14 Feb 2010

Siapalah Muhyiddin Nak Kritik Ku Li?

Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Tengku Razaleigh Hamzah perlu menilai kedudukannya dalam parti ekoran tindakannya yang menggunakan platform pembangkang untuk menyatakan pendirian berkenaan isu royalti minyak.

Timbalan Perdana Menteri berkata UMNO memandang berat tindakan Ketua UMNO Bahagian Gua Musang itu.

"Platform yang dia (Tengku Razaleigh) gunakan itu bukanlah platform kerajaan pusat atau platform UMNO... saya dimaklumkan ia ditaja oleh PAS.

"Oleh itu sepatutnya perkara itu tidak berlaku dan kita juga ikuti banyak kenyataan-kenyataan yang beliau dah keluarkan dan saya lihat ada juga bertentangan dengan prinsip kerajaan dan parti," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Anugerah Kecemerlangan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) untuk Daerah Besut di sini pada Sabtu.

Timbalan Perdana Menteri mengulas tindakan Tengku Razaleigh yang menyatakan pendiriannya mengenai royalti petroleum melalui platform pembangkang pada 28 Jan lepas di Stadium Sultan Mohamed IV, Kota Baharu, Kelantan.

Muhyiddin berkata bekas Menteri Kewangan itu yang sudah dianggap veteran dan berpengalaman sepatutnya mempunyai pendirian yang tetap berhubung soal royalti minyak.

"Saya tidak sesuai nak tunjuk ajar, padahal Ku Li lebih senior daripada saya dan dia lebih tahu daripada saya.

"Harap teliti semula kedudukannya kerana dilihat melakukan sesuatu yang bercanggah dengan prinsip parti atau yang bertentangan dengan dasar parti dan kerajaan. Jadi serah kepada kebijaksanaan Ku Li," katanya.

Mengenai cadangan PAS untuk bekerjasama dengan UMNO, Muhyiddin berkata cadangan yang dikemukakan itu tidak mengambarkan permintaan daripada akar umbi parti berkenaan.

"Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) dah beritahu, kita (UMNO) tak pasti kerana mereka (PAS) selalu berubah-ubah. Ia dibuat atas kenyataan (Mursyidul Am PAS) Datuk Nik Abdul Aziz (Nik Mat) saja, kecuali kalau partinya buat keputusan seperti Majlis Syura yang bagi kenyataan nak berkerjasama dengan Umno dan kalau itu berlaku, kita ambil serius.

"Kalau setakat seorang dua yang nyatakan benda (kerjasama) itu, kemudian dia boleh berubah, tak setuju dan ia tak jadi apa-apa. Kita dah melihat banyak peristiwa dulu yang lepas-lepas, bila sebut nak kerjasama, esok dia patah balik," katanya.

Katanya, UMNO tidak boleh bergantung kepada cadangan seorang dua untuk bekerjasama, sebaliknya mestilah datang daripada keseluruhan parti.

"Setakat hari ini kita hanya mendengar...tak sesuai untuk kita respons," katanya.

-- BERNAMA

Ulasan GB

Siapalah Muhyiddin tu yang nak tunjuk-ajar YBM Tengku Razaleigh.
Ku Li jauh lebih berpengalaman, berkarismatik dan berkelayakan untuk menjadi PM daripada Muhyiddin, malah daripada Najib sendiri.

Jika Ku Li menyertai Pakatan Rakyat besar kemungkinan Ku Li mampu menjadi tokoh utama di dalam PR, jika ditakdirkan Anwar dikenakan tindakan ekoran kes konpirasi 2 yang sedang berjalan kini.


AWAS : Penipuan Siber Meningkat Di Negara Ini

Cybersecurity Malaysia mengingatkan pengguna internet supaya berwaspada apabila menerima e-mel dari institusi bank dengan meminta mendedahkan maklumat peribadi bagi mengelak ia digunakan untuk tujuan khianat oleh pihak tertentu.

Pengguna menerima e-mel dari bank meminta mengemaskinikan butiran peribadi, mengaktifkan semula akaun perbankan dalam talian atau menyertai dalam kajiselidik yang menawarkan ganjaran RM200.

Mereka yang menerima e-mel dengan pesanan seperti itu dinasihatkan supaya memadamkannya kerana dengan menjawab soalan itu mereka mungkin menjadi mangsa penipuan penjenayah siber yang kian meningkat.

Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Husin Jazri, berkata menjawab pesanan itu dengan memasukkan butiran peribadi seperti nama akaun perbankan dalam talian dan kata laluan merupakan percubaan untuk mencuri wang dalam akaun pemegang.

Oleh kerana laman web palsu itu menyerupai laman web bank yang sah, maka pelanggan terpedaya dengan memasukkan butiran peribadi sulit dan dengan itu nama dan kata laluan pemegang akaun dapati dicuri tanpa disyaki," katanya kepada Bernama di sini pada Ahad.

Menurutnya, tahun lepas, Pusat Bantuan Cyber999 telah menerima sebanyak 3,564 aduan mengenai insiden penipuan dalam internet iaitu meningkat 68 peratus aduan berbanding tahun sebelumnya.

Husin berkata laman web palsu dibangunkan sama seperti laman web bank terkenal tempatan dan penghantaran e-mel dengan menggunakan soalan yang menyakinkan untuk pelanggan membuka hubungan kepada laman web palsu itu.

"Bank tidak pernah tanya pelanggannya khususnya pengguna e-perbankan untuk mengemaskinikan akaun, mengubah semula kata laluan atau butiran peribadi menerusi e-mel," katanya.

Husin berkata pihaknya, sebagai agensi di bawah Kementerian Sains, Teknoloji dan Inovasi, kini mengawasi keadaan itu dan bekerja rapat dengan Polis, Bank Negara dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dengan menyediakan sokong teknikal cara mengatasi ancaman siber ini.

Katanya kegiatan penipuan siber semakin menonjol setiap tahun dan dianggap salah satu ancaman besar dalam negara dan kerajaan mengambil langkah untuk memerangi jenayah siber dengan menubuhkan CyberSecurity Malaysia dan penggubalan Dasar Keselamatan Siber Kebangsaan (NCSP).

Katanya dalam usaha mendidik masyarakat dan meningkatkan tahap kesedaran keselamatan internet, CyberSecurity telah membangunkan program 'CyberSAFE' di mana orang awam boleh mendapatkan maklumat mengenai keselamatan internet dalam portal di alamat www.cybersafe.my.

Pengguna internet yang ingin mendapatkan nasihat dan sokongan teknikal boleh menghubungi CyberSecurity di Pusat Bantuan Cyber999 di alamat e-mel cyber999@cybersecurity.my. -Bernama

Ulasan GB

Perkara penting untuk diberikan perhatian ialah JANGAN samasekali buka sebarang email mengenai ONLINE BANKING samada maybank2u, cimbclick dan sebagainya.

Bank-bank berkenaan tidak berurusan dengan pelanggannya melalui email.

Ramai Ahli Setuju Tindakan Khalid Samad Tidak Rayu

Ahli PAS rata-rata menyokong pendirian Yang Dipertua PAS Shah Alam Khalid Samad untuk tidak merayu terhadap hukuman yang dikenakan oleh Jawatankuasa Diiplin PAS sebelum ini sekalipun diminta oleh Setiausaha Agung parti, Mustafa Ali berbuat demikian.

Mustafa, di dalam satu kenyataannya di media online menyatalan Khalid Samad tidak boleh berdiam diri, sebaliknya perlu menulis jika mahu jawatankuasa kerja pusat dan Majlis Syura mengkaji semula hukuman digantung jawatan parti selama enam bulan.

Mustafa berkata pihaknya akan menganggap Khalid tidak berhasrat jika enggan mengemukakan rayuan dalam tempoh yang ditetapkan perlembagaan parti.

Dalam keputusan diumumkan 29 Jan lalu jawatankuasa disiplin menjatuhkan hukuman menggantung kesemua jawatan dalam parti disandang Khalid selama enam bulan.

Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Ali yang juga Exco Kerajaan Negeri Selangor hanya diberikan amaran.

Khalid, seperti Datuk Hassan dikatakan didapati bersalah di bawah fasal 75 Perlembagaan PAS.

Khalid mempunyai masa 30 hari untuk mengemukakan rayuan kepada jawatankuasa kerja pusat dan jika ia ditolak, boleh merayu kepada Majlis Syura.

Jawatankuasa kerja pusat sepatutnya bermesyuarat hari ini tetapi ditangguhkan kerana sambutan Tahun Baru Cina.

Kata Mustafa, sama ada mahu menyerahkan kepada jawatankuasa kerja pusat atau tidak, Khalid tetap perlu memaklumkan ibu pejabat parti.

“Beliau kena maklum kami, tidak boleh maklum pada media sahaja,” katanya.

Justeru kata Mustafa, beliau akan memaklumkan kepada jawatankuasa kerja pusat “tidak menerima sebarang rayuan bertulis” jika tiada respons daripada Khalid dalam tempoh

Sejak jawatankuasa disiplin mengumumkan keputusannya pada 29 Jan lalu banyak pihak menyifatkan tindakan Jawatankuasa Disiplin itu tidak adil dan diskriminasi.

Kelmarin, penasihat undang-undang PAS Hanipa Maidin menggesa jawatankuasa kerja pusat parti itu agar mengkaji semula keputusan jawatankuasa disiplin membabitkan dua pemimpin Selangor berkenaan, yang kini mencetuskan reaksi tidak senang di kalangan sesetengah pihak.

Hanipa, Pengerusi Lajnah Guaman PAS menyatakan beliau akan meminta jawatankuasa kerja pusat mengkaji semula penghakiman yang diumumkan agar ahli parti akan melihat keputusan ini sebagai adil dan seimbang.


"Mustafa Ali tiba-tiba kini muncul untuk mengarahkan Khalid untuk buat rayuan. Siapa Mustafa? Beliau hanya seorang Setiausaha Agong dan di dalam Perlembagaan fasal berapa yang memberikan beliau kuasa terlalu besar sehingga boleh mengarahkan seseorang ahli parti yang dikenakan tindakan disiplin lakukan itu dan ini," tanya seorang pemimpin PAS peringkat kawasan yang enggan disebutkan namanya.

"Ahli parti berhak menilai dan membincangkan kepincangan keanggotaan dan perjalanan jawatankuasa disiplin parti, siapa sebenarnya yang melantik mereka, di atas kapasiti dan piawaian apa mereka dilantik dan apakah ada tatacara khusus yang professional di dalam urusan menghakimi kes-kes disiplin oleh Jawatankuasa ini?" tambahnya.

Ramai ahli mempersoalkan bagaimana jawatankuasa ini dilantik yang tiba-tiba membicarakan kes-les disiplin parti. Perlantikan jawatakuasa ini tidak telus dan ramai beranggapan perlantikan mereka dibuat secara tidak professional yang sepatutnya bersandarkan syarak yang memerlukan perlantikan "hakim" terdiri dari mereka yang berkeahlian, bukan yang pandai pusing dan pandai menipu ahli jemaah.

"Malah mendukacitakan apabila kes dibicarakan secara tertutup, tiada ketelusan sekalipun Pengerusinya sebelum dari perbicaraan bermula menyatakan bahawa perbicaraan akan dilakukan secara telus. Mengapa tertutup? Apakah ada yang terlalu sensasi seperti kes Saiful yang mencerita dirinya diliwat di dalam mahkamah baru-baru ini?" tegasnya.

"Sedangkan Inkues kematian Teoh Beng Hock, satu dunia boleh menyaksikan perbicaraan. Di zaman Rasulullah dan khulafau Ar-Rasyidin pun begitu. Tetapi dalam PAS, ia mengikut contoh kes Saiful, tertutup semuanya. Apakah ada pihak yang khuatir kerana pendedahan "liwat" pemimpin PAS dengan UMNO dalam kelambu atau apa?

"Sudahkah ada procedure siasatan dilakukan dan apakah pihak ahli jawatankuasa siasatan telah dikursuskan untuk menjalankan siasatan supaya ianya memenuhi prinsip kesaksamaan dan keadilan yang dituntut oleh Islam?" tambahnya.

Ramai bersetuju dengan cadangan Peguam PAS, Hanipa Maidin supaya kes Khalid dan Hassan dibicarakan semula oleh sebuah badan disiplin yang lebih berwibawa, bukan jawatankuasa disiplin bertaraf kedai kopi.

Permohonan ahli supaya ahli-ahli jawatankuasa disiplin yang ada dilucutkan dari mendengar sebarang kes perlu dipenuhi dan apa juga keputusan yang dibicarakan sebelum ini hendaklah dianggap "null and void".


Kita bimbang apabila pemimpin mempunyai kuasa 'menggantung' dan 'tidak menggantung', mereka akan menuju ke tahap kezaliman Firaun dan Namrud yang mendakwa mereka berkuasa 'menghidup' dan 'mematikan'. Apabila berkenan menghidupkan, seseorang itu dibiarkan hidup dan jika mahukan seseorang itu mati, orang itu akan dibunuh. Demikianlah Firaun dan Namrud mengaku mereka berkuasa 'menghidup' dan 'mematikan', kononnya menyamai kuasa Allah SWT yang menghidupkan dan mematikan makhluk.

Perkembangan ini begitu menakutkan, kerana kuasa dijadikan alat untuk menjayakan cita-cita seseorang yang gila kuasa. Kita berpendapat kehadiran Jawatankuasa bukanlah untuk mempamer dan menunjukkan kuasa sebaliknya untuk memastikan semua ahli dan pihak diadili berdasarkan undang-undang sedia termaktub. "Justice must not only be done; it must also be seen to be done." Keadilan bukan saja perlu dilaksanakan tetapi juga dilihat ianya dilaksanakan.

Setiasaha Agong boleh mengemukakan dipecat semua ahli PAS yang menolak keputusan Jawatankuasa Disiplin, dan mengekalkan keahlian hanya mereka yang bersetuju dengan keputusan jawatankuasa disiplin, jika beliau mahu. Biar yang tinggal hanya ahli PAS dari Terengganu dan mereka yang menyokong perpaduang.


Zaharain Khianati Pengundi, Di saran Letak Jawatan Oleh TGNA

Datuk Seri Zahrain Mohd Hashim disaran meletakkan jawatannya sebagai Ahli Parlimen Bayan Baru bagi memberi laluan kepada pilihan raya kecil di kawasan itu, kata Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Beliau menyifatkan tindakan Zahrain, yang mengumumkan keluar dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) Jumaat lalu, dan wakil rakyat yang melompat parti sebagai golongan yang mengkhianati amanah rakyat.

Katanya, wakil rakyat yang bertindak demikian mesti bertanggungjawab kepada rakyat yang memilih mereka pada pilihan raya lepas dan perlu menyerahkan mandat semula kepada rakyat untuk membuat pemilihan baru.

"Undi adalah amanah yang diberikan oleh rakyat, jika kita melompat ke parti baru atas sebab tertentu, maknanya kita tidak amanah kepada rakyat," katanya kepada pemberita ketika menghadiri rumah terbuka Tahun Baru Cina oleh pengerusi syarikat perumahan SBJ terkenal di negeri itu, Datuk Tan Liang Chong, di Panji, dekat sini, hari ini.

Nik Abdul Aziz, yang juga Menteri Besar Kelantan, berkata demikian ketika mengulas tindakan Zahrain yang mengisytiharkan dirinya sebagai Ahli Parlimen Bebas setelah keluar dari PKR.

Keputusan Zahrain itu dibuat kerana beliau tidak yakin dengan kerajaan pakatan pembangkang Pulau Pinang pimpinan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang dianggapnya diktator dan berfikiran ala komunis.

Nik Abdul Aziz berkata, isu lompat parti atau keluar parti bukan sesuatu perkara yang baru, malah ia sudah lama berlaku dalam PAS sendiri.

Menurutnya, sama ada wakil rakyat yang sengaja melompat atau dilompatkan akan diambil kesempatan oleh pihak tertentu untuk kepentingan politik mereka.

Bagaimanapun, beliau bersyukur kerana setakat ini tidak ada wakil rakyat dari Kelantan yang bersikap demikian walaupun beberapa cubaan telah dibuat oleh pihak tertentu.

Katanya, wakil rakyat dari Kelantan tidak keluar parti atau melompat parti kerana mereka berpegang teguh kepada amanah dan mandat rakyat yang memilih mereka.

Mengenai sambutan Tahun baru Cina, Nik Abdul Aziz berkata, rakyat segenap lapisan digalakkan menghadiri majlis rumah terbuka masyarakat keturunan Cina, kerana ia tidak bercanggah dengan agama Islam. - BERNAMA

Khalid Samad Tak Akan Rayu, Serahkan Kepada J/K PAS Pusat

Yang Dipertua PAS Shah Alam Khalid Samad mengubah pendirian dengan menegaskan beliau tidak akan membuat rayuan berhubung hukuman yang dijatuhkan oleh jawatankuasa disiplin akhir bulan lalu.

Sebaliknya Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam menyerahkan kepada jawatankuasa kerja pusat PAS untuk menentukan nasib beliau.

Kata Khalid (gambar), jika jawatankuasa kerja pusat merasakan keputusan jawatankuasa disiplin yang dipengerusi Naib Presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man tidak adil, pihak berkenaan yang harus mengkaji semula hukuman itu.

“(Saya) tak akan merayu. Jawatankuasa kerja pusat tahu fakta.

“Kalau mereka rasa tak adil, boleh betulkan tanpa saya membuat rayuan. Kalau rasa adil, apa gunanya merayu,” kata beliau kepada The Malaysian Insider.

Selain kepada jawatankuasa kerja pusat, Khalid juga boleh merayu kepada Majlis Syura PAS.

Jawatankuasa kerja pusat PAS yang sepatutnya bertemu esok telah menangguhkan mesyuarat mereka disebabkan cuti sambutan Tahun Baru Cina.

Akhir bulan lalu Khalid yang juga anggota Lajnah Politik PAS berkata akan membuta rayuan berhubung penghakiman jawatankuasa disiplin.

Sejak jawatankuasa disiplin mengumumkan keputusannya pada 29 Jan lalu pelbagai reaksi dikemukakan oleh ahli dan pemimpin PAS, antaranya menyifatkan keputusan jawatankuasa disiplin sebagai tidak adil.

Beberapa pemimpin PAS termasuk daripada kalangan sayap pemudanya telah melahirkan rasa puas hati dengan dengan ada yang melabelkan sebagai “wayang” semata-mata.

Semalam, penasihat undang-undang PAS Hanipa Maidin menggesa jawatankuasa kerja pusat parti itu agar mengkaji semula keputusan jawatankuasa disiplin membabitkan dua pemimpin Selangor yang kini mencetuskan reaksi tidak senang di kalangan sesetengah pihak.

Hanipa memnberitahu The Malaysian Insider beliau akan meminta jawatankuasa kerja pusat agar mengkaji semula penghakiman yang diumumkan agar ahli parti akan melihat keputusan ini sebagai adil dan seimbang.

“Sama ada kedua-dua mereka mengemukakan rayuan ataupun tidak, jawatankuasa pusat mesti mengkaji semula keputusan yang dibuat jawatankuasa disiplin,” kata beliau.

Dalam keputusan diumumkan 29 Jan lalu jawatankuasa disiplin menjatuhkan hukuman menggantung kesemua jawatan dalam parti disandang Khalid selama enam bulan.

Pesuruhnjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Ali yang juga Exco Kerajaan Negeri Selangor pula diberikan amaran.

Mereka didapati bersalah di bawah fasal 75 Perlembagaan PAS.

Khalid didapati bersalah kerana mendedahkan maklumat sulit parti dan mengkritik Hasan.

Hasan pula didapati bersalah mengkritik prosedur tatacara pendengaran Selcat dan pelantikan pengurus besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor Liow Siew Moi.

Hanipa memberitahu berdasarkan pengalaman beliau sebagai seorang peguam keputusan yang diumumkan bulan lalu tidak kelihatan sebagai sesuatu yang “logik dan rasional serta munasabah”.

Beliau juga mahu menulis surat kepada lembaga disiplin bagi mendapatkan penjelasan tentang alasan yang digunakan untuk mencapai keputusan mereka.

Hanipa berkata beliau akan menentukan tindakan susulan berdasarkan penjelasan yang akan diberikan oleh jawatankuasa disiplin kelak. -MI



Khalid : Penunjuk Perasaan Harus Akui Kelemahan YBK

Tindakan 300 ahli Umno dan pertubuhan bukan kerajaan pro- parti itu semalam dilihat sebagai mirip kepada demostrasi jalanan zaman reformasi yang di kecam oleh kerajaan pusat sebelum ini.

Bagaimanapun, tunjuk perasaan itu gagal berdepan dengan beberapa persoalan asas mengenai ketelusan Yayasan Basmi Kemiskinan dalam menguruskan hartanah awam yang disumbang oleh kerajaan negeri.

Tunjuk perasaan ini berlangung selepas solat Jumaat di Masjid Sultan Sallahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam.

Ia dipimpin oleh Adun Kuang Abdul Shukor Idrus dan Pengerusi Perkasa Ibrahim Ali.

Walaupun tidak mempunyai permit, penunjuk perasaan tidak dihalang polis dan dibenarkan berarak hingga ke bangunan setiausaha kerajaan negeri untuk menyampaikan memorandum bantahan kepada pejabat menteri besar.

Sangkaan UMNO bahawa kerajaan negeri pakatan rakyat akan rasa tertekan dengan tunjuk perasaan seperti ini meleset.

“Semasa dulu kerajaan BN marahkan reformasi dijalankan melalui tunjuk perasaan dan sekarang menjadi terbalik pula apabila mereka yang lakukan dan saya anggap ini adalah satu pengajaran kepada mereka.

Kepada saya oleh kerana saya dari kumpulan reformasi, saya tidak menghalang kerana kita lebih cekap daripada semua itu,” katanya.

Khalid menjelaskan penunjuk perasaan ini enggan menerima hakikat kerajaan negeri terpaksa bertindak apabila YBK gagal membayar cukai tanah selama 13 tahun.

“Boleh jadi ini perkara biasa dalam pentadbiran BN, kalau perkara biasa, saya perlu betulkan dan kalau bukan perkara biasa, lagi saya perlu betulkan,” katanya.

Justeru beliau berkata YBK perlu membuat permohonan baru bersabit cukai untuk tanah yang disumbangkan oleh kerajaan negeri.

“Permohonan itu ada beberapa perkara dan tidak dapat pentadbiran yang dulu terangkan, kita minta mereka membuat permohonan semula kerana salah satu sebabnya mengapa 13 tahun tidak membayar hasil.” -TVS



Bala Bimbang Diperangkap SPRM

Penyiasat persendirian, P. Balasubramaniam menolak cadangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk merekod keterangannya di kedutaan Malaysia di Singapura berhubung misteri pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaaribuu, kerana bimbangkan keselamatannya.

Ketua Angkatan Muda Keadilan, Shamsul Iskandar Md Akin berkata Bala mungkin dalam dilema untuk menerima cawangan itu kerana ia mungkin satu perangkap.

Peguam Bala, Americk Sidhu sebelum ini dilaporkan berkata pihaknya memang tidak akan berkompromi dalam hal membabitkan keselamatan Bala.

“Tidak keterlaluan jika saya katakan itu dilema Balasubramaniam. Saya cadangkan diskusi ataupun keterangan ini direkodkan di tempat yang neutral. Di tempat yang bebas. Di Asean Sekratariat di Jakarta sebagai contoh” kata Shamsul.

Ujar Shamsul, wujud perjanjian ekstradisi antara Singapura dan Malaysia yang membolehkan SPRM melakukan tindakan luar jangka termasuk menahan Bala.

Bala sebelum ini diberitahu, SPRM sedia merekodkan keterangan beliau di mana sahaja tapi kemudian menetapkan untuk berbuat demikian di kedutaan Malaysia di Singapura.

“Antara Singapura dan Malaysia ini ada perjanjian ekstradisi yang pada saya, itu yang merisaukan Bala dari segi keselamatan beliau. Dalam hal ini saya merasakan SPRM harus memahami perkara ini dan tidak cuba menangguk di air yang keruh” katanya lagi.

Bala berada di luar negara sejak setahun lalu selepas membuat akuan bersumpah mengenai kaitan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam kes pembunuhan Altantuya pada 2006.

Akuan bersumpah itu bagaimanapun dinafikan Bala melalui akuan bersumpah kedua sehari kemudian, sebelum beliau menghilangkan diri.

Baru-baru ini, Bala muncul kembali dan menegaskan akuan bersumpah pertama sahih manakala akuan bersumpah kedua dibuat atas paksaan individu yang rapat dengan Najib dan isteri Perdana Menteri, Rosmah Mansor.

“Isu yang sebenarnya ialah sejauh mana SPRM itu dan kalau mereka bersedia dengan sesungguhnya, saya percaya tidak ada masalah untuk mencari tempat yang agak bebas bagi mereka merekodkan keterangan Balasubramaniam" tambah beliau lagi. -TVS



Utusan Dibidas Dan Pulau Pinang Menunggu Penyertaan Muhyiddin Di Sambutan Maulidir-Rasul

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng mengesahkan perarakan Maulidur Rasul tahunan akan diadakan seperti biasa sambil membidas laporan Utusan Malaysia, yang mencetuskan rasa tidak senang dan protes di kalangan pemimpin Umno dan umat Islam, sebagai satu pembohongan.

Lim juga menafikan dakwaan Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa pentadbirannya anti-Islam atas alasan kononnya telah membatalkan perarakan itu kali ini.

Sebaliknya beliau menjemput timbalan perdana menteri itu sendiri mengambil bahagian dalam sambutan tiga hari akhir bulan ini.

“Saya mencabar timbalan perdana menteri untuk menyertai perarakan ini apabila ia diadakan,” kata Lim sambil menambah, media arus perdana dengan sengaja membelakangkan berita atau tidak melaporkan perkara yang sebenar tentang Pulau Pinang.

“Utusan Malaysia berbohong dan saya tidak mahu Muhyiddin memalukan dirinya sendiri dengan mempercayai pembohongan itu,” kata Lim kepada The Malaysian Insider.

Setiausaha agung DAP itu kini berhadapan dengan siri dakwaan bekas pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Zahrain Hashim yang semalam keluar parti itu untuk menjadi Ahli Parlimen Bebas.

Bulan lalu Zahrain mengecam keras kepimpinan Lim dan semalam pula mengumumkan keluar Pakatan Rakyat.

Lim yang mengetuai Pulau Pinang sejak Mac 2008, sendiri pernah mengambil bahagian dalam perarakan itu selaku ketua menteri bagi memperlihatkan beliau juga mengambil berat tentang sentimen umat Islam.

“Jangan mempolitikkan isu ini. Timbalan perdana menteri tidak harus bergantung pada maklumat-maklumat Utusan Malaysia yang tidak disahkan. Laporan bahawa kami hendak membatalkan perarakan ini adalah satu pembohongan,” katanya.

Lim telah pun melarang Utusan Malaysia dan New Straits Times, kedua-duanya dikaitkan dengan Umno, kerana menurut beliau seringkali salah lapor dan enggan membawa jawapan balas beliau.

Semalam Muhyiddin berkata tindakan kerajaan negeri di bawah pimpinan Lim yang membatalkan acara tradisi umat Islam yang diadakan sebagai tanda rasa cinta dan sayang mereka kepada Nabi Muhammad, seolah-olah menunjukkan mereka tidak menyokong hasrat dan cita-cita orang Islam.

Katanya perkara yang telah menjadi amalan tradisi tidak sepatutnya diberhentikan apatah lagi dalam situasi negara yang perlu sentiasa menjaga sensitiviti semua kaum.

Menurut Muhyiddin sebagai sebuah kerajaan negeri yang memerintah, mereka sepatutnya meneruskan amalan yang membawa kebaikan kepada sesebuah masyarakat di negeri berkenaan kerana ia melambangkan pimpinan memahami dan menghormati agama-agama lain.

“Apakah ini hendak menunjukkan satu sikap baru daripada DAP bahawa mereka tidak menyokong hasrat dan cita-cita umat Islam? Kita tanya balik pada dia (Guan Eng),” kata Muhyiddin.

Menurut laporan Utusan Malaysia semalam, mesyuarat jawatankuasa induk majlis sambutan Maulidur Rasul 1431 Hijrah/2010 Masihi peringkat negeri pada 3 Feb lalu memutuskan perarakan tersebut dibatalkan tetapi majlis perhimpunan ummah diteruskan di Dewan Sri Pinang.

Akhbar itu turut melaporkan bahawa pekeliling mengenai perkara itu telah diedarkan kepada semua ketua jabatan, ketua badan berkanun dan ketua pengurusan pihak berkuasa tempatan.

Bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi juga melahirkan pandangan sedemikian dengan meminta kerajaan Pulau Pinang tidak wajar membatalkan perarakan Maulidur Rasul di negeri itu kerana ia adalah perarakan aman dan tidak mendatangkan keburukan.

Abdullah yang juga Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia berkata tindakan membatalkan perarakan itu seolah-olah memberi gambaran bahawa kerajaan negeri mengandaikan perarakan itu akan menjadi sesuatu yang tidak baik, membawa keburukan serta menyebabkan pergaduhan. -MalaysianInsider


Lebih 50 Ahli Parlimen Australia Desak Kes Fitnah 2 Anwar Digugurkan

Lebih daripada 50 ahli Parlimen Australia termasuk anggota kerajaan memerintah dan wakil pembangkang menggesa kerajaan Malaysia agar menggugurkan tuduhan liwat yang dikenakan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kumpulan 50 wakil rakyat itu menghantar satu surat menuntut agar tuduhan liwat kali kedua terhadap Ketua Umum Pakatan Rakyat itu digugurkan.

Pengerusi jawatankuasa kecil bagi hal ehwal luar Parlimen Australia, Michael Danby menyerahkan surat itu kepada Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Canberra Salman Ahmad, semalam.

Surat itu berbunyi, “adalah perlu untuk dimaklumkan kepada kerajaan Malaysia bahawa pada pandangan kami sanjungan global terhadap Malaysia akan terjejas dengan tuduhan-tuduhan ke atas Anwar ini.”

Malah menurut surat itu, “ramai pemerhati mesra Malaysia mendapati sukar untuk mempercayai seorang pemimpin pembangkang utama (seperti Anwar) dikenakan tuduhan liwat buat kali kedua, sejurus selepas partinya memperoleh kejayaan besar dalam pilihan raya kebangsaan.”

Laporan ABC Online menyebut, kebanyakan yang menandatangani surat itu adalah anggota Parti Buruh termasuk setiausaha parlimen Gary Gray dan Laurie Ferguson.

Timbalan Speaker Dewan Perwakilan, Anna Burke juga menandatangani surat itu.

Di pihak Parti Liberal yang menurunkan tandatangan ialah jurucakap alam sekitar Greg Hunt dan ketua pembangkang Malcolm Turnbull.

Perbicaraan kes liwat Anwar itu bermula 3 Feb lalu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Hari ini, Mahkamah Rayuan menetapkan Rabu depan bagi memutuskan sama ada mengekal atau menggugurkan tuduhan liwat terhadap Anwar.

Panel tiga hakim yang diketuai Hakim Datuk Wira Abu Samah Nordin, Datuk Sulaiman Daud dan Datuk Azhar @ Izhar Ma'ah menangguh keputusan sama ada membenarkan rayuan Anwar itu kerana memerlukan masa untuk mempertimbangkan hujahan yang dikemukakan oleh peguam Anwar, Karpal Singh dan Peguam Cara Negara II Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden.

Ketua Pembangkang itu memohon mahkamah supaya membenarkan rayuannya mengubah keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonannya untuk mengetepikan dan membatalkan tuduhan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Anwar sebelum ini mengaku tidak bersalah atas pertuduhan meliwat Saiful di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, di sini, di antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.

Penasihat Parti Keadilan Rakyat dan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu, dituduh mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan dan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan disebat jika disabit kesalahan.

Perbicaraan tersebut ditangguhkan sementara menunggu keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah pada Khamis depan sama ada beliau akan menarik diri daripada terus mendengar kes liwat itu.

Pada prosiding selama dua jam hari ini, Karpal mengemukakan bahawa tuduhan meliwat itu harus dibatalkan berdasarkan laporan perubatan oleh tiga doktor dari Hospital Kuala Lumpur yang menyatakan tidak ada hasil klinikal menunjukkan berlaku penetrasi atau tembusan ke dubur Saiful.

Katanya bukti penetrasi merupakan elemen penting untuk pihak pendakwaan membuktikan kes melampaui keraguan yang munasabah dan namum tidak ada bukti kukuh.

“Laporan perubatan itu merupakan bukti. Eksibit dalam afidavit juga merupakan bukti. Ianya laporan penuh. Ia merupakan kesimpulan yang dibuat oleh tiga doktor bahawa tidada penetrasi. Mahkamah ini harus membenarkan rayuan ini,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Yusof berhujah permohonan Anwar itu tidak boleh dipertahankan kerana laporan perubatan tidak boleh dijadikan satu-satunya bahan untuk dijadikan pegangan.

“Laporan perubatan tidak lengkap sehingga doktor dan ahli kimia memberi keterangan dalam perbicaraan. Laporan perubatan bukan keterangan substantif. Ia hanya sokongan kepada doktor untuk menjelaskan di mahkamah,” katanya.

Dalam pada itu, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata Wisma Putra akan menjelaskan fakta-fakta mengenai perbicaraan kes liwat melibatkan Anwar kepada anggota Parlimen Australia.

Anifah dalam satu kenyataan berkata, inisiatif itu akan dilakukan menerusi Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Canberra.

“Kerajaan sedia maklum bahawa perbicaraan Anwar akan menarik perhatian pelbagai pihak sama ada di dalam atau di luar negara, seperti perbicaraan lain yang melibatkan beliau sebelum ini.

“Oleh yang demikian, reaksi daripada sekumpulan anggota Parlimen Australia dalam perkara ini bukanlah satu perkara yang di luar dugaan.

“Kita berharap pihak-pihak yang berkenaan akan dapat menghayati, menghargai dan menghormati keluhuran undang-undang kita yang mengutamakan keadilan dan hak rakyat Malaysia tanpa mengira pangkat dan darjat,” katanya.

Baru-baru ini sekumpulan anggota Parlimen Australia dilaporkan menandatangani memorandum meminta tuduhan terhadap ketua Pembangkang itu ditarik balik. -malaysianinsider