1 Jul 2013

Asalkan Boleh Membantai Anwar, Itulah Bahan Berita Muka Depan Utusan...


Sewaktu Senator Nick Xenophone dihalau pulang dari Malaysia lantaran keterlibatan aktifnya dalam politik negara ini serta keakrabannya dengan pemimpin oposisi, pesuruh propaganda United Malays National Organisation begitu bersemangat sekali menyuruh Senator Australia itu tidak masuk campur urusan politik Malaysia.

Malaysia, bagi orang UMNO, dan politik Malaysia terutamanya hanya boleh dibicarakan, atau dimainkan oleh orang Malaysia sahaja. Malah para macainya turut galak menyatakan bahawa ehwal politik Malaysia hanya patut dikerjakan oleh mereka yang ‘ahli’. Dalam kata lain, hanya politisi UMNO. Selain daripada itu, tak boleh.

Maka apabila saya melihat obsesi lidah rasmi UMNO dengan politisi Indonesia, si Jusuf Kalla; saya jadi keliru.

Adakah Jusuf Kalla itu halal terbabit politik Malaysia kerana dia bersongkok macam orang UMNO?

Muka depan Utusan Malaysia minggu lalu memetik Jusuf (disebut ‘Yusuf’) sebagai menyebut bahawa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai imaginasi yang melampau. Selalunya kalau tajuk berita seperti ini disiarkan Utusan Malaysia, kita akan menyangka bahawa Utusan Malaysia mahu bercerita mengenai fantasi pelik Anwar yang pernah diberitahu kepada Jusuf.

Ya lah, Utusan dan kelucahan kan hampir langsung tidak dapat dipisahkan.


Tetapi Utusan Malaysia kali ini cuba memberitahu kita bahawa Anwar berimaginasi mahu menjadi Perdana Menteri meski kalah pada Pilihan Raya Umum ke-13 lalu.

Apa yang Utusan Malaysia tidak beritahu kita adalah Pakatan Rakyat yang dipimpin Anwar tidak kalah, malah menambah bilangan kerusi di Parlimen. Utusan Malaysia juga tidak beritahu kita bahawa 51% daripada jumlah keseluruhan pengundi memilih Pakatan Rakyat dan kerajaan UMNO yang ada hari ini ialah kerajaan minoriti yang gagal kelihatan popular di mata keseluruhan pengundi serata negara.

Namun disebabkan Utusan Malaysia ini akhbar milik UMNO dan melazimi fitnah dan mahir manipulasi politik persepsi, maka disembunyikan hakikat yang itu dan sekadar bermain retorika imaginasi Anwar dan keinginan rakyat untuk menggulingkan pemerintahan Barisan Nasional (BN).

Seolah-olah BN, Najib Razak, Muhyiddin Yassin langsung tak ada nafsu untuk menggulingkan kerajaan Pakatan Rakyat di Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan.


Dan Jusuf Kalla dipergunakan UMNO dan organ propagandanya untuk memperlihatkan apa yang ia mahu rakyat tahu. Langsung tidak disebut apa sebenarnya rundingan belakang pintu yang dibuat antara ketiga-tiga pemimpin itu.

Asalkan boleh membantai Anwar Ibrahim, maka itulah dia bahan berita muka depan Utusan Malaysia. Seolah-olah tak ada berita lain, meski sudah hampir dua bulan pilihan raya berakhir. Ternyata obsessi Utusan Malaysia dan UMNO dengan si Anwar Ibrahim ini sampai kiamat pun tak akan berakhir.

Barangkali itulah imaginasi melampau Utusan Malaysia setiap malam sebelum tidur. Imaginasi yang menjadi igauan dan mimpi ngeri berulang kali – Anwar Ibrahim.-Roketkini

Suruhanjaya Diraja Perlu Ditubuhkan Untuk Siasat Najib & Zahid Hamidi

Bekas Ketua Siasatan Jenayah Polis Kuala Lumpur, Datuk Mat Zain Ibrahim menyarankan penubuhan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) bagi menyiasat empat individu berprofail tinggi yang didakwa mempunyai konflik kepentingan.

Menurut Mat Zain mereka ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak; Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail.

Beliau menyarankan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mendapatkan persetujuan jemaah menteri bagi mendapatkan perkenan Yang DiPertuan untuk menubuhkan RCI bagi menyiasat keempat mereka yang terlibat mengikut terma-terma rujukan yang kabinet fikirkan wajar.

“Rakyat sedang menunggu apakah tindakan yang akan dikenakan terhadap Zahid yang didakwa telah mendatangkan cedera parah ke atas seorang awam Amir Bazli Abdullah pada tahun 2006.

“Begitu juga dengan Khalid setelah Hakim Datuk VT Singham mendapati beliau cuai untuk mempastikan keselamatan saspek di bawah jagaannya, selain cuba menyembunyikan punca kematian A Kugan, ketika beliau bertugas sebagai Ketua Polis Selangor,” katanya.

Mat Zain berkata, orang yang boleh mengambil tindakan terhadap Zahid dan Khalid ialah Najib yang telah menasihatkan Yang DiPertuan Agong untuk melantik kedua-dua mereka.

“Orang yang mempunyai kuasa untuk memutuskan sama ada untuk memulakan prosiding jenayah terhadap Zahid dan Khalid atau sebaliknya ialah Abdul Gani.

“Peguam Negara dengan kuasa yang dibekalkan kepada beliau dalam perlembagaan, selain daripada bertanggung jawab untuk menasihati YDP Agong dan jemaah menteri dalam perkara berkaitan undang-undang.

“Malangnya kedua-dua Najib dan Gani pula, didakwa terlibat dengan beberapa salahlaku jenayah serius dan mereka masih belum membersihkan diri masing-masing, daripada siasatan polis yang sedang atau yang sepatutnya telah dijalankan ke atas mereka.

“Nyata keempat mereka iaitu Najib, Zahid, Gani dan Khalid berada dalam situasi konflik kepentingan masing-masing,” katanya dalam suratnya kepada Muhyiddin hari ini.

Manakala salinannya dihantar kepada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa, Peguam Cara Negara Datuk Idrus Harun dan Khalid.

`Terdapat precedent’

“Saya ingin nyatakan di sini, terdapat precedent di mana Timbalan Perdana Menteri menyembahkan permohonan kerajaan untuk penubuhan RCI dan mendapat perkenan YDP Agong.

“Ini ialah berkaitan RCI mata-lebam yang dipekenankan oleh YDP Agong bersandarkan permohonan yang disembahkan dan ditandatangani oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi ketika itu Timbalan Perdana Menteri pada 3 Februari 999 serta telah diperkenankan pada tarikh sama.

“Tindakan itu dipercayai kerana Perdana Menteri ketika itu, Tun Mahathir Mohamed berada dalam situasi konflik kepentingan.

Ini berikutan pada 1 Oktober 1998, beliau telah mengumumkan pendapat beliau bahawa kecederaan yang dialami oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah akibat self-inflicted, sedangkan siasatan polis baru sahaja dimulakan beberapa hari sebelum itu pada 27 September 1998,” tambah beliau.

Menurut Mat Zain lagi, pada 8 Oktober 1998, pegawai penyiasat telah memberi taklimat kepada Dr Mahathir kecederaan yang Anwar alami bukan akibat self-inflicted tetapi akibat dicederakan oleh mantan Ketua Polis Negara.

Beliau berkata, Muhyiddin tidak boleh mengenepikan cadangan menubuhkan RCI dalam menyelesaikan kemelut ini sebagai suatu cadangan yang tidak munasabah atau luar biasa.

Precedent menangani kebuntuan seperti yang dihadapi sekarang, bukan dicedok atau ditiru daripada mana-mana negara lain, sebaliknya adalah keputusan jemaah menteri sendiri di mana Tan Sri (Muhyiddin) dan Najib, antara menteri yang membuat keputusan sedemikian, tambah beliau.

Melainkan jika Muhyiddin atau kabinet sedia ada, mempunyai idea atau cara yang lebih berkesan dan efisyen lagi untuk menyelesaikan situasi deadlock yang dihadapi sekarang ini,maka RCI hendaklah ditubuhkan segera.

Kata Mat Zain lagi, sebarang kelengahan atau keengganan membuat keputusan berkaitan kemelut ini, akan dilihat sebagai percubaan untuk melindungi salahlaku jenayah mereka yang terlibat dengan tujuan mengelakkan mereka dari dikenakan hukuman undang-undang.

“Sekiranya seorang pegawai polis yang berpangkat sekadar Asisten Komisioner pada masa itu, sanggup bersemuka dengan Dr Mahathir dan memberikan pendapat yang bertentangan dengan pendapat Perdana Menteri yang telah diumumkan secara rasmi, maka saya yakin YAB Tan Sri tidak ada masaalah untuk menangani kemelut yang ada di hadapan rakyat dan kerajaan seperti sekarang ini,” tambah Mat Zain. -FMT

Siapa Biaya Jusuf Kalla Untuk Burukkan Anwar & Pakatan Rakyat?

Jusuf Kalla dakwa himpunan Black 505 dibiayai pihak asing

Mantan naib presiden Indonesia Jusuf Kalla mendakwa perhimpunan membantah dakwaan penipuan dalam pilihan raya umum 5 Mei lalu - Black 505 - dibiayai oleh pihak asing.

Beliau juga mendakwa mengetahui Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dibantu oleh beberapa pihak khususnya dari Turki, Washington dan Filipina, lapor Berita Harian.

"Dan mungkin juga di Thailand dan China, itu kamu kena selidiki. Pemberi dana yang besar itu dari sebuah syarikat besar di Filipina dan sedikit dari Turki untuk membantu aktiviti himpunan bantahan itu.

"Mereka tidak boleh menyembunyikan diri kerana mereka adalah rakan bisnes yang kita ketahui siapa mereka," kata tokoh Indonesia itu seperti dilapor dalam akhbar tersebut.

Beliau berkata demikian dalam satu wawancara khas dengan Ketua Editor portal berita Merdeka On-Line Al-Azharri Siddiq Kamunri di Jakarta, Indonesia baru-baru ini.

Dalam temubual itu juga, Jusuf juga mempersoalkan tujuan mengadakan perhimpunan - yang berakhir Sabtu lalu - jika ia didakwanya hanya memberi keuntungan kepada musuh Islam dan orang Melayu.

"Saya sendiri bertanya kepada Anwar, apakah kamu boleh mengontrol (mengawal) parti DAP? Anwar terdiam dan tidak dapat memberi jawapan dengan jelas.

"Ternyata Anwar punya masalah dan kepayahan untuk mengawal ahli parlimen dari parti lain.

"Maka, saya sendiri berfikiran tindakan Anwar mengadakan himpunan Blackout 505 itu hanya sia-sia, melainkan menguntungkan sebelah pihak iaitu musuh Islam," katanya.



Ulasan GB

Pertama kita merasa hairan bagaimana dan mengapa "orang luar" boleh memberi komen terhadap keadaan politik yang berlaku di dalam negara kita? Siapa Jusuf Kalla sebenarnya yang begitu berminat mengenai perjalanan politik Malaysia?

Kedua, soal pembiayaan asing terhadap Black 505 hanya merupakan tuduhan tanpa bukti. Beliau mendakwa mengetahui Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dibantu oleh beberapa pihak khususnya dari Turki, Washington dan Filipina, lapor Berita Harian.

"Dan mungkin juga di Thailand dan China, itu kamu kena selidiki. Pemberi dana yang besar itu dari sebuah syarikat besar di Filipina dan sedikit dari Turki untuk membantu aktiviti himpunan bantahan itu.


Perkataan yang dimerahkan oleh GB itu membuktikan bahawa beliau hanya membuat agakan, tiada kepastian. Perkataan "mungkin juga" itu memberi pengertian bahawa beliau TIDAK mempunyai bukti tetapi mereka-reka tuduhan.

Dan ketiga, persoalan kini, siapakah yang membiayai Jusuf Kalla untuk memburukkan Anwar dan Pakatan Rakyat? Anda pasti sudah mengetahui jawapannya!

Bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Akan Wakili PAS Dalam Petisyen Pilihanraya

Bekas hakim dan peguam Umno wakili PAS dalam petisyen pilihan raya

Salah seorang bekas hakim terkemuka negara dan peguam Umno bakal hadir ke mahkamah tidak lama lagi - namun kali ini sebagai peguam mewakili Pakatan Rakyat (PR) dalam petisyen menentang penipuan di dalam pilihan raya.

Mantan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram (gambar) bakal mewakili PAS bagi mencabar keputusan Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Panjang di Perak.

Sumber yang dekat dengan pasukan perundangan PAS memberitahu The Malaysian Insider mantan hakim berusia 69 tahun itu sangat dihormati dalam bidang perundangan dan hanya menunggu arahan daripada anak guamnya sahaja.

"Beliau hanya akan hadir ke mahkamah bagi kes petisyen pilihan raya. Kehadirannya akan dikira sebagai "sumbangan kepada negara" dalam konteks perkembangan baru," menurut sumber tersebut.

Nama beliau telah diseneraikan di antara peguam ternama yang dipilih PAS bagi mencabar enam petisyen yang difailkan oleh calon parti tersebut di Perak.

Petisyen DUN Pasir Panjang akan didengar oleh Hakim Abang Iskandar Abang Hashim.

Jika diberi lampu hijau, Sri Ram akan kembali ke arena guaman setelah meninggalkan bidang tersebut kira-kira 20 tahun lalu.

Sebagai seorang peguam, beliau berpegang pada pendirian yang tinggi sewaktu di kamar mahkamah. Beliau turut pernah menjadi penasihat undang-undang Umno dari tahun 1987 hingga 1994.

Beliau mewakili parti berkenaan apabila 12 perwakilan memfailkan saman bagi mengisytiharkan pemilihan dan perhimpunan agung parti berkenaan adalah haram pada tahun 1987.

Sri Ram memulakan kerjayanya dalam arena guaman sejak 1970 dan telah dilantik sebagai hakim Mahkamah Rayuan pada 1994.

Beliau telah dipindahkan ke Mahkamah Persekutuan pada 2009, setahun sebelum tempoh persaraannya.

Pada masa kini beliau berkhidmat sebagai perunding guaman dan telah menulis kira-kira 800 keputusan penghakiman merangkumi bidang pentadbiran, perundangan, industri, syarikat dan undang-undang jenayah.

Bagi petisyen pilihan raya, beliau turut ditugaskan untuk memberi nasihat kepada pasukan perundangan petisyen yang lain.

Selain Pasir Panjang, PAS turut mencabar keputusan pilihan raya DUN Manong, Selama, Lubuk Merbau, Rungkup dan Manjoi.

Bagi kesemua enam kerusi berkenaan, PAS kalah kepada Barisan Nasional (Umno) dengan majoriti di antara 53 dan 619 undi.

Sewaktu pilihan raya 2008, calon PAS Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin telah merampas DUN Pasir Panjang dari tangan BN.

Walau bagaimanapun pada PRU13 yang lalu, BN memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti 304 undi.

BN membentuk kerajaan negeri setelah memenangi 31 kerusi berbanding Pakatan Rakyat yang hanya menang 28 kerusi.

Kedudukan kerajaan BN akan kembali goyah sekiranya mahkamah memutuskan untuk mengadakan pilihan raya semula sekurang-kurangnya tiga kerusi yang ditandingi oleh PAS. -TMI

Rumah Kena Rompak, Apa Kata Khairy Jamaluddin?

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menyifatkan kegiatan jenayah rompakan di negara ini begitu serius, susulan insiden yang turut membabitkan rumahnya semalam.

Menurutnya, kejadian seumpama itu yang dikategorikan sebagai jenayah adalah masalah nyata bukan persepsi semata-mata.

Insiden ini adalah peringatan kepada kita semua bahawa jenayah merupakan masalah serius di negara kita.

"Masalah ini adalah perkara yang nyata, bukan semata-mata persepsi,”
katanya yang dipetik dari laman sosial Facebooknya hari ini.

Ahli Parlimen Rembau itu juga mengesahkan kejadian rompakan di kediaman ibunya yang juga kediamannya berlaku pada Sabtu.

“Terima kasih kepada rakan-rakan yang telah mengirim mesej melalui SMS, FB dan Twitter tentang kejadian rompakan di rumah ibu saya semalam yang juga merupakan kediaman saya.

“Syukur Alhamdulillah tiada siapa yang cedera,” tulisnya lagi.

Khairy turut menyatakan perkara itu juga sudah dimaklumkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.

“Pihak polis sudah membuat kenyataan tentang kejadian ini dan saya serah kepada PDRM (Polis di Raja Malaysia) untuk menjalankan siasatan,” ujarnya.

Laporan sebelum ini
klik untuk baca

[BERGAMBAR] Di Selangor, Daftar Kahwin Dapat Insentif & Rumah Mampu Milik


Insentif perkahwinan dinaikkan ke RM 500 dan pendaftaran ke dalam skim rumah mampu milik (RMM) adalah antara tarikan yang ditawarkan Kerajaan Selangor kepada pasangan Selangor yang ingin berkahwin.

Pasangan pengantin baru diminta mendaftar diri dengan Kerajaan Negeri supaya hari bahagia mereka diraikan bersama selain menerima insentif menerusi program di bawah agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, buat masa kini Kerajaan Negeri masih memberi RM 200 kepada pasangan pengantin tetapi jumlah tersebut bakal dinaikkan kepada RM 500.

Kenaikkan itu dijanjikan di dalam manifesto Pakatan Rakyat Selangor dalam pilihanraya umum ke-13 bulan lalu.

Menurut Abdul Khalid pendaftaran akan membolehkan Kerajaan Negeri mendapat maklumat jelas berhubung jumlah perkahwinan yang dilangsungkan di Selangor dan membantu proses pemberian pgoram MES kepada mereka yang layak.

Setakat ini, kira-kira 25,000 pasangan pengantin telah didaftarkan di Selangor sejak Januari lalu.

“Antara program yang kita usahakan adalah memasukkan nama mereka dalam program pemberian Rumah Mampu Milik (RMM) supaya terpilih memiliki rumah jika termasuk dalam kategori berpendapatan sederhana dan bermastautin tetap di Selangor.”

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan Insentif Perkahwinan Belia 2013 dan Pelancaran Laman Sesawang Belia (BES) Selangor di sini hari ini.

Turut hadir, Exco Belia, Sukan, Infrasruktur dan Kemudahan Awam, Dr Ahmad Yunus Hairi selain Exco Kerajaan Negeri yang lain, Dr Halimah Ali dan Dr Daroyah Alwi.

Seramai 191 pengantin baru menerima insentif tersebut disampaikan Menteri Besar dalam majlis berkenaan.

Mengulas lanjut, Abdul Khalid berkata, mereka yang menetap di Selangor sekurang-kurangnya 15 tahun sudah boleh dianggap sebagai pemastautin tetap dan layak menyertai program tersebut.

Beliau menjelaskan, Kerajaan Negeri juga merancang menaikkan insentif pemberian tersebut dari RM 200 kepada RM 500.

“Selain itu apabila kita ada majlis meraikan perkahwinan beramai-ramai dan kita akan bagi hadiah lagi RM100,” katanya.

Bagi pasangan Mohammad Hamdan Mhd Nordin, 28 dan Sazalina Mohd Salleh, 25, sumbangan Kerajaan Negeri itu merupakan hadiah galakan bagi setiap pasangan pengantin di Selangor.

“Kami yang berkahwin pada 19 Januari tahun ini bersyukur kerana pasangan yang baru mendirikan rumahtangga dibantu Kerajaan Negeri.

“Dengan galakan ini maka pasangan yang merancang perkahwinan jangan tunggu lama-lama,” katanya.

Sementara Nicholas Ang, 28 dan Cynthia Ng, 28, berkata, mereka merasa teruja apabila mendapat tahu akan pemberian insentif oleh Kerajaan Negeri itu.

“Perkahwinan sekarang ini agak mahal, dengan ada insentif macam ini maka baguslah untuk kurangkan beban,” katanya yang melangsungkan perkahwinan pada 30 Mac lalu. -selangorku