31 Ogo 2010

Apa Ada Pada Perkasa?

Lawan Perkasa Anwar bukan Nurul Izzah, kata Ibrahim Ali

Perkasa hari ini mengetepikan cabaran Nurul Izzah Anwar agar diadakan debat umum mengenai hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera dengan menegaskan, aspek tersebut tidak boleh dipersoalkan sama sekali.

Awal hari ini, Nurul Izzah, Ahli Parlimen Lembah Pantai menulis dalam The Malaysian Insider bahawa idea “hak orang Melayu” dibawa oleh Perkasa hanya satu gagasan ideologi dan falsafah yang tidak berakarumbikan perlembagaan dan mengundang pertubuhan bukan kerajaan Melayu agar sertai debat.

Dalam reaksinya, Perkasa mendakwa bahawa hak-hak istimewa orang Melayu tidak boleh dipersoalkan atau dibahaskan oleh mana-mana pihak secara terbuka.

Oleh itu, pertubuhan itu menolak sebarang undangan agar diadakan diadakan dialog secara terbuka.

“Ini (Nurul Izzah) ikan bilis pada saya... budak tak lepas hingus lagi yang tak tahu sejarah perjuangan kemerdekaan. Berhingus pun dah pandai jual maruah bangsa,” kata Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali (gambar).

Justeru, tambah Ibrahim beliau sebenarnya menentang pendirian bapa Nurul Izzah, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Ketua Umum Pakatan Rakyat.

“Lawan saya bapa beliau, bukan beliau (Nurul Izzah). Beliau orang kecil,” kata Ibrahim dalam kenyataan yang dikeluarkan menerusi SMS hari ini.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu juga mengetepikan hujah Nurul Izzah, wakil rakyat penggal pertama, sambil meminta beliau memberi tumpuan ke atas kes liwat kedua bapanya.

“Ini isu yang sangat kecil, minta beliau beri tumpuan terhadap kes liwat bapa beliau atau debat dengan ketua Wiranita (sayap wanita Perkasa). Adakah perbicaraan bapa beliau satu konspirasi?” tambah Ibrahim dalam komennya.

Ketua Wiranita Raihan Sulaiman Palestine juga sealiran dengan sentimen Ibrahim dengan menekankan, Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan sangat jelas tentang hak keistimewaan orang Melayu.

“Kebelakangan ini timbul banyak persoalan, banyak hujah mengenai Artikel 153. Bagaimana ini boleh terjadi?

“Anda tidak boleh debat mengenai sesuatu yang sudah termaktub dalam Perlembagaan,” kata Raihan.

“Malah di Parlimen sendiri, anda perlu memperoleh persetujuan dua pertiga untuk meminda atau bercakap mengenai perlembagaan dan beliau (Nurul Izzah) mahukan debat awam mengenai perkara ini.

“Apa yang orang Melayu layak, apa yang mereka boleh peroleh, semuanya sudah jelas secara hitam putih,” kata Raihan lagi.

Raihan juga memberitahu The Malaysian Insider bahawa Perkasa akan menggunakan apa jua cara dalam memastikan tidak sesiapa pun mempersoalkan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak dan keistimewaan orang Melayu.

Nurul Izzah berkata, adalah penting untuk ditekankan bahawa Suruhanjaya Reid, yang merangka Perlembagaan, melihat Perkara 153 sebagai pendekatan sementara dan tertakluk kepada kajian semula selepas 15 tahun oleh Parlimen.

Ia telah diinstitusikan dalam bentuk Dasar Ekonomi Baru (DEB) ekoran rusuhan kaum 1969.

Dalam tulisannya, Nurul Izzah sambil menekankan bahawa orang Melayu, yang berada di persimpangan, akan menentukan sama ada Ketuanan Melayu ataupun Ketuanan Rakyat yang bakal mendefinsikan Malaysia.

Perkasa bersama badan induknya, Majlis Perundingan Melayu secara lantang mempertahankan DEB demi mengekalkan keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera.

Malah bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam beberapa tulisan dan kenyataan juga sealiran dengan pendirian Perkasa dengan menegaksan, DEB masih diperlukan untuk menjaga kepentingan orang Melayu.

Tulisan terbaru beliau disiarkan dalam blognya semalam. -TMI


Ibrahim perlu baca semula konsep 1 Malaysia, kata Umno

Sambil menegaskan tidak mahu bertikam lidah, Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan menasihati Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali agar membaca semula buku panduan konsep 1 Malaysia sebelum mempersoalkan gagasan yang dibawa pentadbiran Najib itu.

Ahmad berkata, Ibrahim sepatutnya meneliti dan memahami terlebih dahulu konsep 1 Malaysia sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.

“Beliau (Ibrahim) kawan saya, jadi saya tidak mahu bergaduh dengan beliau.

“Kalau beliau tidak faham tentang konsep 1 Malaysia saya sarankan supaya beliau baca semula buku kecil 1 Malaysia yang boleh diambil di pejabat Jabatan Perdana Menteri,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Beliau berkata, Ibrahim sepatutnya tidak mempersoalkan dan memperbesarkan konsep 1 Malaysia yang dibentuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Tiada apa yang hendak dipertikaikan dalam konsep 1 Malaysia, rakyat semua sudah jelas, mengapa beliau masih tidak faham?

“Saya nasihatkan Ibrahim dan Perkasa supaya jangan memperbesarkan perkara yang tiada,” katanya.

Kelmarin, Ibrahim memberi tekanan baru ke atas Najib dengan meminta menjelaskan konsepnya 1 Malaysia, yang sesetengah pengkritik menganggapnya sebagai slogan cetek dan tidak membantu meredakan ketegangan kaum.

Ibrahim berkata, konsep 1 Malaysia telah dimanipulasikan oleh sesetengah pihak dengan mendakwa ia merujuk kepada soal kesamarataan antara kaum.

“Kami meminta Perdana Menteri menjelaskan konsep 1 Malaysia,” kata wakil rakyat Pasir Mas itu.

Ibrahim juga mencabar Najib agar membentangkan resolusi Parlimen untuk menggugurkan Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan jika konsep 1 Malaysia benar-benar merujuk kepada soal kesamarataan.

Perkara 153 merujuk kepada hak keistimewaan Bumiputera dan membolehkan kerajaan mengadakan kuota di institusi pengajian tinggi, peluang pekerjaan sektor awam dan permit.

Mengulas lanjut Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, konsep 1 Malaysia merujuk kepada soal perpaduan kaum, nilai-nilai murni dan juga berpandukan Perlembagaan Persekutuan.

“Fokus utama dalam konsep 1 Malaysia adalah perpaduan kaum di mana orang Melayu, Cina dan India boleh bersatu dan menjadi aset utama negara.

“Selain itu, konsep 1 Malaysia berpegang kepada lapan nilai murni iaitu budaya kecemerlangan, ketabahan, rendah hati, penerimaan, kesetiaan, meritokrasi, pendidikan dan integriti.

“Malah konsep 1 Malaysia juga berpandukan kepada Perlembagaan Negara, jadi konsep ini akan membawa aspirasi untuk memperkukuhkan hubungan kaum bagi memastikan rakyat Malaysia dapat menjalin perpaduan yang lebih erat sebagaimana kehendak prinsip Rukun Negara,” katanya.

Selain Perkasa, Penasihat DAP Lim Kit Siang turut mempersoalkan keberkesanan konsep 1 Malaysia, yang dibawa Najib sejak dilantik sebagai Perdana Menteri April 2009, ekoran insiden-insiden bersifat perkauman dengan dua pengetua mengeluarkan kenyataan berbaur rasis. -TMI


Ulasan GB

YB Nurul Izzah tidak perlu beri perhatian kepada Ibrahim Ali dan Perkasanya. UMNO sendiri menolak Ibrahim Ali. UMNO sendiri kini melepaskan dirinya daripada kata-kata Ibrahim Ali. Biar UMNO dan Perkasa selesaikan sesama mereka tentang isu Perkara 153.

Perkasa adalah serpihan yang terbuang daripada UMNO. Atau serpihan yang tidak diperlukan UMNO. UMNO sangat menyedari, menyebelahi Perkasa bererti menggali kubur untuk UMNO bagi pilihanraya akan datang.

Sentimen perkauman yang dimainkan oleh Perkasa amat merbahaya, namun KDN nampaknya mendiamkan diri lantaran apa yang diperjuangkan Perkasa adalah gerakan halus yang ada di dalam lubuk hati pemimpin dan ahli UMNO yang sebenarnya. Cuma UMNO segan dengan MCA dan MIC sebab sudah terlanjur menggagaskan slogan 1Malaysia. Tetapi MCA dan MIC telah menghidunya lama, bahawa sahabatnya UMNO itu berlaku curang apabila membiarkan Perkasa terus hidup membawa keris sewenang-wenangnya ke mana-mana.

Rakyat Malaysia dari segenap bangsa dan agama pun membuka matanya. Perkasa sebenarnya sedang mengheret UMNO terjun ke lubang kubur untuk disemadikan bersama-sama dengannya.

Rencana Allah Yang Maha Pandai mengaturkan untuk menipudaya Ibarahim Ali yang yang telah menipu rakyat di kawasannya. Ibrahim kononnya pejuang bangsa. Ibrahim akan terjun dengan keris-kerisnya!

Black-Listed: Rakyat Takkan Bayar Satu Sen Pun Kepada JPJ Dan Polis

JPJ: Pemandu disenarai hitam boleh bayar saman secara ansuran

Pemandu kenderaan yang disenaraihitamkan boleh membayar saman mereka secara ansuran sehingga 28 Februair depan, kata Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Solah Mat Hassan.

Beliau berkata perkara itu diputuskan bagi membolehkan orang ramai memperbaharui lesen memandu dan cukai jalan mereka setelah mendengar alasan, aduan dan rayuan orang ramai dan ahli jemaah menteri berkaitan masalah itu.

“Selepas 1 Mac, kena bayar penuh...mata demerit juga akan disambung semula,” katanya ketika ditemui pemberita di kaunter JPJ, Terminal Bas Sementara Bukit Jalil, di sini hari ini.

Pada 11 Ogos lepas, Kabinet memutuskan untuk menarik balik tindakan menyenarai hitam pemilik kenderaan yang masih belum menjelaskan saman buat sementara waktu.

Tempoh penarikan itu juga diambil kira ekoran musim perayaan yang bermula dengan sambutan Aidilfitri diikuti Deepavali, Krismas dan Tahun Baru Cina.

Solah berkata bayaran saman secara ansuran itu boleh dibuat mengikut kemampuan pemandu.

Sementara itu, Solah berkata pihak JPJ juga akan membuat pemantauan terhadap perkhidmatan teksi selain bas, daripada segi tambang, penggunaan meter dan kerjasama daripada segi pengambilan penumpang.

“Pemandu teksi yang mengenakan tambang secara lebihan, tidak menggunakan meter dan enggan mengambil penumpang akan dikenakan tindakan seperti bayaran kompaun,” kata beliau dipetik Bernama.

Mengulas isu “ulat tiket”, Solah menasihatkan orang ramai agar membeli tiket yang sah di 92 kaunter yang terdapat di terminal bas dan bukannya dari ulat-ulat tiket sempena sambutan Aidilfitri akan datang.

“Tiket masih ada...pihak Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) akan tambah jumlah bas seperti bas sekolah dan bas kilang jika perlu. Masalah kehabisan tiket jelas tidak berbangkit,” katanya. - TMI


Saman ekor: PAS anjur petisyen di internet pula

Memanfaatkan populariti dunia siber di kalangan anak muda, Pemuda PAS meluaskan lagi kempen membantah saman ekornya dengan mengadakan petisyen dalam talian.

Setiausahanya Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, usaha itu merupakan lanjutan daripada kempen "sejuta tandatangan" dewan itu yang dilancarkan pada 23 Ogos lalu di Kuala Lumpur.

"Walaupun kempen ini sedang giat rancak gerak kerjanya di peringkat Parlimen yang diuruskan oleh setiausaha Pemuda PAS kawasan-kawasan, namun Pemuda PAS merasakan perlunya satu alternatif melalui dunia siber yang semakin popular, terutamanya di kalangan masyarakat bandar dan ibu kota," katanya.

Dalam satu kenyataan hari ini, Khairul Faizi berkata usaha terbaru tersebut dapat menarik sokongan anak-anak muda bagi menyatakan sikap mereka supaya kerajaan memansuhkan terus saman ekor, bukannya menangguhkannya.

"Pemuda PAS berharap agar anak-anak muda seluruh negara dapat bersama menurunkan tandatangan secara dalam talian ini sebagai tanda sokongan menghapuskan saman ekor yang dilihat tidak mendidik pemandu, sebaliknya memeras wang rakyat dengan cara yang halus," katanya.

Menurut Khairul Faizi lagi, kesemua petisyen itu akan diserahkan kepada pihak polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebagai tanda bantahan.

Orang ramai boleh menurunkan tandatangan masing-masing di alamat http://www.petitiononline.com/saman/petition.html sehingga 31 Oktober 2010 ini, tambahnya. -mk



Ulasan GB

JPJ dan Polis tidak sepatutnya mencari jalan untuk memungut saman ekor yang amat terang-terangan bertentangan dengan undang-undnag itu.

Mahkamah sebelum ini di dalam kes Leonard Lim Yaw Chiang lawan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri Sarawak & Anor pada 2009 secara jelas menyatakan bahawa Jabatan Pengangkutan Jalan tidak boleh menyenarai hitam kenderaan semata-mata dengan saman ekor.

Ini kerana, tindakan menyenarai hitamkan kenderaan atas sebab saman ekor adalah bertentangan dengan seksyen 17 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan merupakan satu perlanggaran kepada Artikel 13 Perlembagaan Persekutuan.

Berdasarkan kepada keputusan mahkamah berkenaan, apa juga pungutan hasil daripada penyenaraian hitam saman ekor adalah bertentangan dengan undang-undang. Hasil pungutannya pula adalah HARAM dari segi syarak.

Rakyat tidak akan membayar walau sesen pun kepada JPJ dan Polis terhadap penyenaraian hitam kerana saman ekor ini.

Nak mengadu kat menteri, pergilah mengadu hatta PM sekalipun. Rakyat akan pastikan menteri itu terkangkang di dalam pilihanraya nanti kerana gagal mematuhui keputusan mahkamah.

Apa lagi kamu nak? Nak bunuh semua rakyat yang tak nak bayar? Bunuhlah!

GB Jawab 2 orang Yang Menonjol Diri Sebagai Ulamak

Zul Noordin: Ironis bukan Islam masuk surau

Ahli parlimen Kulim-Bandar Baru Zulkifli Noordin mempersoalkan keadaan orang bukan Islam dibenar 'bertazkirah' dan memasuki surau dan masjid sedangkan ilmuan Islam sendiri tidak dibenarkan.

Memetik tulisan pengerusi jawatankuasa kerja Sekretariat Ulama Muda Umno (iLMU) Fathul Bari Mat Jahaya, Zulkifli berkata apa yang berlaku itu amat ironis kerana pada masa yang sama golongan bukan Islam dibenarkan, "sambil memijak tempat sujud umat Islam".

"Dikenali sebagai seorang yang giat berdakwah melalui ceramah dan penulisan, beliau (Fathul Bari) sendiri pernah ditahan kerana memberikan tazkirah (tanpa tauliah) di dalam sebuah surau," kata Zulkifli yang dipecat daripada PKR sebelum ini berpunca daripada pendapat berbezanya dalam isu kalimah Allah.

Zulkifli dipercayai mengulas tindakan ahli parlimen Serdang Teo Nie Ching memasuki dan memberikan ucapan di sebuah surah di Kajang - yang mengundang perdebatan hangat, sehingga Sultan Selangor dikatakan amat murka dan dukacita.

Walaupun dilaporkan memberikan 'tazkirah', Teo bagaimanapun menjelaskan beliau hanya hadir memberikan sumbangan kewangan kepada pengurusan surau dan tidak menyentuh langsung perkara politik dalam ucapannya.

Menulis dalam blognya, Zulkifli juga memperli sikap umat Islam yang didakwanya "tanpa segan (dan) malu menghulur tangan menagih angpau dan bantuan dari tangan kafir harbi ini."

Pada 1 Mac lalu, Fathul Bari dituduh mengajar agama tanpa tauliah selepas ditahan ketika berceramah di sebuah sebuah pusat pengajian agama di Kuala Pilah sehari sebelum itu.

Fathul Bari dituduh bawah Seksyen 53 Enakmen Jenayah Syariah 2003 Negeri Sembilan. Kes tersebut masih dibicarakan.

Fathul: Urusan niat adalah milik Allah

Sementara itu, Fathul Bari dalam tulisannya yang dirujuk Zulkifli itu antaranya berkata, apa yang berlaku sekarang berbeza dengan keadaan di masa lalu apabila bukan Islam masuk ke masjid "untuk didakwah".

"Jika dulu, bukan Islam masuk ke masjid untuk didakwah, tapi hari ini mereka masuk ke masjid memberi nasihat dan tazkirah.

"Dua suasana dan pendekatan yang berbeza. Maka sudah tentu hukumnya tidak sama," tulisan Fathul Bari dalam Utusan Malaysia itu dipetik.

Dalam tulisan itu, Fathul Bari juga memuatkan pendirian majlis fatwa ulama Arab Saudi yang "bersepakat bahawa melibatkan bukan Islam dalam pembinaan atau pengimarahan masjid di samping wujudnya Muslim yang mampu untuk membantu, adalah dilarang sama sekali."

Justeru, anak bekas mufti Perlis itu meminta semua pihak lebih berhati-hati dalam memohon bantuan kewangan agar tidak melanggar dasar dan prinsip Islam.

Manakala orang Islam yang berkemampuan pula dinasihatkan tidak terlalu memilih parti sahaja untuk dibantu.

"Islam tidak melarang kita menyiarkan kebaikan yang dilakukan sekiranya berniat agar dicontohi orang ramai. Tetapi jika niat kita untuk meraih undi dan populariti, maka hukumnya haram.

"Bagaimanapun, urusan niat adalah milik Allah. Usah sesiapa cuba mengambil alih tugasan Allah," tulisan Fathul Bari itu dipetik. -MK

Ulasan GB

Ini betul-betul dua ekor ular dalam semak.

Pertama: Kedua-duanya menuduh YB Teo menyampaikan "tazkirah". Ada bukti? Jika tiada kedua-dua kamu pemfitnah di bulan Ramadhan.

Kedua: Kata mereka 'amat ironis kerana pada masa yang sama golongan bukan Islam dibenarkan, "sambil memijak tempat sujud umat Islam"'

Dengar sini kamu-kamu yang mengaku ulamak.
Apakah pengertian sujud dan tempat sujud? Sujud ialah merendahkan diri, menghambakan diri kepada Allah s.w.t. manakala tempat sujud ialah tempat yang paling bawah searas tempat kita berpijak iaitu lantai (tanah).

Tempat sujud umat Islam sememang tempat dimana "semua orang boleh pijhak", jika tidak ia bukan tempat sujud namanya.

Tempat orang boleh pijak itu lah tempat paling hina dan disitulah kita sujud menghinakan diri kita kepada Allah s.w.t.

Seandainya tempat sujud itu tempat orang tak boleh pijak seperti ditinggikan tempat sujud itu dengan pelbagai alas, dihiaskan dengan pelbagai hiasan, maka ia bukan tempat serendah-rendah dimukabumi dan ia bukan tempat sehina-hina untuk kita menghinakan diri kita di depan Allah.

Ketiga : kamu menuduh umat Islam menagih angpaw dan bantuan dari tangan kafir harbi. Sedangkan kamu-kamu berdua tidak sedar selama ini kamu makan dari hasil apa? Kamu menerima gaji, elaun dan imbuhan dari kerajaan mana? Kerajaan dari jenis pemerintahan apa? Hasil yang datang dari mana? Lebih buruk lagi kamu berdua bersekongkol dengan UMNO, sebuah parti yang mengaku Islam tetapi jelas menentang hukum Islam! Nak kata apa lagi?

Kamu menuduh DAP kafir harbi. Abis kamu nak iktiraf MCA dan MIC kafir dzimmi semata-mata kerana mereka kawan UMNO? Pergi tanya MCA dan MIC samada mereka mahu hukum Islam atau tidak?

Jahat kamu berdua ini, leih jahat daripada syaitan-syaitan yang telah diikat di bulan Ramadhan ini.

Negara Dijajah Yahudi APCO, Mau Jerit MERDEKA Lagikah?

Kerajaan Upah 'Konsultan Luar', Negara Merdeka?

Benarkah Malaysia benar-benar merdeka ?

Itu persoalan yang timbul saat rakyat negara ini merayakan kemerdekaan kali ke-53.

TV Selangor mendapatkan ulasan Pengerusi Teras Pengupayaan Melayu yang juga Setiausaha Agung Seketeriat Himpunan Ulama Asia (Shura), Azmi Abdul Hamid.

“Saya berpandangan, kita belum mencapai kemerdekaan yang murni atau tulen kerana banyak perkara yang mutakhir ini menandakan kita masih dijajah pemikiran dan pengaruh luar.

"Ini termasuk memilih konsultan luar untuk menentukan kita meningkatkan imej, kemudian kita tidak lagi keluar daripada model pembangunan dan model ekonomi yang betul-betul merdeka daripada erti kata yang sebenar," katanya.

Azmi dipercayai merujuk kepada Apco Worldwide, sebuah firma perunding antarabangsa yang didalangi pemimpin Yahudi-Zionis, apabila menyebut konsultan luar.

Selain itu, beliau juga kesal kerana kerajaan gagal menjulang martabat bahasa kebangsaan hingga mendorong rakyat masih taksub kepada bbahasa asing dalam pertuturan seharian.

“Kita masih lagi ada ketakjuban kepada bahasa asing termasuk bahasa Inggeris sehinggakan melarat dalam perbualan seharian. Budaya itu bukan menunjukkan kemajuan tetapi kita berpatah ke belakang.

"Nampak sangat dasar kerajaan longgar dalam menentukan dasar bahasa dan budaya," katanya. -TVS


Merdeka: Anwar selar 'pelampau peralat sentimen'

Sempena ulang tahun kemerdekaan negara, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyelar pimpinan Umno yang disifatkannya tanpa segan silu menuduh orang lain pengkhianat dan pembelot demi kepentingan politik sendiri.

Sedangkan, menurut ketua umum PKR itu, pihak itulah sebenarnya yang memperalat sentimen perkauman sempit dan agama.

"Makanya siapa di antara kita yang mahu menafikan perbuatan golongan tadi itulah yang sebenarnya mengkhianati makna kemerdekaan?" katanya.

Dalam perutusan kemerdekaan hari ini, Anwar juga menegaskan keperluan mempertahankan perlembagaan dan menjaga hak dan kepentingan Melayu-Islam seperti termaktub dalam Perkara 152 dan 153 Perlembagaan Persekutuan.

Beliau antaranya menyeru:

- Mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, Islam sebagai agama persekutuan, agama-agama lain boleh diamalkan, melindungi kedudukan istimewa orang Melayu, anak negeri negeri Sabah-Sarawak serta kepentingan sah kaum-kaum lain.

- Mempertahankan peranan dan tanggungjawab institusi raja berperlembagaan.

- Memartabatkan pengunaan bahasa Melayu dan memperluaskannya sebagai lingua franca serta melindungi dan memperkukuhkan penggunaan bahasa ibunda semua kaum.

Beliau yang juga ahli parlimen Permatang Pauh turut mengulangi gesaan supaya akta kontroversi ISA dimansuhkan serta mengesyorkan pembatalan semua pengisytiharan darurat yang masih berkuatkuasa.

Atas semangat persekutuan, Anwar juga berharap wujudnya hubungan yang adil antara kerajaan pusat dengan negeri-negeri, terutama Sabah dan Sarawak. -mk