18 Jul 2010

Rakyat Sokong Tindakan PROTES Bantah Kenaikan Harga

PROTES Lancar Gerakan Bantah Kenaikan Harga Barangan

Gabungan Memprotes Kenaikan Harga Minyak (Protes) bercadang untuk mengadakan beberapa siri demonstrasi dan program penerangan sebagai sebahagian daripada kempen bantahan terhadap tindakan terbaru kerajaan menaikkan harga petrol, diesel, gula dan gas petroleum cecair (LPG).

Menurut penyelaras Protes, Dr Hatta Ramli satu perjumpaan akan diadakan di Dewan Perhimpunan Cina Selangor dan Kuala Lumpur pada 28 Julai ini sebagai langkah permulaan kempen bantahan yang dirancang.

"Pada hari tersebut, kita akan susun beberapa siri aktiviti seperti edaran risalah dan menetapkan tarikh 'road show' di seluruh negara. Dalam mesyuarat hari ini, kita bercadang untuk mengadakan demonstrasi bagi membantah tindakan kerajaan itu. Ia merupakan acara kemuncak dan dilihat sangat berkesan," kata Dr Hatta yang juga Ahli Parlimen Kuala Krai.

Beberapa pemimpin Pakatan Rakyat dijangka hadir pada perjumpaan itu termasuk Pengarah Strategi KEADILAN Tian Chua, Setiausaha Agung PSM S Arutchelvan, wakil Dewan Muslimat PAS Aiman Athirah, wakil Suara Rakyat Malaysia (Suaram) dan Gerakan Demokratik Pelajar dan Belia Malaysia (Dema).

Dr Hatta juga memberitahu Protes akan menyegerakan tindakan dan kempen sebelum pertengahan bulan Ogos menjelang bulan Ramadhan.

Beliau menjangkakan program tersebut akan disertai oleh banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO), kesatuan sekerja dan mahasiswa.

Ketika ditanya mengenai tindakan Perdana Menteri yang menaikkan harga minyak dan keperluan asas, sebaik sahaja sidang Parlimen tamat, Dr Hatta menegaskan terlalu jelas ketakutan yang diperlihatkan oleh Barisan Nasional.

"Sebaik sahaja persidangan tamat, kita mendapat maklumat mengenai perkara tersebut. Memang dia tidak berani untuk berhadapan dengan wakil rakyat dari Pakatan Rakyat," kata beliau.

Dr Hatta turut menyelar tindakan kerajaan Umno-Barisan Nasional yang memanipulasikan istilah dalam kenyataan media bagi mengelirukan rakyat seperti 'rasionalisasi' dan 'penyelarasan' harga bahan bakar dan keperluan asas.

"Itu semua alasan 'karut-marut' Barisan Nasional. Kalau nak mengurangkan penggunaan gula, bukannya dengan cara menaikkan harganya. Kita sepatutnya mendidik masyarakat berkenaan kesan daripada pengambilan gula berlebihan melalui program kesihatan," tambahnya.

Beliau menjangkakan kesan berantai akibat dari kenaikan harga gula akan menyebabkan kenaikan harga dalam makanan, terutamanya kepada umat Islam dan rakyat Malaysia, sama ada pengguna mahu pun peniaga yang bakal menghadapi bulan Ramadhan dan Syawal akan datang.

"Kenaikan bahan makanan pun telah meningkat, ditambah pula dengan kenaikan harga bahan bakar. Ini membebankan, terutamanya kepada kakitangan dan swasta yang berpendapatan kecil, serta peniaga kecil-kecilan," tambahnya.

Dr Hatta menyelar tindakan kerajaan yang boros dalam pengurusan. Dalam pada masa yang sama memangsakan rakyat dengan memotong subsidi.

Baginya penjimatan perbelanjaan kepada kerajaan berjumlah sebanyak RM750 juta itu sebenarnya boleh diperolehi dengan cara lain antaranya mengurangkan pemberian subsidi kepada Pengeluar Tenaga Bebas (IPP), mengurangkan perbelanjaan kepada projek mega dan mengelakkan ketirisan.

"Kesan kepada rakyat akan berganda. Tindakan (kenaikan) ini menambah kesengsaraan. Kelihatan kerajaan seolah-olah berdendam dengan rakyat," katanya. -SK


PAS tidak pergi ke jalanan untuk protes

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung PAS Mustafa Ali berkata parti itu tidak akan menganjurkan protes jalanan mengenai kenaikan harga petrol dan gula yang berkuasa mulai semalam.

Beliau kelihatan bersetuju dengan tindakan para pemimpin pusat mengenai keperluan untuk memotong subsidi memandangkan hutang negara semakin meluas dan berkata terdapat "beberapa isu lain" yang perlu diberi perhatian.

"Tidak, saya tidak fikir kita perlu menganjurkan demonstrasi jalanan. Terdapat baik buruknya perkara ini dan kita mesti memikirkan nasib rakyat secara keseluruhannya," katanya dalam satu sidang media di ibu pejabat PAS di sini semalam.

PAS biasanya menganjur protes di jalan-jalan raya sebagai menunjukkan bantahan terhadap kenaikan harga minyak terutama ketika pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi apabila harga bahan itu dinaikkan lima kali sejak bekas perdana menteri itu mengambil alih pentadbiran pada Oktober 2003.

Di bawah pentadbiran Perdana Menteri Najib Tun Razak, harga petrol telah dinaikkan sebanyak dua kali untuk RON97 dan sekali untuk RON95, yang baru diperkenalkan di pasaran Malaysia tahun lalu.

Kesan selepas kenaikan harga petrol

Lewat petang semalam, kerajaan pusat mengejutkan rakyat apabila secara tiba-tiba mengumumkan pengurangan subsidi ke atas beberapa barang keperluan. Harga baru berkuatkuasa mulai tengah malam.

Gula naik 25 sen sekilo (harga baru RM1.90 sen sekilo) sementara minyak jenis RON95 dan diesel naik lima sen sekilo (harga baru untuk RON95 ialah RM1.85 seliter dan diesel RM1.75 seliter.)

Gas Cecair Asli (LPG) juga naik 10 sen. Harga baru ialah RM1.85 sekilo. Harga RON97 akan ditentukan oleh kuasa pasaran.

Mustafa lebih bimbang mengenai kesan kenaikan harga barang apabila para peniaga akan mengekploitasikan harga baru dan para pengguna menjadi mangsa.

Oleh sebab penguatkuasaan yang lemah, ahli-ahli perniagaan telah melonjakkan harga barang-barang keperluan ketika mengekalkan harga baru walaupun harga minyak turun.

Mustafa berkata jika kerajaan mahu mengurangkan bil subsidi yang membebankan, ia boleh membuat pilihan lain seperti mengkaji semula perjanjian kontrak dengan para pengeluar tenaga elektrik bebas, yang menikmati harga tinggi untuk kegunaan rakyat tetapi masih menerima subsidi. -FMT


Ulasan GB

Rakyat secara umumnya bersetuju dengan tindakan PROTES. Kena manifestasikan bantahan kepada kerajaan pimpinan Najib terhadap keputusan kerajaan yang menaikkan harga barangan secara mengejut.

Yang hairannya GB ialah kenyataan Mustafa Ali, Setiausaha Agong PAS yang nampaknya tidak bersetuju dengan langkah tersebut.

Mustafa bertindak seperti seorang sahabat karib UMNO yang cuba untuk menghalang rakyat dari melakukan demo di jalanan. Mungkin beliau sudah ada perancangan lain - diplomasi - tetapi bagi GB dengan kerajaan UMNO BN yang kini, diplomasi bukan jalannya kerana mereka sepanjang masa adalah perompak dan penipu.

Dan GB tidak nampak juga Mustafa Ali sebagai seorang yang bijak. GB telah mengikuti perkembangan politik beliau semenjak beliau di dalam BN lagi, iaitu semasa di era Dato Asri di mana Mustafa dilantik menjadi Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Alam Sekitar.

Sementelah lagi, jika beliau bijak sangat berstrategi seperti mana yang disebutkan oleh beberapa orang, sudah pasti beliau menang di dalam PRU 2008 yang lalu.

Lagipun jawatan Setiuasaha Agong yang dipegangnya adalah lantikan Presiden, bukan pilihan ahli-ahli PAS.

Setiausaha Agong, malah Presiden dan mana-mana AJK Tertinggi PAS yang merasa telah kaya raya boleh tidur dirumah, biar ahli PAS yang miskin-miskin berdemo di jalanan.

Maaf Setiausaha Agong, kami tidak sehaluan dengan kamu di dalam bab ini.

Penubuhan Friends Of Pakatan - Selangkah Lagi Ke Putrajaya

Friends Of Pakatan Petanda Rakyat Malaysia Mahu Kerajaan Pusat Baru

Sokongan memberangsang kepada penubuhan 'Friends of Pakatan' (FPR) di kotaraya London 4 Julai lalu membuktikan usaha melebarkan jaringan sokongan Pakatan Rakyat di terima baik rakyat Malaysia dan juga masyarakat antarabangsa terhadap perjuangan menumbangkan Umno-Barisan Nasional pada pilihan raya umum ke-13 kelak.

Majlis pelancaran yang diadakan Conway Hall di Holborn 4 Julai lalu telah menarik minat lebih 200 rakyat Malaysia dan warga tempatan yang melahirkan impian untuk mewujudkan kerajaan Pakatan Rakyat yang adil, demokratik dan telus.

Turut hadir pada majlis pelancaran tersebut beberapa pemimpin Pakatan Rakyat Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar, Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Wilyah Persekutuan, Datuk Zaid Ibrahim, Ahli Parlimen Kepong, Dr Tan Seng Giaw, Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Hatta Ramli dan Ketua Penerangan PAS Pusat, Idris Ahmad.

Pengerusi Protem FPR, Brian Morais dalam ucapan aluan beliau berkata pembentukan Pakatan Rakyat menandakan permulaan satu era baru di mana rakyat mengambil kembali kuasa daripada golongan ahli politik Umno-BN yang gagal berkhidmat untuk rakyat.

Sambil merujuk kepada kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala bahawa Malaysia kemungkinan menjadi muflis pada tahun 2019 akibat hutang negara yang kini mencecah 54 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), Morais menyeru rakyat Malaysia agar kembali ke tanahair dan mengundi kerajaan baru yang bertanggungjawab sebelum terlambat.

"Antara agenda FPR ialah penubuhan tabung kempen pilihan raya Pakatan Rakyat, mengadakan penyelidikan mengenai perubahan dalam polisi bantuan, menggalakkan debat berkenaan penswastaan agensi kesihatan dan mewujudkan kaedah pengundian luar negara bagi rakyat Malaysia," tambah Morais lagi.

Penulis blog terkenal, Raja Petra Kamarudin (RPK) menyindir dengan menyatakan Malaysia sebenarnya idea dan moral.

"Malaysia telah bertukar kepada sebuah masyarakat yang mementingkan kebendaan, menara tertinggi, jambatan terpanjang dan hutang terbesar!" kata beliau.

RPK juga mencabar Umno-BN menaikkan gaji anggota polis sabagai satu cara membanteras rasuah yang telah menjadi budaya kehidupan di Malaysia.

"Kerajaan Umno-BN telah cuba untuk mencetuskan kembali peristiwa hitam 13 Mei 1969 di Kampung Baru dengan menembak penyokong Hindraf yang berarak dalam keadaan aman dengan gas pemedih mata pada tahun 2007.

"Masyarakat Melayu yang sebaliknya telah memberikan perlindungan kepada peserta Hindraf yang cedera dan ini membuktikan rakyat Malaysia telah bersatu sebagai bangsa Malaysia yang sebenar dan menunjukkan politik berkaum 'aparthied' ini perlu dihentikan," tegas beliau lagi.

Dr Tan pula menyentuh mengenai kewajipan menghapuskan politik wang dan menjanjikan ketelusan di dalam kerajaan Pakatan Rakyat.

"Kualiti pendidikan juga perlu ditingkatkan dengan mengambil lebih tenaga pekerja yang berkelayakan, dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia perlu dibebaskan daripada belenggu politik Umno-BN," kata beliau.

Dalam ucapannya, Zaid berkata rakyat Malaysia perlu berkorban atas nama kebebasan jika mahu melepaskan diri dari belenggu rejim seperti kerajaan fasis Umno-BN yang kini berbuat sesuka hati tanpa menghiraukan kesannya kepada rakyat dan negara.

"Walaupun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak telah menyatakan akan bersikap telus dan membuat perubahan kepada kerajaan, tetapi BN tak akan berbuat begitu kerana terdapat banyak isu yang mereka sembunyikan.

"Pilihan raya akan datang akan memberikan kemenangan besar kepada Pakatan Rakyat kerana, suara hati rakyat bersama kita," kata Zaid.

Dr Hatta berkata, dalam perjalanan beliau London dan semasa transit selama lima jam di Dubai, beliau sempat bertemu dengan 20 warga Malaysia dan berpeluang berbincang kemungkinan menubuhkan cabang FPR di Ghana.

"Walaupun PAS san DAP mempunyai beberapa percanggahan pendapat dan ideologi, tetapi kami sanggup mengorbankan perkara kecil bagi kebajikan dan perjuangan rakyat yang pada pendapat kami bersama, lebih penting. Maka ini hanya pengorbanan kecil untuk menjadi sebahagian daripada Pakatan Rakyat," tegas beliau.

Nurul Izzah menyatakan beliau gembira melihat semangat rakyat Malaysia di luar negara menuntut perubahan kerajaan pada PRU akan datang.

"Walaupun saya pada mulanya tidak disokong untuk melawat London kerana khuatir hanya akan merugikan sumber, tetapi saya bertekad atas kepercayaan warga Malaysia, tak kira di Malaysia mahupun yang berada di negeri orang, berhak mengetahui apa yang berlaku di megara sendiri dan dengan ini mampu membuat keputusan yang bijak.

"Selepas mendengar komen hadirin, saya percaya usaha saya hari ini tidak sia-sia. Saya juga ingin memohon, jika boleh kembali ke Malaysia dan buang undi anda pada pilihan raya akan datang," jelas Nurul Izzah.

Majlis diakhiri dengan sesi soaljawab yang penuh semangat berhubung isu dan politik semasa tanahair. -SK

Setahun Berlalu, Pembunuh Teoh Masih Bebas

Lim Guan Eng: Mungkin Najib bunuh diri jika kahwin Rosmah esok?

"Mungkinkah Najib akan bunuh diri jikalau beliau akan berkahwin dengan Rosmah pada keesokannya? Tak mungkin, kan? Kerana beliau cintakan Rosmah. Kalau Najib tidak akan berbuat demikian, mungkinkah Teoh Beng Hock (yang sudah merancang untuk kahwin pada keesokannya) bunuh diri?"

Demikianlah logik yang digunakan oleh Lim Guan Eng, Setiauasaha Agung DAP untuk menolak kemungkinan bahawa Teoh Beng Hock membunuh diri di bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), setahun yang lalu. Malah, Ketua Menteri Pulau Pinang yang pernah disiasat polis kerana mengeluarkan kenyataan bahawa "Teoh Beng Hock dibunuh" ini mengulangi pendiriannya di Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor, semalam.

"Pada malam ini, saya mengulangi di sini, saya tak percaya Teoh Beng Hock membunuh diri, boleh tak?" Kenyataannya ini disambut tepukan kira-kira 1,000 orang hadirin, sebelum beliau menyambung, "Tak kiralah apa alasan yang anda berikan, saya tetap tidak percaya bahawa Teoh Beng Hock membunuh diri. Kalau Teoh Beng Hock tidak membunuh diri, apakah punca kematiannya?"

Lim Guan Eng berkata demikian dalam satu Majlis Peringatan mendiang Teoh Beng Hock, bekas setiausaha politik kepada Ean Yong Hian Wah, Exco kerajaan Pakatan Rakyat negeri Selangor. Selain keluarga mendiang Teoh Beng Hock, pemimpin politik yang menghadiri majlis peringatan tersebut termasuklah Ketua Ahli Parlimen DAP Lim Kit Siang, ahli parlimen Lembah Pantai-PKR, Nurul Izzah, peguam keluarga Teoh, Gobind Singh dan ramai lagi pemimpin DAP.

Gobind Singh, juga ahli parlimen Puchong-DAP yang berucap sebelum Lim Guan Eng, memberi janji kepada keluarga Teoh dan rakyat bahawa DAP akan cuba sedaya upaya menegakkan keadilan untuk Teoh Beng Hock.

"Kita akan lawan sampai habis untuk Teoh Beng Hock! Biarlah mereka datang kepada kita, biarlah mereka menakutkan kita dengan laporan polis, biarlah mereka ugut kita dengan tuduhan hina mahkamah. Biarlah mereka buat apa sahaja yang perlu..." sebelum beliau menyambung, "Tetapi mereka tidak akan dapat mematahkan semangat kita, kerana kita akan terus berjuang, tuan-tuan dan puan-puan!"

Kenyataan SPRM undang kritikan

Antara yang menjadi isu semalam, termasuklah kenyataan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Abu Kassim bin Mohamed, yang ditulis dalam bahasa Cina buat kali pertamanya. Tuntutan ahli politik jelas lebih daripada "ucapan takziah" dan "kenyataan berkongsi kesedihan", sebagaimana yang dilakukan oleh Abu Kassim.

Misalnyam Gobind Singh mendesak Abu Kassim untuk tampil ke depan dan membuat kenyataan terbuka bahawa ,"Ya, kami (SPRM) menerima bahawa beliau (Teoh) di bawah tahanan kami, kami menerima bahawa kami tidak sepatutnya menahannya sepanjang malam, kami menerima bahawa kami harus bertanggungjawab ke atas kematian Teoh Beng Hock!"

"Kalau benar anda sedih, kalau benar anda berkongsi kepiluan... (anda perlu) minta maaf, menerima tanggungjawab tersebut, dan memberi pampasan kepada keluarga Teoh Beng Hock," demikianlah syarat yang digariskan oleh Gobind Singh kepada Abu Kassim untuk membuktikan keikhlasannya. Malah, Gobind Singh juga mendesak Menteri Jabatan Perdana Menteri, Nazri Aziz untuk meminta maaf. Sebelum ini, Nazri Aziz menuduh Teoh Beng Hock membunuh diri, dan pakar patalogi Pornthip Rojanasunan dari Thailand sebagai "penipu".

Punca kematian MJ dikenalpasti dalam setahun

Kesabaran khalayak teruji apabila inkues yang dijalankan belum menemui punca kematian Teoh Beng Hock, selepas setahun mendiang meninggal dunia. Lim Guan Eng mengambil contoh bagaimana bintang popular Micheal Jackson yang mati pada 25 Jun 2009, telah ditemui puncanya, bahkan pesalah telah dipenjarakan dalam masa setahun selepas kematian Micheal Jackson.

Beliau menyindir agar penyiasat yang meneliti punca kematian Micheal Jackson diupah untuk mengenalpasti punca kematian Teoh Beng Hock, kerana jelas mereka lebih cepat dalam melengkapkan kerja siasatan.

Di samping itu, speaker DUN Selangor Teng Chang Khim yang berucap selepas Setiausaha Agung partinya, meminta agar orang ramai menyahut seruan Lim Guan Eng untuk "meninggalkan kesedihan, kepedihan dan kepahitan dalam hati kita, dan menjelmakannya menjadi inspirasi untuk menjana reformasi bagi membawa pembaharuan kepada pentadbiran negara ini."

Kami tidak akan kompromi, keluarga Teoh

Adik perempuan mendiang Teoh Beng Hock juga tampil memberi ucapan, menyeru agar rakyat Malaysia memberi sokongan kepada keluarganya untuk meneruskan perjuangan menegakkan keadilan untuk Beng Hock.

Dalam satu klip video yang disediakan, Teoh Lee Lan menulis, "Tidak kira betapa lama kami menunggu, kami sebagai keluarga (Teoh Beng Hock) tidak akan kompromi, sehinggalah kebenaran ditemui. Kami berharap kawan yang ada di sini, seluruh warga Malaysia untuk bersama kami, sehingga kebenaran menjelma. Beng Hock memerlukan kesaksamaan, Malaysia memerlukan keadilan."

Teoh Lee Lan melanjutkan tuntutan keluarganya, agar Suruhanjaya Di-Raja ditubuhkan untuk menyiasat punca kematian Teoh Beng Hock, dalam satu majlis memperingati Beng Hock di kuburnya, hari ini.

Malah, ahli parlimen Serdang-DAP, Teo Nie Ching menyatakan tuntutan ini dalam teks ucapannya pagi ini, "Beng Hock, tiada perkataan yang dapat menterjemahkan kemarahan kami! Kami tidak akan membiarkan kematian kamu menjadi sia-sia! Kami masih lagi berkeras dan mendesak agar kerajaan pusat menubuhkan satu Suruhanjaya Bebas Diraja untuk menyiasat punca kematian kamu."

Teo Nie Ching meneruskan, "Adakah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendengar keluhan dan kesedihan kita? Dengan kes kematian mendiang Teoh Beng Hock, diharapkan ianya dapat menamatkan episod keganasan yang sering muncul mutakhir ini."

"Saudara Beng Hock, semangat kamu akan sentiasa tersemat di hati kami selama-lamenya sebagai seorang pejuang! Dalam pada masa yang sama, kepada semua, kita harus melawan dan pertahankan demokrasi demi keadilan! Kita juga harus menjadikan kesedihan ini sebagai satu azimat untuk kita melakukan Perubahan demi Malaysia yang lebih adil!"

Soh Cher Wei balu Teoh Beng Hock juga muncul di upacara peringatan Teoh Beng Hock di Semenyih, hari ini, bersama cahaya matanya dengan Teoh Beng Hock. Ketika ditemuramah wartawan, Soh mendakwa keadaan dirinya agak baik sepanjang tahun ini. -MR


Rakan Perjuangan Beng Hock Ikrar Tegakkan Keadilan, Bongkar Kebenaran

NILAI 17 Julai - Keluarga dan sahabat terdekat mendiang Teoh Beng Hock hari ini menziarahi kuburnya di Nirvana Memorial Park, Semenyih sempena memperingati setahun kematiannyaa pagi tadi.

Suasana pilu dan tangisan menyelubungi seluruh ahli keluarga dan sahabat handai mendiang Beng Hock, pembantu politik Exco kerajaan negeri Selangor, Ean Yong Hian Wah yang ditemui mati semasa disoalsiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Ibu mertua Beng Hock dilihat meratapi pemergian Beng Hock yang sepatutnya menjadi menantunya pada hari yang beliau ditemui mati.

Lebih kurang 150 orang hadir dalam majlis yang berlangsung selama dua jam setengah, kebanyakannya telah berada di situ sejak pukul 8 pagi tadi.

Anak mendiang, Teoh Er Jia yang berusia empat setengah bulan juga hadir buat kali pertama di khalayak ramai.

"Saya harap dia membesar macam orang biasa, jauh dari mata semua orang. Normal itu bagus," kata isteri Beng Hock, SohCher Wei yang tidak membenarkan gambar anaknya diambil daripada depan.

Rakan seperjuangan Beng Hock mengambil peluang memberikan ucapan bagaimana mereka memperingatinya, tetapi kebanyakkan berkata akan memperjuangkan keadilan ke atas kematian tragik shabat mereka itu.

Sementara itu, Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata semasa menziarahi kubur Beng Hock beliau akan mendesak supaya Suruhanjaya DiRaja ditubuhkan untuk menyiasat perkata itu.

Pada masa yang sama beliau turut membidas inkues yang sedang berjalan gagal untuk mendedahkan perkara sebenar.

Pembantu kepada Exco Selangor berusia 30 tahun itu ditemui mati di Tingkat 5, Plaza Masalam, di mana ibu pejabat negeri SPRM terletak ketika itu.

Sebelum itu banyak teori timbul dalam soal bagaimana mendiang mati dan inkues yang sedang didengar dikatakan bercanggah dengan bukti yang dikemukakan ahli patologi yang dilantik SPRM yang mengatakan kemungkinan beliau membunuh diri.

Ahli patologi yang mewakili kerajaan negeri Selangor, Dr Pornthip Rojanasunand pula berkata 80 peratus kemungkinan Beng Hock telah dibunuh.-SK


Ulasan GB

Sekalipun sudah ada inkues, mengapa kematian Teoh masih gagal ditentukan sebabnya?

Kerana tidak ada kejujuran untuk mendedahkan kebenaran. Yang ada adalah untuk melindungi pembunuhnya.

"Teoh terjun", "Teoh jatuh" - teori yang disebutkan oleh pegawai SPRM sejak awal sebelum penubuhan inkues lagi, itu saja tumpuan yang diberikan di dalam inkues.

Rakyat tidak bodoh apatah lagi Allah yang tidak buta dan dungu. Kebenaran akan tetap zahir walau cuba diselindungi oleh manusia-manusia durjana.