuangan mereka bersama Pakatan Rakyat.

“Tidak, tidak. Bab lama (ini) sudah ditutup. Kita akan bersama Pakatan, ini sudah diputuskan,” kata beliau sambil menambah, Umno lazimnya akan cuba untuk menghidupkan semula isu ini.

“Umno boleh bawa, kami kekal dengan keputusan yang sudah dibuat... tumpuan kali ini ialah memantapkan PAS bersama Pakatan,” kata beliau.

Selepas dua tahun PAS semakin tegas dalam pendirian mereka berhubung isu idea kerajaan perpaduan. PAS kelihatan melihat masa depannya lebih cerah bersama Pakatan Rakyat.

PAS mahu memujuk ahli-ahlinya agar menggunakan peluang terbaik ini untuk menuju Putrajaya bersama DAP-PKR. Cabaran PAS: mengukuhkan kedudukan, memantapkan Pakatan Rakyat dan menjauhi idea kerajaan perpaduan serta tidak mahu mengulangi pengalaman pahit 1970-an. -TMI


Ulasan GB

Ucapan Perasmian Mursyidul Am PAS seumpama satu tamparan kepada beberapa pemimpin PAS dan penyokong sendiri yang tegar dengan idea UG.

Apa yang GB ulas melalui sekeping gambar yang simbolis sebelum ini, bertepatan dengan intipati ucapan perasmian Mursyidul Am PAS, sekalipun TGNA tidak merujuk kepada mana-mana senario.

Hanya yang wala membabi buta dan yang masih ada sifat UMNO dalam PAS yang masih tuduh GB bukan-bukan.

Kuasa Pendakwaan Harus Diberikan Kepada SPRM Dan Tidak Lagi Peguam Negara

Jawatankuasa Khas Parlimen Mengenai Rasuah akan mencadangkan kepada kerajaan supaya meminda Perlembagaan berhubung kuasa mutlak pendakwaan yang kini dimiliki penuh oleh Peguam Negara.

Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub (gambar) berkata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia harus diberikan kuasa pendakwaan mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap ketelusan badan itu.

"Kita tidak mahu timbul isu di mana pegawai SPRM telah menyiapkan kertas siasatan yang akhirnya kuasa pendakwaan terletak pada Peguam Negara.

"Kita tidak mahu lagi karenah birokrasi untuk kita mengangkat peranan SPRM sesuai dengan Pindaan 2009.

Menurut Salahuddin, laporan berhubung cadangan tersebut akan diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan beliau akan membentangkannya di Dewan Rakyat bagi ahli parlimen membahaskan laporan tersebut.

Sebelum itu, pengerusi jawatankuasa itu, Datuk Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad dalam sidang media di lobi parlimen tengahari semalam berkata, keputusan itu dicapai pada mesyuarat kali kelima jawatankuasa itu yang baru sahaja selesai.

"Kita berpendapat agar dipinda Perlembagaan untuk memberi kuasa pendakwaan kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM.

"SPRM pada waktu ini mempunyai bidang kuasa terhad apabila hanya diberi kuasa menyiasat sahaja dan tidak boleh membuat pendakwaan dan rakyat melihat sebagai tidak efisyen dan kredebiliti mereka diragui dan dengan cadangan tersebut kita berharap dapat mengembalikan keyakinan rakyat.

Tambahnya, jika berlaku pindaan itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM akan mempunyai kuasa mutlak berhubung pendakwaan kes rasuah, manakala Peguam Negara tidak lagi terlibat.

Turut menganggotai jawatankuasa itu ialah Ahli Parlimen Kepong, Dr Tan Seng Giaw dan Senator Ir Zamri Yusuf. -SK

Masa Depan PAS Bersama Pakatan Rakyat Bentuk Malaysia Baru

Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mencipta sejarah dengan membuka muktamar tahunan ketiga-tiga sayapnya serentak sambil menegaskan, masa depan politik adalah bersama Pakatan Rakyat untuk membina Malaysia baru.

Sehubungan itu kata beliau, PAS perlu mengisi keperluan tersebut dengan tidak mengasingkan bidang agama dan politik sebagaimana dilihat oleh Umno-BN dan negara-negara lain.

Nik Aziz juga meminta supaya PAS bersama dengan DAP dan PKR dalam Pakatan Rakyat agar menarik pengundi Melayu dan bukan Melayu dengan mengambil kira perkembangan ketika pilihan raya kecil Hulu Selangor dan Sibu.

“Dengan ini akan membentuk satu kerajaan yang memenuhi aspirasi rakyat,” kata beliau yang genap 20 tahun memerintah Kelantan Oktober ini.

Menteri Besar Kelantan itu berkata demikian ketika berucap merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Ulama, Pemuda dan Muslimat di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan di sini sebentar tadi.

Nik Aziz berkata beliau melihat kehadiran DAP dan PKR dalam Pakatan Rakyat ini semacam satu kifarah Allah SWT kepada kita semua pejuang PAS.

“Ini kerana setelah beberapa lama alim ulama kita termasuk tok-tok guru di pondok-pondok tidak melaksanakan tugas dakwah menyebarkan Islam kepada kumpulan bukan Muslim (Cina, India, Siam atau Orang Asli) menyebabkan sebaran dakwah baik di pondok atau di sekolah-sekolah Arab hanya berkisar di kalangan sesama Islam sahaja.

“Melayu ajar Melayu sahaja. Maka secara politiknya kita berpakat, namun pakatan itu hendaklah bersama tugas dakwah. Sekarang rakan kita adalah madu kita,” kata beliau.

Kata beliau, strategi sebegini amat penting kerana nilai perjuangan suci PAS adalah tidak boleh lagi bersekongkol dengan pihak yang menyuburkan maksiat, lantaran kita telah melihat sendiri kesan politik dan pentadbiran kerajaan Barisan Nasional yang menimbulkan pelbagai kekalutan kepada rakyat dan negara.

“Berlaku semakin serius gejala maksiat, buang bayi, pembunuhan, rompakan, rasuah, kemelesetan dan sebagainya,” kata beliau.

Atas alasan inilah, tegas Nuk Aziz, beliau mahu PAS dan Pakatan Rakyat menjadi alternatif kepada Barisan Nasional bagi menghadapi pilihanraya umum nanti.

“Pilihan raya tidak berlaku empat atau lima tahun sekali,” katanya.

“Bagi orang yang beragama, pilihan raya berlaku setiap saat antara nafsu ammarah, lawwamah dan mutmainnah.

“Kita mahu eratkan hubungan dengan DAP dan PKR dan kita mahu rakyat memberikan mandat kepada kita,” katanya.

Justeru itu, kata Nik Aziz, PAS hendaklah berani menawarkan alternatif terbaru – Pakatan Rakyat dan sedia berikrar kepada semua rakyat termasuk Cina, India, Siam dan seumpamanya bahawa “kita akan membuang semua unsur-unsur kerosakan yang ada di dalam kerajaan Umno pada hari ini dan menggantikannya dengan amalan pentadbiran bersifat urus tadbir baik iaitu berintergeriti, adil, bermoral, cekap, telus dan bertanggungjawab.

“Kerana memang begitu ajaran Islam, itulah kelebihan kita bergerak di atas landasan Islam. Ia turun daripada Allah bukan diseludup masuk daripada Eropah.

“Kita yakin dengan tawaran ini, misi kita bersama-sama Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum ke-13, bakal membentuk sebuah kerajaan yang benar-benar memenuhi aspirasi semua lapisan rakyat. Kerana tidak asatu pun ajaran Islam yang boleh memudaratkan manusia tanpa mengira bangsa,” katanya.

Sehubungan itu, kata Nik Aziz, beliau amat berharao agar pihak parti dapat menterjemah sebaik mungkin apa-apa langkah dan usaha atau strategi yang berkesan ke arah memastikan realiti PAS adalah sebenar-benar memimpin perubahan menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Nik Aziz juga berkata, pilihan raya umum yang ke-12 dan siri pilihan raya kecil yang berlaku selepasnya, termasuklah terbaru di Hulu Selangor dan Sibu, jelas sekali bagaimana Barisan Nasional telah ditolak secara total oleh pengundi bukan Melayu.

“Hari ini, tidak dinafikan bahawa yang menjadi tongkat Barisan Nasional ialah pengundi Melayu,” kata beliau.

Nik Aziz mengingatkan agar memerhati perkembangan itu dengan serius.

Ini kerana menurut beliau, PAS sebagai alternatif kepada Umno perlu bergerak dengan lebih cergas dalam meraih sokongan pengundi Melayu.

“Jangan dibiarkan orang-orang Melayu terus ditipu hidup-hidup dengan momokan ‘Ketuanan Melayu’ yang merupakan dongengan pemimpin Umno.

“Orang-orang Melayu perlu diingatkan bahawa keris yang dijulang oleh pemimpin Umno itu bukannya untuk memperjuangkan Melayu tetapi hanyalah untuk merobek perpaduan kaum dan menikam bangsa sendiri yang tidak sehaluan dengan mereka.

“Buktinya, Kelantan sebagai negeri yang majoritinya Melayu dinafikan hak untuk mendapatkan royalti minyak daripada buminya sendiri,” kata beliau.

Justeru, menurut beliau, demi memastikan orang-orang Melayu turut bersama kita dalam pelayaran bahtera perubahan ini, PAS perlu bergerak dengan lebih efektif agar dterima rakyat.

“Jika ditanya Kelantan apakah formulanya, saya suka menjawab bahawa formulanya ialah mendidik jiwa rakyat dengan agama, suburkan sanubari mereka dengan taqwa kepada Allah agar hati mereka tidak mati, tidak keras untuk menerima siraman hujan kebenaran.

“Usaha ini dilakukan setiap masa, bukan lima tahun sekali tatkala menjelang pilihan raya,” katanya. -TMI


Kerajaan perpaduan Umno-PAS tidak boleh, tegas Nik Aziz

KOTA BARU, 9 Jun - Isu idea kerajaan perpaduan yang mendominasi muktamar tahunan PAS lalu dua tahun berturut-turut kemungkinan besar tidak akan mendapat tempat kali ini sambil Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pula menegaskan, pihaknya tiada minat langsung untuk menerokai usaha tersebut.

“Tidak,” kata Nik Aziz dalam pertemuan dengan The Malaysian Insider di pejabatnya di sini hari ini.

Bagaimanapun menurut beliau, kebimbangan mengenai isu kerajaan perpaduan pernah wujud di peringkat awal selepas pilihan raya umum 2008 dan ketika Pakatan Rakyat dibentuk, tetapi kini tidak, di mana usaha ditumpukan untuk memperkukuhkan ikatan PAS-DAP-PKR itu.

Menteri Besar Kelantan mengulangi pengalaman PAS menyertai Barisan Nasional (BN) pada 1971 ekoran permintaan daripada Allahyarham Tun Razak ketika itu.

“Bila kami masuk BN, PAS Kelantan jadi empat. Bila Umno rasa gagah, tendang kami. ini Umno,” katanya.

“Sekarang ini pilihan raya umum ke-12, (selepas) lima buah negeri jatuh, dia minta PAS masuk balik. Saya kata ‘i know who are you’, penipu kamu... tidak boleh,” katanya.

Bagaimanapun tegas Nik Aziz, keputusan menolak menyertai kerajaan perpaduan bukan keputusan beliau seorang semata-mata.

“Ini jangan fikir saya (seorang yang membantah), ini keputusan muktamar di Ipoh (2008) dan di Shah Alam (2009). Ini keputusan muktamar. Saya menyokong (sahaja),” kata beliau yang Mursyidul Am PAS yang selama ini dilihat sebagai “orang kuat” membantah idea sedemikian.

Dalam pertemuan dengan The Malaysian Insider kelmarin, Ketua Penerangan PAS Idris Ahmad juga berkata PAS menganggap isu kerajaan perpaduan yang dikaitkan dengan PAS dan Umno-BN sejak selepas pilihan raya umum 2008 sudah selesai dan tidak akan menjadi antara agenda utama pada muktamar tahunan di Kelantan minggu ini.

Sehubungan itu kata beliau, pucuk kepimpinan juga tidak akan menghalang jika ada mana-mana perwakilan yang mahu membangkitkan semula isu berkenaan pada muktamar kali ini.

Malah katanya, PAS juga tidak akan menapis kandungan topik perbahasan para perwakilan.

Idris berkata, pihaknya menganggap perkara itu sudah selesai selepas pemimpin-pemimpin menjawabnya ketika sesi penggulungan Muktamar Tahunan PAS di Shah Alam, Jun lalu.

Sesi penggulungan ketika muktamar lalu dilihat menjadi ‘panas’ dengan isu kerajaan perpaduan.

Dalam ucapan dasarnya tahun lalu, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, Pakatan Rakyat dan kerajaan Umno-BN sendiri menyokong gagasan kerajaan perpaduan yang dicadangkannya untuk menyelesaikan masalah negara yang berlaku.

“Semua pihak termasuk Pakatan Rakyat perlu memahami dahulu konsep secara terperinci kerana ini merupakan perkara yang baru di Malaysia dan untuk memastikan ia dapat dilaksanakan dengan baik,” katanya.

Antara lain, beliau menjelaskan bahawa PAS bergerak secara kolektif bersama Pakatan Rakyat kerana mempunyai tanggungjawab bersama untuk menangani krisis ekonomi, politik, global dan sosial yang berlaku di Malaysia.

Ekoran itu, Nik Aziz mencadangkan parti itu mengadakan muktamar khas bagi membincangkan isu “dua tiga kerat pemimpin bermasalah”, termasuk Hadi dan timbalannya.

Desakan Nik Aziz itu dibuat ekoran kemarahannya terhadap beberapa lagi pemimpin parti berhubung isu kerajaan perpaduan walaupun dianggap sudah selesai Jun lalu.

The Malaysian Insider difahamkan perkara itu menjadi perhatian semula sejak kebelakangan ini, sehingga kemungkinan dibangkitkan lagi dalam muktamar kali ini.

Ia antara lain ekoran penekanan semula Timbalan Presiden PAS Nasharudin Mat Isa pada majlis pelancaran buku Natrah: Cinta, Rusuhan dan Air Mata Mac lalu.

Nasharudin dipetik berkata yakin usaha mewujudkan perpaduan di kalangan parti politik yang mewakili umat Islam boleh dicapai jika semua pihak berusaha bersungguh-sungguh ke arah itu.

Bagaimanapun dalam penjelasan kepada The Malaysian Insider, menurut Idris, Nasharudin telah menjelaskan kepada pucuk kepimpinan konteks dan maksud ucapannya itu pada majlis tersebut.

Ketika ditanya sama ada isu idea perpaduan boleh dibangkitkan lagi kali ini, Nik Aziz berkata, “kalau hendak bangkit boleh, tak mengapa.”

“Tapi kita lawan hujah lah. Masuk ke dalam Umno untuk buat apa?” kata beliau lagi.

“Pertama Umno menipu, ada bukti yang tegas. Keduanya, dulu kita lawan Umno, sebelum BN kita lawan Umno, sebab apa Umno tolak Islam, Islam adalah daripada Allah.

“Kenapa kamu tolak, kalau cahaya matahari kamu tak tolak, udara daripada Allah kamu tak tolak, air hujan dari langit kami tak tolak, mengapa kamu tolak islam... ini kamu betul-betul boneka kepada Eropah, bila Eropah kata agama politk lain, kamu pun kata agama politik lain,” katanya.


Nik Aziz juga menegaskan, Eropah bukan ajaran agama Nabi Muhammad S.A.W.

Dalam penjelasannya, Nik Aziz juga membandingkan isu idea kerajaan perpaduan dengan konsep ketuanan Melayu dan ketuanan Islam.

“Ini tidak betul. Kamu sebut ketuanan Melayu, saya sebut ketuanan Islam, kalau ketuanan Melayu, Cina marah, India marah, tetapi ketuanan Islam, Cina boleh fikir, kalau masuk tak apa, kalau tidak masuk Islam kamu bertanggungjawab, kamu boleh sokong PAS, tidak masuk islam tak mengapa,” katanya.

Tambah Nik Aziz: “Antara ketuanan Melayu dan ketuanan Islam, saya pilih ketuanan Islam.”

“Islam ini kita panggil titik persamaan, orang Melayu terima Islam, orang Cina terima Islam, orang India terima Islam tapi tidak semestinya masuk Islam. terima prinsip dan konsep, cukup,” katanya.

Berhubung soalan sama ada idea kerajaan perpaduan masih wujud, Nik Aziz berkata, berdasarkan pengalaman beliau sudah tidak ada sekarang.

“Dulu-dulu ada lah... bimbang, tak percaya sebab ia perkara baru kan. Macam kahwin lah, malam pertama takut lah, lama-lama OK lah,” katanya. -TMI


Ulasan GB

Hairan, The Malaysian Insider lebih cekap dan pantas membuat liputan dan ulasan dari media parti sendiri, harakahdaily.