28 Feb 2010

Fairus, Bekas ADUN Penanti Sertai UMNO

Bekas timbalan ketua menteri I Pulau Pinang Mohd Fairus Khairuddin dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), yang meletakkan jawatannya April tahun lalu, menyertai Umno hari ini.

Keputusan beliau menyertai Umno diumumkan selepas menghadiri Perjumpaan Kepimpinan Tertinggi Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia Bersama Perdana Menteri Malaysia yang turut dihadiri Datuk Seri Najib Razak.

Terdahulu Fairus dengan berpakaian ahli Pertubuhan Silat Seni Gayong menyambut ketibaan Najib, yang juga Presiden Umno, di lobi hotel tempat berlangsungnya majlis itu.

Fairus menyertai Umno kira-kira dua minggu selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengumumkan beliau antara lapan kes berprofil tinggi bebas tuduhan rasuah.

Beliau pernah disiasat kerana dakwaan rasuah melibatkan syarikat kuari di Seberang Perai.

Fairus, 33, meletakkan jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Penanti berkuat kuasa 16 April tahun lalu.

Fairus keputusan melepas jawatan Adun bagi membolehkan beliau memberi tumpuan penuh terhadap usahanya melanjutkan pelajaran ke pascasiswazah dan sekali gus memberikan masa kepadanya untuk bersama dengan keluarga yang selama ini terpaksa berkorban dalam memenuhi tugasannya.

Beliau juga merupakan bekas Pengerusi Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi, Penerangan dan Perhubungan Masyarakat Pulau Pinang.

Fairus dalam ucapannya pada majlis itu berkata, beliau membuat keputusan selepas mengambil kira perkembangan sepanjang tiga bulan lalu khususnya selepas tercetusnya isu kalimah “Allah”.

Beliau mendakwa pendirian yang dibuat oleh PKR, salah satu komponen Pakatan Rakyat, amat mendukacitakan dan tidak menyenangkan kerana bertentangan dengan perjuangan parti.

“Saya akhirnya mendapat petunjuk yang sangat jelas dan saya dengan ini atas prinsip mempertahankan agama dan kepentingan rakyat, hari ini saya membuat pengisytiharan untuk keluar PKR dan menyertai Umno,” katanya yang menyampaikan ucapan khas sebelum Najib mula berucap.

Najib dalam ucapannya pula berkata atas nama Presiden Umno beliau menyambut penyertaan Fairus, yang menurutnya telah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan PKR ke dalam Umno.

“Oleh itu atas nama Presiden Umno, anak muda bernama Fairus akan diterima dengan senang hati (ke dalam Umno) kerana saya tahu beliau mengambil keputusan atas soal prinsip, atas nama perjuangan... mahu menjadi anggota Umno.

“Oleh itu kita kena jaga beliau dengan baik, beliau boleh memainkan peranan kepada parti, bangsa dan agama,” katanya.

Pada majlis ini Fairus juga menandatangani borang menyertai ahli Pertubuhan Silat Seni Gayong dan Umno secara rasmi. -MI




SPRM Patut Siasat Harta Dr Mahathir Dan Menteri Umno-BN

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia didesak menyiasat harta mantan Tun Dr Mahathir Mohamad serta bekas menteri dan menteri Umno dan Barisan Nasional dan jika perlu mengambil langkah yang sama seperti negara jiran Thailand yang merampas harta dan aset bekas Perdana Menteri negara itu.

Ini kerana penulis Barry Wain yang juga bekas Pengarang Urusan Asian Wall Street Journal mendakwa Dr Mahathir telah membazirkan wang rakyat sehingga RM100 bilion ketika beliau menjadi Perdana Menteri dari 1981 sehingga 2003.

Jumaat lalu Mahkamah Agung Thailand telah membuat keputusan merampas harta bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra dan keluarganya yang berjumlah 46.3 bilion baht (RM4.7 bilion) daripada sejumlah 76.6 bilion baht (RM7.8 bilion) yang dibekukan oleh kerajaan Thailand semasa itu.

Panel hakim yang membuat keputusan itu berkata jumlah wang yang dirampas dianggap sebagai kekayaan tambahan daripada penyalahgunaan kuasa oleh beliau semasa memegang jawatan tersebut.

Thaksin didapati bersalah kerana menyalahguna kuasa sebagai ketua kerajaan dalam memberikan keistimewaan kepada konglomerat telekomunikasi Shin Corp dan mahkamah juga mendapati beliau merupakan pemilik sebenar Shin Corp.

Ini menyalahi undang-undang kerana pada ketika itu beliau memegang jawatan sebagai Perdana Menteri.

Mengulas perkara itu Ketua Angkatan Muda KEADILAN Shamsul Iskandar Mohd Akin meminta SPRM menjalankan tugas mereka menyiasat Dr Mahathir dan menteri-menteri Umno-BN berhubung salahguna wang rakyat.

Ini berikutan pindaan akta SPRM yang baru yang membolehkan siasatan serta dakwaan dibuat terhadap mana-mana pemimpin kerajaan dalam tempoh 10 tahun setelah bersara.

"Sudah tiba masanya SPRM membuka kertas siasatan terhadap dakwaan Barry Wain terhadap Dr Mahathir.

"Walaupun sumber tersebut datang daripada pihak ketiga tetapi ia akan menjadi kayu pengukur menguji kewibawaan politik SPRM dalam melaksanakan undang-undang dengan tegas dan adil.

"Jika kandungan buku tulisan Barry Wain itu tidak benar, sewajarnya Dr Mahathir mengambil tindakan menyamannya. Pemimpin Umno-BN takut akan ada banyak skandal terbongkar jika mereka di dakwa dimahkamah. Yang peliknya sehingga kini Kementerian Dalam Negeri tidak mengharamkan buku tersebut," jelas Shamsul.

Beliau menyelar SPRM yang seolah-olah menumpukan kes penyalahgunaan kuasa terhadap pemimpin Pakatan Rakyat sahaja tetapi enggan mengambil tindakan terhadap ramai pemimpin tinggi Umno-BN yang korup walaupun berpuluh-puluh laporan rasuah telah dibuat.

"Sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baru sepatutnya Datuk Abu Kassim Mohamed mengembalikan integriti dan kepercayaan rakyat terhadap suruhanjaya itu tanpa mengira sesiapa, samada daripada kalangan Pakatan Rakyat mahupun Umno-BN", tegas beliau lagi. -SK

TGNA Raikan Pelumba Le Tour De Langkawi

Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bersyukur kerana Kelantan menjadi pusat pelepasan acara perlumbaan jelajah basikal paling berprestij di Asia, Le Tour de Langkawi (LTdL) 2010 pada Isnin.

"Acara ini boleh memberi kesan positif kepada pembangunan industri pelancongan di negeri ini," katanya kepada pemberita selepas majlis memperkenalkan peserta dari 20 pasukan LTdl 2010 itu, di sini, pada Ahad.

Beliau juga berharap peserta Malaysia dapat meraih kejayaan cemerlang dalam perlumbaan tahunan itu supaya ia dapat mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.

Cabaran pasukan tempatan diketuai oleh pasukan kebangsaan yang pastinya perlu berusaha dengan keras bagi memastikan sasaran tempat ke-12 daripada 20 pasukan yang bertanding tercapai.

Manakala pasukan benua negara, Le Tua memasang impian besar untuk meraih juara individu keseluruhan serta mempertahankan gelaran pelumba terbaik Asia dengan membariskan tiga pelumba Sepanyol, seorang Australia dan Ng Yong Li serta Mohd Hafiz Rozli selaku pelumba tempatan.

Empat pelumba tempatan turut mewakili pasukan berstatus benua dari luar negara pada edisi tahun ini dengan Anuar Manan (Geumsan Ginseng Asia dari Korea Selatan), Adiq Husainie Othman (Drapac Porsche dari Australia) dan Loh Sea Keong serta Ahmad Haidar Anuawar pula mewakili pasukan Marco Polo Cycling Team dari China.

Secara keseluruhan LTdL tahun ini menampilkan hanya satu pasukan berstatus Pro Tour iaitu Footon-Sevetto dari Sepanyol serta dua pasukan profesional benua iaitu ISD-Neri (Itali) dan Vorarlberg-Corratec (Austria).

Selebihnya adalah 13 pasukan bertaraf benua iaitu Drapac Porsche (Australia), Tabriz Petrochemical (Iran), Seoul Cycling Team (Korea Selatan), Marco Polo Cycling Team (China), Aisan Racing Team (Jepun), Max Success Sport (China), Le Tua Cycling Team (Malaysia), Team Geumsan Ginseng Asia (Korea Selatan), Team Jayco- Skins (Australia), Azad University (Iran), Giant Asia Racing Team (Taiwan), Polygon Sweet Nice (Indonesia) dan Kelly Benefit Strategies (Amerika Syarikat).

Selain Malaysia yang menampilkan pasukan kebangsaan, tiga lagi adalah Afrika Selatan, Kazakhstan dan Thailand yang kali pertama mengambil bahagian.

Peringkat perlumbaan LTdL 2010:

1: Kota Baharu - Kuala Berang (174.5km)
2: Kuala Terengganu - Chukai (182.3km)
3: Pekan - Mersing (145.6km)
4: Mersing - Parit Sulong (163.5km)
5: Muar - Port Dickson (111.5km)
6: Putrajaya - Genting Highlands (102.8km)
7: Kuala Kubu Baru - Dataran Merdeka (133.7km)

Majlis itu turut dihadiri oleh Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Mohd Yassin Salleh dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO Negeri, Abdul Fatah Mahmood.


Jawatankuasa Pengagihan Wang Ihsan Jawatankuasa Haram

Pengerusi Jawatankuasa Tuntutan Royalti Petroleum Kelantan atuk Husam Musa menyifatkan Jawatankuasa Pengagihan Wang Ihsan Kelantan yang diketuai Timbalan Menteri Kewangan, Senator Datuk Dr Awang Adek Hussin sebagai jawatankuasa haram dan kerajaan Negeri Kelantan menolak untuk menyertainya.

“Kita tidak terima. Jawatankuasa itu adalah jawatankuasa haram,” tegas Husam.

Esok satu usul berhubung isu tuntutan royalti minyak mungkin dikemukakan pada persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan bagi membawa isu tuntutan itu ke mahkamah, kata Datuk Husam.

“Saya tidak tahu apa yang akan ADUN bincangkan esok. Mungkin mereka akan membawa satu usul mengenai itu. Ini akan menguatkan lagi langkah kerajaan negeri untuk membawa isu itu ke mahkamah kerana ia mendapat mandat daripada DUN negeri,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco di sini hari ini.

Hari ini kerajaan negeri menjemput semua ADUN termasuk ADUN Barisan Nasional (BN) untuk mendengar taklimat berhubung royalti minyak Kelantan yang diberikan oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas dan bekas Ketua Jabatan Undang-Undang Petronas Nik Saghir Mohd Noor.

Husam, yang juga Exco Kanan kerajaan Negeri Kelantan, berkata melalui taklimat itu, beliau berharap kesemua ADUN mendapat penjelasan lebih nyata dan membincangkan isu tuntutan royalti minyak Kelantan pada sidang dewan.

Beliau berkata kerajaan negeri perlu mendapatkan sokongan daripada DUN kerana sewaktu perjanjian antara Petronas dan kerajaan negeri pada 1975, perkara itu dibawa di dalam sidang DUN untuk dipersetujui bahawa lima peratus hasil keuntungan minyak di Kelantan diberikan kepada negeri dan lima peratus lagi diberikan kepada pusat.

Kerajaan Kelantan bertegas mahukan Kerajaan Pusat membayar royalti minyak dan bukan wang ihsan walaupun mengikut peraturan, negeri itu tidak layak menerima royalti kerana dua telaga minyak yang didakwa milik Kelantan terletak lebih tiga batu nautika dari pesisiran pantai negeri itu.

Dua telaga minyak berkenaan terletak 150 batu nautika dari perairan Kelantan dan Kerajaan Pusat bersetuju memberi RM20 juta wang ihsan kepada penduduk Kelantan, yang merupakan bayaran pertama sebanyak lima peratus daripada hasil dua telaga minyak pada 2008.

Perkara ini seperti yang termaktub dalam perjanjian Akta Peroleum 1974, iaitu bayaran lima peratus daripada hasil keuntungan minyak dan gas kepada kerajaan negeri.

Husam berkata kedua-dua tokoh itu dijemput untuk memberikan taklimat kerana mereka merupakan antara tokoh terlibat dalam perjanjian Akta Petroleum 1975.

Portal Muhyiddin Yassin Ditutup Setelah Baru Sebulan Dilancarkan

Persaingan politik antara kem Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bos beliau Datuk Seri Najib Razak dilihat penganalisis politik semakin meruncing apabila laman web Timbalan Perdana Menteri itu telah "diserang" sejak seminggu lalu mengakibatkan ianya ditutup.

Suara Keadilan diberitahu laman sesawang rasmi milik Muhyiddin, www.my-malaysia.com.my telah ditutup secara tiba-tiba tanpa sebarang notis tidak sampai sebulan setelah ia dilancarkan pada Majlis Dialog Idealisme Generasi Muda di Angkasapuri 30 Januari pada.

Kehilangan laman web ini lantas menimbulkan spekulasi bahawa ada sesuatu yang tidak kena antara Najib dan Timbalan.

Suara Keadilan difahamkan portal itu samada telah diarah tutup oleh pihak tertentu daripada Jabatan Perdana Menteri atau telah digodam oleh pengodam pro-Najib.

Portal yang membawakan tema "MY Malaysia - Muhyiddin Yassin

Untuk Malaysia" itu membawa aspirasi dan buah fikiran orang nombor dua dalam kerajaan itu tetapi ia dianggap berlawanan dengan konsep Satu Malaysia yang ingin dipopularkan oleh Perdana Menteri.

Mengulas perkembangan ini Ahli Parlimen Kuala Langat Abdullah Sani Abdul Hamid berkata perkara ini sudah diduga sedari awal kerana Najib dan Muhyiddin "tidak boleh bertemu muka".

"Kedua-dua mereka mempunyai pandangan berbeza dan ingin membawa dasar masing-masing dalam pentadbiran negara.

"Mereka dilihat tidak seiring dalam banyak perkara. Kelompok Muhyiddin tidak senang dengan monopoli kumpulan Najib dalam membuat keputusan dan ini dilihat apabila Muhyiddin bercanggah pendapat dengan Najib," komen beliau.

Abdullah Sani beranggapan perpecahan dalam Umno dan Barisan Nasional sudah mencapai tahap kritikal dan rakyat hanya menunggu masa untuk melihat pemberontakan besar-besaran oleh kem Muhyiddin terhadap Najib.

"Kem Muhyiddin tidak berpuas hati terhadap banyak perkara termasuk campur tangan Dr Mahathir, pemberontakan Pemuda Umno apabila ketuanya tidak diberi sebarang jawatan dalam kerajaan serta isu Ku Li dan royalti minyak di mana amaran diberi kepada Ahli Parlimen Gua Musang itu datang dari Muhyiddin bukannya Najib," kata beliau lagi.

Keretakan yang melanda Umno-BN semakin jelas kata Abdullah Sani sambil menambah Muhyiddin dan Najib "tidak boleh duduk sekapal".

Pertelagahan antara Najib dan Muhyiddin telah hangat diperkatakan dalam blog serta laman web politik sejak Ahli Parlimen Pulai itu menyandang sebagai timbalan dalam kerajaan dan parti.

Muhyiddin dianggap bercita-cita tinggi dalam politik dan ramai menjangkakan Timbalan Presiden itu akan mencabar Najib untuk jawatan Presiden Umno pada pemilihan parti 2011 nanti.

Malah suhu desas desus pertembungan Najib-Muhyiddin mula meningkat dilihat daripada kehangatan perbincangan dikalangan ahli dan pimpinan Umno samada diwarung kopi atau lobi kafe hotel. -SK

Ulasan GB

Orang nak ada portal, awak pun nak ada portal (blog). Orang ada ilmu I.T. awak buta IT. Sekadar nak upah orang lain "maintain" portal tapi diri sendiri pemalas untuk belajar ilmu komputer dan teknologi maklumat.

Semuga ini menjadi pelajaran kepada pemimpin PAS dan PR kita juga.

Dunia tanpa sempadan menjadikan kita tidak boleh meninggalkan bidang-bidang utama perjuangan dan I.T. adalah satu kaedah (uslub) baru perjuangan dan dakwah.

Nik Aziz Bertemu Dengan Tokoh Hindu Sanggam

Tuanguru Nik Aziz Bertemu Dengan Tokoh Hindu Sanggam Oleh Dr Hamzah Jaffar, TPJ PAS Pahang

Seperti yang saya katakan, saya melihat antara kelemahan pendakwah atau pendokong jamaah Islam ialah terlalu ramai yang bijak berpidato, pandai berceramah, suka berkuliah dan berusrah tetapi tak ramai yang mengambil langkah mempraktikkan penghayatan Islam dalam kehidupan bermasyarakat. Kelemahan ini menyebabkan jamaah jadi kaku, lembab dan sebu. (Gambar Sebelah : TGNA memegang tangan Penasihat Persatuan Hindu Sanggam Malaysia)

Pendakwah sering mengungkapkan ‘Lisaanul haal afsah min lisaanil maqal’ yang bermaksud lebih kurang ‘amal perbuatan itu lebih mudah difahami daripada ucapan lidah’. Sebab itu, di sekolah telah diajar secara praktikal bagaimana cara mengambil wudhu, berbeza pengajaran sebelum ini yang hanya bergantung kepada teori. Semuanya dilakukan untuk mudah difahami oleh anak-anak murid.

Dalam konteks seni dan budaya, saya sebagai YDP PAS Kawasan Jerantut, bersama AJK PAS Kawasan telah mengambil langkah menganjurkan Program Malam Kebudayaan Rakyat Malaysia sempena majlis perasmian Kompleks Imam Al Syafie’ (KIAS) yang merupakan pusat aktiviti PAS Kawasan Jerantut. Cadangan saya telah diterima oleh AJK PAS Kawasan namun sebelum itu, berlaku perbincangan hangat mengenai program kesenian dan kebudayaan yang bakal diadakan. Bagi sesetengah mereka, seolah-olah seni dan budaya ini bukan dari Islam atau tidak sesuai dianjurkan oleh Parti Islam.

Saya jelaskan bahawa seni dan budaya berkait rapat dengan sesuatu bangsa yang diciptakan tuhan. Bangsa itu pula diciptakan Allah swt supaya kita kenal mengenali antara satu sama lain. Kita bukan sahaja perlu kenal bangsa India yang berkulit gelap dan Cina berkulit cerah tetapi kita juga diminta mengenali perkara yang berkaitan dengan bangsa itu sendiri seperti dialek bahasanya, adat resamnya, termasuk seni dan budaya mereka. Itulah yang dimaksudkan dengan ‘Lita’arafu’ atau saling kenal mengenali antara satu sama lain seperti yang terkandung dalam Ayat 13 Surah Al Hujurat.

Penjelasan saya telah dapat meyakinkan mereka untuk bersetuju mengadakan persembahan kebudayaan pada malam perasmian. Lalu ditetapkan tarikh 29.11.2008 sebagai malam perasmian yang akan dipenuhi dengan persembahan kesenian dan kebudayaan Melayu, Cina dan India. Perasmian akan dilakukan oleh Mursyidul ‘Am, Dato’ Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat (TGNA).

Untuk persembahan Melayu, kita menetapkan paluan kompang mengiringi kedatangan TGNA manakala persembahan tarian singa pula untuk kebudayaan Cina dan India pula tiupan serunai dan paluan gendang.

Dalam pada itu, timbul satu masalah mengenai 2 permintaan iaitu dari En. Balasubramanium, Pengerusi Kelab Penyokong PAS (Kaum India) Malaysia memohon untuk mengadakan persembahan tarian klasik oleh penari kanak-kanak perempuan. Dan satu lagi, terdapat satu pasukan band terdiri dari anak-anak muda Melayu memohon untuk mempersembahkan muzik rock di hadapan TGNA. Asalnya mereka ini adalah orang UMNO dari sebuah kampung di Jerantut yang majoritinya UMNO. PAS tak pernah menang di situ bahkan sentiasa kalah dengan majoriti antara 500 – 700 undi di setiap kali pilihanraya. Tapi dalam PRU 12, Mac 2008 baru-baru ini, saya sebagai calon Parlimen Jerantut hanya kalah dengan majoriti 60 undi sahaja manakala calon PKR menang dengan majoriti 20 undi. Satu rekod dan sejarah baru tercipta di kampung tersebut. Kenapa berlaku perubahan mendadak?

Antara faktornya ialah kampung tersebut memang meminati program kugiran / muzik. Suatu hari, ketua kumpulan mereka telah bertemu dengan saya memohon untuk membeli 2 alat muzik yang telah ‘uzur’ dan perlu diganti. Budgetnya lebih kurang RM1500. Sebelum saya memutuskan bersetuju memberi sumbangan, saya terpaksa bertanya ilmu saya dari sudut hukum dan dakwah. Maka saya yakin dari sudut hukumnya tiada masalah dan dari sudut dakwahnya, Insya Allah mudah-mudahan mereka menyokong Islam yang saya bawa menerusi PAS, kalaupun tak mahu jadi ahli. Ternyata benar apabila aksi saya itu, diperbualkan di kedai kopi sekitar kampong tersebut bahawa PAS tidak menghalang untuk berhibur. Di situlah timbulnya hasrat mereka nak buat persembahan di hadapan TGNA.

Untuk 2 masalah ini, saya menyatakan di pihak saya, tiada masalah. Cuma saya kena tanya TGNA, apakah beliau bersetuju untuk menyaksikan 2 persembahan itu. Alhamdulillah lebih kurang 2 bulan sebelum program, saya, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man dan En. Balasubramanium dapat bersembang dengan TGNA semasa kunjungan peribadinya ke Jerantut, sekaligus singgah di rumah Balasubramanium. Kami mengambil kesempatan bertanya sendiri dengan beliau. Dalam pertemuan itu, TGNA telah memberi lampu hijau kepada 2 persembahan itu dengan alasan ‘dakwah’ di mana mereka masih perlu dijinakkan.

Akhirnya berlangsunglah program bersejarah dan cukup hebat pada malam 29.11.2008 itu yang turut dihadiri oleh Ustaz Ahmad Awang, Naib Presiden PAS pada masa itu. Kebetulan pada malam itu juga diambil kesempatan untuk melancarkan Program Jom Sertai PAS Peringkat Kebangsaan yang mana Pahang dipilih sebagai negeri pertama melakukannya.

Dan yang paling menariknya ialah hadirnya Penasihat Persatuan Hindu Sanggam Malaysia (PHSM) pada malam tersebut. Kehadirannya semata-mata hendak berjumpa TGNA yang dilihat amat mesra dengan sesiapa sahaja dan amat terbuka dengan penganut agama lain serta kebudayaan mengikut bangsa masing-masing. Sebenarnya TGNA juga agak keletihan namun beliau gagahkan juga untuk datang semata-mata nak berjumpa dengan Penasihat PHSM itu. Seolah-olah pada malam itu, PAS Jerantut telah berjaya mempertemukan 2 tokoh agama yang berlainan di KIAS.

Cukuplah kalau saya katakan bahawa majlis pada malam tersebut, memberi impak yang besar kepada landskap politik Jerantut dari sudut keterbukaan PAS dengan program kesenian dan kebudayaan antara kaum. TGNA dilihat membawa Islam yang mudah dan syumul sehingga orang merasa seronok dengan Islam, tidak lagi merasa rimas. Sesungguhnya Islam perlu diterjemahkan dalam alam praktikal bukan lagi dalam dunia teori dan fantasi. Lebih-lebih lagi kita telah memerintah di empat buah negeri. Praktikkanlah Islam selagi ada kesempatan. Wallahu’alam.

300 Korban Gempa Di Chile, Penduduk Sabah Dinasihat Jauhi Pantai

Satu daripada gempa bumi terkuat dunia pada abad ini menggoncang Chile semalam, menyebabkan sekurang-kurangnya 300 orang maut, meruntuhkan bangunan serta mencetuskan tsunami yang mengancam pantai Pasifik sehingga Hawai dan Jepun.

Bangunan terbakar, jambatan runtuh dan runtuhan menghalang jalan raya di serata tengah Chile tetapi angka korban awal adalah agak rendah berbanding gempa bumi yang menggegarkan Haiti bulan lalu.

Sebuah bangunan pangsapuri dengan 200 penghuni runtuh di Concepcion, bandaraya paling hampir dengan pusat gempa itu, dan anggota penyelamat tidak pasti beberapa ramai yang terselamat.

Kenderaan yang terbalik berselerakkan di bawah jejambat runtuh di ibu negara Santiago dan bekalan elektrik terputus di serata tempat, menyukarkan usaha menilai tahap kerosakan dan kemalangan jiwa.

Kerajaan menyatakan sekurang-kurangnya 214 orang terbunuh dalam gempa bumi bermagnitud 8.8 itu yang berlaku pada 3.34 pagi (0634 GMT), menyebabkan orang ramai yang sedang tidur bertempiaran keluar dari rumah masing-masing ke jalan raya sambil berpelukan dan menangis.

Pegawai Chile berkata, bilangan kematian tidak mungkin meningkat secara drastik dan Pusat Penyelidikan Geologikal Amerika Syarikat (USGA) piawaian bangunan yang baik membantu mengurangkan kemalangan jiwa.

Ia adalah gempa bumi kelima terkuat sejak 1900 dan menjejaskan ekonomi serta prasarana pengeluar tembaga utama dunia itu.

Sementara itu penduduk di kawasan pantai timur Sabah, meliputi Tawau, Sandakan dan Lahad Datu, dinasihatkan menjauhi pantai kerana terdapat kemungkinan akan berlaku keadaan laut bergelora dan kenaikan paras laut bermula 12 tengah hari sehingga 6 petang Ahad.

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia, ini berikutan gempa bumi di Chile yang mencetuskan ombak tsunami di beberapa kawasan di pantai Chile, Mexico, Tahiti, Hawaii, Tonga, Kepulauan Samoa dan New Zealand.

Di dalam perkembangan terbaru, Bernama melaporkan satu gempa bumi sederhana berukuran 5.0 pada skala Richter berlaku di Laut Banda, Indonesia pada pukul 11.58 pagi Ahad.

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia pusat gempa bumi itu berlaku pada latitud 7.9 darjah selatan dan longitud 128.5 darjah timur iaitu kira-kira 1,782km tenggara Tawau, Sabah.

Tiada ancaman tsunami akibat gegaran itu.

Laut Banda ialah laut di Selatan Kepulauan Maluku yang mempunyai kira-kira 150 pulau.




RM10 Seorang Untuk Dengar Ceramah UMNO

Melihat rakyat kurang memberi sambutan kepada program mereka, Umno terpaksa "merasuah" RM10 kepada setiap penduduk Guar Jering di Penanti, Pulau Pinang yang rela hadir ceramah anjuran parti itu bagi menggelakkan terus dimalu.

Apatah lagi ahli Umno di situ tidak mahu menjatuhkan air muka Pengerusi Perhubungan Umno Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi yang hadir pada ceramah tersebut.

Ketika mendedahkan perkara ini Naib Presiden KEADILAN Azmin Ali berkata Umno terus mengumpan rakyat melalui amalan rasuah dan imbuhan material bagi mendapat belas kasihan serta perhatian semula rakyat.

"Umno rasuah RM10 kepada penduduk Guar Jering untuk tarik penduduk hadir majlis Umno yang diadakan pada hari yang PKR membuat ceramah tapi penduduk di sini tidak termakan pujuk rayu duit haram yangingin disampaikan.

"Halal haram Umno tidak peduli lagi, yang penting bagi mereka janji rakyat boleh dibeli supaya Umno boleh berangan-angan kembali merampas kembali kawasan mereka kalah," kata Azmin pada ceramah isu semasa dan menolak fitnah terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim di Guar Jering, Penanti bersama Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang Mansor Othman semalam.

Tambah Azmin, Umno juga terus menipu rakyat dengan sengaja mereka cerita bahawa beberapa ahli Pakatan Rakyat telah keluar parti tetapi realiti menunjukkan keahlian Pakatan Rakyat terus meningkat menyebabkan Umno tergugat.

"Ditangan saya ada lebih daripada dua ratus ahli yang baru mendaftar menjadi ahli Pakatan Rakyat tetapi puak ini (Umno) sengaja membuat cerita untuk mencalar imej kita," kata beliau.

Apabila Umno hilang arah dan tidak mampu mencapai dasar-dasar yang dijanjikan mereka merancang untuk memporak-perandakan Pakatan Rakyat supaya rakyat mengalih perhatian tetapi malangnya bagi mereka akyat tetap bersama Pakatan Rakyat manakala Umno terus ditinggalkan kata Azmin lagi.

"Kita tidak perlu bagi 10 sen pun rasuah kepada rakyat kerana rakyat tetap terus membanjiri semua majlis yang dijalankan. Ini membuktikan rakyat memberi sokongan tanpa batasan kerana mereka yakin kepada Pakatan Rakyat berbanding Barisan Nasional.

"BN yang zalim dan rakus hanya mahu mengaut keuntungan haram dan oleh sebab itu mereka akan terus disingkirkan. Kewujudan mereka hanya merosakkan negara dan anak bangsa tidak mampu dibela," katanya lagi.

Jelas beliau jika kezaliman dan penyelewengan Umno berterusan negara akan tergadai.

Ini kerana Umno ingin melihat kemusnahan negara selepas mengaut keuntungan. -SK

Tempias Tsunami Landa Pantai Timur Australia

Tsunami yang dijana gempa bumi bermagnitud 8.8 di Chile melanda pantai di timur Australia hari ini tetapi tiada laporan awal mengenai kemusnahan atau kemalangan jiwa.

Australia semalam mengeluarkan amaran tsunami untuk kebanyakan kawasan di pantai timur dan bahagian timur pulau Tasmania.

Namun pusat amaran tsunami kebangsaan menyatakan tiada kebimbangan mengenai bencana itu kerana ia hanya membabitkan banjir di pantai dan arus kuat yang boleh membahayakan perenang.

Chris Ryan, Pengarah Pusat Amaran Tsunami Bersama Australia, berkata penduduk di kawasan rendah di Norfolk Island sudah dipindahkan sebagai langkah berjaga-jaga.

Katanya, beliau tidak tahu sama ada langkah pemindahan turut dilakukan di tempat lain.

"Lebih bayak ombak boleh dijangka selepas ini," katanya.

Ryan berkata, amaran yang dikeluarkan itu sejajar jangkaan ombak setinggi setegah hingga satu meter di atas paras laut biasa pada masa itu.

Sementara itu, Russia turut mengeluarkan amaran tsunami selepas gempa bumi teruk melanda Chile dan melancarkan pemindahan di semenanjung Pasifiknya, Kamchatka.

"Kami mejangkakan ombak setinggi dua meter, di mana ketinggian berbahaya dan orang ramai diarahkan berpindah daripada zon bahaya," kata Ketua Pusat Tsunami Pulau Sakhalin, Tatyana Ivelskaya.

Menurut pihak berkuasa Kamchatka, kira-kira 100 pekerja pelabuhan Severo-Kurilsk dan kilang ikan turut dipindahkan, manakala penduduk yang tinggal di lima rumah sekitar kawasan itu turut dipindahkan ke kawasan selamat - Reuters

Zahid Dedahkan UMNO Permatang Pauh Bersengketa

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mahu pemimpin Umno Permatang Pauh menamatkan persengketaan antara mereka bagi mengukuhkan parti sebagai persediaan merampas semula kerusi Parlimen itu pada pilihan raya umum akan datang.

Beliau berkata semua pihak dalam parti perlu bersatu padu dan mengetepikan masalah dalaman parti yang telah berlarutan sejak sekian lama dalam usaha mendapatkan semula sokongan rakyat.

"Jangan bergaduh lagi. Ini masa untuk kita bersatu," katanya ketika berucap pada majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung Guar Jering, di sini, hari ini.

Katanya beliau yakin Barisan Nasional (BN) akan berjaya merampas semula kerusi Parlimen Permatang Pauh jika pemimpin dan anggota parti bersedia bekerjasama sebagai satu pasukan.

"Jangan di depan (pentas) ini sahaja kita berpeluk tetapi di belakang kita bertikam sesama sendiri," katanya.

Pada majlis itu juga seramai 77 anggota pakatan pembangkang daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas menyerahkan borang menyertai Umno.

Kerusi Parlimen Permatang Pauh dipegang oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim. BERNAMA

UMNO Semakin Terdesak, Lancar Serangan Peribadi Terhadap Pemimpin-pemimpin PR

Semakin berkaliber seseorang pemimpin Pakatan Rakyat, semakin dahsyat serangan peribadi digunakan terhadap mereka.

Selain Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri, tokoh ulama tempatan, Datuk Nik Aziz Nik Mat; Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim tidak terlepas dari bidikan fitnah dan tohmahan palsu.

Malah, isteri Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail kebelakangan ini turut menjadi mangsa serangan peribadi media arus perdana.

Bercakap soal itu, Anwar menganggap Umno BN bermain politik adu domba apabila parti itu sengaja memutar belit sesuatu isu sensitif bagi membangkitkan kemarahan rakyat terhadap pemimpin Pakatan Rakyat.

"Politik di bawah Umno politik adu domba. Hari itu di Pulau Pinang kemudian sekarang diulang lagi. Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dituduh sebagai Ketua Cina yang anti-Melayu.

"Ramai bertanya kepada saya mengapa sokong Cina sebagai Ketua Menteri, saya jawap dulu pun Cina Ketua Menteri, Koh Tsu Koon Cina bukan Ahmad Sukun (Tsu Koon),” katanya.

Bagaimanapun, Anwar secara konsisten sedari dulu memberi sokongan padu kepada Lim Guan Eng biarpun Umno BN tidak pernah ketandusan ilham untuk cuba memecah belah perpaduan parti gabungan Pakatan Rakyat.

“Dengan itu, saya mewakili PR dan Keadilan akan sentiasa bersama Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang,” katanya pada majlis rumah terbuka PKR hari ini.

Anwar juga menyifatkan serangan peribadi terhadap isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah bukan sahaja tidak berasas, malah sebagai taktik psikologi untuk memberi tekanan kepada beliau.

“Saya punya isteri Azizah cantik pun, dia mahu serang juga. Mereka kata Azizah tidak mahu sokong saya, mana tahu Azizah sokong saya atau tidak? Ini Utusan Malaysia memang jahat,” katanya.

Anwar juga hairan kerana Umno BN tergamak memfitnah Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat, kononnya mereka terlibat dalam rasuah, sedangkan umum mengetahui kedua-dua tokoh itu tidak mengambil sesen pun wang rakyat.

“Khalid pimpin Selangor, Lim Guan Eng pimpin Pulau Pinang, Tuan Guru Nik Aziz, 20 tahun jadi Menteri Besar Kelantan, pakai baju pun tidak secantik saya. Tidak pernah ambil balak, tiada saham, tiada kontrak dan mereka hendak dakwa beliau atas rasuah?

“Pemimpin Umno yang mengambil banyak wang negara tetapi mereka terlepas dari hukuman undang-undang. Sebab itu, kita mesti melawan mereka, tukar sistem pentadbiran dan ambil alih Putrajaya,” katanya pada majlis rumah terbuka PKR hari ini. -TVS