22 Mac 2015

Hudud: Ayam Terlepas Tangan Berbau Tahi!


Umno sokong hudud hanya untuk pecahbelah Pakatan, kata penganalisis

Satu-satunya tujuan Umno menyokong hudud sekarang ialah untuk memecahbelahkan Pakatan Rakyat (PR), menurut penganalisis politik yang mengatakan, apabila rang undang-undang itu sampai ke Parlimen, soal mengundi untuknya tidak penting kerana kerosakan sudah pun terjadi. Mereka menolak dakwaan ahli Parlimen Umno yang menyokong hudud penting bagi memenuhi ajaran Islam, dengan mengatakan apabila tiba masanya, parti itu mungkin tidak akan menyokong rang undang-undang itu kerana ia mengundang risiko kemarahan sekutu mereka di Sabah dan Sarawak.

"Tujuan Umno menyokong rancangan hudud ialah untuk memecahkan PR. Dengan pembentangan rang undang-undang hudud di Kelantan, PR sudah di ambang kemusnahan," kata Dr Mohd Faisal Syam Abdol Hazis, pensyarah kanan Jabatan Pengajian Politik, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas).

"PR tidak boleh diteruskan jika PAS berkeras menghidupkan semula agenda hudud. Jadi, jika PR musnah sebelum pembentangan usul itu di Parlimen, Umno boleh senang lenang tidak menyokong rang undang-undang itu bagi memastikan BN tidak terjejas."

Pengarah Merdeka Center, Ibrahim Suffian berkata, sokongan Umno terhadap hudud mungkin merupakan satu pembohongan, terutamanya memandangkan langkah itu tidak akan diterima baik oleh BN Sabah dan Sarawak.

Katanya, kemusnahan pakatan pembangkang merupakan peluang terbaik Barisan Nasional (BN) untuk terus hidup, susulan tekanan yang diterima akibat pertumbuhan ekonomi yang perlahan dan cabaran yang dihadapi kepimpinan Perdana Menteri.

"Menariknya, pemimpin kanan PAS seperti Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Datuk Haron Din terpedaya dengan rancangan bijak BN memecahbelahkan pembangkang, tanpa menyedari PAS yang akan rugi besar apabila pengundi bukan Islam menolak mereka, menyebabkan ia hilang semua kerusinya di Semenanjung.

"Saya setuju yang BN Sabah dan Sarawak tidak akan setuju dengan hudud kerana ia akan melemahkan kedudukan mereka sendiri,"
kata Ibrahim kepada The Malaysian Insider.

Dr Lim Teck Ghee, pengarah Pusat Kajian Dasar, juga bersetuju, sambil mengambil maklum yang masyarakat Kristian dan bukan Islam di Malaysia Timur mempunyai pegangan yang besar dari segi kebebasan beragama di negara ini.

"Tidak diketahui ramai yang Sabah dan Sarawak mempunyai jumlah penduduk bukan Islam yang besar yang undian mereka boleh menentukan gabungan parti mana yang akan memenangi kuasa di peringkat persekutuan, terutamanya ketika pilihan raya umum dengan persaingan sengit.

"Dan bukan orang bukan Islam sahaja yang bimbang dengan kes pencerobohan terhadap isu agama dan kebebasan sivil lain," kata Lim.

Bagaimanapun, Faisal berkata, sekiranya Umno mengundi menyokong rang undang-undang itu di Parlimen kelak, ia tidak akan membawa kepada perpecahan dalam Barisan Nasional (BN).

"Sabah ditadbir Umno, manakala Sarawak ditadbir sebuah parti yang dikuasai Bumiputera Islam. Umno ialah parti yang sangat dominan hinggakan parti BN yang lebih kecil tidak akan berani menarik diri daripada gabungan itu.

"Melalui naungan atau malah ancaman, gabungan itu boleh kekal," kata Faisal.

Hadi memohon membentangkan rang undang-undang persendirian itu di Parlimen ketika sesi Dewan Rakyat yang sedang berlangsung sekarang hingga 9 April, bagi membolehkan Kelantan menguatkuasakan undang-undang hudud, walaupun terdapat bantahan daripada PKR dan DAP.

Rang undang-undang bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355, yang mengehadkan kuasa mahkamah Syariah kepada denda maksimum RM3,000, lima tahun penjara dan enam kali sebatan.

Satu pindaan diperlukan terhadap akta ini bagi membolehkan pindaan hudud Kelantan itu dikuatkuasakan. Bagaimanapun, sekutu PAS dalam PR berkata, hudud bukan sebahagian daripada pendirian bersama pakatan itu dan ia lantang bersuara menentang.

DAP akan bermesyuarat pada Isnin bagi mengkaji semula hubungannya dengan PR, selepas merasakan “dikhianati” PAS apabila Dewan Undangan Negeri Kelantan membentangkan dan meluluskan pindaan kepada enakmen itu minggu lalu.

PKR hari ini mengumumkan ia tidak akan menyokong rang undang-undang hudud PAS itu sekiranya ia dibentangkan di Parlimen, mengatakan parti Islam itu bertindak secara unilateral dalam hal itu dan membelakangkan keputusan Majlis Pimpinan PR.


PAS PERLU MENGENALI SIAPA RAKAN SEBENAR…

Mungkin PAS ‘melatah’ ekoran daripada ‘geletek’ UMNO yang mahu bekerjasama dalam menegakkan hukum Hudud di Kelantan. Dan telahpun dibuktikan oleh BN (UMNO) tentang hakikat demikian apabila kesemua ADUN UMNO menyokong cadangan PAS. Samada sokongan BN (UMNO) itu tulin atau hanya mainan politik hanyalah mereka yang terlibat sahaja yang tahu. Ataupun mungkin mereka telahpun awal-awal mendapat ‘arahan’ daripada Puterajaya supaya ‘berlakon’ sedemikian rupa demi untuk melihat perpecahan dalam Pakatan Rakyat. Mungkin.

Kepimpinan UMNO sedar dan amat faham bahawa ‘Hudud’ adalah merupakan ‘soft spot’ parti PAS terutamanya kepimpinan ulama mereka. ‘Hudud’ adalah merupakan perjuangan ‘hidup mati’ parti PAS dan mungkin ‘perjuangan hidup mati’ ahli PAS itu dianggap sesuatu yang tulin. Namun mengenali UMNO yang penuh dengan tektik politk dan strategi, ramai yang merasa sangsi tentang ketulinan kerjasama yang dijalinkan demi untuk melaksanakan Hudud itu. Dan sehingga kini DS Najib atau kepimpinan tertinggi UMNO lain belum pun membuat apa-apa keputusan dan pendirian mengenai Hudud ini. Dan sekirannya berdasarkan kepada keputusan UMNO yang telah lalu sememangnya mereka belum bersedia menerima Hudud.

Satu hal yang amat jelas yang berkemungkinan tidak akan dapat dilaksanakan hukum Hudud di negara ini ialah jika ditinjau dari segi kedudukan perlembagaan negara. Jelas dalam Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa undang-undang negeri mestilah selaras dengan Perlembagaan Persekutuan. Perkara 75 menyatakan, undang-undang negeri yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan adalah terbatal dengan sendirinya. Maknannya perlu mendapat kelulusan di peringkat parlimen terlebih dahulu. Maknanya tentulah tidak mudah untuk mendapat persetujuan kesemua anggota parlimen terutama wakil bukan Islam.

Sepatutnya sebelum ucapan yang ‘berapi-rapi’ dan ‘ratap tangis’ di DUN Kelantan (baru-baru ini) apabila membahaskan tentang Hukum Hudud, ADUN seeloknya terlebih dahulu mengkaji implikasi keputusan yang dibuat di DUN berkenaan. Mentadbir negeri atau negara bukan boleh merupakan langkah ‘syok sendiri’ berdasarkan sentimen dan emosi kerana negara kita mempunyai perlembagaan dan undang-undang yang telah dirangka dengan penuh berhati-hati oleh pemimpin kita yang terdahulu.

PAS pernah dikecewakan oleh UMNO dalam tahun 1977. Mungkin pemimpin muda dalam PAS tidak tahu ‘penangan’ UMNO ketika mengadakan kerjasama dengan PAS pada tahun berkenaan. TG Nik Aziz amat tahu dan faham hal sebegini. Dan dengan sebab beliau benar-benar tahu ‘perangai’ UMNO itulah yang telah menyebabkan arwah TG Nik Aziz seolah-olah ‘berkerat rotan dan berpatah arang’ dengan UMNO. Dan kemungkinan munculnya keghairahan yang luar biasa untuk bekerjasama dengan UMNO oleh kepimpinan PAS (khususnya golongan ulama) kini berpunca daripada ‘kejahilan’ mereka tentang tektik dan tindak tanduk politik UMNO.

Yang jelasnya kini ialah apa yang dilakukan oleh PAS itu sudah dapat dilihat oleh rakan dalam Pakatan Rakyat sebagai ‘mata berpandangan budi kedapatan’. Apa tidaknya segala kenyataan yang dikeluarkan oleh para pemimpin PAS berkaitan dengan Hudud sudah boleh ‘menusuk ke jantung hati’ siapa yang termakan cili dan akan terasa pedasnya.

Kenyataan TG Haji Hadi yang merasakan bahawa dia lebih mementingkan wawasan akhirat daripada wawasan dunia sudah melambangkan bahawa tindakannya itu ibarat ‘membujur lalu melintang patah’. Ditambah pula dengan kenyataan daripada YAB Menteri Besar Kelantan yang terang-terang menyatakan bahawa sesiapa yang tidak menyokong Hudud adalah golongan yang tidak beriman. Dan jelas juga ditujukan kepada rakan dalam Pakatan ia itu PKR dan DAP khususnya dan rakyat yang beragama Islam umumnya.

Dengan tindakan yang dilakukan oleh PAS seolah-olah sudah jelas ‘sekilas ikan diair sudah diketahui jantan betinanya’. Kelihatan dengan jelas juga bahawa seolah-olah PAS tidak begitu peduli ‘hati dan perasaan’ rakan dalam Pakatan. Seolah-olah rakan dalam Pakatan tidak begitu penting berbanding dengan ‘rakan baru’ yang menampakkan lebih akrab. Lagipun apa yang telah berlaku berkaitan dengan kenyataan dan tindakan TG Haji Hadi ‘melukakan’ hati dan perasaan Dr Wan Azizah ketika berlaku kemelut politik Selangor masih segar dalam ingatan rakan-rakan dalam Pakatan. Dan tindakan yang mirip sebagai sabotage kepada calon tajaan PKR ( Dr Nasir ) di ADUN Subang dalam PRU 13 yang lalu juga masih segar dalam ingatan juga.

Kesemua ini menampakkan seolah-olah ‘langkah-langkah awal’ kepimpinan PAS terutama Presidennya sendiri untuk tidak begitu ‘mementingkan menjaga hati kawan’. Seolah-olah beliau berkata,’ apa nak jadi, jadilah…” Mungkin aku tersilap.

Isu hubungan DAP-PAS adalah merupakan isu ‘duri dalam daging’. Dan sekiranya dilihat dalam konteks parti Pakatan Rakyat pula ia merupakan isu yang membabitkan Pakatan Rakyat juga terutama setelah Anwar Ibrahim tidak berada bersama-sama. Sepanjang kewujudan Pakatan Rakyat kelihatan PAS hanya akan bersama dan ‘berbaik-baik’ dengan komponen dalam Pakatan sekiranya ‘prsahabatan’ demikian menguntungkan mereka.

Tetapi sekiranya mereka merasakan bahawa ‘persahabatan’ itu tidak menguntungkan mereka, maka tindakan mereka tidak seperti ‘cubit peha kanan, peha kiri terasa sakitnya’.Nampak semacam begitu.

Aku tidak mempunyai bukti jelas tetapi umumnya sebagaimana yang dapat aku lihat kepimpinan ulama dalam PAS sememangnya tidak secocok dengan perjuangan Pakatan Rakyat khususnya DAP. Aku tidak pula menyalahkan mereka yang menyebabkan keadaan terjadi sedemikian. Ada sebab-sebab tertentu yang menyebabkan mereka merasa ‘terasing’ dengan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat, terutamanya dengan DAP. Seolah-olah ‘Persahabatan’ yang dijalinkan buat sementara waktu itu hanya untuk kepentingan untuk memenangi pilihanraya semata-mata. Boleh juga diibaratkan seperti ‘melepaskan batuk di tangga’.

Namun begitu telah terbukti bahawa dengan adanya kerjasama antara PKR,DAP dan PAS telah sedikit sebanyak memberikan harapan untuk menumbangkan BN pada pilihanraya akan datang. Telah dibuktikan kejayaanya pada PRU 13 yang lalu. Atas perkiraan sedemikian jugalah agaknya maka BN bersungguh-sungguh benar untuk memecahkan perpaduan Pakatan Rakyat itu walau dengan apa cara sekalipun.

Dan PAS kena berfikir panjang-panjang untuk memilih ‘rakan’ seperjuangan. Kepada kepiminan PAS (terutama kepimpinan ulamanya) “Tepuk dada tanya iman’. Orang tua-tua kata,’ tepuk dada tanya selera’.
-abuhassanadam.blospot.com




ULASAN GB

Maka berlakulah apa yang dinamakan "krisis Hudud". Bagi ulama PAS ia kini sudah menjadi keutamaan. Walaupun Hj. Hadi sebelum ini menyatakan Hudud bukan Keutamaan.




Tiada istiqamah. Dan berlakukah tikam menikam. Mereka lupa akan hukum alamiah, hukum kebenaran dan keadilan bahawa: satu hari anda menikam orang lain, anda bakal ditikam pula. "Sunatullah" tidak pernah berdusta, dan sunnatullah juga tidak pernah berubah. Itu janji Allah swt.



Ada pula berkata, "kita tak hiraukan niat UMNO BN kerana ikhlas tak ikhlas itu bukan urusan manusia". Tetapi mereka terlupa dengan pesanan Rasulullah saw supaya jangan masuk lubang biawak dua kali. Mengapa bodoh sangat?

Ada pula yang berhujjah, kita hendak mencapai redha Allah, walaupun tak ke Putrajaya.
Kita kata: kita hendak ke Putrajaya bersama dengan redha Allah.
Kedua-duanya itu berbeza dari sudut tekad dan implikasinya.

Memang benar kata Ustaz Kamal Koh Abdullah, bahawa yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran. Hudud terlepas, hubungan dengan rakan PR punah ranah dan dan matlamat ke Putrajaya musnah.


Dengan kata lain, ayam terlepas tangan berbau tahi....

.

Nak Buat Camana... Hudud Lebih Utama Dari PR Kata Mursyidul Am...


PKR tidak akan sokong "private bill" Pas di Parlimen

PKR sudah menjelaskan sikap dan pendiriannya tidak akan menyokong Rang Undang-Undang (RUU) persendirian yang akan dikemukakan Pas berhubung Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan ke parlimen seperti mana dibentang dan diluluskan dalam Dewan Undangan Negeri Kelantan, tiga hari lepas.

Pernyataan tidak sokong itu berdasarkan kepada dua sebab, pertama, pembentangan enakmen itu tidak diberi tahu oleh pihak Pas akan isi kandungan rang undang-undang itu dan ia dibuat secara "unilateral" tanpa memberi tahu rakan-rakan komponen Pakatan Rakyat.

Sebab kedua ialah, sekiranya rang undang-undang persendirian berkaitan dengan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II itu, KEADILAN tetap dengan pendirian asal, iaitu untuk tidak menyokong prinsip-prinsip Fiqh Al-Awlawiyyat, Maslahat Ummah dan Maqasia Syariah.

Dengan pendirian itu ia membuka ruang polemik baru lebih luas lagi mengenai Hudud di kalangan parti Pakatan Rakyat. Tindakan PKR itu dibuat mendahului keputusan bakal diambil DAP yang akan membuat penentuan berhubung tindakan Pas Kelantan itu pada Isnin depan.

Apakah pendirian PKR dan DAP itu sama yang kemudiannya membawa kepada satu perhitungan baru mengenai hubungan dan kerjasama politik antara Pas dengan PKR dan DAP?

Pernyataan PKR itu ditanda tangani oleh pimpinan tertinggi parti itu diketuai Dr Wan Azizah Wan Islam, Mohamed Azmin Ali, Nurul Izzah Anwar, Shamsul Iskandar Md Akin, Nik Nazmi Nik Ahmad, Zuraidah Kamaruddin dan Rafizi Ramli.

Berikut adalah kenyataan penuh mengenai sikap dan pendirian PKR yang diemail kepada blog ini. -mso

KENYATAAN MEDIA
21 Mac 2015

RANG UNDANG-UNDANG PERSENDIRIAN MENGENAI KUASA MAHKAMAH SYARIAH
Biro Politik KEADILAN telah bermesyuarat pada 20 Mac 2015 dan membincangkan secara khusus cadangan Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian mengenai kuasa mahkamah syariah yang telah diberi notis oleh Ahli Parlimen Marang kepada Setiausaha Dewan Rakyat Parlimen Malaysia pada 18 Mac 2015.

Ini lanjutan daripada Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan yang telah meluluskan Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan 1993 (pindaan 2015) atau hukum hudud.

KEADILAN membuat ketetapan tidak boleh menyokong Rang Undang-Undang Persendirian tersebut atas pertimbangan-pertimbangan berikut:

1. Kami tidak dimaklumkan tentang isi kandungan RUU Persendirian tersebut. Ia dicadangkan secara “unilateral” tanpa pemberitahuan kepada rakan-rakan parti komponen Pakatan Rakyat dan bercanggah dengan keputusan Mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat pada 8 Februari 2015.

2. Sekiranya RUU Persendirian tersebut berkaitan dengan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan, KEADILAN tetap dengan pendirian asal, iaitu untuk tidak menyokong berdasarkan prinsip Fiqh Al-Awlawiyyat, Maslahat Ummah dan Maqasid Syariah.

Mengikut Peraturan Tetap Dewan Rakyat, sebarang RUU hanya akan dibahaskan dengan restu pihak kerajaan. Hakikatnya, tidak ada seorang pimpinan tertinggi Umno atau Barisan Nasional pun yang telah membuat kenyataan terbuka dan jelas mengenai pendirian mereka berkenaan RUU Persendirian tersebut jika di bawa ke Parlimen, termasuklah Dato’ Seri Najib Tun Razak dan timbalan beliau Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Justeru, KEADILAN menggesa kerajaan UMNO-BN untuk menjelaskan sama ada ia merestui RUU Persendirian tersebut dibahas dan diundi di Parlimen.

YB Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
Presiden KEADILAN

YAB Azmin Ali
Timbalan Presiden KEADILAN

YB Nurul Izzah Anwar
Naib Presiden KEADILAN

YB Shamsul Iskandar Md Akin
Naib Presiden KEADILAN

YB Rafizi Ramli
Setiausaha Agung merangkap Naib Presiden KEADILAN

YB Zuraida Kamaruddin
Ketua Wanita KEADILAN

YB Nik Nazmi Nik Ahmad
Ketua Angkatan Muda KEADILAN



DAP hentam Hadi atas 'pengkhianatan bersiri'

DAP hari ini buat pertama kalinya secara terbuka mengkritik Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkaitan apa yang dikatakannya sebagai "pengkhianatan bersiri" oleh pemimpin tertinggi parti itu.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata masalah yang dihadapi Pakatan Rakyat telah melampaui kedegilan PAS Kelantan untuk melaksanakan hudud tetapi juga ketidakupayaan Abdul Hadi untuk mengotai janji-janjinya.

Menurutnya, isu yang dihadapi oleh majlis kepimpinan Pakatan bukan lagi sekadar kedegilan PAS yang mempercayai dan bekerjasama dengan Umno bagi melaksanakan undang-undang hudud tetapi juga penghinaan Pakatan dengan memungkiri janji yang dinyatakan sendiri kepada gabungan itu.

"Pengkhianatan bersiri oleh kepimpinan utama PAS ini adalah satu tindakan provokasi yang dilakukan secara sengaja untuk memecahkan Pakatan, atau demi mengugut DAP dan PKR supaya menyerah kepada PAS atau sebaliknya melihat Pakatan Rakyat berpecah,"
kata Lim dalam satu kenyataan.

Kenyataan Lim dibuat selepas pendedahan bahawa Abdul Hadi telah menghantar notis untuk membentangkan rang undang-undang persendirian di Parlimen berkaitan pelaksanaan hudud, tanpa pengetahuan gabungan tersebut.

Katanya, Hadi telah menghantar notis itu kepada Parlimen pada 18 Mac, untuk melaksanakan hudud ke atas orang Islam di Kelantan dengan meminda Akta 355, iaitu Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965.

Manakala undang-undang hudud di Kelantan, katanya, hanya diluluskan sebulat suara oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan yang bersidang pada 19 Mac.

Dengan mengemukakan notis itu ketika rang undang-undang itu baru diluluskan, kata Lim, menunjukkan bahawa Hadi sekali lagi memungkiri janji yang dibuatnya sendiri pada mesyuarat 8 Februari bahawa sebarang usaha untuk mengemukakan usul persendirian itu, harus terlebih dahulu dibincangkan dalam mesyuarat majlis kepimpinan Pakatan.
-mk


ULASAN GB

Ada dua senario yang menyentap rasa .... ulama bersukaria berselfie sakan tatkala ada rakyat Kelantan mangsa banjir yang masih menderita tinggal di khemah.. saksikanlah




Jikalah mangsa-mangsa banjir itu tahu ulama-ulama PAS sedang gian berselfie... apakah dan bagaimanakan perasaan mereka agaknya?
Dan diberitakan juga hampir RM1 juta digunakan untuk menganjurkan Ijtima Ulama Antarabangsa Ke 3 untuk kempen muktamar mengangkat ulamak. Jikalah berakal dan bergama, bukankah lebih baik wang sejuta itu digunakan untuk mangsa banjir...

Catatan Dhuha.
Tahniah kepada semua yang terlibat menjayakan Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah Ke 3 di Rusila. Penglibatan daripada pimpinan tertinggi Pas hingga Jabatan Amal amat membanggakan. Program yang menelan belanja hampir RM1 juta menunjukkan Pas mampu walau pun bukan sebagai parti pemerintah. Inilah kehebatan ahli Pas. Keberkatan bersama jamaah. Ust Idris Hj Ahmad 30 Jamadil Awal 1436/ 21 Mac 2015 Sabtu.


Fiqh Awaliyyat menurut ulama PAS: HUDUD!

Otak letak kat mana? Hukum kebenaran dan keadilan akan terus berjalan... GB mengutuk ulamak? Bukan... Hukum kebenaran dan keadilan mendedahkannya...