12 Ogo 2015

Selepas ARIF, Harapan Baru Akan Punyai Sayap Perundangannya, ProGuam...

Selepas ARIF (Unit Amal versi GHB) berjaya diwujudkan, Harapan Baru bakal mempunyai sayap perundangannya sendiri apabila sebuah NGO bernama ProGuam telah berjaya ditubuhkan dan diluluskan pendaftarannya pada 9 Julai 2015 yang lalu.

Demikian dinyatakan oleh Dato Tarmizi Mohd Jam, timbalan pengerusi GHB Wilayah Persekutuan. beliau menyatakan bahawa mengikut perancangan, ProGuam akan menjadi sayap perundangan Harapan Baru sebaik saja parti baru itu diluluskan nanti.

Nombor pendaftarn ProGuam ialah PPM-004-10-09082015.

Di dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Presiden ProGuam, Noorazmin Zakaria, yang juga mantan Pengarah Jabatan Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (Juham) Pemuda PAS Malaysia, 9 Julai, 2015 merupakan suatu tarikh keramat lahirnya sebuah Ngo baru yang terdiri daripada barisan Peguam Hak Asasi Manusia.

Menurutunya, ProGuam, yang merupakan singkatan kepada Pertubuhan Pengamal Undang-undang & Hak Asasi Manusia Malaysia telah ditubuhkan melalui cetusan idea para Peguam yang cintakan undang-undang dan keadilan, lahir di saat masyarakat Malaysia inginkan harapan baru dan sinar baru kepada badan-badan perundangan di Malaysia yang terdiri daripada Badan Kehakiman, PDRM, SPRM dan lain-lain badan yang berlatar belakangkan perundangan agar bukan sahaja dilihat adil, malah dilihat berlaku adil.

ProGuam meneliti pelbagai isu negara yang berlaku mutakhir ini, daripada isu penyiasatan 1MDB, isu wang tunai berbilion ringgit yang dipindahkan ke akaun Perdana Menteri sehinggalah kepada isu saman AES yang dikatakan bakal "hidup" semula, tambah kenyataan itu lagi.

"Sebagai komitmen awal kami, ProGuam melalui barisan Peguamnya yang terdiri daripada individu-individu dari seluruh negara akan menyediakan khidmat guaman percuma dalam himpunan Bersih 4.0 yang bakal diadakan pada 29 dan 30 Ogos kelak," demikian menurut kenyataan itu lagi.

Sehubungan dengan itu, ProGuam dengan berbesar hati ingin menjemput mana-mana pengamal undang-undang termasuk pensyarah dan mahasiswa undang-undang baik lelaki mahupun wanita untuk bersama-sama menyertai kami demi melihat masa depan yang adil, bersih dan sejahtera.







IKLAN BERBAYAR







Lebih Ramai Sertai GHB Dan Keluar PAS Menjelang Parti Baharu Ditubuhkan

Bekas Ketua Pemuda Pas Melaka keluar parti

MELAKA - Bekas Ketua Pemuda Pas Melaka Jauhar Mohd Dawi hari ini mengisytiharkan keluar daripada parti itu dan telah menyertai Gerakan Harapan Baru.

Timbalan Koordinator Harapan Baru Negeri Melaka itu berkata tindakannya keluar daripada Pas kerana hilang kepercayaan terhadap kepimpinan parti dipilih pada muktamar lepas yang disifatkannya telah tersasar daripada perjuangan asal pakatan rakyat.

"Banyak isu (dalam Pas) tentang fitnah memfitnah dan melabel, serta dalam pemilihan baru-baru ini suatu pemilihan yang tidak begitu baik. Politik dibawa pimpinan baharu ini lari daripada muktamar untuk mengukuhkan pakatan rakyat.

"Saya rasa amat kecewa dan perlu pergi kepada Harapan Baru kerana mereka membawa satu model yang baik, ini suatu gerakan Islam juga," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Jauhar, 40, menjadi Ketua Pemuda Pas Melaka antara 2013 hingga pemilihan Pas tahun ini dan Ketua Pemuda Pas Kawasan Bukit Katil antara 2011 hingga 2013.

Beliau merupakan ahli Pas yang pertama di negeri ini yang mengumumkan keluar parti dan menyertai Harapan Baru.

Pada 4 Ogos lepas, bekas Pesuruhjaya Pas Negeri Melaka Adly Zahari mengumumkan telah menyertai Harapan Baru dan bertindak sebagai Koordinator Harapan Baru Negeri Melaka, bagaimanapun beliau tidak (belum) mengisytiharkan keluar Pas. - Bernama

Pemuda PAS Shah Alam hilang kemudi


Ibarat kereta api tanpa kepala.

Mungkin itu ungkapan paling tepat untuk menggambarkan keadaan sayap Pemuda PAS Shah Alam selepas separuh anggota jawatankuasanya meletakkan jawatan masing-masing.

Mereka menjadikan alasan kurang kerjasama dan perbezaan dengan pimpinan atasan – pusat dan negeri – yang sebagai alasan tindakan itu diambil.

Antara yang berundur ialah Ketua Pemuda PAS Shah Alam Helmi Radzuan, timbalannya Zainal Said, naibnya Abbas Salimmi Adzmi dan sepuluh lagi pengerusi lajnah dan jawatankuasa kerjanya.

Abbas, dalam sidang media hari ini membangkitkan beberapa insiden bagi menguatkan dakwaan mereka disisihkan.

“Ada satu dua benda yang ralat. Beberapa program negeri dibuat di Shah Alam tanpa memberitahu kami. Kami rasa seperti disisih. Sebelum ini tak jadi pula perkara macam ni.

“Untuk program akan bekerjasama dengan kami, tuan rumah," kata beliau dalam satu sidang media di Shah Alam hari ini.

Shah Alam dikenali sebagai kubu pemimpin lantang PAS Khalid Samad yang kini terlibat sebagai penggerak Gerakan Harapan Baru (GHB), ke arah pembentukan sebuah parti Islam baru.

Kumpulan itu digerakkan oleh bekas pemimpin kanan PAS yang tewas teruk dalam pemilihan parti itu sebelum ini di tangan 'chai' proulama.
-mk





Pemimpin akar umbi PAS tunggu dan lihat sebelum sertai parti baharu

Ketika PAS berpecah 2 dengan terbentuknya Gerakan Harapan Baru (GHB) yang bakal menjadi sebuah parti politik Islam baharu, lebih 50% para pemimpin akar umbi khasnya di peringkat cawangan mengambil sikap tunggu dan lihat.

Mereka masih menunggu parti baharu dibentuk, apa perlembagaannya dan siapakah bakal pemimpin sebelum membuat apa-apa keputusan sama ada kekal dalam PAS atau menyertainya.

Bagaimanapun, kebanyakan penggerak akar umbi PAS di peringkat pusat iaitu Unit Amal dan Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) sudah menyatakan sikap masing-masing.

Bekas Ketua Pengarah Unit Amal, Juhari Osman serta ramai ahli jawatankuasanya mengambil sikap meninggalkan PAS dan aktif dalam GHB. Beliau sedang menubuhkan Unit Amal versi GHB yang dinamakan Amal Relief atau nama ringkasnya Arif.

Selain Juhari, turut bersama beliau ke dalam GHB adalah Timbalan Ketua Pengarah 1 Unit Amal, Jahid Zaini (Johor) dan Timbalan Ketua Pengarah 4 Azwan Ismail (Perak) dan Bendahari Mohamad Supian Ibrahim (Negeri Sembilan).


Sebagaimana PAS di peringkat cawangan, kata Johari kebanyakan anggota badan penggerak unit kebajikan dalam PAS ini mengambil sikap tunggu dan lihat.

Bekas ketua pengarah Pasti paling lama (1999 -2011) Azrin Majid juga mengambil sikap meninggalkan PAS dan menyertai GHB. Azrin kini adalah penyelaras GHB Jasin di Melaka dan sedang menyusun aktiviti pendidikan untuk GHB pusat.

PAS mengendalikan lebih 1,400 Pasti di seluruh negara dengan lebih 10,000 pelajar berumur 5-6 tahun menyertainya di samping lebih 3,000 guru terlibat dengannya.

Tunggu dan lihat

Di Selayang, Selangor, bekas yang dipertua PAS kawasan yang kini menyertai GHB Mohamad Abdul Rahman berkata, kebanyakan ahli di peringkat akar umbi takut untuk ke depan dan mengambil sikap tunggu dan lihat.

Beliau yang dilantik sebagai bendahari GHB Selangor berkata, pihaknya sedang menyenaraikan penyokong-penyokong di Selayang sendiri kerana kebanyakan mereka belum berani didedahkan lagi.

"Ramai antara mereka macam kepala kura-kura, sekejap keluar sekejap masuk balik. Jadi kita belum boleh dedahkan mereka lagi," katanya kepada The Malaysian Insider.

Beliau menyenaraikan sekurang-kurangnya 10 ketua cawangan di Selayang akan menyertai GHB termasuk ahli jawatankuasanya.

Kenyataan ini dibuat ketika Yang Dipertua PAS Selayang Zaidy Talib berkata, belum nampak sebarang gerakan GHB di Selayang.

Di sebuah cawangan di Selayang misalnya, 5 Ahli Jawatankuasa (AJK) sudah cenderung kepada GHB, 5 lagi akan kekal bersama PAS manakala 10 lagi AJK mengambil sikap tunggu dan lihat, kata Mohamad.

Di Kelantan, sokongan kepada GHB juga kuat namun mereka perlu berhati-hati kerana PAS menguasai kerajaan negeri dan akan mengawal pergerakan khasnya yang mempunyai jawatan dalam kerajaan negeri.

"Di cawangan Kepala Jambatan yang saya ketuai, 7 daripada 14 AJK yang ada bersama saya, 6 ambil sikap tunggu dan lihat manakala hanya satu sahaja yang akan kekal bersama PAS kerana dia mempunyai jawatan dalam kerajaan negeri," kata Che Ibrahim Mohamad, timbalan penyelaras GHB Kelantan.

Sokongan kepada GHB di kalangan pemimpin PAS sangat ketara di negeri-negeri selatan tanah air iaitu Melaka, Johor dan Negeri Sembilan dengan kesemua pimpinan utama PAS negeri itu sebelum ini menyertai GHB.

Yang memeranjatkan adalah kesemua tiga bekas pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan yang sebelum ini sukar untuk bekerjasama dengan kumpulan profesional kini memimpin GHB negeri itu.

Bekas pesuruhjaya PAS sesi lalu yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paroi, Taufek Abdul Ghani dan MK Ibrahim menyertai GHB dan menjadi timbalan penyelaras Negeri Sembilan di bawah penyelarasnya Zulkifli Mohd Omar.

Di Johor, bekas pesuruhjayanya sesi lalu Aminul Huda Hassan bersama barisan Kabinetnya kini menyertai GHB Johor.

Begitu juga di Melaka, bekas pesuruhjayanya sesi lalu Adly Zahari menyertai GHB. (Bekas Pesruhjaya PAS Melaka, ustaz Salleh Yusof dan timbalannya Azutdin Hassan turut menyertai GHB) - tambahan GB

Di Jasin, Melaka, hampir kesemua pemimpin dan AJK PAS di 6 cawangan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau menyertai GHB Jasin yang dipimpin Yuhaizad Abdullah.

Namun di cawangan Kampung Kelubi yang terletak di bawah DUN Rim, pemimpin akar umbi PAS berpecah kepada 2, separuh pergi ke GHB manakala separuh lagi kekal dalam parti, kata bekas naib ketua cawangannya, Azrin.
-TMI (8.8.2015)








IKLAN BERBAYAR