27 Apr 2010

Keluarga Aminulrashid Curiga Tindakan Polis

Saya tahu siapa anak saya. Saya yang lahirkan dia." Itu keluhan seorang ibu yang meratapi kepergian anaknya berusia 15 tahun yang mati ditembak dari belakang oleh anggota polis.

Kejadian semalam adalah insiden terbaru yang menimbulkan kecurigaan terhadap kewibawaan polis.

Lebih meragukan ialah penjelasan kilas oleh ketua polis negeri yang mendakwa mangsa, Aminulrashid Amzah mungkin penjenayah dan sebilah parang di jumpai dalam kereta mangsa.

Kenyataan itu diberi walaupun belum pun ada siasatan menyeluruh dilakukan dan mengundang satu lagi pusingan kritikan dan tuduhan bahawa pihak polis cuba menutup kesalahan diri.

Genangan air mata ahli keluarga dan sahabat mengiringi jenazah Allahyarham Aminulrashid Amzah untuk dikebumikan di tanah perkuburan Islam Seksyen 21 Shah Alam petang semalam.

Jenazah Allahyarham sebelum itu disembahyangkan di Madrasah Hidayah Seksyen 11 di sini.

Remaja berusia 15 tahun ini mati ditembak polis di Shah Alam awal pagi semalam.

Polis mendakwa kereta yang dipandu oleh Allahyarham cuba merempuh anggota polis peronda dan polis bertindak melepaskan tembakan yang membunuh Aminulrashid.

Namun lain pula gambaran yang diberikan oleh rakan Aminulrashid yang ada bersama Allahyarham dalam kereta semasa kejadian.

Dalam laporan polis ini, kawan yang sebaya dengan Allahyarham menegaskan Aminulrashid dalam ketakutan apabila terlanggar kenderaan lain dan memintas kereta peronda berkenaan.

Setelah dipintas, anggota peronda terus mengejar dan melepas tembakan yang mengena sasaran.

Aminulrashid rebah dalam kereta dengan luka tembakan di belakang kepalanya.

Saksi ini melaporkan beliau kemudian di pukul oleh anggota polis sebelum sempat melepaskan diri. Beliau kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Shah Alam. - TVS


Pimpinan Pakatan Rakyat khususnya pemimpin kerajaan Selangor bertekad untuk memastikan remaja 15 tahun, Aminulrashid yang mati ditembak polis, mendapat pembelaan dan siasatan berwibawa demi menegakkan keadilan.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad antara yang menegur polis kerana membuat dakwaan bahawa mangsa mungkin penjenayah tanpa siasatan menyeluruh atau mengambil kira kesan akibat dakwaan seperti itu.

“Impaknya sangat menyeluruh dan menghasilkan satu persepsi begitu buruk terhadap rakan-rakan sekolah. Aminulrashid seorang pelajar yang baik dan dikenali oleh warga Seksyen 11 dan pelajar Seksyen 7.

"Aminulrashid juga seorang ahli sukan dan dikenali oleh jawatankuasa surau di situ,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Khalid mengingatkan polis betapa kredibiliti Polis Diraja Malaysia Diraja (PDRM) semakin terhakis jika ia tidak memastikan siasatan yang telus dan mengambil tindakan susulan yang tegas.

"Imej polis semakin terjejas dan terhakis hanya kerana ada usaha-usaha hendak selamatkan anggota polis. Jadi saya mendesak satu siasatan bertanggungjawap dan telus dan tiada ada usaha cover up.”

Exco Kerajaan Selangor, Yaakob Sapari pula menyatakan kejadian sedemikian bukan kesilapan pertama yang dilakukan polis dan mereka wajar mengaku membuat kesilapan.

"Polis jangan sesekali menafikan salah laku kesilapan polis," katanya.

Setiausaha Politik Kepada Menteri Besar, Nik Nazmi Nik Ahmad berpendapat penubuhan suruhanjaya diraja perlu bagi mengelakkan kejadian sebegini berulang kepada anak-anak tidak berdosa pada masa depan.

"Kena ada suruhanjaya diraja. Kerajaan pula perlu akur dengan keputusan suruhanjaya diraja. Kita dapati ia tidak akan berlaku sebelum ini hingga mengakibatkan anak-anak yang tak berdosa menjadi mangsa," katanya.

Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam pula mempersoal kekerapan polis yang tiba-tiba memiliki 'bukti' mencurigakan setiap kali kredibiliti pasukan keselamatan itu dipertikai

"Perlu ada badan siasatan bebas dalam kes sebegini," katanya. -TVS


Ulasan GB

GB dah ulas di gb.fm sebentar tadi. Tak mahu dituduh "menghasut", lebih buruk lagi polis boleh menembak GB bila-bila masa, kemudian diletakkan parang di studio GB dan mereka mendakwa sebilah parang ditemui di studio GB. Dan GB mungkin penjenayah, dakwa mereka.

Karpal Singh Bantah Campurtangan Peguam Negara

Karpal Singh, peguam mendiang Teoh Beng Hock mempertikaikan campur tangan pejabat Peguam Negara mengenai perbuatan menghina mahkamah oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohammad Nazri Abdul Aziz dalam inkues hari ini.

Pejabat Peguam Negara diwakili oleh Amerjeet Singh berhubung permohonan yang dibuat oleh keluarga Teoh mendakwa Nazri menghina mahkamah kerana berkata, pakar patologi Thailand, Dr Pornthip Rojanasunand telah berbohong.

Karpal berkata, "Peguam Negara tidak perlu campur tangan secara tiba-tiba dalam perkara ini kerana Nazri menyatakan beliau tidak takut menghadapi sebarang kemungkinan berhubung kenyataannya itu."

"Tindakan tegas harus diambil kerana Nazri menghina mahkamah hingga menyebabkan kes ini tergendala," kata beliau kepada para pemberita di luar mahkamah.

"Saya menentang campur tangan peguam negara dan meminta agar Koroner membatalkan permohonan peguam negara dengan serta merta," katanya lagi.

Menurut Karpal, pertelingkahan yang berlaku di kamar mahkamah antara beliau dan Amerjeet adalah wajar kerana secara tiba-tiba peguam negara menfailkan permohonan itu pada tengahari ini.

Sementara itu, seorang lagi peguam Teoh, Gobind Singh Deo yang turut hadir berkata, "pihak mahkamah mempunyai hak untuk membatalkan permohonan (peguam negara) tersebut yang tidak mengikut prosedur.

Beliau berkata,"saya meminta agar mahkamah menolak permohonan secara tiba-tiba itu dan berharap agar kes Nazri menghina mahkamah akan terus dibicarakan.

"Peguam Negara tidak perlu mempertahankan menteri yang bercakap besar yang kononnya boleh terlepas dari hukuman tentang kelantangannya menuduh Dr Pornthip sebagai ‘pembohong’," tambahnya. -FMT

MCA Hentam Perkasa - Penyebab BN Hilang Undi Cina

MCA menyelar Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Datuk Ibrahim Ali kerana mengeluarkan kenyataan berunsur “perkauman menebal” yang telah menyinggung perasaan kaum Cina.

Naib Presiden MCA Gan Ping Sieu berkata kenyataan anggota Parlimen Pasir Mas itu yang menggesa kerajaan menangguhkan kelulusan peruntukan dan projek kepada kaum Cina, yang Ibrahim anggap sebagai “tidak berterima kasih” dan “tidak menghargai” amat dikesali.

“Kenyataan itu juga berunsur hasutan,”
katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ibrahim membuat kenyataan itu semalam berikutan keputusan pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Hulu Selangor pada Ahad yang menunjukkan sokongan kaum Cina terhadap Barisan Nasional (BN) semakin berkurangan.

Bagaimanapun, Gan menegaskan satu daripada sebab utama BN kehilangan keyakinan kaum Cina adalan berpunca daripada kerjasama sebenar atau tanggapan terhadap kerjasama erat pemimpin BN dengan organisasi “perkauman menebal”.

Beliau juga mendakwa kenyataan berunsur perkauman oleh beberapa pemimpin BN yang dilaporkan secara meluas oleh media turut memberi kesan dalam pilihan raya kecil itu.

Gan berkata jika Barisan Nasional mahu mendapatkan lebih banyak sokongan daripada pengundi bukan Melayu, ia perlu terlebih dahulu menjauhkan diri dengan pertubuhan seperti Perkasa yang cenderung meluahkan kenyataan berunsur perkauman.

Jika tidak, BN menghadapi risiko kehilangan sokongan pengundi bukan Melayu pada pilihan raya umum ke-13 akan datang, kata beliau dipetik Bernama.

“Saya bangga menjadi wakil rakyat yang datang dengan tanggungjawab untuk berkhidmat kepada rakyat. Sebarang kenyataan supaya rakyat berterima kasih dan menghargai merupakan pencabulan terhadap amanah dan keyakinan yang diberikan rakyat.

“Mana-mana ahli politik yang membuat kenyataan berunsur perkauman dalam komuniti mereka sendiri akhirnya akan diketepikan oleh rakyat. Saya pasti jika Ibrahim Ali bertanding sebagai calon di kawasan bukan Melayu, beliau tidak akan mampu dapat 10 peratus pun daripada undi,” katanya. -TMI

Keterangan Dr Vanezis,Dr Pornthip perlu dibanding – Gobind

Pakar patologi British Profesor Dr Peter Vanezis selesai memberi keterangan berhubung kes kematian Teoh Beng Hock hari ini tetapi pihak peguam mewakili keluarga mendiang meragui beberapa keterangan beliau dan akan membandingkan bukti dari pakar patologi Thailand Dr Pornthip Rojanasunand.

Peguam Gobind Singh Deo berkata, kenyataan yang diberikan oleh Peter Vanezis perlu disemak semula bersama bukti yang dikeluarkan oleh Dr Pornthip kerana ia meragukan pihak keluarga mendiang.

"Saya bersama peguam yang lain akan menilai semula kenyataan yang disampaikan oleh Dr Vanezis dengan bukti yang akan dilampirkan oleh Dr Pornthip."Kami peguam perlu memberi kepastian mengenai kenyataan yang dinyatakan oleh Dr Vanezis agar mencapai keputusan terbaik menyelesaikan kes Teoh," katanya.

Menurutnya lagi, kesimpulan yang diberikan oleh Dr Vanezis merupakan tafsiran daripada seorang individu dan perlu ada penilaian daripada pihak lain agar dapat dibandingkan.

Pakar patologi British itu semalam telah membuat laporan di balai polis Shah Alam jam 11.00 malam tadi susulan menerima emel ugutan daripada pihak yang tidak bertanggungjawab mengugut membunuh beliau dan keluarga.

Dr Vanezis menyatakan emel yang diterima membuatkan beliau dan seluruh keluarga terancam dan meminta agar perkara sedemikian tidak akan berlarutan.

Dr Vanezis dilantik oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) manakala Dr Pornthip dilantik oleh kerajaan negeri Selangor, bagi menjalankan bedah siasat kedua ke atas mayat Teoh yang digali semula dari kubur pada November tahun lepas.

Dr Vanezis mula memberi keterangan dalam inkues kematian Teoh semalam dan selesai sepenuhnya tengahari ini.

Pada 17 Julai tahun lepas, Teoh ditemui mati di koridor di tingkat lima Plaza Masalam di Shah Alam selepas disoal siasat oleh SPRM Selangor di pejabat suruhanjaya itu berhubung dakwaan penyelewengan dana kerajaan negeri.


Ugutan Ke atas Dr Peter Vanezis, Polis Harus Siasat Emel

SHAH ALAM 27 APR: Peguam yang mewakili keluarga mendiang Teoh Beng Hock, Gobind Singh Deo mendesak polis menjalankan siasatan terhadap emel berbaur ugutan yang diterima pakar forensik british, Professor Dr Peter Vanezis.

Beliau berkata bukan sahaja Dr Vanezis bahkan, pakar patologi Thailand Dr Pornthip Rojanasunand yang mewakili keluarga Beng Hock turut menerima ugutan sedemikian sehingga beliau enggan datang ke Malaysia untuk memberi keterangan.

Vanezis menerima ugutan itu selepas memberikan keterangan untuk kali pertama dalam Inkues Menyiasat Punca Kematian Beng Hock.

Vanezis kemudian membuat laporan di balai polis Seksyen 11, Shah Alam malam tadi kerana bimbang akan keselamatannya.

Ketua Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Abdul Razak Musa memaklumkan ugutan itu kepada inkues yang disambung hari ini.

Sudah Tiba Masanya Saya Sokong Pakatan Rakyat - Tamrin Ghafar

Bekas Exco Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, Thamrin Ghafar menyifatkan sudah tiba masa bagi beliau menyokong Pakatan Rakyat setelah melihat penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa berleluasa yang dilakukan oleh pimpinan Umno dan Barisan Nasional selama lebih 50 tahun mentadbir negara.

Bercakap kepada Suara Keadilan baru-baru ini anak mantan Timbalan Perdana Menteri, Tun Ghafar Baba itu berkata beliau sendiri tidak bersetuju dengan banyak dasar yang dilaksanakan kerajaan Umno-BN yang tidak memberi manfaat kepada rakyat dan negara.

"Saya dah mula sedar bahawa banyak isu yang saya sendiri tidak boleh terima tentang dasar Umno dan Barisan Nasional. Saya rasa sudah sampai masanya saya terpaksa mengubah sikap," kata Thamrin yang juga adalah bekas Pengerusi MARA.

Kehadiran beliau pada dua majlis utama semasa kempen pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor telah mengejutkan penyokong Pakatan Rakyat.

Thamrin pertama kalinya hadir pada majlis Pidato Perdana anjuran Pemuda Pakatan Rakyat di Sg Buaya 24 April lalu dan juga ceramah 'grand finale' di Stadium Mini Kuala Kubu Baharu bersama-sama pimpinan Pakatan Rakyat. -sk

Hulu Selangor : BN Tak Mampu Berbangga

Pakatan Rakyat, yang gagal mempertahankan kerusi Parlimen Hulu Selangor kelmarin, telah mencatatkan peningkatan kelebihan undi membabitkan kawasan Dewan Undangan (DUN) Kuala Kubu Baru, yang majoriti pengundi merupakan masyarakat Cina.

Peningkatan ketara undi itu dikatakan telah menghalang Barisan Nasional (BN) daripada memperoleh majoriti lebih besar.

BN mengharapkan majoriti lebih 6,000 undi.

Calon Pakatan Rakyat Datuk Zaid Ibrahim memperoleh lebih 2,030 undi berbanding calon BN P. Kamalanathan.

Zaid dan Kamalanathan masing-masing menerima 7,194 dan 5,164 undi daripada pengundi bahagian DUN Kuala Kubu Baru.

Dua tahun lalu calon Pakatan Rakyat, Datuk Dr. Zainal Abidin Ahmad hanya mencatatkan lebih 344 undi dari bahagian itu.

Pada 8 Mac 2008 Allahyarham Zainal memperoleh 6,146 undi untuk menewaskan Timbalan Presiden MIC Datuk G. Palanivel yang menerima 5,802 undi.

Kuala Kubu Baru merupakan salah satu daripada tiga kerusi DUN yang terdapat dalam bahagian Parlimen Hulu Selangor yang menyaksikan pilihan raya kecil ekoran kematian Zainal bulan lalu.

Di DUN Kuala Kubu Baru, 45.1 peratus daripada 18,040 pengundi adalah kaum Cina dan diikuti oleh Melayu 30 peratus, India (22 peratus) dan Orang Asli pula 1.7 peratus.

Antara daerah mengundi yang memihak kepada Pakatan Rakyat ialah Kampung Baru Cina, bandar Kuala Kubu Baru sendiri, Kampung Baru Rasa, pekan Rasa, Kampung Baru Batang Kali, Ladang Kerling dan Hulu Yam Lama.

Analisis awal menunjukkan Pakatan Rakyat menerima peningkatan undi daripada masyarakat Cina sehingga menimbulkan persoalan mengapa pengundi kaum ini tidak memberi sokongan kuat kepada BN.

Ekoran situasi itu Perkasa meminta kerajaan pusat BN menangguhkan bantuan dan peruntukan kepada masyarakat Cina.

Peratusan undi kaum Cina di Hulu Selangor kepada BN dikatakan kurang daripada 30 peratus, lebih kecil berbanding prestasi tahun 2008.


Bagaimanapun BN memenangi bahagian Batang Kali, yang menawarkan 29,026 pengundi, daripada “penguasaan” Pakatan Rakyat dua tahun lalu.

Kali ini calon BN menerima 11,820 undi berbanding Zaid 10,519 yang bersamaan dengan perbezaan 1,301 undi di Batang Kali.

Dua tahun lalu Zainal menguasai undi kawasan DUN Batang Kali dengan menerima 11,407 berbanding Palanivel 9,618 undi. Kelebihan undi Zainal dari kawasan itu ketika itu ialah 1,789 undi.

Seramai 59 peratus pengundi di Batang Kali merupakan orang Melayu, India pula 20 peratus, Cina (19.7 peratus) dan Orang Asli 1.1 peratus).

Bahagian DUN Hulu Bernam yang lazimnya dianggap sebagai kubu sokongan bagi Umno terus memperlihatkan arah aliran undi kepada calon BN.

Hulu Bernam menyumbangkan undi dari kawasan Felda, antaranya membabitkan daerah mengundi Kampung Sungai Dusun dan Kampung Sungai Tengi Selatan.

Zaid pula memperoleh sokongan daripada pengundi di daerah mengundi Kampung Baharu Kalumpang dan Kampung Hulu Bernam.

Dalam pilihan raya kecil kelmarin, calon BN menerima 7,246 undi di Hulu Bernam berbanding 6,855 undi diterima Palanivel dua tahun lalu, meningkat 391 undi.

Bagaimanapun undi diterima calon Pakatan Rakyat kali menurun 31 undi berbanding 5,470 pada Mac 2008.

Hulu Bernam terdiri daripada 17,434 pengundi dengan 66.4 peratus merupakan pengundi Melayu, Cina (17 peratus), India (15 peratus) dan Orang Asli pula 0.5 peratus). -TMI


Kemenangan yang tak perlu dibanggakan

Sebaik keputusan pilihan raya kecil parlimen Hulu Selangor diumumkan, kalungan tahniah dan puji-pujian melimpah sesama pemimpin Barisan Nasional. Namun jika diteliti, kemenangan oleh P Kamalanathan itu bukan sesuatu yang membanggakan.

Majoriti yang diperolehinya adalah 1,725 undi dan jika undi pos sebanyak 627 yang terdiri daripada anggota keselamatan yang lazimnya berpihak kepada BN diketepikan, BN cuma mendapat majoriti 1,078.

Jumlah itu agak jauh lebih kecil daripada jumlah undi 6,176 yang dimenangi oleh BN di tiga kerusi dewan undangan negeri yang terletak di parlimen Hulu Selangor pada pilihan raya umum 2008 lalu.

Ini menjelaskan mengapa Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada hari pengundian begitu yakin Kalamanathan mampu menang dengan sekurang-kurangnya majoriti 6,000 undi.

'Undi pecah'

Pada pilihan raya umum yang lalu, pengundi memberikan undi mereka kepada PKR pada peringkat persekutuan tetapi bagi kerusi negeri, mereka memilih BN.

Antara faktor yang mempengaruhi trend pengundian ketika itu adalah kerana rakyat di Hulu Selangor, khususnya masyarakat Melayu dikatakan cukup tidak berpuas hati dengan G Palanivel dari MIC yang memegang kerusi parlimen berkenaan dari 1990 hingga 2008.

Sebelum ini, MIC berkeras mahukan timbalan presiden mereka sekali bertanding di Hulu Selangor, namun akar umbi, Umno menentang keputusan itu.

Tindakan itu menyaksikan BN kali ini meletakkan muka baru dengan mengetengahkan Ketua Penerangan MIC, P Kamalanathan.

Selain calon muka baru, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak juga mengumpan penduduk Hulu Selangor dengan pelbagai janji dan sogokan.

Dua yang paling ketara ialah peruntukkan RM3 juta untuk SRJK (C) Rasa dan RM5 juta sebagai bayaran pampasan peneroka Felda Sungai Buaya. Namun umpan itu dengan syarat jika BN memenangi kerusi Hulu Selangor.


Di sebalik semua itu, BN masih gagal mengubah trend pengundian kerana majoriti yang diperolehi mereka pada Ahad lalu masih kekurangan 4,451 daripada apa yang sepatutnya dikumpul daripada tiga kerusi negeri pada pemilihan 2008.

Majoriti yang dimenangi BN hanya mewakili 3.5 peratus daripada jumlah undi yang dibuang dan dianggap antara yang paling rendah. Lazimnya majoriti BN berlegar melebihi paras 8,000 undi sejak 1990.

Justeru, Hulu Selangor tidak lagi boleh dikatakan kubu kuat BN.

Najib yang menyedari hakikat berkenaan, cuba mengelak soalan wartawan apabila ditanya sama ada keputusan pilihan raya itu adalah bukti rakyat menyokong agenda pembaharuannya.

Sebelum ini, Najib dilaporkan berkata pilihan raya kecil Hulu Selangor adalah medan terbaik sebagai pungutan suara bagi rancangan pembaharuannya termasuk Model Ekonomi Malaysia, gagasan 1Malaysia dan program tranformasi kerajaan.

Melayu sokong BN, Cina undi Pakatan

Bagi tujuan perbandingan, keputusan pilihan raya kecil Hulu Selangor hampir menyerupai keputusan pilihan raya di Bukit Gantang dan Bagan Pinang yang menyaksikan pertambahan undi Melayu untuk BN dan pada masa yang sama peningkatan sokongan masyarakat Cina kepada Pakatan Rakyat.

Ini amat ketara sekali di Hulu Selangor apabila BN menang di semua daerah mengundi yang mempunyai majoriti masyarkat Melayu manakala Pakatan menyapu bersih di kawasan Cina.

Pada pusingan kali ini, dianggarkan BN berjaya menguasai 65 peratus undi Melayu yang sekali gus meranapkan harapan PKR untuk merampas sekurang-kurangnya 40 peratus undi Melayu.

Sebagai rujukan, berikut sampel enam daerah mengundi yang mempunyai majoriti pengundi Melayu: Kpg Soeharto (66.1 peratus mengundi BN), Gedangsa (60.6), Sungai Tengi (68.4), Batang Kali (61), Hulu Kali (62.7) dan Sungai Buaya (73.5).

Menurut laporan akar umbi, insentif kewangan yang ditaburkan oleh Najib dan konco-konco BN serta serangan peribadi ke atas calon PKR, Datuk Zaid Ibrahim, sedikit sebanyak mempengaruhi pengundi Melayu.

Namun umpan dan serangan berkenaan tidak berkesan di kalangan masyarakat Cina seperti yang dilihat pada sampel daerah mengundi yang mempunyai majoriti pengundi Cina.

Sampelnya seperti berikut: Kalumpang (77.2 peratus mengundi PKR), Ulu Yam Timur (71.1), Kerling (68), Kuala Kubu Bharu (78.4), Kampung Baru Batang Kali (80.5), Ulu Yam Lama (71.1) dan Kampung Baru Rasa (82.5).

Sepanjang tempoh berkempen, PKR dan DAP menjaja isu Muhyiddin yang mengakui bahawa dia adalah Melayu terlebih dahulu dan kemudian baru rakyat Malaysia.

Selain itu, kenyataan Datuk Seri Noh Omar yang menggesa masyarakat India dan Cina supaya berterima-kasih kerana diberi taraf warga negara serta isu kematian Teoh Beng Hock terus menjadi modal mereka.

MCA ternyata tidak berdaya menangkis atau mampu memberikan jawapan yang bertenaga tetapi sebaliknya terpaksa membawa Najib datang ke Hulu Selangor untuk menaburkan janji-janji.

Bagi sesetengah penganalisis, pemenang terbesar pada pilihan raya kecil Hulu Selangor ini adalah masyarakat Cina. Ini kerana mereka berjaya menyampaikan mesej secara jelas kepada BN dan pada masa yang sama, menerima habuan ataupun akan menerima ganjaran yang dijanjikan.

Apa seterusnya?

Di kalangan pengundi India, PKR hanya memenangi satu daripada lima daerah mengundi yang mempunyai majoriti pengundi India.

Ada yang berpendapat kegagalan PKR menarik sokongan masyarakat India adalah kerana kerajaan negeri Selangor lembap dalam menagani masalah yang dihadapi oleh komuniti itu.

Kegagalan Pakatan Rakyat mendapatkan sokongan daripada Hindu Rights Action Force (Hindraf) dan Parti Hak Asasi Manusia juga dikatakan membawa padah. -mk


Pemindahan nama pengundi: Zaid patut kalah lebih 5 ribu

Kekalahan PR di Hulu Selangor telah pun diduga dari awal. Sejak pengumuman Pengarah Pilihan raya PKR Fuziah Salleh bahawa Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) telah memindahkan lebih 13,000 nama pengundi berdaftar ke parlimen berhampiran beberapa hari sebelum tarikh membuang undi, kekalahan kepada Pakatan rakyat (PR) jelas terbayang. Namun pimpinan PR meneruskan juga penyertaan dalam pilihanraya itu demi pengundi yang dahagakan perubahan.

Jika dilihat dari keputusan pilihan raya 2008 adalah seimbang, di mana Allahyarham Zainal Abidin menang 198 undi. Bermakna dalam 60,000 pengundi berdaftar di parlimen itu, separuh daripadanya bolehlah dianggap mengundi PR. Dengan itu dari 13,000 pengundi yang dipindahkan itu, tentunya terdapat sekurang-kurangnya 6,000 penyokong PR.

Sebab itu sejak awal lagi TPM Muhyiddin Yassin menetapkan sasaran 6,000 undi majoriti kemenangan BN. Kekalahan Zaid dengan hanya 1,700 undi adalah di luar perancangan mereka. Sepatutnya Zaid kalah 1,700 + 6,000, iaitu 7,700 undi. BN akan memalukan PR dengan kekurangan sokongan yang amat dahsyat, sekaligus menolak keluar Anwar sebagai faktor utama kemenangan PR pada pilihan raya lalu.

Namun kerja keras aktivis PR; ahli PKR, PAS dan DAP di Hulu Selangor berjaya membina momentum kebangkitan rakyat, terutama kepada pengundi Melayu yang sebelum ini padu menyokong BN.

Terdapat pusat mengundi di kampung-kampung Melayu yang mana Saluran 1, iaitu pengundi di atas usia 50an, BN hanya menang tipis. Kebangkitan di Rasa dan Batang Kali yang jentera PR sukar untuk tembus pada PRU lalu memberi gambaran bahawa penyokong tegar Umno di luar bandar mula berpuas hati dengan pemerintahan PR. Oleh itu tidak hairan apabila ada pertambahan undi kepada PKR setelah ditolak yang dipindahkan.

Sesungguhnya PR tidak kalah di Hulu Selangor. Cuma BN terlalu bermaharaja lela memberi pelbagai peruntukan dan meluluskan projek segera. Itu pun PR mampu meraih tambahan 4,000 undi. Cubalah sekiranya BN berkempen seperti PR tanpa menggunakan jentera kerajaan pusat dan peruntukan pusat. Tentunya mereka akan kalah teruk.

Walau apa pun Hulu Selangor telah mendedahkan kelicikan BN memindahkan pengundi. Taktik yang sama akan digunakan pada pilihan raya umum 2 tahun lagi. Sebagaimana yang pernah digunakan oleh BN untuk menumbangkan kerajaan BA Terengganu pada 2004 lalu. Oleh itu PR perlu bersedia dan memikirkan cara untuk melepasi perangkap BN. -erapakatan