30 Jul 2010

1000 Bas Datang Sekalipun, TGNA Akan Jawab: NTBL

Penyatuan Melayu: NGO digesa hantar 50 bas rayu Nik Aziz

Sebuah pertubuhan bukan kerajan (NGO) mengadakan forum penyatuan Melayu malam tadi dengan salah seorang panel penceramah meminta agar rombongan rakyat biasa dihantar merayu Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menerima idea kerjasama perpaduan orang Melayu Islam.

“Saya mencadangkan pelan tindakan rakyat, usaha membabitkan rakyat jelata dengan menghantar 50 buah bas ke Pulau Melaka, bertemu dengan Datuk Nik Aziz, bertemu dengan beliau di masjid, merayu kepada beliau supaya terima idea kerjasama penyatuan orang Melayu,” kata blogger Kickdefella atau nama sebenarnya Syed Azidi Syed Abdul Aziz kepada The Malaysian Insider.

Kediaman bukan rasmi Nik Aziz, yang juga Menteri Besar Kelantan terletak di Pulau Melaka, kira-kira 10 minit perjalanan dari Kota Baru.

Menurut Syed Azidi, pelan tindakan itu hanya melibatkan pembabitan rakyat biasa atas alasan rakyat jelata sahaja yang boleh menggerakkan usaha sedemikan.

“Rakyat tidak boleh lagi mengharapkan ahli-ahli politik akan membawa perubahan dalam soal ini, sebaliknya rakyat perlu membawa perubahan dengan menentukan masa depan mereka (ahli-ahli politik),” katanya.

Bagaimanapun beliau tidak dapat menyatakan dengan tepat bila rombongan itu, dijangka membabitkan kira-kira 2,000 orang, akan dihantar ke Kelantan.

Kira-kira 100 orang menghadiri sesi bicara “Melayu Berpecah: Apa Tindakan Kita?” yang diadakan secara tertutup di Ampang dengan 10 orang berucap.

Pihak penganjur tidak membenarkan nama NGO menjadi nadi kepada usaha mereka itu didedahkan. Antara yang hadir ialah budayawan, ahli-ahli akademik dan pengamal media.

Syed Azidi berkata, beliau juga ada mencadangkan agar setiap orang yang menghadiri sesi malam tadi mengadakan pertemuan dengan rangkaian 10 orang mulai hari ini bagi menyebarkan idea dan matlamat yang dibincangkan.

“Jika 100 orang yang hadir malam tadi menyebarkan idea ini kepada 10 orang bermakna kita sudah ada 1,000 orang dan kemudian 10,000 sehingga kita mencapai sasaran akhir.

“Kami mahu pendekatan ini digunakan selepas mendapati tidak lagi boleh meletakkan harapan pada ahli-ahli politik dalam usaha menyatukan orang Melayu,” kata beliau dipercayai merujuk kepada idea ini yang berulang kali dibangkitkan selepas prestasi pilihan raya umum ke-12 dua tahun lalu.

Setakat ini Umno berulang kali membangkitkan idea kerjasama perpaduan dan kerjasama politik dengan PAS tetapi PAS bertegas akan kekal bersama Pakatan Rakyat.

Dua tindakan lain disyorkan Syed Azidi, yang sehingga akhir tahun lalu berkhidmat dengan agensi kerajaan negeri Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), ialah menghantar memorandum minta campur tangan raja-raja Melayu dan kemuncaknya kepada Yang di-Pertuan Agong kelak.

“Kita hendak dan perlu bergerak dengan rakyat, mengadakan pertemuan-pertemuan kecil mulai sekarang... Umno dan PAS tidak terlibat dalam usaha kami ini,” kata beliau ketika ditanya mengenai pembabitan parti-parti politik.

Ketika ditemui malam tadi, Syed Azidi berkata kegagalan kerjasama Umno-PAS berpunca daripada sikap Nik Aziz yang tidak mahukan perpaduan Melayu tercapai.

Syed Azidi berkata, kegagalan dalam mencapai kerjasama dua parti Melayu itu bukan berpunca daripada Umno tetapi PAS.

“Saya tidak lihat ia berpunca daripada Umno kerana parti itu bersedia untuk bekerjasama dengan PAS,” katanya.

“Punca utama adalah kerana halangan daripada Nik Aziz, padahal beliau sebenarnya tidak ada kuasa eksekutif untuk membuat keputusan,” katanya.

Syed Azidi mendakwa apabila Nik Aziz bersuara tiada pemimpin lain yang berani membantah keputusan itu.

“Sebenarnya dalam PAS majoriti pemimpinnya mahukan kerjasama dengan Umno tetapi dihalang oleh kumpulan menentang cadangan itu.

“Malah saya percaya kumpulan ini yang menekan Nik Aziz supaya menolak cadangan kerjasama itu kerana beliau mempunyai pengaruh besar dalam PAS,” kata beliau yang dipecat sebagai pegawai perhubungan awam PMBK tahun lalu.

Agensi itu diketuai oleh menantu Nik Aziz.

Sebelum ini Nik Aziz tetap dengan pendiriannya menolak sebarang perbincangan atau kerjasama dengan Umno kerana menganggap parti itu telah menyimpang daripada perjuangan Islam.

Malah Nik Aziz mengulangi bahawa Umno terus menunjukkan minat mahu membincangkan kerjasama dengan PAS selepas menyedari kedudukannya menjadi lemah pada pilihan raya umum ke-12 dua tahun lalu.

“Bila dah kalah baru cari kawan... selepas 13 Mei, (Allahyarham) Tun Abdul Razak datang jumpa PAS, kami ingat ikhlas, sebab saya orang yang paling kuat menerima jemputan (daripada Tun Abdul Razak).

“Tetapi bila sudah gemuk (selesa kedudukan), gigit (tangan PAS)... dia orang (akhbar menulis) PAS keluar (BN), tetapi bukan keluar, tetapi ditendang, macam mana punya wartawan tulis macam itu,” katanya di Kuala Terengganu Sabtu lalu.

Selain itu, pemimpin-pemimpin kanan PAS termasuk Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata tidak mahu bercakap mengenai isu berkenaan dengan ada yang menganggap bab perbincangan parti itu dengan Umno “sudah ditutup.”

Syed Azidi yang seringkali menulis isu-isu berkaitan perkembangan politik Kelantan dan penyatuan Melayu menambah, mengikut keadaan politik semasa, sekarang adalah masa terbaik untuk Umno dan PAS bekerjasama demi penyatuan orang Melayu di negara ini.

“Sekarang adalah masa terbaik untuk kedua-dua parti itu bekerjasama demi mempertahankan hak dan perpaduan orang Melayu yang dilihat berpecah.

“Tidak ada perpaduan yang boleh dicapai dengan masing-masing masih memegang kris kerana perpaduan itu boleh berjaya apabila berjabat tangan dan saling menghormati,” katanya.

Oleh itu kata Syed Azidi, Umno dan PAS perlu meletakkan senjata dan bertenang sebelum berunding.

“Ia mungkin boleh berjaya,” katanya.

Ulasan GB

GB yakin sekalipun 1000 bas ke Pulau Melaka Kelantan untuk memujuk Nik Aziz bagi perpaduan Melayu (UMNO-PAS), Nik Aziz akan tetap dengan pendiriannya: NTBL - No time bo layan.

Nik Aziz bukan seperti pemimpin PAS yang lain. Ada juga pemimpin PAS, walau tak der 1 basikal yg datang pun, dia pula terhegeh-hegeh masuk ke dalam kelambu UMNO.. kalau tak pun duduk sepentas bersanding dengan UMNO, pun cukuplah.

Itulah keistimewaan Nik Aziz dan itu rahsia mengapa PAS Kelantan tidak dapat dikalahkan oleh UMNO BN selama ini.

Bau Busuk Nepostisma Menghapak Di Putrajaya

Bau busuk keluar lagi dari amalan nepotisma yang menyerapi pintu masuk Putrajaya berikutan adik Perdana Menteri Najib Tun Razak membuat kenyataan "salah kira-kira" mengenai kejatuhan nilai pelaburan langsung asing (DFI).

Naib Presiden PAS Dato’ Mahfuz Omar berkata, "saya mesti mengucap tahniah kepada Nazir kerana menjadi jurucakap kabinet Najib. Kenyataan Nazir membuktikan amalan nepotisma masih berleluasa di Putrajaya.

Beliau berkata, Nazir, Pengerusi dan Ketua Eksekutif Kumpulan CIMB, memberi komen mengenai DFI yang jelas mengingatkan rakyat Malaysia bahawa budaya nepotisma yang diamalkan oleh pentadbiran bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi, di mana melibatkan anak-anak mereka, masih hidup segar.

Ketika era Mahathir dan Badawi, kita lihat anak-anak mereka terlibat. Mungkin kita boleh menyifatkan pentadbiran Umno-Barisan Nasional (BN) sekarang ini sebagai pentadbiran adik beradik," katanya.

Sambil menyifatkan kepimpinan Umno-BN bagaikan "burung-burung unta yang menyembunyikan kepala mereka", Mahfuz berkata, "hanya masa akan menentukan bila rakyat akan menendang mereka keluar."

Bagaimanapun beliau memuji Nazir kerana mengakui kerajaan merasa sakit akibat kejatuhan DFI itu.

Semalam, ketika bercakap kepada pemberita, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed mengakui kebenaran data yang dikeluarkan oleh Laporan Pelaburan Asing Dunia (WIR) oleh Bangsa-Bangsa Bersatu.

Pada awal minggu, Bernama melaporkan Nazir sebagai berkata, kejatuhan FDI tidak semestinya negatif.

Beliau berkata "tidak semestinya perkara itu tidak baik" untuk menerima kemasukan DFI yang rendah kerana apa yang penting ialah kualiti pelaburan.

Sebaliknya Nazir mendesak supaya kejatuhan DFI pada 2009 dikaji dengan teliti sebelum membuat kesimpulan.

Bukan lagi destinasi pelaburan

Ahli Parlimen Kuala Selangor Dr Dzulkefly Ahmad bagaimanapun berpendapat sebaliknya. Beliau berkata kejatuhan DFI tidak menolak hakikat bahawa Malaysia bukan lagi menjadi destinasi pelaburan.

"Walaupun saya memahami tentang maksud "pelaburan berkualiti" dan "masa yang sesuai", bagaimanapun komennya tidak dapat mengikis fakta bahawa Malaysia bukan lagi menjadi hab pelaburan, tidak berada di bawah radar, baik pelabur tempatan maupun asing," katanya.

Beliau menyifatkan komen Nazir yang "tidak tentu haluan" itu hanya bertujuan untuk mempertahankan abangnya, Najib.

Dr Dzulkefly berkata data-data Bangsa-Bangsa Bersatu itu sangat jelas dan tidak perlu kepada keterangan lanjut.

"Kekurangan minat di kalangan para pelabur asing telah menyumbang kepada kemerosotan teruk DFI dari AS$2.56 bilion pada 2004 dan AS$1.09 bilion (2005) kepada negatif AS$0.02 bilion (2006), negatif AS$2.7 bilion (2007) dan negatif AS$7.67 bilion pada 2008.

"Keadaan ini diburukkan lagi dengan hakikat bahawa pengaliran pelaburan oleh pelabur tempatan ke luar negara adalan sangat tinggi. Ketidakseimbangan ini mempunyai kesan buruk kepada ekonomi," ujar beliau.

"Pertama, ia akan memberi kesan kepada pertumbuhan. Oleh kerana kekurangan dana untuk menjana aktiviti-aktiviti ekonomi dan pelaburan dalam pelbagai sektor seperti pembuatan dan industri perkhidmatan, sasaran pertumbuhan 6% tidak boleh dicapai.

"Apabila permintaan global jatuh, keadaan akan menjadi lebih buruk kerana memberi kesan kepada faktor eksport dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)," katanya ketika ditemui selepas Dialog Bajet Selangor 2011.

Beliau memberi amaran Malaysia tidak mampu untuk berbelanja lagi kerana kini negara dibebani dengan defisit belanjawan yang luas, bersamaan 52% dari KDNK. -FMT

Kes Ling Liong Sek : Real Atau Sandiwara?

Bekas menteri pengangkutan dan presiden MCA Tan Sri Dr Ling Liong Sik didakwa di mahkamah berhubung skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) hari ini.

Ling, 67, bekas doktor perubatan menjadi ahli politik tiba di Mahkamah Sesyen Kajang, dekat sini, jam 4.45 petang dan kelihatan tenang apabila dikerumuni oleh para wartawan dan jurugambar.

Beliau yang memakai baju belang, diiringi isteri Toh Puan Ena Ling dan dua anak lelaki Hee Leong dan Hee Keat yang hadir di mahkamah.

Ling mengaku tidak bersalah terhadap dua tuduhan di bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan kerana menipu. Jika didapati bersalah, Ling akan menghadapi hukuman penjara.

Ling didakwa di bawah Seksyen 418 Kanun Keseksaan kerana ‘mengelirukan’ kabinet di antara 25 September dan 6 November 2002 supaya bersetuju dengan pembelian 999.5 ekar tanah di Pulau Indah untuk sebuah projek, yang kini dikenali sebagai PKFZ.

Tanah itu dibeli dengan harga RM25 satu kaki persegi dengan kaedah bayaran tertangguh untuk tempuh selama 25 tahun pada kadar faedah 7.5%.

Bayaran kumulatif faedah berjumlah RM720 juta pada akhir tempuh bayaran balik.

Beliau juga ditawarkan dengan pendakwaan alternatif di bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan untuk kesalahan yang sama.

Menurut kertas dakwaan, Kementerian Kewangan telah pun membuat penilaian terhadap tanah tersebut pada harga RM25 satu kaki persegi termasuk faedah terkumpul (compounded) dan fakta ini disimpan dari pengetahuan kabinet oleh tertuduh.

Ikat jamin RM1 juta

Terdahulu Peguam Negara Abdul Gani Patail berkata, beliau mahu kes ini ditangguhkan kerana waktu sudah 4.30 petang.

"Sudah 4.30 petang dan saya memohon penangguhan selepas ikat jamin dibuat dan ditetapkan tarikh perbicaraan," katanya.

Hakim Mahkamah Sesyen, Suzana Hussin kemudian menetapkan ikat jamin sebanyak RM1 juta dan pendengaran ditetapkan pada 3 September depan.

Ling yang memerlukan masa untuk ikat jamin, telah dibebaskan atas bon peribadi. Beliau akan membayar sejumlah itu di Mahkamah Sesyen esok.

Ditanya sama ada beliau yakin untuk memenangi kes beliau menjawab, "Dalam Mahkamah Keadilan, anda mesti merasa yakin."

Ling juga diwakili oleh peguam bela RR Sethu.

Terdahulu, Peguam Negara Abdul Gani Patail dan tiga Timbalan Pendakwaraya (DPP) termasuk ketua pendakwaan Tun Majid Hamzah tiba di mahkamah pada jam 4.00 petang tetapi enggan bercakap kepada beberapa wartawan yang berkemah sejak awal pagi setelah mendapat isyarat seorang VIP akan didakwa.

Dua DPP lain ialah Manoj Kurup dan Dzulkifli Ahmad.

Ling, menteri kabinet yang telah lama berkhidmat, merupakan kawan rapat bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Beliau dilantik sebagai ahli parlimen Mata Kuching pada 1974. Beliau berjaya mempertahankan jawatannya pada 1978 dan 1982.

Pada 1986, beliau dilantik sebagai ahli parlimen Labis dan berjaya mempertahankan kerusi itu dalam tiga pilihan raya umum berikutnya.

Ling menjawat Presiden MCA selama 17 tahun sehingga beliau bersara pada 2003.

Pada 1986, beliau dilantik sebagai menteri pengangkutan. Sebelum itu, beliau memegang jawatan setiausaha parlimen kepada Kementerian Kerajaan Tempatan dan Wilayah Persekutuan, timbalan menteri penerangan, timbalan menteri kewangan dan timbalan menteri pelajaran.

Ling merupakan seorang tokoh berprofil tinggi dihadapkan ke mahkamah dalam tempuh beberapa tahun. -FMT

Ulasan GB

Ada beberapa perkara yang meragukan.

1) Segala-galanya di tangan Peguam Negara sehinggakan permohonan penangguhan kes pun dilakukan oleh Peguam Negara kerana waktu sudah 4.30 petang selepas ikat jamin dibuat dan ditetapkan tarikh perbicaraan.

Persoalan : Apakah sengaja pendakwaan dilakukan pada waktu tersebut supaya kes terus saja ditangguhkan?

2) Wang ikatjamin RM1 juta.

Persoalan: Hakim seperti telah diberikan skrip untuk menentukan wang ikat jamin berkenaan dan ia tidak dibantah oleh peguambela. Boleh diganti dengan bon peribadi dan wang dibayar esok.

3) Kes berprofail tinggi ini telah tersebar luas terlebih awal. Ramai wartawan dalam dan luar negara telah berkumpul.

Persoalan : Dari mana berita tersebut diperolehi dan siapa penyebarnya? Apakah ianya disebarkan terlebih awal untuk meningkatkan integriti pejabat Peguam Negara yang kini telah banyak dipersoalkan?

4) Kes Ling Liong Sik ini hanya secebis dari keseluruhan kes rasuah PKFZ.

Persoalan: Bagaimana yang lain? Terutama pemimpin UMNO yang turut terlibat?


“(Antaranya) membabitkan Dato’ Abdul Rahman Palil (bekas exco Selangor/Umno) iaitu Pengerusi Koperasi Pembangunan Pulau Lumut (KPPL) menjual tanah hanya RM3 sekaki persegi kepada Kuala Dimensi Sdn. Bhd. (KDSB). Kemudian, beliau (Rahman) juga selaku Lembaga Pelabuhan Klang (PKA) bersetuju untuk membeli (semula) tanah tersebut daripada KDSB dengan harga RM25 sekaki persegi.”

“Ini bermakna dia (Rahman) dapat keuntungan 8 kali ganda (lebih kurang RM1.8 billion, termasuk faedah) dari skandal pembelian tanah tersebut.”

”Bekas Bendahari Umno (Tan Sri) Abdul Azim Mohamad Zabidi merupakan orang kepercayaan kepada (Pengerusi Kelab Anggota Parlimen BN) Dato’ Seri Tiong King Sing yang juga merupakan Ketua Pengarah Eksekutif (CEO) pada KDSB. Azim Zabidi ini sebenarnya Pengarah syarikat Wiramaju Sdn. Bhd, (iaitu) anak syarikat pada KDSB.”

“Timbalan CEO pada KDSB ini (iaitu) Tuan Hj. Faizal Abdullah dahulunya merupakan Ketua Pemuda Umno; dan sekarang ini merupaka Timbalan Pengerusi Umno Bahagian Kapar. Saya difahamkan sekarang ini Faizal menjawat jawatan Bendahari Barisan Nasional Selangor.”


Dan yang terakhir..... ending kes ini seperti sudah dapat diramalkan. Ia satu perulangan kes bekas pengarah urusan Perwaja Steel Sdn Bhd, Tan Sri Eric Chia Eng Hock, dibebas dan dilepaskan daripada tuduhan pecah amanah melibatkan RM76.4 juta.