27 Jan 2010

Azmin Akan Dedah Identiti Penyerang Rumah Ibadat

Naib Presiden PKR, Azmin Ali hari ini mendakwa terdapat ahli Umno yang terlibat dalam kejadian serangan ke atas sebuah gereja di Desa Melawati awal bulan lalu.

"Saya akan mendedahkan dalam masa terdekat ini mereka yang terlibat dalam kes serangan terhadap gereja di Taman Melawati (Desa Melawati) adalah ahli dan anggota Pemuda Umno.

"Saya menggesa presiden Umno (Datuk Seri Najib Razak) mengambil tanggungjawab berhubung perkara ini," katanya.

Beliau berkata, pihaknya sedang mengumpulkan bukti untuk didedahkan kepada umum, dijangka dalam masa terdekat ini.

"Saya akan kumpulkan nama, nombor kad pengenalan dan nombor keahlian Umno, baru saya akan sebarkan kepada rakyat," katanya yang juga ahli parlimen Gombak.

Diminta menjelaskan jangkaan pengumuman itu dapat dibuat, beliau berkata:

"Dalam masa terdekat. Saya tidak sukar (mendapatkan butiran tersebut) kerana berdasarkan nombor kad pengenalan, kita boleh dapat nombor keahlian Umno mereka."

Azmin memberitahu media perkara berkenaan selepas melawat Masjid Jumhuriyah Taman Datuk Harun, Petaling Jaya ekoran insiden kepala babi diletakkan dalam perkarangan masjid berkenaan awal pagi ini.

Beliau melapangkan masa kira-kira satu jam bermula 2.30 petang.

Azmin yang juga ADUN Bukit Antarabangsa mendakwa, sekurang-kurangnya empat atau lima orang daripada mereka yang ditahan reman, adalah ahli Pemuda Umno, daripada bahagian Gombak dan Ampang.

"Sekurang-kurangnya empat atau lima orang. Malah mereka daripada cawangan mana pun saya tahu," dakwanya.

Selepas mengumpulkan maklumat terperinci, katanya, beliau akan mendedah nama pihak terbabit, nombor kad pengenalan dan nombor keahlian Umno kepada umum.

Pada 8 Januari lalu, Gereja Metro Tabernacle Bangunan tiga tingkat Gereja Metro Tabernacle di Desa Melawati, Kuala Lumpur, diserang dengan bom api pada waktu tengah malam, mengakibatkan bahagian bangunan tiga tempat yang menempatkan gereja terbakar.

Ia merupakan antara 11 gereja yang menjadi sasaran serangan bom api dan vandalisme sepanjang tiga minggu di samping sebuah kuil Sikh, sebuah masjid dan dua surau.

"Saya tidak mahu tuduh mana-mana pihak sebagai dalang dalam kes ini. Saya tidak mahu (membuat) spekulasi. Saya mahukan siasatan terperinci dan tegas.

"Saya sedang mengumpulkan maklumat terperinci dan saya minta presiden Umno jelaskan bagaimana mereka terlibat.

"Ini tindakan dayus Pemuda Umno. Berdasarkan maklumat awal yang saya terima, beberapa ahli Umno itu merupakan ahli Pemuda Umno bahagian Gombak dan Ampang," kata Azmin. -malaysiakini video : TVS



Serangan Kepala Babi Mencurigakan (updated)

ADUN Taman Medan, Haniza Talha menyifatkan provokasi yang direncanakan sebuah parti politik gagal membangkitkan kemarahan orang Melayu.

Pagi tadi, 2 kepala babi diletakkan diperkarangan dua masjid berasingan disyaki didalangi sebuah parti politik.

Haniza berkata parti politik itu lupa kaum Melayu kini bukan berfikiran jumud. Mereka kini pandai menilai situasi semasa.

“Ini adalah usaha untuk membangkit kemarahan orang Melayu. Tapi orang melayu sekarang tidak bodoh. Mereka tahu ini adalah provokasi. Ini taktik lama,” katanya.

Beliau berpendirian tindakan ini satu perbuatan khianat untuk melagakan rakyat Malaysia kerana cara bagaimana kepala babi itu ditemui.

“Kalau difikir logik, babi itu dibungkus elok- elok dalam plastik. Menunjukkan bahawa orang yang letakkan kepala babi itu sendiri takut hendak memegang kepala babi itu. Kalau orang bukan Islam, mereka tidak takut untuk pegang kepala babi itu. Ini jelas satu provokasi,” tambahnya lagi.

Beliau berharap rakyat tidak lagi tertipu dengan taktik kuno parti politik yang mana sangat terdesak mahu meraih sokongan rakyat negara ini khususnya kaum Melayu.

“Bagi saya nampak sangatlah ini adalah satu provokasi sebab, sehinggakan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan datang hari ini. Saya harap rakyat sedarlah,” jelas Haniza.



Kerajaan Selangor Deklasifikasi Maklumat YBK

Selangor akan menerbitkan sebuah buku khas memuatkan segala aset dan sumbangan kerajaan negeri terhadap Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK).

Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, langkah itu akan membolehkan rakyat mendapat penjelasan penuh mengenai isu YBK tanpa terikat kepada kekangan Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Beliau berkata, YBk sendiri tidak mematuhi peruntukan undang-undang tubuh sendiri yang mensyaratkan badan itu memaklumkan kerajaan negeri mengenai urus tadbirnya dari semasa ke semasa.

“YBK harus melaporkan segala pengoperasiannya kepada kerajaan negeri kerana itu menjadi tanggungjawabnya sebagaimana ditetapkan di bawah Article of Association dan ini memnyanggah kenyataan YBK bahawa badan kebajikan itu dengan kerajaan negeri adalah berbeza,” katanya.

Pada sidang media di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) ini, beliau turut memberi respon terhadap ugutan pemimpoin Umno dan YBK sendiri untuk memindahkan projek kampus Universiti Teknologi MARA (UiTM) dari Serendah Selangor ke Melaka.

Ugutan itu dibuat selepas Tan Sri Khalid mendedahkan beberapa prosedur yang tidak dipatuhi oleh YBK bersabit tanah 1,300 ekar yang diberikan oleh kerajaan negeri kepada badan amal itu.

“Keputusan untuk menempatkan lokasi UiTM adalah hak kerajaan pusat tetapi daripada segi penggunaan dana rakyat yang diperoleh daripada pembayar cukai perlu dikaji. Saya juga tidak berhasrat mempersoalkan isu ini kerana semuanya terpulang kepada kerajaan persekutuan,” katanya. -TVS



Aduka Taruna Perlu Mohon Maaf Di Depan Hakim Dan Keluarga Diraja Johor : Rais

Penulis blog Aduka Taruna yang didakwa menghina Almarhum Sultan Johor Sultan Iskandar ibni Almarhum Sultan Ismail, perlu membuat permohonan maaf secara formal di hadapan Hakim Mahkamah yang akan membicarakan kesnya kelak.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata blogger itu juga boleh memohon maaf secara formal kepada keluarga Diraja Johor sendiri.

"Jika seseorang itu ingin memohon maaf mereka boleh buat secara formal di mahkamah yang merupakan satu faktor mitigasi di mahkamah. Memohon maaf kepada keluarga diraja pula soal di luar undang-undang, (dan) terserahlah kepada budi bicara pihak diraja berkenaan sama ada menerima atau tidak. Tetapi lunas undang-undang tetap harus berjalan," katanya pada satu sidang akhbar di sini Rabu.

Penulis blog berusia 29 tahun itu dilaporkan telah menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Baharu, pada Isnin lepas dan direman selama empat hari untuk pihak polis menjalankan siasatan.

Dia kemudian menyiarkan permohonan maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia terhadap keterlanjuran dirinya dalam blog itu dan menarik balik artikel yang dipersoalkan itu.

Rais sebelum ini berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan menyiasat dan mengambil tindakan undang-undang mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali.

"Di bawah Seksyen 233, seseorang yang menghantar mesej ataupun seseorang yang menggunakan bahasa, menggertak atau menggunakan kelucahan atau menyakitkan hati ataupun sabit dengan perlakuan yang boleh dikaitkan dengan hasutan, kesemuanya ini boleh dikemukakan oleh pihak yang mendakwa supaya kes tersebut dibawa terus ke mahkamah," katanya.

Beliau berkata sejumlah 352 kes telah disiasat oleh SKMM sepanjang tahun lepas dan dari angka tersebut 13 pertuduhan telah dibawa ke mahkamah, sama ada kerana kesalahan mengikut Seksyen 232 atau Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Kes-kes yang dikompaun ialah 38 dan jumlah denda atau kompaun yang diterima ialah RM460,000, manakala kes yang masih dalam siasatan ialah 174 dan kes yang memerlukan siasatan lanjut atas arahan timbalan pendakwa raya ialah 36," katanya.

Sejumlah 88 kes pula telah ditutup oleh pendakwa raya atas sebab-sebab tertentu, sama ada tidak cukup bukti ataupun atas budi bicara jabatan berkenaan, katanya.

"Ini termasuklah kes-kes di mana mereka yang telah terbabit mungkin telah memohon maaf ataupun dalam kes-kes tertentu pula didapati bahawa barang-barang yang disiasat itu tidak dapat menimbulkan pembuktian yang jelas.

"Jadi kesemua ini menunjukkan bahawa bidang bagi seseorang itu memohon maaf secara formal memang ada dan digalakkan tetapi itu hanya boleh dibuat semasa mitigasi hadapan dengan hakim atau pihak yang menghakimkan kes-kes tersebut dan juga sekiranya diterima oleh pihak-pihak tertentu seperti kes blogger yang melibatkan pihak diraja kita di Johor," katanya.

Rais berkata SKMM telah diarah untuk bertindak tegas dalam menangani perkara itu selain menjalankan siasatan secara adil dan objektif.

-- BERNAMA

Ulasan GB

Inilah yang GB tekankan di dalam tulisan-tulisan yang lalu. Sepatutnya sebelum melapor dan menyerah diri ke Balai Polis, AT berusaha ke Istana Johor untuk mengadap Tunku Ibrahim Ismail Sultan Iskandar, Sultan Johor yang baru ditabalkan memohon maaf.

Seandai ia telah dilakukan terlebih awal, dan Sultan perkenan mengampunkan, maka terdiamlah semua para penjerit di alam siber atau di atas bumi meminta AT disiasat dan ditangkap.

AT memilih ke Kota Bharu. Kerana dua faktor, faktor isteri dan faktor rakan. Mungkin yang memburukkan keadaan pada masa itu, Pemuda PAS Johor sendiri meminta beliau ditangkap dan disiasat, bukan untuk membantu mententeramkan keadaan.

Permit Himpunan 100 Ribu Royalti Minyak Esok Sudah Diperolehi - Gegar

Himpunan 100,000 rakyat Kelantan yang bermula esok telah mendapat kelulusan daripada pihak polis," kata Setiausaha Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti Rakyat (Gegar) Mohd Hisyamuddin Ghazali kepada erapakatan.com di sini, hari ini.

"Seluruh rakyat Kelantan dan masyarakat awam dijemput hadir. Alhamdulillah baru dapat permit polis. Jadi, program Himpunan 100 ribu rakyat Kelantan tuntut royalti minyak di negeri ini adalah halal di sisi undang-undang negara. Semua dijemput hadir.

"Permit polis itu, kami terima pada 3:18 petang tadi di Ibupejabat Polis Daerah Kota Bharu," kata beliau.

Ekoran itu, tambah Mohd Hisyamuddin, Gegar telah menyusun beberapa program sebagai langkah persediaan menjelang esok.

"Kita ada ceramah malam esok, termasuk program solat hajat berjemaah dan ceramah oleh Tengku Razaleigh Hamzah," kata beliau.

Mohd Hisyamuddin berkata, himpunan tersebut boleh diikuti secara langsung melalui laman sesawang http://www.mykelantan.tv. -erapakatan


Presiden PAS, Tun Salleh sertai pidato royalti minyak Ku Li

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang bersama dengan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abbas dimaklumkan akan turut serta dalam perhimpunan khas royalti minyak 28 Januari ini di Stadium Sultan Mohamad IV, Kota Bharu.

Perhimpunan yang akan bermula dengan solat Maghrib yang bakal diimamkan oleh Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat itu akan mendengar pidato khas Tengku Razaleigh Hamzah, bekas Pengerusi Petronas.

Pidato anggota Parlimen Umno dari Gua Musang itu sangat penting kerana beliau adalah pihak yang berjanji bagi pihak Petronas untuk membayar 5 peratus royalti kepada kerajaan negeri Kelantan jika minyak dibawa keluar dari perairan negeri ini.

Janji itu dibuat Razaleigh melalui perjanjian mengenainya ketika beliau mewakili Petronas ketika membuat perjanjian dengan Kelantan.

Pada 28 Januari ini, Tengku Razaleigh dijangka mencerita bagaimana perjanjian itu dibuat dan apakah makna perjanjian itu bagi Kelantan, Petronas dan Malaysia.

Majlis ini dianjurkan oleh Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti Rakyat (Gegar) dan Majlis Permuafakatan Rakyat Terengganu (Mampat) iaitu NGO yang memperjuangkan royalti untuk negeri Kelantan dan Terengganu. Majlis ini dianjurkan dengan kerjasama kerajaan negeri Kelantan.

28 Januari ini bakal menjadi hari yang penting untuk Kelantan kerana di hari itu ketua-ketua gereja seluruh negara juga akan mengadakan perhimpunan mereka di Kota Bharu.

Ia kemudian disusuli dengan majlis Makan Tengahari dengan Menteri Besar Kelantan bersama ketua-ketua agama lain termasuk para ulama dan sami. - harakahdaily


Akibat Memberi Ruang Kepada Zul Kulim, Beliau Semakin Keterlaluan

Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu Zulkifli Noordin dilihat “sudah keterlaluan” ekoran kenyataan terbarunya mendakwa PKR dan Pakatan Rakyat (PR), yang diwakilinya, sedang menggerakkan revolusi untuk meminda Perlembagaan Persekutuan.

Justeru, Setiausaha agung baru PKR Saifuddin Nasution (gambar) berkata kenyataan Zulkifli adalah sangat serius kerana PR yang dianggotai tiga parti telah bersetuju dengan memeterai Dasar Bersama bulan lalu.

Dasar itu menekankan pendirian menerima Islam sebagai agama rasmi, kedudukan Raja-raja Melayu, hak keistimewaan Bumiputera dan bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan.

“Bagi saya ia satu kenyataan serius dan tiada asas sama sekali... jadi saya tidak tahu apa asas beliau apabila mengatakan adanya agenda revolusi dalam PKR dan Pakatan.

“Ini adalah fakta kerana kita ada dokumen, yang ditandatangani pemimpin dari tiga parti, di mana beliau sendiri hadir pada majlis konvensyen Pakatan tempoh hari.

“Yang mengejutkan saya ialah ada Ahli Parlimen yang tidak sedar tentang kewujudan dokumen ini dan tidak bersedia untuk menerima hakikat,” kata beliau kepada The Malaysian Insider di sini.

Dalam temu bual dengan akhbar tempatan, Zulkifli yang menjadi personaliti tumpuan arena politik tempatan sejak seminggu lalu berkata “saya percaya mereka (PKR) ada agenda mereka sendiri, bukan untuk pembaharuan.”

“Agenda mereka adalah revolusi. Di mana mereka mengubah fundamental asas tunjang masyarakat, misalnya menjadikan Islam dan agama lain sama taraf.

“Hak keistimewaan orang Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, saya merasakan mereka akan keluarkan.

“Saya tidak memanggil ia sebagai pembaharuan, ia adalah satu revolusi. Jadi ia harus dimaklumkan kepada orang ramai kerana mereka mesti tahu ini yang akan kita (dalam Pakatan) akan lakukan jika kita mengambil alih kerajaan,” kata Zulkifli.

Zulkifli juga memberita beliau tidak bersetuju dengan usaha meminda Perlembagaan Persekutuan kerana ia adalah tunjang negara.

Malah kata Saifuddin, isu PR akan meminda Perlembagaan Persekutuan juga tidak timbul kerana kesemua komponen ikatan sudah bersetuju dengan empat perkara asas yang dijelaskan dalam Dasar Bersama.

“Ini adalah satu kenyataan yang amat mengelirukan,” katanya lagi.

Saifuddin berkata Zulkifli seharusnya bersedia untuk menerima hakikat bahawa PKR dan PR sudah berjalan jauh dan beliau harus berlapang dada untuk menerima hakikat semasa.

“Pandangan Zulkifli tidak betul... kita ada Dasar Bersama, kita sudah jauh ke hadapan.

“Saya tahu Zulkifli seorang banyak membaca. Jalan keluar ialah, apa yang beliau perlu lakukan ialah baca dokumen Dasar Bersama itu... tidak wajar beliau membuat kenyataan mendakwa ada pihak yang mahu menyamakan agama Islam sama taraf dengan agama lain,” katanya lag.

PKR semalam membuat keputusan merujuk kes Zulkifli kepada Lembaga Disiplin parti untuk menyiasat serta membuat keputusan terhadap beliau dalam masa 30 hari. Parti juga mengeluarkan “gag order” atau larangan supaya beliau tidak lagi mengeluarkan kenyataan yang boleh memudaratkan parti serta merosakkan perpaduan PR.

Ahad lalu, beliau membuat laporan polis agar rakan sejawatannya dari Shah Alam, Khalid Samad, wakil PAS supaya disiasat di bawah Akta Hasutan kerana mengesyorkan enakmen agama Islam Selangor dikaji semula.

Sementara itu anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR, Datuk Zaid Ibrahim dalam blognya berkata, keputusan semalam tidak mencerminkan keseriusan parti itu menyelesaikan isu disiplin di kalangan ahlinya.

“Hebat bunyi keputusan PKR. Nak ikut “due process “ atau proses keadilan dalam undang-undang.

“Sebenarnya ramai orang merasakan PKR tidak serius untok mengambil tindakan.

“Malah ada yang mengagak tidak akan ada satu keputusan yang tegas akan diambil dalam tempoh tersebut,” katanya.

Zaid berkata beliau yakin PKR tidak mampu mempertahankan sesuatu prinsip utama dalam perjuangannya.

Ketika ditanya pandangan bahawa Zulkifli bertindak seolah-olah beliau tidak boleh disentuh, Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Machang berkata, PKR sebenarnya mahu memberi peluang keadilan yang secukupnya kepada wakil rakyat itu.

“Kami hendak memberikan beliau semua pilihan mengikut semangat keadilan sejagat,” kata beliau sambil menambah, parti hendak memberinya segala ruang prosiding.

Saifuddin berkata PKR tidak bertindak berhubung pendiriannya tentang isu kalimah Allah.

“Tetapi kami ambil tindakan apabila laporan polis beliau (ke atas Khalid Samad) yang membelakangi saluran dan mekanisme parti,” katanya.

“Kami tidak bertindak kerana beliau memperjuangkan Islam, kami tidak bertindak kerana beliau seorang pejuang Islam atau pejuang Melayu... tapi bertindak kerana membuat laporan polis dan ini adalah isu pelanggaran disiplin,” katanya lagi.

Oleh itu kata beliau, Zulkifli sebagai wakil rakyat dan ahli PKR seharusnya menghormati aspek disiplin parti.

Ulasan GB

Apa lagi PKR simpan Zul Kulim tu? Ngabiskan masa menjawab fitnah dan lemparan tuduhan yang tidak berasas.

Agaknya spesies orang Melayu gitu. Suka melayan dan terheret ke kancah perkara yang tiada. Sehingga tenaga yang terbatas ini habis terbuang membincang dan berpolemik terhadap perkara yang hanya di bikin-bikin.

Saidina Umar selalu bertanya bila diajukan perkara-perkara yang sifatnya spekulasi dan belum sahih.

"Adakah perkara itu berlaku"

Maka dijawab orang pada ketika itu "Tidak" atau "Belum", beliau lalu menjawab, "Tak perlu dilayan".

Itu sifat Umar, sifat seorang khalifah yang tegas, dengan gelaran "Al-Faruq" - pemisah antara hak dan batil

Serangan Kepala Babi Di Masjid Mencurigakan

ADUN Taman Medan, Haniza Talha menyifatkan provokasi yang direncanakan UMNO Barisan Nasional gagal membangkitkan kemarahan orang melayu.

Pagi tadi, 2 kepala babi diletakkan diperkarangan 2 masjid berasingan disyaki didalangi UMNO Barisan Nasional.

Haniza berkata UMNO Barisan Nasional lupa kaum Melayu kini bukan berfikiran jumud. Mereka kini pandai menilai situasi semasa.

"Ini adalah usaha untuk membangkit kemarahan orang Melayu. Tapi orang melayu sekarang tidak bodoh. Mereka tahu ini adalah provokasi. Ini taktik lama," katanya.

Beliau berpendirian tindakan ini satu perbuatan khianat untuk melagakan rakyat Malaysia kerana cara bagaimana kepala babi itu ditemui.

"Kalau difikir logik, babi itu dibungkus elok- elok dalam plastik. Menunjukkan bahawa orang yang letakkan kepala babi itu sendiri takut hendak memegang kepala babi itu. Kalau orang bukan islam, mereka tidak takut untuk pegang kepala babi itu. Ini jelas satu provokasi," tambahnya lagi.

Beliau berharap rakyat tidak lagi tertipu dengan taktik kuno UMNO Barisan nasional ini yang mana sangat terdesak mahu meraih sokongan rakyat negara ini khususnya kaum Melayu.

"Bagi saya nampak sangatlah ini adalah satu provokasi sebab, sehinggakan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan datang hari ini. Saya harap rakyat sedarlah," jelas Haniza. -TVS



Kepala babi dilontar dalam perkarangan dua masjid

Kepala babi ditemui dilontarkan ke dalam perkarangan dua buah masjid sekitar Jalan Klang Lama hari ini.

Kepala babi berkenaan dijumpai di perkarangan masjid Taman Datuk Harun di Petaling Jaya dan Masjid Al-Imam Al-Tirmizi, Taman Seri Sentosa, Jalan Klang Lama.

Insiden itu merupakan yang terbaru perbuatan merosak dan mencemarkan rumah-rumat ibadat sepanjang tiga minggu lalu, yang membabitkan 11 gereja, sebuah kuil Sikh, sebuah masjid dan dua surau.

Serangan ini dipercayai ada kaitan dengan keputusan Mahkamah Tinggi pada 31 Disember lalu yang membenarkan bukan Islam menggunakan kalimah Allah sebagai terjemahaan untuk 'God'.

Menurut saksi, dua kepala babi dijumpai oleh jemaah di perkarangan masjid ketika datang hendak menunaikan solat Subuh pada jam 5.30 pagi.

Selain kepala babi, kepingan wang kertas juga ditemui ditaburkan di di situ.

Menurut wartawan Malaysiakini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan pegawainya datang untuk menyiasat kawasan kejadian.

Wang juga dijumpai bertaburan

Sementara itu, satu beg plastik yang berisi dua kepala babi hutan di temui di tempat letak kereta Masjid Al-Imam Al-Tirmizi oleh seoang penduduk, Sharif Shaari, 57, yang datang pada jam 5.45 pagi tadi untuk mengerjakan solat Subuh.

Sharif, seorang peniaga, bersama seorang kawannya ternampak beg plastik itu tetapi tidak menyangka ia berisi kepala babi, lalu mereka terus masuk ke masjid untuk mengerjakan solat.

Selepas mengerja solat Subuh, mereka keluar semula untuk memeriksa beg tersebut dan terkejut apabila mendapati ia mengandungi dua kepala babi hutan.

Mereka juga ternampak kepingan wang kertas ditaburkan di situ. Ia termasuk keping wang seringgit, lima ringgit dan sepuluh ringgit yang semunya berjumlah RM35.

Mereka kemudian terus masuk semula ke masjid dan memaklumkan perkara itu kepada imam masjid berkenaan, Zulkifli mohamad.

Seorang daripada mereka menelefon pihak polis yang tiba kira-kira 6.40 pagi tadi.

Bungkusan lutsinar

Manakala di Masjid Jumhuriyah Taman Datuk Harun, Petaling Jaya - berdekatan dengan lebuh raya NPE - terdapat dua kepala babi hutan ditemui di perkarangan masjid berdekatan di pintu belakang kira-kira jam 6 pagi tadi oleh anak kariah.

Jarak antara kedua-dua masjid tersebut adalah sejauh 3km.. Seorang saksi yang bernama Mohd Hilmi Bakri, 20, seorang pelajar berkata ketika dia untuk menunaikan solat subuh, dia ternampak kira-kira 20 orang sedang berkerumun melihat sebuah bungkusan lutsinar.

Berdekatan dengan bungkusan itu juga terdapat 30 wang kertas RM1. Mereka membiarkannya kerana menyangka bungkusan tersebut adalah kes buang bayi.

Kemudian, seorang pegawai masjid menghubungi pihak polis kira-kira jam 6.30 pagi. Dua anggota polis tiba dan membuka bungkusan tersebut, dan mendapati ia berisi kepala babi hutan.

Selepas itu, dua kereta peronda polis datang dan mengambil kepala babi hutan itu kira kira jam 7.30 pagi tadi.

Sementara itu, Timbalan Nazir masjid berkenaan, Hasbullah Zainal berkata beliau kesal dengan kejadiaan tersebut dan tidak pernah terjadi sebelum ini.

Beliau juga meminta anggota kariah supaya bertenang dan menyerahkannya kepada pihak keselamatan untuk menyiasat kejadian itu.-malaysiakini


SELCAT : Zainal Abidin Sakom Guna Peruntukan Lebih Had Semasa Menjadi ADUN Batang Kali

Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Kecekapan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) mempertikai beberapa kelulusan permohonan Pegawai Daerah (DO) Hulu Selangor, Norhisham Mohd Dahlan yang dianggap luar biasa.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Kali ketika itu, Datuk Zainal Abidin Sakom didapati menggunakan peruntukan melebihi had yang diperuntukkan kepada setiap ADUN.

Berdasarkan penelitian salah seorang panel Selcat, Haniza Talha, DO Hulu Selangor meluluskan 52 permohonan berjumlah RM513,061.29 sedangkan setiap ADUN hanya diperuntukkan RM500,000 setahun.

Bagaimanapun, Norhisham menafikan jumlah itu dan memberitahu jawatankuasa berkenaan, jumlah sebenar sebanyak RM499,901.74 tetapi tidak dimasukkan ke dalam maklumat yang diperoleh Selcat.

Haniza turut mempertikai bayaran dalam jumlah yang besar diberikan kepada seorang individu yang sama sebanyak RM87,896.95 tetapi tiada sebarang catatan mengenai program atau projek yang dijalankan oleh individu berkenaan.

Terdapat juga beberapa peruntukan diluluskan untuk program parti politik dengan jumlah yang besar.

Haniza Pada 29 Februari, program Wanita UMNO di mana bayaran diberikan kepada seorang individu dengan lima kali bayaran, setiap satu bernilai RM4,000. Jadi, adakah ini satu amalan biasa untuk pejabat daerah mengeluarkan cek untuk aktiviti yang sama dalam jumlah bayaran yang sama?

Norhisham Yang Berhormat, seperti yang saya beritahu tadi bahawa amalan ini memang amalan 50 tahun lepas. Jadi, wang tersebut adalah wang peruntukan ADUN tersebut.

Norhisham juga tidak mengenali individu iaitu seorang wanita yang menerima cek tersebut.

Norhisham juga tidak dapat memperincikan maklumat bagi beberapa soalan daripada Haniza memandangkan fail peruntukan ADUN Batang Kali dan ADUN Kuala Kubu Bharu telah diambil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia pada 23 Julai tahun lalu.

Beliau juga tidak mempunyai ‘soft copy’ mengenai maklumat peruntukan tersebut dan sehingga kini belum ada siasatan dibuat oleh pegawai SPRM walaupun sudah tujuh bulan fail diambil.

Menurutnya juga, beliau juga tidak mengetahui secara rasmi wang peruntukan tersebut diberikan kepada siapa tetapi hanya menjalankan tugasnya sahaja.

Dalam pada itu, seorang lagi panel Selcat, Mohamad Azmin Ali turut mempertikaikan sejumlah besar yang diluluskan peruntukannya kepada tiga sayap utama UMNO iaitu Wanita UMNO, Pemuda UMNO dan Puteri UMNO di DUN Hulu Bernam di mana masing-masing menerima sebanyak RM20,000.

Selain itu, beliau juga mendakwa, MCA menerima RM25,000 dan 40 cek untuk UMNO cawangan dengan jumlah melebihi 100,000.

Selcat juga telah mendedahkan kelulusan permohonan yang dibuat di DUN Kuala Kubu Bharu ketika itu iaitu terdapat 20 cek kepada individu yang berlainan bagi sambutan Thaipusam.

Menurut Azmin, sekiranya benar peruntukan itu untuk program perayaan, bayaran sepatutnya dibuat atas nama kuil yang membuat sambutan perayaan itu bukannya individu.

Selain itu, sebanyak 41 permohonan peruntukan pada tarikh dan tujuan sama iaitu untuk sumbangan balai raya tetapi diberikan atas nama UMNO turut dipersoalkan ketelusannya.

Sementara itu, Zainal Abidin ketika dihubungi semalam berkata, beliau telah menyerahkan perkara yang berkaitan dengan Selcat kepada peguamnya.

“Semua wakil rakyat Barisan Nasional (BN) sudah mempunyai peguam untuk jawab isu ini,” katanya. -SH

Zaid Bidas Keputusan PKR Lengahkan Keputusan Terhadap Zul Kulim

Little Napoleon

Parti Keadilan Rakyat hari ini membuat keputusan merujuk kes Zulkifli Nordin kepada Jawatankuasa Disiplin parti untuk menyiasat serta membuat keputusan terhadap beliau dalam masa 30 hari. Parti juga mengeluarkan “gag order” atau larangan supaya beliau tidak lagi mengeluarkan kenyataan yang boleh memudaratkan parti serta merosakkan perpaduan Pakatan Rakyat.

Hebat bunyi keputusan PKR. Nak ikut “due process “atau proses keadilan dalam undang undang.Sebenarnya ramai orang merasakan PKR tidak serius untok mengambil tindakan. Malah ada yang mengagak tidak akan ada satu keputusan yang tegas akan diambil dalam tempoh tersebut. Sementara itu Zulkifli Nordin setiap minit akan terus menghina pendirian Pakatan dalam TV UMNO dan surat khabar UMNO dan tidak akan peduli arahan parti, sama seperti yang telah dia lakukan pada masa-masa yang lepas.

Hairan juga keadaan ini, seolah-olah Zulkifli Nordin adalah seorang manusia yang tidak boleh disentuh oleh parti; entah mengapa ada keistimewaan itu. Sebab itulah Zulkifli menggelar sesiapa saja yang mengkritiknya sebagai “Firaun Kecil” atau “Little Napoleon”, iaitu merujuk kepada pegawai parti yang tidak ada taring; maksudnya orang seperti saya.

Selepas hari ini, saya yakin PKR tidak mampu mempertahankan sesuatu prinsip utama dalam perjuangan nya. Hanya yang mudah dan expedient,.PKR hari ini tak jauh bezanya dengan UMNO; cuma ia hanya seperti acuan atau “a poor man’s version of” UMNO.

Ada pihak amat takut untuk mengambil tindakan terhadap Zulkifli Nordin, walaupun jelas tindakannya yang mahu menghancurkan parti dari dalam, kerana bimbang dengan persepsi bahawa orang Melayu dan Islam sayang kapada Zulkifli Nordin. Dia konon nya popular dengan “isu Islam nya”. Tapi Zulkifli Nordin bukan wira Islam. Bukan wira Melayu. Sikap, perbuatan dan kata-katanya sama dengan jaguh-jaguh UMNO. Lagi pula Zulkifli Nordin terang-terang membuat kenyataan yang bertentangan dengan keputusan parti dan Pakatan Rakyat. Apa yang dilakukannya hanyalah memberi gambaran kepada umum bahawa PKR dan Pakatan Rakyat telah mengkhianati umat Islam dan Raja Melayu kerana kononnya sanggup membiarkan orang agama lain menghina Islam, terutamanya dalam isu penggunaan perkataan Allah.

Bagi saya, kalau kita tidak yakin dengan pendirian kita dalam soal penggunaan perkataaan Allah ini, dan isu lain yang dibawa olih Zulkifli Nordin ikut saja UMNO dan Zulkifli Nordin. Tapi kalau kita yakin, kalau kita berpegang kapada prinsip dalam Perlembaggaan Persekutuan , dan pendapat alim ulamak maka kita mesti teruskan dengan pendirian kita.. Sampai bila kita mahu berpolitik dua alam; di sana kita berpegang kepada satu prinsip, di sini kita bertukar kepada prinsip lain pula.

Mungkin ada rakan-rakan yang akan berkata tindakan akan diambil selepas siasatan jawatankuasa parti, dan minta saya bersabar. Ikut lunas undang undang. Saya memang setuju, sebab itu kita sepatutnya gantung Zulkifli Nordin sementara siasatan selesai. Kerana kesalahan nya jelas dan berterusan bagi mereka yang dapat dan mahu melihat. Kita perlu berlaku adil kapada dia , tetapi kita juga perlu berlaku adil kapada ratusan ribu ahli parti yang mengharapkan pembelaan dalam mempertahankan prinsip perjuangan parti dan Pakatan Rakyat.

Dalam memperkatakan semua ini saya mungkin dipecat olih parti Keadilan kerana saya tidak ada kekebalan saperti sasetengah pemimpin PKR. Tapi saya biasa kena pecat dan saya akan terus menyuarakan perjuangasn politik yang sihat dan bermaruah untok kebaikan PKR dan Pakatan. Kita tidak mampu menjadi parti yang akan membawa perubahan kapada politik dan pentadbiran Negara kalau Zulkifli Nordin pun kita tidak bolih selesai dengan cara yang sepatutnya. Nampaknya PAS lebih berprinsip dan berani kerana sanggup mengambil tindakan kapada ketua negeri Selangor nya Dr Hassan Ali, tetapi PKR takut kapada ahli Parlimen Kulim Bandar Baru. -Datuk Zaid Ibrahim

PAS & PKR Perlu Lebih Pantas Jika Benar Nak Tumbangkan Najib

JK Disiplin PAS & PKR : Siapa Lembab, Siapa Pantas?

Jawatankuasa Disiplin PAS bolehlah dikatakan telah gagal menyelesaikan kemelut antara Hassan dan Khalid di Selangor. Jawatankuasa itu telah beberapa kali menangguhkan keputusan akan siapakah yang benar dan siapa yang salah. Ahli dan pengundi PAS telah lebih sebulan menunggu dan memerhati akan keberkesanan dan kewibawaan jawatankuasa ini. Jawatankuasa ini telah menetapkan 29 Januari 2010 sebagai tarikh keputusan. Mungkin ditangguhkan lagi ke minggu hadapan... Jikalau ditangguh lagi, jawatankuasa ini seharusnya diberi nama baru iaitu Jawatankuasa Disiplin PAS Minggu Hadapan.

Penangguhan yang telah melewati tempoh satu bulan seolah-olah memberitahu kita bahawa Jawatankuasa Disiplin PAS sedang berdilema untuk memutuskan tindakan keras kepada salah seorang antara Hassan dan Khalid. Kami penyokong PR mahukan keputusan yang tegas dan telus. Kami tidak mahu keputusannya hanya dilayangkan ‘kad kuning’ sahaja. Kami mahu salah seorang diberikan ‘kad merah’.

Setelah Jawatankuasa Disiplin PAS gagal melaksanakan fungsinya dalam tempoh sebulan, rakannya iaitu Jawatankuasa Disiplin PKR pula akan diuji. Difahamkan bahawa Biro Politik PKR yang bermesyuarat hari ini akan menghantar laporan tentang salah laku Zul Kulim kepada Jawatankuasa Disiplin PKR dalam tempoh satu bulan. Persoalannya, kenapa tempoh menyiapkan laporan mengambil masa sebulan lamanya? Apakah menjadi satu kesalahan menghantar laporan salah laku dalam tempoh seminngu? Dan apakah serius kesalahan Jawatankuasa Disiplin, sekiranya mereka membuat keputusan dalam tempoh satu minggu?

Pemimpin-pemimpin politik PR harus bergerak pantas. Disamping petah menghujah isu dan menyanggah idea lapok UMNO, mereka mesti mampu bertindak segera menyelesaikan masalah dalaman. Jikalau isu Hassan-Khalid dan Zul Kulim gagal ditangani dalam tempoh yang singkat, apakah kami boleh mengharapkan PR menunaikan janjinya seperti yang terkandung dalam manifesto? Tentu jawapannya sukar...

Ketepikan Hassan Ali dalam pimpinan PAS pusat. Kirim segera Zul Kulim kepada UMNO dengan menggunakan Perkhidmatan Pos Laju. Jikalau PR lambat bertindak, bermakna UMNO berjaya menambahkan kekuatannya. Tetapi jika PR cepat bertindak, sokongan dan semangat kami untuk bekerja demi kemenangan PR akan segera pulih.


Biarlah PR hilang beberapa YB yang mendatangkan masalah kepada PR daripada meratap kemudian hari akan kemerosotan undi dalam pilihanraya. Ingat pepatah silam, ‘patah tumbuh hilang berganti’. Satu Hassan pergi, sepuluh Khalid akan datang. Sekiranya satu Khalid yang pergi, tinggallah satu Hassan tanpa waris. Untuk Zul Kulim, datangmu tidak diundang, pergimu tidak dihalang. Tawamu tidak lagi disambut tetapi dihamput. Oleh itu segeralah keluar PR sebelum kamu dihalau.. -jantantuya


Pantas Tanpa Korbankan Kualiti - PM

Apek kepantasan dalam membuat keputusan dan pelaksanaan ditekankan untuk tahun 2010 kerana ia menjadi kayu ukur negara yang berdaya saing dan berada di saf hadapan, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, aspek itu amat penting supaya kedudukan negara tidak tercorot dan menurun, sekali gus dapat mengekalkan, tanpa mengorbankan kualiti dan ketepatan, malah mempertingkatkan keyakinan orang pada Malaysia.

“Untuk tahun ini 2010, saya nak tekankan soal kepantasan, kepantasan membuat keputusan, kepantasan melaksanakan tanpa mengorbankan kualiti. “Maknanya, kita jangan korbankan ketepatan, tapi kita mesti buat sesuatu dengan pantas, sebab itu menjadi salah satu kayu ukur negara yang mempunyai daya saing, yang boleh kita katakan berada di saf hadapan. “Sebab semua ini akan dinilai. Kalau Malaysia corot atau dah menurun kedudukan kita, jadi keyakinan orang pada kita akan terjejas. “Jadi, itu sebab saya nak tekankan soal kepantasan, terutama kepantasan untuk kita sampaikan, memenuhi jangkaan rakyat,” katanya, pada program Soal Jawab bersama Pengarah Eksekutif Berita dan Operasi Editorial Media Prima yang juga Pengarah Eksekutif Editorial The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), Datuk Ahmad A Talib melalui TV3, malam tadi.

Najib berkata, bawah kepemimpinannya bukan keluaran (output) diutamakan seperti difikirkan banyak pihak selama ini tetapi hasil dan kesan (outcome), yang termaktub dalam pendekatan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan Petunjuk Prestasi Utama Negara (NKPI).

Beliau melahirkan rasa kagum terhadap beberapa perubahan dan pencapaian, seperti dalam pengeluaran pasport antarabangsa dan penubuhan Klinik 1Malaysia.

“Saya juga ingin menyebut, ada beberapa perubahan, yang saya rasa kagum, umpamanya pasport antarabangsa, boleh dikeluarkan, dulu dalam masa seminggu, lepas itu satu hari, sekarang ini dalam masa dua jam, satu jam pun boleh dapat pasport antarabangsa. Itu satu kejayaan yang dulu kita tak terfikir boleh buat, “Bila kita sebut konsep Klinik 1Malaysia dalam ucapan belanjawan saya 23 Oktober (2009), bila masuk minggu pertama tahun ini 44 Klinik 1Malaysia sudah pun beroperasi.

“Maknanya boleh, bila kita fokus dan kita ada motivasi. Dan kalau kepemimpinan negara kata kita patut buat, disambut oleh pegawai dan kita pula bagi rangsangan pada mereka, tak ada sebab mengapa kita tak boleh menunjukkan pencapaian yang luar biasa,” katanya. Katanya, beliau mahu melihat setiap cabang perkhidmatan melakukan perubahan yang berlipat ganda, iaitu lonjakan berganda. Dalam beberapa urusan seperti pendaftaran perniagaan dan pertukaran hak milik hartanah katanya, beliau mahu prosesnya dipercepatkan lagi.

“Untuk mendaftar perniagaan, saya diberitahu makan masa 11 hari. Saya kata kenapa 11 hari, saya nak dalam masa tiga hari.

“Begitu juga kalau kita nak daftar pertukaran hartanah umpamanya, kenapa makan masa yang lama. Saya nak lebih pantas lagi. “Jadi, ini semua kita akan lihat satu persatu dalam aspek pentadbiran kerajaan berasaskan kepada pencapaian diutamakan dan juga untuk kepentingan rakyat, yang saya katakan rakyat didahulukan dan saya nak keputusan yang pantas.

“Ini semua kita akan semak satu persatu, dengan kepimpinan pentadbiran awam, Ketua Setiausaha Negara dan pegawai tertinggi kerajaan, mereka bersemangat dan menyokong usaha pembaharuan.

“Kadang-kadang kita rasakan bahawa kita cukup baik. Sebenarnya kita tidak mencabar diri kita bahawasanya mungkin ada ruang yang boleh kita lakukan yang selama ini kita tak terfikir.

“Jadi, saya nak melihat dan saya nak benchmark (tanda aras) dengan negara yang paling tinggi prestasi mereka. Saya tak nak benchmark di liga, di pertengahan liga, saya nak berada tahap antara tertinggi,” katanya.

Dengan landskap dunia yang sudah berubah, katanya, Malaysia berada di tengah tengah lautan yang sangat hebat persaingannya dan memerlukan sesuatu yang luar biasa. -hmetro


Ulasan GB

GB cukup lemas dengan pemimpin-pemimpin PR yang lembab. Dulu marahkan Pak Lah UMNO kaki tido, lemah, lembab, lembam etc. Sekarang kamu-kamu dalam PAS dan PKR apa ke halnya? Ada lagi alasan? Nak tegakkan benang basah jugak lagi.

Pasal kelembapan pemimpin inilah terutama PAS sang Aduka Taruna jadi terganggu psikologi, jadi sewel dalam ertikata mudah, tak tenang jiwa. Nak langgar hadi. Akhirnya terguna bahasa kasar terbawa-bawa untuk maki sesiapa saja. Sampai kena reman, sampai kena pakai baju lokap. Itu pun ada yang dalam jemaah yang tak puashati nak hentak dia lagi. Bukan nak tolong atau nak doakan supaya budak tu selamat dan dikurniakan hidayah. Tak tahu ke Aduka jadi telah mangsa kepada sistem pendidikan vernakular yang telah memisahkan akhlak dari pelajaran? Tak tahu ke Aduka selama ini ada sumbangan juga kepada perjuangan PR? Mulut dan tulisannya tersurat begitu, yang tersirat kamu tak perdalaminya kah?

Nak menang ke nak kalah dalam PRU? Ada pulak yang terlampau pandai menjawab, kalah menang tangan Tuhan, kita ikut ajer pemimpin tu, lemah camana pun. Sedangkan Tuhan berfirman di hadith qudsi:

"Allah menyukai seseorang itu, apabila melaksanakan sesuatu tugas, dilakukan dengan bersungguh-sungguh"

Baca betul-betul hadith tu, lakukan kerja dengan bersungguh-sungguh, bukan lembab, bukan tangguh-tangguh kerana "procrastination is a thief of time". Demi masa... manusia itu di dalam kerugian... Allah sampai bersumpah dengan masa.

Pepatah menyatakan "masa tu emas", ertinya terlalu berharga. Apasal perlu berdondang sayang atau menari lemah gemalai nak buat keputusan? Siapa nak tengok muka kamu yang kamu perasan handsome sangat tu?

Pepatah Arab pula menyatakan "masa itu pedang", kalau lambat, pedang itu memenggal leher kamu.



Ahli PAS Yang Perasan Mereka Bagus Sangat

Kamu dihurung penyakit PAS
Oleh Mohd Jimadie Shah Othman

Saya menulis artikel "Perasan bagus' sasterawan alumni MPR" dengan sungguh berlapang dada. Dalam tulisan tersebut, saya terpaksa berlaku adil dengan mengkritik sahabat-sahabat yang umpama darah daging sendiri.

Namun, secara keseluruhannya, kritikan tersebut sangat sederhana. Tidak banyak pandangan peribadi, sebaliknya hanyalah kutipan terhadap peristiwa dan tanggapan-tanggapan.

Faisal Tehrani memberikan respons yang menarik dengan mengupas hubung kait kualiti karya dengan perangai lobi-melobi di kalangan penulis. Perkara tersebut ada benarnya.


2
PAS sekarang dijangkiti penyakit yang sangat serius bernama sindrom penafian.

Dalam seminar politik bagi menggantikan muktamar khas (EGM) yang dicadangkan mursyidul amnya Nik Abdul Aziz Nik Mat tahun lalu, simton-simton penyakit tersebut jelas kelihatan.

Ia tergambar dalam tindakan biadap terhadap sebahagian mereka, termasuk pemimpin terhadap tetamu sendiri, Abdul Aziz Bari, seorang pakar perlembagaan terkenal.

Perbuatan tersebut hodoh dan jijik sekali. Sebagai seorang Islam yang diajar supaya menghormati tetamu, hati kecil saya sungguh berasa gundah.

kamu jemput orang cerita kelemahan kamu. Kemudian bila dia cakap, kamu maki dia. Akhlak Islam menantang apa macam itu?

3
Sahabatku di MPR, saya tulis entri ini (juga artikel di Malaysiakini sebelum ini) atas satu kerunsingan.

Saya bimbang kamu dihinggap penyakit yang sedang menghurung PAS, parti Islam itu.

Ulasan GB

Saya bersetuju dengan pendapat Sdra Jimadie.

Memang terdapat sekelompok dari ahli-ahli PAS yang jumud dan beku. Yang tidak dapat menerima kritikan, yang "keras berdekaq" dan tidak boleh menerima pendapat orang lain.

Malah GB sendiri, yang sebagai seorang ahli PAS berdaftar, yang selama ini umum mengetahui menulis mempertahankan kebenaran dan keadilan yang didokong dan diperjuangkan oleh PAS dituduh bermacam-macam. Inikan pula Jimadie. Inikan pula malaysiakini.

Ada yang kata GB sengaja memanjangkan isu UG untuk meraih populariti, GB pemecah-belah jemaah, GB kononnya PKR berbaju PAS, GB musuh ulamak dan all sorts of nonsense.

Jika kita selidiki mereka tersebut, kita lihat mereka adalah mempunyai kriteria yang mempunyai pendirian yang hampir serupa dengan UMNO di dalam apa-apa isu besar walaupun kadangkala tampak jelas pandangan mereka bertentangan dengan pendirian yang telah diambil secara mesyuwarah oleh parti sendiri.

1) Isu UG dan TGHH
2) Isu Arifahmi dan TGNA
3) Isu kalimah Allah
4) Isu Aduka Taruna

Di dalam isu UG, memang ternyata mereka jenis keras kepala. Walaupun mereka katakan isu itu telah ditutup, tapi hakikat sebenar bila digeletek oleh wartawan mereka sendiri akan melondehkan semula. Contohnya kenyataan-kenyataan Timbalan Presiden PAS sendiri. Dan apa bila ada ahli PAS menegur kenyataan beliau, berdiri semua dari golongan ini memaki hamun orang yang menegur, "kan dah kata UG dah ditutup", jerit mereka.

Dalam isu Ariffahmi dan TGNA, pendirian mereka diciplak dari pendirian Nik Mohd Abduh dan Nik Amalina walaupun Nik Abduh dan Nik Amalina telah menyelak kain ayahandanya sendiri untuk dipertontonkan kepada semua.

Sementara di dalam isu kalimah Allah, mereka senada dan seirama dengan UMNO. Kalimah Allah itu untuk Melayu, kalimah Allah itu untuk umat Islam sahaja sekalipun pendirian PAS, PKR malah Tokoh Maal Hijrah 2010, Yusof Al-Qaradhawi sendiri menyatakan Islam tidak menghalang kalimah itu digunakan oleh yang bukan Islam.

Di dalam isu Aduka Taruna, mereka bertegang "memaki-hamun" semula AT, walaupun mereka mengatakan AT tidak berakhlak Islamiah kerana memaki ulama, tetapi kalau mereka memaki-hamun mereka yang tak sependapat dengan mereka itu tak mengapa. Malah ada Pemuda PAS yang meminta AT disiasat dan dihukum!

Tetapi mereka berasa malu untuk dikaitkan dengan UMNO, sebab mereka tahu UMNO itu busuk. Mereka tahu UMNO itu perosak. Mereka menghadapi krisis hati, krisis identiti.

Setiap kali malaysiakini dan malaysian insider kemukakan tulisan yang menyenangkan hati mereka, mereka akan salintampal banyak-banyak di dalam portal dan blog mereka. Tetapi jangan malaysiakini dan malaysian insider mengemukakan kebaikan UMNO atau mendedahkan kelemahan PAS, akan dikatanya malaysakini dan malaysian insider dah ditaja oleh golongan Soros dan Kalimullah untuk UMNO.

Harakahdaily menerima nasib yang sama bila tak tulis berita untuk pemimpin pujaan mereka. Harakahdaily pun dah dijangkiti anwarisme, tempelak mereka.

Bukan saja akhbar online tersebut, malah orang persoarangan pun dijadikan sasarn seperti apa yang menimpa ke atas Prof Dr Abdul Aziz Bari dan mereka yangcuba mempertahankan Prof undang-undang tersebut seperti peguam PAS sendiri Hanipa Maidin. Begitu juga Khalid Samad. Oh Hanipa dan Aziz Bari sama-sama di UIA dulu dan mereka memang mendapat tarbiyah di luar lingkangan PAS dan agen pemecah-belas, Khalid Samad puak liberal kata mereka. Saari Sungip IRC, jerkah mereka. Tapi kalau Hassan Ali dan Zulkifli Nordin yang mendapat tarbiyah di luar PAS, itu lain, sebab ia sealiran dengan "orang kita".

"Sindrom penafian" memang tidak dapat dinafikan. Mereka menafikan sebarang kritikan terhadap mereka, terhadap pemimpin pujaan mereka, terhadap kelemahan-kelemahan pemimpin pujaan mereka itu, apatah lagi kelemahan-kelemahan mereka sendiri.

Tetapi setiap kali Allah turunkan keputusanNya, mereka terlopong dan ternganga, mereka sentiasa ditewaskan. Dalam keadaan sedemikian pun mereka masih menjadi merak yang cuba mengembangkan bulunya, memanipulasi supaya tampak seperti mereka menang dan betul.

Rais : Permohonan Maaf Aduka Harus Dipertimbangkan. 80% Setuju Aduka Tidak Wajar Dihukum

Seramai 80% responden NTV7 Edisi Bahasa Inggeris menyatakan bahawa penulis blog, Aduka tidak wajar dihukum. Hanya 20% berkata sebaliknya. Soalan asal berbunyi Should bloggers who insult Rulers Escape Punishment.

Sementara itu, Mahkamah Majistret Kota Bharu telah memerintahkan Aduka Taruna yang didakwa menghina Almarhum Sultan Johor, ditahan reman selama empat hari.

Penulis blog itu telah menyerah diri kira-kira pada jam 4.40 petang semalam di ibu pejabat polis daerah (IPD) Kota Bharu.

Aduka, yang bekerja sebagai pereka grafik dan berasal dari Negeri Sembilan, dibawa ke mahkamah dengan kawalan ketat polis pada pukul 9 pagi dan dilihat keluar dari mahkamah 10 minit kemudian.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff, ketika dihubungi mengesahkan penahanan penulis blog itu yang disiasat mengikut Seksyen 233(3) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Namun, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim pula berkata, Kerajaan tidak berhasrat mengambil tindakan terhadap penulis blog yang memohon maaf secara terbuka kerana menyedari kesilapan dalam penulisan blog mereka. Menurut Rais, permohonan maaf dari penulis blog berkenaan harus dipertimbangkan.

"Mana pihak yang sudah pun menyesal dan melahirkan perasaan dukacita dan menarik semua tulisan blognya seharusnya kita tidak mengambil tindakan lagi," kata Rais.

Bagaimanapun, katanya, penulis blog yang terbabit dengan sesuatu kesalahan haruslah membuat permohonan maaf secara formal kepada pihak yang berkaitan.