15 Jun 2015

Guan Eng Sahut Cabaran Ulama PAS, Pecat SU PAS Pulau Pinang


Setiausaha PAS Pulau Pinang dihenti kerja kerajaan DAP

Kemelut DAP-PAS semakin meruncing apabila Setiausaha PAS Pulau Pinang yang berkhidmat sebagai Pegawai Penerangan gred S41 dalam kerajaan negeri diberhentikan kerja, berkuatkuasa Jumaat lepas.

Notis bertarikh 12 Jun dari Pejabat Setiausaha Kerajaan negeri itu dihantar dengan tangan kepada Mohd Fadzil Kemi yang memegang jawatan sebagai Pegawai Penerangan kepada Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.

Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Farizan Darus yang mengesahkan notis tersebut berkata beliau yakin notis itu diterima Mohd Fadzil pada Jumaat lepas kerana dihantar dengan tangan.

"Notis pemberhentian perkhidmatan itu berkuat kuasa pada 12 Jun 2015 dengan bayaran satu bulan gaji menggantikan notis selaras dengan fasal 9, perjanjian kontrak dihantar kepada Mohd Fadzil," katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.

Katanya, dalam tempoh perjanjian kontrak setahun yang ditandatangani pada 12 Disember tahun lepas, mana-mana pihak boleh menghentikan kontrak tersebut tanpa sebarang alasan.

Sementara itu usaha untuk mendapat maklum balas daripada Mohd Fadzil yang juga merupakan ahli Lembaga Pengarah Zakat Pulau Pinang, gagal kerana beliau tidak dapat dihubungi.

Semalam, Ketua Menteri Lim Guan Eng dalam satu kenyataan mendesak kepimpinan baharu PAS untuk mengarahkan wakil- wakilnya untuk mengundur diri.

Beliau berkata adalah tidak logik kepimpinan baharu PAS masih cuba berbelit-belit yang mereka masih membincangkan usul memutuskan hubungan dengan DAP, bila usul itu "diterima" tanpa bahas dan "bukan dirujuk" oleh Muktamar PAS.

Lim berkata tiga wakil PAS dalam kerajaan PAS, iaitu Mohamad Sabu, Ustaz Mujahid Yusof Rawa dan Ustaz Rosidi Hussain meletakkan semua jawatan mereka dalam kerajaan negeri Pulau Pinang.

Kemelut DAP-PAS berlaku selepas Dewan Ulama PAS sebulat suara meluluskan usul tergempar untuk memutuskan hubungan dengan DAP dalam Muktamar Tahunan PAS ke-61 tanpa bahas, namun akan meneruskan tahaluf siyasi atau kerjasama politik dalam pakatan pembangkang. – Bernama


'Lebih senang, cepat LGE sendiri pecat ahli PAS'

Dewan Ulama PAS Selangor mencabar Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng memecat ahli PAS yang memegang jawatan dalam kerajaan di negeri itu.

"Sekiranya DAP benar-benar ingin melihat PAS tiada dalam kerajaan Pulau Pinang, lebih senang, cepat dan lebih profesional Lim Guan Eng sendiri sebagai ketua menteri memecat semua ahli PAS dalam jawatan lantikan kerajaan," kata setiausaha Dewan Ulama Selangor, Muhammad Najhan Halim.

Mengenai tuntutan Lim supaya ahli PAS meletak jawatan mereka, Muhammad Najhan berkata apakah ketua menteri itu lupa bahawa kerajaan Pulau Pinang dimenangi secara bersama dalam Pakatan Rakyat dan kerajaan itu adalah kerajaan bersama.

"Jangan bertindak seperti Umno-BN yang tidak mampu membezakan antara kerajaan dan parti politik," katanya dalam satu kenyataan malam tadi..

"Adakah DAP sudah lupa indentiti dirinya sendiri yang pernah mendakwa diri mereka sebagai perjuang demokrasi dalam negara ini?" kata Muhammad Najhan.

Pada hujung minggu lalu, badan tertinggi dalam membuat keputusan dalam parti Islam - muktamar atau perhimpunan agung - meluluskan resolusi menggesa majlis syura parti dan jawatankuasa pusat untuk memutuskan hubungan dengan DAP.

Memandangkan ini, Lim berkata dari segi politik PAS tidak kekal dalam kerajaan Pulau Pinang yang dipimpinnya, kerana beliau juga merupakan setiausaha agung DAP.

Ahli PAS menyandang lebih 1,000 jawatan dalam majlis dan agensi kerajaan Pulau Pinang.

Ini termasuk jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC), di majlis perbandaran dan bandaraya dan dalalm jawatankuasa keselamatan (JKKK).

Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Datuk Mohd Salleh Man kini merupakan pengerusi Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAIPP), pengerusi Zakat Pulau Pinang dan ahli lembaga pengarah Yayasan Islam Pulau Pinang dan Hab Halal Pulau Pinang.

Setakat ini, dua bekas pemimpin PAS, Mohamad Sabu dan Datuk Mujahid Yusof Rawa, telah mengumumkan hasrat mereka untuk melepaskan jawatan dalam kerajaan negeri itu sebagai menghormati keputusan muktamar itu.

Muhammad Najhan juga menggesa ahli PAS menunggu majlis syura dan jawatankuasa pusat baru untuk memperinci dan memperhalusi keputusan yang dibuat di muktamar itu.

Katanya, PAS masih bersama Pakatan Rakyat, dan segala urusan kerajaan di Selangor hendaklah diteruskan seperti biasa demi kepentingan dan kepercayaan rakyat yang memberi mandat kepada Kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor.

Parti PAS seharusnya diberi hak laluannya sendiri dan dan bebas untuk menentukan halatujunya tanpa terikat dengan mana-mana pihak, katanya sambil menambah: "Jangan ada pihak yang cuba untuk mencucuk hidung PAS agar mengikut segala karenah dan kehendak pihak lain khususnya DAP."
-mk


ULASAN GB

Keceluparan Dewan Ulama PAS Selangor memakan diri. Kini betul-belul Guan Eng sahut cabarannya supaya memecat ahli PAS yang memegang jawatan di dalam kerajaan Pulau Pinang.

Baru satu orang yang dipecat dari 1000 orang ahli PAS yang berkhidmat di bawah kerajaan Pulau Pinang, dan yang bermaruah sepatutnya meletakkan jawatannya secara sukarela.


Kata dah putus hubungan, tapi kenapa susah nak lepaskan jawatan?

Pada minggu lalu, Muktamar PAS kali ke-61 berlangsung dengan menyaksikan golongan pro Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menang besar dalam pemilihan parti tersebut.

Kemenangan terbesar golongan yang dikenali sebagai pro ulama ini juga membuat satu resolusi mengatakan akan memutuskan hubungan mereka dengan DAP, tetapi kekal dalam Pakatan Rakyat (PR).

Ini macam sudah bercerai tapi masih hendak duduk serumah tidur sekatil.


Saya melihat hubungan “menage-a-trois” antara ketiga-tiga parti dalam PR ini sangat unik, memutuskan hubungan tetapi masih dalam satu kumpulan.

Beberapa ahli PAS yang tidak sebulu dengan golongan pro-ulama ini, seperti Mohamad Sabu, melepaskan jawatan sebagai seorang ahli lembaga pengarah di Perbadanan Air Pulau Pinang.

Pulau Pinang kini ditadbir oleh kerajaan yang diterajui oleh parti DAP, yang dipimpin sendiri oleh setiausaha agung parti itu sendiri, Lim Guan Eng.

Jika benarlah, begitu bencinya ahli PAS terhadap DAP, yang terus tegas dengan pendirian menolak undang-undang hudud, kenapa tidak reti-reti hendak letak jawatan secara terhormat?

Jika benar, resolusi memutuskan hubungan dengan DAP ini kerana parti DAP menolak dasar undang-undang hudud, kenapa demi lillahita'ala tak nak lepaskan jawatan?


Takkan hanya Mat Sabu sahaja yang berani buat macam tu?

Ada lebih 1,000 ahli PAS memegang jawatan dalam “payroll” kerajaan negeri Pulau Pinang.

Setakat ini, hanya 15 ahli jawatankuasa kampung tertentu mengemukakan surat peletakan jawatan mereka.

Kenapa yang lain tak nak lepaskan jawatan? Sebab seronok dapat kerusi empuk, pejabat mempunyai penyaman udara sambil main Facebook, hujung bulan dapat gaji, elaun itu dan ini?

Memanglah bukan DAP memiliki Pulau Pinang, tapi rakyat Pulau Pinang memilih PR sebagai pentadbir negeri tersebut, dengan DAP sebagai pemegang kerusi terbanyak.

Dalam kerajaan negeri yang ditadbir PAS sekarang ini, Kelantan, saya nak tanya, ada tak orang DAP pegang apa-apa jawatan dalam pentadbiran negeri?


Kalau ada, sepatutnya ahli itu melepaskan jawatannya sebagai satu bukti pendirian dalam berpolitik.

Kenapa bila main isu hudud sikit, semua jadi hilang akal, jadi gila, kemudian bila fikir bab pangkat, tak pula berfikir macam tu?

Macam ni ke parti Islam nak dijadikan sebagai contoh dalam berpolitik? –Mormy Nozwir/TMI




[TERKINI] Mazlan Aliman Letak Jawatan AJK PAS Pusat


Mazlan Aliman letak jawatan AJK Pusat PAS

Mazlan Aliman, satu-satunya calon pro-Pakatan Rakyat yang terpilih sebagai ahli Jawatankuasa PAS meletak jawatan tersebut serta merta hari ini.

Bagaimanapun beliau tetap akan bersama PAS sebagai anggota parti.

Bercakap kepada pemberita di ibu pejabat parti itu, Mazlan berkata beliau meletakkan jawatan itu kerana mahu memberikan tumpuan kepada NGO Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) yang diketuainya.

Beliau yang sebelum ini mempertimbangkan akan meletakkan jawatannya itu, mendapat sebanyak 593 undi dan berada ditangga ke 14 daripada 18 jawatan dalam pemilihan parti itu minggu lalu.

Menurutnya lagi, beliau turut terkesan dengan krisis yang dihadapi PAS pada ketika ini yang dianggapnya sangat mencabar dan memerlukan kesabaran tinggi.

Sebagai pemantau kepada kegiatan Felda, Mazlan turut sedih apabila ramai rakan seperjuangannya tewas dalam pemilihan yang menyaksikan kumpulan proulama menyapu bersih jawatan dalam kepimpinan parti. -mk


Mazlan Aliman umum lepaskan jawatan AJK PAS Pusat

Presiden Persatuan Anak-Anak Peneroka Felda (Anak) Mazlan Aliman hari ini membuat keputusan melepaskan jawatan sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat.

Mazlan berkata, rakan-rakannya yang tidak terpilih dalam AJK PAS Pusat bukanlah satu-satunya sebab peletakan jawatannya tetapi untuk membuka lebih ruang dalam penglibatannya dalam Anak.

"Saya mengambil keputusan meletak jawatan serta merta bermula hari ini. Saya memohon maaf atas keputusan ini.

"Saya tetap bersama PAS walaupun ahli biasa. Saya tetap akan menegakkan kebenaran," katanya pada satu sidang media yang diadakan di Pejabat Agung PAS hari ini.

Mazlan berkata sama ada golongan yang berjaya dalam pemilihan PAS atau mereka yang kecundang, kesemuanya merupakan rakan dalam meneruskan perjuangan.

Katanya, tidak adil melabelkan dirinya sebagai pemimpin PAS yang pro Pakatan Rakyat (PR) kerana beliau sudah bersama parti Islam itu sejak 30 tahun lalu.

"Kalau nak kata tak ada kena mengena langsung, mungkin tidak tepat, tetapi tentulah sepanjang persahabatan, ukhuwah dan kebersamaan saya bersama rakan-rakan yang kalah, ia sedikit sebanyak satu titik hitam dalam hidup saya.

"Apabila polemik ini tidak berkesudahan, ia memberi luka yang amat dalam kepada saya dan sekiranya sebarang dakwaan mengatakan pemilihan kali ini ditentukan melalui proses ‘cai’, tentu sekali ia sangat memilukan dan kita tak lagi berada atas landasan yang pemimpin dipilih melalui prestasi atau kerja mereka," katanya.

Ditanya sama ada akan meninggalkan PAS dan menyertai Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa), Mazlan berkata beliau tiada kaitan dengan NGO itu.

"Saya tidak ada kaitan dengan PasMa. Itu saya boleh katakan. Apa pun yang mereka nak buat, itu tiada kaitan dengan saya," katanya.

Mazlan berkata Anak kini tidak lagi diletakkan di bawah PAS selepas ia mendapat kelulusan Pendaftar Pertubuhan (RoS) empat bulan lalu.

Katanya, Anak akan meneruskan misinya membela peneroka Felda, dan dengan tidak lagi menganggotai AJK PAS Pusat, usaha berkenaan akan menjadi lebih mudah.

"Apabila dapat kelulusan (RoS), Anak lebih bebas kerana Anak dianggotai bukan sahaja ahli PAS, tetapi ahli Umno. Maknanya kita bebas," katanya.

Sebelum ini, Mazlan membuat kenyataan menyatakan beliau sedang menimbangkan sama ada kekal atau melepaskan jawatan itu, mengatakan pengumuman akan dibuat pada masa yang sesuai.

Katanya, sungguh pun komitmen terhadap Anak akan diteruskan, kemelut dalaman PAS memberi kesan mendalam terhadap dirinya.
-TMI



SURAT PERLETAKAN JAWATAN AJK PAS PUSAT

15 Jun 2015 (Isnin)

Kepada:
YB DATO’ SERI TUAN GURU HJ.ABDUL HADI AWANG
PRESIDEN
Parti Islam SeMalaysia (PAS)
Tkt.4, Pejabat Agung PAS Pusat
318 A, Jalan Raja Laut
50350 Kuala Lumpur

YB Dato’ Seri Tuan Guru,
PERLETAKAN JAWATAN SEBAGAI AHLI JAWATANKUASA KERJA (AJK)

Perkara diatas adalah dirujuk.

Setelah mengambil masa dan pertimbangan, saya membuat keputusan meletakkan jawatan sebagai AJK berkuatkuasa serta merta (hari ini).

Saya amat menghargai kepercayaan yang telah diberikan oleh para perwakilan dalam pemilihan di Muktamar PAS Kali ke 61 baru-baru ini. Namun saya memohon maaf diatas keputusan yang saya ambil walaupun ianya amat sukar dan menyedihkan.

Sudah sampai masanya saya mesti memberikan lebih tumpuan kepada Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang saya ketuai iaitu Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) dan beberapa NGO lain antaranya Badan Prihatin Orang Asal (BATIN), Pertubuhan Kebajikan Anak Penoreh Getah (PETAH) dan Pertubuhan Kampung Tradisi Dan Warisan Bangsa Malaysia (ANAK WARISAN) dimana saya adalah penasihat kepada NGO tersebut. Kesemua NGO ini telah mendapat kelulusan daripada Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS).

Saya tetap bersama PAS walaupun sebagai ahli biasa dan akan terus memberikan sumbangan dalam perjuangan menegakkan keadilan dan kebenaran. Saya ingin memanfaatkan masa dan ruang untuk mengambil inisiatif menggabungkan NGO-NGO bagi menangani isu-isu kritikal seperti FGV, GST, kos sara hidup rakyat dan lain-lain dengan mekanisma yang lebih berkesan.

Saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada YB Dato’ Seri Tuan Guru yang telah memberi kepercayaan, tunjuk ajar dan sokongan yang tidak berbelah bagi sepanjang saya menjadi AJK. Saya memohon maaf diatas segala kesalahan, kelemahan dan keterlanjuran dalam tempoh saya menjadi AJK.

Sekian.

Yang Benar;


...........................
Mazlan Aliman

s.k : Setiausaha Agung


Mahfodz Johor Terkedu, DAP Tolak Kerjasama Dengannya...


DAP Johor tak kerjasama dengan Mahfodz

DAP Johor berikrar untuk tidak bekerjasama dengan Pesuruhjaya PAS Johor yang baru dilantik Datuk Mahfodz Mohamed.

Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong berkata selaku ketua Dewan Ulama, Mahfodz bertanggungjawab terhadap resolusi dewan itu yang menggesa jawatankuasa pusat PAS dan Majlis Syura Ulama untuk memutuskan hubungan dengan DAP.

Resolusi itu kemudiannya diterima oleh muktamar PAS minggu lalu.

Dilantik pemimpin PAS Johor semalam, Mahfodz berkata bahawa hubungan PAS Johor dan DAP negeri itu berjalan seperti biasa sehingga Majlis Syura Ulama membuat keputusan.

Sebagai maklum balas, Liew berkata kedudukan bercanggah yang dipegang oleh Mahfodz itu, membuat hubungan antara kedua-dua pihak tidak dapat dipertahankan.

"Secara tiba-tiba, dia kini ingin bekerjasama dengan Pakatan Rakyat. Saya rasa (dengan berbuat demikian) dia tidak mempunyai integriti.

"Saya melihat tidak ada ruang untuk kerjasama dengan Mahfodz," kata Liew, dalam posting Facebook dalam bahasa Cina. -mk


Jangan letak jawatan dulu, kata ketua Dewan Ulama PAS

Datuk Dr Mahfodz Mohamed meminta ahli-ahli PAS di Selangor dan Pulau Pinang agar tidak meletakkan jawatan terlebih dahulu sehingga Majlis Syura Ulama membuat keputusan walaupun muktamar lalu menerima usul untuk memutuskan hubungan dengan DAP.

Ketua Dewan Ulama itu berkata, Majlis Syura Ulama akan membuat keputusan berhubung kerjasama politik antara PAS dan DAP yang dijangka diadakan dalam tempoh sebulan.

"Kita mahu perbaiki hubungan kerjasama ini. Sebab itu kita juga minta negeri-negeri lain terutamanya di Pulau Pinang dan Selangor supaya jangan letak jawatan dulu sehingga keputusan dibuat,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.

Beliau yang juga pesuruhjaya PAS Johor berkata, pada ketika ini kepimpinan parti di Johor masih meneruskan kerjasama bersama DAP dalam Pakatan Rakyat (PR) seperti biasa sehingga keputusan mengenai perkara itu diputuskan.

“Mengenai hubungan dengan DAP kita tunggu keputusan Majlis Syura Ulama," katanya seperti dilaporkan akhbar berbahasa Melayu itu.

Menurut Mahfodz, beliau turut berharap untuk mengadakan pertemuan bersama kepimpinan DAP Johor bagi memulihkan hubungan dan kerjasama politik di antara kedua-dua parti.

“Situasi di Johor tidak sama dengan negeri lain seperti di Selangor dan Pulau Pinang kerana di sana kerajaan (PR) sudah dibentuk tetapi di Johor hanya parti sahaja. Harap mereka sudi terima pelawaan kita,” katanya kepada akhbar itu.

Mahfodz berkata, PAS dan DAP saling memerlukan bagi mengukuhkan kedudukan dan kemenangan kedua-dua parti itu di kerusi masing-masing adalah disebabkan kerjasama berkumpulan dalam PR.


Semalam, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mengatakan kerajaan negeri Pulau Pinang menyifatkan keputusan muktamar PAS yang mahu memutuskan hubungan dengan partinya adalah muktamad dan wakil kerajaan negeri daripada parti Islam itu perlu mengundurkan diri.

Ketua menteri Pulau Pinang itu berkata, PAS harus jelas dan tidak perlu berdolak-dalik mendakwa usul berkenaan masih di peringkat perbincangan kerana muktamar sudah pun meluluskan usul itu tanpa perbahasan.

“Adalah tidak logik kepimpinan baharu PAS masih cuba berbelit-belit yang mereka masih membincangkan usul memutuskan hubungan dengan DAP, bila usul ini 'diterima' tanpa bahas dan 'bukan dirujuk' oleh muktamar PAS.

“Perlu diingat yang kerajaan negeri Pulau Pinang masih stabil dan tidak terjejas tanpa penyertaan atau penglibatan wakil PAS,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
-TMI


ULASAN GB

Amacam? Sekarang Dewan Ulama seperti hidung tak mancung pipi tersorong-sorong, nak berbaik-baik dengan DAP setelah ahli ulama mereka sendiri yang telah mengusulkan putus kerjasama dengan DAP di muktamar yang lalu.

Inilah gara-gara penyingkiran kumpulan profesional dalam PAS, yang tinggal mereka yang berpemikiran jumud yang taksub keterlaluan kepada Presiden parti.

Dan ingat, Mahfodz inilah orangnya yang kerap menyuruh agar tahaluf siyasi disemaksemula malah pada satu ketika menyatakan tahaluf siyasi boleh batal dengan provokatif.


Kini kamu dapat apa yang kamu minta. Lepas kamu ludah kini kamu nak menjilat semula. Tahaluf siyasi sudah tidak bermakna, orang pun dah menolak untuk bekerjasama denganmu, nak bertahaluf macamana lagi?

Hukum kebenaran dan keadilan akan terus berjalan....

PAS Terkedu, Azmin Kata Keputusan Muktamar Perlu Dihormati


Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali berkata, keputusan dicapai dalam muktamar Pas perlu dihormati oleh semua pihak sebab muktamar merupakan badan pembuat keputusan tertinggi parti itu.

"Keputusan muktamar adalah keputusan tertinggi, itu menjadi amalan semua parti-parti politik. Kalau PKR, apa jua yang diputuskan dalam kongres, itulah keputusan muktamad, dan dalam DAP apa yang diputuskan dalam konvensyen, itulah keputusan muktamad," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan cek pembiayaan program Hijrah Selangor fasa ketiga di Universiti Selangor (Unisel) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang dalam blognya yang dipetik sebagai berkata: "Saya bersetuju dengan beberapa MP Pas bahawa keputusan Muktamar Pas untuk memutuskan hubungan dengan DAP adalah muktamad kerana Muktamar Pas adalah badan pembuat keputusan tertinggi dan tiada aduan keputusan itu melanggar mana-mana undang-undang Islam atau Hukum".

Kenyataan Lim susulan keputusan Dewan Ulama Pas yang mengusulkan memutuskan hubungan dengan DAP dalam Muktamar Tahunan Pas ke-61 baru-baru ini.

Dalam perkembangan lain, Mohamed Azmin yang juga Menteri Besar Selangor berkata, penubuhan parti baharu seperti dicadangkan oleh Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma) perlu menerima 'rangka dasar bersama' yang dipersetujui oleh semua rakan komponen PR.

"Dalam sistem demokrasi, mana-mana individu boleh bentuk parti dan badan bukan kerajaan. Namun, jika Pasma berhasrat untuk bersama PR, maka perlu terima dasar bersama yang diterima PR," katanya.

Pasma semalam mencadangkan parti politik baharu itu bagi menggantikan Pas dalam PR selepas Pas dalam Muktamar Tahunannya ke-61 baru-baru ini, menerima usul memutuskan hubungan dengan DAP. - Bernama

ULASAN GB

Terkedua PAS, terutama PAS Selangor dan sekalian barisan ulama.

GB sudah pun menyatakan sebelum ini. Petikan:

Hukum kebenaran dan keadilan terus berjalan. Kumpulan ulamak PAS yang buta undang-undang membuat dan meluluskan usul putus kerjasama dengan DAP, yang akhirnya mereka snediri terjerit-jerit kononnnya "ia belum muktamad" lagi.

Tidakkah itu melucukan? Mereka mengusul, mereka meluluskan dan kemudian mereka menyatakan "ia belum muktamad."

"Belum muktamad" itu berlaku apabila tersentak dengan pengumuman perletakan jawatan Mohd Sabu di dalam kerajaan Pulau Pinang. Tetapi mereka dari kumpulan ulamak yang turut memegang jawatan di dalam kerajaan Pulau Pinang dan Selangor keberatan mahu melepas jawatan sebelum mendapat arahan PAS Pusat.

Di dalam satu ulasan GB yang lain apa yang ditimbulkan oleh MB Selangor itu serupa dengan apa yang telah GB tulis sebelum ini. Petikan:

Di dalam ucapannya juga, Ketua Dewan Ulamak ada menyatakan keputusan memutuskan hubungan kerjasama dengan DAP adalah permasalahn "hukum". Oleh itu ia akan dibincangkan oleh Majlis Syura.

Sedangkan yang membawa usul berkenaan ialah Mokhtar Senik, Ketua Dewan Ulama PAS Pahang dan disokng oleh Nor Azli Musa, Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Perak.

Takkan kedua-dua "ulamak" berkenaan tak tahu bab hukum sehingga terpaksa ianya dimesyuaratkan semula mengenai hukumnya oleh Majlis Syura?


Tindakan Ketua Menteri Pulau Pinang adalah berdasarkan bahawa usul berkenaan telah diluluskan tanpa bahas oleh Muktamar. Di dalam apa-apa parti sekalipun di negara ini, "keputusan muktamar" itu adalah "keputusan yang tertinggi" bagi sesebuah parti politik. Malah kewujudan Majlis Syura Ulama itu juga boleh dihapuskan dengan keputusan Muktamar.

Malah jika dirujukkan kepada ROS pun, ROS akan menyatakan keputusan Muktamar atau Mesyuarat Agung adalah kata putus bagi setiap perbalahan di dalam pertubuhan. Itu sebab mengapa, apabila terdapat pertubuhan yang terlibat dengan perbalakan, ROS akan mengarahkan diadakan mesyuarat agong semula.

Kewujudan Majlis Syura hanya untuk menampakkan PAS sebagai sebuah "gerakan Islam". ROS hanya mengesahkan PAS sebagai sebuah pertubuhan politik bukan sebagai sebuah gerakan Islam. ROS adalah Registrar Of Sociiety, bukan Registrar Of Islamic Movement. Dari sudut pertubuhan, keputusan muktamar itulah yang paling tinggi dan itulah yang dinyatakan di dalam Perlembagaan PAS Fasal 7.


Maka itu tindakan Ketua Menteri Pulau Pinang itu adalah betul dari perspektif sedemikian, demikian juga pengumuman perletakkan jawatan Mohd Sabu dengan kerajaan negeri Pulau Pinang.

Kemudian Datok Mahfodz Mohamed menyatakan bahawa: "Saya tak jangka (perkara ini) kerana yang kita risau sebelum ini ialah di Selangor. Sebab, kalau Selangor tak ada (PAS), ia goncang sedikit."

Ini membuktikan bahawa tak timbul persoalan hukum. Yang ada ialah kepentingan "cari makan". Bimbang pula keadaan di Selangor jika putuskan hubungan dengan DAP kerana dengan penerimaan usul berkenaan, mereka yang memegang jawatan di dalam kerajaan negeri Selangor pun akan terpaksa patuh keputusan muktamar.

Kita akan dapat menjangkakan bahawa Majlis Syura dan AJK PAS Pusat akan melakukan U-TURN untuk membatalkan usul muktamar berkenaan bagi menyelamatkan kedudukan ahli-ahli PAS yang kini memegang pelbagai jawatan di dalam kerajaan negeri Pulau Pinang dan Selangor. Bukan soal hukum tapi soal syuru...

Inilah akibatnya bila ulamak-ulamak yang tidak profesyenal berada di dalam PAS dan golongan profesyenal di dalam bab undang-undang disisihkan malah diejekkan dalam muktamar oleh perwakilan. Yang ada ulama-ulama yang buta perlembagaan dan buta undang-undang. Ia petanda bala dan malapetaka bakal menimpa PAS. Jika sebelum ini banyak kes yang menang di mahkamah yang melibatkan PAS dan pemimpinnya termasuk kes Presiden PAS sendiri, kerana adanya profesyenal undang-undnag di dalam PAS. Maka selepas ini dapat dijangkakan ramai pula yang akan tewas di mahkamah dan masuk penjara bila profesyenal disisihkan. Yang ada dalam PAS kini ialah tukang fitnah, tukang jerit, tukang ejek, tukang ketawa dan tukang caci yang otaknya mereng, juga sama seperti pejuang-pejuang rasis seangkatan PEKIDA, Jaringan Melayu Rani Kulop, PERKASA dan seumpamanya.

Kenyataan-kenyataan yang menyuruh semua pihak menunggu keputusan Majlis Syura Ulama adalah kenyataan-kenyataan yang cuba membodohkan ahli-ahli PAS, terutama ulama-ulama bermentaliti seurpa "Ahmad Maslan" dan "Hassan Malek" yang kini ramai terdapat dalam PAS. Tahap pendidikan dan pemikirannya mediocre, tetapi tahap mengampu Presiden sampai ke tahap taksub, dan mereka inilah yang menang dalam pemilihan muktamar yang lepas.