22 Mac 2012

Kes Murtad Selangor: Hassan Ali Meludah Ke Langit, Muka Terkena Kahak Sendiri

Hasan Ali Guna Sidang DNS Untuk Bercakap Soal Peribadi

SHAH ALAM 21 MAC : Terkesan dengan perlucutan jawatannya sebagai Exco Agama, ADUN Gombak Setia, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali yang kini hadir ke Sidang Dewan Undangan Negeri sebagai Ahli Bebas, menggunakan ruang perbahasan hari ini sebagai medan melepas perasaan dan lunak membincangan soal peribadi.

Walaupun ditegur beberapa kali oleh ahli dewan bahawa ucapannya bercanggah dengan Perkara 361 Undang-undang Dewan, Hasan tegar meneruskan ucapanya yang bersifat peribadi itu selain melakukan serangan peribadi terhadap beberapa ahli dewan.

Sikap Hasan yang sering menjadikan isu murtad dan peranan pemimpin kerajaan negeri dari kalangan Islam khususnya PAS menegakkan martabat Islam, dipersoalkan oleh ADUN Sekinchan, Ng Suee Lim.

Suee Lim mengesa Hasan menjelaskan peranan dan usahanya dalam memberi kefahaman penuh kepada masyarakat bukan Islam semasa mengalas Exco Agama.


“Sudah setengah jam, Gombak Setia membincangkan soal peribadi dan menyerang peribadi Ahli Dewan yang lain berhubung agama Islam dan peranan memartabatkannya.

“Saya ingin tahu apakah yang Gombak Setia lakukan sepanjang tiga tahun sebagai Exco Agama dalam memberi penerangan dan kefahaman terhadap orang bukan Islam seperti soal perlaksanaan hukum hudud,”soalnya.

Sementara itu ADUN Kota Alam Shah, M. Manoharan turut membidas sikap Hasan itu yang lantang membahaskan soal peribadinya, sedangkan sepanjang mengalas jawatan exco beliau sering gagal menjawab soalan didalam dewan dan menjalankan tugasnya dengan baik.

“Saya berasa kesian dengan Gombak Setia, semasa menjadi Exco sepanjang tiga tahun, beliau gagal menlaksanakan tugasnya, sebaliknya hari ini beliau menggunakan ruang ucapan dengan menjadi duri dalam daging,”jelas Manoharan.

Hasan digugurkan daripada jawatannya dalam kerajaan negeri Sebagai Exco Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Insfrastruktur dan Kemudahan Awam, Januari lalu.

Hassan juga telah di lucutkan sebagai Pesuruhjaya PAS Selangor setelah tidak membuat rayuan kepada jawatankuasa disiplin PAS Pusat berhubung tindakan pemecatan beliau.

Hasan Ali Bidas MB Selangor Kerana 'Lepas Tangan' Dalam Isu Murtad

SHAH ALAM: Bekas Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Ali pada Rabu berkata kenyataan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang mahu keluarga seseorang mangsa murtad itu menyelesaikan sendiri masalah terbabit menunjukkan sikap "lepas tangan" Menteri Besar Selangor itu dalam menangani isu berkenaan.

Beliau berkata kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor sepatutnya serius menangani gejala itu daripada terus berleluasa dengan menambah bilangan penguatkuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

"Dengan pertambahan bilangan penguatkuasa, kerajaan negeri juga boleh cadangkan menubuhkan satu unit khas untuk tangani bukan saja gejala murtad, tetapi juga zina, arak dan pelbagai isu moral lain," katanya pada sidang media selepas menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini, Rabu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas penjelasan Abdul Khalid, yang juga Exco Hal Ehwal Islam negeri ketika menjawab soalan Datuk Mohd. Shamsuddin Lias (BN-Sungai Burong) pada sidang DUN mengenai isu murtad.

Abdul Khalid (PKR-Ijok) dalam sesi itu berkata kerajaan negeri menyerahkan kepada keluarga dan rakyat masing-masing di negeri ini untuk menangani gejala murtad.

Menteri Besar berkata sebanyak 130 kes murtad direkodkan dari 2004 hingga 2011, dengan 16 kes daripadanya sudah diselesaikan.

Terdahulu, ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah pada sidang DUN berkenaan, Hasan turut mempersoalkan sikap lepas tangan kerajaan negeri dalam perbelanjaan berlebihan melibatkan anak syarikatnya.

Beliau mendakwa perbelanjaan itu didapati berlaku melibatkan seorang individu yang menjawat jawatan tertinggi pengurusan di tiga buah anak syarikat kerajaan negeri yang menelan kos keseluruhan sebanyak RM130,000 dalam tahun yang sama.

Hasan mendakwa individu tersebut pergi ke Shanghai, China, Chiangmai (Thailand) dan Perth (Australia) membabitkan kos kira-kira RM130,000 dalam tahun yang sama.

"Saya hairan kenapa individu ini sering ke luar negara dan seolah-olah tiada kerja dalam negeri ini. Sebab itu, saya cadangkan kerajaan negeri hadkan bilangan untuk seseorang itu menjawat jawatan dalam anak syarikat kerajaan negeri".

Persidangan dewan bersambung pada Khamis. - BERNAMA


Ulasan GB

Hassan Ali mendakwa "sebanyak sebanyak 130 kes murtad direkodkan dari 2004 hingga 2011".

Ini bererti semenjak beliau menjadi exco Agama pada 2008 sehingga 2011, beliau GAGAL menyelesaikan kes murtad berkenaan. Sementara tahun-tahun sebelum 2008, exco agama adalah dari kalangan UMNO. Kenapa tak tanya mereka?

Malah apa yang disebutkannya iaitu "menambah bilangan penguatkuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dengan satu unit kahs untuk tangani bukan saja gejala murtad, tetapi juga zina, arak dan pelbagai isu moral lain", adalah di bidang kuasa beliau sebagai exco agama satu ketika. MB Selangor baru memegang portfolio agama sebulan yang lalu selepas Hassan Ali ditendang keluar dari PAS.

Mengenai isu "seorang individu yang menjawat jawatan tertinggi pengurusan di tiga buah anak syarikat kerajaan negeri yang menelan kos keseluruhan sebanyak RM130,000 dalam tahun yang sama", mengapa beliau tidak bangkitkan dan persoalkan gaji rakannya, Pengerusi SYABAS yang mencecah RM425,000 sebulan (GB ulangi, sebulan, bukan setahun)?

Ludah ke langit, kena muka sendiri!

Himpunan Aman Bebaskan Imam Hoslan & Serahan Memo Kepada Agong, Sabtu ini

Kuala Lumpur, 22 Mac: Satu perhimpunan aman akan diadakan pada 24 Mac ini di Masjid Wilayah, Jalan Duta, sebelum berarak ke Istana Negara bagi menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong.

Himpunan aman yang dianjurkan Jingga 13 itu bagi menuntut kebebasan bekas imam Masjid Ar-Rahimah, Kampung Pandan, Hoslan Hussain yang dihukum penjara setahun kerana menghina mahkamah.

Ketua kordinatornya, Fariz Musa, berkata himpunan itu akan bermula jam 2 petang, selepas solat Zohor dan kemudiannya akan berarak ke Istana Negara.

Tambah beliau, perarakan ke Istana Negara bertujuan merayu keprihatinan Yang di-Pertuan Agong untuk memberikan pengampunan kepada Hoslan.

Beliau menyatakan demikian ketika sidang media, di lobi Parlimen, hari ini.

Himpunan tersebut turut dianjurkan bersama Dewan Pemuda PAS Malaysia, Angkatan Muda Keadilan (AMK), Kelab Anwar Ibrahim (AIC), Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mappim).

Sementara itu, Ahli Parlimen Jerai, Firdaus Jaffar, berkata perkara itu akan dibawa ke sidang parlimen sama ada ketika perbahasan atau celahan bagi mendapatkan penjelasan daripada menteri agama.

Selain meminta imam-imam lain di negara ini agar bersikap tegas dan berani dalam menyatakan kebenaran, Firdaus mendesak para imam untuk membuat laporan polis atau tindakan bersesuaian sekiranya mereka juga mempunyai maklumat berkaitan penyelewengan wang di masjid-masjid mereka.

"Sekiranya ada penyelewengan dana masjid yang ingin didedahkan, kita sedia membantu jika berlaku sebarang perkara yang tidak diingini," tegas beliau.

Dalam pada itu, beliau meminta keluarga imam Hoslan memperbanyakkan sabar di atas ujian yang dihadapi.

Terdahulu, Fariz turut menyerahkan satu salinan memorandum kepada Ahli Parlimen Pakatan Rakyat yang diwakilkan Firdaus Jaffar.

Turut serta pada sidang media tersebut ialah Ahli Parlimen Padang Terap, Mohamad Nasir Zakaria.

Hoslan dikenakan hukuman penjara setahun atas kesalahan menghina mahkamah ekoran tindakan Hoslan membaling kasut kepada panel hakim yang menghakimi kes beliau sebelum ini.

Kes membabitkan beliau itu merupakan pendedahan beliau tentang dakwaan berlakunya penyelewengan wang Masjid Ar-Rahimah yang mencecah ratusan ribu ringgit.

Pendedahan yang dibuat Hoslan menyebabkan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menamatkan perkhidmatannya atas dakwaan masalah disiplin dan memintanya mengosongkan kuarters yang diduduki Hoslan. -HD

PERHIMPUNAN AMAN 'BEBASKAN IMAM HOSLAN ' DAN PENYERAHAN MEMORANDUM KEPADA DYMM SPB YANG DIPERTUAN AGONG

"Saya kata kepada Yang Arif, belum pernah dalam sejarah perundangan negara, seorang imam diheret ke mahkamah kerana nak tegakkan agama Islam dan tatacaranya... Saya datang ke sini untuk perbetulkan penyelewengan, untuk kembalikan duit kepada masjid," - Imam Hoslan Hussin

Mahkamah Persekutuan telah menjatuhkan hukuman penjara setahun terhadap Imam Hoslan Hussin atas kesalahan menghina mahkamah ekoran tindakan Imam Hoslan Hussin membaling kasut. Hukuman tersebut adalah keterlaluan dan zalim tanpa diasaskan sebarang pertimbangan moral dan perikemanusiaan . Kes yang sepatutnya ditangani dengan penuh kewajaran, belas kasihan dan bijaksana telah gagal dilaksanakan sebaliknya dengan kejam menjatuhi hukuman penjara sehingga sanggup memisahkan beliau dengan 7 orang anak dan isteri.

Tindakan memenjarakan Imam Hoslan Hussin adalah satu tindakan zalim bagi tujuan menutup isu sebenar . Beliau sebelum ini mendakwa berlaku penyelewengan wang masjid Ar-Rahimah yang mencecah ratusan ribu ringgit. Pendedahan tersebut menyebabkan pada 2008, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menamatkan perkhidmatannya atas dakwaan masalah disiplin dan mengeluarkan notis ke atasnya supaya mengosongkan kuarters yang didudukinya itu.

Imam Hoslan dan melakukan perbuatan itu kerana gagal mengawal emosinya, ekoran kesnya itu telah tertangguh sejak 1999. Isu sebenar telah ditutup dan disembunyikan melibatkan penyelewengan ratusan ribu RM oleh pentadbir Masjid Ar-Rahimah sebagaimana laporan oleh Imam Hoslan Hussin yang pernah dilaporkan.

Justeru atas prinsip keadilan dan keperihatinan, JINGGA 13 bersama Dewan Pemuda PAS Pusat, Angkatan Muda Keadilan Malaysia, Wanita PKR Pusat, Pemuda DAP, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Anwar Ibrahim Club, Soladiriti Mahasiswa Malaysia dan beberapa NGO serta NGI menganjurkan PERHIMPUNAN AMAN 'BEBASKAN IMAM HOSLAN' DAN PENYERAHAN MEMORANDUM KEPADA DYMM YANG DIPERTUAN AGONG pada 24 Mac 2012 bertempat di Masjid Wilayah , Kuala Lumpur, jam 2.00 petang selepas solat zohor dengan bertemakan warna HITAM DAN PUTIH .

Perhimpunan aman tersebut juga akan turut berarak daripada Masjid Wilayah ke Istana Negera bagi tujuan menyerahkan memorandum kepada DYMM Yang DiPertuan Agong agar diberikan pengampunan dan dibebaskan daripada hukuman agar Imam Hoslan dikembalikan ke pangkuan keluarga yang sedang bersedih menanti kepulangan beliau.

Perhimpunan aman tersebut akan dihadiri oleh pimpinan parti-parti politik dan NGO serta akan turut disertai oleh isteri dan anak-anak Imam Hoslan Hussin.

Kami merayu agar seluruh rakyat Malaysia yang prihatin dan bersimpati terhadap Imam Hoslan Hussin dan ahli keluarga beliau untuk turun beramai-ramai ke perhimpunan aman dan penyerahan memorandum kepada DYMM Yang DiPertuan Agong tersebut di Masjid Wilayah dan bersama-sama ke Istana Negara sebagai tanda soladiriti terhadap pembebasan dan perjuangan Imam Hoslan Hussin.

BEBASKAN IMAN HOSLAN!





FARIZ MUSA
Ketua Koordinator JINGGA 13




[Video] Lebih 18,000 Pengundi Diragui Dikesan Di Parlimen Pekan

Kuala Lumpur 22 Mac: KEADILAN mendedahkan terdapat lebih 18,000 pengundi tambahan pada tahun 2012 di Parlimen Pekan iaitu kawasan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri AnwarIbrahin berkata peningkatan itu berlaku hampir sekali ganda berbanding pada pilihanraya umum (PRU) lalu.

“Pada tahun 2008, di Parlimen Pekan pengundi tambahan meningkat berbelas-belas ribu. Pada tahun 2012 pun meningkat 18,000. Kawasan berdekatan lain seperti di Kuantan cuma meningkat 5,000 sahaja. Tapi di Pekan boleh begitu tinggi. Pelik ke tidak?” katanya pada sidang media di lobi Parlimen.

Beliau berkata, parkara itu dikenal pasti apabila mendapati banyak pengundi didaftarkan dengan satu nama dua alamat.

“Saya nak tunjukkan bagaimana daftar penipuan dibuat. Satu nama dua alamat sememangnya tak boleh berlaku. kalau masuk dalam komputer ia akan ditolak sebab nombor kad pengenalan sama.

“Tapi apa yang mereka buat ialah dengan menambah simbol palang (/) pada hujung nombor kad pegenalan,”
katanya.

Anwar memberitahu, KEADILAN mempunyai cukup bukti tentang penipuan yang dilakukan SPR.

Katanya, terdapat 79,998 kes, 100 pengundi yang diaftarkan dalam satu alamat.

“Antara yang disebut termasuk Parlimen Johor Baharu, lokasi Desa Melayu Majidee yang mempunyai 127 pengundi dalam satu alamat. Di Desa Mahkota Kluang, 103 pendundi satu alamat.

“Parlimen Seremban 190 pengundi. DUN Batu Caves 202 pengundi tanpa alamat. Kota Raja DUN Seri Muda 609 pengundi alamatnya Batu 7 Seri muda. Kalau di rumah panjang Sabah kita faham ada 50 hingga 60. Tapi kalau di Seri Muda ia tidak munasabah,” katanya.

Beliau juga membidas kenyataan SPR terdapatnya 240,000 undi pos tambahan di kalangan petugas SPR sedangkan dalam PSC penambahbaikan pilihanraya semua pihak telah bersetuju untuk mengadakan pengundian awal. -KD



Ulasan GB

Apabila kemenangan dengan cara penipuan, maka kemenangan itu kemenangan yang taida berkatnya. Natijah dari itu, berlakulah kepincangan yang banyak di dalam pemerintahannya.

Kita akan sama-sama saksikan nanti Najib merupakan PM yang bakal menyebabkan UMNO BN menyembah bumi.

KPN Larang Kes Culik Disensasi, Kes Gadis Hilang Terus Berlaku Lagi

KPN: Kes culik tidak berleluasa, cuma disensasikan

MELAKA - Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar meminta orang ramai tidak tersalah sangka seolah-olah kejadian culik berleluasa di negara ini sehingga keadaan tidak terkawal.

Katanya, laporan akhbar tentang satu dua kes yang berlaku kebelakangan ini telah disensasikan berikutan orang ramai yang suka membaca laporan itu.

Sehubungan dengan itu, tiada keperluan menubuhkan pasukan petugas khas untuk kes culik, kata beliau.

"Penting saya jelaskan, jangan anggap satu dua kes (yang dilaporkan) dah merosakkan, kita tak selamat, anak kita tak selamat, ini tidak betul," katanya kepada pemberita selepas melakukan kunjungan hormat kepada Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam di Seri Negeri, di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kebimbangan orang ramai berhubung kes culik - terbaru seorang pelajar, Siti Nur Fatihah Mahadi, 16, yang dilaporkan diculik di Kuantan, Pahang pada Ahad lepas.

Sebelum itu, pada 30 Januari lepas, seorang remaja perempuan berusia 14 tahun berasal dari Shah Alam dilaporkan diculik oleh sindiket pelacuran antarabangsa dan dilarikan ke Thailand.

Remaja itu bagaimanapun berjaya dibebaskan oleh polis Thailand dan dihantar balik ke sini dan sedang dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Pada 1 Mac lepas, seorang kanak-kanak, Nurul Nadhirah Abdullah, 5, ataupun dikenali sebagai Dirang yang sebelumnya dilaporkan hilang ditemui mati dibunuh dan dibakar dalam sebuah lubang di tapak perumahan terbengkalai di Nusa Damai, Masai, Johor Baharu pada 8 Mac.

Menurut Ismail ketua-ketua polis negeri boleh menangani masalah itu termasuk laporan pasukan penyiasatan dari negeri berkenaan berhubung kes itu.

"Saya yakin kes di Johor dah diselesaikan dan yang terkini (di Pahang), tunggu satu, dua hari, ada berita baik untuk semua," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata polis akan menjalankan siasatan secara terbuka berhubung dakwaan wujud elemen rasuah melibatkan anggota polis dalam aktiviti "bookie" bola sepak di Johor.

Beliau mengulas laporan media semalam berhubung dakwaan Tengku Mahkota Johor Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim yang juga Presiden Persatuan Bolasepak negeri Johor (PBNJ) bahawa anggota polis terlibat dalam aktiviti menentukan perlawanan atau bookie bola sepak.

Baginda meminta polis Bukit Aman dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjalankan siasatan terhadap dakwaan itu. - Bernama

Lagi gadis dilapor hilang di Pahang

KUANTAN - Seorang lagi pelajar berusia 15 tahun dilaporkan hilang selepas keluar membeli kad tambah nilai telefon bimbit.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang SAC T. Narenasagaran, pelajar terbabit Nornabila Mat Yaacob didapati tidak pulang ke rumah selepas keluar bersama seorang rakannya pada Isnin lepas di Jerantut.

"Pihak polis telah menerima laporan kehilangan pelajar itu daripada keluarganya dan polis akan mengedarkan gambar Nornabila bagi mendapatkan kerjasama orang ramai untuk mencarinya," katanya ketika ditemui pemberita pada majlis dialog usaha memerangi jenayah bersama penduduk Taman Tas, dekat sini, malam ini.

Beliau berkata pihak polis masih menyiasat kes berkenaan.

Sementara itu, ibu remaja berkenaan, Norazlina Osman, 47, ketika ditemui di rumahnya di Taman Koperasi, Jerantut berkata anak bongsunya itu keluar bersama seorang rakannya, Norsyazwani Mazlan, 15, dengan menaiki sebuah motosikal kira-kira 8 malam Isnin lepas.

"Sehingga 11.30 malam itu, Nornabila masih tidak pulang ke rumah, rakannya Norsyazwani ketika dihubungi memaklumkan yang dia telah menghantar Nornabila pulang sebelum itu," katanya.

Norazlina, berkata usaha mencari Nornabila termasuk menghubungi telefon bimbitnya turut dilakukan tetapi gagal.

"Pada 8.04 pagi tadi, satu pesanan ringkas (SMS) telah dihantar daripada telefon bimbit anak saya memaklumkan yang Nornabila selamat," katanya.

Pada Ahad lepas, seorang remaja perempuan, Siti Nur Fatihah Mahadi, 15, dilaporkan hilang disyaki diculik di Taman Tas, Kuantan.

Bagaimanapun gadis yang dikatakan diculik itu sebenarnya mengaku bahawa dia dengan rela hati melarikan diri untuk tinggal di rumah teman lelakinya yang berumur 26 tahun disebabkan tekanan emosi yang dialami.
- Bernama


Ulasan GB

Apa maksud "jangan sensasikan"?

Bukankah setiap kehilangan perlu dihebahkan dengan menyebar poster kehlangan untuk menjejaki mangsa? Bukankah tugas itu juga dilakukan oleh pihak polis selama ini?

Apakah kerana hendak menyelamatkan airmuka menteri yang menyatakan negara Malaysia paling selamat dalam Asia Tenggara maka KPN harus bertindak untuk melarang berita penculikan dan kehilangan rakyat supaya jangan disensasikan? Jangan hebahkan? Jangan sebarkan poster? Jangan cari orang hilang lagi? Biar yang hilang itu hilang? Biar yang mati itu mati tanpa pembelaan?

Pelik!


Nazatul Tumpang Van Tak Dikenali Ke Bangkok, K'jaan Selangor Sedia Biaya Tambang

Bangkok - Siasatan awal Polis Imigresen Thai menunjukkan remaja perempuan Malaysia berusia 15 tahun, Nazatul Fardiana Mohd Izwan, yang hilang bersama lima rakan Rohingyanya, menumpang kenderaan seorang lelaki yang tidak dikenali di Malaysia dekat sempadan Thai-Malaysia, sebelum memasuki negara jiran itu secara haram.

Timbalan Komander Pusat Siasatan Biro Imigresen Pol Col Chartchai Lamsaeng berkata, hari ini mereka menaiki sebuah van berdaftar di Malaysia yang ditawarkan oleh seorang lelaki Malaysia dekat sempadan pada 8 Mac.

Lima remaja Rohingya itu terdiri daripada empat lelaki dan seorang perempuan berumur antara 14 dan 16 tahun.

Keenam-enam mereka adalah rakan dan mengenali satu sama lain.

"Mereka diberi minum oleh lelaki itu dan sejurus kemudian mereka tertidur," Chartchai yang mengetuai siasatan kes itu memberitahu Bernama, di sini.

Beliau berkata, apa yang dapat mereka ingat semasa perjalanan itu mereka melalui Hat Yai, Petchaburi atau Nakhon Phatom dan berhenti di Hua Lamphong di ibu negara ini.

"Kami hairan bagaimana mereka dapat melepasi pusat pemeriksaan di sempadan tanpa sebarang dokumen perjalanan," kata beliau dipetik Bernama.

Chartchai berkata, adalah tidak jelas sama ada remaja itu berhasrat memasuki Thailand bila mereka menumpang van berkenaan.

"Lelaki itu malah membawa mereka ke sebuah masjid di Hua Lamphong," kata beliau. Namun, tidak jelas apa berlaku pada lelaki itu selepas itu kerana kesemua remaja itu terus menuju ke Stesen Kereta Api Hua Lamphong," katanya.

Beliau berkata, mereka berjaya mendapatkan bantuan daripada beberapa orang peniaga dekat stesen itu yang memberi mereka wang oleh kerana mereka hendak membeli tiket kereta api untuk pulang ke Malaysia.

Mereka ditangkap oleh polis di stesen itu kerana mereka gagal menunjukkan dokumen perjalanan sah dan dibawa ke pejabat Polis Imigresen di sini, kata beliau.

Polis Imigresen kemudian menghubungi Kedutaan Malaysia di sini.

"Siasatan kami menunjukkan kesemua enam remaja itu selamat dan tidak diapa-apakan atau diganggu oleh lelaki berkenaan," kata beliau.

Chartchai berkata Polis Imigresen Thai akan menyiasat kes itu di bawah undang-undang pemerdagangan manusia yang membawa hukuman penjara antara lima dan 10 tahun.

"Kami berjaya menghasilkan lakaran imej suspek berdasarkan maklumat diberikan oleh remaja itu. Polis Thai dan Malaysia sedang menyiasat kes ini," katanya.

Beliau berkata, Polis Imigresen Thai kini mengkaji kemungkinan yang sindiket jenayah antarabangsa terlibat dalam kes ini.

Chartchai hanya dapat mengenalpasti lima remaja itu sebagai orang Rohingya tetapi tidak pasti tentang kewarganegaraan mereka.

Laporan berita awal dari Malaysia menyatakan bahawa gadis itu memberitahu ibunya dalam percakapan telefon pada 12 Mac bahawa dia dan lima yang lain itu telah diculik dan dilarikan ke Thailand, dan kemudian diselamatkan oleh polis Thai di stesen keretapi berkenaan pada 11 Mac.

Ibu bersyukur

SHAH ALAM: “Saya bersyukur ada pihak yang sudi bantu saya pergi ke Bangkok menyelamatkan anak saya, namun identiti pihak yang membantu itu biarlah saya rahsiakan,” demikian reaksi Norazura Roski, 37, ibu Nazatul Fadiana Mohd Izwan, 14, mangsa culik di Stesen Bas Seksyen 9, di sini, 30 Januari lalu.

Norazura berkata, sewaktu pertemuan yang diaturkan polis Bangkok 16 Mac lalu, keadaan anaknya atau lebih mesra dengan panggilan Nana agak kurus dan kulitnya gelap berbanding sebelum dilaporkan hilang.

Katanya, anaknya kini masih lagi menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan sehingga kini belum diketahui bila anaknya dibenarkan keluar.
-hm


Selangor biaya tambang mangsa culik

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor membiayai kos penerbangan pulang mangsa culik, Nazatul Fardiana Mohd Izwan, 14, yang ditemui di Bangkok, Thailand 11 Mac lalu.

Exco Kerajaan Negeri yang juga Adun Kota Anggerik, Dr Yaakob Sapari berkata, ibu remaja itu, Norazura Roski, 37, menemuinya meminta bantuan untuk membawa anaknya pulang.

“Ini kerana, remaja itu perlu dibawa pulang melalui jalan udara atas sebab keselamatan. Saya difahamkan, peruntukan Kerajaan Pusat hanya untuk perjalanan darat,” kata Yaakob pada sidang media di sini, semalam.

Sehubungan itu, katanya, pihaknya telah menghantar dua pegawai untuk mengiringi Norazura ke Bangkok, Jumaat lalu.

Yaakob berkata, Nazatul sepatutnya pulang pada 17 Mac namun ditangguh sehingga 19 Mac bagi membolehkan urusan dokumentasi diselesaikan.

Remaja itu yang tiba di LCCT Sepang jam 8.50 malam 19 Mac, terus dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya di Petaling Jaya, untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.

Difahamkan, sehingga kini dia masih ditempatkan di hospital itu dengan kawalan keselamatan yang ketat.

Remaja itu dilaporkan hilang 31 Januari lalu selepas dikatakan keluar ke rumah rakannya sehari sebelum itu.

12 Mac lalu, dia dikatakan menghubungi ibunya memberitahu berada di Thailand dan baru melepaskan diri daripada penculik.

Sehari sebelum itu, dia ditemui di stesen kereta api Hua Lampong, Bangkok bersama lima lagi remaja dari Myanmar berusia antara 15 hingga 17 tahun yang dipercayai turut menjadi mangsa culik.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Zahedi Ayob berkata, Nazatul hingga kini masih trauma dan masih dirawat di hospital.

“Dia hanya beritahu polis diculik dan dibawa dalam sebuah van putih dari Seksyen 9, Shah Alam,” katanya.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 366 Kanun Keseksaan kerana menculik.

Pada 30 Januari, penuntut tingkatan tiga itu diturunkan ibunya di hentian bas di sini kira-kira 1 tengah hari. Esoknya, apabila dia tidak pulang ke rumah, ibunya membuat laporan polis di sini.
-SH


Laporan sebelum ini
klik untuk baca




Akar Umbi Panggil Wanita UMNO Lembu, Shahrizat Perlu Letak Jawatan Dalam UMNO - Kamelia

Kuala Lumpur: Naib Ketua Wanita Umno, Datuk Kamilia Ibrahim menggesa sekali lagi agar Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil meletakkan jawatan beliau (sebagai Ketua Umno) bagi mengekalkan "kredibiliti parti, sayap, Barisan Nasional (BN) dan kerajaan.”

Beliau berkata, perletakan jawatan Shahrizat sebagai menteri setelah tempoh senatornya tamat pada 8 April adalah tidak mencukupi, perlu juga sekali dengan kepimpinannya dalam Wanita Umno dan Wanita BN, terutama menjelangnya pilihan raya umum akan datang.

Beliau menambah, ia mengenai tanggapan masyarakat bahawa terdapat sesuatu “yang salah dari segi moral dan politik” berdasarkan cara Perbadanan Fidlot Nasional (NFCorp), yang diuruskan oleh suami dan anak-anak Sharizat menggunakan pinjaman kerajaan.

"Apabila ia melibatkan dana awam, ia melibatkan rakyat. Masyarakat melihat ia sebagai isu negara yang telah mencemarkan imej Kerajaan. Masyarakat mempersoalkan bagaimana NFCorp boleh mendapat pinjaman yang besar dengan kadar faedah hanya 2 peratus dan diberikan tempoh lima tahun sebelum pembayaran balik sedangkan begitu sukar bagi rakyat biasa mendapatkan pinjaman.

"Dan mereka bertanya bagaimana NFCorp boleh membeli kereta dan unit-unit kondominium dengan pinjaman yang dimaksudkan untuk (membeli) lembu," katanya dalam satu temu bual.

"Kredibiliti kami dipertaruhkan. Saya telah pergi ke peringkat akar umbi dan ini secara umumnya apa yang mereka kata. Mereka mendapati sukar untuk bertemu dengan rakyat kerana imej pemimpin mereka (Shahrizat) tercemar.

"Masyarakat 'mempermainkan' Wanita dan memanggil kami 'lembu'. Akar umbi Wanita mengatakan mereka susah nak kerja (sukar untuk bekerja dengan isu yang sedang berlaku ke atas ketua mereka). Dan pembangkang pula memberitahu kami bahawa kami tidak perlu berbuat apa-apa kerana ia akan membuat kerja mereka (untuk pilihan raya umum) lebih mudah.

"Sebagai seorang pemimpin, kita perlu mendengar apa yang akar umbi berkata."

Kamilia mengulas perkara berkenaan dua hari sebelum Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak yang dijadualkan untuk bertemu dengan pergerakan Wanita.

Beliau berkata, Najib telah menjelaskan bahawa beliau tidak mahu Shahrizat untuk terus menjadi menteri dan kini terpulang kepada Wanita untuk memutuskan sama ada masih boleh menerima beliau sebagai pemimpin yang diingini.

"Sebagai naib ketua, saya perlu melakukan apa yang terbaik untuk parti dan negara. Saya mungkin tidak popular tetapi saya bersedia untuk menerimanya kerana ia adalah sebahagian daripada tugas dan tanggungjawab saya. Demi kepentingan parti dan Wanita, dia harus pergi," katanya.

Beliau menjelaskan, adalah sesuatu yang pelik bagi Shahrizat berkempen untuk sebuah kerajaan yang bersih, adil dan baik.

"Kami akan serahkan kepada kebijaksanaan beliau terlebih dahulu. Sebagai seorang pemimpin, dia sepatutnya dapat menilai sendiri. Takkan kita nak beritahu (jangan katakan yang kami perlu beritahu apa yang anda perlu lakukan).” -mstar


Ulasan GB

Apa yang GB tulis dulu dah jadi kenyataan. GB dah ulas dulu. Petikan:

Apa yang rakyat tahu sekarang melihat muka Shahrizat teringatkan muka lembu, begitu juga melihat muka Najib, Muhyiddin, Pak lah, Noh Omar & Khairy, termasuk peguam NFC, orang akan segera terbayang wajah-wajah lembu di Feedlot. Atau melihat wajah-wajah lembu, segera teringat muka-muka menteri UMNO itu. Salah siapa?


Laporan sebelum ini
klik untuk baca




Sampai Bila Pusat Mahu Diskriminasi Kelantan?

Kuala Lumpur, 21 Mac: Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah, berkata amalan diskriminasi pusat terhadap Kelantan sejak 20 tahun lalu tidak wajar diteruskan.

Sambil mendakwa ianya bercanggah dengan amalan federalisme, beliau menuntut ianya dihentikan segera dan segala hak kerajaan negeri perlu diberikan tanpa sebarang penafian.

"Amalan diskriminasi ini bukan hanya berlaku sejak 20 tahun lalu, tapi dari tahun 1959 lagi ketika PAS mula-mula memerintah Kelantan. Sehingga hari ini, Kelantan masih melaluinya dengan pelbagai cara," dakwa beliau ketika mengambil bahagian Ketika perbahasan Menjunjung Kasih Titah Ucapan Yang Di-pertuan Agong, di Dewan Rakyat, hari ini.

Dakwa beliau, banyak peruntukan yang sewajarnya disampaikan ke Kelantan, tertangguh ekoran amalan diskriminasi tersebut, termasuk kelewatan memberikan geran.

Dalam pada itu, beliau turut melahirkan kekecewaan apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, mengeluarkan kenyataan yang disifatkannya sebagai penghinaan terhadap rakyat Kelantan.

"Apabila Perdana Menteri hadir di Sabah, beliau menghina rakyat Kelantan dengan mengatakan tentang kemiskinan Kelantan seolah-olah seorang bapa menghina anak kandungnya di hadapan adik-beradik yang lain," kata beliau.

Tambah Wan Rahim, penghinaan yang dilemparkan Najib tersebut tidak mudah dilupkan dan akan diingati sampai bila-bila.

Menyentuh soal projek ladang rakyat yang dimanipulasikan sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab, Wan Rahim berkata ladang yang diusahakan 4834 peserta itu merupakan tanah milik Perbadanan Ladang Rakyat.

"Ia tidak ditukar milik atau digadaikan kepada mana-mana pihak seperti yang dimanipulasikan pihak yang tidak bertanggungjawab. Tetapi peserta yang mengusahakannya mendapat habuan sebanyak RM200 sebulan dengan agihan dividen sebanyak RM52.4 juta," tegas beliau.

Malah, katanya projek tersebut meghasilkan kejayaan apabila tanah kerajaan negeri tidak diberikan kepada syarikat swasta, tetapi dimajukan Perbadanan Ladang Rakyat," tegas beliau. -HD

Bayi Berusia 2 Minggu Ditemui Pintu Masuk Masjid Di Pekan Pahang

PEKAN - Seorang bayi lelaki berusia dua minggu ditinggalkan di pintu masuk ruang solat sebuah masjid di Kampung Lamir di sini, hari ini. Gambar oleh Mohd Rafi Mamat

Bayi yang dalam keadaan sihat dan lengkap berpakaian itu ditemui oleh seorang penduduk kampung itu, Khasli Mohd Razali, 48, ketika mahu membuka pintu masjid untuk solat Subuh pada pukul 5.20 pagi.

Sebuah beg berisi lampin pakai buang, beberapa helai baju, tisu basah dan botol susu yang masih berisi susu turut ditinggalkan berhampiran bayi itu.

"Masa saya ingin membuka pintu, saya terdengar bayi menangis lalu mencarinya di sekitar perkarangan masjid. Saya kemudian terlihat seorang bayi diletakkan di perkarangan pintu ruang solat dan meminta pertolangan jiran yang tinggal di sebelah masjid untuk mengambilnya," kata Khasli.

Bercakap kepada pemberita di sini, hari ini, Khasli berkata beliau memaklumkan perkara itu kepada imam masjid yang kemudian menghubungi polis.

Ketua Polis Daerah Pekan Supt Yahaya Othman berkata bayi berkenaan dihantar ke Hospital Pekan untuk rawatan dan polis kini menjejaki ibu bayi itu.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. - Bernama

Dengar tangisan bayi ketika masuk kawasan masjid

PEKAN: “Saya dengar tangisan ketika memasuki kawasan masjid untuk menunaikan solat subuh kira-kira jam 5.30 pagi dan selepas menyuluh menggunakan lampu motosikal, saya lihat bayi berada di atas hamparan tepi pintu masjid.

“Bayi itu lengkap berpakaian diselimut kain pelikat dan disisinya ada botol susu serta beg plastik berisi lampin pakai buang, sekotak susu dan pakaian,” kata Khasli Mohd Razali, 48, jemaah Masjid Baru Kampung Lamir di sini, yang menemui bayi lelaki malang itu, semalam.

Khasli berkata, dia memanggil seorang penduduk yang tinggal bersebelahan masjid untuk melihat bayi berkenaan sebelum imam masjid menghubungi polis. Katanya, terdapat kesan gigitan nyamuk pada muka bayi berkenaan yang mungkin ditinggalkan di situ antara dua hingga tiga jam sebelum ditemui.

“Saya percaya bayi berkenaan menangis kerana sejuk dan lapar.

“Perbuatan meninggalkan bayi yang tidak berdosa ini tindakan tidak berperikemanusiaan,” katanya yang bertugas dengan syarikat membuat kenderaan di Peramu Jaya, di sini. Menurutnya, dia tidak menyangka akan berdepan dengan situasi pilu seperti ini dan sebak melihat bayi tidak berdosa diperlakukan seperti itu.

“Tergamak ada insan bergelar ibu bapa bertindak kejam meninggalkan bayi itu,” katanya. Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Yahaya Othman, berkata bayi seberat 2.9 kilogram dan dipercayai berbangsa Melayu itu kini ditempatkan di Hospital Pekan.

Menurutnya, bayi lelaki itu dipercayai dilahirkan dua minggu lalu sebelum ditinggalkan di tepi pintu masjid dan polis sedang mengesan mereka yang meninggalkan bayi lelaki berkenaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya,” katanya.
-hm


Bacalah artikel ini
klik untuk baca



Logo "1Malaysia" Ganti "Alif" Dalam Perkataan "Al-Mulk". Apa Kata JAKIM & Mufti?

Terlalu Taksub atau dah Gila nih? Huruf ‘alif’ pada satu asma’ Allah digantikan dengan logo 1Malaysia..

Aku kurang pasti samada yang melukis didinding dalam Surau Al-Badar, bersebelahan dengan pondok PEKIDA kawasan Lembah Pantai ini terlalu taksub atau sudah gila.

Logo 1Malaysia tertera pada halaman Surah Al Mulk.

Huruf ‘alif’ pada satu asma’ Allah digantikan dengan logo 1Malaysia, yang diakui oleh Najib sebagai idea beliau padahal ianya diciplak dari 1Israel.


Nak dikatakan kerja budak-budak nakal tak mungkin kerana ianya dilukis dengan teliti di dalam sebuah surau.

Pasti ianya memakan masa untuk dilukis, jadi mana sempat budak-budak nakal nak melukis sebegitu cantik..

Yang hairannya tidak ada pihak yang menegur kerja gila itu..

Nak jatuhkan hukum.. aku pun kurang ariff.. jadi korang klik pada imej di bawah dan lihat apa hukumnya menggantikan Huruf ‘alif’ pada satu asma’ Allah digantikan dengan logo 1Malaysia..

Yang ni aku ambil dari AmenoWorld



Aku yakin puak-puak yang melukis tu, kalau kita kutuk Najib didepan mereka gerenti kena belasah punyalah..

Nak bodekpun agak-agak lah sedara... -ASD

Suhaila Yang Mempunyai Dua Rahim Selamat Menjalani Pembedahan Di Dubai

Nur Suhaila selamat jalani pembedahan

SHAH ALAM - Syukur, alhamdulillah! Ini kata-kata yang diluahkan oleh Hanita Mohd Tahir, ibu kepada Nur Suhaila Tukijan, yang selamat menjalani pembedahan di Hospital Universiti Sharjah, Dubai, hari ini.

Menurut Hanita, pembedahan bagi merawat anaknya yang menghidap 'Congenital Disorder', yang memakan hampir dua jam, berjaya disempurnakan oleh tiga pakar perubatan.

Nur Suhaila dibawa masuk ke dewan pembedahan sekitar jam 9.30 pagi waktu tempatan (1.30 tengah hari waktu Malaysia).

"Keadaanya kini stabil dan telah dipindahkan ke wad kira-kira 30 minit selepas selesai pembedahan.

"Berkat iringan doa rakyat Malaysia, Nur Suhaila berjaya dibedah dan segalanya berjalan lancar," katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Hanita, doktor mengesahkan keadaan anaknya akan pulih dalam sedikit masa lagi, namun memerlukan dua rawatan susulan iaitu pada 26 Mac dan 3 April ini.

Sehubungan itu, beliau dan anaknya akan terus berada di Dubai, dan dijadualkan pulang ke tanah air pada 5 April ini.

Katanya, doktor memaklumkan bahawa pembedahan awal menyelamatkan Nur Suhaila daripada risiko jangkitan kuman kerana besar kemungkinan kedua-dua rahimnya akan dibuang sekiranya lambat dibedah.

"Alhamdulillah, pembedahan selamat dan berjalan lancar, tanpa sebarang risiko," katanya.

Dalam pada itu, maklumat diperoleh daripada www.malaysian-uae.com, portal rakyat Malaysia di Dubai, turut memaparkan gambar Nur Suhaila selepas menjalani pembedahan.

Menurut Exco MY-UAE, Zaida Khamis, Nur Suhaila dalam keadaan baik dan ditempatkan di Wad Wanita, Tingkat 1, Hospital Universiti Sharjah.

Sebelum ini, Nur Suhaila dijadualkan menjalani pembedahan esok, namun diawalkan sehari oleh pakar perubatan setelah menjalani ujian MRI dan ultrasound sebaik tiba di Dubai, kelmarin.

Kisah Nur Suhaila, dilaporkan Sinar Harian 22 Februari lalu, memerlukan RM60,000 bagi kos pembedahan.

Nur Suhaila mempunyai dua rahim dan salah satunya tidak berfungsi, dan pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 19, Shah Alam itu hanya mempunyai satu buah pinggang.

Selepas liputan tersebut, Tabung Nur Suhaila mendapat perhatian rakyat Malaysia yang sememangnya tersentuh hati dan prihatin akan nasibnya.

Hasil sumbangan orang ramai, pembedahan Nur Suhaila berjaya dilaksanakan.

Antara pihak yang menyumbang ialah Lembaga Zakat Selangor, Persatuan Bekas Tentera Malaysia; Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ali Rustam, Badan Amal dan Kasih Negeri Selangor (Kasih), Kerajaan Negeri Selangor serta rakyat Malaysia di Dubai. -SH

Ulasan GB

Sama-sama kita doakan kesalamatan dan kesahteraan untuknya.

Laporan sebelum ini
klik untuk baca