19 Mac 2010

Kerajaan Umno BN Patut Semak Latar Belakang APCO Worldwide

Pengerusi Sekretariat Himpunan Ulama Asia Tenggara, Abdul Ghani Samsuddin kesal kerana kerajaan Umno Barisan Nasional (BN) tidak mengkaji latar belakang APCO Worldwide sebelum melantiknya sebagai penasihat kerajaan.

Beliau membidas tindakan Jawatankuasa Peraturan Mesyuarat Parlimen yang mahu mengambil tindakan terhadap pendedahan yang dibawa Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen semalam.

Abdul Ghani juga mengganggap pendedahan Ketua Pembangkang itu mengenai Apco Worldwide itu perlu supaya perkara sebenar yang cuba diselindung Umno-BN, diketahui rakyat umum.

“Kita boleh melihat dari sumber melalui pengkaji mengenai hakikat kebenaran ini. Walaupun APCO ada membuat penafian demi kepentingannya etapi penafian seseorang itu tidak semestinya menggambarkan hakikat.

“Banyak orang menafikan sesuatu tetapi mengelak untuk memberikan keselesaan kepada diri dia dan orang lain,” katanya kepada TV Selangor sambil menyifatkan jawatankuasa tersebut diragui intergritinya di mata rakyat.

“Sudah pasti mereka yang berkuasa. Dia (Umno-BN) akan guna badan-badan yang dia cipta mengikut skrip yang dibuat untuk membuat sesuatu yang menguntungkan dia dan merugikan musuh dia atau lawan dia.

“Dalam hal ini, masyarakat kena lebih cekap dan bijak dalam menilai sesuatu. Apatah lagi kita melihat dalam kes liwat yang dikenakan terhadap Anwar. Itu sangat menjolok mata dari segi kebolehpercayaan," katanya.

Ghani juga mendesak Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz yang mahu mengheret Anwar ke jawatankuasa itu dan meneliti segala fakta yang dibawa Ketua Umum Keadilan itu.

“Itu biasalah. Tindakan orang berkuasa yang sudah biasa melakukan pelbagai tindakan yang sukar dijustifikasikan dan bersifat adil, jadi sudah pasti itu watak orang berkenaan,” katanya. -TVS



14 Mei Untuk Keputusan Permohonan Khairy Ketepi Penghakiman Ingkar DSAI

Ketua Pergerakan Pemuda Umno Khairy Jamaluddin akan mengetahui pada 14 Mei ini berhubung permohonannya untuk mengenepikan penghakiman ingkar yang diperoleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam saman fitnah RM100 juta yang difailkan Ketua Pembangkang itu.

Penolong Pendaftar Kanan Mahkamah Tinggi A. Kaveetha menetapkan tarikh itu untuk keputusan selepas berjumpa peguam Anwar S.N.Nair dan Wan Anuar Shaddat dan Badrul Munir Bukhari mewakili Khairy dalam kamarnya hari ini.

Nair memberitahu wartawan bahawa mahkamah memerintahkan kedua-dua pihak menyerahkan ikatan nas undang-undang kepada mahkamah pada 14 April ini.

Pada 4 Dis, 2008, Anwar memperoleh penghakiman ingkar daripada Mahkamah Tinggi terhadap Khairy apabila beliau gagal memasukkan kehadiran dalam kes itu selepas writ saman diserahkan kepadanya.

Khairy memfailkan permohonan pada 20 Feb, 2009 untuk mengenepikan perintah itu.

Anwar, 63, menfailkan saman terhadap Khairy pada 7 Mac 2008 kerana dakwaan Khairy pada ketika itu Naib Ketua Pemuda Umno telah mengucapkan dan telah menyebabkan penerbitan di laman sesawang termasuk malaysiakini.com. satu rakaman klip video bersama sebuah artikel bertajuk "Anwar and kin no threat".

Anwar mendakwa rakaman klip video itu dalam Malaysiakini mengandungi kata-kata fitnah yang diucapkan oleh Khairy di satu ceramah di Lembah Pantai di sini pada atau sekitar 20 Feb 2008.

Beliau berkata kata-kata fitnah itu antara lain bermaksud beliau terlibat dengan aktiviti berlawanan dengan Islam, tidak mempunyai akhlak mulia dan tidak sesuai memegang jawatan politik atau mana-mana jawatan.

Beliau memohon ganti rugi pampasan RM100 juta, teruk, teladan, kos dan lain-lain relif oleh mahkamah. -Bernama



Bekas Polis hadapi Hukuman Mandatori

Seorang bekas anggota polis berpangkat konstabel mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini hari ini kerana tuduhan membunuh anak bekas Setiausaha Umno Bahagian Klang dan pengasuhnya, tujuh tahun lalu.

Mohd Nahar Abu Bakar, 34, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan kepadanya oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mohd Yazid Mustafa.

Tertuduh, yang pernah bertugas di Balai Polis Kampung Baru, Manjung, Perak, pada 1997, didakwa membunuh Muhammad Nurosama Shohimi, berusia dua tahun setengah, di rumah pengasuhnya di No 19, Tingkat 5, Flat Cempaka, Bandar Baru Klang, Klang, kira-kira jam 1 tengah hari pada 30 Disember 2003. Mohd Nahar yang ditangkap pada 16 Oktober tahun lalu juga didakwa membunuh pengasuh kanak-kanak itu, Siti Rohana Baharom, 34, di tempat, masa dan tarikh yang sama.

Kedua-dua pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Mohd Yazid menetapkan perbicaraan selama 12 hari bermula 24 Mei depan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Erwani Ismail, manakalatertuduh diwakili peguam Imran Hadzalie Abdul Hamid.

Bapa kanak-kanak malang itu, Shohimi Shafie, 41, kini ahli perniagaan dan anggota keluarganya, bagaimanapun tidak hadir di mahkamah.

Dalam kejadian itu, Mohd Nurosamah dan Siti Rohana mati selepas ditikam di kediaman pengasuh itu manakala anak perempuan Siti Rohana, Siti Aisyah, 8, yang berada di tempat kejadian sempat melarikan diri.

Mohd Nurosamah yang ditikam dua kali di belakang badan manakala Siti Rohana ditikam sekali pada dada dengan pisau berukuran 23 sentimeter, meninggal dunia di tempat kejadian.

Mohd Nahar pernah dikenakan tindakan buang kerja pada 21 Mei 1999 kerana terbabit dalam kes pecah rumah di Manjung dan dipenjarakan selama enam bulan di Penjara Kajang pada tahun 2000. - Bernama



Zahrain Dihentam Lagi, Ku Li Sifatkan Dakwaan Zahrain Cerita Dongeng

Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, menafikan beliau antara lapan pemimpin Barisan Nasional (BN) yang akan menyertai pakatan pembangkang untuk menubuhkan kerajaan pintu belakang pada 16 September 2008.

"Saya tak mahu komen pasal ini, 48 tahun saya bersama Umno. Apa yang didakwa itu sebagai satu cerita dongeng," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Ahli Parlimen Bebas bagi Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim telah menamakan lapan Ahli Parlimen BN di Dewan Rakyat semalam, dengan mendakwa mereka bersedia menyertai pakatan. Tengku Razaleigh berkata, jika dakwaan itu benar, beliau kini pasti sudah memegang satu jawatan besar dalam Parti Pakatan Rakyat (PKR) yang dipimpin Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam dakwaan itu, Zahrain telah menamakan Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh (BN-Kalabakan), Datuk Seri Anifah Aman (BN-Kimanis), Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan), Datuk Chua Soon Bui (Bebas-Tawau), Datuk Enchin Majimbun (Bebas-Sepanggar), Dr Mohd Puad Zarkashi (BN-Batu Pahat), Datuk Seri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar (BN-Jerantut) dan salah seorang daripada Timbalan Speaker juga tersenarai dikatakan akan melompat menyertai pembangkang.

Beliau berkata, disebabkan dakwaan itu ibarat satu cerita dongeng, iaitu sebuah cerita yang direka mengikut fantasi pembangkang, beliau tidak mahu membuat sebarang komen terhadap dakwaan yang tidak betul itu.

Tengku Razaleigh juga menafikan beliau ada didatangi pihak berkenaan agar keluar BN untuk menyertai PKR bagi membolehkan pembangkang membentuk kerajaan persekutuan kira-kira tujuh bulan selepas pilihan raya umum ke-12. - Bernama

Pelayan restoran didakwa subahat bunuh bayi

Seorang pelayan restoran berusia 23 tahun didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan bersubahat membunuh bayi perempuan yang baru dilahirkannya 3 Mac lalu.

Tertuduh, Munti Buda Simunjan, yang bergari tangannya tenang ketika pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah. Tiada pengakuan direkodkan.

Munti, yang tidak diwakili peguam didakwa atas tuduhan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan yang dibaca bersama Seksyen 34 akta yang sama. Gadis yang bertubuh kecil itu didakwa berkomplot dengan teman lelakinya yang masih bebas, membunuh bayi perempuannya di sebuah longkang besar di hadapan restoran di Stutong di sini antara 12.30 hingga 2.30 pagi, 3 Mac lalu.

Majistret Portia Tham Ong Leng menetapkan 20 April depan untuk sebutan semula kes bagi membolehkan laporan bedah siasat dan laporan kimia diserahkan.

Tham memerintahkan gadis itu dihantar ke Hospital Sentosa di sini untuk menjalani pemeriksaan mental.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Azizah Hassan. - Bernama



Ahli Parlimen BN Kata Zahrain Pembohong Besar

Satu pembohongan yang besar.

Itulah reaksi Ahli Parlimen Barisan Nasional dan Parti Sabah Maju (SAPP) berhubung dakwaan Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Zahrain Hashim mengenai beberapa nama ahli Parlimen dari Sabah yang didakwa terlibat dengan rancangan pembangkang untuk mengambil alih Kerajaan Pusat pada 16 September 2008.

Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Radin, yang juga Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC) berkata, Zahrain cuba mencari publisiti murahan dengan dakwaan sedemikian.

“Saya tidak pernah bertemu dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ini semua satu pembohongan,” kata Bung Mokhtar ketika diminta mengulas dakwaan Zahrain bahawa dia (Bung Mokhtar) antara Ahli Parlimen BN yang dinamakan dalam rancangan berkenaan di sini hari ini.

Katanya, wakil rakyat yang dipilih mempunyai tanggungjawab untuk memberi khidmat kepada pengundi dan bukannya melaksanakan agenda peribadi Ketua Pembangkang.

"Jangan sesuka dakwa kita boleh lompat parti," katanya.

Semalam, Zahrain yang juga bekas Pengerusi Badan Perhubungan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang mendedahkan nama lapan Ahli Parlimen yang disebut-sebut akan melompat parti ke PKR bagi menjayakan rancangan pembangkang itu.

Sementara itu, Ahli Parlimen Tawau, Datuk Dr Chua Soon Bui pula menegaskan beliau tidak pernah bermimpi dan berbincang untuk menyertai Pakatan Rakyat.

“Tidak ada satu pun yang benar dalam apa yang diperkatakannya dan dia berbohong dalam Parlimen. Ini satu perbuatan yang memalukan kepada pengundi terutamanya di Sabah dan Malaysia amnya.

“Saya dan Datuk Eric Enchin Majimbun tidak pernah bermimpi dan berbincang untuk menyertai Pakatan Rakyat pada 16 September 2008,” katanya dalam kepada mStar Online hari ini.

Soon Bui berkata, perkara tersebut berlaku kerana Zahrain sangat obses dengan kepentingan peribadi.

“Zahrain mungkin lupa kepada sejarah SAPP dan kepentingan rakyat Sabah. Kami keluar BN kerana hilang kepercayaan terhadap Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

“Sehingga hari ini kami masih kekal sebagai Ahli Parlimen Bebas dan SAPP tidak menyertai PR atau mana-mana parti. Bagi saya, dia tidak layak untuk bercakap bagi pihak wakil rakyat Sabah yang lain,” katanya.

Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Ghapur Salleh pula berkata beliau akan menerangkan sendiri dakwaan Zahrain ketika membahaskan titah diraja pada 22 atau 23 Mac ini.

“Zahrain patut dedahkan senarai sebenar Ahli Parlimen BN keluar parti, bukan buat tuduhan tidak berasas,” katanya.

Sementara itu, di KOTA BHARU, Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah menafikan dakwaan berkenaan.

"Saya tak mahu komen pasal ini, 48 tahun saya bersama Umno. Apa yang didakwa itu sebagai satu cerita dongeng," katanya.

Tengku Razaleigh berkata, jika dakwaan itu benar, beliau kini pasti sudah memegang satu jawatan besar dalam PKR yang dipimpin oleh Anwar.

Beliau berkata disebabkan dakwaan itu ibarat sebuah cerita yang direka mengikut fantasi pembangkang, beliau tidak mahu membuat sebarang komen terhadap dakwaan yang tidak betul itu.

Beliau turut menafikan didatangi pihak berkenaan agar keluar BN bagi membolehkan pembangkang membentuk kerajaan Persekutuan kira-kira tujuh bulan selepas Pilihan Raya Umum ke-12.

Antara nama yang disebut ialah Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman; Dr Mohd Puad Zarkashi (Batu Pahat); Datuk Seri Tengku Azlan Abu Bakar (Jerantut). Salah seorang daripada Timbalan Speaker juga tersenarai dan dikatakan akan melompat menyertai pembangkang. -Mstar


16 Sept: Zahrain dedah nama MP akan lompat

Ahli Parlimen Bayan Baru Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim mendakwa beliau dan wakil rakyat PKR diberitahu bahawa lapan ahli Parlimen disebut-sebut akan melompat menyertai PKR bagi menjayakan rancangan pembangkang untuk mengambil alih kerajaan pusat pada 16 September 2008.

Beliau mendakwa mereka Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh (BN-Kalabakan), Datuk Seri Anifah Aman (BN-Kimanis), Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan), Datuk Chua Soon Bui (Bebas-Tawau), Datuk Eric Majimbun (Bebas-Sepanggar).

Nama lain yang disebut ialah Dr Mohd Puad Zarkashi (BN-Batu Pahat), Datuk Seri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar (BN-Jerantut), Tengku Razaleigh Hamzah (BN-Gua Musang), katanya menyambung perbahasan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini.

Zahrain juga mendakwa seorang timbalan speaker juga dikatakan akan menyertai PKR.

Kenyataan itu menyebabkan timbalan speaker Dewan Rakyat Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar mencelah bertanya "Timbalan Speaker yang mana (Zahrain maksudkan)?" menyebabkan Dewan diselubungi gelak ketawa ahli Parlimen.

Semalam, tindakan Zahrain mendedahkan kepincangan PKR dan pakatan pembangkang yang diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim menyebabkan ketua pembangkang itu bertindak keluar dewan.

Zahrain berkata beliau yakin tindakannya keluar parti adalah tindakan tepat kerana tidak mahu sejarah menghukumnya kerana tidak berbuat apa-apa ketika perjuangan PKR dan pakatan pembangkang semakin terpesong menjadi perjuangan peribadi yang sempit.

Sementara itu, Zahrain menafikan beliau adalah "askar upahan" Umno dan BN berikutan kelantangannya ketika ini berbanding semasa bersama PKR dahulu.

Beliau berkata sekiranya beliau bersifat vokal seperti ini sebelumnya sudah tentu keadaan dalam PKR akan menjadi kelam kabut.

"Kalau saya bising macam ini, keadaan jadi kelam-kabut," katanya dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Dakwaan itu timbul apabila semalam, beliau secara lantang dan terbuka mendedahkan pembohongan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap ahli Parlimen pakatan pembangkang yang mendakwa mereka mempunyai jumlah sokongan yang mencukupi daripada ahli parlimen BN bagi membentuk kerajaan pada 16 September 2008.

Zahrain juga mendedahkan bahawa pada masa itu beliau percaya yang perkara itu adalah benar memandangkan Anwar mengatakan pelan tersebut telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Berikutan pendedahannya itu, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution menggelarkan beliau sebagai "Attack Dog" kepada BN dan Umno untuk menjatuhkan pakatan pembangkang.

Saifuddin mendakwa Zahrain dijadikan sebagai watak baru untuk menyerang pakatan pembangkang dan sifatnya ini adalah berbeza berbanding ketika bersama-sama PKR dahulu.

- Bernama


APCO Tidak Wajar Campur Tangan Urusan Negara

APCO Worldwide, sebuah firma perunding antarabangsa berpangkalan di Amerika Syarikat tidak seharusnya terbabit dalam sebarang urusan politik di negara ini, tegas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat itu juga menyifatkan tindakan yang mungkin dikenakan terhadapnya melalui Jawatankuasa Peraturan Mesyuarat Parlimen berikutan pendedahan slogan Malaysia dan Isreal, sebagai jenaka basi.

Anwar apabila diminta menjawab penafian Apco terlibat dalam mengilhamkan Satu Malaysia semalam, mempersoalkan untuk apa Apco dibayar jika bukan untuk membantu menasihati parti pimpinan Datuk Seri Najib Razak.

Bercakap pada sidang media selepas berucap di London School of Economics, semalam, Anwar yang sebelum ini ditohmah kononnya ejen Yahudi, menyifatkan persamaan Satu Malaysia dan One Israel sebagai satu “kebetulan aneh”.

Ironinya, Umno yang mendabik dada sebagai juara Melayu dan memperjuangkan Islam khususnya dalam isu kalimah Allah, melantik APCO yang dipimpin sebahagian Yahudi berfahaman Zionis.

Anwar menyifatkan beban tanggungjawab bagi menerangkan peranan sebenar Apco terletak di bahu pimpinan Umno.

Mengikut Malaysia Insider, APCO dibayar dengan nilai kontrak yang bernilai 20 juta ringgit.

APCO juga disyaki terlibat dalam pengaturan beberapa keputusan politik selain mendalangi beberapa isu politik bagi mengembalikan sokongan rakyat terhadap Umno.

Pada 10 Ogos lalu, Ketua Pegawai Eksekutif APCO, Margery Kraus mengumumkan syarikat akan membuka pejabat baru di Malaysia pada September dengan Paul Stadlen sebagai pengarah urusan. -TVS




Wang Ehsan : Najib Beri Cek Tendang Kepada Terengganu

Ayahanda saudara kepada Yang DiPertuan Agong, Tengku Seri Paduka Tengku Ibrahim Sultan Ismail Nasaruddin Shah berkata "wang royalti" berjumlah lebih RM400 juta kepada kerajaan negeri Terengganu lebih setahun lalu sehingga kini belum dapat dinikmati rakyat negeri itu.

Kata beliau walaupun sudah lebih setahun Datuk Seri Najib Razak yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri namun bayangan wang tersebut masih tidak kelihatan.

"Nampak cantik molek tapi hingga kini satu benda pun takde," kata beliau ketika merasmikan majlis Dialog Isu Royalti Minyak anjuran MAMPAT di Kuala Ibai yang dihadiri lebih 6,000 orang semalam.

Najib menyerahkan replika cek berjumlah RM408.6 juta kepada Menteri Besar Datuk Ahmad Said di satu majlis di Stadium Negeri, Kuala Terengganu pada 13 Disember 2008.

“Cek wang royalti berjumlah RM408.6 juta saya serah sendiri kepada Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said. Ini melambangkan keikhlasan kita," kata Najib ketika itu.

Menteri Besar berkata bayaran tersebut merupakan tambahan selepas pembayaran royalti lima peratus daripada pengeluaran 400,000 tong minyak sehari atau lebih RM50 bilion setahun dari telaga minyak yang terdapat di perairan negeri ini.

Namun menurut Laporan Ketua Audit Negara, Penyata Kewangan Kerajaan Negeri dan Pengurusan Kewangan Jabatan/Agensi, Negeri Terengganu Tahun 2008 Jadual 4.10 pada muka surat 12, wang tersebut adalah bayaran baki peruntukan Dana Khas bagi tahun 2007 dan 2008 yang berjumlah RM408.60 juta, yang dibayar pada bulan Disember 2008. -SK

Parlimen U.K. Desak Kerajaan Malaysia Gugur Kes Fitnah Terhadap DSAI

Dewan Rakyat United Kingdom (House of Commons) mendesak kerajaan Malaysia menggugurkan kes fitnah terhadap Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim serta menghentikan usaha menekan dan mendakwa Ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat.

Usul yang dikenali sebagai "Early Day Motion" tersebut di bawa oleh Jeremy Corbyn, Ahli Parlimen Islington North daripada Parti Buruh Isnin lalu.

Dalam usul beliau Corbyn berkata Dewan Rakyat United Kingdom mengiktiraf sumbangan besar Anwar terhadap usaha mempromosi demokrasi di Malaysia dan keamanan serta persefahaman antara dunia Islam dan Barat.

"Oleh itu kami amat risau berhubung caj dan pertuduhan yang disabitkan kepada Anwar Ibrahim dan ingin nyatakan bahawa perbicaraan beliau melanggari piawaian antarabangsa berkaitan konsep keadilan dan mendaulatkan undang-undang.

"Kami menyedari perbicaraan yang dihadapi beliau sekarang adalah hampir sama dengan perbicaraan pada 1998 di mana tindakan badan kehakiman di kutuk dan dikritik oleh rakyat Malaysia dan masyarakat antarabangsa," kata Corbyn.

Beliau juga berkata usul yang di bawanya adalah susulan kepada usaha berterusan komuniti global berhubung kes fitnah terhadap Anwar seperti mana yang telah dilakukan oleh pertubuhan antarabangsa Amnesty International, Human Rights Watch serta tokoh-tokoh terkemuka Komanwel termasuk bekas Perdana Menteri Kanada Paul Martin, Michael Danby dan 59 Ahli Parlimen Australia. -SK

Anwar vs Khairy : Mahkamah Tetapkan 14 Mei Keputusan Penghakiman Ingkar Gantirugi RM100 juta

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 14 Mei ini bagi keputusan permohonan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin untuk mengenepikan penghakiman ingkar yang diperoleh oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kes saman fitnah 100 juta ringgit.

Peguam Sankara Nair berkata, Penolong Kanan Pendaftar, A. Kaveetha menetapkan tarikh itu dalam kamar ketika sebutan kes saman tersebut pagi ini.

Pada 4 Disember 2008, Anwar memperoleh penghakiman ingkar ekoran kegagalan Khairy memasukkan kehadiran.

Pada 7 Mac 2008, Anwar memfailkan saman kerana mendakwa Khairy, yang ketika itu Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia telah memfitnahnya.

Anwar selaku plaintif mendakwa pada 20 Februari 2008, Khairy sebagai defendan telah mengucapkan dan menyebabkan penerbitan dalam beberapa laman sesawang termasuk Malaysiakini.com satu rakaman klip video dan telah diterbitkan bersama-sama sebuah artikel.

Artikel yang didakwa merujuk kepada Anwar didakwa diucapkan oleh Khairy dalam sebuah ceramah di Lembah Pantai pada 20 Februari 2008.

Sehubungan itu, Anwar memohon ganti rugi pampasan RM100 juta, ganti rugi teruk, teladan serta injunksi selain faedah lapan peratus, kos dan relif lain yang difikirkan.

Pada 20 Februari tahun lalu, Khairy memfailkan permohonan untuk mengetepikan penghakiman ingkar yang diperoleh oleh Anwar. -TVS

Wang ihsan punca rasuah, salah guna kuasa

Veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah terus menegakkan pendiriannya dalam isu royalti minyak dengan malam tadi menegaskan, pemberian wang ihsan sebenarnya menjadi punca kepada amalan rasuah dan salah guna kuasa.

Dalam penjelasan kepada rakyat Terengganu malam tadi — lokasi terbaru beliau selepas Kota Baru dua bulan lalu — bekas pengerusi dan pengasas Petronas ini tidak menafikan banyak salah guna kuasa wujud ekoran penyaluran wang ihsan.

“Saya dengar khabar kerajaan Terengganu sekarang (pimpinan Umno-BN) tidak mahu menerima (baki wang ihsan) sebab tidak mahu menerima akaun macam mana duit (penyaluran wang ihsan) telah dibelanjakan tempoh hari, sepanjang lima tahun lalu.

“Sebab itu (wujud) banyak salah guna kuasa... buat itu, buat ini. Semuanya runtuh, tak kekal pun,” kata beliau dengan merujuk kepada beberapa kejadian bangunan milik kerajaan negeri di sini runtuh termasuk stadium.

“Jadi kita kena ingat banyak duit, barangkali diguna sebagai upah, rasuah, banyak harga barang dinaikkan kerana dicuri duit, nak curi duit... itu yang dinamakan wang ihsan,” kata beliau pada Dialog Perdana Isu Royalti dan Solat Hajat di Terengganu Equestrian Resort (TER) di sini malam tadi.

Dialog ini dianjurkan bersama oleh Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti Rakyat (Gegar) dan Majlis Permuafakatan Rakyat Terengganu (Mampat).

Kira-kira 4,000 orang menghadiri dialog itu yang berlangsung di dewan utama TER yang mampu memuatkan kira-kira 1,000 orang. Tetapi penganjur menganggarkan hampir 6,000 orang hadir dengan limpahan kehadiran disaksikan di luar dewan.

Turut hadir Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali dan Exco Kerajaan Negeri Kelantan Datuk Husam Musa yang juga pengerusi jawatankuasa khas isu royalti negeri itu.

Dalam sesi dialog itu, Tengku Razaleigh yang kali kedua berucap di dewan yang sama menyentuh isu yang sama menjelaskan, pemberian wang ihsan tidak semestinya mengikut undang-undang ataupun peraturan, yang mana turut mengakibatkan kebocoran sumber kewangan.

“Oleh kerana ada kebocoran maka berlaku rasuah, salah guna kuasa dan sebagainya. Akhirnya rakyat tidak terima apa-apa,” kata Ketua Umno Bahagian Gua Musang ini.

Kerajaan pusat mewujudkan jawatankuasa pengagihan wang ihsan sebanyak RM20 juta untuk Kelantan bermula bulan ini.

Langkah yang sama diamalkan di Terengganu sejak 2000 selepas kerajaan negeri diambil alih oleh PAS pada pilihan raya umum 1999.

Akhir Januari lalu, Tengku Razaleigh dalam ceramah perdananya di Kota Baru melahirkan pendirian bahawa Kelantan juga layak menerima wang royalti lima peratus, bukannya wang ihsan.

Kerajaan negeri Kelantan mengemukakan tuntutan mahu mendapatkan royalti RM2 bilion tetapi kerajaan pusat menegaskan ia tiada hak sama sekali sambil menggesa agar pergi ke mahkamah.

Pendirian Tengku Razaleigh itu menimbulkan rasa tidak hati di kalangan pemimpin Umno sehingga wujud suara agar tindakan disiplin dikenakan ke atas beliau.

Pada majlis dialog malam tadi, Tengku Razaleigh menegaskan, penjelasan mendalam harus diberikan kepada orang ramai tentang perbezaan antara wang ihsan dan wang royalti.

Kata beliau, rakyat sanggup mengambil walaupun hanya diberi RM200 atau RM300 sedangkan mereka sepatutnya menerima lebih daripada jumlah tersebut.

“Sememangnya wang ihsan dan wang royalti ini berbeza. Oleh kerana rakyat miskin dia terima duit walaupun sedikit, mereka bersyukur dengan apa yang diterimanya.

“Tetapi kita kena jelaskan mereka bahawa wang royalti ini lebih banyak daripada apa yang disebutkan sebagai wang ihsan,” kata beliau.

Ini kerana menurut Tengku Razaleigh, dalam tempoh lima tahun lalu hampir RM20 bilion telah dibelanjakan sebagai wang ihsan manakala bakinya dikatakan RM2.9 bilion.

Tetapi kerajaan pusat hanya meluluskan RM1.6 bilion daripada jumlah tersebut,
katanya.

Selain itu, ada peserta yang mempersoalkan mengapa Tengku Razaleigh tidak bersuara apabila Terengganu pertama kali membangkitkan wang royalti pada 2000.

“Saya hendak memberitahu, pertamanya saya tidak menerima wahyu. Nombor dua, (dulu) saya tidak berperanan macam sekarang.

“Hari ini saya dijemput oleh Mampat supaya datang untuk memberikan penerangan... dalam tahun 2008, Mampat ada konvensyen, saya dijemput saya datang. Baru-baru ini saya dijemput oleh Gegar di Kota Baru saya pergi.

“Tapi pada 2000 tidak sesiapa yang menjemput, maka saya pun tidak pergi,” katanya.

Menjawab soalan berkaitan Mustafa berkata, sebenarnya Tengku Razaleigh telah memainkan peranan sejak satu dekad yang lalu.

Kata beliau, apabila kerajaan negeri Terengganu memutuskan untuk membawa isu royalti ke mahkamah antara pihak yang sanggup menjadi saksi ialah Tengku Razaleigh sendiri.

Oleh itu kata Mustafa yang juga bekas Exco Kerajaan Negeri Terengganu ketika pimpinan negeri PAS memberitahu, adalah tidak benar Tengku Razaleigh tidak bersuara pada tahun 2000.

Menurut Mustafa, pada awalnya mahkamah mahukan kehadiran saksi dalam kes berkenaan tetapi diketepikan ekoran rayuan daripada kerajaan pusat dan Petronas.

“Jadi Tengku Razaleigh tidak menjadi saksi untuk kita. Sebenarnya beliau telah memainkan peranan sejak tahun 2000,” katanya.

Menjawab soalan berkaitan dengan Ordinan Darurat dan Akta Pembangunan Petroleum 1974 yang dikaitkan dengan isu pertikaian wang royalti Kelantan, Tengku Razaleigh berkata, sebenarnya beliau sendiri pun samar-samar dengan kandungan ordinan tersebut.

Pun begitu kata beliau, sesuatu akta mengatasi mana-mana ordinan apatah lagi jika ordinan itu dibuat sebelum akta berkenaan digubal dan diluluskan oleh Parlimen.

“Yang saya difahamkan ordinan yang dimaksudkan ialah ordinan yang dibuat tahun 1966, tahun 1966 lebih awal daripada tahun 1974 iaitu Akta Pembangunan Petroleum, akta yang diluluskan oleh Parlimen pada tahun 1974.

“Walaupun ordinan ini dibuat selepas tahun 1974, ia tidak boleh mengatasi akta yang dibuat tahun 1974,” katanya.

Berhubung iklan dalam akhbar-akhbar arus perdana awal bulan lalu, Tengku Razaleigh berkata, kerajaan pusat menggunakan cara tersebut untuk memalukan beliau kononnya tidak konsisten dalam isu pertikaian wang royalti minyak sejak tahun 2000.

“Kononnya dulu (saya) cakap lain sekarang cakap lain. Yang tidak konsisten dia orang, bukan saya. Saya masih bercakap apa yang saya cakap dulu.

“Undang-undang itu yang saya cuba pertahankan. Saya datang hari ini hendak menjelaskan soal undang-undang itu,” kata beliau yang memulakan ucapan ringkasnya dengan menegaskan, peruntukan perundangan jelas menunjukkan kerajaan-kerajaan negeri yang ada pengeluaran hasil minyak wajar diberi wang royalti atau “wang tunai.”

“Perkara itu tidak harus berbangkit sekarang, tetapi ia masih menjadi isu sekarang,” kata beliau yang kemudiannya berdialog dengan menerima 15 soalan kesemuanya.

Menjawab soalan sama ada Kelantan boleh membatalkan perjanjian minyak yang sedia ada dan mengusahakan sendiri urusan cari gali minyak, Tengku Razaleigh berkata, ia membabitkan soal politik yang beliau tidak boleh menjawab sebagai bekas pengerusi Petronas.

Bagaimanapun jelas beliau, Kelantan boleh melakukannya jika merasakan ia mampu untuk berbuat demikian.

“Kalaulah ada kemampuan, kalaulah ada semangat sedemikian rupa, sila timbang perkara itu,” kata anggota kerabat diraja ini.

Soalan yang dikemukakan ialah mengapa Petronas tidak diletakkan di bawah tanggungjawab Parlimen ketika ia ditubuhkan lebih tiga dekad yang lalu.

Tengku Razaleigh yang juga bekas menteri kewangan memberitahu ketika itu Kabinet merasakan adalah memadai dan lebih baik Petronas diletakkan di bawah pengawasan langsung perdana menteri.

“Tetapi kalaulah kaedah ini tidak boleh diterima oleh rakyat (sekarang) mengapa tidak ditimbang untuk mengubah cara yang dipakai sekarang ini, tidak siapa yang boleh menghalang jika memang ada usaha untuk mengubah cara ini,” katanya.

Mengenai langkah selepas ini, Tengku Razaleigh berkata, beliau ada memaklumkan kepada Husam bahawa adalah sukar untuk dilaksanakan melainkan perdana menteri sendiri yang mengaku telah menerima nasihat yang salah.

Kata Tengku Razaleigh, sekiranya perdana menteri tidak sanggup mengubah pendiriannya, maka kerajaan negeri boleh mencari jalan tengah.

“Saya sendiri kata saya boleh jadi orang tengah untuk kerajaan negeri, mana-mana kerajaan negeri bukan kepada Kelantan sahaja, secara percuma... bagi kerajaan pusat menyelesiakan masalah ini.

“Kalau dia (kerajaan pusat) takut duit itu disalah guna untuk politik atau untuk apa sahaja, sanggup jadi orang tengah untuk manfaat kepada rakyat,” katanya.

“Itu satu cara. Cara yang lain ialah mengikut tafsiran undang-undang... macam di Perak, tengok apa yang berlaku, tafsir macam-macam.

“Terpulang kepada kerajaan negeri sama ada pilih jalan ini atau tidak,” katanya.

Bagaimanapun kata beliau, jalan paling selamat ialah mengadakan orang tengah supaya dapat meyakinkan kedua-dua pihak dalam menerima peruntukan yang ada sekarang.

“Yang satu lagi ialah menggunakan timbang rata, yang dilantik oleh kerajaan negeri dan Petronas dan melantik hakim yang dipersetujui kedua-dua pihak,” kata beliau secara berseloroh menambah, “kalau tidak selesai juga, berperanglah.”

Tengku Razaleigh berpendapat tekanan seharusnya terus diberikan supaya kerajaan pusat akan sedar tentang hak sebenar kerajaan-kerajaan negeri.

“Yang kita buat ialah memberi tekanan supaya mereka sedar. Ada tekanan kepada kerajaan supaya mereka sedar bahawa rakyat prihatin dan mahu perkara ini diselesaikan mengikut peraturan undang-undang,” katanya. -MI

UMNO Tak Kenang Jasa Ku Li

Bekas Pengerusi Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah berkata beliau kecewa kerana jasanya menubuhkan agensi itu tidak dikenang bahkan “dimarahi” disebabkan pendiriannya menyokong kerajaan PAS Kelantan menuntut isu royalti minyak.

Anggota Parlimen Gua Musang itu berkata beliau menyokong tuntutan itu kerana menganggap pemberian wang ihsan (bukan royalti) oleh kerajaan pusat satu tindakan yang tidak tepat seolah-olah mengambarkan sebagai “peminta sedekah”.

“Mengikut undang-undang yang saya rangka dan masih dipakai sehingga sekarang Kelantan patut mendapat royalti minyak,”
katanya ketika berucap pada majlis sambutan Maulidur Rasul di Sekolah Agama Saniah di sini, hari ini.

Tengku Razaleigh (gambar) berkata beliau menubuhkan Petronas kira-kira 37 tahun lalu atas arahan bekas Perdana Menteri kedua Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein yang ketika itu negeri-negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang tidak mempunyai telaga minyak.

Katanya Razak mahukan beliau merangka satu draf undang-undang supaya negeri-negeri itu akan mendapat royalti minyak sebanyak lima peratus sekiranya telaga minyak dijumpai berhampiran dengan sesebuah negeri itu tanpa menyebut jarak dari pantai.

Menurutnya hasil penubuhan itu Petronas menyumbangkan RM75 bilion setahun kepada kerajaan pusat iaitu 42 peratus daripada pendapatan punca hasil negara. — Bernama

Zahrain Dicabar Namakan Timbalan Speaker Yang Nak Melompat

Pakatan Rakyat hari ini mencabar Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim (Bebas-Bayan Baru) membuktikan dakwaannya bahawa Pakatan Rakyat (PR) yang diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pakatan dengan Timbalan Speaker untuk mempengerusikan undi tidak percaya terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Saifuddin Nasution Ismail (PKR-Machang) berkata, Zahrain mesti berani menamakan Timbalan Speaker yang dimaksudkan itu.

"Saya cabar Zahrain namakan siapa Timbalan Speaker yang dimaksudkan itu. Cuma ada dua Timbalan Speaker, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Datuk Ronald Kiandee. Zahrain boleh tanya kedua-duanya, siapa yang telah berpakat dengan Anwar," katanya dalam satu sidang media di lobi parlimen pagi ini.

Turut bersama pada sidang media berkenaan ialah Salahudin Ayub (PAS-Kubang Kerian), Jeff Ooi (DAP-Jelutong) dan Liew Chin Tong (DAP-Bukit Bendera).

Zahrain yang merupakan bekas Pengerusi PKR Pulau Pinang dalam ucapannya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong petang semalam 'mendedahkan' punca beliau keluar parti dan mengaitkan Anwar dengan kegagalan PR untuk mengambil alih kerajaan Persekutuan melalui perancangan ‘16 September’.

Menjawab tuduhan Zahrain kononnya Pakatan memberitahu Yang di-Pertuan Agong sedang menunggu di Istana Negara untuk memberi perkenan kepada PR untuk membentuk kerajaan, Saifuddin menjelaskan, PR tidak pernah memilih untuk berarak di jalan raya untuk proses peralihan kuasa sebaliknya konsisten untuk menggunakan saluran Parlimen.

"Berkenaan perkenan Yang di-Pertuan Agong dan sokongan daripada angkatan tentera, ini satu lagi perkara salah. Memang pada 16 September kita menulis surat kepada Perdana Menteri minta diadakan sidang khas parlimen.

"Negara kita cuma dua orang sahaja yang boleh panggil sidang parlimen. Yang di-Pertuan Agong atau Perdana Menteri. Faktanya ialah Pakatan Rakyat menulis kepada PM dan serahan tangan dihantar oleh Ahli Parlimen Sungai Petani, Johari Abdul di pejabat Perdana Menteri.

"Kalau proses peralihan kuasa nak berlaku, kita tidak pilih jalan raya. Kita memilih saluran Parlimen. Hakikat bahawa kita menulis surat minta sidang khas Parlimen membuktikan bahawa kita nak gunakan saluran Parlimen," jelasnya.

Beliau juga menyifatkan Zahrain sebagai 'tentera upahan' Umno/Barisan Nasional yang digunakan untuk menjatuhkan PR.

Namun ujarnya, tindakan Zahrain itu hanyalah 'halangan kecil' dan tidak akan menjadi penghalang kepada PR untuk membentuk sebuah kerajaan.

"Sekarang ada satu pasukan tentera upahan untuk menyekat laluan kita. Tapi fokus kita tak akan terkalih. Kita akan hadapi tentera upahan ini satu persatu tapi saya anggap ini satu ancaman kecil. Bayan Baru (Zahrain) sebagai watak baru yang ditonjolkan sebagai berbeza daripada dahulu dan satu gergasi kecil yang mendedahkan pelbagai kelemahan Pakatan Rakyat.

"Pakatan Rakyat tidak akan terkalih daripada berdepan dengan Barisan Nasional sebagai musuh politik nombor satu kita," katanya.

Beliau berkata, pencapaian Zahrain yang amat berbeza daripada sewaktu menjadi wakil PKR dulu membuktikan belaiu telah digunakan dalam rancangan Umno/BN menjatuhkan PR.

"Menilai ucapan Bayan Baru semalam, kita dapati pencapaiannya memuncak secara mendadak dan tiba-tiba. Sepanjang dua tahun menjadi wakil PKR, beliau tidak pernah berbahas dalam royal debate ataupun bajet di peringkat polisi atau pun komiti.

"Bila beberapa orang keluar parti, kumpulan ini dijadikan 'attack dog'. Apabila mereka bercakap, semua menteri diminta hadir. Kita boleh tengok bagaimana ianya dibuat dengan menyediakan teks dan membawa isu yang mereka anggap besar," katanya. -harakahdaily



Isu Bumiputera : Nazri Dedahkan Kedangkalan dan Kebebalannya

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nazri Aziz gagal memahami bahawa Perlembagaan Persekutuan tidak meletakkan Orang Asal sebagai kaum bumiputera, kata Penyelaras Pakatan Rakyat, Datuk Zaid Ibrahim.

Kesal dengan kedangkalan menteri itu, Zaid menjelaskan, menurut Perkara 153 and 161 Perlembagaan Persekutuan, Orang Asal tidak diberi hak keistimewaan sebagai Bumiputera.

Katanya Orang Asal tidak dikategorikan sebagai bumiputera, kerana Perlembagaan Persekutuan hanya memperuntukkan orang Melayu dan pribumi Sabah dan Sarawak sahaja yang dianggap sebagai bumiputera.

“Hanya 'Malays and the Natives of Sabah and Sarawak' dianggap sebagai Bumiputera. Inilah nasib Orang Asal di negara ini,” katanya.

“Sepatutnya merekalah orang yang paling layak sekali kerana bukan sahaja sebagai Orang Asal dan anak putera bumi bertuah ini tetapi juga kerana mereka paling miskin.

“Menteri sendiri tidak mengetahui status mereka, masakan mereka akan mendapat pertolongan dan pembelaan yang patut dan sewajarnya,” katanya dalam tulisan di blognya.

Kedangkalan Nazri itu hanya disedari ketika Ahli Parlimen Hulu Rajang, Billy Abit Joo pada sidang parlimen semalam bertanyakan sama ada pengiktirafan status bumiputera perlu diperjelaskan dan kriteria Bumiputera diseragamkan.

Nazri dilaporkan terus menjawab “tidak perlu”.

Sebaliknya Nazri mendakwa status bumiputera telahpun diseleraskan dan digolongkan dalam tiga kategori seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaaan Persekutuan, iaitu Melayu, anak-anak negeri Sabah dan Sarawak serta Orang Asal.

Kenyataan Zaid ini dibuat bagi mengulas tindakan lebih 2,000 Orang Asal yang berarak ke pejabat Perdana Menteri di Putrajaya, semalam untuk menyerahkan memorandum bantahan mereka.

Memorandun itu mengandungi hal-hal penganiayaan di tangan kerajaan Barisan Nasional selama lebih 50 tahun, tentang tanah nenek-moyang mereka yang dirampas dan diambil untuk pembangunan projek BN.

Zaid juga melahirkan rasa bangga dengan kebangkitan dan keberanian Orang Asal untuk menentang kezaliman Jabatan Hal-Ehwal Orang Asli yang menindas kaum mereka.

“Walaupun polis menggunakan kuasa mereka untuk menahan perarakan itu ke pejabat Najib Razak, sekurang-kurangnya Orang Asal tanahair kita sudah berani bangkit. Mereka sudah mula “naik minyak” kerana masalah mereka selama ini dipandang ringan oleh kerajaan BN,” katanya..

Bagi Zaid, masa depan Orang Asal di bawah BN tidaklah cerah kerana jawapan Nazari semalam hanya membuktikan kerajaan BN tidak tahu sangat atau tidak mengambil berat perihal nasib Orang Asal.

MP Bebas Dicabar Jangan Hadir Parlimen 6 Bulan

Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh meminta semua ahli parlimen yang menang pilihan raya atas tiket Pakatan Rakyat tetapi belot dan mengisyitihar diri sebagai ahli parlimen bebas, diminta tidak datang ke sidang Parlimen.

Beliau menyifatkan tindakan itu paling sesuai jika benar ahli parlimen sedemikian benar-benar tidak mengkhianati rakyat tanpa perlu menggadaikan kelayakan mereka untuk bertanding pada pilihan raya akan datang.

Beliau berkata, kebanyakan ahli parlimen bebas dikatakan keberatan untuk meletak jawatan kerana terikat dengan Artikel 48(6) Perlembagaan yang menghalang mereka dari bertanding selama lima tahun jika mengosongkan kerusi.

"Jika seorang Ahli Parlimen letak jawatan, dia tidak boleh bertanding selama lima tahun. Ini adalah alasan yang diberikan oleh Ibrahim Ali. Itu alasannya sepanjang masa ini.

"Apa yang penting ialah artikel 52(1) yang menyatakan, jika seseorang ahli dewan rakyat tidak hadir selama enam bulan tanpa izin Speaker, kerusinya akan dikosongkan.

Artikel 48 dipinda Tun Mahathir Mohamad pada 1989 bagi menghalang ahli parlimen Semangat 46 dari meletak jawatan, seterusnya memaksa pilihan raya kecil pada masa itu. Namun, dalam artikel 52(1) ahli parlimen boleh bertanding semula tanpa perlu digantung selama 5 tahun.

Justeru, Karpal yang juga seorang peguam menyatakan, ketidakhadiran ahli parlimen yang melompat parti sebelum menjadi ahli bebas, membuka ruang kepada rakyat membuat pilihan sebenar mereka.

"Kami meminta ahli parlimen PKR yang keluar parti agar tidak datang ke Parlimen selama enam bulan supaya kerusi mereka dikosongkan dan mereka boleh bertanding semula dalam pilihan raya kecil.

"Ini merupakan jalan terbaik yang boleh dilakukan agar mereka yang mengkhianati kepercayaan pengundi kawasan mereka dengan menjadi mp bebas selepas menang dengan tiket PKR," katanya. -TVS






Kewujudan Parti Perkauman Tidak Selaras Semangat 1 Malaysia

Parti-parti politik yang berasaskan perkauman harus dibubar kerana ia bertentangan dengan konsep Satu Malaysia yang ditaja oleh Umno-Barisan Nasional.

Cadangan ini dikemukakan oleh Penasihat DAP, Lim Kit Siang, ketika membahaskan usul ucapan terima kasih titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat petang tadi.

Beliau mencabar setiap ahli dewan termasuk Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang hadir sidang ketika itu, supaya bangun mengisytiharkan bahawa mereka adalah pertama-tamanya rakyat Malaysia, sebelum mengakui berketurunan Cina, Melayu, India, Iban atau sebagainya.

"Semua parti politik berasaskan kaum perlulah dibubar kerana ia menentangkan semangat dan konsep Satu Malaysia. Umno sendiri, MCA, MIC semuanya perlu dibubar kerana ia bertentangan dengan Satu Malaysia," kata Kit Siang.

Namun, tiada seorang pun ahli parlimen Umno-Barisan Nasional berani menyahut cabaran itu.

Sebaliknya, cabaran ini disokong oleh Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad yang kemudian mempersoalkan sama ada konsep parti berasaskan kaum, sesuai dengan acuan Satu Malaysia.

Ahli Parlimen Padang Besar, Datuk Azmi Khalid bangun dan mencabar Kit Siang supaya mengajak ibu bapa keturunan cina menghantar anak mereka ke sekolah kebangsaan demi mewujudkan satu bangsa Malaysia yang bersatu.

Bagaimanapun, Khalid sekali lagi mencelah dan mempersoalkan demikian: "Adakah dasar Satu Malaysia bertujuan menghakis jati diri atau identiti rakyat pelbagai kaum?"

Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming menghangatkan perbahasan apabila beliau menghuraikan betapa DAP mendahului konsep Satu Malaysia dengan mengemukakan barisan kepemimpinan pelbagai kaum.



Zaharin Menepuk Air Di Dulang, Memercik Muka Sendiri

Kelancangan melulu Datuk Seri Zahrain Hashim terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang Dewan Rakyat, semalam bukan satu yang menghairankan kerana ia datangnya dari seseorang yang hipokrit dan gila pangkat.

Malah, Ahli Parlimen Bayan Baru itu sanggup membelakangi keputusan mesyuarat parti dan secara diam-diam menulis surat kepada Lim Guan Eng bagi memperoleh gelaran Datuk Seri walaupun kemudian melabelkan Ketua Menteri Pulau Pinang itu sebagai cauvinis dan komunis,

Bercakap pada sidang media di lobi Parlimen, Ahli Parlimen Machang, Saifuddin Nasuition mendedahkan Zahrain pernah mempengerusikan mesyuarat di Pulau Pinang yang dihadiri semua wakil rakyat negeri itu dan mengambil ketetapan untuk tidak meminta atau menerima apa- apa gelaran.

Namun dalam diam, bekas Pengerusi Perhubungan Negeri PKR Pulau Pinang itu menulis surat kepada Lim Guan Eng meminta gelaran 'Datuk Seri' biarpun kini mengecam Ketua Menteri Pulau Pinang itu sebagai komunis.

"Semasa Zahrain mempengerusikan mesyuarat di Pulau Pinang, mesyuarat memutuskan semua wakil rakyat Pulau Pinang tidak akan menerima apa-apa gelaran Datuk walaupun ditawarkan.

"Apa yang dia (Zahrain) buat selepas itu? Dia menulis pada Ketua Menteri meminta gelaran tersebut," katanya pada sidang media di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Setiausaha Agung PKR itu melabel Zahrain sebagai seorang yang hipokrit dan kini berperanan sebagai tentera baru Umno dan mengibaratkan kecaman Zahrain sebagai 'menepuk air di dulang, akhirnya terpercik ke muka sendiri'.

"Ini karektor dia (Zahrain). Yang menariknya Bayan Baru menulis kepada pemimpin yang dia sendiri label sebagai komunis dan cauvinis semata-mata untuk meminta gelaran," katanya.