6 Jan 2010

Perlukah Presiden Membuat Kenyataan Balas?

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, kenyataan medianya berkaitan isu penggunaan nama 'Allah' baru-baru ini tidak merujuk kepada penghakiman yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi terhadap kes penggunaan kalimat 'Allah’ untuk penerbitan Herald.

Apa yang dimaksudkan oleh beliau adalah "prinsip asas yang digunakan oleh Islam dalam menentukan kaedah penggunaan kalimat ”Allah” itu secara sebenar."

Beliau membuat penjelasan ini ekoran laporan akhbar The Star yang melaporkan seolah-olah beliau menyokong keputusan mahkamah tinggi itu.

Berikut adalah kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Politik beliau, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Penjelaskan artikel berita akhbar The Star 6 Januari 2010

Satu artikel berita yang bertajuk “Word Allah not restricted only to Muslims, says Hadi” sebagaimana yang diterbitkan oleh akhbar The Star, muka N12 bertarikh 6 Januari 2010 adalah dirujuk.

Dalam para keempat ianya ditulis sebagai : “In supporting the High Court’s decision that allowed the weekly Herald to use the word 'Allah', he said the principle of freedom of religion was championed by Islam because human beings could not be forced to profess any religion except through their own freewill”.

Ingin dijelaskan disini bahawa kenyataan akhbar yang dikeluarkan secara rasmi oleh Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS) pada 4 Januari 2010 itu tidak merujuk kepada penghakiman yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi terhadap kes penggunaan kalimat ‛Allah’ untuk penerbitan Herald. PAS hanya menjelaskan prinsip asas yang digunakan oleh Islam dalam menentukan kaedah penggunaan kalimat ”Allah” itu secara sebenar.

Oleh yang demikian, maksud yang difahami dari para keempat terutamanya merujuk kepada ayat ”In supporting the High Court’s decision..” yang ditulis itu adalah tidak tepat sama sekali.


Dr Ahmad Samsuri Mokhtar
Setiusaha Politik Presiden PAS
6 Januari 2010

Ulasan GB

Kenyataan media yang dikeluarkan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini terang dan jelas, dan adalah benar "prinsip asas yang digunakan oleh Islam dalam menentukan kaedah penggunaan kalimat ”Allah” itu secara sebenar."

Tiada ada keraguan mengenai hal itu. Bererti sebarang hal yang lain darinya yang menentang penggunaan kalimah Allah tidak didasarkan kepada prinsip asas agama Islam.

Tidak ada sebarang nas yang boleh diketengahkan untuk menghalang penggunaannya dan wajar untuk sekalian ahli PAS khususnya dan masyarakat Islam amnya menerima ketetapan yang telah diambil oleh Parti.

Soal media-media membuat ulasan dengan mengkaitkan kenyataan tersebut dengan keputusan mahkamah adalah implikasi dari pendirian yang telah diambil yang "mengikut prinsip asas di dalam Islam" tersebut.

Samada kenyataan sebelum ini menyokong atau pun tidak keputusan mahkamah, bukan soalnya dan ia, sepertimana GB katakan, adalah soal implikasi dari kenyataan tersebut dan apa pun persamaan jika ada dengan keputusan itu adalah kerana faktor kebetulan.

Dan ia tidak pula dapat dipersalahkan kepada wartawan walau apa tujuan mereka sekalipun asalkan ia tidak memesongkan atau mengubah mana-mana bahagian "kenyataan" mengenai prinsip asas yang digunakan untuk menetapkan keputusan tersebut.

Justeru itu, apa yang dilaporkan oleh akhbar TheStar .. ”In supporting the High Court’s decision..” adalah faktor kebetulan dan ia sekadar persepsi masyarakat (dalam konteks ini wartawan berkenaan), dan tidak perlu ada kenyataan balas kerana ia tidak relevan samasekali.

Kita khuatir, terlalu kerap "melakukan pembetulan" masyarakat makin mudah untuk maragukan kenyataan-kenyataan Tuan Presiden di masa akan datang.

Mat Sabu Sokong TGNA - Temukan Pemimpin Islam Dan Kristian Selesaikan Isu Kalimah Allah

Mohamad Sabu menyokong penuh usul yang dikemukan oleh Musyidul Am PAS, Nik Abdul Aziz Nik Mat menemukan pemimpin Islam dan Kristian di Malaysia bagi menyelesaikan perkara berhubung penggunaan kalimah Allah.

Pemimpin Pas itu menjelaskan Islam menggalakkan dialog antara ilmuan dalam menyelesaikan titik-titik bingit antara agama, sesuai dengan iklim demokrasi hari ini.

Menurutnya lagi, penggunaan kalimah Allah tidak dibantah Al-Quran namun apa yang dikhuatiri umat Islam adalah penyalahgunaannya.

"Kalimah Allah tu di Malaysia ni, di sebelah sini memang sesuai untuk orang Islam sahaja. Tapi kalau orang bukan Islam nak guna kita tidak boleh paksa, tapi kita bimbang penyalahgunaan perkataan itu", jelas beliau.

Beliau turut berpendirian bahawa perkara ini tidak perlu digembar-gemburkan di mahkamah sedangkan ianya hanyalah bersangkut paut dengan kepenggunaan perkataan tersebut.

"Bukan soal mahkamah, di sini lebih soal sosio politik. Bukan A atau B cuma kita bimbang penyalahgunaan", tegas beliau.

Oleh yang demikian, cadangan Nik Aziz untuk menemukan pemimpin Islam dan Kristian bagi menyelesaikan kekeliruan ini adalah jalan terbaik bagi mengelak sebarang perselisihan faham antara kaum.

"Ini saya lebih setuju kita bertemu dengan orang-orang parti-parti kristian di Malaysia", kata beliau. -TVS

Jika Sabit Qazaf, Kesaksian Saiful Ditolak Selama-lamanya

Peguam Kamar Ainiah Kamaruzaman meminta JAWI tidak melindungi kepentingan mana-mana pihak tetapi bergerak atas landasan agama Islam dalam membawa pertuduhan Qazaf terhadap Saiful Bukhari Azlan.

Beliau berkata hanya JAWI harus tampil menjawab persepsi umum bahawa pertuduhan qazaf terhadap Saiful tidak diteruskan bagi melindungi kredibiliti beliau sebelum perbicaraan Anwar bermula di Mahkamah Sivil pada 25 Januari ini.

Ini kerana jika di sabit atas tuduhan qazaf, kredibiliti dan keterangan Saiful tidak sama sekali boleh diterima di sisi Islam, kata Kamar.

Beliau berkata Islam amat tegas berhubung tuduhan zina atau liwat sehingga yang menuduh tidak boleh mewalikan pernikahan anaknya.

Peguam berkenaan menzahirkan rasa hairan atas sikap JAWI berpeluk tubuh terhadap aduan qazaf terhadap Saiful sejak Julai 2008.

“Kali terakhir saya menerima surat daripada Jawi ialah pada Jun lalu dan mereka mengatakan siasatan masih dijalankan. Kami sudah beberapa kali menghantar surat untuk mendapatkan status siasatan tetapi tidak ada respon dari Jawi,” kata Kamar.

“Siasatan sepatutnya sudah selesai tetapi saya amat hairan mengapa Jawi membisu sehingga kini?” tanya beliau.

Kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) perlu mendaulatkan sistem perundangan Islam dengan mendahulukan isu qazaf bagi memastikan hak umatnya, terjamin.

Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama KEADILAN, Dr Muhammad Nur Manuty berkata, qazaf adalah hak kewajipan seseorang untuk mempertahan diri dari dicemari dan dihina.

Beliau kesal kerana isu qazaf dipolitikkan kerajaan Umno-BN, maka kebenaran tidak terjelma sedangkan ia perlu didaulat dan ditegakkan.

“Kes qazaf yang diminta Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim di mahkamah syariah, sudah lama dan berpanjangan,” katanya kepada Suara Keadilan.

Najib Akan Disiasat Oleh Polis Perancis?

Isu pembunuhan Altantuya Shariibuu dan dakwaan rasuah dalam pembelian kapal selam Scopene terus menghantui Perdana Menteri dengan pihak berkuasa Perancis berkemungkinan memanggil beliau untuk memberi keterangan.

Sumber-sumber mengesahkan sebuah laporan polis akan dibuat di Paris tidak lama lagi bagi menyiasat tuduhan RM540 juta dibayar kepada syarikat kroni Datuk Seri Najib Razak ( gambar ) oleh sebuah syarikat Perancis untuk pembelian kapal selam itu.

Ini berikutan keengganan pihak berkuasa Malaysia, termasuk polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertindak telus menyiasat dakwaan itu walaupun pelbagai bukti di ketengahkan sejak beberapa tahun lalu, ketika Najib masih Menteri Pertahanan.


Menurut sumber berkenaan semua dokumen dan laporan mengenai kematian Altantuya serta dakwaan rasuah berhubung pembelian dua kapal selam oleh kerajaan Malaysia sudah diserahkan kepada dua peguam Perancis.

"Kedua-dua peguam tersebut tiba di Malaysia kira-kira tiga minggu lalu untuk berbincang mengenai laporan polis yang akan dibuat di Paris tidak lama lagi,” kata sumber berkenaan.

"Pihak kami sudah serahkan semua dokumen termasuk keratan akhbar dan laporan media mengenai isu pembunuhan Altantuya dan Scopene,” tambah beliau.

Altantuya adalah bekas kekasih Abdul Razak Baginda yang dikaitkan dengan syarikat Peri Mekar. Syarikat itu dilaporkan menerima RM540 juta daripada pembekal kapal selam berkenaan menerusi perjanjian yang direstui oleh Najib.

Abdul Razak adalah kenalan rapat Najib malah pernah bertindak sebagai penasihat kepada beliau.

Altantuya mati dibom pada tahun 2006 apabila beliau dikatakan tiba di Malaysia untuk menuntut komisyen USD500,000 dari hasil penjualan kapal selam itu.

Razak dibebaskan dari tuduhan bersubahat membunuh Altantuya tetapi dua pegawai polis disabit kesalahan atas tuduhan itu dan dihukum gantung.

Seorang penyiasat persendirian P Balasubramaniam yang di upah oleh Abdul Razak membuat perakuan bersumpah mengesahkan bahawa Razak sendiri memberitahunya Najib mempunyai hubungan dengan Altantuya .

Bala kini berlindung di luar negara tetapi sanggup memberi keterangan kepada SPRM dengan syarat disoal siasat di negara ketiga kerana bimbangkan keselamatannya jika kembali ke Malaysia. Tawaran itu tidak disahut SPRM.

Bala sebelum ini turut mendedahkan adik Perdana Menteri, Nazim Razak mengugut beliau untuk menarik balik akuan bersumpah mengaitkan Najib Razak dengan kes Altantuya. -FMT

Mahkamah Tangguhkan Kuatkuasa Benarkan Penggunaan Kalimah Allah

Seperti yang GB telah ramalkan di SINI, Mahkamah Tinggi sebentar tadi menangguhkan pelaksanaan perintah membenarkan akhbar mingguan Katolik, Herald, menggunakan perkataan "Allah" berikutan persetujuan pihak-pihak terlibat demi kepentingan negara.

Lazimnya, apabila sesuatu kes itu ada kaitan dngan UMNO, maka apabila keputusan itu dirayu di Mahkamah Rayuan, keputusan di Mahkamah Tinggi akan diterbalikkan.

Dan sementara menunggu rayuan, Kementerian Dalam Negeri memohon bagi penangguhan perintah mahkamah yang membenarkan akhbar mingguan Katolik, Herald menggunakaan perkataan Allah.

Kita sudah pun dapat menerka jawapan hakim nanti


Hakim Datuk Lau Bee Lan mendengar permohonan itu pada kira-kira 2.30 petang tadi.

Beliau mengeluarkan keputusan kebenaran kepada Herald Khamis lalu.

Andi memberitahu pemberita, sijil kesegeraan turut difailkan bersama-sama notis itu bagi mendapatkan tarikh pendengaran awal.

Dalam notis itu, Kementerian Dalam Negeri dan Kerajaan dinamakan sebagai responden.

Peguam Kanan Persekutuan Andi Razalijaya A. Dadi memfailkan notis penangguhan di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi.

Andi berkata sijil itu difailkan kerana kes itu kini menjadi tumpuan awam dan melibatkan isu sensitive disamping menyentuh soal keselamatan negara.

“Kami (responden) memerlukan penangguhan sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan. Jika rayuan itu memihak kepada kami, penangguhan itu tidak berguna lagi,” kata Andi.

Pada Isnin, kementerian itu mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan itu.

Pada 31 Dis lepas, Hakim Lau memutuskan berdasarkan Perkara 11 dan 12 Perlembagaan Persekutuan, majalah Herald berhak menggunakan perkataan itu untuk tujuan tunjuk ajar dan pendidikan bagi penganut agama Kristian.

Beliau juga berkata mengikut Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan, adalah menjadi satu kesalahan bagi bukan Islam menggunakan perkataan “Allah” untuk menyebarkan agama itu kepada orang Islam tetapi bukan satu kesalahan bagi bukan Islam menggunakan perkataan itu kepada bukan Islam bagi tujuan keagamaan.

Herald, yang diterbitkan dalam empat bahasa, telah menggunakan perkataan ‘Allah’ sebagai terjemahan bagi ‘God’ dalam bahagian bahasa Malaysia.


KDN Berjaya Tangguh Guna Nama Allah
Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan permohonan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menangguhkan keputusan membenarkan mingguan Katholik - Herald - menggunakan kalimah Allah.

Hakim Lau Bee Lan membenarkan permohonan tersebut sementara menunggu perbicaraan rayuan KDN terhadap keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi Khamis lalu.

Peguam bagi pihak mingguan berkenaan tidak membantah permohonan tersebut atas kepentingan nasional.

Permohonan tersebut didengar dalam kamar hakim. Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail mewakili KDN manakala Derek Fernandez dan Benjamin Dawson mewakili Herald.

"Kami membuat permohonan dan peguam yang mewakili Gereja Katholik bersetuju dengan penangguhan tersebut, atas kepentingan nasional," kata Abdul Gani.

Fernandez bersetuju bahawa pihak gereja bersetuju dengan pemohonan peguam negara itu.

Bagaimanapun, katanya, orang ramai hendaklah berhenti daripada terus membuat komen mengenai keputusan berkenaan.

"Kami (Roman Katholik) adalah orang yang cintakan keamanan dan komen (yang tidak baik) adalah tidak wajar," katanya.

"Kami mahu peguam negara mengambil tindakan terhadap individu-individiu yang membuat kenyataan yang tidak bertanggungjawab," katanya.

Turut hadir ialah editor Herald Father Lawrence Andrew yang bertemu dengan Abdul Gani dalam bilik saksi sebelum permohonan itu didengar.

Dalam keputusannya pada 31 Disember, Hakim Lau membenarkan Herald menggunakan perkataan Allah dalam seksyen bahasa Malaysia.

Keputusan itu telah mencetuskan bantahan umat Islam yang berpendapat bahawa kalimah 'Allah' adalah ekslusif untuk Islam sahaja.

Sementara itu, Hakim Lau juga menolak permohonan enam Majlis Agama Islam dan Persatuan Cina Muslim Malaysia (Magma) untuk berhujah dalam permohonan KDN itu.

Enam Majlis Agama Islam itu adalah dari Wilayah Persekutuan, Selangor, Kedah, Terengganu, Melaka dan Johor.

Dalam perbicaraan sebelum ini, Hakim Lau telahpun menolak permohonan mereka untuk menjadi pencelah dalam kes berkenaan.

Enam majlis tersebut dan Magma juga turut memfailkan ratyuan terhadap keputusan Hakim Lau menolak permohonan mereka menjadi pencelah serta keputusannya yang memihak kepada Herald -TVS


Ulasan GB

Dan di dalam satu ulasan yang lain, GB menyatakan:

Esok, berkemungkin keputusan yang ditetapkan oleh Mahkamah Tinggi akan diterbalikkan oleh mahkamah Rayuan, dan bersorak sorailah Melayu di dalam UMNO dan geng Perpaduang dalam PAS.

Namun setidak-tidaknya PAS telah pun menyuarakan kebenenaran dengan lantang bahawa tidak ada kesalahan untuk sesiapa pun menggunakan kalimah Allah. Sekalipun keputusan Jawatankuasa Lajnah Politik malam tadi mengambil dalil bahawa penggunaan kalimah Allah telah digunakan oleh penganut agama samawi, namun ini tidak bererti bahawa kalimat itu dibataskan hanya untuk mereka, jauh sekali hanya untuk umat Islam.


Barangsiapa yang bergembira dengan penangguhan keputusan mahkamah hari ini dan tidak menyukai keputusan yang dibuat oleh Jawatankuasa PAS Pusat jelas mengingkari adab jemaah dan mengingkari pendirian parti.

Bukankah sepatutnya tindakan disiplin boleh diambil keatas mereka itu?

Hassan Ali Menentang Keputusan Parti

Agama lain tidak boleh guna kalimah Allah: Dr Hasan Ali

SHAH ALAM - Pas Selangor bertegas penggunaan kalimah Allah tidak boleh digunakan oleh penganut agama lain bagi mengelak salah faham umat Islam, kata Pesuruhjaya Pas Negeri, Datuk Dr Hasan Ali.

Menurutnya, penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam memberi tamparan hebat kepada umat Islam.

Beliau memberi amaran kepada pihak yang cuba mengeksploitasi isu itu supaya menghentikan niat mereka.

Enakmen dan fatwa yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa juga tidak mengizinkannya.

“Jika perkataan Allah ini dibenarkan, ia akan mengundang salah tafsir, khususnya dalam kalangan bukan ahli agama, Pas Selangor memberi amaran kepada pihak yang ingin mengambil kesempatan untuk mengeksploitasi isu ini supaya menghentikan niat mereka,” katanya dalam kenyataan kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau menyeru supaya semua ahli Pas bertenang dan tidak mengambil tindakan terburu-buru.

“Pimpinan parti di semua peringkat, ahli dan penyokong diminta tidak mengambil tindakan yang boleh merugikan perjuangan jemaah. Sila rujuk kepada pimpinan negeri sekiranya wujud keraguan terhadap tindakan yang akan diambil,” katanya.

Beliau mencadangkan semua pihak berdoa supaya tindakan yang boleh merugikan umat Islam tidak berjaya. -SH

Ulasan GB

PAS telah pun menyatakn pendiriannya iaitu membenarkan penggunaan kalimah Allah kepada bukn Islam tertutama penganut agama samawi.

Tiba-tiba masih ada pimpinan PAS seperti Hassan Ali yang bertindak melawan keputusan berkenaan seperti berita di atas.

Jawatankuasa Disiplin yang diketuai oleh Tuan Ibrahim Tuan Man tiba-tiba berdiam diri dengan kenyataan Hassan Ali walhal sebelum ini beliau memberikan arahan kepada YB Khalid Samad supaya berhenti keluarkan kenyataan yang kononnya bertentangan dengan pendirian parti (skalipun akhirnya terbukti pendirian parti menyokong kenyataan Khalid).

Dan sepatutnya apabila pendirian parti adalah jelas, maka semua pemimpin dan ahli PAS perlu akur dan tindakan disiplin diambil ke atas mereka yang berindak atau mengeluarkan kenyataan yang bertentangan dengan pendirian yang diambil oleh parti.

GB adalah benar apabila sebelum ini GB menyatakan bahawa Pengerusi JK Disiplin PAS ini adalah tidak professional malah terlalu BIAS. Maka tidaklah keterlaluan juga untuk GB sebelum ini meminta beliau meletakkan jawatan.

Nak bantah apa lagi?

PAS Tampil Sebagai Orang Celik

Apa pun tanggapan orang, saya sangat berpuashati dengan kenyataan rasmi PAS berkaitan isu penggunaan nama Allah. Ada tiga asas penting yang terkandung dalam kenyataan rasmi ini.

Pertama, PAS menghormati kebebasan beragama. Kedua, penggunaan nama Allah oleh Kristian dan Yahudi dibenarkan. Dan ketiga, jangan gunakan pada tempat yang salah.

Tentu yang paling menyerlah ialah kesediaan PAS untuk menjelaskan isu ini kepada sesiapa sahaja untuk menjamin keharmonian rakyat.

Ketiga-tiga asas penting itu serasi dengan ruh Islam dalam hubungan antara agama, serasi dengan Kerangka Dasar Pakatan Rakyat dan serasi juga dengan situasi negara berbilang agama dan bangsa.

Kesediaan PAS menjelaskan isu ini kepada sesiapa sahaja yang keliru boleh diumpamakan seperti ‘kesediaan orang celik memperkenalkan gajah sebenar kepada orang buta’. Orang celik tidak memencilkan orang buta dan orang buta pula tidak terasa dipinggirkan.

Selama ini ramai yang marahkan orang buta kerana memberikan gambaran yang salah mengenai gajah. Ada yang tertawa, ada yang mengejek, ada yang mencebik. Hanya itu yang ramai, tetapi tidak ramai yang menjadi orang celik.

Keagungan nama Allah tetap terpelihara dan peluang untuk melebarkan dakwah juga terbuka luas.

Hanya satu sahaja yang tidak boleh, iaitu menyalahgunakan nama Allah. Bukan sahaja orang Kristian atau Yahudi, orang Islam pun sama. Menyalahguna, antara maksudnya ialah menghina.

Bukan sekadar orang Yahudi atau Kristian tidak boleh menghina Allah, orang Islam sendiri tidak boleh menghina penyembah berhala, bahkan tidak boleh juga menghina berhala itu sendiri.

Berhala yang memang hina itu pun tidak boleh dihina, apatah lagi nama Allah dan zat Allah yang Maha Agung. Allah Azza wa Jalla. Allah Jalla Jalaluh. Allahu Akbar.


Indah benar ajaran Islam. Keindahan Islam bukan sekadar dirasai, dikecapi, dinikmati oleh orang Islam, malah orang bukan Islam juga. Bukankah Islam adalah rahmat untuk semua?

Dilihat dari sudut pandang mana pun, pendirian PAS ini menguntungkan. Ya, menguntungkan Islam, rakyat berbilang agama dan bangsa juga masa depan dakwah Islam di negara ini. Dan, tentunya masa depan politik PAS.

PAS adalah parti politik. Adalah dangkal kalau sebarang keputusan PAS merugikannya dari sudut perkiraan politik. Keuntungan politik kepada PAS adalah keuntungan kepada perjuangan Islam juga.

Tanya Tok Guru Nik Aziz, bolehkah dia melakukan perubahan di Kelantan sekiranya dia tidak memiliki kuasa politik? Begitu juga, bolehkah PAS menampilkan Islam dalam wajah dan rupanya yang tulin jika PAS tidak mengambil kira politik dalam sebarang keputusan dan sikapnya.

Bolehkah PAS mempertahankan keagungan nama Allah dan zat Allah jika tanpa kuasa politik?

Isu nama Allah adalah isu agama. Agama itu apa kalau bukan politik di dalamnya?


Umat Islam menjadi hina bukan kerana mereka tidak bersolat, tidak berpuasa, tidak berhaji, tidak berzakat, tidak berkahwin, tidak berpoligami, tidak…, tetapi mereka menjadi hina kerana mereka kehilangan kuasa politik.

Bukankah itu yang dirakam oleh sejarah dan dapat dilihat kesannya hari ini? PAS kalah dalam pilihanraya bukan kerana orang PAS tidak bersolat, tetapi kerana tidak bijak berpolitik.

Orang PAS mesti ‘bijak’ bersolat dan ‘bijak’ berpolitik. Ya tak ya juga, macam mana boleh berlaku, orang Islam pandai solat tapi tak pandai politik? Pandai puasa tapi tak pandai politik? Pandai haji tapi tak pandai politik? Eh, bukankah ibadah haji ada unsur politik di dalamnya?

Pssst…, saya tunggu dengan sabar kalau ada sesiapa yang teringin nak kutuk saya dengan kiriman ini. -Ust Zorkharnain


Pakatan thumbs-up for PAS over Allah, Dr M spews racial rhetoric

KUALA LUMPUR, Jan 5: Even as ex-premier Mahathir Mohamad ratcheted up the Umno rhetoric against non-Muslims using the word Allah, Pakatan Rakyat leaders gave the thumbs-up to PAS for supporting the use of the word by Christians on the condition that it is not abused or misused inappropriately.

As a way forward, DAP adviser Lim Kit Siang called on Prime Minister Najib Razak to convene an inter-religious dialogue to sort out the controversy, rather than rely on the courts to resolve the sensitive issue, which can easily be twisted by political groups with vested interests.

Lim’s proposal was in sync and follows a similar proposal from PAS spiritual adviser Nik Aziz Nik Mat to Christian leaders to meet for the purpose of finding best-fit solutions.

“The cabinet tomorrow should convene an inter-religious conference to reach an out-of-court settlement of the “Allah controversy” to demonstrate that Prime Minister Datuk Seri Najib Razak’s 1Malaysia policy has meaningful application towards creating inter-religious understanding, goodwill and harmony,” Kit Siang said in his blog.

“In the first place, the Home Ministry should not have imposed the ban on the Herald from using the world Allah in the Catholic weekly publication.”

Consider rules and guidelines

The DAP veteran was referring to last week’s High Court decision to reverse the ministry’s ban on a Catholic magazine, the Herald, from using the word Allah to describe God in its Malay-language section.

Lim also recommended the Umno-BN to heed the advice of former Perlis mufti Dr Asri Zainal Abidin, who had suggested guidelines to protect both Muslims and non-Muslims.

“The former Perlis Mufti suggested reasonable guidelines to avoid the misuse of “Allah”, but at the same time, people should not be denied their rights to mention God’s name, even though they are not of the Muslim faith,” Kit Siang said.

Asri had written in his blog that : “The best thing for a government to do in a multi-racial society is to set reasonable guidelines or rules. I feel that in a country, it is not about emotions, it is about how we manage ourselves with proper rules of conduct. Rules need to be drawn up so that people won’t misuse the name of Allah.”

Even Arab Christians and Sikhs used Allah – the Arabic word for God – in their worship, Asri had pointed out

Yet some still spew hate and distrust

However, despite the widespread dismay felt by non-Muslims throughout the country over the emotional outbursts of several Umno-backed NGOs, who threatened mass protests, former strongman Mahathir was unrepentant. Known for his dictatorial ways, Mahathir has been very vocal against non-Muslims using the word Allah.

Like Kit Siang, he too suggested that Najib, who has filed an appeal against the ruling, should not to rely on the courts to resolve the issue. But instead of recommending dialogue amongst the heads of different religious groups, he urged Najib to wield a stronger hand and use his executive powers.

“This is something sensitive which cannot be resolved by the courts," Mahathir wrote in his blog. "The law does not take into account whether a particular issue is sensitive or otherwise and whether it has the potential to spark tension or animosity between the believers of different faiths."

His posting drew mixed response with some suggesting that he was out of date and should listen to his eldest daughter Marina Mahathir, who has publicly backed the use of Allah by non-Muslims.

“It is not about God belonging to you, rather YOU belong to God,” Marina said in an interview with a news portal. “It is now the 21st century. What is the 21st century Muslim like? Different, or the same as how we were in the past? Sadly, the way we are looking at things right now, I’d say we are the same.”

Mahathir also drew fire from other Pakatan leaders, who blasted him for his divisive comments.

“Umno is obviously politicising the issue to split society and this is dangerous," said Tian Chua, PKR director for strategy. "The stand taken by PAS is shared by Pakatan partners PKR and DAP. It is not a populist stand but one that has been studied in detail by the ulamak and is rooted and backed by theology.”



Ulasan GB

Kenyataan media Presiden PAS yang membenarkan penggunaan nama Allah telah memulihkan imej TGHH di kalangan rakyat terutama bukan-Melayu yang tercemar semenjak isu UG. Pakatan Rakyat melepaskan rasa leganya dengan pendirian PAS itu.

Apabila kita telah kembali kepada panduan Allah dan RasulNya, dan menundukkan pendapat peribadi demi untuk mendekatkan diri kepada panduan Allah dan RasulNya itu, maka Allah akan datang menolong kita.

Maka tertinggal dan tercicirlah geng perpaduang yang lain yang ". aya, Dia banyak degil encikk… dia punya kepala batu besar ada duduk …dia tak boleh dengar saya cakap encik....".

Isu Kalimat Allah, Permohonan Tangguh Arahan Mahkamah Didengar Petang Ini

Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas) menetapkan hari ini untuk mendengar permohonan Kementerian Dalam Negeri bagi penangguhan perintah mahkamah yang membenarkan akhbar mingguan Katolik, Herald menggunakaan perkataan Allah.

Timbalan Pendaftar Nik Isfahanie Abd Rahman menetapkan tarikh itu selepas Peguam Kanan Persekutuan Andi Razalijaya A. Dadi memfailkan notis penangguhan di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi sekitar tengah hari, semalam.

Hakim Datuk Lau Bee Lan (gambar) akan mendengar permohonan itu pada kira-kira 2.30 petang.

Beliau mengeluarkan keputusan kebenaran kepada Herald Khamis lalu.

Andi memberitahu pemberita, sijil kesegeraan turut difailkan bersama-sama notis itu bagi mendapatkan tarikh pendengaran awal.

Dalam notis itu, Kementerian Dalam Negeri dan Kerajaan dinamakan sebagai responden.

Andi berkata sijil itu difailkan kerana kes itu kini menjadi tumpuan awam dan melibatkan isu sensitive disamping menyentuh soal keselamatan negara.

“Kami (responden) memerlukan penangguhan sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan. Jika rayuan itu memihak kepada kami, penangguhan itu tidak berguna lagi,” kata Andi.

Pada Isnin, kementerian itu mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan itu.


Pada 31 Dis lepas, Hakim Lau memutuskan berdasarkan Perkara 11 dan 12 Perlembagaan Persekutuan, majalah Herald berhak menggunakan perkataan itu untuk tujuan tunjuk ajar dan pendidikan bagi penganut agama Kristian.

Beliau juga berkata mengikut Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan, adalah menjadi satu kesalahan bagi bukan Islam menggunakan perkataan “Allah” untuk menyebarkan agama itu kepada orang Islam tetapi bukan satu kesalahan bagi bukan Islam menggunakan perkataan itu kepada bukan Islam bagi tujuan keagamaan.

Herald, yang diterbitkan dalam empat bahasa, telah menggunakan perkataan ‘Allah’ sebagai terjemahan bagi ‘God’ dalam bahagian bahasa Malaysia.

Perkataan ‘Allah’ digunakan secara meluas di kalangan pelbagai etnik beragama kristian di Sabah dan Sarawak, kebanyakan mereka bertutur dalam bahasa Malaysia.

Kementerian Dalam Negeri memberikan justifikasi bagi larangan penggunaan perkataan itu oleh majalah itu atas alasan demi keselamatan negara dan mengelakkan salah faham dan kekeliruan di kalangan orang Islam.

Ulasan GB

Lazimnya, apabila sesuatu kes itu ada kaitan dngan UMNO, maka apabila keputusan itu dirayu di Mahkamah Rayuan, keputusan di Mahkamah Tinggi akan diterbalikkan.

Dan sementara menunggu rayuan, Kementerian Dalam Negeri memohon bagi penangguhan perintah mahkamah yang membenarkan akhbar mingguan Katolik, Herald menggunakaan perkataan Allah.

Kita sudah pun dapat menerka jawapan hakim nanti.

Diskusi Amin Iskandar Mengenai Allah

Satu ketika dahulu semasa saya masih lagi di bangku sekolah rendah, dalam kelas Pendidikan Islam, ustazah sering menyuruh kami sekelas berzikir 99 nama-nama Allah yang juga dikenali sebagai Asma ul Husna.

Secara kebetulan pada ketika itu jika menonton televisyen, sebelum masuk waktu Maghrib, zikir Asma ul Husna seringkali dimainkan. Rasa tenang jiwa apabila mendengarkan zikir 99 nama-nama Allah tersebut.

Tidak tahu pula sama ada masih ada zikir Asma ul Husna dimainkan di televisyen sebelum waktu Maghrib masakini oleh kerana saya sendiri sudah lama tak menonton televisyen.

Pada 31 Disember 2009, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah membuat keputusan untuk mengenepikan larangan Kementerian Dalam Negeri (KDN) terhadap penggunaan perkataan “Allah” oleh akhbar “The Herald” terbitan gereja Katolik.

Keputusan ini mengundang pelbagai reaksi. Ahli Parlimen Kulim Bandar Baru, YB Zulkifli Noordin mengumpamakan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur itu seperti kes Natrah yang berlaku pada tahun 1950an dulu.

“Keputusan itu mengingatkan saya kembali kepada kes Natrah @ Maria Hertough pada tahun 1950 dimana Mahkamah penjajah Inggeris dimana Hakimnya yang bukan Islam telah, dalam keputusannya membatalkan keislaman Natrah dan perkahwinannya kepada Almarhum Mansor Adabi, langsung tidak mengambil kira perundangan syariah dan sensitiviti umat Islam semasa itu. Akhirnya tercetuslah rusuhan dan huru hara yang tidak membawa menafaat kepada sesiapa pun”. (zul4kulim.blogspot.com)

Ketua Pembangkang negeri Selangor, Datuk Seri Dr Khir Toyo menganggap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur itu sebagai padah akibat daripada perpecahan orang-orang Melayu dari segi politik. Malahan Dr Khir turut menggangap keputusan mahkamah tersebut sebagai mengenepikan hak agama Islam sebagai Agama Persekutuan.

“Keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan pendakwah Kristian di negara ini menggunakan nama Allah sebagai terjemahan daripada ‘God’ dalam risalah dakwah berbahasa Melayu mereka sangat menyedihkan dan pada hemat saya mengenepikan kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan.

“Sungguhpun masih ada ruang rayuan, namun keputusan ini menunjukkan satu isyarat kepada orang Melayu dan Islam bahawa segala status quo orang Melayu dan agama Islam di negara ini boleh berubah pada bila-bila masa bila ada orang Islam sendiri menjadi pengkhianat dan menyokong kumpulan yang mahu melemahkan kedudukan Islam di negara ini”. (www.drkhir.com)

Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat menyifatkan tidak salah bagi penganut agama Samawi bagi menggunakan kalimah Allah. Akan tetapi beliau bimbang jika perkataan “Allah” disalahgunakan oleh pihak-pihak tertentu. Oleh itu beliau mencadangkan agar pimpinan Islam mengadakan rundingan dengan pemimpin agama Kristian mengenai isu tersebut.

Ahli Parlimen Shah Alam, YB Khalid Samad mengatakan bahawa Al-Quran sendiri mempunyai banyak ayat-ayat yang menunjukkan bahawa orang bukan Islam menggunakan perkataan “Allah” apabila memaksudkan Tuhan semesta alam.

“Al-Quran sendiri mempunyai banyak ayat-ayat yang menunjukkan bahawa orang bukan Islam, samada golongan musyrikin, Yahudi mahupun Nasrani menggunakan perkataan ‘Allah’ apabila mereka memaksudkan Tuhan semesta alam. Maka, sekiranya kita ingin menentukan hukum berhubung persoalan ini, Al-Quran adalah rujukan pertama. Sekiranya Al-Quran sendiri mengiyakannya, bagaimana kita hendak menafikannya? Di mana hendak kita simpan ayat-ayat yang mengatakan orang bukan Islam juga menggunakan perkataan Allah untuk memaksudkan Tuhan semesta alam seperti ‘Wa Kaalatil Yahudu Uzair ibnu Llah’ yang bermaksud ‘Dan berkata orang-orang Yahudi Uzair adalah anak Allah’?” (www.khalidsamad.com).

Bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyatakan bahawa tidak salah jika manusia ingin memanggil Tuhan dengan nama Allah oleh kerana Allah adalah tuhan yang sebenar. Akan tetapi beliau tidak bersetuju jika berhala dinamakan Allah.

“Ya, manusia memang patut memanggil Tuhan dengan panggilan Allah. Itulah Tuhan yang sebenar. Sebelum kedatangan Nabi Muhammad SAW pun, nama Allah telah digunakan untuk memanggil Tuhan. Namun meletakkan nama tersebut dengan tujuan menghina adalah patut ditentang. Ini seperti jika menulis nama Allah pada berhala”. (www.drmaza.com)

Setelah membaca pandangan-pandangan daripada ahli-ahli politik dan bekas mufti, saya cuba untuk mendapatkan pandangan-pandangan daripada dua orang anak muda Melayu-Islam yang mempunyai latarbelakang pendidikan dan profession yang berbeza.

Yang pertama ialah Kharis Idris, anak muda berkelulusan universiti tempatan yang kini bekerja sebagai Pengarah kepada My Future Foundation.

Amin Iskandar: Pandangan saudara mengenai keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan penggunaan perkataan Allah oleh penerbitan Katolik, The Herald?

Kharis Idris: Ini satu hal yang “trivial” serta remeh mengenai teknikal bahasa dan bukannya keagamaan. Allah merupakan terjemahan Arab untuk Tuhan. God merupakan terjemahan English untuk Tuhan. Di negara timur tengah, penganut-penganut Kristian juga menggunakan Allah bagi merujuk kepada Tuhan. Malahan turut menggunakan perkataan “Sabda”.

Di Indonesia juga Allah diterima sebagai rujukan kepada Tuhan bagi penganut agama Kristian. Sebenarnya tidak ada masalah dalam isu ini melainkan penguasa Islam di Malaysia tidak bermuzakarah dengan Melayu-Islam di sini supaya Islam itu menuju kearah progresif dalam era globilasasi.

Ini adalah masalah utama Umat Islam di Malaysia. Seringkali terperangkap dengan perkara yang remeh temeh. Bila orang bukan Islam menggunakan kalimah Allah, mereka marah. Bila anak muda sambut tahun baru, mereka marah dan mengatakan bahawa itu adalah tahun baru orang kafir. Akan tetapi Umat Islam di Malaysia masih lagi mengamalkan rasuah, merompak, merogol dan membunuh. Sepatutnya perkara yang lebih besar begini yang patut dibisingkan.

Amin Iskandar: Keputusan Mahkamah Tinggi tersebut telah menimbulkan kemarahan segelintir pihak. Zulkifli Nordin, Ahli Parlimen PKR menyifatkan keputusan mahkamah itu umpama isu Natrah yang menyinggung sensitiviti umat Islam. Tun Dr Mahathir, Khir Toyo dan Mukriz Mahathir juga menentang keputusan mahkamah ini secara terbuka dan menyifatkan keputusan mahkamah tersebut sebagai tidak peka kepada perasaan Umat Islam di Malaysia. Apa komen saudara?

Kharis Idris: Soal sensitiviti dan kononnya tidak mahu umat Islam di negara ini keliru bukanlah perkara pokok. Perkara ini perlu di ambil langkah yang rasional dan penerangan yang terperinci perlu dilakukan.

Bukan dengan cara mengharamkan atau membuat sekatan apabila terdapat isu sebegini. Tindakan ini akan menyebabkan umat Islam lebih keliru. Tidak perlu kenyataan dari ahli politik kerana ianya menjurus kepada mempolitikkan keadaan.

Amin Iskandar: Sebagai seorang anak muda Melayu-Islam professional, apa yang saudara ingin jelaskan kepada masyarakat terutamanya majoriti orang-orang Melayu mengenai penggunaan perkataan “Allah” bagi bukan Islam?

Kharis Idris: Penerangan dan diskusi mengenai sejarah penggunaan perkataan “Allah” perlu dilakukan. Golongan muda perlu menjadi lebih rasional dan bukannya emosional disamping perlunya menjadi orang yang berpengetahuan dan bukannya hanya melatah seperti golongan tua. Dunia sedang memerhatikan dan mungkin juga sedang ketawa melihat Muslim di Malaysia membesar-besarkan isu remeh temeh sebegini.

Berikut pula adalah pandangan daripada Zulhazry Mohd Yusoff, seorang graduan daripada Timur Tengah yang fasih berbahasa Arab. Beliau kini berkerja sebagai penterjemah di sebuah negara di Timur Tengah.

Amin Iskandar: Beberapa hari lalu, Mahkamah Tinggi telah membuat keputusan bahawa larangan Kementerian Dalam Negeri (KDN) terhadap penggunaan perkataan ‘Allah’ adalah tidak sah. Dengan ini akhbar The Herald dalam versi Bahasa Melayunya dibenarkan untuk menggunakan perkataan “Allah” sebagai terjemahan kepada “God” atau Tuhan. Apa komen saudara?

Zulhazry Mohd Yusoff: Perkataan Allah itu sebenarnya pun bukan milik bahasa Melayu jadi apakah hak Kementerian Dalam Negeri untuk menafikan hak satu pihak lain untuk menggunakan perkataan Allah?

Faktor utama ialah terjemahan God itu sendiri tapi apakah Allah itu merujuk kepada Allah bagi orang Islam? Itu secara umum jika kita merujuk sudut terjemahan. Ia hanya sekadar terjemahan maksud tetapi bukannya makna.

Allah di dalam Bible merujuk kepada Father, Son and Holy Spirit, manakala Allah di dalam Al Quran pula merujuk kepada Allah Yang Esa, yang juga mempunyai 99 nama yang lain. Sangat mudah, bagi yang faham atau pun bagi mereka yang tidak faham langsung.

Amin Iskandar: Keputusan Mahkamah Tinggi tersebut telah menimbulkan kemarahan segelintir pihak. Zulkifli Nordin, Ahli Parlimen PKR menyifatkan keputusan mahkamah itu umpama isu Natrah yang menyinggung sensitiviti umat Islam. Tun. Dr. Mahathir, Khir Toyo dan Mukriz Mahathir juga menentang keputusan mahkamah ini secara terbuka dan menyifatkan keputusan mahkamah tersebut sebagai tidak peka kepada perasaan Umat Islam di Malaysia. Apa komen saudara?

Zulhazry Mohd Yusoff: Mengapa umat Islam di Malaysia harus tersinggung sedangkan perkataan Allah itu bukan hak milik mutlak orang Islam, apatah lagi bangsa Melayu.

Mungkin mereka merasakan, jika God diterjemah sebagai Allah, maka ia seperti merampas Allah atau pun memaksa mereka berkongsi Allah sedangkan itu sudah merujuk kepada sudut akidah dan perinciannya secara ringkas kita tidak berkongsi apatah lagi Tuhan kita dirampas.

Perlu diingat, Yahudi, Nasrani dan Islam adalah tiga agama langit dan kita berkongsi pelbagai perkara yang melibatkan para Rasul, akidah, ibadat dan sebagainya.

Jika sekiranya kita sensitif dengan isu ini, bagaimana pula dengan terjemahan Jesus yang merujuk kepada Nabi Isa a.s? Sewajarnya Nasrani mempunyai hak ke atas “perkataan” Isa kerana Injil diturunkan terlebih dahulu sebelum Al Quran.

Jangan samakan dengan isu Natrah kerana ia melibatkan rampasan fizikal dan akidah seorang makhluk. Jangan sombong dan bongkak, kerana agama Islam bukan milik orang Melayu sahaja dan bahasa Arab juga bukan milik orang Islam sahaja.

Amin Iskandar: Dikatakan bahawa gereja-gereja di Lubnan dan Mesir menggunakan perkataan “Allah” merujuk kepada tuhan. Apakah pernah timbul bantahan daripada Umat Islam disana? Apakah Umat Islam disana pernah terkeliru dengan penggunaan Allah sebagai tuhan bagi penganut Kristian?

Zulhazry Mohd Yusoff: Sepanjang pengetahuan saya, belum pernah timbul sebarang bantahan yang melibatkan isu perkataan ini. Mereka faham, ia adalah bahasa Arab, jadi ia bukan milik mutlak umat Islam, kerana bahasa Arab itu sudah wujud sebelum kedatangan Nabi Muhamad s.a.w lagi.

Kekeliruan juga rasanya tidak pernah timbul kerana ia seperti mendengar seorang penganut Kristian memberikan salam yang menjadi satu perkara normal di Jordan, Lebanon, Syria dan Mesir. Apatah lagi mereka memang berbahasa Arab, jadi tiada sebab mereka melihat menyebut Allah itu sebagai sesuatu yang meragukan.

Jika yang berucap ketika sambutan Hari Natal itu seorang paderi, maka Allah itu bukanlah merujuk kepada Tuhan umat Islam. Begitulah sebaliknya. Jadi, jika kamu membaca akhbar The Herald dan bertemu dengan perkataan Allah, maka kamu perlu tahu bahawa itu adalah penerbitan milik Kristian dan sudah pasti ia tidak merujuk kepada Allah Yang Esa.

Amin Iskandar: Apakah nasihat saudara kepada Umat Islam di Malaysia berhubung dengan penggunaan perkataan “Allah” bagi penganut Katolik dalam penerbitan The Herald dalam bahasa Melayu?

Zulhazry Mohd Yusoff: Jangan menyalahkan orang lain atas kelemahan diri kita sendiri. Saya faham jika umat Islam di Malaysia bimbang sekiranya “Allah” itu terpaksa dikongsi dengan Kristian dan sekaligus akan menyebabkan kekeliruan pembaca, khususnya mereka yang kurang arif dengan ilmu agama, walaupun secara asas.

Mereka bimbang dengan Kristianisasi, mereka bimbang sekiranya selepas ini dakwah Kristian akan lebih mudah disebarkan seiring dengan penerbitan berbahasa Melayu, apatah lagi perkataan Allah digunapakai untuk merujuk kepada terjemahan God.

Sebenarnya begini, mengapa tidak umat Islam di Malaysia, pihak yang berwajib dalam bidang agama Islam di Malaysia, mencermin diri sendiri terlebih dahulu. Mengapa mereka tidak memperluaskan dakwah Islam itu secara lebih intensif dan komprehensif.

Bagaimana pendekatan mereka dalam membawa umat Islam kembali semula kepada ajaran Islam yang sebenar dan bukan sekadar taklid, bukan sekadar agama yang diwarisi. Jika pemahaman umat Islam telah sekian lama kukuh, pasti tidak timbul isu-isu sebegini. Jika mereka boleh menerbitkan risalah dakwah di dalam Bahasa Melayu, mengapa tidak kita terbitkan seribu risalah dakwah dalam bahasa Inggeris, Tamil, Mandarin dan sebagainya?

Terjemahan Al Quran yang mahu dibuat di dalam bahasa Iban pun ditolak, kumpulan saudara baru dibiarkan tanpa perhatian sehingga mereka kembali semula kepada agama asal, penerapan konsep tajdid (pembaharuan) di dalam Islam juga ditolak dan pelbagai karenah birokrasi lain. Mereka hanya berkokok ketika isu sebegini muncul sedangkan pada waktu lain, ketika mereka sepatutnya aktif mendepani pembangunan rohani umat Islam di Malaysia, suara mereka langsung tidak kedengaran.

Begitulah serba sedikit pandangan-pandangan mengenai isu Allah. Cadangan saya, jika ada orang-orang Islam yang marah atau merasa terancam dengan penganut agama Katolik menggunakan perkataan Allah, mulakanlah memenuhkan masjid dan surau pada setiap waktu solat. Terutamanya solat Subuh.

Begitu juga solat Zohor, Asar, Maghrib dan Isyak. Jangan biarkan masjid hanya penuh pada solat Jumaat. Adalah satu pembaziran membiarkan masjid dan surau kosong dan marah apabila kerajaan tak buat masjid dan surau. Jika umat Islam di Malaysia sentiasa memenuhkan masjid pada setiap waktu solat, maka itu adalah satu isyarat bahawa Islam itu kuat di Malaysia. Jika ini tidak dapat dilakukan, tok sahlah nak marah-marah. Lebih baik baca buku dan cari guru serta belajar lebih mendalam mengenai Allah. -Amin Iskandar

Lawan Sampai Ke Penghujung: Pegawai SPRM Diusul Supaya Dikenakan Tindakan Hina Mahkamah

Abang kepada mendiang Teoh Beng Hock, Teoh Meng Kee, hari ini memfailkan usul supaya seorang pegawai Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM), Raub Ghani dikenakan tindakan menghina mahkamah.

Notis usul itu difailkan melalui firma guaman Tetuan Karpal Singh & Company di pejabat Pendaftar Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Peguam Karpal Singh ketika ditemui pemberita selepas memfailkan notis usul itu berkata, usul itu difailkan kerana mendakwa Raub (dlm gambar, Raub seblh kiri) telah menghina mahkamah melalui laporan polis yang dibuatnya terhadap ahli patologi dari Thailand, Dr Pornthip Rojanasunand, seorang daripada saksi dalam inkues kematian Beng Hock.

"Kami memohon perintah bagi (Raub) dikenakan tindakan menghina mahkamah kerana dalam laporan polis itu, beliau mengesyaki Dr Pornthip telah membongkar maklumat mengenai bedah siasat kedua (ke atas Beng Hock). Pada pendapat kami, itu adalah perbuatan cuba menakut-nakutkan saksi kami.

"Kami meminta Mahkamah Koroner menggunakan bidang kuasanya untuk menghukum Raub Ghani bagi menghina mahkamah atau alternatifnya memberikan surat tunjuk sebab kenapa beliau tidak boleh dikenakan tindakan menghina mahkamah," katanya.

Beliau berkata, permohonan itu dibuat mengikut Perkara 26, Jadual Ketiga Akta Mahkamah-mahkamah Rendah 1948.

Karpal berkata, Dr Pornthip perlu dibenarkan memberikan keterangan tanpa sebarang ancaman daripada mana-mana pihak.

"Kami panggil beliau (Dr Pornthip) datang ke sini dan tidak akan tunduk kepada sebarang ancaman, kami akan berikan perlindungan sepenuhnya kepadanya bagi memastikan beliau dapat memberikan keterangan di mahkamah dan biar mahkamah buat keputusan," katanya.

Dalam afidavit yang disertakan dalam notis usul itu, Meng Kee, 34, berkata pada 1 Januari lalu, Raub dari Jabatan Penyiasatan SPRM Putrajaya telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam terhadap Dr Pornthip.

Katanya, Raub di dalam laporannya berkata beliau mengesyaki Dr Pornthip telah membongkar maklumat mengenai bedah siasat kedua Beng Hock yang dijalankan pada 22 November tahun lalu kepada pihak-pihak yang tidak sah.

Meng Kee turut memohon supaya mahkamah mengarahkan Peguam Negara untuk membuat laporan polis terhadap Raub untuk didakwa mengikut Seksyen 5 Akta Melarikan Orang dan Mengugut Saksi Secara Jenayah 1947, di mana jika sabit kesalahan pesalah boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun.

Beng Hock, 30, setiausaha politik kepada Exco kerajaan negeri Selangor, Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai tahun lalu di tingkat lima, Plaza Masalam, Shah Alam, selepas memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor yang terletak di bangunan sama.

Inkues kematian Beng Hock dijadual bersambung Khamis ini. - Bernama