5 Jun 2016

PAS Kembali Ke Asalnya, Hidupkan Semula Budaya Takfiri

KEBIMBANGAN DENGAN UCAPAN PENGGULUNGAN PRESIDEN PAS DALAM MUKTAMAR 2016

Saya terpanggil untuk menulis dan meluahkan pandangan saya apabila membaca ucapan penggulungan Presiden Pas di Muktamar Pas 2016, yang bagi saya telah mencapai tahap melampau dan bakal membawa Pas kepada sebuah parti politik yang berideologi pelampau dan ekstrim.

Arwah ayah saya, seorang ahli Pas tegar tetapi berjaya mendidik 9 orang anak-anak beliau serta menjadi seorang ikon Imam Rakyat yang disukai rakyat pelbagai lapisan masyarakat, bangsa dan pegangan politik, tidak pernah mengajar saya menjadikan parti Pas seperti sebuah agama. Saya tidak pernah dengar dari mulut beliau dalam mendidik saya, bahawa kalau keluar Pas sama seperti hilang aqidah. Apa yang menyedihkan saya hari ini, ianya keluar dari mulut seorang Presiden parti politik yang mahu perjuangkan Islam.