13 Mac 2010

Zahrain Terima Petisyen Rakyat Desak Letak Jawatan

Keadilan Cabang Bayan Baru hari ini mendesak agar Ahli Parlimen Datuk Seri Zahrain Hashim meletakkan jawatan kerana didakwa mencabuli amanat serta mengkhianati janji kepada rakyat.

Sehubungan itu ahli jawatankuasa serta ahli cabang itu menyerahkan memorandum yang mengandungi sebanyak 2,108 tandatangan kepada Zahrain di Dewan Tabung Haji bagi mengesa beliau mengosong kerusi Parlimen tersebut supaya satu pilihan raya kecil dapat diadakan.

Lawatan Zahrain ke kawasan Parlimen beliau hari ini dipercayai kali pertama dalam tempoh tiga bulan.

Desakan ini dibuat berikutan tindakan Zahrain bertindak keluar daripada KEADILAN dan menjadi anggota Parlimen Bebas 12 Februari lalu.

Menurut ahli jawatankuasa KEADILAN Cabang Bayan Baru, Ahmad Azrizal Tahir, Pakatan Rakyat tidak memerlukan Zahrain untuk memimpin rakyat Bayan Baru justeru tindakan beliau itu yang dianggap telah mengkhianati kepercayaan rakyat yang mengundi beliau pada pilihan raya umum 2008.

"Kami mahu Zahrain meletak jawatan sebelum sidang Dewan Rakyat berlansung 15 Mac ini.

"Rakyat mempertikaikan jawatan Ahli Parlimen yang disandang beliau ekoran kritikan keterlaluan beliau kerajaan negeri Pakatan Rakyat di bawah pimpinan Ketua Menteri Lim Guan Eng," kata Ahmad Azrizal.

Pegawai JKK Permatang Damar Laut Sharonni Hasan pula berkata Pakatan Rakyat akan terus mendesak Zahrain meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen kerana rakyat sudah bosan dengan kerenah beliau.

Ahli jawatankuasa Angkatan Muda KEADILAN Bayan Baru Afiq Ilfiq turut bersetuju dengan desakan tersebut sambil menyatakan ia adalah bertujuan membersih serta melancarkan pentadbiran politik dalam Pakatan Rakyat.

"Rakyat mahukan politik baru untuk membentuk pemimpin yang adil ke arah mencapai negara yang demokratik, progresif dan bersatupadu," kata Afiq.

Seorang pengundi Bayan Baru Sha’ari Md Salled berkata sebagai pengundi beliau amat kesal dan kecewa dengan tindakan Zahrain keluar parti memandangkan beliau telah diberikan tanggungjawab menjaga amanat rakyat pada PRU lalu.

"Tindakan Zahrain itu ternyata mengkhianati harapan rakyat di Bayan Baru yang memilihnya untuk perubahan dua tahun lalu. Ini juga membuktikan beliau tidak mempedulikan hak dan kebajikan rakyat.

Dalam reaksi beliau kepada media Zahrain berkata beliau tidak akan meletak jawatan kerana keputusan samada beliau berbuat demikian adalah haknya.

"Pendirian saya jelas dalam perkara ini, saya mahu meneruskan perkhidmatan saya kepada rakyat Bayan Baru sebagai wakil rakyat Bebas," kata Zahrain. -SK

Mohsin Enggan Kosongkan Kerusi Bagan Serai

Ahli Parlimen Bagan Serai, Mohsin Fadzli Samsuri menegaskan beliau tidak akan mengosongkan kerusi Parlimennya walaupun ada pihak dalam Pakatan Rakyat mendesaknya berbuat demikian termasuk mahu mengadakan solat hajat.

Bekas pemimpin PKR itu berkata, beliau tidak terfikir untuk mengosongkan kerusinya, sebaliknya akan meneruskan khidmat sebagai wakil rakyat Bebas sehingga pilihan raya umum ke-13.

Selain Mohsin Fadzli tiga lagi Ahli Parlimen PKR telah keluar parti dan mahu bertindak sebagai wakil rakyat Bebas.

Laporan Harakah Daily semalam menyebut tempoh tujuh hari yang diberikan PR Bagan Serai kepada wakil rakyat berkenaan untuk menarik balik keputusannya meninggalkan pakatan itu tamat malam kelmarin.

Mulai malam ini mereka mengadakan solat hajat selama tujuh hari memohon kepada Allah agar Mohsin Fadzli insaf atau menyerahkan kembali mandat rakyat itu dengan meletakkan jawatan.

Majlis solat hajat akan diadakan dengan solat Maghrib di Balai Kuliah Tasawur Islam Simpang Empat Semanggol, kata bekas Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, Ahmad Awang.

Ahmad memberitahu semasa pilihan raya umum lalu beliau yang memperkenalkan Mohsin Fadzli kepada orang ramai khasnya masyarakat Cina dan PAS Kawasan Bagai Serai.

Beliau berkata, solat hajat itu akan berakhir Jumaat depan di Masjid Tinggi Bagan Serai.

Pada 3 Mac lalu, Mohsin Fadzli mengisytiharkan dirinya keluar daripada PKR dan menjadi Ahli Parlimen Bebas kerana “politiking” melampau dalam PKR yang gagal dikawal oleh penasihat parti Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Pilihan raya umum pun tidak lama lagi, saya akan tunggu dan menghabiskan penggal perkhidmatan saya,” kata beliau dipetik Bernama.

“Lagi pun apa perlunya saya meletak jawatan kerana saya masih lagi Anggota Parlimen mereka... tidak ada salahnya kerana saya masih berkhidmat untuk mereka (pengundi Bagan Serai),” katanya di sini hari ini.

Mohsin Fadzli berkata beliau tidak akan menyertai mana-mana parti politik lain walaupun menyedari Barisan Nasional (BN) akan sentiasa mengalu-alukan jika beliau berhasrat menyertai parti komponen BN.

Pada pilihan raya umum 2008, Mohsin Fadzli, yang pertama kali bertanding, mengalahkan bekas Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Zainal Abidin Zin daripada Umno dengan majoriti 3,413 undi. -MI



Musa Hassan Sepatutnya Letak Jawatan Bukan Nafi Letak Jawatan

Musa Liabiliti Kepada Najib, Perlu Letak Jawatan

SHAH ALAM 13 Mac - Tindakan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan menafikan beliau meletakkan jawatan menguatkan spekulasi terdapat usaha terancang menyingkirkan beliau sebagai Ketua Polis Negara.

Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata perkara itu berlaku kerana kegagalan Musa dalam membanteras kadar jenayah yang semakin tinggi dan hubungkait Musa yang dikatakan terlibat dalam kegiatan jenayah serta kongsi gelap.

"Saya percaya adanya usaha daripada pihak kerajaan supaya beliau dipecat daripada tugasnya sebagai Ketua Polis Negara dan perkara ini dikuatkan dengan pendedahan serbuan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di rumahnya baru-baru ini yang menemui sejumlah besar wang. Sehingga sekarang perkara ini tidak dinafikan Musa," ujarnya.

Kata Shamsul penafian itu merupakan strategi Musa untuk kekal berkuasa sebagai KPN supaya segala perlakuan rasuah dan jenayah yang dilakukan selama ini tidak diketahui umum.

Perkara itu dikuatkan lagi dengan pembebasan bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Datuk Ramli Yusuf di Mahkamah Sesyen daripada dakwaan tiga kes gagal mengisytiharkan harta miliknya.

Ramli yang juga pegawai ke tiga tertinggi dalam hirarki Polis Di Raja Malaysia sebelum ini mengaitkan Musa dalam kegiatan jenayah dan kongsi gelap.

Pada 2007 Ramli mendakwa beliau dan pegawainya menjadi mangsa konspirasi setelah jabatan yang diketuainya bertindak menyiasat kongsi gelap dan kegiatan bawah tanah membabitkan ahli perniagaan Johor, Goh Cheng Poh atau Tengku yang turut dikaitkan dengan Musa.

Menurut Shamsul bukan satu kebetulan apabila Musa menafikan beliau meletakkan jawatan, sehari selepas Ramli Yusuf dibebaskan daripada tuduhan tersebut. - Suara Keadilan



Kerajaan Beli Masa Untuk Bentangkan GST Kerana Tentangan Rakyat

Pemerintah memutuskan untuk tidak membentangkan usul Cukai Perkhidmatan dan Barangan (GST) di sesi Parlimen depan.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata langkah ini diambil bagi memberi lebih banyak masa untuk mendapatkan pandangan dari rakyat.

“Kami mahu pandangan umum (rakyat). Bila ia dibentangkan ia bergantung kepada langkah kami mendekati rakyat dan penerimaan daripada rakyat,” kata Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Kuala Lumpur (DPMM Kuala Lumpur), hari ini.

Parti Sosialis Malaysia berpendapat keengganan pemerintah membentangkan usul Cukai Perkhidmatan dan Barangan (GST) pada sesi Parlimen Mac-April depan ada kaitan dengan bantahan keras masyarakat.

Setiausaha Agung S Arutchelvan berkata kerajaan Pusat cuba membeli masa dan menangguh-nangguhkan perlaksanaan GST ini dengan harapan kemarahan rakyat akan reda.
Awal hari ini, Menteri Kewangan II Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah dilaporkan berkata usul GST tidak akan dibentangkan bagi memberi lebih banyak masa untuk mendapatkan pandangan dari masyarakat.

PSM, Pakatan Rakyat dan badan-badan bukan kerajaan kini mengemblengkan bantahan terhadap perlaksanaan pakej cukai ini.

Satu perhimpunan membantah pakej ini akan diadakan di perkarangan Parlimen, 15 Mac depan.

"Saya yakin mereka akan tetap mahu melaksanakan GST ini, tetapi disebabkan ia tidak popular pada masa sekarang, mereka cuba membeli masa," tegas Arutchelvan.

"Persoalannya ialah mengapa kerajaan mahu memberi penjelasan kepada rakyat jelata hanya selepas bacaan kedua usul ini? Kegopohan meluluskan GST ini jelas menunjukkan pemerintah tidak serius mendapatkan maklum-balas," tambah beliau.

Setiausaha Agung Parti Sosiasis Malaysia, S. Arutchelvan berkata, pihak pakatan rakyat akan meneruskan protes yang dirancangkan di Parlimen Isnin ini.

"Kami akan tetap meneruskan bantahan, lagipun BN sendiri mengatakan mereka mahu mengumpul pendapat umum. Pada Isnin ini, kami akan bantu kerajaan melihat betapa GST ini tidak patut diteruskan," katanya.

Benjy Hadapi Hukuman Mandatori, Ibunya Azean Nafi Anaknya Terlibat Edar Dadah

Aktres veteran popular, Azean Irdawaty tidak percaya bahawa anaknya, pelakon terkenal Benjy atau nama sebenarnya Khaeryll Benjamin terlibat dengan sindiket pengedaran dadah.

"Yang Kak Yan tak faham macam mana dia (Benjy) ditangkap di rumahnya di Segambut tetapi kemudian dibawa ke sebuah rumah di Kepong di mana ada bahan-bahan yang dikatakan makmal mini memproses dadah," katanya menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar kepada mStar Online di sini hari ini.

Portal berita dalam talian dan akhbar hari ini menyiarkan laporan tentang seorang pelakon popular yang pernah memenangi anugerah pelakon terbaik dan juga anak kepada aktres veteran terkenal kini ditahan reman kerana disyaki memiliki 850 gram kokain dan 1.4 gram syabu dengan nilai rampasan bernilai RM650,000.

Aktor berusia 31 tahun itu ditahan di kondominium mewahnya di Jalan Segambut pada Khamis.

Dalam serbuan tersebut, polis menemui makmal memproses dan membungkus dadah.

Pelakon itu dicekup bersama teman wanitanya berusia 24 tahun di tempat meletak kereta di kondominium tersebut pada pukul 2.30 pagi Khamis setelah polis mendapat maklumat daripada orang ramai.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Kang Chez Chiang ketika dihubungi berkata, pelakon itu ditahan reman selama tujuh hari mulai Jumaat di Balai Polis Bukit Jalil bersama teman wanitanya. Hasil siasatan ke atas kedua-dua suspek didapati mereka positif syabu.

Difahamkan pelakon tersebut sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak berusia 4 tahun, telah disahkan positif methamphetamine ketika melakukan ujian air kencing.

Artis tersebut mungkin akan berhadapan hukuman gantung mengikut Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori.

Dalam pada itu, Azean, 60, mendakwa, anaknya sering kehabisan wang dan kerap meminta pertolongan daripadanya jika menghadapi masalah kewangan.

“Masalahnya, Benjy selalu pokai dan kerap minta tolong dengan saya walau untuk bayar duit rumahnya atau duit belanja untuk ke pasar,”

Tambah pelakon filem Talentime, Waris Jari Hantu, Anak Mami Kembali dan Baginda itu, dia pelik bagaimana akhbar boleh menyatakan anaknya itu mampu menjual dadah terbabit sehingga beratus-ratus ribu ringgit nilainya.

Dia juga mempersoalkan penglibatan anak lelaki tunggalnya itu, sedangkan mengikut maklumat yang diketahui, mereka yang mengambil bahan-bahan terlarang itu fizikalnya kurus dan hiperaktif.

“Macam mana surat khabar kata dia boleh jual sampai beratus-ratus ribu. Kereta pun dia tak ada.

“Lagipun Kak Yan ‘Google’ (di Internet) orang kalau ambil benda itu kurus dan hiperaktif sedangkan Benjy gemuk, suka tidur. Selain itu, dia sering menghabiskan masa di kolam pancing pagi, petang, siang dan malam,” katanya. -MSTAR



Tragedi Natrah Dedah Tembelang Umno

Gagal meraih sokongan orang Melayu dalam isu kalimah Allah, Umno-Barisan Nasional yang semakin tersepit, kali ini cuba memutar belit sejarah dengan memperalatkan sentimen agama, khususnya Tragedi Natrah.

Umno berlagak seolah-olah menjadi wira apabila membangkitkan isu Natrah yang kononnya menjadi titik tolak perpaduan di kalangan Melayu dalam mempertahankan kesucian Islam.

Sebaliknya, tindakan membangkitkan tragedi itu hanya membuka tembelang mereka berikutan umum mengetahui Umno lepas tangan ketika ramai tokoh pembangkang berjuang ketika mempertahankan akidah Natrah.

Tindakan Umno itu dikecam Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad kerana orang Melayu tidak pernah bersatu dalam isu Natrah, malah pimpinan Umno memilih untuk menjaga hati penjajah British daripada memperjuangkan nasib gadis itu.

"Dalam isu Natrah sekalipun, orang Melayu tidak bersatu..dan Umno ditubuhkan pada 1946 dalam isu Natrah 1050 Umno diam membisu yang kedepan adalah Angkatan Pemuda Insaf (API), Kesatuan Melayu Muda (KMM), Angkatan Wanita Sedar (AWAS) dan sebagainya termasuklah Prof Burhanuddin al-Helmy yang akhirnya ditahan penjajah hasil dari tindakan beliau dan keterlibatan beliau dalam isu Natrah ini,"katanya pada sidang medianya.

Kelmarin, Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yasin sewaktu melancarkan buku bertajuk: Natrah, Cinta, Rusuhan dan Air Mata, menyatakan Umno turut serta bersatu dengan parti politik lain dalam mempertahankan kesucian Islam memperjuangkan nasib Natrah.

Khalid berkata, sikap membisu Umno ketika tragedi yang mengorbankan 12 orang itu tercetus, sekadar membuktikan kenyataan angkuh dan melulu pemimpin Umno hari ini, hanyalah mitos semata-mata.

“Nak tonjolkan isu Natrah sebagai isu menyatupadukan seluruh orang Melayu adalah satu pembohongan, sebenarnya Umno tidak ke depan dan saya cukup yakin pimpinan Umno pada masa itu berdiri bersama dengan kerajaan penjajah kerana hendak jaga kepentingan politik mereka.

“Kalau perpaduan Melayu benar-benar tercapai dalam isu Natrah, mungkin kerajaan British takkan berani untuk membenarkan apa yang berlaku untuk berlaku,”katanya.

Khalid berkata, tujuan Umno membangkitkan isu Natrah ini bagi mendorong penyatuan orang Melayu, sebaliknya, Pas dan Umno tidak mungkin bersatu kerana dasar perjuangan Umno lebih hina daripada dasar parti politik yang memperjuangkan keadilan sosial.

Katanya lebih mudah bersatu dengan parti yang dianggotai ahli bukan Islam yang memperjuangkan keadilan sosial daripada bekerjsama dengan parti yang dasarnya hanya menjurus kepada anasir perkauman yang nyata bercanggah dengan Islam .

“Hendak satukan Pas dengan Umno tidak boleh kerana walaupun sama Melayu dan sama Islam tapi dasar perjuangannya bercanggah. Dasar perjuangan Umno berpaksikan perjuangan bangsa Melayu semata-mata merupakan satu dasar yang terlalu sempit dan tidak ada persamaan dengan dasar perjuangan Islam yang nak menegakkan keadilan,”katanya.

Kenyataan Khalid itu terbukti melalui buku tulisan Haja Maideen berjudul ‘Tragedi Nadra’ yang terang-terangan menyatakan, Umno tidak membuat apa-apa sebagai sebuah parti malah mengambil sikap berkecuali.

Mengikut buku berkenaan, Presiden Umno ketika itu, Datuk Onn Jaafar enggan campur tangan kerana menganggap ia bukan isu politik, sosial mahupun keagamaan.

Sejak dulu hingga kini, Tragedi Natrah tidak ada dalam skema mata pelajaran sekolah, malah sebuah lagu berjudul Natrah yang mengisahkan tragedi itu, dendangan sebuah kumpulan rock, diharamkan penyiarannya. -TVS


Kanak-kanak dipaksa kahwin lelaki tabligh ditemui di Batu Caves

Seorang kanak-kanak perempuan, Siti Nur Zubaidah Hussin, 11, yang dikahwinkan dengan seorang lelaki tabligh berusia 41 tahun dan dilarikan lelaki terbabit telah ditemui di sebuah masjid berhampiran Batu Caves, Selangor, semalam.

Siti Sarnan Mat Ail, 42, ibu kanak-kanak itu berkata, beliau dihubungi oleh seorang lelaki yang tidak dikenali memaklumkan mengenai penemuan anaknya itu.

“Kira-kira pukul 6.30 petang semalam saya terima satu panggilan dari seorang lelaki yang memberitahu anak saya berada di sebuah masjid Al-Ikhwan di Taman Samudera dekat Batu Caves.

“Mulanya saya ragu-ragu kerana tidak mungkin anak saya dibawa hingga ke Selangor tetapi apabila dibenarkan bercakap dengan anak saya barulah saya percaya,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Katanya, sebaik mengetahui anaknya ditinggalkan di surau terbabit, beliau segera menghubungi salah seorang saudaranya yang menetap berhampiran Batu Caves supaya pergi menemui Siti Nur Zubaidah.

“Saudara kakak kemudian menemui Siti Nur Zubaidah dalam keadaan lemah tidak bermaya dan membawanya ke Balai Polis Kepong untuk membuat laporan penemuan sebelum membawanya ke Hospital Sungai Buloh untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Ketua Polis Gombak ACP Abdul Rahim Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kanak-kanak itu ditemui dalam keadaan separuh sedar di Masjid Al-Ikhwan, Taman Samudera Batu Caves oleh bapa saudara kanak-kanak itu pada kira-kira pukul 7.15 malam.

Siti Sarnan berkata, sehingga kini anaknya itu masih dirawat di hospital terbabit dan beliau dimaklumkan saudaranya, Siti Nur Zubaidah berada dalam keadaan stabil tetapi enggan bercakap kerana masih dalam keadaan trauma.

“Mungkin dia lemah kerana tidak makan dan trauma apabila dilarikan lelaki itu sehingga ke Selangor. Saya tidak sabar untuk berjumpa anak saya itu setelah 20 hari dia hilang,” katanya.

Siti Sarnan berkata, beliau dan suaminya meneruskan perjalanan ke Selangor pagi ini untuk menemui Siti Nur Zubaidah.

Sebelum ini, Siti Nur Zubaidah, dikahwinkan bapanya Hussin Mat Salleh, 54, kepada Shamsuddin Che Derahman, lelaki tabligh berusia 41 tahun selepas diperdaya bahawa perbuatan itu mengikut Sunnah Nabi Muhammad. Enakmen Keluarga Islam Kelantan menetapkan syarat umur berkahwin bagi perempuan minimum 16 tahun ke atas.

Siti Sarnan kemudian membuat laporan polis pada 25 Februari lalu.

Sementara itu, isteri pertama lelaki terbabit, Rohana, 33, berkata, sehingga kini suaminya yang dikenali sebagai “Sudin Ajaib” itu tidak menghantar sebarang berita atau menghubunginya.

“Saya tidak tahu ke mana suami saya menghilang dan turut berusaha mengesannya sebelum ini, syukurlah Siti Nur Zubaidah ditemui,” katanya.

Sementara itu, Siti Sarnan berkata, beliau masih mengharapkan orang ramai yang melihat lelaki terbabit yang menaiki kereta Proton Iswara berwarna putih milik suaminya dengan nombor pendaftaran BEF 7599 supaya menghubungi balai polis berhampiran.

Menurutnya, beliau bersyukur anaknya ditemui dalam keadaan selamat dan mengharapkan lelaki itu ditahan polis bagi mengelakkan kanak-kanak lain menjadi mangsa. — Bernama


Akad sambil pandu kereta
Oleh Siti Fatimah Hassan dan Siti Nor Hidayah Razali
am@hmetro.com.my
2010/03/11

PASIR MAS: “Baba jahat!...Baba jahat!” tangis seorang budak perempuan berusia 10 tahun kepada ibunya selepas dinikahkan secara paksa oleh bapa kandung dengan rakan jemaahnya berusia 30-an di sini.

BUKTI…Na menunjukkan laporan polis yang dibuat di Balai Polis Pasir Mas mengenai perkahwinan anak perempuannya.

Lebih memeranjatkan, upacara ‘nikah koboi’ itu diadakan dalam sebuah kereta dengan bapa kanak-kanak itu bertindak sebagai jurunikah dan wali sambil disaksikan seorang saksi tanpa kehadiran pengantin perempuan.

Pernikahan diragui itu diceritakan sendiri ibu kanak-kanak terbabit yang hanya ingin dikenali sebagai Na, 33, kepada Harian Metro selepas dimaklumkan anak perempuannya itu.

Katanya, dia terkejut kerana tidak menyangka suaminya tergamak menikahkan anak perempuan mereka yang masih budak dengan rakan jemaahnya tanpa memaklumkan kepada ahli keluarga pada 22 Februari lalu.

“Mulanya saya terkejut apabila anak perempuan pulang ke rumah pada pagi 23 Februari lalu dengan menangis teresak-esak sambil memarahi bapanya dengan perkataan ‘baba jahat!’.

“Dia mengulangi perkataan itu berulang kali sambil menambah ‘baba kahwinkan saya dengan kawannya’ menyebabkan saya tertanya-tanya maksud di sebalik ayat terbabit,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Beta, Pohon Buluh di sini, semalam.

Harian Metro difahamkan, proses pernikahan ringkas itu berlaku jam 5 petang apabila si bapa menikahkan sendiri anak perempuannya tanpa mengikut prosedur pernikahan biasa dan berlaku dalam suasana serba ringkas dalam kereta.

Bagaimanapun, ‘pengantin perempuan’ tidak hadir ketika upacara akad nikah itu berlangsung, sebaliknya dia hanya dibawa ke hotel selepas disahkan suami isteri.

Difahamkan, lelaki terbabit menikahkan anak perempuannya itu selepas dijanjikan ganjaran pahala oleh rakan jemaahnya selain ditaburkan janji manis kononnya ia mengikut sunnah Nabi dan pahalanya berlipat ganda.

Dia yang terpengaruh dengan ‘janji syurga’ kononnya mendapat ganjaran berlipat kali ganda kemudian bersetuju mewali dan menikahkan anaknya walaupun baru berusia 10 tahun.

Meskipun pernikahan terbabit mungkin sah mengikut syarak, namun tindakan menikahkan budak berusia 10 tahun menjadi kesalahan mengikut undang-undang syariah kerana masih di bawah umur.

Na berkata, dia segera mendapatkan penjelasan daripada anak perempuannya itu untuk mengetahui perkara sebenar, sebelum anak kedua daripada empat beradik itu menceritakan dia sudah dinikahkan.

“Tergamam saya ketika itu apabila dia beritahu dikahwinkan dengan rakan suami saya tanpa kerelaannya. Perasaan marah terhadap suami meluap-luap. Persoalannya mengapa dia sanggup mengahwinkan anak yang masih mentah.

“Ini menyebabkan saya segera bertemu rakan suami di sebuah masjid kira-kira 200 meter dari rumah untuk mendapatkan penjelasan mengenai pernikahan itu dan dia mengesahkannya,” katanya.

Katanya, berdasarkan pengetahuannya, proses pernikahan itu berlangsung di dalam sebuah kereta yang sedang bergerak dan suaminya mewalikan pasangan anaknya sambil memandu.

“Saya dapat tahu anak saya diperdaya suami kononnya mahu membawa dia membeli-belah di sebuah pasar raya di Kota Bharu bersama saya yang sedang menunggu di situ.

“Bagaimanapun, semua barang yang dibeli dibayar rakannya sebelum dia dibawa ke sebuah hotel dekat Kota Bharu. Mereka menyewa dua bilik hotel. Sebuah untuk anak dan ‘suaminya’, manakala sebuah lagi untuk suami,” katanya.

Na berkata, selepas mengetahui dia sudah dinikahkan, anaknya menggunakan helah untuk tidur dengan tukang sapu wanita hotel terbabit sebelum dibawa pulang keesokannya.

Berikutan itu, Na ke Balai Polis Pasir Mas pada 25 Februari lalu untuk melaporkan mengenai perkahwinan anaknya dengan lelaki terbabit.

Pada masa sama, ibu kanak-kanak terbabit turut membuat laporan di Jabatan Hal-Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) selepas mendapat nasihat daripada ahli keluarga.

Berikutan itu, katanya, anaknya dikenakan perintah mufarakah (dipisahkan) dengan lelaki yang mengahwininya oleh Mahkamah Rendah Syariah Kota Bharu, minggu lalu.

Difahamkan, kejadian itu berlaku sebelum akhbar mendedahkan mengenai seorang lagi kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun, namun lokasinya berbeza iaitu di sebuah madrasah berhampiran masjid besar di Machang - hmetro




Sambutan Mersing Bukti Populariti Anwar Kalahkan Najib - Zabiedie Abas

Kehadiran lebih 10,000 orang di program Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim membuktikan beliau lebih berpengaruh daripada Najib Razak.

"Sambutan luar biasa tersebut menolak dakyah keji media pro Umno bahawa Anwar sudah tiada pengaruh di kalangan rakyat terutama luar bandar," tegas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor, Zabidie abas.

Menurut beliau, ini adalah kali pertama Anwar menjejakkan kaki ke Mersing sejak menjadi mantan Timbalan Perdana Menteri.

Zabidie juga memaklumkan ramai yang hadir majoritinya bukan pengundi dan penyokong Pakatan Rakyat (PR). Pemimpin tempatan dan ahli Umno juga ramai kelihatan di situ.

Beliau berkata, Ia menunjukkan usaha media pro Umno gagal dalam usaha mengaibkan dan menfitnah mentor PR itu. Malah mereka tidak menyorok, seperti ditempat lain, mereka duduk dikelompok utama dihadapan.

"Berita di Kota Tinggi agar mendukacitakan. Selain berita kemalangan YB Tian Chua, perjumpaan Anwar dengan 800 orang terganggu sementara disebuah restoran. Dalam 5 minit Anwar berceramah, TNB memutuskan bekalan elektrik.

"Belum sempat juruteknik TNB keluar dari kerja khianat, mereka diserbu oleh petugas PR. Akhirnya dalam 3-4 minit mereka akur dan menyambung bekalan elektrik," kata Zabiedie. -erapakatan

TNB Pula Diperalat Umno-BN

Umno-Barisan Nasional sanggup mengguna apa cara sekalipun untuk menggagalkan agenda perubahan yang dibawa oleh Pakatan Rakyat.

Setelah puas mengguna pihak berkuasa untuk menekan, menindas dan menzalimi rakyat untuk sekian lama kini Umno-BN beralih pula kepada syarikat yang berkaitan kerajaan (GLC) untuk tujuan politik kotor mereka.

Malam tadi ucapan Ketua Umum KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim di majlis makan anjuran KEADILAN Kota Tinggi disebuah restoran di bandar tersebut diganggu sekali lagi, tetapi kali ini Umno-BN memperalatkan Tenaga Nasional Berhad pula.

Tidak sampai sepuluh minit Anwar berucap kepada kira-kira 1,000 penyokong tiba-tiba bekalan elektrik terputus menyebabkan jemputan berada di dalam kegelapan untuk beberapa minit.

Di luar restoran kelihatan sebuah trak TNB yang digunakan untuk membaiki kabel diletakkan ditepi jalan.

Apabila ditanya punca bekalan elektrik terputus seorang pekerja TNB hanya menjawab masalah teknikal.

Yang peliknya masalah bekalan elektrik hanya berlaku setelah Anwar memulakan ucapan beliau.

Setelah penyokong mula melaungkan reformasi dan Suara Keadilan mengambil gambar, trak tersebut terus beredar dan bekalan elektrik kembali pulih seperti sediakala. -SK

9 lelaki dituduh rogol pelajar tkn 3

Teluk Intan - Seorang remaja berusia 15 tahun dan dua lelaki bersaudara antara sembilan individu yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas tuduhan merogol seorang pelajar tingkatan tiga di Sungkai pada 28 Februari dan 1 Mac lalu.

Kesemua tertuduh dari Felda Trolak dan Felda Sungai Klah itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah apabila pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Faiz Dzaiyuddin.

Mengikut kertas pertuduhan, Mohd. Shafiq Abu Samah, 23, dan Saiful Azimi Mhd. Razak, 29, bersama seorang remaja berusia 15 tahun dituduh merogol mangsa di Bilik Klah 6, Spa Keluarga, Felda Residence Hot Spring Sungai Klah di antara pukul 6.10 hingga 8 malam pada 28 Februari lalu.





Islam Hadhari Sudah Mati, Hanya Sarawak Pikul Lagi

Pendekatan Islam Hadhari dan gagasan 1Malaysia adalah konsep yang mesti dibangunkan secara seiring untuk mencapai negara maju menjelang tahun 2020, kata Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Katanya negara maju yang diidamkan bukan sahaja merangkumi bidang ekonomi, tetapi turut meliputi aspek pembangunan peradaban, kemajuan teknologi dan keutuhan sosiobudaya dan perpaduan di kalangan masyarakat.

Beliau memberi contoh cabaran kedua wawasan 2020 yang merujuk kepada keperluan untuk mewujudkan masyarakat yang berjiwa bebas, tenteram dan maju, yakin terhadap diri sendiri, bangga dengan apa yang ada dan dicapai serta gagah menghadapi pelbagai cabaran.

"Cabaran ini ada persamaan dengan prinsip ketiga dalam pendekatan Islam Hadhari iaitu rakyat berjiwa merdeka dan kedua-duanya dirangkum dalam gagasan 1Malaysia mengenai budaya kecemerlangan sebagai pencapaian utama," katanya dalam ucaptama syarahan perdana bertajuk '1Malaysia: Jati Diri Kebangsaan Manhaj Islam Hadhari' di Masjid Wilayah Persekutuan, di sini semalam.

Turut hadir ialah Bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) Sarawak Datuk Daud Abdul Rahman.

Abdul Taib berkata konsep Islam Hadhari juga mampu mengubah persepsi dunia barat terhadap dunia Islam sekiranya ia berjaya dilaksanakan secara menyeluruh.- BERNAMA

Ulasan GB

Dh lama tak dengar ungkapan Islam Hadhari, alih-alih semasa lawatan Pak Lah ke Sarawak, Ketua Menteri Sarawak terpaksa "menggali kubur" untuk mengeluarkan Islam Hadhari yang telah bersemadi.

Mungkin kerana Pak Lah ada di situ. Najib tak berapa berahi nak cakap bab-bab Islam. Atau mungkin mengikut mentornya, TDM yang dah tolak Islam Hadhari awal-awal lagi.

Atau Sarawak masih berpedana menterikan Pak Lah Lagi?

Tian Chua Kemalangan Lagi

Mersing 13 Mac - Ahli Parlimen Batu Tian Chia mengalami kemalangan ketika dalam perjalanan ke Mersing dari Kota Tinggi kira-kira 9:15 malam tadi.

Kemalangan dipercayai berlaku apabila penunggang motorsikal dipercayai seorang anggota tentera memotong sebuah bas yang menghala ke Kota Tinggi lalu bertembung dengan kereta Tian Chua.

Anggota tentera tersebut dipercayai meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital disebabkan kehilangan banyak darah akibat tanganbya yang putus dalam kejadian tersebut yang berlaku di jalan persekutuan yang gelap.

Tian bersama seorang rakan ketika itu dalam perjalanan menghadiri ceramah Pakatan Rakyat yang diadakan di Mersing, Johor yang turut dihadiri Ketua Umum KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tian dan pemandu kereta kemudiannya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Mersing.

Kereta Mercedes Benz yang naiki Ahli Parlimen itu mengalami kerosakan teruk dibahagian depan dengan lampu dan cermin pecah.

Walau bagaimanapun beliau serta pemandu kereta selamat serta tidak mengalami sebarang kecederaan.

Anwar yang juga melalui jalan yang sama bersama konvoi berhenti untuk memberi bantuan.

Sebelum itu beliau dan Anwar bersama-sama menghadiri majlis makan malam anjuran KEADILAN Kota TInggi di sebuah restoran di Kota Tinggi.

Ini adalah kemalangan yang kedua bagi Tian dalam tempoh dua bulan.

Pada 26 Januari lalu Tian dan pemandunya terselamat apabila kereta yang mereka naiki terbabas lalu melanggar pembahagi jalan di KM 400, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) berhampiran Bukit Beruntung, dekat Rawang.

Dalam kemalangan tersebut kereta Toyota Camry berwarna putih yang dipandu oleh pemandunya hilang kawalan lalu melanggar pembahagi jalan di laluan itu ekoran keadaan jalan yang licin selepas hujan.

Kejadian itu beliau dalam perjalanan untuk menghadiri satu ceramah di Lunas, Kedah.

Rakyat Mersing Boikot Utusan

Akhbar Utusan Malaysia semakin dijauhi rakyat kerana dianggap sebagai penyebar fitnah terhadap pemimpin Pakatan Rakyat dan gagal menepati slogannya sendiri sebagai "penyebar fikiran rakyat".

Justeru itu Angkatan Muda KEADILAN telah lancarkan siri kempen memboikot akhbar kepunyaan Umno tersebut bermula di Kuala Selangor, Sekijang dan Gombak baru-baru ini.

Malam tadi AMK Cabang Mersing melanjutkan kempem tersebut di Kampung Air Tawar, Mersing di hadapan lebih 8,000 penyokong Pakatan Rakyat dengan disaksikan oleh Ketua Umum KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Turut dibakar kain rentang yang menyebarkan fitnah terhadap Anwar berhubung Konspirasi II yang dihadapi beliau kini.

Pembakaran simbolik Utusan Malaysia menandakan kebencian rakyat terhadap sikap akhbar tersebut yang gemar membangkit isu perkauman dan melaga-lagakan rakyat berbilang bangsa di negara ini. -SK