2 Jul 2010

Bekas Pegawai Penjara Bidas Menteri Mengenai Penjara Pudu

Persatuan Bekas Pegawai Penjara Malaysia (Expoam) mengusulkan bantahan sekeras-kerasnya kenyataan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussein mengenai ‘Penjara Pudu yang tidak perlu dibanggakan’.

Setiausaha Agungnya, Ali Othman berkata, kenyataan menteri itu yang menyebut "mungkin banyak benda lain boleh dibanggakan berbanding sebuah penjara walaupun ia sebuah bangunan lama" ketika bersidang di Dewan Rakyat pada 21 Jun 2010, benar-benar mengguris dan menghina ahli-ahli persatuan dan pegawai penjara yang sedang berkhidmat kini.

Kenyataan itu turut tersiar di sebuah akhbar tempatan keesokan harinya.

“Melalui Perhimpunan Agung Ke-10 persatuan, baru-baru ini, kami membuat usul bantah sekeras-kerasnya kenyataan beliau kerana merasakan seolah-olah perkhidmatan yang diberikan pegawai penjara khususnya yang telah berkhidmat di Penjara Pudu tidak dihargai, jauh sekali dari menjadi kebanggaan.

“Perlu diingatkan dengan adanya bangunan penjara atau jabatan penjara telah membuktikan wujudnya sistem keadilan yang lengkap di negara ini seiring dengan adanya mahkamah, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan lain-lain agensi penguat kuasa,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Menurutnya, penjenayah wajar dibenci kerana melakukan jenayah tetapi bukan terhadap penjara itu sendiri kerana penjara adalah tempat penjenayah jalani hukuman. -SH


‘Penjara Pudu bukan warisan negara’

2010/06/22

KERAJAAN tidak bercadang menjadikan Penjara Pudu sebagai tapak warisan kerana kewujudannya tidak dianggap sebagai sesuatu yang boleh dibanggakan rakyat negara ini.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussein, berkata kerajaan juga tidak berhasrat untuk membina muzium di tapak itu untuk membolehkan generasi akan datang mengetahui sejarah kewujudannya yang dibina pada 1895.

“Kerajaan sudah meneliti perkara ini dan membuat keputusan tapak ini bukan tapak warisan dan tidak akan dijadikan tapak warisan negara.

“Mungkin banyak benda lain boleh dibanggakan berbanding sebuah penjara walaupun ia sebuah bangunan lama,” katanya menjawab soalan tambahan Fong Kui Lun (DAP-Bukit Bintang).

Fong dalam soalannya ingin mengetahui kemungkinan kerajaan akan memulihara sebahagian bangunan penjara yang berusia 115 tahun itu untuk dijadikan bangunan dan tapak warisan bagi generasi akan datang supaya mengetahui sejarah penjara dan pembangunan Kuala Lumpur seperti dilakukan Korea Selatan.

Menjawab soalan asal Fong mengenai butiran lanjut pembangunan UDA Holdings Berhad di tapak Penjara Pudu, Awang Adek berkata, mereka akan membina projek pembangunan bercampur termasuk pejabat, kawasan rekreasi, hotel dan ruang niaga. -BH




Ulasan GB

Selain Awang Adek, Rais Yatim juga menyatakan Penjara Pudu tiada nilai warisan.

Mungkin jika Awang Adek dan Rais Yatim dimasukkan ke penjara Pudu, kedua-dua orang ini akan bersama-sama dengan Pegawai Penjara membuat demontsrasi membantah tindakan merobohkan penjara berkenaan.

Ada diperuntukkan komisyen ker untuk pembangunan projek pembinaan bernilai RM5 bilion di tapak berkenaan kepada kedua-dua menteri ini? GB sekadar bertanya jer.

SPRM Terus Diperkudakan Untuk Rampas Selangor Dari PR

Siasatan SPRM terhadap 2 ADUN PKR bermotif politik

Kerajaan negeri Selangor mendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sengaja mengucar-kacirkan pentadbiran negeri itu dengan menyiasat dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengenai kegiatan melombong pasir.

Semalam ADUN Batu Caves, Amirudin Shari dan ADUN Sri Muda, Shuhaimi Shafie dipanggil SPRM untuk memberi keterangan berhubung skandal melombong pasir di negeri berkenaan.

ADUN Kampung Tunku, Lau Weng San berkata, siasatan ke atas kedua-dua ADUN tersebut bermotifkan politik.

"Cara mereka menyiasat mirip siasatan terhadap Teoh Beng Hock," katanya yang bercakap bagi pihak perhimpunan penyokong-penyokong Selangor dalam sidang media di ibu pejabat kerajaan negeri di sini hari ini.

Teoh yang merupakan setiausaha politik Exco Selangor Ean Yong Hian Wah ditemui mati selepas disoal siasat semalaman oleh SPRM di ibu pejabatnya, sekaligus mencetuskan pelbagai spekulasi mengenai kematiannya.

"Malah kejadian sama turut berulang dan kali ini membabitkan Suhaimi dan Amirudin yang disoal siasat berhubung ‘penyalahgunaan dana kerajaan negeri’ iaitu dakwaan yang sama terhadap Teoh," kata Lau.

Suhaimi dan Amirudin diuar-uarkan sebagai di antara empat ADUN Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang bakal keluar parti kerana mempunyai pandangan yang berbeza tentang cara kepimpinan Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim.

Namun mereka menafikan perkara tersebut, sementara Lau dan para penyokong memberi sokongan penuh ke atas mereka sekaligus menolak spekulasi bahawa kerajaan negeri mengalami perpecahan.

"Saya Tidak Tertekan"

Dalam pada itu, Suhaimi berkata beliau tidak berasa tertekan dengan tindakan SPRM itu malah akan memberi kerjasama yang baik kepada mereka.

Namun beliau berulang kali menegaskan bahawa tidak melakukan sebarang kesalahan yang boleh menyabitkannnya dalam hal tersebut.

"Penyiasatan dijalankan secara profesional, saya tiada sebarang tekanan, dan yakin bahawa mereka hanya mengumpulkan maklumat kerana jelas SPRM cuba mencari maklumat lanjut berhubung skandal pasir itu.

"Walaupun pada awal saya tidak jelas dengan siasatan itu namun saya tidak nampak perkara sedemikian berlaku," katanya ketika dihubungi Free Malaysia Today.

Walau bagaimanapun Suhaimi tidak menolak kemungkinan siasatan itu wujud pergerakan politik seperti didakwanya dalam blog Free Malaysia Today semalam.

"Saya rasa ada sedikit ‘movement’ politik dalam siasatan ini," katanya ringkas.

Sementara itu, siasatan terhadapnya akan bersambung di Ibu Pejabat SPRM, 5 Julai ini pada pukul 2 petang. -FMT


'BN salah guna agensi cuba tumbang k'jaan S'gor'

Kelab penyokong Pakatan Rakyat (PRBBC) menuduh BN menggunakan agensi dan jentera kerajaan bagi menggulingkan kerajaan negeri Selangor yang diterajui PKR.

Pengerusi PRBBC Azmin Ali berkata mereka mendapat maklumat bahawa tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyoal dua ADUN Pakatan semalam “bermotifkan politik”.

"Umno menggunakan institusi seperti SPRM, polis dan pejabat Peguam Negara bagi menumbangkan kerajaan Pakatan,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat PRBBC pagi ini.

Semasa pertemuan itu, dua ADUN yang disoal oleh SPRM semalam - Amirudin Shari (Batu Caves) dan Shuhaimie Shafie (Sri Muda) - menceritakan kepada rakan-rakan bagaimana suruhanjaya itu menyoal mereka berhubung isu pasir kerajaan Selangor.

Azmin, yang juga ADUN Bukit Antarabangsa berkata selain itu, mesyuarat berkenaan turut membincangkan kononnya berlaku pergeseran antaranya dengan Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim.

Azmin menyifatkan tuduhan berkenaan sebagai propaganda jentera Umno.

Katanya, mesyuarat juga membincangkan situasi semasa Pakatan di Selangor tetapi enggan mengulas lanjut. -mk


Mahkamah Benar Putrajaya Tangguh Dedah Dokumen Syabas

Mahkamah benar Putrajaya tangguh dedah dokumen Syabas Isnin ini

Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan kerajaan pusat agar pelaksanaan keputusan berkaitan pendedahan dokumen perjanjian dan laporan audit, yang ditandatangani dengan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) pada 2004, ditangguhkan.

Pesuruhjaya Kehakiman Hadhariah Syed Ismail berkata, beliau membenarkan permohonan itu agar hak kerajaan untuk membuat rayuan di Mahkamah Rayuan tidak terjejas.

Kata Hadhariah, memandangkan kedua-dua dokumen itu akan didedahkan Isnin ini, jika beliau tidak memutuskan agar urusan itu ditangguhkan sebarang usaha mengemukakan rayuan kelak akan kelihatan dipertikai.

Isnin lalu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan kerajaan persekutuan mengumumkan kepada orang ramai laporan audit dan perjanjian konsesi air yang ditandatanganinya dengan kerajaan negeri Selangor dan Syabas.

Dalam keputusannya itu, Hadhariah berkata pendedahan dokumen tersebut tidak bercanggah dengan kepentingan negara dan awam.

Sebaliknya, kata beliau, ia akan memenuhi kepentingan awam kerana memaklumkan kepada mereka cara kerajaan berfungsi dan menggalakkan perbincangan tentang perkara berkaitan hal ehwal awam.

Hadhariah membuat keputusan itu bagi memenuhi permohonan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan 13 pihak lain agar semakan penghakiman dibuat berikutan tindakan Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi ketika itu Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik menolak permintaan mereka agar dokumen berkenaan didedahkan kepada orang ramai.
Grab a Celcom Blue Bear(TM) and stand to walk away with RM10,000!

Pada 7 Nov 2006, mereka menghantar sepucuk surat kepada menteri itu memohon agar laporan audit dan butiran perjanjian konsesi berkenaan didedahkan kepada umum, tetapi ditolak kementerian berkenaan pada 4 Dis 2006 atas alasan dokumen terbabit telah diklasifikasikan sebagai sulit dan rahsia.

Utiliti itu kini terletak di bawah portfolio Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air.

Dalam penghakiman beliau, Hadhariah berkata walaupun perjanjian konsesi itu belum didedahkan kepada umum, tetapi maklumat tentang air bukan hasil (NRW) dan peratusan pengurangannya, formula peningkatan tarif, tempoh kajian semula dan pembayaran pampasan kepada Syabas telah diedarkan oleh media dan pihak ketiga.

“Oleh itu, ia tidak lagi boleh dianggaap sebagai maklumat rahsia kerana ia merupakan isu-isu utama. Lagipun, perjanjian konsesi bukan suatu perjanjian persendirian. Ia dibuat dengan mengambil kira kepentingan awam,” kata beliau.

Hadhariah berkata orang ramai bergantung pada konsesi dan tadbir urus yang baik oleh kerajaan bagi melindungi kepentingan mereka dan oleh itu, demi kepentingan awam juga, perjanjian itu perlu diumumkan kepada orang ramai.

Pemohon berkata mereka telah menulis surat kepada menteri berkenaan pada 7 Nov 2006 bagi meminta dua dokumen berkenaan daripada beliau, tetapi ditolak kementerian itu pada 4 Dis 2006 atas alasan dokumen berkenaan telah diklasifikasikan sebagai sulit dan rahsia kerajaan.

Pemohon diwakili peguam Ang Hean Leng, manakala Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan mewakili menteri berkenaan dan kerajaan Malaysia dan Md Azhari Abu Hanif, pembantu penasihat undang-undang Selangor, mewakili kerajaan negeri itu. -TMI

Ulasan GB.

Tepat seperti yang GB jangkakan. GB sebelum ini amat sangsi dengan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan permohonan kerajaan pusat agar pelaksanaan keputusan berkaitan pendedahan dokumen perjanjian dan laporan audit, yang ditandatangani dengan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) pada 2004.

Petikan dari SINI.


GB masih sangsi.. apakah berkemungkinan keputusan hakim Mahkamah Tinggi di atas akan diterbalikkan oleh hakim-hakim di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan?


Setiap sesuatu keputusan mahkamah yang berpihak kepada PR akan segera diterbalikkan kemudiannya. Itu hal institusi kehakiman yang sudah dilihat tidak mempunyai integriti di dalam mempertahankan kebenaran dan keadilan.

Permit Suara Keadilan Digantung.

KDN gantung permit Suara Keadilan

Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah menggantung akhbar PKR - Suara Keadilan berkuatkuasa semalam kerana didakwa melanggar Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Dalam kenyataanya, KDN dikatakan tidak berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan oleh tabloid itu dan permit penerbitan tahunannya yang tamat tempoh semalam, tidak akan diperbaharui.

Sehubungan itu, kata setiausaha Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran, KDN, Datuk Zaitun Ab Samad, mulai semalam permit penerbitan akhbar PKR itu tidak lagi sah dan ia tidak lagi boleh dicetak atau diterbitkan.

“Panel penilaian permohonan permit penerbitan dan lesen mesin cetak, KDN telah bersidang pada 1.7.2010 dan membuat keputusan - tidak berpuashati dengan jawapan yang diberikan oleh pihak Suara Keadilan bertarikh 29.6.2010 yang diterima pada jam 4.45 petang hari yang sama berkaitan dengan surat teguran Kementerian ini.

“Tidak berpuashati dengan jawapan yang diberikan oleh Editor Suara Keadilan, Encik Dzulkarnain Taib melalui suratnya bertarikh 29.6.2010 yang diterima pada 30.6.2010 jam 12.00 tengahari berkaitan artikel bertajuk “Felda Bankrap,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Zaitun, permohonan pembaharuan permit Suara Keadilan yang tamat tempoh pada 30 Jun lalu akan hanya dipertimbangkan apabila penjelasan yang memuaskan diterima daripada pihak berkenaan.

“Satu surat akan dikeluarkan kepada pencetak berkenaan untuk memaklumkan agar tidak mencetak penerbitan ini sehingga satu keputusan mengenai permohonan pembaharuan permit tersebut dikeluarkan oleh Kementerian ini,” katanya. -mk

Ulasan GB

Tindakan KDN tersebut memang sudah dijangka.

Tindakan diskriminasi terhadap media ang tidak sehaluan dengan kerajaan sudah lama berlaku. Permit akhbar Harakah misalnya telah beberapa kali digantung, namun gelombang rakyat tidak mampu disekat sekalipun oleh bapak KDN.

TGNA pernah menyatakan bahawa air dari gunung jangan cuba ada yang menyekat, kelak anda akan disapu hanyut oleh air yang turun laju itu. Begitulah gelombang kebangkitan rakyat, jangan ada yang cuba untuk menyekatnya, anda bakal tercampak keluar lantarannya.