14 Jul 2010

MB Selangor Cabar Menteri Budak Sekolah Tangkap Pencuri Pasir

MB: TPM subahat jika tak tangkap pencuri pasir

Selangor telah menghantar surat kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memohon kerjasama timbalan perdana menteri itu dalam menangani isu kecurian pasir di negeri itu, kata menteri besarnya Tan Sri Khalid Ibrahim.

Katanya, surat yang sama telah dihantar hari ini kepada menteri dalam negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein, ketua polis negara Tan Sri Musa Hassan, peguam negara Tan Sri Abdul Gani Patail serta ketua polis negeri Datuk Khalid Abu Bakar.

"Saya telah hantar surat kepada timbalan perdana menteri untuk jelaskan isu kecurian pasir di Selangor dan jemput beliau dan agensi kerajaan persekutuan untuk perangi jenayah ini.

Tambahnya, turut disertakan dalam surat tersebut ialah laporan polis yang dibuat oleh kerajaan negeri berhubung kegiatan tersebut, serta penjelasan mengenai langkah-langkah yang telah dijalankan Selangor dalam menangani isu berkenaan.

"Saya juga telah sertakan semua maklumat mengenai kegiatan curi pasir yang telah diperolehi Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) supaya timbalan perdana menteri dan agensi persekutuan seperti polis dapat membuat tindakan sewajarnya.

"Sebab dalam berita dia kata 'bila kita tahu siapa terlibat, kita akan tangkap.' Jadi sekarang kita telah beri maklumat ini kepada beliau.

"Kalau dia tidak tangkap, dia bersubahat dengan pencuri pasir pula," katanya dalam satu sidang media selepas persidangan DUN Selangor hari ini.

Jelasnya, dalam surat berkenaan juga beliau menjelaskan bahawa usaha yang dijalankan kerajaan negeri itu termasuk menubuhkan satu jawatankuasa khas diketuai setiausah kerajaan negeri.

Satu lagi langkah yang diperkenalkan ialah menawarkan ganjaran kepada orang ramai yang membantu dalam usaha menahan penjenayah berkenaan.

Khalid berkata sistem yang diamalkan Selangor sekarang berjaya meningkatkan hasil pasir daripada RM2.9 juta pada 2007 kepada RM6.3 juta pada 2008.

Katanya, jumlah tersebut semakin meningkat kepada RM5.4 juta pada 2009 dan RM10.3 juta setakat Jun tahun ini.

Menurutnya lagi, sebagai langkah susulan, beliau juga akan mengumumkan senarai individu yang diberikan lesen melombong pasir oleh kerajaan BN sebelum ini.

Jelasnya, walaupun langkah tersebut diketahui tidak akan disenangi beberapa pihak, namun ia perlu dilakukan bagi membolehkan individu tersebut dinilai sama ada mereka layak menerima lesen berkenaan.

Ujarnya, beliau juga berharap pemimpin Umno tidak hanya menimbulkan isu kecurian pasir bagi tujuan politik.

"(Saya) berharap agar dokumen yang diberikan adalah memadai untuk timbalan perdana menteri memberi arahan kepada pihak berkuasa untuk bertindak secara profesional. -mk



Kepil Maklumat Curi Pasir, Khalid Cabar Muhyiddin Selesai Isu Pasir

Kerajaan Selangor sudah menghantar surat kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi menjelaskan isu curi pasir di Selangor serta menjemput beliau dan agensi persekutuan untuk memerangi jenayah ini.

Salinan surat itu dihantar kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, Ketua Polis Negeri Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar dan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail.

Khalid berkata, surat yang dihantar ini kepada kedua-dua pemimpin Umno menyatakan penjelasan bahawa kejadian curi pasir ini berlaku secara berleluasa sebelum 2008 ketika Selangor diperintah Barisan Nasional (BN).

"Kerajaan negeri sekarang membuat pelbagai usaha termasuk menubuhkan satu jawatankuasa khas yang diketuai oleh Setiausaha Kerajaan Negeri serta menawarkan ganjaran kepada orang ramai yang menolong menangkap penjenayah terlibat.

"Saya juga menyertakan semua maklumat mengenai kegiatan curi pasir yang telah diperolehi oleh Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) supaya Timbalan Menteri dan agensi persekutuan seperti polis dapat membuat tindakan yang sewajarnya," katanya pada satu kenyataan media, hari ini.

Khalid berkata, kerajaan negeri berharap, pemimpin – pemimpin Umno tidak hanya mengutarakan isu pasir ini atas dasar politik dan berharap agar dokumen yang diberikan adalah memadai untuk Timbalan Perdana Menteri untuk memberi arahan kepada pihak berkuasa untuk bertindak secara professional.

Katanya, walaupun kerajaan negeri akur pengurusan KSSB boleh diperkemaskan lagi, namun sistem yang ada sekarang telah berjaya meningkatkan hasil pasir daripada RM2.9 juta (2007) kepada RM6.3 juta (2008), RM5.4 juta (2009) dan RM10.3 juta (sebelum cukai setakat Jun 2010). -TVS


Ulasan GB

Ya, GB memanggilnya Menteri Budak Sekolah, menteri yang sebenarnya layak untuk Guru Besar - tidak layak untuk menjawat jawatan menteri apa tah lagi Timbalan Perdana Menteri.

IQnya di antara yang terrendah di kalangan menteri kabinet, mewarisi sebaahagian kelembapan Pak Lah, hanya pandai berretorika dan yang hanya tahu melantunkan semula apa yang Najib pertuturkan - tidak lebih dari itu.

Beliau bersifat ultra-Malay, pengamal perkauman sempit yang menjadi penyokong kuat PERKASA.

Cuba menyerang Pakatan Rakyat disetiap rostrum, sedangkan beliau tidak nampak keadaan diri beliau dan parti beliau sendiri yang telah terlondeh,

TETAPI - benarkah beliau seorang pejuang bangsa sedangkan beliau terlibat menjual tanah Johor kepada Singapura sewaktu beliau menjadi MB Johor?

Walaupun beliau menyatakan bahawa beliau tidak pernah menjual tanah walau seinci pun kepada Singapura, tetapi beliau didakwa pernah terlibat dalam usahasama dengan syarikat dari negara itu menukar status tanah di Johor untuk memajukannya.
Dakwaan itu terkandung dalam fakta kes saman Stamford Holdings Sdn Bhd ke atas Muhyiddin dan rakan-rakannya.

Alahai Muhyiddin, lebih banya yang terburai nanti....

Penerbitan Suara Keadilan, Harakah Dan Roket Dihentikan Seketika

Pakatan Rakyat Putuskan Henti Semua Terbitan Akhbar Rasmi Parti Sementara Waktu

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memutuskan ketiga-tiga akhbar rasmi parti - Suara Keadilan, Harakah dan The Roket dihentikan terbitannya mulai minggu ini sehingga mendapat keputusan rasmi daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Keputusan bersama itu dicapai pada Mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat yang diadakah di parlimen petang tadi.

"Kita putuskan untuk hentikan penerbitan ketiga-tiga akhbar rasmi dari parti Pakatan Rakyat iaitu Suara Keadilan, Harakah dan Roket.

"Penangguhan ini di ambil sehingga kita mendapat keputusan rasmi dari KDN, Kita akan membuat satu pertemuan dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein bagi membincangkan masalah permit terhadap ketiga-tiga akhbar tersebut.

"Wakil dari ketiga-tiga parti di dalam Pakatan akan bertemu dan berbincang dengan Hishammuddin bagi mencari penyelesaian yang terbaik.

"Pada perjumpaan tersebut kita akan menjawab setiap persoalan yang ditimbulkan oleh KDN dan berharap tindakan segera ini boleh memyelesaikan kekusutan yang berlaku. Kita akan mengikut kesemua peruntukan yang ditetapkan, kita berharap pertemuan ini dapat disegerakan.

"Kita mahu penyelesaian yang sewajarnya diberikan oleh Menteri terbabit agar menunjukkan negara ini mengamalkan sistem demokrasi serta tidak menekan kebebasan media," jelasnya.

Tambah Anwar lagi pihak parti akan mengkaji semula tindakan yang bakal diambil minggu hadapan setelah penanggguhan penerbitan akhbar tersebut.

Ketika ditanya berkenaan dengan tindakan pihak polis ingin bertemu dengan Pengarang Suara Keadilan, Dzulkarnain Taib, Anwar menjelaskan pihaknya tidak mempunyai masalah dan memberi kerjasama yang sepenuhnya.

"Kalau polis nak siasat itu hak dia dan kita akan bagi kerjasama, bagi saya banyak lagi kes jenayah yang belum selesai tetapi polis masih lagi menumpukan kerja mereka menekan Pakatan Rakyat," sambungnya. -SK

Laporan Polis KDN Terhadap Suara Keadilan Karut

Ahli Parlimen Subang, Sivarasa Rasaiah menyifatkan tindakan Kementerian Dalam Negeri membuat laporan polis terhadap lidah rasmi KEADILAN, Suara Keadilan kerana mendakwa terus diterbitkan walaupun telah tamat tempoh sahlaku permit perbitan 30 Jun lalu sebagai sesuatu yang karut dan palsu.

Laporan itu juga dibuat Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA) kerana akhbar 'KEADILAN' didakwa telah menyiarkan sedutan surat KDN bertarikh 2 Julai kepada Suara Keadilan yang tertera perkataan 'SULIT".

"Malam semalam, kita diberitahu KDN telah membuat laporan polis dan telah mengeluarkan kenyataan media mengatakan bahawa kita telah gagal memberi jawapan kepada surat peringatan yang menghendaki kita menjawab pada atau sebelum 12 Julai dan kita telah menjawab melalui surat yang dihantar terus kepada KDN kira-kira 3.30 petang semalam.

"Ini merupakan satu pembohongan kerana kita telah menjawab semua soalan yang diajukan kepada kita. Dan saya ingin tahu, kenapa seorang pegawai kerajaan boleh bekerja hingga 9.30 malam hanya untuk mengeluarkan satu kenyataan media? Takkan tak boleh tunggu hingga pagi ini?" tegas beliau kepada KEADILAN di Parlimen semalam.

Tambah beliau sambil berjenaka, tindakan KDN ini seolah-olah negara dalam keadaan darurat di mana jika tidak keluarkan kenyataan negara akan hancur esok.

"Inilah keadaan sekarang, satu situasi yang sungguh pelik," kata beliau yang juga Naib Presiden KEADILAN.

Sivarasa menambah, tindakan KDN menggunakan isu OSA pula menunjukkan betapa ke belakang pemikiran KDN dalam menangani masalah dengan akhbar pembangkang.

"Pakatan Rakyat kini sudah sampai ke tahap di mana kita sedang berjuang mempertahankan kebebasan media, dan KDN pula hendak menggunakan OSA, satu akta yang mnghalang aliran maklumat luar.

"Inilah perbezaan kita Pakatan Rakyat dengan Barisan Nasional. Kita sedang maju kehadapan dengan memansuhkan akta yang tidak relevan tetapi mereka mahu pula mempertahankan akta yang jauh kebelakang, yang menindas, dibawa oleh penjajah dahulu.

"Kita dihalang dan KDN cuba mendiamkan kita daripada menyuarakan pendapat dan berita parti kita. Kita sebuah parti yang berdaftar dan pemimpin kita merupakan Ketua Pembangkang, kita ada hak untuk menyuarakan melalui media rasmi parti kita," tegas Sivarasa lagi.

Beliau menegaskan akan membantah surat dan kenyataan yang dikeluarkan oleh KDN, dan akan menjawab apa-apa soalan daripada polis.

"Kita sudah tahu polis ini 'alat' kerajaan Umno-BN yang digunakan sesuka hati mereka, kita juga bersedia untuk itu.

"Kita akan lawan secara politik, jika mereka mahu membawa kita ke mahkamah, kita juga bersedia. Ahkirnya saya hanya ingin katakan, melalui surat sebegini, rakyat boleh tahu ceteknya pemikiran Umno-BN dan membandingkan dengan kita di Pakatan Rakyat," kata beliau.

Beliau juga memberitahu kerajaan negeri Pakatan Rakyat Selangor telah bersedia untuk membuka semua maklumat berkenaan kerajaan negeri dan juga pentadbiran lalu agar rakyat dapat melihat dan menilai sendiri kemajuan negeri.

Hanya beberapa perincian berkenaan keselamatan negeri sahaja yang akan disimpan, dan selainnya akan dibuka untuk tatapan rakyat, kata Sivarasa.

Dengan cara ini, tambah beliau, akan dapat memberikan masyarakat secara umumnya perbezaan cara pentadbiran antara kerajaan Umno-BN dan kerajaan Pakatan Rakyat.

"Kita sedang dalam proses menyediakan satu surat untuk diberikan kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan dalam proses mempersiapkan satu rombongan untuk berjumpa beliau dan menyerahkan surat tersebut.

"Kami belum mendapat temujanji, tetapi akan berbuat demikian setelah mendapat temujanji dengan beliau," ujarnya. -SK

Hei Najib, UMNO Tak Hendak, PAS Lagi Tak Ingin!

Najib: Umno tidak perlukan PAS

Datuk Seri Najib Razak berkata Umno mempunyai kekuatan tersendiri dan parti itu bukan terlalu lemah sehingga terpaksa bekerjasama dengan PAS.

Perdana Menteri dan Presdien Umno itu berkata PAS harus menghormati Umno sebagai parti yang memperjuangkan Islam, yang merupakan satu daripada teras perjuangan mereka selama ini.

Beliau berkata tiada sesiapa yang harus meragui perjuangan Umno dalam hal tersebut.

“Saya tidak mahu buat apa-apa kenyataan lagi sebab Timbalan Presiden Umno (Tan Sri Muhyiddin Yassin) telahpun membuat kenyataan. Saya rasa cukuplah dengan kenyataan tersebut.

“Saya cuma nak nyatakan bahawa Umno memang mempunyai kekuatan tersendiri dan bukan kerana kita ini terlalu lemah, kita terpaksa mencari kawan baru dengan PAS,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perhimpunan bulanan, penyampaian Anugerah Khidmat Cemerlang 2009 dan Penganugerahan Pembaharuan Pensijilan 5S Perbendaharaan Malaysia di sini.

Semalam, Muhyiddin menyatakan komitmen serta kesediaan Umno untuk bertemu dan menjalin kerjasama dengan PAS dalam pelbagai bidang termasuk usaha untuk memperkukuhkan Islam serta kedudukan orang Melayu di negara ini.

Sebelum ini, Panel Pemikir Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Lokman Nor Adam dipetik sebagai berkata bahawa hasrat untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang mengamalkan dasar Islam akan menjadi kenyataan sekiranya PAS dan Umno bersatu.

Ekoran daripada itu, Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Razak Idris mencadangkan penubuhan satu jawatankuasa khas supaya kerjasama antara Umno dan PAS dapati dicapai.

Mengulas lanjut, Najib berkata sama ada kerjasama antara Umno dan PAS itu menjadi kenyataan atau sebaliknya bergantung kepada perkembangan selanjutnya. — Bernama


Muhyiddin: Umno sedia temu PAS jalin kerjasama

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Umno sedia berbincang dengan Pas sama ada secara rasmi atau tidak untuk menjalin kerjasama demi perpaduan Melayu seperti disaran beberapa pihak.

Sambil menyambut baik saranan itu Timbalan Perdana Menteri berkata usaha menjalin kerjasama antara kedua-dua parti Islam itu bukan satu perkara baru kerana ia pernah disuarakan sebelum ini tetapi tidak dapat dilaksanakan.

“Soal perpaduan antara Melayu sama Melayu bukanlah satu perkara tidak baik, lebih-lebih lagi dalam situasi pada masa kini yang memerlukan bentuk kerjasama yang lebih konkrit terhadap isu termasuk ekonomi, kebudayaan dan institusi beraja serta mewujudkan perpaduan untuk membantu membangunkan ummah dan negara,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan Kejohanan Sukan Sekolah-Sekolah Asean 2010 di sini hari ini.

Muhyiddin, yang juga Timbalan Presiden Umno, berkata terpulang kepada kepimpinan Pas sama ada bersetuju menjalinkan kerjasama itu atau sebaliknya.

Semalam akhbar memetik anggota Panel Pemikir Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Lokman Nor Adam sebagai berkata bahawa hasrat menjadikan Malaysia sebuah negara yang mengamalkan dasar Islam akan menjadi kenyataan sekiranya Pas dan Umno bersatu.

Ketika ditanya mengenai kebimbangan sesetengah pihak sekiranya kerjasama antara Umno dan Pas terjalin, Muhyiddin berkata mereka tidak perlu takut kerana kerajaan tetap akan menjaga kepentingan semua kaum.

“Masyarakat bukan Islam jangan rasa tergugat kalau ada usaha sebegitu kerana selama ini pun dengan kekuatan perpaduan Islam, maka negera lebih terjamin selamat dan tiada masalah,” katanya.

Muhyiddin juga berkata kerajaan tidak ada halangan untuk membenarkan siapa-siapa saja menubuhkan pertubuhan asalkan ianya untuk kepentingan rakyat dan negara serta tidak mempunyai muslihat tersendiri.

“Sesiapa sahaja boleh tubuhkan... nak kata Chinese Perkasa ke, Malay ke, Indian Perkasa,” katanya mengulas cadangan Naib Presiden MCA Datuk Donald Lim baru-baru ini yang mencadangkan agar sebuah Perkasa Cina ditubuhkan. – Bernama


Ulasan GB

Muhyiddin kata UMNO bersedia temui PAS. Najib pula kata UMNO tak perlukan PAS, UMNO ada kekuatan sendiri, tambahnya.

Masing-masing bertelagah nak pikat PAS atau pun tidak.

Najib adalah benar bila beliau menyatakan UMNO ada "kekuatan sendiri" - kekuatan apa? Ya, kekuatan menipu, kekuatan berbohong, kekuatan memfitnah, kekuatan menabur janji, kekuatan mengeksploitasi agensi-agensi kerajaan, kekuatan memperkudakan SPR, SPRM, PDRM dan lain-lain.

Hei Najib, pinggan tak retak nasi tak dingin. UMNO tak hendak, PAS lagi tak ingin!

PAS juga ada kekuatan, kekuatan PAS terletak kepada kesetiaan ahlinya terhadap prinsip perjuangan, kepada keimanan terhadap Allah dan RasulNya dan kepada doa yang bakal menghantar UMNO BN ke lembah kehancuran!

Penafian CNN: Maruah Utusan Dan UMNO Terlempar Ke Dalam Tong Najis

Penafian Cable News Network mengundang reaksi Ahli-Ahli Parlimen Pakatan Rakyat.

Ahli Parlimen Machang Saifuddin Nasution berkata penafian CNN ini membongkar strategi jahat Umno-BN yang terdesak mahu membunuh kerjaya politik Anwar Ibrahim.

"Barangkali UMNO-Barisan Nasional terlupa, sepanjang penglibatan Anwar dalam dunia politik beliau telah dilabel dan ditohmah dengan pelbagai gelaran. Semasa beliau sebagai aktivis belia, beliau dituduh sebagai agen Libya- agen Muammar Gaddafi. Kemudian selepas penyingkirannya dari kerajaan, beliau digelar sebagai pengkhianat negara, itu oleh Tun Dr Mahathir. Pengkhianat ini kalau ikut undang-undang negara hukumnya mati. Kemudian beliau dituduh sebagai agen asing, agen Yahudi, perpecah belah perpaduan Melayu, alat tunggangan kepada DAP dan yang terbaru ialah agen CIA," jelas Saifuddin.

Utusan Malaysia pada 9 Julai lalu memuatkan laporan "Anwar didakwa bayar CNN". Laporan berkenaan berkata penulis mendakwa Anwar telah mengupah Cable News Network untuk mewawancara beliau.

Selang beberapa hari kemudian, pada 11 Julai, Utusan sekali lagi mencetuskan kontroversi. Kali ini memetik penulis blog, Elaine Meinel Supkis yang menurut Utusan mendakwa Anwar adalah alat CIA.

Namun ujar Saifuddin, dalam keghairahan menyerang peribadi Anwar, malang bagi UMNO-Barisan Nasional senjata telah memakan tuannya.

"Tidak mungkin satu peribadi itu menjadi agen kepada banyak pihak yang berbeda-beda," kata Saifuddin.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad pula melahirkan rasa lucu dengan media milikan kerajaan yang sewenang-wenangnya memetik sumber yang tidak diragui kesahihannya.

Walhal baru-baru ini sahaja kerajaan berhasrat untuk menubuhkan jawatankuasa khusus menangani penyebaran berita palsu.

"Utusan Malaysia ketika memainkan isu ini mengambil dari sebuah blog kononnya, yang dijadikan sebab dan alasan untuk mengambil tindakan terhadap Anwar Ibrahim. 24 jam bertalu-talu media milik BN melabel Anwar talit-barut CIA," kata Zulkefly.

"Bagaimana pula dengan pendedahan-pendedahan yang dibuat pengendali Malaysia-Today, Raja Petra Kamaruddin yang telah lama menyatakan keterlibatan Perdana Menteri dalam kes Altantuya Shaariibuu. Mengapa kerajaan membisu?" tambah beliau.

"Saya kira CNN dan Datuk Seri Anwar perlu menyaman kesemua media-media ini dan peribadi-peribadi yang secara keterlaluan membuat serangan kepada peribadi beliau yang tidak perlu seya sebutkan betapa jelik dan buruknya kecaman-kecaman itu," katanya lagi.

Sementara itu pemimpin lain berpendapat bahawa adanya usaha terancang untuk menyerang keperibadian pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat sebelum Pilihanraya Umum ke-13 diadakan.

"Itu menandakan bahawa apa yang berlaku pada hari ini khususnya apa yang berlaku terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah sesuatu yang dirancang, sesuatu yang mereka cuba ambil kesempatan di atas apa sahaja isu tanpa mereka mengambil kira kebenaran fakta itu," kata Ahli Parlimen Parit Buntar Mujahid Yusuf Rawa.

"BN yang tidak dapat menafikan mereka membayar APCO RM77 juta, mereka tidak dapat menafikan fakta itu," kata Ahli Parlimen Kubang Kerian Salahuddin Ayub. -TVS


Laporan 'Anwar bayar CNN' palsu

CNN menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang kononnya Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat bayaran agar beliau diwawancara oleh stesen televisyen berita angtarabangsa itu, awal bulan ini.

“Berita CNN menerima bayaran daripada seseorang supaya Anwar muncul di 'Connect the World' adalah palsu dan direka-reka,” kata seorang jurucakap CNN yang berpangkalan di Hong Kong di mana ibu pejabat Asia stesen itu beroperasi.

“Adalah membimbangkan kerana tiada usaha dilakukan untuk menghubungi kami dan secara berkecuali mengesahkan dakwaan yang tidak berasas itu sebelum melaporkannya sebagai fakta.”

Akhbar harian Utusan Malaysia pada Jumaat lalu mencetuskan kontroversi dengan laporan 9 Julai yang bertajuk “Anwar didakwa bayar CNN'.

Laporan itu merujuk kepada tulisan presiden Trevino Strategies and Media Inc, Joshua Trevino, yang menulis di portal Amerika - The New Ledger yang Anwar mengupah kenalan medianya, khususnya CNN, bagi menyakin para pelobi Yahudi bahawa beliau bukan anti-Israel.

Trevino mendakwa wawancara CNN menerusi 'Connector of the Day' pada 2 Julai lalu adalah 'jinak' berhubung Anwar disoal berhubung retorik anti-Zionis ketua pembangkang itu.

Berikut laporan itu, beberapa pemimpin tertinggi Umno membidas Anwar yang didakwa 'membayar' untuk diwawancara.

"Jika benar Anwar membiayai temu bualnya dengan CNN itu, ia menunjukkan beliau tunduk kepada Amerika Syarikat dan Yahudi...dia akan lakukan apa sahaja untuk mencapai cita-citanya untuk jadi Perdana Menteri," kata naib presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sehari selepas Utusan menyiarkan laporan berkenaan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga timbalan presiden Umno berkata laporan itu menunjukkan Anwar adalah terdesak. -mk


SPR Sedang melakukan Persempadanan Semula Untuk Kepentingan BN

Persempadanan semula: Strategi Umno-BN untuk menang

KUALA LUMPUR: Pengarah Pilihanraya PAS Datuk Abdul Halim Abdul Rahman mendedahkan kerajaan memasukan pengundi Barisan Nasional (BN) ke kawasan sasaran mereka melalui usaha persempadanan semula kawasan pilihan raya yang dilaksanakan tidak lama lagi.

"Jumlah pengundi yang dimasukkan ke kawasan sasaran bergantung kepada sesuatu kawasan terbabit di mana BN kalah tipis sekitar seribu atau dua ribu di kerusi parlimen dalam pilihan raya umum (PRU) lalu.

“Sementara pengundi Cina yang tidak menyokong mereka akan di keluarkan dari kawasan itu," katanya di lobi Parlimen hari ini.

Menurut beliau, Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) akan melaksanakan projek persempadanan semula awal tahun depan. BN mensasarkan mendapat antara 160,000 hingga 500,000 orang pengundi baru untuk PRU akan datang.

"Kerajaan juga memberi taraf pemastautin tetap kepada rakyat asing supaya mengundi mereka. Sebanyak 90 peratus warga Indonesia yang bekerja dalam sektor pembinaan, perladangan dan perkilangan diberi taraf itu," terang beliau.

Beliau berkata, “pengundi baru ini akan didaftarkan di kawasan dewan undangan negeri dan parlimen yang BN kalah tipis dalam PRU lalu. PAS sedang memantau perkara ini dan kita ada cara untuk menanganinya."

Katanya, mengikut perlembagaan SPR, suruhanjaya itu boleh menjalankan kajian persempadanan semula setiap lapan tahun. SPR akan membentangkan kajian ini kepada kerajaan pada Mac tahun depan sebelum dibentangkan di Parlimen untuk diluluskan.

“Saya yakin kerajaan menggunakan kajian persempadanan semula ini untuk memasukkan pengundi baru itu," ujar beliau.

Abdul Halim berkata, "BN mahu merampas kembali majoriti dua pertiga kerusi parlimen dalam PRU akan datang. PAS merasakan PRU akan diadakan hanya apabila BN rasa boleh menang dengan majoriti dua pertiga. -FMT