21 Jul 2015

[PENDEDAHAN PANAS] Di Mana Mulanya Krisis PAS?

Apa yang terjadi dengan PAS sebenarnya? – Arifin Zakaria

1. Dua soalan popular ketika hari raya tentang PAS. Pertama kenapa habis sepasukan pimpinan lama dibuang? Sedangkan dengan merekalah kami kenal PAS. Era 80-an dan 90-an nama popularnya Mat Sabu, Mahfuz Omar, Husam Musa, Solehudin Ayub dll. Pasca reformasi popular dengan Dr Dzul, Dr Mujahid, Mazlan Aliman, Ustaz Ghani Samsudin, Nizar Jamaludin dll. Tetapi kenapa mereka dibuang kesemuanya?

2. Soalan kedua popular. Benarkah bekas pimpinan yang tewas ini hendak tubuh parti? Kenapa perlu tubuh parti? Tidak bolehkah bersabar dan tunggu perubahan seterusnya dalam parti? Tidakkah nanti dituduh tidak boleh terima kalah lalu tubuh parti? Tidakkah UMNO sebenarnya yang mengupah mereka ini agar tubuh parti? Tidakkah mereka ini berada dalam percaturan JIM/IRC/IKRAM/HIS untuk ranapkan PAS? Inilah dua jenis soalan yang kerap ditanya. Saya cuba menjawab dengan pengetahuan dan maklumat yang ada pada saya.

4. Menjawab soalan pertama. Mereka ini dibuang setelah melalui kempen yang panjang. Ada yang mengatakan 18 bulan pasca muktamar 2013 hingga 2015 kempen non stop dilancarkan untuk membuang mereka. Sebenarnya tidak. Sebelum itu lagi. Sejak pemilihan tahun 2009 lagi.

Mereka ini dilihat menentang UG atau Kerajaan Perpaduan dengan PAS - Umno. Sebenarnya UG ini tidaklah sama maksud dengan apa yang Presiden lontarkan pada tahun 2009. Presiden TGHA lontarkan UG yang menggabungkan kesemua parti politik termasuk PKR dan DAP untuk buat perubahan dalam kerajaan.

Walaupun lontaran yang tidak masak, tetapi bukan UG itu yang ditentang. Tetapi jauh daripada itu sememangnya wujud usaha hendak menggabungkan PAS dengan Umno hasil kerja kuat bekas Timbalan Presiden Ustaz Nasharudin Mat Isa (UN) dan bekas Naib Presiden Dato Dr Hasan Ali (DHA) dan bekas Timbalan Mursyidul Am yang kini menjadi Mursyidul Am Dato Dr Harun Din (DHD).



Pasca PRU 2008, Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri bersama Khir Toyo berunding dengan pimpinan PAS untuk membentuk kerajaan PAS Umno di Selangor dan di Perak. Rundingan ini pada awalnya dinafikan Pengarah Pilihanraya PAS ketika itu Dato Mustafa Ali. Tetapi bocor apabila Pak Lah sendiri membocorkannya. Ada pertemuan di sebuah lokasi tidak jauh bangunan parlimen. Berakhir dengan PAS menolak pelawaan tersebut.

Tetapi Ustaz Nasha dan Hasan Ali meneruskan agenda ini. Kerap mereka berdua bertemu Pak Lah, Datuk Seri Najib Tun Razak dan tokoh tokoh Umno baik di bangunan parlimen atau di Hotel Meridien. Watak kedua orang ini dilihat pelik dalam tempoh 2008-2011. Dilihat mesra UMNO dan menjadi pengacau kepada Pakatan Rakyat dan kerajaan PR di Selangor. Kerap Hasan Ali mengambil tindakan berseberangan dengan kerajaan Tan Sri Khalid Ibrahim.

Diantaranya pengakuan bekas Pengerusi ngo GERAK Nazree Yunus, beliau didatangi Hasan Ali dan orang orangnya termasuk Roslan SMS dan SETPOL Presiden PAS Dr Ahmad Samsuri untuk membuat pendedahan tentang salahguna kuasa Tan Sri Khalid. Beliau membuat report SPRM, TS Khalid Ibrahim sudah menguna peruntukan kerajaan untuk menghadiahkan lembu korban ke parlimen Bandar Tun Razak kawasannya sendiri. Kemudian tuduhan kedua menggunakan peruntukan kerajaan untuk servis kereta peribadi. Tujuannya adalah untuk menjatuhkan Tan Sri Khalid dan menaikkan Hasan Ali sebagai MB. Tetapi setelah disaman Tan Sri Khalid, Nazree berubah dan menyertai PKR serta mendedahkan perancangan jelik ini.

Dr Hasan Ali dan Ustaz Nasha dilihat meneruskan usaha ini sehinggalah sebelum PRU 2013 pertemuan diantara Hasan Ali, Ustaz Nasha dengan PM Najib di Hotel Meridien. Pertemuan ini didedahkan Hasan Ali kepada rakan-rakannya sendiri. Kata beliau PM Najib sedia memberi kerjasama membantu beliau dan Ustaz Nasha membuat satu gerakan politik Melayu Islam atas nama ngo ala ala PERKASA. Najib sedia bantu wang ringgit dan segala kepakaran.

Targetnya mereka sedia bertanding calon bebas di kerusi PAS. Ngo ini akhirnya ditubuhkan selepas Hasan Ali dipecat iaitu ngo JATI. Pertemuan untuk membuat kerjasama dengan Najib dan menubuhkan platform baru itu bocor ke pengetahuan Presiden dan SUA Dato Mustafa Ali. SUA menjalankan siasatan. Di tengah siasatan berjalan, Ketua Penerangan PAS Selangor YB Shaari Sungip mengeluarkan kenyataan nama Dr Hasan Ali tiada dalam senarai calon PAS Selangor.

Kemudian melentinglah Hasan Ali dan pengikutnya dan berlakulah perang media yang berleluasa sehinggalah membawa pertemuan beliau dengan TGNA di Kelantan. Berakhir dengan beliau dipecat daripada PAS yang kesemua pihak melihat kononnya hasil serangan awal Shaari Sungip itu. Walhal kisah sebenarnya memang dia sedang disiasat SUA dan Presiden atas isu pertemuan beliau dan Ustaz Nasha dengan Najib di Hotel Meridien.

Pokoknya selepas dipecat belangnya dengan Umno semakin jelas. Ucapan beliau menyeru penyatuan Umno PAS sangat jelas. Begitu juga Ustaz Nasha. Kelibatnya kerap bersama Najib jika Najib ke negara negara Arab dalam keadaan dia masih ahli PAS. Tetapi beliau tidak dipecat. Itu yang pelik.


Dalam kes Perak pula. Seawal kemenangan 2008 UMNO berusaha memujuk PAS membentuk kerajaan bersama di Perak dengan janji PAS sebagai MB. Kisah Zahid Hamidi bekejar ke rumah Ustaz Ahmad Awang PJ Perak ketika itu untuk memujuk membentuk kerajaan sudah menjadi rahsia umum.

Ustaz Ahmad Awang mendedahkan ketika muktamar 2011 ketika ucapan penggulungannya memang wujud usaha menggabungkan PAS Umno. Jangan ada sesiapa nafikan. Saya ada maklumat. Kata Ustaz Ahmad Awang.


Beliau mendedahkan 3 pihak menghubungi beliau memohon dibentuk kerajaan PAS Umno di Perak. Iaitu Zahid Hamidi, Mufti Harusani dan Dato Dr Harun Din. Inilah 3 pihak yang berusaha mewujudkan kerajaan PAS Umno di Perak.


Inilah perkara yang ditentang Husam, Mat Sabu, Mahfuz, Solehudin dan kumpulan mereka. Namun dengan mudah mereka disabitkan menentang Presiden. Maka bermulalah wujud kononnya kumpulan penentang Presiden. Datanglah isu apa sekalipun mereka ini akan dikaitkan. Walaupun sekarang terbukti Hasan Ali dan Ustaz Nasha jelas menjadi pembantu Umno. Jelas dan terbukti apa yang dikatakan fitnah sebelum ini. Tetapi perkara itu diabaikan. Kumpulan Husam, Mat Sabu dll ini kekal diletakkan dikandang bersalah. Sedangkan Ustaz Nasha kekal kebal sebagai ahli PAS tanpa dipecat.








IKLAN BERBAYAR







Mat Sabu: GHB Akan Teruskan Agenda Pakatan Rakyat, Nafi Jadi Proksi DAP

1,000 beri sokongan pada 'Harapan Baru' di Perlis

Kira-kira 1,000 orang hadir dalam siri ceramah kumpulan Gerakan Harapan Baru (GHB) yang ditubuhkan oleh kumpulan progresif PAS, di Perlis - negeri kelahiran Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din - malam tadi.

Meskipun hujan turun di sebelah petang, ia tidak menghalang hadirin memenuhi kawasan lembab di lokasi ceramah di Kangar bagi mendengar ucapan daripada kepimpinan GHB.

Diketuai oleh bekas timbalan presiden PAS Mohamad Sabu, pemimpin gerakan itu begitu berhati-hati supaya tidak mengkritik secara terbuka kepada rakan mereka dalam parti termasuk kumpulan ulama dan Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang, yang boleh mengundang kritikan balas.

Bagaimanapun, hadirin memberi maklum balas ketika barisan kepimpinan GHB membidas kepimpinan PAS yang baru-baru ini muncul dengan menyokong Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak yang bergelut dengan dakwaan penyaluran wang 1MDB.

Antara yang berucap ahli parlimen Parit Buntar Datuk Mujahid Yusof Rawa, ahli parlimen Sepang Hanipa Maidin, peguam dan anak lelaki kepada bekas presiden PAS Faiz Fadzil Noor dan Aida Yusof Rawa yang membuat kenyataan untuk menunjukkan PAS beralih dari perjuangan asal dan mengapa GHB perlu disokong.

Mereka turut merayu supaya rakyat menyokong usaha "Selamatkan Malaysia" dengan menukar pemerintahan dan tidak hanya menukar Najib.

Mohamad atau mesra dipanggil Mat Sabu memberikan ucapan berapi dengan menyatakan bagaimana PAS memainkan peranan penting membawa Islam ke persada politik arus perdana sejak ditubuhkan pada 1951.

PAS juga telah menyertai BN sebelum ini seperti mana mereka menyertai Barisan Alternatif pada 1999 dan Pakatan Rakyat pada 2008 untuk mempromosikan perjuangan Islam.

"Tetapi sejak akhir ini, kita lihat ada beberapa perubahan dalam PAS. Malaysia adalah negara demokrasi dan kita mengadakan pilihan raya setiap lima tahun. Tapi sejak kita mengamalkan sistem first past the post, kemenangan kita ditentukan oleh siapa yang dapat banyak undi, bukan siapa yang kuat.

"Kita perlu berkerja dengan komuniti dan parti lain. Kita lihat sekarang parti ini yang banyak memberi sumbangan, telah meninggalkan arena yang menjadikan serba mungkin bagi semua kaum,"
katanya, merujuk kepada gabungan pembangkang Pakatan Rakyat.

Beliau merujuk keputusan perwakilan PAS pada muktamar PAS ke 61 di Kuala Selangor bulan lalu yang mana cadangan Dewan Ulama untuk memutuskan hubungan dengan DAP diterima tanpa bahas.-mk


DAP kedekut, tidak pernah bagi ‘proksi’ sesen pun, kata Mat Sabu

Dituduh proksi DAP, pengerusi protem Gerakan Harapan Baru (GHB) Mohamad Sabu berkata, kumpulan yang baru dilancarkan itu tidak pernah menerima walau satu sen pun daripada parti sekular itu.

Bekas timbalan presiden PAS itu berkata, walau apa tuduhan dilempar PAS, GHB sebenarnya berfungsi dengan sendiri dan berdikari.

Walaupun beliau memberitahu media, tidak mahu bertindak balas terhadap tuduhan pengkritik yang pergerakan itu proksi DAP, beliau berkata sesuatu yang 'normal' bagi GHB dihentam sebegitu rupa.

"Tuduhan begitu perkara biasa. Tetapi sehingga sekarang, kami tidak pernah menerima satu sen pun dari DAP. Banyak kedekut ini DAP.

"Kami gunakan dana sendiri untuk program kami," katanya kepada pemberita selepas ceramah GHB di Kangar, Perlis, malam tadi.

Minggu lepas, bekas setiausaha agung PAS Datuk Mustafa Ali mendakwa, GHB hanya berperanan sebagai proksi DAP.

Kumpulan yang masih menunggu kelulusan Pendaftar Pertubuhan itu ditubuhkan bekas pemimpin PAS progresif, juga merancang menubuhkan sebuah parti Islam baharu.

Katanya, GHB yang dilancarkan Isnin 13 Julai lalu, tidak akan mendapat kepercayaan orang Melayu atau sokongan majoriti ahli PAS.

Wujud pergeseran ketika ini antara PAS, yang kini dikuasai sepenuhnya oleh ulama, dan DAP.

DAP sangat kritikal terhadap agenda hudud PAS dan ia menyebabkan PAS memutuskan hubungan dengan parti sekular itu, menyebabkan gabungan pembangkang Pakatan Rakyat (PR) terkubur.

GHB, diterajui pemimpin progresif PAS yang pro-PR dan popular di kalangan rakan mereka dalam PKR dan DAP, kini sedang berusaha membentuk sebuah partinya sendiri, yang akan membuka jalan kepada penubuhan sebuah gabungan parti pembangkang yang baharu.

Disebabkan usaha GHB ini, kepimpinan PAS dilaporkan mengambil tindakan tatatertib terhadap Mohamad dan PAS bekas naib presiden Salahuddin Ayub.

Kedua-dua pemimpin dilabel pengkhianat kerana didakwa "memusnahkan parti dari dalam", ketua penerangan PAS Nasruddin Hassan dipetik berkata, dalam satu laporan minggu lalu, selepas GHB dilancarkan secara rasmi.

Ditanya jika ada dipanggil bagi menjelaskan tuduhan pengkhianat itu, beliau berkata tidak menerima komunikasi sebegitu daripada parti.

Sementara itu, ahli Parlimen DAP Bukit Mertajam Steven Sim, yang juga salah seorang penceramah malam tadi, juga ketawa dengan label "proksi DAP" yang diberi kepada GHB.

"Kalau sesiapa hendak jadi proksi, mereka akan pergi kepada Umno, mereka yang ada duit.

"Kenapa pula satu pihak yang mempunyai agendanya tersendiri mahu menjadi proksi DAP apabila ia tiada duit banyak untuk dihulurkan? Fikirlah sendiri," katanya dalam ucapannya pada awal majlis itu. -TMI



GHB ingatkan orang Melayu jangan terpedaya mainan

Orang Melayu mesti berhenti membiarkan diri mereka ditipu dan terperangkap dengan permainan perkauman, kata Ahli Jawatankuasa Pusat Gerakan Harapan Baru (GHB) Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa.

Susulan pergaduhan di Plaza Low Yat, Kuala Lumpur baru-baru ini yang berkaitan sentimen perkauman, ahli Parlimen Parit Buntar itu berkata, kelakuan yang baik atau buruk tiada kaitan dengan mana-mana kaum.

"Dalam semua kaum, ada orang yang baik, ada jahat. Apabila kita menentang Umno, kita menentang pemimpinnya. Itu tidak bermakna kita menentang orang Melayu, tetapi kita menentang semua orang Melayu yang korup.

"Jika seorang Melayu mencuri, kita tidak boleh pertahankan orang itu," katanya menyifatkan tindakan sebegitu sebagai ‘asabiyah dan jahiliah’.

"Cukuplah. Janganlah kita diperdayakan lagi," katanya pada ceramah GHB yang dihadiri ratusan orang di Kangar, Perlis, malam tadi.

Dalam kejadian di Plaza Low Yat 11 Julai lalu, sekumpulan belia Melayu didakwa melarikan telefon pintar dari sebuah kedai ketika jurujual yang melayan mereka berpaling untuk mendapatkan hadiah percuma.

Kejar-mengejar terjadi dan peniaga telefon bimbit di kedai lain menangkap suspek dan dikatakan membelasah mereka sebelum menyerahkan kepada pengawal keselamatan plaza itu yang kemudiannya menghubungi polis.

Salah seorang suspek kemudiannya dibebaskan polis, dan dia dipercayai kembali ke plaza itu dengan rakan-rakannya dan menyerang kedai di mana pekerjanya membantu menahan suspek itu sebelumnya.

Malam esoknya, kira-kira 200 orang berkumpul di plaza itu selepas kejadian itu menjadi viral di media sosial, memaksa pihak berkuasa mengarahkan perniagaan di premis itu ditutup awal.

Polis mengepung kawasan itu, tetapi orang ramai berkumpul semula selepas tengah malam dan pergaduhan tercetus dengan topi keledar dan barangan lain dilempar kepada satu sama lain.

Sekurang-kurangnya lima orang, termasuk kakitangan media, dilaporkan cedera dalam kejadian itu.

Polis sedang menyiasat beberapa orang kerana kesalahan menghasut, termasuk blogger Papagomo dan ketua bahagian Umno Bagan Datuk Dr Shaikh Hussein Mydin. Setakat ini, hanya aktivis Mohd Ali Baharom didakwa atas tuduhan memfitnah susulan kenyataan yang dibuatnya ketika pergaduhan itu.

Mujahid berkata, orang Melayu perlu sedar, bukan orang Cina yang menjadi punca masalah dan kontroversi yang melibatkan Putrajaya.

"Bukan DAP atau orang Cina yang mendatangkan mudarat kepada negara," katanya, mengambil contoh skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Majlis Amanah Rakyat (Mara) Inc terlebih bayar RM66.2 juta bagi tiga hartanah di Melbourne, dan pelbagai masalah dengan Felda.

Beliau juga menggesa orang ramai memberi tekanan kepada kerajaan untuk menghukum mereka yang mengganggu keharmonian antara kaum dan agama di Malaysia, tanpa mengira siapa mereka.

"Jika seseorang menghasut kebencian dan menimbulkan kekacauan, individu itu mesti dihukum," katanya sambil menyatakan rasa kesal terhadap keputusan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang menolak rang undang-undang keharmonian cadangan Majlis Perundingan Perpaduan Negara bagi mengekalkan Akta Hasutan.

Sementara itu, pengerusi pro tem GHB Mohamad Sabu berkata, mainan perkauman pernah dimainkan sebelum ini, terutamanya menjelang pilihan raya, dan menggesa rakyat supaya tidak terperangkap di dalamnya.

Beliau juga menyokong saranan ketua parlimen DAP Lim Kit Siang supaya satu Suruhanjaya Diraja Kebenaran dan Rekonsiliasi ditubuhkan bagi mendedahkan punca sebenar keganasan di Plaza Low Yat.

Sementara itu, ahli Parlimen DAP Bukit Mertajam Steven Sim, dalam ceramahnya berkata, parti berasaskan Melayu memainkan perasaan takut rakyat bagi mengekalkan kawalannya atas pengundi Melayu.

Katanya, parti tersebut dapat meneruskan kuasa dengan membuat masyarakat percaya yang kepentingan mereka menjadi pertaruhan dan mereka akan kehilangan bahasa, budaya dan agama mereka.

Beliau berkata, gerakan baharu yang dimulakan pemimpin PAS progresif itu, diketuai Mohamad, akan memperkenalkan politik jenis baru yang memberikan keyakinan kepada orang Melayu, bukan menanam sifat takut dalam diri mereka.

"Kami berharap untuk mempunyai politik baharu yang akan memberikan rakyat keyakinan... Tanpa mengira kaum, kita semua dalam kapal yang sama dan kita semua boleh maju bersama," katanya.

GHB, cetusan idea ahli PAS yang progresif, dan disokong kumpulan sivil, sedang dalam proses untuk didaftarkan sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan sebelum ia meneruskan untuk menjadi sebuah parti politik Islam yang baharu, yang berjanji untuk menjadi lebih inklusif, progresif dan terbuka kepada semua kaum.


HARAPAN BARU DI PERLIS




ULASAN GB

Nampaknya PAS kini semacam "bersatu" dengan UMNO menyerang DAP, sekaligus menyerang GHB.

Sebelum ini GHB dituduh dengan pelbagai tuduhan, cacian dan makian kerana masih berbaik-baik dengan DAP. Isu perkauman dan keagamaan dicanangkan untuk membangkitkan kebencian orang Melayu & Islam terhadap DAP.

Namun mujur rakyat sudah membuka mata lebih awal rentak permainan kedua-dua parti tersebut dimana PAS yang sebenarnya telah dipermainkan oleh UMNO BN di dalam isu hudud.

Sehingga kini, bil persendirian yang dihebohkan berkaitan Enakmen Kanun Jenayah Syariah masih gagal dibentangkan. PAS kini akhirnya menjadi mangsa kepada kebodohan sendiri apabila Bil tersebut lansung tidak dipedulikan oleh kerajaan UMNO BN dan PAS kehilangan rakan yang selama ini banyak membantunya mencapai kemenangan di dalam pilihanraya, iaitu DAP, terutama di kerusi-kerusi pengundi campuran.

GHB mengisi ruang kosong yang ditinggalkan PAS itu, menjalinkan tahaluf siyasi dengan DAP.

Dan apabila itu berlaku, GHB dituduh pula proksi DAP.

Hukum kebenaran dan keadilan akan terus berjalan. PAS terus menjadi mangsa perbodohan oleh UMNO BN. GHB pula terus menerima sokongan rakyat, kini bukan sekadar dari kalangan umat Islam tetapi juga bukan Islam kerana parti baharu yang bakal ditubuhkan ini adalah sebuah parti kendatipun berteraskan Islam namun akan membuka pintunya untuk bukan Islam menyertainya asalkan menerima dasar Islam.





IKLAN BERBAYAR