12 Feb 2010

Penahanan 27 Orang Reformis 10 Tahun Dahulu Ternyata Berniat Jahat

Penahanan 27 aktivis dalam perhimpunan aman membantah cubaan meracun Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan racun arsenic 10 tahun lalu adalah taktik menyekat momentum reformasi.

Pada tahun 1999, ribuan turun membanjiri Masjid Kuala Lumpur apabila umum diberitahu ada usaha meracun Anwar, yang pada masa itu ditahan di penjara Sungai Buloh.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat Sivarasa Rasiah, Bendahari Pas Dr Hatta Ramli, Pengarah Biro Strategi PKR Tian Chua dan aktivis Hishamuddin Rais antara yang ditahan dalam operasi polis hari itu .

Tian Chua berkata keputusan Mahkamah Majistret Kuala Lumpur membebaskan aktivis terbabit adalah bukti jelas bahawa penahanan kerajaan adalah berniat jahat.

"Dengan kes ini dibuang daripada mahkamah membuktikan sebenarnya bukan sahaja tidak ada kes malah pendakwaan juga tidak serius untuk menjalankan kes ini," katanya.

Mereka didakwa atas tuduhan berhimpun secara haram di Masjid Negara antara jam 1.30 petang dan 5.13 petang pada 19 September 1999.

Majistret Hafizza Sauni membebaskan semua tertuduh selepas 11 tahun kes ini dibicarakan. Faktor utama mahkamah membuang kes ini adalah tujuh saksi utama gagal menampilkan diri sejak November tahun lalu.

Antara saksi tersebut adalah OCPD Dang Wangi pada masa itu, Bakri Zinin, yang mendalangi operasi menahan 27 aktivis terbabit.

“Seharusnya Bakri Zinin hari ini yang merupakan ketua jabatan siasatan jenayah harus lepaskan jawatan kerana dia tidak amanah kepada kerjanya.

“Ini menunjukkan bahawa dia langsung tidak bertanggungjawab dan dia hanya kejar jawatan,” katanya.

Sivarasa berkata meskipun momentum rakyat terjejas dengan operasi ini, namun pemerintah gagal menyekat semangat reformasi dari merebak.

"Tetapi bagi saya, inilah cubaan propaganda Barisan Nasional (BN) tetapi tidak berjaya. Kerana melalui proses reformasi yang berlaku pada tahun 1998 dan 1999, kesedaran rakyat juga sudah berubah. Mereka sekarang lebih faham tentang isu hak asasi, isu hak yang dilindungi di bawah perlembagaan dan sikap rakyat kepada perhimpunan dan hak berhimpun juga sudah berubah," katanya. -TVS



1 ulasan:

Awanama berkata...

Sejarah tak pernah bohong. Yang dok di kerusi menteri kabinet la ni juga akan tiba masa jadi orang yang tak berharga nanti. Jadi beringatlah dengan apa yang dibuat sekarang!!