27 Dis 2012

[VIDEO] Selepas UMNO, MCA Pula Berlagak Samseng, Serang Majlis DAP

Sesi tinjauan DAP di Bentong dicemari pergelutan kecil

Sesi tinjauan DAP Pahang di Kampung Baru Manchis, Bentong semalam telah dicemari oleh pergelutan kecil apabila kumpulan itu bertembung dengan sekumpulan ahli MCA.

Ahli MCA, Lee Shu Hwa pergi menemui kumpulan yang diketuai pengerusi DAP Negri Sembilan, Anthony Loke DAP, dengan membawa keratan akhbar yang menyiarkan isu-isu yang membabitkan kawasan parlimen Rasah.

Shu Hwa menuntut penjelasan Loke mengenai rancangan ahli parlimen DAP itu untuk menyelesaikan beberapa isu-isu tertunggak di kawasan Parlimen Rasah yang diwakilinya.

Apabila Pengerusi DAP Pahang, Leong Ngah Ngah cuba campurtangan, abang Shu Hwa - Ah Kaw yang merupakan ketua MCA Kampung Manchis - didakwa mula bertindak kasar.

Satu klip video insiden yang dimuat naik oleh penyokong DAP memaparkan Ah Kaw menarik lengan baju Leong dari belakang.

Satu pergelutan pendek tercetus apabila ketua DAP Bentong, Ching See Tai cuba menghalang Ah Kaw. Shu Hwa bertindak balas dengan menolak Ching.


Ketika Dihubungi petang semalam, Ah Kaw menafikan dakwaan pemimpin DAP bahawa adiknya Shu Hwa cuba menolak Ching ke tanah dan telah merosakkan mikrofon DAP.

Katanya, beliau mempunyai bukti fotografi untuk menyokong dakwaannya.

Ulasan GB

Ini semua kes-kes terdesak.... terdesak sangat apabila mendapati kekuasaan BN berada di penghujung jalan dan usia.

Rebat RM200 Telefon Untuk Tolong Syarikat Kroni, Bukan Anak Muda

Syarat rebat telefon pintar bernilai bawah RM500 menunjukkan Datuk Seri Najib Razak bukan mahu membantu anak muda sebaliknya mahu mengkayakan kroni yang terlibat dalam syarikat komunikasi.

“Ini bukan mahu tolong anak muda tapi nak tolong kroni syarikat telekomunikasi. Mereka yang akan dapat faedah.

Pasti banyak untung daripada rebat ini.

“Kalau syarat macam ini, siapa anak muda yang hendak beli telefon pintar sedangkan harganya ribuan ringgit, bukan RM500,” kata Ketua Penerangan Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Lee Khai Loon.

Perdana Menteri ketika membentang Bajet 2013 pada 28 September lalu, mengumumkan pemberian rebat RM200 pembelian telefon pintar kepada belia berusia antara 21 hingga 30 tahun.

Ia terbongkar selepas Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam laman webnya, menyatakan itu hanya untuk telefon pintar yang berharga maksimum RM500 sebelum kenyataan berkenaan dipadam hari ini.

Khai Loon juga menyifatkan kerajaan Umno BN tidak ikhlas memberi rebat RM200 itu berikutan mereka mengenakan ketat yang tidak masuk akal.

“Syaratnya tidak ikhlas.

Langsung tidak bertepatan dengan keadaan semasa.

Sekarang telefon pintar mahal, mana ada harga RM500? Nampaknya, rebat itu hanya gimik kerajaan Umno BN, bukan serius mahu tolong orang muda,” katanya.

Justeru, beliau menyarankan kerajaan supaya bertindak lebih ‘pintar’ dengan melebar saluran internet percuma.

“Lebih baik internet dinaik taraf dengan menambah jalur lebar internet setiap kawasan,” katanya. -KD

Rebat RM200 hanya untuk telefon pintar harga RM500.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menjelaskan bahawa rebat RM200 untuk telefon pintar yang diumumkan dalam Bajet 2013 hanyalah untuk telefon pintar yang berharga maksimum RM500.

* SKMM telah menerbitkan kriteria berikut dalam lamanwebnya:

* Warganegara Malaysia berumur 21 tahun hingga 30 tahun.
* Berpendapatan bulanan RM3000 ke bawah.
* Model telefon pintar 3G yang diluluskan dengan harga maksimum RM500.
* Pelanggan jalur-lebar mudah-alih sedia ada atau pakej baru.
* Hanya satu telefon pintar untuk seorang belia.

Menurut notis yang disiarkan semalam, program rebat di bawah Inisiatif Jalur Lebar Kebangsaan (NBI) telah diperuntukkan sejumlah RM300 juta oleh kerajaan yang akan memberi manfaat kepada 1.5 juta belia.

Permohonan untuk rebat adalah terbuka dari 1 Januari hingga 31 Disember 2013 dan para belia yang berminat boleh memohon melalui lamanweb SKMM.

Setem biru kelihatan di sudut kanan laman web yang bertulis Janji Ditepati, Mulai 1 Januari 2013, Bajet 2013.

Bagaimanapun, Malaysiakini mendapati lamanweb tidak boleh diakses sejak pagi ini.

Pada 28 September, di bawah Bajet 2013, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan rebat RM200 bagi pembelian telefon pintar 3G untuk belia berumur 21 hingga 30 tahun, dengan pendapatan bulanan RM3,000 ke bawah atau tanpa pendapatan bulanan, daripada peniaga yang dibenarkan bawah Pakej Komunikasi Belia.
-mk

Bas 2 Tingkat Panorama Melaka Terbakar, 30 Pelancong Selamat

Banda Hilir - Tindakan pantas seorang pemandu memadam api di bahagian enjin berjaya menyelamatkan 30 nyawa pelancong selepas bas Panorama Melaka dipandunya terbakar di Jalan Bukit Senjuang, di sini, petang semalam.

Bas dua tingkat dipandu Md Noor Rauh, 49, yang dalam perjalanan dari Menara Taming Sari mengelilingi bandar raya Melaka sebelum kembali semula di menara tersebut, terbakar dalam kejadian kira-kira jam 3.10 petang.

Md Noor berkata, kejadian disedarinya apabila sebuah kenderaan membunyikan hon menyebabkan dia memberhentikan bas di bahu jalan dan melihat api selepas membuka bonet enjin di bahagian belakang bas berkenaan.

“Bas ini mula bergerak dari menara kira-kira jam 2.45 petang membawa pelancong termasuk dari Singapura, Kuala Lumpur dan Johor namun selepas melalui Jalan Parameswara masuk ke Jalan Bukit Senjuang, saya terdengar bunyi enjin lain macam.

“Selepas sebuah kenderaan membunyikan hon, saya yang tiada pilihan lain terpaksa memberhentikan bas di tepi jalan lalu turun untuk memeriksa enjin,” katanya yang sudah hampir empat tahun bekerja sebagai pemandu bas.

Menurutnya, selepas melihat api setelah membuka bonet enjin, dia segera mengarahkan semua penumpang turun menyelamatkan diri dan dalam masa sama mendapatkan alat pemadam api yang disimpan di dalam bas.

“Saya sempat mendail nombor kecemasan tetapi tidak bercakap kerana sibuk memadam api namun saya meminta bantuan seorang pemandu bas ekspres yang melalui kawasan tersebut untuk menghubungi bomba.

“Ketika itu bas Panorama lain yang melalui kawasan ini turut berhenti mengambil semua penumpang dari bas saya untuk meneruskan perjalanan,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Kubu, Pegawai Bomba Kanan II, N Raman berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 3.15 petang dan tiba di lokasi 16 minit kemudian.

“Apabila sampai, api sudah dipadamkan oleh pemandu menggunakan alat pemadam mudah alih dan pemeriksaan lanjut mendapati keadaan bas tidak mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya yang melalui kawasan ini.

“Lima anggota turut membersihkan tumpahan minyak di kawasan berkenaan. Bagaimanapun, punca kejadian sebenar masih dalam siasatan,” katanya.

Polis Perlu Tangkap Ketua Pemuda Umno Jempol!

Jempol: Timbalan Pengarah Konvoi Oren ‘Selamatkan Felda’ Negeri Sembilan, Karip Mohd Salleh hari ini mendesak polis Jempol menahan segera Ketua Pemuda Umno Jempol, Mohd Nizam Aman (gambar) kerana didakwa menjadi punca kekecohan Konvoi Oren di Felda Bukit Rokan Utara pada hari Ahad lalu.

Kekecohan itu mengakibatkan dua peserta cedera dan cermin sebuah kenderaan pacuan empat roda dipecahkan oleh sekumpulan lelaki yang dipercayai penyokong Umno-Barisan Nasional.

“Dalam laporan Sinar Harian edisi Negeri Sembilan semalam, Mohd Nizam secara terbuka mengaku mereka (Pemuda Umno Jempol) sejak awal lagi merancang mengadakan sekatan jalan di lebih 30 tanah rancangan Felda sebaik sahaja mengetahui kehadiran Konvoi Oren.

“Seperti mana dakwaan saya semalam maka ‘sudah terang lagi bersuluh’; Umno khususnya Mohd Nizam dan Umno Jempol lah yang merupakan punca keganasan berlaku ketika Konvoi Oren di Felda Bukit Rokan Utara.

“Maka saya mendesak pihak polis menahan segera Mohd Nizam dan orang suruhannya yang terlibat dalam mengadakan sekatan jalan ketika Konvoi Oren berlangsung.

“Dia (Mohd Nizam) sendiri dah mengaku, maka pihak polis harus mengambil tindakan segera dan tegas. Jika tindakan tegas tidak diambil, dikhuatiri selepas ini sesiapa sahaja termasuk parti politik atau organisasi lain akan turut mengambil tindakan sendiri dengan mengadakan sekatan jalan.

Rakaman seorang pemuda BN berjalan sambil memegang batu di tangannya.
“Tindakan ini seperti mencabar kuasa pihak polis. Maka polis harus bertindak tegas agar ia menjadi amaran kepada mana-mana pihak yang mengambil kuasa ditangan sendiri ,” kata Karip.

Mohd Nizam cakap belit-belit

Ketika ditanya FMT berhubung dakwaan Mohd Nizam di dalam akhbar yang sama bahawa insiden kekecohan yang berlaku di Felda Bukit Rokan Utara pada hari Ahad lalu sebenarnya berpunca daripada tindakan provokasi peserta Konvoi Oren; Karip berkata: “Kenyataan Mohd Nizam memang berbelit-belit. Mereka buat sekatan jalan bukan di jalan persendirian atau jalan di dalam tanah rancangan Felda tetapi di jalan awam.

“Sekatan jalan itu sendiri satu provokasi kerana menghalang pengguna jalanraya termasuk peserta Konvoi Oren ke Felda Jelai, Gemencheh atau Pasir Besar,
” katanya.

Manakala, Naib Ketua PKR Jempol, T Kumar yang juga merupakan seorang peguam mengesahkan kepada FMT bahawa adalah menjadi satu kesalahan di bawah Seksyen 339 Kanun Keseksaan jika seseorang menghalang atau menyekat pergerakan individu lain.

Yang beria-ia membantah Umno bukan peneroka Felda

Karip yang juga merupakan Ketua Cabang PKR Jempol, dalam nada sinis mengucapkan terima kasih kepada Mohd Nizam dengan pengakuan tersebut secara langsung terbukti bahawa pihak yang beria-ia membantah kehadiran Konvoi Oren ialah Umno dan bukan peneroka Felda terbabit.

“Kenyataan terbuka Mohd Nizam ini dengan jelas membuktikan Umno yang beria-ia membantah Konvoi Oren dan bukannya peneroka Felda.

“Patutlah di setiap lokasi sekatan jalan ramai sangat pemuda dan remaja berbanding mereka yang berumur (peneroka).


“Saya harus berterima kasih kepada Mohd Nizam kerana kenyataan beliau menghantar mesej kepada umum bahawa sebenarnya Umno yang membuat sekatan jalan dan tidak benarkan kami masuk ke tanah rancangan Felda, bukannya peneroka Felda.

“Kenyataan saya semalam dalam FMT selari dengan kenyataan Mohd Nizam di dalam Sinar Harian.

“Saya harap mereka yang berada di luar Felda dan peneroka Felda yang tidak tahu cerita sebenar, kini tahu siapa sebenarnya yang menimbulkan huru hara di Felda Bukit Rokan Utara Ahad lepas,” jelas Karip.

Ulasan GB

GB sudah desak sebelum ini. Petikan:

Fasal yang mana di dalam Undang-undang yang mereka gunakan boleh menghalang orang lain untuk memasuki mana-mana kawasan di dalam negara ini? Undang-undang ciptaan dan rekaan sendiri lantaran takut dengan konvoi berkenaan? Kemudian setelah ada pengakuan sejelas itu, apa pula tindakan polis selanjutnya terhadap mereka yang mencabul undang-undang ni? Bukankah sepatutnya mereka ditangkap dan ditahan kerana mencabuli perlembagaan dan undang-undang negara?


Laporan sebelum ini
klik untuk baca



FELDA Disaman RM200 juta Oleh 351 Peneroka

Seramai 351 peneroka Felda Mempaga 1, 2, dan 3 serta Felda Bukit Damar, Pahang hari ini memfailkan saman menuntut ganti rugi keseluruhan kira-kira RM200 juta terhadap Felda kerana menipu kadar perahan gred (KPG) sawit.

Saman difailkan melalui Tetuan Daim dan Gamany di Mahkamah Tinggi Temerloh, Pahang pagi tadi menamakan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) sebagai defendan pertama dan Felda Palm Industries Sdn Bhd sebagai defendan kedua.

Plaintif dalam writ saman antara lain mendakwa, Felda Palm Industries berniat jahat dan sengaja menurunkan KPG sehingga enam peratus bertentangan dengan kadar sepatutnya dengan tujuan untuk menurunkan harga setiap tan buah sawit.

Peneroka terbabit turut mendakwa wujud konspirasi antara defendan pertama dan kedua menyalahgunakan kaedah penggredan untuk memastikan KPG diturunkan, selain menjual buah sawit dibawah KPG yang sepatutnya tanpa pengetahuan plaintif.

Disebabkan itu, plaintif mendakwa setiap mereka mengalami kerugian sebanyak RM30,912 pada tahun 2008.

Manakala bagi buah yang ditahan tapi tak dilupuskan, setiap peneroka telah kehilangan pendapatan sebanyak RM1345.63 (RM560.

08 setan).

“Kerugian kesemua plaintif untuk tahun 2008 lebih kurang RM11.322 juta,” writ saman itu menyebut.

Ganti rugi

Sehubungan itu, plaintif memohon mahkamah untuk mendapatkan printah supaya Felda dan Felda Palm Industries membayar ganti rugi khas kepada plaintif berdasarkan jumlah keluaran dan harga sawit untuk setiap tahun bermula tahun 1995.

Selain itu, peneroka terbabit turut meminta ganti rugi am dan teladan untuk penipuan dan pecah amanah, kadar faedah empat peratus setahun dikenakan keatas jumlah ganti rugi khas bemula dari tahun 1995 serta empat peratus jumlah ganti rugi am dari tarikh pemfailan writ sehingga kes selesai sepenuhny dan lain-lain kos.

Saman difailkan wakil peneroka Abdul Rashid Abdul Wahab sebagai plaintif pertama dan Din Mohd Arif (plaintif ke-331).

Mereka diwakili Ketua Biro Guaman PKR Latheefa Koya dan Timbalan Pengerusi Biro Peneroka Felda dan Orang Asal PKR T Kumar.

Turut hadir Pengerusi Biro Peneroka Felda dan Orang Asal PKR Suhaimi Said serta timbalannya Bob Manolan. -FMT

[PANAS] Bekas Anggota Ruffedge Didakwa Rogol Anak Tiri - video inside

Ampang – Seorang bekas anggota kumpulan Ruffedge hari ini didakwa merogol anak tirinya berumur 14 tahun, Februari lalu.

Lelaki berusia 37 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah apabila tuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Roszianayati Ahmad.

Dia yang memakai baju kemeja-T berwarna biru didakwa melakukan perbuatan berkenaan di sebuah rumah di Taman Gombak Jaya, jam 9 pagi pada 9 Februari lalu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 376 (2)(d) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebat, jika disabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Dalina Ali tidak menawarkan jaminan atas alasan tertuduh mempunyai hubungan kekeluargaan dengan mangsa.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar diberi jaminan kerana dia perlu menyara kedua anak kandungnya.

Roszianayati kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah turut mengenakan syarat tambahan iaitu tertuduh tidak boleh tinggal serumah dengan mangsa dan tidak mengganggu mangsa.

“Tertuduh juga diarah melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali dan menyerahkan pasport kepada mahkamah,” katanya.

Mahkamah menetapkan 25 Januari depan sebagai sebutan semula kes. – SH

[EDISI HARAMJADAH] Peruntukan Katil Hospital Pun Kena Kebas

Pengerusi Biro Kepenggunaan KEADILAN, Yahya Sahri bakal membongkar penyelewengan dan penipuan Umno BN terhadap projek hospital kerajaan, khususnya mengenai peruntukan katil buat pesakit dan hospital baru yang gagal dibina untuk setiap negeri. Gambar hiasan

Beliau berkata, kerajaan sepatutnya menyediakan peruntukan 60,000 katil hospital untuk lebih 28 juta rakyat, tetapi perjanjian itu dilanggar apabila jumlah yang disediakan tidak mencukupi.

“Apa yang berlaku sekarang, hanya ada 30,000 katil di setiap hospital seluruh negara, iaitu separuh daripada yang diperuntukkan,” jelasnya kepada Keadilan Daily.

Bagaimanapun, kata Yahya, butiran lanjut mengenai penyelewengan tersebut akan didedahkan beliau pada sidang media 2 Januari.

Ketua Cabang Tanjung Karang itu turut mempertikai pengumuman kerajaan untuk membina hospital di setiap negeri, tetapi hingga sekarang proses pembinaan masih tidak berjalan.

“Konon beriya-beriya umum, buat acara pecah tanah dan sebagainya. Tapi pembinaan tak ada.

Itu yang saya nak persoalkan nanti, dan saya ada jawapan untuk kedua-dua isu ini,” katanya.

“Ia juga bagi menunjukkan janji kerajaan untuk menyediakan khidmat kesihatan yang cemerlang kepada rakyat tidak ditunaikan,” sambung beliau.

Sebelum ini, Yahya mendedahkan seorang bekas pegawai tertinggi polis memiliki aset berupa 10 unit rumah persendirian di sekitar Kuala Lumpur.

Kemudian, beliau mempersoal isu pemberhentian 37 pekerja kilang kelapa sawit (KKS) Bukit Talang, yang dimiliki anak syarikat perladangan konglomerat Sime Darby berusia 60 tahun.

Yahya turut membongkar isu air mineral yang diedar BN Selangor dalam kempen politik dikesan melanggar pelbagai peraturan, malah status halalnya diragui.

“Seperti yang saya beritahu sebelum ini, setiap minggu akan ada penyelewengan Umno BN yang akan saya dedahkan sehinggalah Pilihan Raya Umum ke-13,” katanya.