21 Sep 2012

Isu Gambar Superimposed: Khalid Samad Menang Lagi Kes Ke Atas Adun Umno

Putrajaya: Mahkamah Rayuan hari ini sebulat suara menolak rayuan Exco Kerajaan Negeri Perak dan juga ADUN Sungai Rapat, Perak, Hamidah Osman dengan kos bagi mengenepikan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam yang diberikan pada 1 Jun yang lalu.

Dalam keputusannya hari ini Mahkamah Rayuan yang dianggotai oleh Hakim Datuk Ramly Haji Ali, Datuk Zaharah Ibrahim dan Datuk Anantham Kasinather memutuskan bahawa mereka bersetuju dengan keputusan Mahkamah Tinggi bahawa Mahkamah Sivil dan bukannya Mahkamah Syariah yang mempunyai bidangkuasa bagi mendengar kes tort.

Pada 1 Jun yang lalu Hakim Datuk Haji Zainal Azman telah menolak permohonan Hamidah bagi membatalkan saman Khalid Samad ke atas beliau atas tulisan yang mengandungi tuduhan fitnah ke atas Khalid Samad di blog Hamidah http://hamidahosman.blogspot.com/ pada atau sekitar Januari 2010.

Antara lain di dalam blognya, Hamidah menyiarkan gambar super imposed Khalid Samad sebagaimana di atas.

Dan beliau juga menulis antara lain “Golongan yang menyokong pengunaan ini terdiri daripada golongan Islam Liberal dan menariknya Ahli Parlimen Shah Alam, YB Khalid Samad menyokong kehendak Mubaligh Kristian mengantikan perkataan ‘God’ kepada didalam Bible kepada perkataan Allah. Kak Midah yakin kekesalan pasti bersarang jauh disudut hatinya dengan keputusan mahkamah ini.”

Beliau juga menulis “Sekalung tahniah buat parti PAS kerana melalui pembesarnya iaitu Khalid Samad, isu penggunaan nama Allah ini tercetus dan menaikkan semangat pihak kafir untuk menjahanamkan iman umat Islam di negara ini."

Atas tulisan beliau di blog tersebut Khalid telah melalui peguamnya, Tetuan Mohamed Hanipa & Associates memfailkan writ saman ke atas Hamidah di Mahkamah Tinggi Shah Alam atas kausa tindakan fitnah.

Pada pendengaran rayuan hari ini Khalid Samad diwakili oleh Cik Azhana binti Mohd Khairudin dari Tetuan Mohamed Hanipa & Associates manakala Hamidah diwakili oleh Datuk Hafarrizam Haron dari Tetuan Hafarizam Wan & Aishah Mubarak.

Dengan keputusan Mahkamah Rayuan tersebut kes ini akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 20 dan 21 November 2012.




Laporan sebelum ini
klik untuk baca

Kawalan Udara Tak Berfungsi, Syarikat Anak Jamaluddin Jarjis Bertanggungjawab

Subang: Pusat kawalan udara di ibu negara tidak berfungsi minggu lalu ekoran kegagalan sistem radar di Pusat Kawalan Trafik Udara Subang, kata Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar.

Beliau berkata, fungsi radar dan radio tergendala selama dua jam menyebabkan semua penerbangan dibatalkan dan kawalan ruang udara diserahkan kepada negara jiran.

Beliau mendedahkan laporan interim Jabatan Penerbangan Awam (DCA) oleh kontraktor penyelenggaraan sistem pada 12 September, jam 2.50 pagi bagi membuktikan perkara itu.

Menurut Izzah, syarikat bertanggungjawab mengawalselia sistem terbabit adalah Advanced Air Traffic Systems Sdn Bhd (AAT) yang dimiliki anak bekas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Jamaluddin Jarjis.

“Pelbagai kenyataan media, permintaan penjelasan dan audit bebas terhadap sistem yang dibangun dan diselenggara SELEX Sistemi Integrati dan AAT dibuat.

“Namun Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) tidak mengendahkan, malah memperkecil catatan sistem yang menelan belanja 26.05 juta Euro (RM128.4 juta),” katanya pada sidang media di hadapan DCA, di Subang hari ini.

Turut hadir Ahli Parlimen Batu, Tian Chua, Naib Presiden Keadilan, N Surendran dan Ketua Biro Keselamatan Keadilan, Brigadier Jeneral (B) Datuk Abdul Hadi Abdul Khatab.

Justeru, beliau persoal bagaimana Kementerian Pengangkutan dan DCA boleh melulus dan membenarkan sistem tersebut beroperasi tanpa sokongan sistem interim dan lewah (redundancy).

Tegasnya, kegagalan sistem ini menimbulkan syak jutaan ringgit yang dibelanja dalam pembangunan sistem di KLIA2 mungkin mengalami nasib sama yang menjejaskan keselamatan orang ramai.

“Kita mesti pastikan semua projek berkaitan keselamatan dalam sektor penerbangan tidak dianugerah kepada syarikat tidak memiliki kemampuan teknikal, pada waktu ini dan masa hadapan,” kata Izzah.

[BERGAMBAR] Bantah Filem Hina Islam, Ribuan Berarak Ke Kedutaan US -UPDATED

Kira-kira 5,000 umat Islam berhimpun di Masjid Tabung Haji sebelum berarak ke Kedutaan Amerika Syarikat bagi mengecam filem Innocence of Muslims yang menghina Nabi Muhammad SAW.

Demonstrasi Xpresi Hijau Kasih Nabi SAW anjuran Pemuda PAS diketuai Naib Presiden PAS Salahudin Ayub.

Turut hadir ialah Ketua Penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Ketua Pemuda PAS Pusat Nasrudin Hasan, barisan exco Pemuda, Angkatan Muda PKR (AMK) dan wakil-wakil NGO yang turut sama-sama memberi sokongan mengutuk penyiaran filem tersebut.

Perarakan tersebut dikawal Unit Amal PAS turut membuat rantai manusia - yang bergerak di hadapan peserta perhimpunan. -mk

Ribuan di Kedutaan AS, bantah filem hina nabi

KUALA LUMPUR: Ribuan umat Islam hari ini menyertai himpunan di Hadapan Kedutaan Amerika Syarikat di ibu negara bagi membantah penerbitan filem "Innocence of Muslims" yang menghina Nabi Muhammad SAW.

Himpunan yang diberi nama "Expresi Hijau Kasih Nabi" anjuran Dewan Pemuda PAS Pusat itu bermula sejurus selesai solat Jumaat di Masjid Tabung Haji sebelum berarak menuju ke bagunan kedutaan kira-kira 200 meter dari masjid tersebut.

Dianggarkan hampir 5,000 menyertai himpunan ini termasuk dari kalangan muslimat, mahasiswa dan umat Islam perihatin.

Antara yang berada di barisan hadapan perarakan ini termasuklah Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub, Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia Nasruddin Hassan, Naib Presiden PKR Tian Chua dan Nurul Izzah Anwar.

Mereka juga menggunakan lori sebagai pentas bergerak di samping beberapa pimpinan di atasnya menyampaikan ucapan.

Sepanjang perarakan mereka melaungkan slogan 'hancur Amerika, hidup Islam, kami sayang nabi' sambil membawa poster dan kain rentang mengecam tindakan biadap penerbit filem berbangsa Yahudi, Sam Bacile itu.

Perarakan ini turut dikawal pasukan Unit Amal Dewan Pemuda PAS Pusat sementara lebih 200 anggota polis berkawal di hadapan bangunan kedutaan.

Salahuddin dalam ucapannya mendesak Presiden Amerika Barack Obama memohon maaf kepada seluruh umat Islam di atas penghinaan yang dibuat penerbit filem Amerika itu.

"Kita orang Islam hormat agama lain.

Kita hormat Yahudi, Budha, Sikh dan sebagainya.

Oleh itu kita minta Amerika memohon maaf kepada umat Islam.

"Jangan hina nabi kami, kelak akan mengundang padah.

Kami sayangkan nabi dan agama kami.

Kita rela pertahankan dalam apa juga keadaan," katanya disambut laungan hidup Islam oleh para hadirin.

Sementara itu, Tian Chua dalam ucapannya berkata, mewakili kaum Cina beliau kesal dengan tindakan penghinaan terhadap agama Islam.

Beliau juga mendakwa isu ini bukan isu agama Islam semata-mata malah juga berkait dengan isu kemanusiaan sejagat.

"Kita perlu tunjukkan semangat setiakawan.

Penghinaan ini harus dihentikan dan Amerika perlu ambil tindakan segera.

"Kita tidak mahu berlaku pertembungan antara agama," ujarnya.

Sementara itu, Tuan Ibrahim, Nasrudin Hassan dan Tian Chua dilihat masuk bertemu dengan wakil kedutaan.

Sementara menunggu pertemuan dengan wakil kedutaan selesai, pidato di luar pagar bangunan kedutaan diteruskan.

Antara yang berucap termasuklah Timbalan Ketua DPPM, Nik Mohamad Abduh Nik Aziz, AJK PAS Pusat Dr Dzulkefly Ahmad, dan Naib Presiden PKR N Surendran.

Enggan bertemu

Nasruddin ketika bercakap kepada media selepas keluar dari bangunan itu berkata, pihaknya kesal dengan layanan wakil kedutaan yang enggan bertemu dengan pihaknya untuk menerima memorandum.

Menurutnya, tiada wakil pejabat kedutaan yang turun melainkan hanya menghantar pengawal keselamtan dan ianya sekali lagi menunjukkan sikap biadap negara itu.

"Ini adalah penghinaan berpanjangan.

Dahulu Denmark telah menghina nabi dan sekarang berulang lagi.

"Mereka tidak boleh menghina agama laian walaupun mereka berkuasa.

Kita tidak akan benar apa jua bentuk terhadap agama Islam ataupun agama-agama lain," katanya.

Beliau juga mengumumkan himpunan serupa akan diadakan di seluruh negara pada Jumaat akan datang beserta munajat perdana bagi menyatakan kecintaan pada nabi.

Sementara itu, sekumpulan peserta himpunan dilihat turut membakar kain rentang yang bercetak bendera amerika dan Israel sebagai tanda bantahan.
-HD


Cikgu Azliza Disyaki Telah Dipukau Sebelum Dilarikan

Minta perhatian kepada semua rakan! Andai anda terlihat atau terjumpa wanita seperti di dalam gambar tersebut, sila hubungi ke balai polis terhampir atau anda boleh hubungi terus ke talian 019-7986520 atau 07-8952486 (bapa wanita tersebut). Untuk makluman rakan-rakan, wanita tersebut ialah seorang guru yang dipercayai telah dilarikan oleh seorang lelaki. Wanita tersebut dipercayai menghilangkan diri diluar kesedaran dirinya (berkemungkinan disihir / dipukau). Maklumat mengenai wanita tersebut seperti berikut : NAMA : SITI AZLIZA BINTI JOHAN UMUR : 27 TAHUN STATUS : BUJANG PEKERJAAN : GURU WARNA KULIT : CERAH TINGGI : 5 kaki 6 inci LOKASI TERAKHIR : BANDAR KOTA TINGGI HARAP DAPAT DISEBARKAN KEPADA RAKAN-RAKAN YANG LAIN. PERTOLONGAN rakan-RAKAN AMAT DIHARAPKAN P/s: Wanita ini telah dilaporkan hilang sejak Mac 2012. Saya telah menghubungi ayah kepada wanita ini [yang juga merupakan seorang pesara guru] dan beliau melahirkan rasa sedih dan hampa apabila anak yang dibesarkan, diberi didikan hingga ke peringkat paling tinggi dilarikan orang, Mohon jasa baik dari orang-orang hebat seperti Tok Belagak, Kiyai Tukul Mohammad Fahmy, dan mata-mata handalan seperti Mohd Pazwannie M H. Jasa kalian amatlah dihargai ibu-bapa wanita ini. Dari esak tangis seorang bapa. Kisah tentang perubahan drastik anaknya setelah mengenali lelaki [yang dipercayai melarikannya] amat meruntun hati. Mohon Petunjuk Al Amin agar dimudahkan sebuah pencarian ini. -fb

Maruah BERNAMA Tercampak Ke Tong Najis, Foto Itu Sah Diubah!

Agensi berita negara, Bernama menyatakan bahawa satu siasatan dalaman telah dilakukan terhadap foto Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang diedarkan kepada akhbar-akhbar tempatan pada Sabtu lalu adalah foto yang telah diedit.

"Siasatan awal menunjukkan kecacatan gambar telah dikesan dari punca dari tempat ia dihantar," kata Ketua Pengarang Bernama Datuk Yong Soo Heong di dalam satu laporan yang dikeluarkan oleh agensi berita berkenaan petang semalam.

Beliau berkata siasatan lanjut dijalankan untuk menentukan motif orang yang terlibat dan samada terdapat sebarang unsur sabotaj, tambah Yong.

"Kami melihat hal ini sebagai serius dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang terlibat di atas hal yang tidak bertanggungjawab itu.

"Bernama sentiasa berusaha untuk mengekalkan standard professionalisma yang tinggi dan mengambil sikap yang serius terhadap integriti di tempat kerja," katanya.

Pengakuan Bernama bukan saja memalukan kepada agensi berita tersebut malah ia boleh menjejaskan imej Perdana Menteri.

Penerbitan foto yang telah diedit itu di dalam beberapa akhbar telah mendapat kritikan hebat di alam siber dengan beberapa blog dan lamanweb mendedahkan imej latarbelakang orangramai di dalam foto berkenaan adalah hasil tampalan yang menyerupai di antara satu sama lain.

Di dalam foto berkenaan, perdana menteri kelihatan sedang meraikan orangramai yang hadir di dalam satu pertemuan di kawasan parlimen Pekan. Ulasan GB

Blogger benar! Kebenaran terbongkar lagi, kali ini maruah BERNAMA benar-benar tercampak ke dalam tong najis.

Tak dapat nak elak dan nak nafikan lagi bahawa foto yang diedarkannya ke akhbar-akhbar tempatan adalah foto yang telah diedit.

"You can cheat all people for some time and some people for all time, but not all people for all time"

Laporan sebelum ini
klik untuk baca

Hina TGNA & Sunnah Rasulullah, PAS Buat Laporan Polis


Pasir Puteh - Lujnah Undang-undang Pas Kawasan Pasir Puteh mengecam tindakan menghina Menteri besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam laman sosial Facebook.

Pengerusinya, Zarir Yaakob berkata, gambar yang dimuatkan pemegang akaun Facebook itu agak keterlaluan dan boleh mencetuskan ketegangan.

Katanya tindakan meletakkan gambar Nik Aziz menghirup makannan di pinggan di sebelah gambar haiwan meminum air dianggap sebagai tidak beradab.

"Individu tersebut bukan sahaja menghina Mursyidul Am PAS dengan menyebarkan gambar itu malah dalam masa sama menghina sunnah Nabi Muhammad saw.

"Saya berharap pihak berkuasa bertindak segera kerana tindakan itu jelas mengaibkan seseorang dan boleh mencetukan ketenteraman awam," katanya selepas membuat laporan polis di Pejabat Polis Daerah di sini semalam.

Lebih mengecewakan katanya, "posting" itu turut tertera tulisan "Antara dua haiwan ini, mana yang lebih sopan".

Zarir berkata, individu tersebut bukan saja telah mempamerkan kejahilan sendiri kepada umum, malah menghina agama sendiri dengan memperlekehkan amalan yang menyamai amalan junjungan besar Nabi Muhammad saw.

"Saya kesal dengan perkara ini, apatah lagi dalam suasana umat Islam di seluruh dunia bangkit menentang perbuatan menghina Islam, malangnya orang yang mengaku Islam di negara ini turut menghina agama sendiri.

"Mungkin juga individu terbabit berada dalam kebuntuan dan terdesak selepas melihat semakin ramai rakyat berpihak kepada perjuangan PAS, sehingga sanggup melakukan untuk mengaibkan pemimpin besar PAS," katanya.


Laporan sebelum ini
klik untuk baca