14 Mei 2010

"Berdentum Kepala Saya, Mulut Saya Berdarah"

Mangsa kekasaran polis pada perhimpunan membantah lesen judi bola di Masjid Jamek Kampung Baru petang tadi, Muhammad Karim Abdullah kesal menganggap polis cuba bertindak kasar dalam menyuraikan program itu.

“Saya sedang memegang pembesar suara itu, tiba-tiba pihak polis merampasnya dari tangan saya, mereka menolak dan memukul saya. Saya jatuh, berdentum kepala saya dan keadaan ini yang membuatkan keadaan bertambah kecoh.

“Mulut saya berdarah dan kepala saya sakit akibat ditolak dan terjatuh ke bawah terkena ekzos motosikal,” katanya kepada TV Selangor, hari ini.

Lebih 1,000 orang termasuk orang bukan Islam menyertai perhimpunan membantah kelulusan lesen judi bola sepak sempana kejohanan Piala Dunia, di perkarangan Masjid Jamek Kampung Baru petang tadi.

Perhimpunan selepas solat Jumaat itu hanya berlangsung selama kurang dari lima minit berikutan larangan pihak berkuasa, malah seorang petugas PAS turut dikasari polis.

Mereka membawa kain rentang dan sepanduk mengecam tindakan kementerian kewangan yang diterajui datuk seri najib razak kerana meluluskan lesen judi bola walaupun mendapat bantahan rakyat.

Namun, Umno Barisan Nasional (BN) dalam usaha menutup kelemahan mempergunakan institusi polis bagi menggagalkan perhimpunan aman ini.

Polis dikatakan memberi masa lima minit kepada mereka untuk berhimpun tetapi belumpun tempoh itu berakhir, kira-kira 20 anggota polis menyerbu menyebabkan kekecohan itu berlaku. -TVS

Malu-lalu Katak, Melompat Juga Akhirnya Wee Choo Keong

Tindakan Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong yang mengumumkan keluar sememangnya sudah diduga dan Pilihan Raya Kecil Sibu dilihat sebagai waktu yang sesuai.

Pengarah Pilihan Raya KEADILAN, Fuziah Salleh berkata ahli Majlis Pimpinan Pusat telah memerhatikan gerak-geri ahli parlimen tersebut dan sememang Choo Keong berada di dalam senarai teratas ahli parlimen yang akan melompat.

"Saya ingatkan Choo Keong akan mengumumkan keluar parti semasa pilihan raya kecil Hulu Selangor tetapi mungkin tawaran semasa itu tidak lumayan maka beliau mendiamkan diri seketika.

"Gelagat Choo Keong yang cenderung mencari salah parti dan komen beliau di parlimen dan di dalam blog bukan untuk kepentingan parti tetapi lebih bersifat kepentingan diri.

"Ini merupakan tindakan terdesak Umno-Barisan Nasional dalam mendapat majoriti dua pertiga di Parlimen," tegas Fuziah yang juga Ahli Parlimen Kuantan.

Beliau menambah, tindakan tidak bermoral dan beretika Umno-BN ini didalangi oleh ahli parti yang telah mengumumkan keluar parti sebelum ini.

"Saya yakin ini adalah usaha berterusan pihak tertentu untuk melumpuhkan KEADILAN dan ini mempunyai hubung kait dengan PRK Sibu.

"Saya yakin Choo Keong mendapat habuan yang lebih besar apabila mengumumkan keluar parti ketika Pakatan Rakyat akan menghadapi PRK Ahad ini," katanya kepada Suara Keadilan.

Sebelum ini, bekas pemimpin DAP dan Ahli Parlimen Bukit Bintang ini telah berkali-kali menafikan spekulasi mahu keluar parti.

Dengan keputusan itu, Choo Keong akan menyertai empat rakannya yang sudah pun memperoleh status sebagai Ahli Parlimen Bebas setakat ini termasuk wakil rakyat Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin yang dipecat Mac lalu. -SK


Wee Cho Keong akhirnya tinggalkan PKR

Ahli parlimen Wangsa Maju, Wee Cho Keong hari ini mengumum keluar dari PKR dan menjadi ahli Bebas.

Dalam sidang media yang diadakan secara tergesa-gesa di pusat khidmatnya di Wangsa Maju, Kuala Lumpur, Wee berkata tindakannya itu berkuat-kuasa hari ini.

Menurut Wee, beliau meninggalkan PKR kerana kecewa dengan cara parti itu dan kerajaan negeri Selangor dalam menangani skandal pasir menerusi Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB).

Wee juga mengumumkan meletakkan semua jawatan partinya, termasuk ketua PKR Wilayah Persekutuan.

Pada 21 April lalu, Malaysiakini menyiarkan laporan khabar angin yang bertiup kencang bahawa Wee adalah pemimpin PKR yang bakal melompat tetapi beliau enggan mengulas apabila diajukan soalan berkenaan.

Beliau tidak mengesahkan ura-ura itu mahupun menafikannya tetapi sebaliknya berkata wartawan lebih mengetahui perkara berkenaan.

“Anda tahu segala-galanya. Kenapa perlu bertanya lagi? Anda lebih mengetahui, mengapa tidak anda siarkan berita itu terlebih dahulu?” katanya.

Beliau juga menyerang media baru yang dilabelkannya sebagai tidak bertanggung-jawab.

“Saya akan hanya bercakap dengan media tertentu kerana sesetengah media adalah tidak bertangung-jawab,” katanya.

Menurut Wee sesetengah portal berita tidak boleh dipercayai kerana “mereka akan hanya memutar-belitkan kata-kata saya...mereka akan tukar B ke A dan A ke B”. -mk



Ulasan GB

Yang aneh, tidak ada seorang pun yang melompat ini berani untuk kosongkan kerusi untuk melihat sokongan rakyat samada pengundi merestui atau tidak tindakan mereka.

Yang pasti, para pengundi tidak akan memilih mereka lagi.

Gobala Didenda RM3,000. Beranikah BN Hadapi PRK Padang Serai?

Gobalakrishnan Nagapan, Ahli parlimen Padang Serai, hari ini didapati bersalah kerana menghalang tugas polis dalam satu kejadian yang berlaku lebih lapan tahun lalu pada Januari, 2002.

Gobalakrishnan, yang didakwa di Mahkamah Majistret Pulau Pinang didenda RM3,000 atau menghadapi penjara enam bulan.

Ketika dihubungi, pemimpin PKR itu berkata beliau cuba membayar dendanya tetapi kaunter bayaran telah ditutup pada jam 12.15 petang tadi untuk solat Jumaat, demikian lapor malaysiakini.

"Saya mungkin terpaksa menghabiskan masa di lokap," katanya kepada Malaysiakini.

Gobalakrishnan, yang juga ahli majlis tertinggi PKR berkata beliau akan membuat rayuan.

Pada 29 Januari, 2002, beliau ditahan selepas mempersoalkan tindakan polis menghalang 30 penyokong Keadilan (sekarang PKR) daripada menari ketika sambutan Thaipusam di Geogetown.

Pihak polis mendakwa Gobalakrishnan menghalang anggotanya daripada menjalankan tugas mereka.

Dalam Pilihan Raya Umum Malaysia 2008 beliau mengalahkan calon dari Barisan Nasional - MCA, Datuk Boey Chin Gan dengan majoriti sebanyak 11,738 undi. Beliau memperolehi 28,774 undi berbanding lawannya memperolehi hanya 17,036 undi.

Kedah Tidak Akan Bubar DUN Sekarang

Kerajaan negeri Kedah pimpinan Pakatan Rakyat mengetepikan amaran wakil rakyat Bebas Zulkifli Noordin tentang kemungkinan episod “Perak Kedua” sambil menegaskan, tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) buat masa sekarang.

Bagaimanapun pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat negeri mengakui sedang mengambil langkah berjaga-jaga untuk memastikan kesemua 20 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kekal bersama ikatan itu, sekali gus mengelakkan nasib yang menimpa Perak awal tahun lalu apabila tiga wakilnya keluar parti.

Ketika dihubungi The Malaysian Insider, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak mengesahkan beliau tiada rancangan untuk mendapatkan perkenaan Sultan Kedah bagi membubarkan DUN memandangkan tiada tanda-tanda akan wujudnya kemungkinan keluar parti.

“Ia cuma mengadakan perbincangan dengan mereka malam tadi dan saya yakin dengan kesetiaan mereka.

“Tiada masalah dalam Pakatan. Masalahnya hanya daripada Adun dari Barisan Nasional,” kata beliau ketika dihubungi.

Sehubungan itu, Azizan mengetepikan jangkaan Zulkifli, Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu bahawa “Perak Kedua” akan wujud tidak lama lagi dan meminta sebuah kerajaan negeri, tanpa merujuk kepada Kedah, supaya bersiap sedia untuk mengelakkan situasi seumpama dengan membubarkan DUN.

“Jika dia mengatakan majoriti Kedah terlalu kecil, jadi bagaimana kerajaan (PAS) Kelantan berjaya kekal dalam kuasa dengan perbezaan satu undi?

“Jika ahli-ahli PKR berfikir macam Zulkifli, maka bukan sahaja beberapa akan keluar parti - dia tidak boleh mengisytiharkan bahawa beberapa orang akan lompat parti macam dia kerana kami mempunyai hubungan baik dalam Pakatan,” katanya.

Sebaliknya Azizan mencabar Zulkifli agar meletakkan jawatan dan bertanding semula di kerusi Kulim-Bandar Baharu jika merasakan mempunyai pengaruh yang besar.

Katanya, orang ramai sudah tidak lagi menyokong Zulkifli, yang sudah pun sudah lagi tidak kredibel di Kedah.

“Jika dia berani, dia harus meletakkan jawatan,” katanya.

Pengerusi PKR Kedah Datuk Johari Abdul mengakui pemimpin-pemimpin Pakatan di negeri itu mengambil langkah cukup berhati untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

“Saya bekas pemimpin Umno dan saya mempunyai ramai kawan dalam Umno.

“Kami peka dengan perkembangan dan tiada sebarang petanda buat masa sekarang,” katanya.

“Satu perkara yang pasti, tiada mana-mana wakil rakyat PAS akan lompat parti. Mereka terikat dengan bai’ah yang mereka telah buat,” katanya.

Johari memberitahu, meskipun kesemua tiga Adun PKR keluar parti, BN masih tiada cukup kerusi untuk membentuk kerajaan.

Kelmarin, Zulkifli Noordin membayangkan episod Perak tumbang berulang dalam waktu terdekat sambil menasihatkan sebuah “kerajaan negeri Pakatan Rakyat” agar mengambil langkah untuk membubarkan DUN.

Zulkifli memberitahu The Malaysian Insider, dua Ahli Parlimen dan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) akan keluar dalam waktu terdekat.

Tindakan itu menurut wakil rakyat Bebas ini, boleh menyebabkan tumbangnya satu lagi kerajaan negeri mirip Perak awal tahun lalu.

Pakatan Rakyat kini memimpin Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan. Kini tumpuan menghala ke arah Kedah kerana perbezaan kerusi antara Pakatan Rakyat dan pembangkang termasuk Barisan Nasional (BN) cuma empat.

Daripada 36 kerusi di DUN, Pakatan Rakyat mempunyai 20 kerusi dengan PAS memiliki 16, PKR tiga dan DAP satu manakala BN pula 14 dan dua lagi merupakan wakil rakyat Bebas yang pro-BN.

Bulan lalu, Azizan ada memberitahu bahawa beliau akan memohon pembubaran DUN jika ada lagi yang memutuskan untuk keluar parti. -TMI