24 Jan 2015

Momokan 13 Mei, Haji Hadi Kembalikan Perjuangan PAS Ke Era Dato Asri (?)


Yang tidak dimengerti Hadi tentang ‘undi ketiga’ – Izmil Amri

Salah tanggapan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang terhadap pilihan raya kerajaan tempatan amat disesalkan. Di saat Pakatan Rakyat (PR) berusaha menjauhi wacana politik perkauman, beliau pula gigih membangkitkan momok 13 Mei, dan mengaitkannya dengan pilihan raya kerajaan tempatan.

Tidak jauh beza dengan buah butir percakapan kumpulan-kumpulan ultra Melayu. Sikit-sikit 13 Mei, seolah-olah tidak ada hujah bernas lain selain hujah kaum dan politik ketakutan.

Lebih menyedihkan, modal pilihan raya kerajaan tempatan ini kini dijadikan modal perbandingan dengan cita-cita pelaksanaan hudud di Kelantan. PAS membandingkan urusan jenayah syariah berasaskan firman Tuhan, dengan isu pemilihan tukang urus longkang tersumbat dan lampu jalan tidak menyala. Ini amat memilukan hati.

Apa yang Hadi nampak barang kali, hanyalah kalau dibuat pilihan raya ini, yang akan jadi ahli majlis dan datuk bandar, semuanya Cina belaka. Geleng kepala.

Hadi gagal memandang pilihan raya kerajaan tempatan, atau ‘undi ketiga’ sebagai langkah penampan. Di saat PAS ketiadaan Kedah dan Terengganu, seharusnya Hadi memikirkan ‘undi ketiga’ patut dijadikan modal simpanan bagi memastikan PAS (dan juga PR, kalau masih sudi) dapat terus bekerja melayani rakyat di peringkat akar umbi.

Seharusnya juga PAS dan Hadi mengambil pengajaran daripada apa yang terjadi kepada Iszuree Ibrahim di Pulau Pinang, yang digantung tugasnya dan kemudian tidak disambung kontraknya sebagai ahli Majlis MPPP lantaran komen melulunya terhadap kerajaan negeri.

Iszuree pasti masih lagi tidak digugurkan daripada menjadi ahli majlis sekiranya beliau dipilih melalui pilihan raya kerajaan tempatan, dan bukan melalui cara pelantikan.

Namun ternyata PAS gagal mencari apa peluang yang ada untuk terus berfungsi sebagai pelayan rakyat. Bukan itu sahaja, ia malah mengecam peluang tersebut dengan sentimen perkauman dan momok 13 Mei.

Kita sebenarnya harus mengerti apa fungsi dan peranan ahli majlis, dan kenapa mereka ini perlu dipilih oleh rakyat, dan bukannya dilantik pakai tangkap muat.

Wakil rakyat, fitrahnya dipilih oleh rakyat melalui pilihan raya untuk menganggotai dewan-dewan pembuat dasar negeri dan negara. Wakil rakyat ini ada antaranya yang mempunyai ciri kepemimpinan.

Mudahnya disebut ciri orang politik. Suka bergambar, berucap, dan dilihat membuat sesuatu.

Sekumpulan wakil rakyat yang lain pula barangkali tidak mempunyai ciri-ciri sedemikian selain keinginan melayani dan berkhidmat untuk rakyat. Tetapi ini sebenarnya bukan kerja wakil rakyat. Bukan kerja wakil rakyat untuk urus longkang tersumbat, sampah tidak dipungut dan tiang lampu tidak menyala.

Itulah kerja ahli majlis. Mereka inilah yang sentiasa mendapat panggilan telefon daripada wakil rakyat apabila rakyat mengadu longkang depan rumah tersumbat, atau gerai cucur pisang ibu tunggal di simpang kampung perlukan lesen supaya mengelak daripada dirobohkan.

Ahli majlis adalah wakil kepada wakil rakyat. Yang penat dan letih melayan rakyat, selalunya mereka inilah. Yang berasa denyut nadi rakyat saban hari, ahli majlis.


Tetapi siapa yang melantik ahli majlis? Takkanlah rakyat tidak punya suara untuk menentukan siapa yang bertanggungjawab menguruskan hal-hal runcit bandar dan pekan mereka. Dan bukankah ahli majlis juga yang meluluskan binaan infrastruktur setempat?

Berbanding PAS, DAP percaya rakyat mempunyai hak demokratik untuk memilih siapa yang mewakili mereka di Parlimen, Dewan Undangan Negeri, mahupun di majlis bandaran. Ini memastikan akauntabiliti wakil rakyat dan ahli majlis kepada rakyat yang meletakkan mereka di posisi itu, bukan tuan-tuan politik yang melantik mereka.

Kebertanggungjawaban kepada pembayar cukai, pembayar saman, pembayar meter petak letak kereta, pembayar lesen niaga, adalah elemen yang memastikan kecekapan, ketelusan dan integriti dalam menguruskan infrastruktur dan perancangan setempat.

Rasa bertanggungjawab inilah yang dimahukan rakyat terbanyak, yang hari demi hari bertanya ‘mana wakil rakyat kami, musim pilihan raya baru nampak muka’.

Memanglah tak nampak muka wakil rakyat, mereka kerja di Dewan Rakyat dan Dewan Negeri. Ahli majlislah yang kerjanya turun padang selalu, di zon dan autonom yang lebih kecil. Muka mereka ini nanti memanglah nampak selalu; tapi tak kenal, sebab bukan rakyat yang pilih.

Tidak sepatutnya timbul persoalan jurang kaum, tidak kiralah di bandar atau luar bandar. Penyakit mudah menimbulkan momok perkauman ini sepatutnya sudah tidak lagi diperbahaskan. Bukankah kita juga yang dahulu menyeru supaya pengundi memilih calon yang berkaliber dan tidak memilih berasaskan kaum dan keturunan?

Jika pendekatan garang Hadi terhadap DAP ini sekadar untuk menunjukkan beliau masih bergigi dalam mempertahankan kerusi presiden PAS menjelang muktamar nanti (seperti dianjurkan Utusan Malaysia) maka barang kali sudah tiba masanya untuk PAS mempertimbangkan calon presiden baru bagi mengemudi PAS menuju Pilihan Raya Umum ke-14. – TMI


Pilihan raya PBT boleh cetus 13 Mei, kata Hadi kepada DAP

Pilihan raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang diperjuangkan DAP di kawasan majoriti Cina bandar boleh melebarkan jurang penguasaan ekonomi di antara penduduk bandar dan desa sehingga boleh mengulangi rusuhan kaum 13 Mei, kata Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini.

Presiden PAS itu berkata, desakan DAP untuk pilihan raya PBT itu akan menyebabkan ketidakstabilan masyarakat majmuk di Malaysia dan hanya menguntungkan sesuatu kaum saja.

"Kita tidak seharusnya mengusulkan sesuatu yang boleh menjadi cetusan ke arah ketidakstabilan, melebarkan jurang masyarakat desa dan bandar, dan yang paling menakutkan kita ialah ketegangan seperti ini boleh menjadi ‘api dalam sekam’ untuk mengulangi peristiwa 13 Mei yang wajib dianggap titik hitam dalam sejarah negara," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hadi berkata, dalam aspek politik, perjuangan DAP itu silap kerana hanya melihat kepada aspek penduduk bandar saja untuk menang pilihan raya dalam jangka yang sangat pendek.

"Apatah lagi apabila kita melihatnya daripada aspek perkauman yang boleh mencetuskan jurang dan polarisasi serta ketegangan di antara penduduk bandar majoriti kaum Cina yang sangat besar.

"Lihat sajalah jurang pendapatan RM250 juta setahun di sebuah Majlis Perbandaran di Selangor berbanding dengan RM50 juta di Majlis Daerah di kawasan desa di Selangor yang pula majoriti satu kaum yang lain," katanya.

Sebelum ini berlaku perang mulut di antara Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali dan Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke berhubung isu pilihan raya kerajaan tempatan.

Mustafa menyelar DAP kerana mempertikaikan hudud di Kelantan kerana membelakangkan Pakatan Rakyat (PR) sedangkan dalam isu pilihan raya kerajaan tempatan parti itu membelakangkan gabungan ditubuhkan pada 2008 itu.

Hadi berkata, DAP sepatutnya melihat masyarakat dari semua arah termasuk Melayu di kampung, India di estet, orang asal di kawasan paling pedalaman dan kaum yang paling kecil haram dipinggirkan daripada peranan memakmurkan bandar.

Katanya, semua itu wajib disatukan dalam titik persamaan, saling mengerti dalam bertolak ansur dan bermaaf-maafan dalam perkara yang berbeza, dan berlaku adil terhadap semua.

"Bandar wajib diurus bukan saja pembangunannya, bahkan penduduknya, begitu juga penduduk keliling yang terlibat memakmurkannya, yang menjadi laksana darah mengalir ke dalam jasadnya.

"Kalau perjalanannya tidak betul, lebih-lebih lagi kalau tersumbat menyebabkan akibat yang sangat malang," katanya.

Ahli Parlimen Marang itu berkata, aspek ekonomi pendekatan liberal kapitalisme didapati menzalimi orang miskin sehingga menimbulkan pertembungan kelas taraf kehidupan yang boleh menimbulkan ketegangan dalam hidup bermasyarakat.

Pendekatan sosialis pula boleh menzalimi orang kaya yang menyumbang kemajuan ekonomi negara, manakala pendekatan komunis lebih radikal sehingga menolak agama menjadi lebih parah.

"Dunia sudah menyaksikan kegagalan semua pendekatan itu. Bandar yang menjadi pusat bergeraknya kegiatan ekonomi, politik dan sosial menerima padah awal daripada segala kesannya yang positif dan negatif," katanya.

Mahkamah Persekutuan pada Ogos tahun lalu memutuskan kerajaan Pulau Pinang tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengadakan pilihan raya PBT.

Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif yang mempengerusikan panel lima hakim berkata, kerajaan pimpinan DAP itu tidak boleh secara sebelah pihak mengecualikan pemakaian Seksyen 15 Akta Kerajaan Tempatan 1976 kepada seluruh Pulau Pinang.

Seksyen 15 memansuhkan hak badan perundangan negeri untuk mengadakan pemilihan kerajaan tempatan di negeri-negeri.

Raus berkata, kerajaan negeri Pulau Pinang melampaui bidang kuasanya dalam membuat perintah pengecualian itu yang melanggar peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, pemansuhan pilihan raya PBT ialah keputusan dasar yang diambil Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan, oleh itu permohonan kerajaan negeri Pulau Pinang untuk mengecualikan keputusan dasar seperti itu perlu merujuk kepada majlis berkenaan terlebih dulu.

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng pada 4 Mac 2010 menulis surat kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memohon kebenaran untuk mengadakan pilihan raya PBT berdasarkan Perkara 113(4) Perlembagaan Persekutuan.

Peruntukan itu menyebut, undang-undang persekutuan atau negeri boleh memberi kuasa kepada SPR untuk menjalankan pilihan raya selain daripada yang disebut dalam Fasal (1).

Namun permohonan itu ditolak SPR pada 23 Mac 2010.
-TMI


ULASAN GB

Hukum kebenaran dan keadilan berjalan dengan sendirinya.... Presiden PAS telah mendedahkan "wajah sebenar" kumpulan yang dikatakan ulamak... ia ingin mengembalikan perjuangan PAS kepada perjuangan era Dato Asri yang bertunjangkan "nasionalisme" sebagai tunjang perjuangan parti, satu perjuangan yang telah sebati diperjuangkan oleh UMNO dan kumpulan NGO Melayu seperti PERKASA, PEKIDA, ISMA dan seumpamanya...

Menjadikan 13 Mei sebagai modal dan hujjah untuk membantah pilihanraya PBT... Bukankah "13 Mei" itu satu "rusuhan kaum"? PAS juga nampaknya terdesak terpaksa menggunakan modal "rusuhan kaum" untuk berhujjah dengan DAP semata-mata kerana DAP menolak hudud?

Apabila DAP (baca: kaum Cina) menolak hudud, itu bererti PAS masih belum berjaya dalam berdakwah. Jadi yang perlu sepatutnya ialah luaskan penernagan dan pertingkatkan kerja dakwah. Bukan mencari isu lain (dalam hal ini PBT) untuk menghentam mereka, apatah lagi menggunakan isu perkauman dan momokan 13 Mei.

Apakah PAS sudah tidak lagi menghargai dan tidak lagi undi kaum Cina (baca: bukan Melayu)di dalam pilihanraya akan datang?


Apakah semua Cina itu 100% kafir? Apakah kaum Cina itu cauvcinis belaka? Apakah tiada golongan Islam di kalangan mereka? Atau tiada lagi di kalangan mereka yang memperjuangkan nilai-nilai kebenaran dan keadilan sejagat yang turut diperjuangkan PAS? Bukankah selama ini mereka juga turut sama memperjuangkan kebenaran dan keadilan di dalam PR disamping menentang kekejaman dan kezaliman kerajaan UMNO BN?

Apakah kerana mereka menolak hudud maka kita berpatah arang dan berat rotan untuk tidak lagi berbaik dengan mereka?

Apakah PAS hanya ingin mengharapkan undi kaum Melayu seperti UMNO? Apakah PAS sudah lupa sifat "fathanah" (kebijaksanaan) sebagai satu sifat yang perli dimiliki apatah lagi sebagai seorang yang bergelar ulamak?

Tidak malukah pemimpin-pemimpin PAS yang selama ini bergandingan dengan DAP dipentas-pentas ceramah Pakatan Rakyat di setiap kali musim pilihanraya demi untuk menjatuhkan kerajaan korup UMNO BN itu?

Hukum kebenaran dan keadilan akan terus berjalan... kita tunggu dan lihat episod selanjutnya...

br>

[VIDEO] Jeritan Sayu Mangsa Sebelum Rentung Dalam Kereta Terbakar


Kuala Kangsar: Mangsa yang maut dalam kemalangan di Kilometer 254.7 Lebuhraya PLUS arah utara, di sini dikenali sebagai Mohd Joeri Ramli, 34, manakala rakannya yang parah dikenali sebagai Mohd Nasbullah Mohd Abdul Ghaffar, 28, bukan wanita seperti laporan awal yang diterima.

Mangsa yang berasal dari Bagan Serai, dekat sini, dikatakan dalam perjalanan dari Ipoh ke Gerik bersama rakannya atas urusan kerja dimana kedua-duanya bekerja dengan syarikat rawatan air.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Ghuzlan Salleh berkata, rakan mangsa yang cedera parah dihantar ke Hospital Kuala Kangsar untuk rawatan, manakala pemandu dan kelindan lori tidak mengalami kecederaan.

"Siasatan awal mendapati ketika kejadian membabitkan kereta jenis Honda Civic yang dipercayai dirempuh dari belakang treler membawa muatan besi.

"Kereta mangsa diseret hingga ke laluan kiri sebelum terbakar. Pemandu lori dan kelindan serta penumpang kereta berjaya keluar dari kenderaan menyelamatkan diri, manakala mangsa yang tersepit gagal berbuat demikian dan rentung terbakar," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.



Joeri Ramli sempit menjerit meminta tolong berulang kali kepada rakannya sebelum menemui ajal akibat terperangkap dalam kereta yang terbakar dilanggar dari belakang oleh treler 60 tan.