28 Jan 2015

[PENGAJARAN] Bekas Isteri Jimmy Shanley Dipenjara

Kiri Jimmy Shanley, kanan Nursuhaila Eliani Suhaimy

Bekas isteri pengacara, Jimmy Shanley Norjahan Saleh, 35, dihukum penjara tujuh hari oleh Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam sebentar tadi kerana dengan sengaja ingkar perintah mahkamah berhubung hak lawatan dan bermalam anak pasangan itu.

Hakim Syarie, Mawardi Che Man mengarahkan hukuman ke atas Nursuhaila Eliani Suhaimy, 29, bermula hari ini.

Jimmy mendakwa masih gagal berjumpa anaknya, walaupun mahkamah pada 8 April 2013 mengeluarkan perintah membenarkan hak lawatan dan bermalam dengan anaknya.

Jimmy berkahwin dengan Nursuhaila Eliani Suhaimi pada 1 Oktober 2010 namun bercerai pada 10 Oktober 2012. Hasil perkahwinan pasangan itu dikurniakan seorang anak perempuan iaitu Zahrah Rania Shanley yang kini berusia 3 tahun.

Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur pada Aparil 2013 telah memutuskan hak penjagaan anak perempuan pelakon dan pengacara, Jimmy Shanley iaitu Zahrah Rania Shanley kepada bekas isterinya, Nursuhaila Eliani Suhaimy, 25.

Jimmy telah diberikan hak lawatan dan bermalam selama tiga hari dalam seminggu bersama anaknya yang berusia setahun sembilan bulan itu. Hak lawatan dan bermalam itu bermula pada pukul 10 pagi Selasa sehingga Khamis pukul 6 petang setiap minggu selain kebenaran menyambut perayaan Aidilfitri dan Aidiladha secara bergilir-gilir.

Jimmy telah berkahwin lagi kali kedua pada 7 Jun 2014 dengan pasangannya Mariam Jamilah Abdul Jalil.

[BERGAMBAR] Tadika PASTI Diceroboh Penjenayah, Guru & Murid Trauma -UPDATED

Lakonan semula bagaimana penjenayah terbabit bertindak mengacukan parang kepada salah seorang penjaga yang datang untuk mengambil anaknya.

Seremban – Guru dan murid-murid tadika Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) Al-Mawaddah, Taman Warisan Puteri, Sikamat, di sini, berhadapan detik cemas apabila tadika terbabit dimasuki penjenayah bersenjatakan parang, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 12.30 tengah hari itu, kesemua murid-murid dikatakan sedang menunggu kedatangan ibu-bapa untuk mengambil mereka selepas selesai sesi persekolahan.

Pengarah Pasti negeri, Syazwan Zulkafli berkata, secara tiba-tiba datang dua lelaki menaiki sebuah motosikal dengan bersenjatakan parang dan memakai topi keledar penutup penuh.

“Kedua-dua lelaki itu terus memegang salah seorang penjaga yang datang mengambil anak mereka di tadika. Salah seorang daripadanya mengacukan parang di bahagian leher mangsa.

“Guru yang melihat kejadian itu segera membawa masuk murid-murid ke dalam tadika dan terus mengunci pintu,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Beliau berkata, menyedari tindakan guru itu, suspek bertindak menendang pintu dan berjaya memasuki tadika.

“Empat guru wanita bersama beberapa murid berada dalam ketakutan apabila suspek mengugut akan mencederakan jika melawan.

“Suspek meminta wang tetapi guru memberitahu tadika tidak menyimpan wang tunai. Suspek kemudian meminta barang berharga milik guru-guru,” katanya.

Syazwan berkata, bimbang dicederakan suspek, kesemua guru menyerahkan barangan peribadi mereka termasuk beg tangan dan beg yang berisi alat bantuan mengajar.

“Selepas mendapat barang berharga, suspek terus melarikan diri dengan menaiki motosikal yang diletakkan di hadapan tadika.


“Syukur Alhamdulillah kerana guru-guru, murid-murid dan penjaga selamat dan tidak dicederakan suspek ketika kejadian,” katanya.

Beliau berkata, kejadian tersebut menyebabkan guru-guru dan murid-murid mengalami trauma.

“Ini merupakan kejadian kali pertama dan laporan polis telah dibuat di Balai Polis Sikamat sejurus kejadian,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan berkata, siasatan sedang dijalankan. -SH

'Kami menggigil ketakutan'

SEREMBAN – “Saya menggigil bila parang panjang diacukan pada leher. Anak murid saya pula terkencing dalam seluar tengok saya diperlaku sebegitu,” kata Fauziah Mohd Arifin, 30, guru Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) Al-Mawaddah, Taman Warisan Puteri, Sikamat, di sini, semalam.

Dia berkata demikian ketika menceritakan kepada Sinar Harian bagaimana situasi cemas ketika pusat asuhan berkenaan diceroboh dua penjenayah bersenjata parang dan memakai topi keledar penutup penuh, kelmarin.

Menurutnya, ketika kejadian, dia berada di dapur dan segera ke bahagian tengah rumah apabila mendengar seorang lagi guru, Saridah Rahmat, 42, menjerit meminta tolong.

“Saya lihat Cikgu Saridah berlari bawa anak murid masuk ke dalam dan terus mengunci pintu sambil menjerit meminta tolong.

“Ketika itu juga saya lihat ada seorang lelaki memakai topi keledar memegang penjaga di luar rumah dengan meletakkan parang di lehernya,” katanya.

Fauziah berkata, dia sempat menelefon suaminya memaklumkan pusat asuhannya dimasuki penjenayah.

“Saya meminta suami datang segera ke sini dan belum sempat saya hubungi polis, lelaki itu dapat masuk dengan menendang pintu.

“Lelaki itu datang ke arah saya dan acu parang panjang di leher sambil berkata ‘aku nak duit, kalau tak da duit aku bunuh semua’.

“Salah seorang anak murid melihat saya dalam keadaan begitu terus menangis ketakutan sehingga terkencing dalam seluar,” katanya ketika ditemui di pusat asuhan berkenaan, semalam.

Fauziah berkata, lelaki berusia lingkungan 20-an itu turut menyelak tudung dan lengan bajunya untuk meragut emas.

“Melihat saya tidak memakai barang kemas, dia menolak saya sehingga terjatuh sebelum ke dapur untuk menggeledah laci pula.

“Selepas gagal mencari duit, dia terus merampas beg tangan saya sebelum melarikan diri dengan menaiki motosikal yang diletakkan di hadapan pusat asuhan ini,” katanya.

Menurut Fauziah, sejurus dua lelaki itu melarikan diri, dia bersama guru-guru yang lain segera memeluk anak murid yang menangis ketakutan.

“Kami semua memeluk anak murid bagi menenangkan mereka. Mujur ramai anak murid yang tidak melihat kejadian itu kerana berada di tingkat atas.

“Syukur Alhamdulillah, kami tidak dicederakan. Saya tidak risaukan keselamatan saya tetapi lebih risaukan keselamatan anak murid,” katanya.

Katanya, dia kerugian hampir RM500 apabila beg tangan mengandungi duit dan barang kemas dilarikan penyamun itu.

“Ibu murid yang menjadi mangsa juga mengalami kerugian apabila rantai, gelang dan cincin emas serta telefon bimbit dilarikan suspek," katanya yang tetap gagahkan diri untuk bekerja semalam, walaupun masih trauma.

Difahamkan, seramai 54 murid berusia empat hingga enam tahun mengikuti kelas di Pasti itu, namun ketika kejadian hanya 30 murid berada di situ, manakala selebihnya sudah pulang ke rumah.
-SH


ULASAN GB

Nampaknya sudah sampai masanya aspek tahap keselamatan diberikan perhatian oleh pihak pengurusan PASTI semua peringkat di seluruh negara.

Misalnya mencari dana untuk memagar kawasan PASTI agar tidak memudahkan jalan untuk sebarang penceroboh masuk. Kedua, walaupun belum berapa perlu tetapi usaha mempertingkatkan sistem kawalan seperti meletakkan "pengawal keselamatan" yang terdiri dari golongan sukarelawan mukmin dan ketiga memperkenalkan sistem ALERT melalui alat penggera di bangunan PASTI atau sistem SMS ke jawatankuasa Kawasan, Unit Amal dan/atau balai polis yang berhampiran. Seterusnya kursus diadakan untuk guru-guru PASTI tentang teknik apabila berhadapan dengan situasi mencemaskan seperti di atas.

PAS Kawasan juga perlu memikirkan pewujudan Unit Kaunseling Syariah bagi membantu mereka yang trauma agar sistem dan sessi pembelajaran dapat diteruskan seperti biasa.

PasMa Betul, Yang Tak Setuju PR Sila Keluar Dari PAS!


Pihak tolak Pakatan yang patut keluar PAS'

Pihak tidak bersetuju dengan prinsip Pakatan Rakyat yang sepatutnya keluar daripada PAS.

Begitu reaksi Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) yang mendapat amaran bernada halau daripada Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Presiden Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa), Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi berkata, pihak itu harus keluar parti kerana muktamar PAS sebelum ini memutuskan bersama dengan Pakatan.

“Itu keputusan PAS dan muktamar.

"Jadi siapa yang tak bersetuju dengan prinsip (bersama Pakatan), tak bersetuju dengan (keputusan) PAS maka dia kena keluar PAS,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Menjawab amaran keras Hadi kepada PasMa, Phahrolrazi berkata tidak bersetuju dengan pendapat pemimpin tidak bermakna tidak bersetuju dengan PAS.

“Tapi kalau tidak bersetuju dengan pendapat pemimpin dan sebagainya itu cuma pendapat sahaja tidak payahlah keluar PAS,” ujarnya.

Hadi kelmarin dalam kenyataannya melalui laman Facebook memberi amaran supaya PasMa tidak merosakkan 'bahtera' PAS.

Beliau mengumpamakan NGO yang digerakkan anggota PAS itu seperti “menebuk kapal” sendiri dan meminta ahli pertubuhan itu meninggalkan PAS jika tidak lagi sehaluan.

Phahrolrazi bagaimanapun hari ini menjelaskan kenyataan Hadi terhadap PasMa itu tidak relevan kerana bukan semua anggota PasMa terlibat dengan PAS.

“PasMa ini NGO yang berdiri dibawah entiti berdiri sendiri, jadi tak timbul keluar masuk PAS sebab dia (PasMa) tidak pernah masuk PAS pun.

“Jadi dia (Hadi) nak tuju pada PasMa tidak relevan.

“PasMa tidak ada kena mengena dengan PAS, Hadi tuju pada ahli PAS,” katanya lagi. -mk

ULASAN GB

Memang benar kata Phahrolrazi... pihak yang tidak bersetuju dengan prinsip Pakatan Rakyatlah yang sepatutnya keluar daripada PAS. Ini kerana resolusi Muktamar bertahun-tahun memutuskan "PAS akan terus bersama Pakatan Rakyat". Itu kehendak majoriti ahli PAS. Jadi jika ikut keputusan muktamar, sesiapa yang tak suka PR, boleh belah dari PAS...

Kedua, kebenarannya ialah yang dikritik ialah pimpinan PAS... bukan dasar PAS. Apasal Haji Hadi mahu halau PasMa keluar? Apa hak beliau bercakap demikian? Allahyarham TG Fadzil Noor pernah menyatakan bahawa pimimpin PAS boleh dikritik.



Kita tunggu nanti hukum Allah berjalan dengan sendiri....