18 Sep 2011

PAS Merlimau Adakan Solat Hajat Selamatkan Tanah Markas PAS & PASTI As-Solihin

PAS Merlimau hari ini telah mengadakan majlis Solat Hajat untuk menyelamatkan tanah Markas Pas dan PASTI As-Solihin, Merlimau dari dirampas oleh Kerajaan Negeri Melaka di bawah Seksyen 3 (1) (a) Akta Pengambilan Tanah 1960.

Majlis Solat Hajat berkenaan telah diadakan sempena sambutan Majlis Jamuan Hari Raya peringkat Majlis Tindakan DUN Merlimau di perkarangan PASTI As-Solihin Merlimau.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Bekas Yang Dipertua PAS Kawasan Jasin, Tn Hj Major Jasme Tompang yang di dalam ucapannya telah melahirkan rasa dukacita di atas tindakan kerajaan negeri yang sentiasa mencari jalan untuk mengkucar-kacirkan dan memusnahkan markas-markas PAS di dalam negeri ini.

Tanah tersebut telah dibersihkan dan dibangunkan dari hutan belantara sewaktu beliau memimpin PAS Kawasan Jasin, tetapi akibat daripada kerakusan pihak tertentu, tanah tersebut kini hendak diambil alih oleh Kerajaan Negeri dengan sebegitu mudah.

Sementara itu, Yang Dipertua PAS Jasin yang baru, Ustaz Kamaruddin Sidek (gambar) turut menyelar tindakan kerajaan negeri Melaka yang cuba menggunakan kuasa di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960 untuk merampas tanah markas PAS.

Beliau mengimbau sejarah pengambilan Madrasah Al Falah Kuala Sungai Baru pada tahun 1993/94 dimana selepas pengambil-alihan tersebut, madrasah yang di satu ketika menjadi kebanggaan Parti Islam SeMalaysia akhirnya bertukar entiti dan identiti sebagai sekolah bantuan kerajaan yang sudah tidak lagi mempunyai "roh" perjuangan untuk mendaulatkan Islam.

Semalam, blog ini menyiarkan berita dari akhbar tabloid tindakan Kerajaan Negeri mahu mengambil tanah Markas Pas As-Solihin, Merlimau, di bawah Seksyen 3 (1) (a) Akta Pengambilan Tanah 1960 telah mendapat bantahan daripada pelbagai pihak termasuk pemilik tanah berkenaan.

Pemilik, Miah Jani, 74, yang berkata, beliau membantah tindakan itu kerana mendakwa bersusah payah membelinya tetapi dengan tiba-tiba ingin diambil alih Kerajaan Negeri.

Menurutnya, bukan mudah untuknya memiliki tanah itu yang kini didirikan Markas Pas dan juga Sekolah Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) As-Solihin.

“Saya beli dengan bersusah payah dan rancang nak bangunkan, tapi tiba-tiba dirampas pula, tanah ini bukan tanah terbiar.

“Sejak awal sudah ada Pasti As-Solihin dan diimarahkan dengan pelbagai program Pas untuk hidupkan aktiviti masyarakat di sini, saya tidak reda dengan tindakan ini,” katanya.

Sementara itu, suaminya, Abdullah Mohamad, 76, beliau sekeluarga memberi kebenaran tanah itu dijadikan Markas Pas dan Pasti sejak1996 termasuk segala aktiviti yang berkaitannya.

“Saya bantah dan tak setuju kerana saya sudah rancang dengan pemaju untuk bangunkan tanah ini bagi projek perumahan yang sedang dijalankan,” katanya.

Ini adalah pengambilan kali kedua Markas Pas Kawasan di Melaka di bawah akta sama dengan menggunakan alasan ingin membina sekolah tahfiz al-Quran. Manakala bagi pengambilan tanah Markas Pas Bukit Katil sebelum ini, bertujuan membina jalan raya.

Makkal Sakhti Terbelah Dua?

Makkal Sakti: Vathemurthy serah surat mahu sertai Pakatan, Muhyiddin pula rasmi AGM

KUALA LUMPUR, 18 Sept — A. Vathemurthy, pemangku presiden salah satu kumpulan yang bersaing mahu menguasai Parti Makkal Sakti, hari ini menyerahkan permohonan mahu menyertai Pakatan Rakyat.

Permohonan dikemukakan kepada Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Kota Baru pagi ini.

“Vathemurthy, pemangku presiden Makkal Sakti menyerahkan surat permohonan kepada YAB Tuan Guru mewakili ahli-ahli partinya untuk menjadi komponen Pakatan Rakyat.

“Pertemuan berlangsung di Pejabat Menteri Besar Kelantan sebentar tadi,” kata Nik Aziz menerusi laman sosial Facebook tengah hari ini.

Di ibu negara, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pula merasmikan konvensyen Makkal Sakti yang diketuai oleh presiden pertamanya Datuk RS Thanenthiran.

Konvensyen itu berlangsung di PWTC.

Ia bukan komponen Barisan Nasional (BN) tetapi satu lagi kumpulan saingan telah melahirkan hasrat mahu menyertai perikatan tersebut.

Parti itu yang ditubuhkan oleh beberapa bekas pemimpin Hindraf, yang telah diharamkan, dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 10 Oktober 2009.

Bagaimanapun hanya dua bulan selepas pelancarannya ia berhadapan dengan krisis dengan masing-masing Thanenthiran dan Vathemurthy bersaing menguasai kepimpinan parti.

Ketika itu Vathemurthy merupakan timbalannya dan membawa undi tidak percaya ke atas Thanenthiran yang didakwa menguruskan parti sebagai diktator. -TMI

Nik Aziz harap kaum India kekal bersama Pakatan

KOTA BHARU, 18 Sept: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berharap kaum India terus kekal bersama Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 nanti.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan menyatakan demikian sebagai respons kepada surat permohonan Makkal Sakti untuk menjadi komponen Pakatan Rakyat.

Pemangku Presiden Makkal Sakti, A Vathemurthy, menyerahkan surat permohonan itu kepada beliau di Pejabat Menteri Besar, Kota Darulnaim di sini, pagi tadi.

“Semoga sokongan kaum India terus kekal bersama Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum yang akan datang, insya Allah,” katanya.

Sementara itu, Tuan Guru Nik Abdul Aziz turut menyampaikan sijil kepada wakil pelajar cemerlang sempena Majlis Sambutan 100 tahun Peranakan India Kelantan di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik), semalam. -HD



Isu Kewarganegaraan Untuk Bangla: Tubuh Suruhanjaya Siasatan Untuk Siasat SPR

Bangladesh dakwa diberi kerakyatan mudah M'sia

Laman web Biro Hal Ehwal NGO pejabat Perdana Menteri Bangladesh Sheikh Hasina hari ini menyiarkan laporan dengan memetik sumber yang mendakwa bahawa pekerja Bangladesh di Malaysia diberi kewarganegaraan dengan mudah asalkan mengundi parti yang mewakili kerajaan pemerintah.

Pejabat Perdana Menteri Bangladesh itu dikatakan telah menerima pengesahan daripada sebilangan pekerja Bangladesh dalam beberapa sektor di Malaysia bahawa mereka diberi taraf kewarganegaraan sejak tahun lepas, lapor Bernama.

Menurut laman web itu, Hasina telah bertemu dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan menurut sumber dengan kedudukan yang tinggi mendakwa Najib memberi jaminan menimbang isu itu ketika beliau (Hasina) berada di Malaysia untuk menghadiri Forum Dunia 66 Ekonomi Islam di Kuala Lumpur pada bulan Mei 2010.

Sementara itu, agensi berita nasional itu juga melaporkan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan dakwaan itu.

Sambil menolak dakwaan bahawa golongan itu juga diberi hak mengundi pada pilihan raya di Malaysia, Muhyiddin berkata kerajaan tidak perlu berbuat demikian apatah lagi jika ia dikaitkan dengan proses pilihan raya.

Katanya kerajaan tidak begitu terdesak sehingga perlu memberikan taraf kewarganegaraan semata-mata untuk meraih undi dan memastikan kemenangan pada pilihan raya akan datang.

"Kita boleh minta penjelasan dari pihak Bangladesh apakah benar kenyataan itu dibuat oleh Perdana Menteri kerana dari segi soal kerajaan kita tidak buat begitu. Seseorang yang hendak jadi warganegara perlu melalui pelbagai proses, tempoh masa berapa lama dah berada di sini, sama ada dia betul-betul tahu keadaan di sini dan sebagainya sebagaimana yang biasa kita lakukan.

"Tidak ada kita bagi keistimewaan kepada warga Bangladesh. Apatah lagi dikaitkan dengan pilihan raya. Macam kita ini terdesak sangat nak minta orang seperti itu didaftarkan jadi warganegara dan nak suruh dia pergi undi. Kalaupun undi, dia masuk tong dan kita tak tau dia undi siapa pun," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Nasional Parti Makkal Sakti Malaysia
2011 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur, hari ini.

Justeru, Muhyiddin berkata beliau akan meminta pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Bangladesh menyemak perkara berkenaan sama ada ia benar atau tidak, lapor Bernama lagi.-mk


Pengakuan PM Bangladesh Bukti Wujud Penyelewengan Dalam Pentadbiran Najib


Pengakuan Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina Wajed mengenai rakyatnya di Malaysia, mudah memperoleh status penduduk tetap (PR) dan layak mengundi dipersoalkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata, perkara itu adalah sesuatu yang serius selain memperlihatkan tindakan pentadbiran perdana menteri menyalahgunakan kuasa sedia ada dengan sewenang-wenangnya memberi kerakyatan kepada warga asing demi kelangsungan politik sempit mereka.

"Ini isu nasional, bagaimana mungkin dalam sebuah negara yang kononnya cekap dan canggih dengan kemudahannya boleh mengizinkan pemansuhan terang-terangan, saya mengikuti web site yang mendedahkan Perdana Menteri Bangladesh bahawa ramai rakyatnya diizinkan untuk mengundi di Malaysia, saya minta pengesahan lanjut kerana ia adalah pengesahan yang sah dari laman web kementerian Bangladesh" katanya pada satu sidang media di sini hari ini.

Dalam laporan dibawa oleh Keadilan Daily semalam, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Fuziah Salleh mendesak siasatan dibuat terhadap pengakuan Perdana Menteri Bangladesh Sheikh Hasina Wajed mengenai rakyatnya yang bekerja di Malaysia mudah memperoleh status kewarganegaraan dan layak mengundi.

“Kita desak tubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat kenyataan Perdana Menteri Bangladesh berkenaan perkara ini. Jika perkara ini berlaku, Najib perlu bertanggungjawab dan berani tampil memberikan penjelasan,” kata Fuziah yang juha Ahli Parlimen Kuantan memetik pengakuan Sheikh Hasina, yang dipetik dari www.ngoab.gov.bd — laman rasmi hal ehwal badan bukan kerajaan (NGO) Jabatan Perdana Menteri negara itu.

Maklumat laman itu mendakwa Sheikh Hasina berkata pekerja-pekerja Bangladesh di Malaysia diberi kewarganegaraan dengan mudah asalkan mengundi parti yang mewakili kerajaan pemerintah.

Beliau juga mengesahkan sebilangan pekerja Bangladesh dalam beberapa sektor di Malaysia, diberi taraf kewarganegaraan sejak tahun lalu.

Katanya, mereka juga diberi hak sebagai pengundi dalam pilihan raya umum akan datang.

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein memberitahu bahawa dakwaan warga asing diberikan kerakyatan adalah tidak benar dan perkara itu akan ditangani oleh jawatankuasa pilihan khas Parlimen yang bakal meneliti pembaharuan pilihan raya.

Jawatankuasa itu akan dibentuk apabila Parlimen bersidang awal bulan depan.

Kesal dengan situasi ini, Anwar menyifatkan apa yang dilakukan oleh kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebagai sesuatu yang aneh dengan memperjudikan negara apabila bertindak sembrono memberi hak kepada warga asing sebagai pengundi.

"Di Malaysia ini masih ramai, susah payah kita berkempen, perlu adakan pendaftaran dicampur pula dengan karenah pentadbiran yang mempersulitkan urusan pendaftaran kita, tetapi dengan mudah mereka memberi hak kepada warga Bangladesh," tambahnya. -tvsnews




Gempar 7 Sejadah Sujud

Jertih - Orang ramai dan kakitangan Hospital Daerah Besut gempar apabila sejadah di ruang solat surau hospital berkenaan berada dalam kedudukan ‘berdiri’ dan sujud, semalam.

Kejadian tersebut mula disedari seorang pelawat ke hospital berkenaan yang ingin mengerjakan solat Subuh kira-kira jam 6.30 pagi sebelum memaklumkan kepada orang ramai.

Tinjauan Sinar Harian ke lokasi kejadian pagi semalam mendapati terdapat sehelai sejadah berdiri paling hadapan seolah-olah bertindak sebagai ‘imam’ manakala enam lagi berada dalam kedudukan dua barisan belakang seperti berada dalam keadaan bersembahyang.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada sejadah berdiri dan sujud itu berlaku sendiri ataupun dilakukan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab bagi menarik perhatian orang ramai.

Seorang wanita yang menjaga keluarga di hospital berkenaan berkata, dia mendirikan solat Subuh di ruang solat wanita bersebelahan dengan tempat kejadian iaitu di ruang solat lelaki.

Dia yang enggan namanya disiarkan berkata, dia terserempak dengan dua lelaki berperwatakan lembut di kawasan surau berkenaan pada waktu berkenaan dan mereka membawa pelbagai peralatan solekan.

Bagaimanapun, dia tidak nampak lelaki berkenaan masuk ke surau sebelum kejadian itu disedari.

Sementara itu, orang ramai yang datang menyaksikan kejadian itu percaya ia perbuatan mereka tidak bertanggungjawab yang sengaja mahu menggemparkan orang ramai.

Namun, mereka terpegun kerana usaha meniru mendirikan sejadah berkenaan seperti yang dilakukan gagal kerana ia sukar dilakukan.

Sebelum itu, beberapa kejadian serupa telah berlaku di beberapa negeri lain termasuk Kelantan namun banyak pihak meraguinya.

Ulasan GB

Wallahu 'alam bissawab.

PAS Pusat Perlu Panggil Hassan Ali

Tauliah pada ahli politik, Hasan Ali bincang dengan MAIS

Exco Agama Selangor Datuk Dr Hasan Ali berkata beliau akan berbincang dengan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) berhubung pemberian tauliah kepada ahli politik.

Katanya, ini kerana bukan semua ahli politik berceramah atau memberi kuliah di masjid atau surau "bersyarah tentang parti politik".

"Saya tahu, Datuk Dr Harun Din, Datuk Ismail Kamus sudah berpuluh-puluh tahun berdakwah, tidak sedikitpun menyentuh mana-mana parti politik, atau mempolitikkan majlis yang dikhususkan kepada mereka," katanya dalam sidang media di kediamannya hari ini.

Malah, katanya, ada sesetengah daripada mereka yang memberi ceramah mengenai tafsir al-Quran, mengenai tajwid atau akidah Islam yang mempunyai "akar umbinya" tersendiri.

"Kadang-kadang mereka bersyarah dengan bertalaqqi, ertinya berguru dan berkitab, dengan guru yang ditetapkan, yang diadakan setiap minggu, setiap bulan.

"Kalau kita potong ini atas dasar dia ahli politik, maka sudah tentulah akan menimbulkan kegusaran masyarakat.

"Sebagaimana yang kita tahu, Islam semakin dipinggirkan. Dengan kita meniadakan orang-orang yang jujur, ikhlas bekerja dengan Allah SWT, kita rasa gersanglah Islam di Selangor ini," katanya.

Sehubungan itu, beliau akan bertemu dengan Pengarah MAIS, Datuk Setia Mohamad Adzib Mohd Isa untuk membincangkan cadangan beliau itu sebelum ia dimajukan kepada pihak Istana untuk mempertimbangkan.

Beberapa hari lalu, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor Marzuki Hussein berkata pihaknya tidak akan dilanjutkan tempoh pemberian tauliah mengajar Islam di masjid atau surau kepada ahli politik.

Bahkan sebelum itu, MAIS juga mengeluarkan arahan tidak membenarkan ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad memberi kuliah selaras dengan perkenan Tuanku Sultan Selangor yang tidak mahu mana-mana ahli politik berceramah di masjid dan surau di negeri itu.

Mengulas lanjut, Hasan yang juga ahli jawatankuasa PAS Pusat berkata, pada dasarnya beliau bersetuju dengan cadangan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) itu.

"Pada umumnya, saya menyokong tindakan untuk tidak mempolitikkan institusi masjid dan surau.

"Mempolitikkan ertinya mempolitikkan parti... Itu saya tidak setuju kerana akan menimbulkan masalah.


"Jika dibiarkan akan pecah belahkan masyarakat," katanya.

Mengulas mengenai penyiasatan JAIS terhadap gereja Mothodist Damansara Utama (DUMC), Hasan berkata beliau diberitahu "kemungkinan" laporan siasatan penuh telah dihantar kepada Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim yang baru pulang daripada Jerman.

Katanya lagi, menteri besar akan meneliti laporan tersebut dan mungkin akan dibawa dalam mesyuarat exco sebelum dimajukan kepada Istana untuk pertimbangan.

"Apapun, saya masih bertegas dalam hal-hal (mengenai) kristianisasi atau (penyebaran) dakyah Kristian terhadap orang Islam.

"Saya akan berada di barisan hadapan untuk pertahankan kesucian Islam dan akidah umatnya," katanya.

Sehingga kini larangan menutup mulut bagi mengulas pemeriksaan JAIS itu masih lagi berkuatkuasa dan beliau enggan mengulas lanjut berhubung perkara tersebut.-mk

Halang bercakap agama tak masuk akal

KLANG, 18 Sept: "Menghalang ahli politik ataupun mereka yang dipilih oleh rakyat bercakap dan menyampaikan maklumat tentang agama adalah satu perkara yang tidak masuk akal, malah saya tidak setuju langsung," jelas Ahli Dewan Undangan Negeri Meru (Adun), Dr Abd Rani Othman.

Beliau yang telah ditarik balik tauliah mengajar oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) sebelum ini menyuarakan ketidakpuashatiannya terhadap Jais kerana ingin menyekat aktiviti dakwa di kalangan pemimpin dari PAS.

"Pentauliahan ini diwujudkan adalah kerana ini mengelak daripada berlakunya penyebaran ajaran sesat oleh mereka yang kita tidak kenali tetapi apa yang berlaku sekarang adalah sebaliknya.

"Kita melihat ramai ahli politik yang mempunyai sijil-sijil agama yang diiktiraf sama ada di dalam mahupun di luar negara dan kebanyakan darinya telah mendapat pengiktirafan dari Arab dan juga Mesir.

"Jadi isu ajaran sesat tidak timbul, malah menghalang mereka-mereka ini dari menyampaikan sesuatu kebaikan adalah bertentangan dengan apa yang Islam kehendaki," jelasnya.

Dr Rani memberitahu sebelum ini pemimpin Umno bebas melakukan apa sahaja termasuk menyampaikan dakwah di surau-surau mahupun masjid.

"Kalau dulu pemimpin-pemimpin Umno bebas melakukan apa saja yang mereka mahu termasuk menyampaikan tazkirah di dalam surau mahupun masjid malah bermacam-macam perkara mereka lakukan.

"Sepanjang itu jugalah kita melihat tidak pernah ada pentaulihan diberikan malah JAIS hanya berdiam diri dan yang paling mendukacitakan Jais juga turun sama dalam program yang dianjurkan oleh Umno itu.

"Dulu tak pernah wujud seperti ini tetapi sekarang macam-macam halangan ada. Kita tidak bebas lagi hendak menyampaikan dakwah malah setiap pergerakan kita dipantau,"
sambungnya lagi.

Tambah beliau lagi, walaupun tauliahnya telah ditarik balik aktiviti dakwahnya tetap diteruskan.

"Saya akan tetap berdakwah walaupun tidak diberi tauliah oleh Jais, jika sebelum saya menjadi Adun saya bebas melakukan dakwah atas sebab apa saya hendak hentikannya.

"Jika ada pihak mengatakan isi penyampaian dakwah saya ada yang salah sila buktikan kesalahan itu dan setiap tuduhan perlu ada bukti yang kukuh bukannya sekadar cakap kosong,"
katanya lagi.

Beliau yang telah menyampaikan Khutbah Jumaat di Surau Nurus Saadah Taman Meru 4 kelmarin, memberitahu apa yang beliau sampaikan dalam khutbah adalah mengikut teks yang telah diberikan oleh Jais tanpa ada sebarang penambahan mahupun kekurang.

"Jika membaca teks yang diberi oleh Jais sewaktu khutbah juga dianggap salah, ini adalah satu tindakan yang keterlaluan serta tidak bertanggungjawab jika ini berlaku jelas wujud tangan ghaib yang ingin menghalang kita dari Pakatan Rakyat terutamanya PAS mendekati rakyat melalui dakwah di setiap surau dan masjid," tegas beliau lagi. -HD


Ulasan GB

Perkataan Hassan Ali ini berbelit-belit.

Pada awalnya beliau menyatakan:

"Kadang-kadang mereka bersyarah dengan bertalaqqi, ertinya berguru dan berkitab, dengan guru yang ditetapkan, yang diadakan setiap minggu, setiap bulan.

"Kalau kita potong ini atas dasar dia ahli politik, maka sudah tentulah akan menimbulkan kegusaran masyarakat.

"Sebagaimana yang kita tahu, Islam semakin dipinggirkan. Dengan kita meniadakan orang-orang yang jujur, ikhlas bekerja dengan Allah SWT, kita rasa gersanglah Islam di Selangor ini,"


Kemudian beliau berkata:

Mengulas lanjut, Hasan yang juga ahli jawatankuasa PAS Pusat berkata, pada dasarnya beliau bersetuju dengan cadangan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) itu.

"Pada umumnya, saya menyokong tindakan untuk tidak mempolitikkan institusi masjid dan surau.

"Mempolitikkan ertinya mempolitikkan parti... Itu saya tidak setuju kerana akan menimbulkan masalah.


Ini bererti beliau (Hassan Ali) turut MENYOKONG tindakan JAIS/MAIS yang menghalang orang politik menyampaikan ceramah/syarahan agama di masjid.

Apakah pendirian Hassan Ali itu selari dengan pendirian PAS?

Pelik.

PAS perlu panggil Hassan Ali untuk memninta penjelasan beliau dan jika perlu tindakan tegas perlu diambil.

Mansuh Satu ISA Hanya Helah Najib Untuk Gubal Dua Lagi 'ISA', Kata Guan Eng

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menegaskan tindakan pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dengan dua undang-undang baru merupakan satu perkembangan yang mengecewakan.

Justeru Guan Eng berkata, inisiatif pembaharuan politik yang diumumkan kelmarin adalah sesuatu yang tidak bermakna jika Najib mahu membuat penjenamaan semula dengan mengadakan undang-undang baru hanya bagi tujuan yang sama.

Ya, sudah pasti ia berita yang baik tetapi jika anda mahu menggantikan dengan dua undang-undang baru, maka ia akan menjadi dua ISA?

“Kami tidak mahu melihat satu situasi di mana anda memasukkan wain yang lama dalam satu botol yang baru,”
kata beliau pada sidang medianya semalam.

Guan Eng yang juga merupakan seorang bekas tahanan ISA sebelum ini berkata, rakyat Malaysia mahukan elemen peruntukan boleh menahan seseorang tanpa perbicaraan dibuang segera daripada mana-mana undang-undang pencegahan yang mahu diadakan.

Beliau yang juga Setiausaha Agung DAP itu menambah, satu tempoh yang pendek boleh dibenarkan bagi penahanan tetapi tahanan mesti dibicarakan di mahkamah.

Dalam perutusan khas sempena Hari Malaysia kelmarin, Najib mengumumkan bahawa ISA akan dimansuhkan dan dua undang-undang baru yang sesuai akan digubal bagi memelihara keamanan, kesejahteraan, kesentosaan serta kerukunan hidup rakyat dan negara.

Kata Najib, dua undang-undang baru itu akan digubal di bawah “semangat serta payung” Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan bagi mencegah perbuatan subversif, keganasan terancang dan perbuatan jenayah.

Perdana Menteri menegaskan bahawa undang-undang baru itu akan memperuntukkan tempoh tahanan polis yang lebih pendek daripada yang dijalankan pada masa ini.

Kerajaan juga menjamin bahawa mana-mana individu tidak akan ditahan semata-mata hanya kerana ideologi politik.

Perdana Menteri turut mengumumkan bahawa kerajaan memansuhkan Akta Buang Negeri 1959 di samping akan mengkaji semula beberapa undang-undang lain bagi memastikan ia memenuhi kehendak semasa.

Kajian semula komprehensif ini akan melibatkan Akta Kediaman Terhad 1933 dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (PPPA) 1984 di mana prinsip pembaharuan tahunan akan dihapuskan dan digantikan dengan pengeluaran lesen sehingga dibatalkan, kata Najib semalam.

Kerajaan juga akan mengkaji semula Seksyen 27 Akta Polis 1967 dengan mengambil kira peruntukan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan tentang kebebasan berhimpun dengan prinsip menentang sekeras-kerasnya demonstrasi jalanan.

Beliau juga berkata kebenaran berhimpun akan diberi selaras dengan kaedah-kaedah yang akan ditetapkan kelak dengan mengambil kira norma-norma di peringkat antarabangsa.

Mengulas lanjut perkara tersebut Guan Eng berkata, Putrajaya seharusnya memansuhkan undang-undang berkaitan media selari dengan usaha memansuhkan ISA.

“Saya juga mangsa PPPA . . . saya ditahan selama 18 bulan,” kata beliau.

Beliau juga membidas pemimpin parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) seperti MCA, Gerakan dan MIC kerana menyokong pembaharuan yang diumumkan oleh Najib kerana sebelum ini mereka jugalah yang menyokong penuh tindakan kerajaan mengenakan ISA.

“Sekarang, mereka cuba untuk mengambil kredit dengan pengumuman Najib,
” ujarnya lagi.

Sehubungan itu, Guan Eng berkata rakyat Malaysialah yang seharusnya diberikan pujian atas pengumuman Najib itu, yang dilihat sebagai hasil perubahan landskap politik menerusi pilihan raya umum 2008.

Pilihan raya umum 2008 menyaksikan tsunami politik dengan majoriti dua pertiga BN di Parlimen dinafikan dan lima negeri dikuasai komponen Pakatan Rakyat
.

“Mereka menyokong pembangkang yang berjuang untuk kebebasan yang lebih luas. Ia juga kesan kebangkitan di negara-negara Arab . . . jadi kerajaan-kerajaan, diktator-diktator jatuh pada era moden ini, ia tidak lagi berfungsi lain,” tambahnya.

Penduduk Gempar, 300 MyKad, Kad Bank, Lesen Memandu Ditemui Berterabur

Alor Setar: Penduduk Kampung Seberang Pumpong, di sini, menemui hampir 300 keping MyKad, MyKid, lesen memandu, kad bank, kad kredit dan pelbagai jenis kad yang bertaburan di dalam tali air dan tepi jalan masuk ke kampung berkenaan berhampiran Kompleks Sukan, Jalan Suka Menanti, di sini, semalam.

Beberapa penduduk yang melalui jalan itu membuat laporan polis pada jam 9.30 pagi selepas pelik melihat ratusan dokumen penting milik pelbagai individu itu dibuang begitu saja di sepanjang laluan sepanjang 200 meter itu.

Seorang penduduk berkata, dia menemuinya ketika dalam perjalanan pulang ke rumah di kampung berkenaan petang kelmarin sebelum memberitahu rakannya.

Dia yang enggan dikenali berkata, dia terkejut melihat banyak MyKad dan lesen memandu milik bertaburan di tepi jalan dan tebing tali air berkenaan.

“Petang semalam (kelmarin) air pasang dan tali air itu dalam. Namun apabila air surut pagi ini (semalam), lebih banyak dokumen penting itu dijumpai. Ia seolah-olah dibuang dalam keadaan tergesa-gesa.

“Saya tidak berani mengambilnya lalu pulang ke rumah sebelum memberitahu rakan. Hari ini (semalam) baru kami pergi membuat laporan polis,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.

Tinjauan Metro Ahad semalam mendapati, selain dokumen penting itu, turut dijumpai ialah pelbagai jenis kad termasuk kad kesihatan, kad beli-belah, slip transaksi bank dan buku akaun bank.

Tinjauan juga mendapati pemilik MyKad dan lesen memandu terbabit kebanyakannya beralamat di sekitar bandar raya ini, Jitra dan Yan. Selain itu ada yang beralamat di Pulau Pinang, Perlis dan Langkawi.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintendan Baharom Abu berkata, 298 keping dokumen pelbagai jenis itu ditemui di sepanjang tali air dan jalan di kawasan itu.

Beliau berkata, jumlah itu membabitkan 102 keping MyKad; 126 lesen memandu; 51 kad bank dan 19 keping pelbagai kad, termasuk MyKid.

“Kita percaya ia perbuatan individu atau kumpulan tertentu yang melakukan jenayah seperti ragut, pecah kereta dan pecah rumah sebelum membuang dokumen milik mangsa di kawasan itu,” katanya.

Katanya, selain di negeri ini, ada pemilik MyKad dan lesen memandu itu beralamat di Pulang Pinang dan Perlis.

Baharom berkata, pihaknya sudah mengumpul semua dokumen itu dan akan mengesan pemiliknya bagi mengetahui bagaimana mereka kehilangan MyKad atau lesen memandu itu.

“Dari situ kita boleh mengetahui mereka mungkin menjadi perbuatan jenayah atau sebaliknya,” katanya. -hm

Bentuk Segera J/K Khas Parlimen Untuk Hak Asasi Manusia - SUHAKAM

Pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak digesa agar menubuhkan satu jawatankuasa pilihan khas Parlimen mengenai hak asasi manusia bagi memperkukuhkan proses demokrasi berparlimen.

Pengerusinya Tan Sri Hasmy Agam (gambar) berkata, jawatankuasa itu perlu agar ia selari dengan beberapa inisiatif pembaharuan politik yang diumumkan Najib kelmarin.

Malah ujarnya, Suhakam turut mengharapkan komitmen berterusan Putrajaya dan tanpa henti ke arah perlindungan dan promosi hak asasi rakyat, yang sememangnya menjadi tanggungjawab kerajaan.

Sehubungan itu kata Hasmy, suruhanjaya berpuas hati dengan langkah terkini yang diambil oleh kerajaan ekoran keputusan untuk melupuskan Ordinan Darurat, Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan undang-undang terhad yang lain yang telah lama dituntut dan dinanti-nantikan rakyat, dan telah digesa secara berterusan pihaknya sejak lebih 10 tahun lalu.

“Pengumuman yang amat dialu-alukan ini tiba tepat pada masanya untuk semua rakyat Malaysia meraikan Hari Malaysia dan merupakan langkah positif ke arah peningkatan keseluruhan keadaan hak asasi manusia di negara ini," kata beliau dalam satu kenyataan.

Hasmy berkata Suhakam berharap pengumuman semalam akan dapat dilaksanakan secepat mungkin, dan dengan itu mengarak ke satu era baru untuk Malaysia dalam ia melangkah ke arah menjadi sebuah negara maju pada 2020 dan meletakkan ia di kalangan barisan negara-negara yang menghormati, melindungi dan mempromosi segala aspek hak asasi manusia secara bersungguh-sungguh dan konsisten.

“Selaras dengan hala tuju baru bagi negara ini, berdasarkan pengiktirafan realiti masa dan keperluan, aspirasi dan kebijaksanaan rakyat, Suhakam amatlah berharap agar Kerajaan akan mengadakan usaha baru yang lebih fokus ke arah penyertaan kepada instrumen-instrumen teras hak asasi manusia, yang mana Malaysia telah hanya ratifikasi tiga, dengan reservasi,” kata beliau.

Katanya, dalam menggubal mana-mana undang-undang baru dan perlu yang berkaitan dengan keselamatan negara, Suhakam juga mahu kerajaan agar memastikan undang-undang ini bukan sahaja mematuhi Perlembagaan Persekutuan tetapi juga prinsip-prinsip dan norma-norma hak asasi manusia antarabangsa, khususnya sebagaimana yang termaktub dalam Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat, yang Malaysia berkewajipan untuk menegakkannya sebagai anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Majlis Hak Asasi Manusia.

Dalam perutusan khas sempena Hari Malaysia kelmarin, Najib mengumumkan bahawa ISA akan dimansuhkan dan dua undang-undang baru yang sesuai akan digubal bagi memelihara keamanan, kesejahteraan, kesentosaan serta kerukunan hidup rakyat dan negara.

Katanya, dua undang-undang baru akan digubal di bawah “semangat serta payung” Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan bagi mencegah perbuatan subversif, keganasan terancang dan perbuatan jenayah.

Perdana Menteri menegaskan bahawa undang-undang baru itu akan memperuntukkan tempoh tahanan polis yang lebih pendek daripada yang dijalankan pada masa ini.

Kerajaan juga menjamin bahawa mana-mana individu tidak akan ditahan semata-mata hanya kerana ideologi politik.

Perdana Menteri turut mengumumkan bahawa kerajaan memansuhkan Akta Buang Negeri 1959 di samping akan mengkaji semula beberapa undang-undang lain bagi memastikan ia memenuhi kehendak semasa.

Kajian semula komprehensif ini akan melibatkan Akta Kediaman Terhad 1933 dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 di mana prinsip pembaharuan tahunan akan dihapuskan dan digantikan dengan pengeluaran lesen sehingga dibatalkan.

Kerajaan juga akan mengkaji semula Seksyen 27 Akta Polis 1967 dengan mengambil kira peruntukan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan tentang kebebasan berhimpun dengan prinsip menentang sekeras-kerasnya demonstrasi jalanan.

Beliau juga berkata kebenaran berhimpun akan diberi selaras dengan kaedah-kaedah yang akan ditetapkan kelak dengan mengambil kira norma-norma di peringkat antarabangsa.



Lelaki Bertelanjang Laku Aksi Pelik Ditangkap

Seorang pemuda disyaki warga Indonesia diberkas penduduk selepas berkeliaran dalam keadaan berbogel di Flat Pinggiran Batu Caves, Selayang di sini awal pagi semalam.Penduduk mengawasi lelaki disyaki pengamal ilmu hitam yang ditahan di flat Pinggiran Batu Caves, Selayang, Selangor semalam.

Sebelum diberkas pada pukul 2.30 pagi, lelaki berumur lingkungan 20-an itu dikatakan berjalan-jalan di aras bawah sebuah bangunan flat lima tingkat di kawasan berkenaan.

Seorang suri rumah, Norlida Hassan, 42, yang tinggal di aras tersebut dikatakan terkejut sebaik sahaja melihat suspek dalam keadaan berbogel ala Orang Minyak itu tiba-tiba bersilat di hadapan rumahnya.

Wanita itu kemudian menjerit meminta tolong malangnya suspek tidak berganjak dari muka pintu.

"Saya sudah tidur tetapi tersedar selepas terdengar bunyi nafas orang yang kuat di luar bilik.

"Apabila saya intai menerusi tingkap, saya terkejut melihat lelaki itu sedang melakukan aksi pelik. Saya menyergahnya tetapi dia tak berganjak.

"Saya buka pintu rumah untuk menghalaunya tetapi dia buka jurus pencak silat menyebabkan saya naik takut," ceritanya.

Oleh kerana takut, dia kemudian mengejutkan suaminya Ahmad Hashim, 42, untuk menghalau lelaki itu.

Difahamkan, suspek bukan merupakan penduduk kawasan berkenaan.

Seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Zakaria, 46, pula berkata, suspek yang panik itu bertindak melarikan diri.

"Dua penduduk termasuk jiran mangsa bertindak mengejar lelaki itu dan dia dapat diberkas kira-kira 20 minit kemudian.

[Video] Tiga Rakyat Malaysia Terbunuh Dalam Letupan Bom Di Sungai Golok

Tiga rakyat Malaysian termasuk seorang kanak-kanak berusia tiga tahun terbunuh dan sekurang-kurangnya 50 yang lain cedera dalam tiga letupan di bandar selatan Thailand malam tadi.

Ketiga-tiga letupan itu dilaporkan berlaku di sepanjang Jalan Cheroen Ket, berhampiran sebuah hotel dan pusat kebudayaan.

Letupan pertama terjadi pada pukul 7.30 malam (waktu Malaysia), demikian menurut laporan The Star Online hari ini.

Timbalan Datuk Bandar Sungai Golok Rusdi Che Omar dipetik berkata, mangsa yang terbunuh dikenal pasti sebagai Foong Foo Keah, 45, dari Kuantan, Pahang; Wong Hong Yep, 63, dan cucunya Wong Kai Sien, kedua-duanya dari Jalan Hamzah, Kota Baru.

Seorang rakyat Thailand, yang hanya dikenal pasti sebagai sukarelawan juga terbunuh dalam kejadian itu.

Menurut laporan itu, Wong dan cucunya tiba di Sungai Golok bersama rakannya kelmarin untuk membeli-belah.

Dalam pada itu, laporan New Straits Times Online pula menyebut, bom meletup berhampiran dua hotel iaitu Parkson Hotel dan Merlin Hotel, yang masing-masing terletak dalam jarak 50 meter.

Kedua-dua hotel itu popular di kalangan rakyat Malaysia, katanya.

Ketua Polis Sungai Golok Kol Chakapon Phancon berkata, “situasi sangat kritikal. Kami percaya sejumlah ramai rakyat Malaysia terlibat dalam kejadian ini.”

Katanya, pihak polis percaya letupan adalah kerja kumpulan pemisah.

Kejadian semalam adalah yang pertama di wilayah selatan Thailand yang berhadapan dengan konflik menuntut kemerdekaan.

Sungai Golok terletak kira-kira satu kilometer dari sempadan Malaysia-Thailand.

Ketiga-tiga letupan terjadi antara pukul 7.40 dan 8.20 malam, kata laporan laman web Teak Door.

Kejadian pertama dilaporkan di kawasan bertentangan dengan Teochew Association di Jalan Charoen Khet.

Letupan kedua dilaporkan berlaku 15 minit kemudian dan ketiga sekitar 8.20 malam.

Sejak 2004 hingga bulan lalu lebih 11,000 kes keganasan dilaporkan dengan lebih 4,800 kematian kebanyakannya Muslim.