15 Mac 2010

Ketua Pemuda Penyokong PAS Perak Mati Ditembak

Ketua Pemuda Dewan Himpunan Penyokong PAS Perak, mendiang Siva Pandian mati ditembak di hadapan kedai mencuci kereta miliknya di Langkap, Teluk Intan hari ini.

"DPPN Pk amat sedih dengan berita yang telah di laporkan kerana cara pembunuhan tersebut amat kejam dengan dua das tembakan yang satunya mengenai kepala dan dada yang mengakibatkan beliau mati di tempat kejadian jam 3 petang tadi," kata Salman Haji Saleh, Naib Ketua, Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) dalam kenyataan medianya kepada era pakatan. com.

DPPN Pk yang lantang mengutuk tindakan itu berharap pihak polis membuat siasatan menyeluruh terhadap pembunuhan kejam tersebut.

"DPPN Pk juga meminta ahli keluarga mendiang dan juga semua ahli Dewan Himpunan Penyokong PAS Perak bersabar serta tenang dan berhati-hati dengan suasana yang berlaku ini," tegas beliau. -erapakatan

Kontrak Musa Hassan Sebagai KPN Tidak Akan Disambung

Sehari selepas menafikan laporan akhbar China Press bahawa Tan Sri Musa Hassan akan melepaskan jawatan Ketua Polis Negara (KPN), Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein hari ini mengesahkan akan berlaku rombakan peringkat tertinggi pasukan polis.

“Berhubung pucuk pimpinan polis, saya akui, rombakan akan berlaku tetapi masa dan bentuk peralihan itu akan ditentukan bukan kerana desakan atau tekanan daripada media tetapi dibuat oleh kerajaan dan pemimpin kebangsaan.”

Sabtu lalu, akhbar harian Cina itu menyiarkan laporan bahawa Musa telah mengemukakan surat peletakan jawatannya kepada Hishamuddin dan juga Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Beberapa jam selepas berita itu disiarkan, Musa (bawah) dan Hishamuddin (atas) segera menafikannya.

Kementerian Dalam Negeri juga mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada China Press menuntut penjelasan mengapa berita itu disiarkan sedangkan kerajaan menganggapnya sebagai tidak tepat dan belum disahkan lagi.

Bercakap kepada pemberita selepas perasmian Penggal Ketiga Parlimen Ke-12 oleh Yang di-Pertuan Agong, Hishamuddin mendedahkan bahawa rombakan berkenaan bukan sahaja akan membabitkan KPN tetapi juga pegawai kanan yang lain.

"Dalam hal ini ia tidak berkisar kepada IGP (Ketua Polis Negara) sahaja kerana ada empat lagi pengarah daripada tujuh bahagian PDRM yang akan bersara tahun ini. Malah seorang daripadanya telahpun ambil cuti seperti biasa sebelum tarikh persaraan mereka," katanya

Menurut Hishammuddin, peralihan itu sebagai “peluang bagi melihat lembaran baru dalam sejarah polis.”

"Saya sudah tahu siapa ganti IGP, saya sudah tahu siapa akan ganti Datuk Koh (Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Koh Hong Sun) di Jenayah Komersial dan sebagainya.

"Jadi tidak perlulah kita buat spekulasi, lagi-lagi membuat liputan yang tidak ada asas langsung," kata Hishammuddin lagi.

Sementara itu, Bernama melaporkan tindakan tegas akan diambil terhadap akhbar China Press sekiranya ia gagal mengemukakan alasan munasabah kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung laporannya mengenai peletakan jawatan Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan.

Hishammuddin berkata selain mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada akhbar itu Sabtu lalu, KDN juga telah meminta wakil daripada syarikat akhbar berkenaan untuk hadir ke kementerian pagi ini untuk memberi penjelasan.

"Apa yang kita lakukan ini sama dengan yang kita buat dengan Al-Islam dan The Star. Kalau penjelasan yang diberi munasabah, kita akan melihatnya dalam konteks ini," katanya.

Ditanya tentang bentuk tindakan yang akan dikenakan sekiranya akhbar itu didapati bersalah, Hishammuddin berkata terdapat banyak tindakan yang boleh diambil yang ditentukan oleh pihak penguatkuasaan.

"Dalam hal ini, penting seperti yang dititahkan Tuanku (Tuanku Mizan) sendiri. Hak bersuara dan kebebasan membuat liputan dalam landskap yang baru mestilah bersandarkan kepada prinsip-prinsip tertentu dan yang paling asas, mestilah benar," katanya.

China Press melaporkan bahawa Musa akan bersara sebelum sambutan Hari Polis pada 25 Mac ini dan tempatnya akan diganti oleh timbalannya Tan Sri Ismail Omar. -malaysiakini


Tarik Balik GST, Bukan Tangguhkan

Rang Undang-undang Cukai Barangan dan Perkhidmatan atau GST perlu ditarik balik dan bukan setakat ditangguh sahaja kerana ia merupakan bebanan kepada rakyat kata Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim.

Khalid yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak menganggap keputusan Parlimen pada kali ini yang tidak akan membincangkan tentang GST sebagai satu kemenangan Pakatan Rakyat.

"Kerajaan perlu membangunkan ekonomi rakyat dahulu sebelum menjalankan beberapa usaha untuk meningkatkan hasil cukai negara. Perkara ini bukan senang untuk dilaksana tetapi ada banyak pandangan yang merasakan kos perkhidmatan dan barangan akan meningkat.

"Pakatan Rakyat merasakan GST perlu ditarik balik bukannya ditanggungkan," kata Khalid selepas perasmian sidang Dewan Rakyat di Parlimen.

Pendapat beliau disokong Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar yang menyatakan rakyat belum lagi bersedia menerima perlaksanaan cukai seperti ini.

"Sepatutnya rang undang-undang ini perlu ditarik balik kerana jika sedang kali ini tidak dibentang tetapi pada sidang yang akan datang ia akan dibentang juga.

"Alasan kerajaan untuk mendapat respon dari rakyat adalah silap, sepatutnya sebelum merangka GST ia perlu mendapat respon dari rakyat. Jika rang undang-undang telah dirangka bagaimana respon rakyat boleh dimasukkan walaupun boleh mengemukakan pindaan tetapi kita melihat ini umpama tikus membaiki labu kerana kita lihat ia tidak dapat memastikan rang undang-undang memberi kesejahteraan kepada rakyat sepenuhnya," jelasnya.

Mahfuz juga menganggap rakyat belum bersedia untuk menghadapi GST kerana pendapatan rakyat masih rendah.

"Pendapatan rakyat masih rendah kerana 93 peratus rakyat tidak layak dicukai kerana faktor pendapatan mereka. Jika GST dilaksanakan maka ini tidak adil kepada rakyat yang tidak layak dikenakan cukai," sambungnya lagi.

Persidangan Parlimen pada kali ini menarik minat Ahli Parlimen Pakatan Rakyat dan menyifatkan titah Yang DiPertuan Agong bersifat adil.

Mengulas titah baginda, Khalid berkata Tuanku Mizan Zainal Abidin mengarahkan agar setiap Ahli Parlimen bekerjasama untuk pembangunan rakyat.

"Walaupun kita berbeza dari segi konsep parti tetapi yang penting ialah bagaimana kita menterjemahkan kepentingan negeri dan negara untuk kepentingan rakyat dan perkara yang paling penting ialah kita mesti memberikan memberitahu pentadbir serta pegawai kerajaan supaya tidak membezakan antara parti-parti politik

"Sebagai contoh di Selangor pemerintahan adalah Pakatan Rakyat dan bekas pegawai-pegawai kerajaan menterjemahkan usaha Pakatan Rakyat untuk membangunkan negeri Selangor dan tidak boleh dibeza-bezakan," jelas beliau.

Mahfuz pula berkata titah Yang Di-Pertuan Agong supaya setiap Ahli Parlimen menunjukkan sikap terbaik mereka perlu diambil iktibar kepada Ahli Parlimen yang melompat parti.

"Contoh Ahli Parlimen yang terbaik adalah Ahli Parlimen yang tidak melompat parti kerana ini adalah prinsip dan amanah yang telah diberikan rakyat kepada mereka. Kepada Ahli Parlimen yang lompat parti perlu melepaskan jawatan mereka kerana sikap mereka telah mengecewakan rakyat," tegas beliau. -SK

Mustafa Ali Dakwa Setiausaha Agong Ada Kuasa Seperti Peguam Negara - Abd Rahman Talib

Penulis blog PAS Abdul Rahman Talib dipanggil memberikan penjelasan berhubung aduan salah laku terhadap tiga pemimpin kanan parti itu yang dilaporkannya sebelum ini.

Abdul Rahman yang lebih dikenali sebagai Tulang Besi tampil di pejabat agung PAS di ibu negara kira-kira jam 2 petang tadi.

Beliau sebelum ini membuat laporan laporan salah laku itu terhadap timbalan mursyidul am, Datuk Haron Din, timbalan presiden Nasharuddin Mat Isa dan pesuruhjaya Selangor Datuk Dr Hasan Ali.

Bercakap kepada media hari ini, Abdul Rahman berkata beliau secara umumnya berpuas hati dengan proses merakam kenyataan yang dijalankan oleh setiausaha agung parti, Datuk Mustafa Ali.

"Setakat ini saya tengok semuanya ikut prosedur, tak ada sebab untuk saya tidak puas hati. Saya beri justifikasi kepada aduan saya dan (Mustafa) ambil nota dan beri komen beliau.

"(Mustafa) beri jaminan untuk putuskan sama ada aduan itu akan dibentangkan dalam mesyuarat Dewan Harian PAS Pusat, sama ada akan diambil tindakan atau tidak," katanya.

Tambahnya lagi, keputusan sama ada aduan itu mempunyai merit untuk diketengahkan sebagai kes, hanya boleh diputuskan oleh Mustafa Ali.

"(Mustafa) beritahu, ini berdasarkan pindaan baru dalam perlembagaan parti tahun 2008. Jadi setiausaha agung bertindak seperti peguam negara dan dia berhak buat keputusan.

"Saya sedang cuba dapatkan apa kandungan pindaan ini dan akan dapatkan pandangan peguam," katanya lagi.

Tambahnya, beliau membuat aduan tersebut bukan atas dasar peribadi tetapi untuk menyelamatkan PAS.

Beliau dalam pada itu, juga menuntut supaya ketiga-tiga orang yang dinamakan dalam aduannya itu meminta maaf secara terbuka kepada ahli parti kerana didakwanya telah memburuk-burukkan parti dengan tindakan 'tikam belakang' mereka.

Sekiranya perkara ini tidak dibendung, katanya, beliau bimbang akan ada kesan lebih buruk kepada parti dan juga Pakatan.

Turut hadir dalam pertemuan itu ialah seorang naib presidennya Salahuddin Ayub. -malaysiakini

Ulasan GB

Adakah muktamar 2008 mengusul pindaan baru dalam perlembagaan parti tahun 2008 yang memberikan kuasa kepada Setiausaha Agung bertindak seperti peguam negara dan dia berhak buat keputusan?

Setahu GB tidak ada, tetapi jika ada maka ia tersalah tafsir atau peserta muktamar tersalah cadang. Mana mungkin di dalam sebuah parti Islam memberikan kuasa hanya kepada tangan "seorang AJK" iaiatu setiausaha agung untuk menentukan kewujudan merit sesuatu aduan.

Apabila kuasa diberikan kepada "seseorang", itulah apa yang berlaku dinegara kita. Kuasa pendakwaan atau tidak terletak kepada Peguam Negara dan itu mendedahkan kepada penyalahgunaaan kuasa. PAS kini nak ikut stail macam itu?

Hal ini perlu dibongkar ke akar umbi. Siapa pencadang, siapa penyokong dan bilakah usul itu dibentangkan. Apa kandungan pembentangannya dan siapa yang berani untuk mengubah perlembagaan sedemikian agresif tanpa disedari oleh banyak pihak di dalam parti.

Kerajaan Gopoh Bentangkan Bacaan Kali Pertama Rang Undang-undang GST

Kerajaan Umno BN perlu membuktikan keikhlasan mereka dalam mendapatkan input rakyat berhubung pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), kata Pensyarah Sains Politik, Universiti Sains Malaysia (USM) Dr Sivamurugan Pandian.

Beliau sendiri tertanya-tanya sama ada kerajaan benar-benar serius mahu mendapatkan maklum balas rakyat dengan melakukan pungutan suara atau kaedah lain.

“Pelbagai pendekatan harus digunakan untuk mendapatkan maklum balas, pandangan dan juga kritikan supaya ianya tidak membebankan kerajaan sendiri.

“Isu ini sudah menjadi isu terbuka dan akan di debat baik di dalam atau di luar Parlimen. Akhirnya rakyat yang akan membuat penilaian sejauh mana kerajaan ikhlas manu menangani isu ini,”katanya.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai hasrat kerajaan tidak jadi membentangkan rang undang-undang perlaksanaan GST kononnya kerana mahu mendapatkan input dari rakyat.

“Tetapi saya tidak tahu apakah kaedah yang akan dilaksanakan.. apakah akan dilakukan pungutan suara, penghantaran sms, apakah akan dilakukan borang soal selidik dalam mengenalpasti apakah kesan dari pelaksanaan atau apakah masyarakat benar-benar tidak mahu ia dilaksanakan pada hari ini,” katanya.

Sebelum ini, kerajaan Umno-BN dilihat bertindak gopoh dengan membentangkan bacaan kali pertama rang undang-undang ini tanpa mendapatkan memperoleh reaksi rakyat.

Ia bagaimanapun ditentang hebat pembangkang kerana perlaksanaannya dilihat hanya akan membebankan rakyat khususnya yang berpendapatan rendah.

Sivamurugan berkata, sangsi sama ada pandangan masyarakat telah diambilkira sebelum bacaan pertama rang undang-undang ini dibuat dan beliau berpendapat, mereka yang merangka perlaksanaan ini tidak berkomunikasi dengan kumpulan sasar sepenuhnya.

“Dalam konteks ini apa yang boleh dipelajari dalam apa sekalipun pelaksanaan dasar atau usaha merangka agenda bagi kumpulan sasar iaitu masyarakat atau rakyat harus dirunding dan diminta pandangan dari pelbagai lapisan masyarakat supaya dasar itu tidak menjadi satu dasar yang tidak mampu kita laksanakan dan akhirnya boleh memberikan kesan kepada mana-mana pihak terutama dalam pilihanraya ke-13,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan perlu berwaspada dan mengambil iktibar gelombang tsunami politik pada Mac 2008 sekiranya mahu melaksanakan GST selepas pilihanraya ke-13 kerana rakyat kini semakin matang.

“Jika dilaksanakan selepas pilihanraya ke-13, sudah pasti masyarakat akan membuat penilaian yang sewajarnya. Yang harus diutamakan sama ada pilihanraya ataupun tidak, yang akan dinilai oleh masyarakat adalah apa yang berlaku diantara pilihanraya ke-12 dan 13. Bermakna kerajaan harus prihatin dan berhati-hati dalam apa juga yang mereka lakukan dan tidak boleh mengambil keputusan terburu-buru baik sebelum atau selepas pilihanraya,” katanya.

Tambahnya, Najib juga tidak memerlukan mandat baru dengan mengadakan pilihanraya dalam masa terdekat jika mahu memulihkan defisit negara.

“Tetapi jika ada tanggungjawab di kalangan semua pihak termasuk masyarakat maka mandat baru tidak diperlukan, yang diperlukan sejauh mana kita mampu melihat apa saja dasar itu sebenarnya memberi kesan kepada rakyat. Pihak pembuat dasar juga harus pelajari bahawa sesuatu dasar itu harus mengambil kira kepentingan keseluruhan masyarakat secara menyeluruh,” katanya. -TVS



Mayat bayi ditemui berhampiran surau stesen minyak di Klang

Kes pembuangan bayi dilaporkan apabila ia berlaku berhampiran surau sebuah stesen minyak di Bandar Bukit Tinggi, di sini.

Mayat bayi lelaki yang baru dilahirkan itu ditemui di dalam plastik sampah yang ditinggalkan di atas rumput di situ kira-kira 6.30 pagi.

"Bayi yang berkulit cerah itu ditemui dibalut dengan tuala dan dimasukkan ke dalam beg plastik sampah. Bayi berkenaan dipercayai baru dilahirkan dalam tempoh 24 jam berdasarkan keadaan tali pusatnya yang masih berdarah. "Mangsa dipercayai meninggal dunia sebelum dibuang kerana badan mangsa dibersihkan. Tiada kesan kecederaan ditemui pada mangsa," kata Ketua Polis Daerah Klang, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop.

Beliau berkata, mayat bayi berkenaan ditemui oleh seorang pekerja stesen minyak tersebut sebelum memaklumkannya kepada polis.

Kini, mayat bayi itu berada di Hospital Tengku Ampuan Rahimah. - Bernama



Anwar Masih Lagi Ketua Pembangkang

Kesepakatan dalam Pakatan Rakyat telah menetapkan Datuk Seri Anwar Ibrahim meneruskan tanggungjawab beliau sebagai Ketua Pembangkang sambil menyifatkan kenyataan Ahli Parlimen Bebas Zulkifli Noordin sebagai mencampuri urusan yang tidak mengena dengan beliau.

Naib Presiden PAS dan juga Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar menegaskan PAS tetap menyokong keputusan yang dibuat tanpa mengira kedudukan kerusi di dalam Parlimen.

"Kita dari PAS tetap meyokong Anwar sebagai Ketua Pembangkang, tentang kenyataan yang dikeluarkan oleh Zulkifli Noordin itu adalah hak beliau, sepatutnya dia yang kena lepaskan jawatan bukannya Anwar.

"Pakatan Rakyat telah bersepakat jawatan tersebut tetap dipegang oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga pilihan raya yang akan datang bukan sebagai Ketua Pembangkang sahaja tetapi sebagai Perdana Menteri," jelas beliau di lobi Parlimen.

Kenyataan yang diutarakan oleh Ahli Parlimen Bukit Gelugor Karpal Singh mengukuhkan lagi pendirian DAP yang sentiasa menyokong kedudukan Anwar sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen.

"DAP sentiasa menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim walaupun kedudukan kerusi bagi KEADILAN telah berkurangan. Ini adalah prinsip yang di bawa dalam Pakatan Rakyat, kita bukannya melihat kepada kedudukan kerusi tetapi melihat kepada tahap kepimpinan seseorang

"Tidak ada apa sebab Anwar perlu meletak jawatan tersebut dan dia akan kekal sebagai Ketua Pembangkang atas sokongan PAS dan DAP. Kenyataan Zulkifli hanya ingin menarik perhatian sahaja dan tidak mengancam kedudukan kita sebagai Pakatan Rakyat," tokoh politik veteran itu. -TVS

Wakil Rakyat Melompat Jadi Bebas Adalah Parasit Demokrasi - Prof Dr Abu Hassan

Bertanding dan menjadi Ahli Parlimen Bebas tidak salah tetapi mengisytihar diri sebagai Ahli Parlimen Bebas sedangkan menang atas tiket parti politik tertentu, jelas bertentangan dengan prinsip demokrasi.
Demikian penegasan pengasas Zentrum Features Study Malaysia, Profesor Madya Dr Abu Hassan Hasbullah kepada TV Selangor.

Kebelakangan ini beberapa Ahli Parlimen yang menang atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengisyihar keluar parti tetapi enggan mengosongkan kerusi.

Sesetengah mereka pula mengaku sebagai Ahli Parlimen Bebas yang mesra Barisan Nasional walaupun kemenangan mereka diraih atas kapasiti calon Pakatan Rakyat.

Abu Hassan mengkategorikan mereka yang melompat parti , kemudian mengaku sebagai Ahli Parlimen Bebas sebagai tidak bertanggungjawab dan mengkhianati amanah rakyat.

“Ahli politik bebas itu adalah ahli politik yang berpaling tadah yang melompat keluar daripada parti dan kita dah sebut dari awal tadi dia menentang falsafah etika sebuah demokrasi sebab ketika mereka dipilih sebagai wakil rakyat mereka dipilih atas kapasiti parti yang mereka wakilkan," katanya.

Hassan menyifatkan calon Bebas yang sejati tidak bersifat partisan dengan menyokong parti tertentu dalam kebanyakan isu.

“Tetapi dalam pilihanraya ke 13 kemungkinan berkembang calon bebas ini yang lebih betul, iaitu calon bebas yang sebenar, mereka datang kerana kesedaran-kesedaran untuk memperjuangkan hak-hak minorita, hak-hak minority yang mereka wakilkan kemungkinan mereka jadi calon bebas tapi mereka tidak berpihak pada parti A parti B," tegasnya. -TVS

Musa Hassan Tak letak Jawatan Tapi Tamat Tempoh Dan Akan Ditukarkan

Pengganti Tan Sri Musa Hassan sebagai Ketua Polis Negara akan dilantik apabila kontrak beliau berakhir September ini, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein hari ini.

Bagaimanapun beliau enggan memberikan butiran lanjut berhubung pengganti Musa yang kontraknya telah disambung selama setahun pada September lalu.

Oleh itu kata Hishammuddin, proses peralihan kepimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang dilakukan dan ia akan diumumkan kemudian.

“Saya sudah tahu siapa yang akan menggantikan Ketua Polis Negara, saya sudah tahu siapa yang akan mengetuai jawatan pengarah bahagian jenayah komersial.

“Saya sudah tahu siapa yang akan mengambil alih. Jadi tidak perlu kita membuat spekulasi dan membuat laporan tanpa asas,” kata beliau di bangunan Parlimen hari ini.

Sabtu lalu Hishammuddin dan Musa menafikan satu laporan dibawa oleh China Press bahawa Ketua Polis Negara telah mengemukakan surat letak jawatan.

Tempoh khidmat Musa sebagai Ketua Polis Negara akan berakhir September ini.

Laporan itu muncul sehari selepas Pesuruhjaya Polis Datuk Ramli Yusoff dibebaskan daripada tiga tuduhan rasuah oleh Mahkamah Sesyen.

Dalam temu bual dengan The Malaysian Insider yang disiarkan hari ini Ramli orang ketiga paling kanan sehingga beliau digantung daripada jawatannya sebagai pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial berkata, beliau akan melapor diri dalam waktu terdekat.

Hishammuddin menjelaskan proses rombakan dalam PDRM tidak hanya melibatkan Ketua Polis Negara tetapi beberapa pegawai kanan dalam pasukan itu.

“Dalam perkara ini, ia tidak hanya melibatkan Ketua Polis Negara tetapi empat pengarah lain daripada tujuh bahagian dalam PDRM yang akan bersara tahun ini.

“Sebenarnya seorang pengarah sudah pun mula bercuti, tiga atau enam bulan sebelum meninggalkan perkhidmatan,” katanya. -MI

Ulasan GB

How Musa Hassan? Anda puas hati kali ini apabila boss anda sendiri kata anda akan ditukarkan? 1Malaysia berpendapat anda tidak layak sebenarnya sebagai KPN.

Pakatan Rakyat Desak GST Ditarik Balik Bukan Tangguh

Rang Undang-undang Cukai Barangan dan Perkhidmatan atau GST perlu ditarik balik dan bukan setakat ditangguh sahaja kerana ia merupakan bebanan kepada rakyat kata Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim.

Khalid yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak menganggap keputusan Parlimen pada kali ini yang tidak akan membincangkan tentang GST sebagai satu kemenangan Pakatan Rakyat.

"Kerajaan perlu membangunkan ekonomi rakyat dahulu sebelum menjalankan beberapa usaha untuk meningkatkan hasil cukai negara. Perkara ini bukan senang untuk dilaksana tetapi ada banyak pandangan yang merasakan kos perkhidmatan dan barangan akan meningkat.

"Pakatan Rakyat merasakan GST perlu ditarik balik bukannya ditanggungkan," sambungnya lagi.

Pendapat beliau disokong Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar yang menyatakan rakyat belum lagi bersedia menerima perlaksanaan cukai seperti ini.

"Sepatutnya rang undang-undang ini perlu ditarik balik kerana jika sedang kali ini tidak dibentang tetapi pada sidang yang akan datang ia akan dibentang juga.

"Alasan kerajaan untuk mendapat respon dari rakyat adalah silap, sepatutnya sebelum merangka GST ia perlu mendapat respon dari rakyat. Jika rang undang-undang telah dirangka bagaimana respon rakyat boleh dimasukkan walaupun boleh mengemukakan pindaan tetapi kita melihat ini umpama tikus membaiki labu kerana kita lihat ia tidak dapat memastikan rang undang-undang memberi kesejahteraan kepada rakyat sepenuhnya," jelasnya.

Mahfuz juga menganggap rakyat belum bersedia untuk menghadapi GST kerana pendapatan rakyat masih rendah.

"Pendapatan rakyat masih rendah kerana 93 peratus rakyat tidak layak dicukai kerana faktor pendapatan mereka. Jika GST dilaksanakan maka ini tidak adil kepada rakyat yang tidak layak dikenakan cukai," sambungnya lagi.

Persidangan Parlimen pada kali ini menarik minat Ahli Parlimen Pakatan Rakyat dan menyifatkan titah Yang DiPertuan Agong bersifat adil.

Mengulas titah baginda, Khalid berkata Tuanku Mizan Zainal Abidin mengarahkan agar setiap Ahli Parlimen bekerjasama untuk pembangunan rakyat.

"Walaupun kita berbeza dari segi konsep parti tetapi yang penting ialah bagaimana kita menterjemahkan kepentingan negeri dan negara untuk kepentingan rakyat dan perkara yang paling penting ialah kita mesti memberikan memberitahu pentadbir serta pegawai kerajaan supaya tidak membezakan antara parti-parti politik

"Sebagai contoh di Selangor pemerintahan adalah Pakatan Rakyat dan bekas pegawai-pegawai kerajaan menterjemahkan usaha Pakatan Rakyat untuk membangunkan negeri Selangor dan tidak boleh dibeza-bezakan," jelas beliau.

Mahfuz pula berkata titah Yang Di-Pertuan Agong supaya setiap Ahli Parlimen menunjukkan sikap terbaik mereka perlu diambil iktibar kepada Ahli Parlimen yang melompat parti.

"Contoh Ahli Parlimen yang terbaik adalah Ahli Parlimen yang tidak melompat parti kerana ini adalah prinsip dan amanah yang telah diberikan rakyat kepada mereka. Kepada Ahli Parlimen yang lompat parti perlu melepaskan jawatan mereka kerana sikap mereka telah mengecewakan rakyat," tegas beliau. -TVS

Dua terselamat apabila pesawat ringat mendarat cemas dalam laut

Seorang juruterbang dan pelatih juruterbang terselamat apabila sebuah pesawat ringan yang mereka naiki melakukan pendaratan cemas di perairan berhampiran Mes Pegawai Polis Pasir Hitam, Ayer Hangat, di sini pagi ini.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Ishak Hasan berkata, dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu kedua-dua mangsa diselamatkan oleh nelayan yang berada di kawasan berhampiran.

"Difahamkan pesawat berkenaan baru berlepas dari pusat latihan untuk sesi latihan pagi tadi, tapi terpaksa melakukan pendaratan cemas selepas dipercayai berlaku kerosakan pada enjin pesawat.

"Pesawat berkenaan mendarat kira-kira 100 meter daripada pantai dan kedua-dua mangsa hanya mendapatkan rawatan biasa di hospital," katanya.

Beliau berkata, juruterbang dan pelatih berkenaan dipercayai dari pusat latihan penerbangan HM Aerospace Sdn Bhd yang beroperasi di pulau itu.

Ishak berkata, setakat ini pihaknya belum menerima laporan daripada pihak yang berkenaan dan punca sebenar kejadian masih disiasat.-Bernama foto :BH



Siti Zubaidah, 11, Masih Suci

Lelaki itu (Sudin ‘Ajaib’) memaksa anak saya tidur sambil menarik seluarnya tapi Siti Zubaidah menendang,” kata Siti Sarnan Mat Ali, 42, menceritakan pengalaman pahit dilalui anaknya, Siti Nur Zubaidah Hussin, 11, selepas dilarikan lelaki terbabit yang dinikahkan bapa kandungnya dalam kejadian 19 Februari lalu.

Menurut Siti Sarnan, dia bersyukur kerana kehormatan anaknya masih terpelihara walaupun dilarikan selama 23 hari sebelum ditemui semula kira-kira jam 6.30 petang di Madrasah Al-Ikhwan Taman Samudera Jaya, Batu Caves, Jumaat lalu.

Katanya, dia tidak menyangka lelaki 41 tahun itu tergamak melakukan perbuatan itu terhadap anaknya yang masih mentah atas ‘tiket perkahwinan’ kononnya mengikut sunnah Nabi.

“Bagaimanapun, saya lega kerana anak tidak diapa-apakan. Saya mahu dia bebas dan menjalani kehidupan normal dengan memperoleh pelajaran yang cukup demi masa depannya.

“Selepas kes ini selesai, saya akan mendaftarkan anak saya, Siti Nur Zubaidah ke sekolah menengah Arab di Tanah Merah dengan dijaga bapa saudaranya untuk mencapai cita-citanya menjadi pendidik,” katanya, semalam.

Sebelum ini, Siti Zubaidah dikahwinkan ayahnya dengan rakan jemaah tabligh sebelum dilarikan `suaminya” selepas mengambil kanak-kanak berkenaan di rumahnya di Kampung Jelawang, dekat Dabong 20 Februari lalu.

Sementara itu, Siti Sarnan hanya berharap tuntutan mufarakah dibuat terhadap anak perempuannya dengan lelaki terbabit dapat diselesaikan segera bagi membolehkan Siti Zubaidah menjalani kehidupan seperti kanak-kanak lain. Katanya, dia lega apabila Siti Zubaidah semakin pulih daripada trauma berbanding sebelum ini.

“Saya bersyukur Siti Zubaidah semakin pulih daripada trauma berbanding sebelum ini yang tidak bermaya dan separuh sedar.

“Sebelum ini, dia tak mahu menceritakan apa yang berlaku ke atasnya tapi kini dia sudah boleh menceritakan semuanya dan sudah lalu makan,” katanya. Katanya, dia difahamkan anaknya diletakkan di bawah jagaan isteri ketiga lelaki terbabit sebelum dibawa ke Kuala Lumpur.

“Mereka dikatakan sempat bersiar-siar di Kuala Terengganu sebelum bertolak ke Kuala Lumpur tanpa disedari Siti Zubaidah.

“Ketika berada di sana Siti Zubaidah dijaga oleh isteri lelaki berkenaan yang menjaganya dengan baik tapi ia tidak mampu memujuk hati anak perempuan saya untuk terus tinggal di sana,” katanya. -hmetro

Ehud Barak kata Satu Israel, Najib kata Satu Malaysia

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menunjukkan keangkuhannya apabila sanggup melantik syarikat milik Yahudi untuk menasihati beliau dan isteri atas urusan-urusan negara, termasuk mereka slogan-slogan seperti Satu Malaysia.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata wujud wujud bukti jelas Syarikat APCO yang pernah menjadi penasihat kepada kerajaan Israel, kini dibayar sehingga 60 juta ringgit, untuk menasihati Najib dan kerajaan pimpinannya.

Anwar berkata tindakan pemimpin-pemimpin Umno menggunakan khidmat syarikat atau perunding Yahudi bukanlah perkara baru kerana pernah dilakukan oleh Tun Mahathir Mohamad sendiri.

"Orang kata "Anwar, mereka keji kamu, mereka fitnah kamu, mengapa kamu fitnah balik?". Tidak, saya tidak akan sebut kalau saya tidak ada bukti," kata Anwar.

"Datuk Seri Najib lantik syarikat Yahudi bernama APCO. Saudara-saudari boleh layar internet dan selidik apa dan siapa APCO ini - sebuah syarikat perunding Yahudi. Siapa penasihat utamanya kalau bukan bekas Duta Israel ke Amerika Syarikat dan bekas Duta Israel ke Jerman," tambah beliau.

"Untuk menjadi Duta Israel ke Amerika Syarikat dan Jerman, haruslah menjadi Zionis yang keras. Orang-orang seperti inilah yang mengasaskan APCO, yang antara peranannya adalah menasihatkan diktator, pemimpin-pemimpin dan pandangan kelompok Yahudi," tegas beliau.

Datuk Seri Anwar berucap kepada ribuan orang di Dewan Che Yang Khor, Pangkalan Assam, di Kangar, Perlis.

Beliau seterusnya menjelaskan bagaimana APCO menjual idea yang telah di guna pakai di Israel untuk memulakan program 1Malaysia tajaan Najib Razak.

"Antara yang dinasihati APCO ini adalah Perdana Menteri Israel, Ehud Barak. Apa nasihat mereka kepada beliau pada masa itu? Mereka nasihatkan Ehud Barak supaya perkenalkan slogan Satu Israel," jelas Anwar.

"Tahun 2009, Najib lantik APCO sebagai penasihat. Nasihat yang sama juga diberikan kepada Najib. Ehud Barak kata Satu Israel, Najib kata Satu Malaysia. Berapa belanjanya? RM60 juta ringgit," tambah lagi.

Anwar berkata tindakan Najib menggunakan APCO menjatuhkan kredibiliti Malaysia sebagai Negara Islam.

"Saudara, keangkuhan Umno sudah sampai kepada kemuncaknya. Berani sungguh sebuah negara Islam lantik APCO seabgai penasihatnya. Seteruk-teruk negara Islam lain, tidak pernah yang sampai ke tahap ini. Umno sanggup, kerana mereka ingat orang Melayu boleh diperbodohkan," kata Anwar.

"Mudah-mudahan Allah SWT memberi kekuatan kepada kita," katanya lagi.

Pada ceramah ini Datuk Seri Anwar juga menggesa rakyat supaya waspada terhadap cubaan berterusan Umno untuk meniupkan sentimen perkauman dalam usaha meraih sokongan orang Melayu

"Mereka turun ke bawah tuding jari mereka kata orang itu Yahudi, orang ini Cina, orang ini khianat Melayu walhal penasihat mereka APCO," kata Anwar.

"Dahulu Mahathir bayar taukey judi Yahudi sebab mahu berbaik dengan Presiden George Bush, sekarang APCO buka pejabat di Kuala Lumpur dan bergiat sebagai penasihat kepada Najib dan Rosmah," tegas beliau. -TVS




Mohsin Perlu Dapatkan Mandat Rakyat - Ahmad Awang

Kenyataan Ahli Parlimen Bagan Serai, Mohsin Fadzli Samsuri kelmarin, yang mengakui tidak akan sertai mana-mana parti, termasuk Barisan Nasional (BN) masih diragui kerana tidak menyebut tidak menyokong BN sama ada dalam atau luar Parlimen.

Ahli Majlis Syura Pas Pusat, Ahmad Awang berkata, beliau dan pengundi Parlimen Bagan Serai mahukan satu kenyataan atau kesahihan daripada Mohsin untuk tidak sokong atau sertai BN dan dalam masa sama mengeluarkan kenyataan menyokong Pakatan Rakyat (PR).

Menurutnya, Mohsin juga perlu adil kepada rakyat di kawasannya dan diminta segera memberi penjelasan kepada rakyat.

“Kita akan tengok rentak dia, ke mana hala tuju dia selepas ini, sama ada mahu berjumpa rakyat menjelaskan keadaan sebenar ataupun tidak.

“Kalau dia ingat jawatan Ahli Parlimen yang disandangnya kini adalah hasil sokongan rakyat, seharusnya dia kembali kepada rakyat dan bertanyakan pada rakyat sama ada tindakannya boleh dimaafkan atau tidak.

“Jika rakyat tidak boleh menerima tindakan dia, seharusnya dia perlu sedar jalan terakhir adalah letak jawatan, bagi peluang kepada rakyat memilih pemimpin lain,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ahli Parlimen Bagan Serai, Mohsin Fadzli Samsuri yang tidak akan letak jawatan sehingga pilihan raya umum akan datang serta dalam masa sama tidak akan menyertai BN.

Sementara itu, solat hajat untuk Ahli Parlimen Bagan Serai itu sudah dilangsungkan bermula malam semalam, dan akan diteruskan sehingga genap tujuh hari di kawasan berlainan dalam Parlimen Bagan Serai.

Ahmad berkata, niat diteruskan untuk memberi kesedaran kepada Mohsin berhubung tindakannya keluar parti walaupun Ahli Parlimen berkenaan tidak melepaskan jawatannya.

Menurutnya, solat itu dilangsungkan bukan untuk meminta bala atau kecelakaan terhadap Mohsin, tetapi hanya untuk memberi kesedaran dan petunjuk supaya kembali kepada kebenaran. -SH

Zulkifli Noordin Serang Anwar, Suruh Letak Jawatan Ketua Pembangkang

Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu Zulkifli Noordin yang dipecat Parti Keadilan Rakyat (PKR) lebih seminggu lalu terus menjadikan bekas ketuanya Datuk Seri Anwar Ibrahim sasaran kritikan beliau menjelang sidang baru Parlimen hari ini.

Zulkifli yang dipecat berhubung kes disiplin menegaskan, Anwar yang juga Ketua Umum Pakatan Rakyat seharusnya meletakkan jawatan sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen.

Mengambil kira kerusi dimiliki DAP lebih banyak berbanding PKR dan PAS, kata beliau, mengikut konvensyen berparlimen dan nilai demokrasi, seharusnya Anwar mengosongkan kerusi Ketua Pembangkang dan menyerahkannya kepada Penasihat DAP Lim Kit Siang.

“Sebenarnya itulah cara terbaik dan paling demokratik yang patut dilakukan oleh Anwar,” kata wakil rakyat kontroversi ini dalam tulisan blognya malam tadi.

“Kalau saya menjadi penasihat strategi dan politik Anwar, saya akan menasihatkan beliau supaya mengosongkan kerusi Ketua Pembangkang.

“Saya cukup pasti kalau itu dilakukan, rakyat akan lebih menghormati Anwar kerana akan dilihat tidak mementingkan jawatan, dan bersikap menghormati nilai demokrasi yang dilaungkan oleh PKR,” katanya.

Zulkifli menambah beliau pasti PAS dan DAP akan membawa usul dalam Parlimen supaya Anwar yang juga Penasihat PKR dikekalkan sebagai Ketua Pembangkang.

“Dan semasa usul serta bahas, saya akan nasihatkan Anwar supaya jangan berada dalam Dewan. Dan, saya cukup pasti BN tidak akan membantah usul itu kerana ia tiada kena-mengena dengan BN,” katanya.

Zulkifli meneruskan serangannya dengan berkata, berdasarkan kedudukan jumlah kerusi parti-parti bukan kerajaan, maka menurut Peraturan 2 Peraturan Mesyuarat Parlimen dan berdasarkan prinsip ‘amalan berparlimen sejagat serta nilai demokrasi yang diterima pakai, susunan kerusi sepatutnya kini berubah.

“Bermakna semua Ahli Parlimen DAP sepatutnya kini duduk di blok paling depan sebelah kiri Speaker iaitu Blok I.

“Kemudian diikuti oleh Ahli-ahli Parlimen PKR dan kemudiannya PAS dan PSM (Parti Sosialis Malaysia).

“Jadi saya nak tengok esok (hari ini) apakah susunan tersebut dilaksanakan oleh Tan Sri Speaker. Sekiranya tidak, kemungkinan akan ada usul Peraturan Mesyuarat dibawa untuk susunan kerusi dibuat mengikut apa yang saya sebut tadi,” katanya.

Tempat duduk ahli-ahli Dewan Rakyat terbahagi kepada sembilan blok iaitu Blok A hingga Blok I.

Zulkifli menambah sekiranya itu berlaku bermakna walaupun Anwar akan menduduki kerusi Ketua Pembangkang, namun beliau akan dikelilingi oleh Ahli-ahli Parlimen DAP.

“Ini mungkin satu keadaan yang tidak selesa bagi Anwar sebagai Ketua Umum PKR... sebab itulah konvensyen amalan berparlimen dan nilai demokrasi mengehendaki Ketua Pembangkang adalah daripada parti bukan kerajaan yang memiliki kerusi yang paling banyak,” katanya.

Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen Ke-12 akan dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin pagi ini.

Ia dijangka mengundang tumpuan khususnya perubahan tempat duduk anggota Dewan Rakyat jika jawatan ketua pembangkang yang kini disandang Datuk Seri Anwar Ibrahim bertukar tangan.

Walaupun PKR tidak lagi mempunyai kelebihan kerusi berbanding pembangkang lain setelah empat wakil rakyatnya kini menjadi wakil Bebas, maka sekiranya Anwar masih menyandang jawatan ketua pembangkang, ini bermakna jawatan itu dipegang oleh pemimpin yang bukan daripada parti yang menguasai majoriti kerusi.

Seperti dijelaskan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia baru-baru ini, Anwar boleh terus menjadi ketua pembangkang selagi beliau mendapat sokongan majoriti wakil pembangkang.

Lim dan dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang masing-masing telah menyatakan mereka tidak akan berebut jawatan itu.

Namun begitu, jawatan itu tetap bakal menjadi perhatian apabila dewan bersidang.

Pada persidangan kali ini, sejarah juga bakal dilakar kerana terdapat pertambahan kerusi anggota Parlimen Bebas.

Ini kerana empat anggota PKR kini menjadi wakil Bebas.

Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim (Bayan Baru), Tan Tee Beng (Nibong Tebal) dan Mohsin Fadzli Samsuri (Bagan Serai) keluar parti kerana tidak lagi sehaluan dengan kepimpinan PKR manakala Zulkifli pula dipecat oleh parti itu.

Berdasarkan kedudukan terkini, PKR mempunyai 27 kerusi, DAP 28 dan PAS 23.

Barisan Nasional selaku parti memerintah menguasai 137 kerusi dan Bebas tujuh.

Maklumat terbaru di laman web Parlimen juga menunjukkan sudah susunan kerusi mengikut perkembangan baru setakat minggu lalu.

Pemerhati melihat pada persidangan kali ini, pendirian dan kecenderungan wakil-wakil Bebas akan menjadi perhatian, sama ada mereka lebih condong kepada pihak kerajaan atau pembangkang.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar tidak menolak kemungkinan persidangan akan menjadi hangat berdasarkan perkembangan politik semasa tanah air.

Malah beliau menjangka kemelut dalaman PKR sekarang akan turut diheret ke dalam dewan.

Kali ini juga, anggota Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo daripada DAP, yang digantung 12 bulan daripada menghadiri persidangan sejak 12 Mac tahun lepas akan kembali ke Dewan. -MI