27 Mac 2010

Tembelang Umno BN Didedahkan Kepada Rakyat Hulu Selangor

Rakyat Hulu Selangor malam semalam didedahkan dengan pelbagai penyelewengan yang selama ini dicuba diselindung pentadbiran kerajaan Umno Barisan Nasional.

Bertempat di Stadium Mini Kuala Kubu Bharu yang dihadiri hampir 10,000 orang, satu persatu tembelang Umno BN dibongkar pimpinan Pakatan Rakyat termasuk tokoh utama, Datuk Seri Anwar Ibrahim

Pimpinan Pakatan Rakyat menyentuh pelbagai isu kepentingan negara, antaranya kehilangan enjin pesawat TUDM, penyelewengan kontrak kapal selam Scorpene, gejala rasuah dan sebagainya.

“Saya, kalau saudara tengok sudah 12 tahun yang dicerca. Sebulan dua ini, panas balik sebab Umno tidak mampu berdepan dengan rakyat. Saya diaib, ditelanjangkan, dipukul, dipenjara, dituduh berbagai-bagai.

"...Khianat negara, pecah belah, guna Agong, guna tentera, semua.. sebut satu kesalahan, Anwar Ibrahim!” cabar Anwar pada ceramahnya kepada pimpinan Umno BN.

Beliau turut memberi gambaran perkembangan politik di negara ini termasuk suasana sebenar yang berlaku dalam sidang Parlimen yang menjadikan beliau sebagai objek sasaran tohmahan.

“Titah di-Raja Yang di-Pertuan Agong, dibahaskan tetapi tidak jadi bahas titah di-Raja. Yang dibahaskan ialah pidato Anwar Ibrahim di Parlimen minggu ini.

"Hari-hari bangun tidur sahaja, orang Umno tidak ada lain, Anwar Ibrahim tidak bagus. Eh, saya kata, tajuk ini titah Agong ke apa? Punya elerginya dia,” Anwar menyindir.

Meskipun Anwar dituduh sebagai ejen Yahudi dan ejen Hindu, ironinya kerajaan UMNO-BN yang mengaku memperjuangkan Malaysia sebagai negara Islam sebaliknya menggalakkan perjuadian.

“Islam agama rasmi tapi lesen judi tambah, tak malukah kita? Di Parlimen, ahli-ahli parlimen yang Melayu, Islam, Keadilan, PAS bangkit. Kita menentang Najib tambah lesen judi, Umno diam.

"Yang sokong kita siapa? Cina, termasuk Cina DAP, Anthony Loke. DAP dan Pakatan Rakyat tidak bersetuju beri banyak lesen judi. Dunia sekarang sudah terbalik,” hujah Anwar lagi. -TVS

Ahli perniagaan maut ditetak di bilik hotel, wanita parah

Seorang ahli perniagaan ditemui mati dengan lima kesan tetakan pada kaki manakala teman wanitanya pula parah akibat diserang ketika tidur dalam sebuah bilik di unit berbulan madu sebuah hotel, di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi itu, Ramli Osman, 40, dari Shah Alam, Selangor mati di tempat kejadian akibat kehilangan banyak darah, manakala teman wanitanya berusia 26 tahun masih dirawat di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS).

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Osman Salleh, berkata kejadian disedari kira-kira jam 6 pagi selepas wanita terbabit menghubungi pihak hotel yang kemudian menghantar pengawal keselamatan ke bilik berkenaan.

"Wanita dari Batu Caves, Selangor itu yang cedera pada tangan, paha dan kaki kanan akibat ditetak sempat membuka pintu bagi membolehkan pengawal keselamatan masuk ke bilik berkenaan sebelum rebah tidak sedarkan diri.

"Sepasukan polis yang bergegas ke tempat kejadian menemui ahli perniagaan terbabit yang berseluar pendek dalam keadaan berlumuran darah di atas katil dan sudah meninggal dunia," katanya ketika ditemui di sini.

Katanya, pemeriksaan mendapati mangsa ditetak lima kali menggunakan senjata tajam dipercayai parang pada kaki kanannya, namun polis tidak menemui senjata digunakan dalam kejadian itu.

Beliau berkata, polis juga tidak menemui kesan pecah masuk pada bilik berkenaan dan tidak menolak kemungkinan perbuatan itu dilakukan suspek dikenali mangsa.

Katanya, polis masih menjalankan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) hotel berkenaan, selain mengambil keterangan beberapa warga Singapura di bilik bersebelahan yang mendakwa mendengar jeritan kira-kira jam 4 pagi.

Osman berkata, polis menolak kemungkinan kejadian itu bermotifkan samun kerana semua barangan berharga milik kedua-dua mangsa tidak dilarikan.

Difahamkan, pasangan terbabit mendaftar masuk di hotel berkenaan petang semalam.



10 Ribu Banjiri Stadium Kuala Kubu Baru

Hampir 10,000 rakyat pelbagai kaum memenuhi Stadium Mini Kuala Kubu Baru malam semalam bagi mendengar penerangan mengenai kempen Selamatkan Malaysia yang disampaikan pimpinan Pakatan Rakyat termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kubu Kubu Baru terletak dalam kawasan Parlimen Hulu Selangor yang dimenangi calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad yang meninggal dunia akibat barah otak, kelmarin.

Kempen itu sebenarnya diatur sebelum pemergian Dr Zainal Abidin yang uzur selepas menang pilihan raya umum ke-12 dan kebetulan berlangsung ketika di ambang pilihan raya kecil.

Selain ucapan takziah kepada Allahyarham, pimpinan Pakatan Rakyat menyentuh isu kepentingan negara, antaranya isu kehilangan enjin pesawat pejuang TUDM, penyelewengan kontrak kapal selam Scorpene, gejala rasuah dan sebagainya.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim, Timbalan Presiden PKR, Syed Husin Ali; Naib Presiden PKR, Azmin Ali; Pengarah Strategik PKR, Tian Chua antara yang berucap dalam majlis itu

Selain mereka, Ahli Jawatankuasa Pusat PAS, Dr Hatta Ramli dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kampung Tunku, Lau Weng San dari DAP turut menyampaikan ceramah.

Malah, dua aktivis utama Hindraf yang ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) iaitu T Vasanthakumar dan V Ganabatirau juga hadir dalam ceramah tersebut. -TVS



BN Terpaksa akur, Berdepan Pilihanraya kecil

Barisan Nasional terpaksa juga akur dan perlu berdepan dengan pilihanraya kecil walau telah berulang kali mengelakkan dari pilihanraya kecil sebelum ini.

Menurut Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) PKR, Badrul Hisham Shaharin, BN hanya gah di media arus perdana, buktinya banyak pilihanraya kecil yang Bn harus hadapi tetapi dielakkan sebaik mungkin.

"Contohnya Pilihanraya di Perak, Pilihanraya Kecil Kota Seputih, Kedah dan terbaru Pilihanraya Titi Tinggi di Perlis.

"Namun kali ini tidak dapat dielakkan ekoran Ahli Parlimen PKR Hulu Selangor, Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad meninggal dunia selepas mengalami barah otak sejak sekian lama," kata Badrul dalam blognya.

Menurut Badrul, berdasarkan logik akal permainan sentimen Ketuanan Melayu sudah hampir pasti kerusi Hulu Selangor ini akan ditandingi oleh Umno.

"Itupun jika Umno tidak hipokrit dengan sentimen ketuanan Melayunya. Ini kerana mana mungkin atas nama ketuanan Melayu Umno kerusi tersebut yang majoriti pecahan pengundinya Melayu diserahkan oleh 'geng ketuanan Melayu' kepada kaum lain," jelas Badrul dalam blognya.

Untuk rekod, pecahan peratusan pengundi Hulu Selangor ialah 53.9 peratus Melayu, 26.7 peratus Cina, 19 peratus India dan 0.4 peratus lain-lain kaum.

"kalau ikut pecahan kaum jika tidak meletakkan Umno maka Mca yang paling layak bertanding.

"Meletakan calon bagi BN, amat rumit kerana ini akan membuktikan 'belang hipokrit' sebenar Umno BN. Nak jaga undi India di seluruh negara maka kena letak calon India tetapi berdepan dengan kekalahan dan maka terbukti juga perjuangan ketuanan Melayu hanya retorik kerana menghantar calon bukan Melayu di kerusi majoriti Melayu pengundinya," kata Badrul lagi.

Badrul berkata, begitulah konflik bakal berlaku kerana mereka bermain dalam trek perkauman sempit.

"Namun bagi Pakatan Rakyat tidak susah meletakkan calon ini kerana kerusi itu bukan milik kuota mana - mana kaum tetapi calon bakal dipilih berdasarkan 'kopitensi' individu memberikan khidmat kepada rakyat dan faktor kemenangan yang wujud," jelas beliau.

Terdahulu, Allahyarham Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad menghembuskan nafasnya yang terakhir semalam di rumahnya dekat Jalan Cheras, Kajang.

Beliau yang juga merupakan bekas Timbalan Menteri Besar Selangor di zaman BN meninggal ketika berumur 71 tahun dan meninggalkan seorang balu iaitu Datin Zaharah Mohd Zin serta empat orang anak.

Zainal Abidin menang dalam pilihan raya lalu atas tiket PKR di kerusi Parlimen Hulu Selangor selepas mengalahkan calon BN dari dari MIC, P Palanivel dengan hanya 198 undi.

Dengan kematian ini bermakna pilihan raya kecil ke 10 akan diadakan dalam masa 60 hari. -erapakatan

Kes Malek Hussein: Keputusan mahkamah retrogresif, tidak adil

Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) menyuarakan rasa kecewa terhadap keputusan Mahkamah Rayuan kerana menolak keputusan Mahkamah Tinggi menghadiahkan RM2.5 juta kepada bekas tahanan ISA Abdul Malek Hussein.

"Malek bukan sahaja dinafikan RM2.5 juta tetapi diarah oleh mahkamah untuk membayar RM50,000 pula sebagai kos," kata penyelaras SUARAM, E Nalini dalam satu kenyataan semalam.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan itu mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi berikutan dari rayuan kerajaan Malaysia dan memutuskan penahanan Abdul Malek adalah sah di sisi undang-undang.

Mahkamah juga menafikan beliau di dera ketika dalam tahanan.

Beliau berkata, "penghakiman itu bersifat retrogresif dan secara terang-terang bercanggah dengan prinsip hak asasi manusia yang asas dan universal.

Menurut beliau, SUARAM yang berkempen supaya ISA dihapuskan sejak 1989, melihat keputusan mahkamah ini sebagai satu hari yang gelap untuk hak asasi manusia di negara ini.

"Keputusan mahkamah ini dilihat sebagai memihak kepada mereka yang melanggar hak asasi manusia dan menafikan keadilan kepada mangsa-mangsa mereka," ujar beliau.

Malek ditahan pada malam 25 September 1998 selepas berceramah dalam satu perhimpunan pada sebelah petang itu di Masjid Negara.

Beliau mendakwa polis menderanya dengan teruk, secara fizikal dan mental.Ketika perbicaraan yang lalu, Malek memberitahu mahkamah beliau ditampar oleh responden, Borhan Daud ketika ditahan. Kemudian beliau ditelanjangi dan ditutup mata semasa tempoh soal siasat.

Beliau didera secara fizikal sebanyak 60 kali, dipukul dan kepalanya dipukul dengan kuat sehingga beliau membuang air besar. Beliau dipaksa minum sejenis air, dipercayai air kencing. Mereka yang menderanya juga mengancam untuk menyuntik beliau dengan virus HIV/AIDS.

Malek memfailkan saman pada Mac 1999, menamakan pegawai cawangan khas, Borhan Daud; Abdul Rahim Noor, ketua polis negara pada ketika itu dan kerajaan sebagai responden.

Pada 18 Oktober 2007, hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada ketika itu, Mohd Hishamudin Mohd Yunus, dalam satu keputusan yang bersejarah memutuskan penahanan Malek dalam demonstrasi reformasi pada 1998 dibuat dengan niat jahat di bawah Artikel 5, Perlembagaan Persekutuan. Beliau dihadiahkan RM2.5 juta sebagai bayaran ganti rugi. -fmt

MP Indera Mahkota Pula Buat Laporan Polis Terhadap Utusan

Anggota Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail hari ini membuat laporan polis berhubung laporan sebuah akhbar yang disifatkannya telah menfitnah beliau telah keluar dari KEADILAN.

Azan dalam laporannya berkata, akhbar Utusan Malaysia dengan sengaja mencetak laporan bertajuk: "Bahtera Siapa Semakin Bocor?" dengan tujuan memburukkan namanya dan parti tersebut yang disiarkan pada 6 Mac lepas.

Katanya, akhbar itu juga sengaja mencetak ruangan ralat dan menyatakan beliau tidak keluar dari PKR tetapi meletakkan semua jawatan dalam parti itu termasuk Timbalan Pengerusi Perhubungan Negeri dan Pengerusi Biro Keahlian Negeri.

"Kedua-dua laporan itu tidak benar dan hanya bertujuan menunjukkan bahawa saya ahli parlimen yang tidak bermoral, tidak berpegang kukuh kepada kepimpinan Ketua PKR dan tidak mempedulikan penduduk Indera Mahkota.

"Tulisan itu memberi implikasi sebagai pemimpin yang tidak bertanggungjawab untuk menjatuhkan air muka dan maruah saya," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis mengenai perkara itu di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini, hari ini.

Beliau berkata, kesan daripada tulisan itu menyebabkan reputasinya sebagai Anggota Parlimen terjejas dan dipandang rendah masyarakat. -BERNAMA