3 Dis 2014

[VIDEO] Gadis Dicabul, Penumpang Lain Diam Diri


.Situasi dua orang gadis yang dikatakan diserang secara seksual berjaya dirakam oleh seorang penumpang bas di Haryana, utara India.

Dua gadis berkenaan, Arati dan Pooja Kumar membelasah sekumpulan pencabul dengan tali pinggang selepas tiada penumpang yang menolong meleraikan kejadian tersebut.

Klip rakaman amatur tersebut yang dirakam oleh seorang wanita yang sedang mengandung telah dimuat-naik ke laman popular Youtube.

Wanita berkenaan memberitahu Times of India bahawa dia juga diserang secara seksual oleh kumpulan lelaki terbabit.

Sementara itu, Arati memberitahu wartawan, kumpulan lelaki berkenaan menyentuh Pooja yang juga adik beliau dan membuat aksi cium.

"Saya beritahu dia supaya jangan kacau atau saya akan ajar dia. Kemudian dia panggil seorang lelaki lain.

"Tidak lama kemudian, seorang lagi rakan mereka menaiki bas ini," katanya.

Tiga lelaki yang terlibat dalam kejadian tersebut telah ditahan dan pemandu bas juga telah digantung kerja kerana gagal mengambil tindakan ketika kejadian berlaku.

Video tersebut menjadi sensasi internet dan disiarkan di televisyen.

Kejadian tersebut memaksa langkah keselamatan diambil untuk memastikan keselamatan wanita di India.












Mashitah Memutar Lidah Apabila Kena Hentam Isu Artis Berhijrah


Tiada niat menghina artis berhijrah, kata Mashitah Ibrahim

Datuk Dr Mashitah Ibrahim menjelaskan hari ini, beliau tidak bertujuan menghina atau memperlekeh mana-mana pihak apabila membuat teguran mengenai kewujudan ramainya ‘ustaz ekspres, ustazah jadian’ di kalangan artis yang berhijrah.

Ketua Wanita Umno Baling itu berkata, pandangannya yang dikemukakan ketika berucap pada Perhimpunan Agung Umno minggu lepas, disalah erti sehingga menimbulkan kemarahan banyak pihak.

“Dalam ucapan saya, tidak salah mereka yang berhijrah berkongsi pengalaman dan semangat Islam tetapi sewajarnya mereka tidak sentuh soal hukum hakam apalagi menghukum orang lain,” katanya menurut Sinar Harian Online hari ini.

“Yang saya bangkitkan ialah keadaan di mana mereka mengeluarkan pandangan atau bercakap mengenai perkara yang mereka tidak berapa tahu, sehingga menimbulkan kecelaruan masyarakat,” beliau dipetik sebagai berkata dalam portal berita itu.

Mashitah berkata, atas konteks tersebut, beliau menyentuh kewujudan mereka yang tidak mahir dalam bidang agama, termasuk segelintir artis yang baru menyertai PAS dan bercakap hal agama dan hukum hakam, sehingga menambah kekeliruan orang ramai.

Semasa berucap pada persidangan parti itu atas kapasiti perwakilan Wanita Umno Kedah, beliau berkata: "Artis pakai tudung, dipanggil ustazah dan mengendalikan program agama. Kemunculan ramai ustaz ekspres, ustazah jadian yang asalnya pelakon, penyanyi, 'rockers', kemudian masuk PAS, celaru keadaan!”

"Mereka mungkin mempunyai pandangan menyimpang, mungkin menyesatkan. Ada kesedaran dan semangat Islam tetapi tak boleh cakap pasal hukum kerana mereka tak ada wibawa. Setakat pengalaman tidak melayakkan kita jadi ustazah atau ustaz."

Beliau yang juga bekas timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika itu berucap membahaskan usul agama, pendidikan dan sosial.

Katanya, menurut Sinar Harian, beliau mengalu-alukan usaha dakwah golongan itu yang sudi berkongsi pengalaman atau menceritakan kisah hidup mereka sebagai pengajaran.

Mengulas mengenai kaedah pendakwah sama ada menyanyi atau berjenaka seperti yang juga disentuh dalam ucapannya, katanya kepada akhbar itu, beliau sekadar mengingatkan agar tidak keterlaluan sehingga mencacatkan ilmu yang hendak disampaikan.

“Setiap pendakwah ada kaedah tersendiri menarik perhatian hadirin. Namun, kita harus tahu seimbangkan cara dan isi.

“Ceramah ialah majlis ilmu, bukan persembahan hiburan seperti Maharaja Lawak Mega. Audien juga dinasihatkan tidak memilih ceramah kerana ada jenaka, tetapi kerana ilmunya,” katanya dipetik Sinar Harian.

Mashitah juga berkata beliau bimbang sekiranya terlalu banyak gelak ketawa dan disulami percakapan berunsur lucah atau menghina orang lain, majlis ilmu itu akan hilang keberkatannya.

Ditanya mengenai tuntutan permohonan maaf presiden Panglima Malaysia, Sulaiman Ibrahim atau lebih dikenali Leman Raja Lawak, Mashitah berkata, tiada keperluan berbuat demikian kerana beliau tidak menghina sesiapa.

“Saya tiada agenda peribadi bangkitkan isu ini. Jangan putar belit kenyataan saya. Tanggungjawab semua menegur apa yang tidak betul dalam masyarakat... Saya cadangkan beliau meneliti ucapan saya, bukan sekadar memetik sebaris dua petikan,” katanya.

Semasa dalam bahasnya minggu lepas, beliau berkata: "Nak cari ustaz, ustaz pun ceramah macam Maharaja Lawak Mega, ada juga ustaz macam ustaz Bollywood. Padan yang dengar pun, nak pilih ustaz yang nyanyi dan buat lawak, nak dengar lawak pi dengar Maharaja Lawak lah, tak payah dengar ceramah agama." -TMI




Ustaz ekspres': Abby Abadi Bidas Mashitah

KUALA LUMPUR: Perwakilan Wanita Umno Kedah, Datuk Dr Mashitah Ibrahim digesa menegur dunia hiburan seperti rancangan televisyen yang melalaikan terlebih dahulu dan bukannya menegur mereka yang telah berhijrah.

Bekas pelakon Gerak Khas, Abby Abadi ketika dihubungi berkata, Mashitah sepatutnya lebih peka dalam isu membabitkan gejala sosial remaja yang semakin membimbangkan.

"Kesal bila beliau lebih risaukan dengan wujudnya mereka yang berhijrah mengikut ajaran Islam sedangkan hiburan di televisyen yang semakin melalaikan beliau tidak ambil peduli.

"Jika beliau berpendidikan agama sepatutnya berbangga dengan penghijrahan golongan-golongan artis yang semakin ramai mendekati agama," katanya kepada Harakahdaily.

Menurut beliau, dalam berdakwah perlu menggunakan pelbagai kaedah bagi menarik lebih ramai untuk hadir ke majlis-majlis ilmu terutamanya golongan remaja.

"Saya selalu mengikuti majlis-majlis ilmu yang disampaikan sama ada dalam bentuk hiburan, lawak atau sebagainya, bagi saya itu bukan satu kesalahan.

"Malah saya melihat lebih ramai mereka yang hadir mengikuti majlis-majlis ilmu kerana bagi mereka penyampaian tersebut memberi kesan kepada pemahaman tentang apa yang mereka ingin ketahui," katanya.

Beliau menyatakan demikian sebagai respons kepada gesaan Mashitah yang berucap pada Persidangan Wanita Umno semalam yang meminta kerajaan memantau kewujudan golongan 'ustaz' dan 'ustazah ekspres' terutama di dalam PAS.

Menurut beliau, mengajak orang kepada Islam itu merupakan tanggungjawab setiap manusia yang mengucap dua kalimah syahadah dan tidak perlu bimbang kerana mereka bukannya merupakan ancaman kepada mana-mana pihak.

"Kalau kita tidak mampu untuk mengajak orang lain kepada Islam kerana menjaga jawatan, kita tidak perlu menghentikan usaha orang lain. "PAS mempunyai tanggungjawab dalam menjadikan setiap mereka yang bersama parti itu berurusan mesti mengikut kaedah Islam yang sebenarnya," katanya lagi.
-HD










Minta Habuan Seks Untuk Lulus Rumah PPRT, Pegawai LKWK Dihadap Ke Mahkamah

Seorang Pegawai Tadbir di Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas pertuduhan meminta dan cuba memperoleh layanan seks sebagai dorongan untuk membantu meluluskan permohonan rumah di bawah Projek Perumahan Rakyat Termiskin di negeri ini.

Bagi pertuduhan pertama, Heris Saad, 56, didakwa secara rasuah meminta suapan berbentuk layanan seks daripada seorang ibu tunggal sebagai dorongan untuk mempercepatkan proses permohonan rumah PPRT di Kentucky Fried Chicken, Jalan Limbong Kapal di sini pada 10 Nov lalu kira-kira pukul 12.30 tengah hari.

Heris juga dituduh cuba memperoleh suapan berbentuk layanan seks daripada seorang ibu tunggal sebagai dorongan untuk tujuan sama pada 13 Nov lalu di Hotel Royale Jalan Putra di sini kira-kira pukul 2.45 petang.

Bagi pertuduhan pertama dia didakwa mengikut Seksyen 16(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi.

Dia juga didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara hingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi, bagi pertuduhan kedua.

Tertuduh, yang diwakili peguam Amir Faliq Mohd Jamil, mengangguk faham ketika pertuduhan terhadapnya dibacakan.

Hakim Azhar Mokhtar menetapkan 30 Dis ini untuk sebutan semula kes dan penyediaan dokumen.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Syahrul Khuzaimi Amiruddin.

BERITA SEBELUM INI


SPRM Tahan Pegawai Kerajaan Didakwa Minta Habuan Seks Daripada Janda

Alor Setar: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang pegawai tadbir yang menjawat jawatan penolong pengurus di sebuah jabatan kerajaan kerana didakwa meminta habuan seks daripada pemohon rumah bantuan berstatus ibu tunggal.

Menurut sumber, pegawai kerajaan berusia 50-an itu ditahan di sebuah hotel di Jalan Putra di sini pada pukul 2 petang Khamis selepas didakwa meminta habuan seks daripada seorang ibu tunggal berusia 20-an.

Difahamkan, suspek memilih mangsa menerusi gambar pada borang atau surat pemohonan yang dihantar pemohon sebelum menghubungi mereka.

"Dia kemudian mendakwa mempunyai kuasa untuk memberi kelulusan dalam permohonan rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

"Bagaimanapun untuk mendapat rumah tersebut, pemohon berstatus janda perlu memberi habuan seks kepadanya. Suspek dikesan mendapatkan suapan seks di hotel pada waktu tengah hari," dedah sumber itu.

Tambahnya, terdapat ibu tunggal yang tidak berjaya dalam permohonan itu walaupun telah memberi habuan seks bertindak membuat laporan terhadap majikan suspek.

Berdasarkan maklumat dan risikan SPRM sejak beberapa bulan lalu, akhirnya suspek berjaya ditahan SPRM.

Jelas sumber itu, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 17 Akta SPRM 2009 kerana meminta suapan dalam bentuk seks.