23 Okt 2009

Era Najib Altantuya : Sivakumar Dibenar Cabar SPR

Bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V. Sivakumar dan enam yang lain diberi kebenaran mencabar keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang tidak mengosongkan kerusi DUN Behrang, Changkat Jering dan Jelapang bagi mengadakan pilihan raya kecil.

Hakim Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) Lau Bee Lan memutuskan demikian di kamar beliau hari ini selepas menolak bantahan awal yang dikemukakan oleh Jabatan Peguam Negara.

Bantahan tersebut ialah bahawa permohonan bagi mendapatkan kebenaran semakan kehakiman itu merupakan suatu perkara yang sudah menjadi akademik berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 9 April lalu.

Pada tarikh tersebut, Mahkamah Persekutuan memutuskan SPR merupakan entiti yang layak untuk memutuskan kekosongan sesebuah kerusi DUN dan bukannya Speaker DUN.

Mahkamah Persekutuan membuat keputusan tersebut setelah ADUN Behrang, Jamaluddin Mohd. Radzi, Kapten (B) Mohd. Osman Jailu (Changkat Jering) dan Hee Yit Foong (Jelapang) merujuk kes itu ke mahkamah tertinggi negara memandangkan ia melibatkan isu Perlembagaan.

Dalam keputusannya hari ini, Hakim Bee Lan menyatakan, Sivakumar dan enam yang lain mempunyai hak di sisi undang-undang (locus standi) untuk mencabar keputusan tersebut.

Ekoran keputusan tersebut, peguam Ranjit Singh memberitahu pemberita, pihaknya akan memfailkan semakan kehakiman untuk mencabar keputusan itu.

Pada 10 Mac lalu, Sivakumar bersama ADUN Sungkai, A. Sivanesan; ADUN Kuala Sepetang, Tai Sing Ng; ADUN Keranji, Chen Fok Chye dan tiga lagi individu memfailkan permohonan tersebut secara berasingan.

Mereka memohon mendapatkan perintah agar kerusi DUN Behrang, Changkat Jering dan Jelapang diisytiharkan kosong untuk diadakan pilihan raya kecil.

Jamaluddin, Mohd. Osman dan Yit Fong serta SPR dinamakan sebagai responden pertama hingga keempat dalam permohonan itu.

Mereka turut memohon writ bersifat quo warranto (permohonan yang mencabar kesahihan pelantikan perjawatan) kepada ketiga-tiga ADUN itu untuk menjelaskan kuasa yang ada pada mereka dalam melaksanakan tanggungjawab dan tugas sebagai ADUN kawasan masing-masing.

Mereka juga memohon perintah deklarasi bahawa DUN-DUN tersebut telah kosong berikutan perletakan jawatan tiga ADUN serta perintah injunksi bagi menghalang responden pertama, kedua dan ketiga daripada menjalankan tugas sebagai ADUN.

Sementara bagi SPR pula, mereka memohon perintah certiorari bagi membatalkan keputusan dan tindakan mereka yang gagal melaksanakan pilihan raya kecil bagi ketiga-tiga kerusi DUN terbabit.

Turut dipohon ialah perintah mandamus (untuk memaksa) terhadap SPRM supaya mengadakan pilihan raya kecil bagi ketiga-tiga DUN tersebut.


Era Najib Altantuya : Mursyidul Am PAS Kecewa Bila Keputusan Muktamar Tidak Dipatuhi

Cadangan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat agar diadakan satu mesyuarat agung luar biasa untuk menentukan hala tuju kepimpinan PAS dipercayai ekoran kekesalan pemimpin veteran PAS itu terhadap apa yang berlaku di Selangor.

"Saya percaya Nik Aziz sangat kesal dengan apa yang berlaku di Selangor. Yang lebih dikesalinya adalah beliau tidak nampak ada sebarang kenyataan apatah lagi tindakan dari pemimpin PAS terhadap Hasan Ali yang menggoncang kerajaan Selangor dari dalam itu. Padahal muktamar PAS telah memutuskan untuk memperkuatkan Pakatan Rakyat.

"Ia menjadi semakin parah apabila PAS kalah di Bagan Pinang. Salah satu puncanya dikatakan kerana kekurangan sokongan orang bukan Islam. Salah satu puncanya pula dikatakan kerana mereka tidak berpuashati dengan apa yang berlaku di Selangor," kata seorang penganalisa politik PAS.

Beliau mengulas tulisan Nik Aziz dalam blognya semalam. Nik Aziz dalam tulisan itu mencadangkan agar diadakan satu mesyuarat agung khas untuk memilih kepimpinan PAS yang baru.

Tulisan Nik Aziz dipercayai dibuat bagi mengulas tulisan Profesor Dr Abdul Aziz Bari dalam sebuah akhbar harian yang melebelkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bersama timbalannya, Nasharudin Mat Isa dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali sebagai pro Umno.

Ekoran itu, Aziz mencadangkan agar PAS membuat perubahan pimpinan dan mencadangkan nama Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Razak sebagai ganti Abdul Hadi kerana bagi beliau Azizan lebih terbuka dan PAS Kedah pula lebih tersusun berbanding PAS Terengganu.

Tulisan Aziz diserang hebat oleh Ketua Penerangan PAS, Idris Ahmad dalam web PAS, Harakahdaily. Harakahdaily juga menyiarkan tulisan sebuah badan PAS dari Terengganu yang juga menyerang Aziz.

Semalam, Harakahdaily menyiarkan pula tulisan yang pro kepada Aziz yang dibuat oleh AJK PAS Pusat, Mohamed Hanipa Maidin. Tulisan Hanipa mengambil sikap terbuka dengan tulisan Aziz sebagai satu kritikan untuk mematang dan membetulkan PAS.

"Saya yakin Nik Aziz kesal dengan apa berlaku di Selangor dan dia tidak lihat apa pemimpin PAS yang ada buat untuk membetulkannya," kata penganalisa itu.

Sementara itu, menurut sumber, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim telah menghantar sepucuk surat kepada Abdul Hadi dan lain-lain pimpinan utama Pakatan Rakyat untuk memperbetulkan apa yang berlaku di Selangor.

Beliau dikatakan merujuk kepada kes Hasan Ali dan meminta PAS khasnya membuat satu Standard Operating Procedure (SOP) dalam kes membuat kenyataan akhbar di kalangan pimpinan parti untuk mengelakkan pertembungan berlaku lagi di kalangan pimpinan Pakatan.


Namun, The Malaysian Insider difahamkan, Abdul Hadi belum menjawab surat itu dan pejabat MB Selangor dikatakan ternanti-nanti apakah reaksi PAS terhadap surat itu.

Namun begitu, The Malaysian Insider di fahamkan, tindakan telah diambil oleh PAS melalui Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat.

Baru-baru ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sidang medianya bersama Abdul Hadi dan Lim Kit Siang telah memberikan amaran agar para pimpinan Pakatan Rakyat berhati-hati dalam membuat kenyataan media.

Beliau meminta agar semua masalah sesama mereka diselesaikan menerusi mekanisma Pakatan.

Menurut sumber, Pakatan Rakyat telah menubuhkan Majlis Bersama Pakatan Rakyat yang dianggotai oleh 33 anggota iaitu 11 dari setiap parti.

Ia juga akan ditubuhkan di peringkat negeri untuk menjadi platform antara mereka.

Era Najib Altantuya : Penghakiman Mahkamah Kangaroo Tak Perlu Evidence?

Mahkamah Majistret di sini membenarkan penangguhan hukuman penjara 6 bulandan denda RM 3,00 yang dikenakan terhadap Ahli Parlimen Batu, Tian Chua.

Majistret Mohd Faizi Che Abu membenarkan permohonan tersebut setelah kedua-dua peguam Tian Chua, Amir Hamzah Arshad dan Ranjit Singh membuat permohonan penangguhan tersebut.

Terdahulu mahkamah menjatuhkan hukuman tersebut kepada Pengarah Strategik Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu setelah mendapati peihak pembelaan gagal membuktikan keraguan munasabah di akhir kes bela diri.

Tian Chua didapati bersalah mengikut Seksyen 332 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan terhadap seorang konstabel polis di jalan masuk ke Parlimen dua tahun lepas.

Sebelumnya, dalam reaksi terhadap penghakiman magistret berkenaan, Tian Chua berkata beliau tidak fikir ianya satu penghakiman yang adil kerana mendakwa majistret dan pihak pendakwa bergantung kepada keterangan anggota polis terbabit dan berasaskan kepada bukti keadaan.

Katanya, ia tidak membuktikan bahawa kejadian menggigit itu berlaku.

"Saya akan terus berkhidmat kepada rakyat dan hukuman tersebut tidak akan menjejaskan agenda untuk perubahan dan pembaharuan," katanya.

Rosyaidi bertugas dengan Bahagian Narkotik Ibupejabat Kontijen Polis Kuala Lumpur.

Pada 18 Mei, Mohd Faizi mengarahkan Tian membela diri selepas majistret itu memutuskan bahawa pihak pendakwa mempunyai kes terhadap ahli parlimen Batu itu.

Tian didakwa mengikut Sekseyen 332 Kanun Keseksaan dan boleh berdepan dengan hukuman tiga tahun penjara atau didenda atau kedua-duanya sekali.

Sekiranya hukuman penjara melebihi setahun atau jika denda yang dikenakan melebihi RM2,000 maka Tian hilang kelayakan sebagai ahli parlimen Batu jika selepas semua rayuannya gagal.

Tian ditahan sewaktu Bersih mengadakan protes membantah pindaan perlembagaan untuk melanjutkan usia persaraan anggota Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dari 65 kepada 66 tahun.

Era Najib Altantuya : Kekalkan Kekalahan BN, TGHA & Geng2 Perlu Berundur

Politik itu persepsi. Kekadang rakyat dikelirukan antara pemikiran politik dan pemikiran parti politik. Bahkan tidak semua pemimpin parti politik memahami maksud politik. Tetapi sejak era reformasi lebih kurang 10 tahun yang lalu, rakyat semakin faham akan peranan parti politik dalam politik Malaysia. BN semakin lemah. Tidak pernah UMNO mengemis melutut sebegitu rupa memohon simpati rakyat. Tidak pernah PAS mengecapi kejayaan yang begitu besar dalam pilihanraya. Tidak pernah terbayang yang PAS dan DAP boleh berkawan melalui orang tengah PKR.

Semuanya ini berlaku dalam tempoh 10 tahun. Rakyat bertambah yakin dengan gandingan yang dinamakan PR. Rakyat dengan tidak berkira sangat tentang latar belakang agama dan bangsa telah bersepakat menyetujui yang DSAI sebagai PM selewat-lewatnya pada PRU 13.

DAP melangkah gagah dengan berjaya menidakkan pengaruh MCA dan Gerakan. PAS juga telah berjaya mentarbiahkan pengikutnya supaya selesa mengundi calon bukan Islam. PKR pula berjaya menambat hati penyokong UMNO dan MIC untuk mengundi PKR, PAS dan DAP. Inilah kejayaan yang tidak boleh dinafikan. Kesannya, UMNO amat gentar untuk menghadapi PRU 13. UMNO mula memperlihatkan bahawa UMNO itu sebuah parti yang mahu memahami citarasa rakyat. UMNO mula melakukan perubahan demi perubahan. Dan yang menarik, pimpinan utama PAS terus menyalak dan menganggap perubahan ini sebagai gimik.

Di ketika UMNO sedang merawat lukanya, PAS mula menunjukkan simpati. Bahkan beberapa pimpinan utama PAS telah berjaya diperangkap oleh UMNO. Rakyat marhaen bertambah hairan apabila pemimpin-pemimpin ini masih terus degil dan sombong tanpa meminta maaf di atas ketelanjuran mereka. Bahkan suara dan pidato mereka semakin berbelit-belit seperti UMNO. Tahniah kepada UMNO kerana dalam sakit masih mampu menghuru-harakan PR melalui PAS.

Saya berpandangan, jikalau Presiden PAS sayangkan masa depan PAS, silalah berundur. Pendekatan politik di Malaysia hari ini tidak sama dengan pendekatan politik 20 tahun yang lalu. Pemimpin politik harus terus segar dan sentiasa bersedia dengan pemikiran yang sesuai mengikut suasana semasa. TGNA di Kelantan walaupun telah lanjut usia, pemikiran dan ketajaman akalnya lebih hebat daripada Tuan Presiden. Tidak malukah Tuan Presiden yang berbadan besar diherdik oleh seorang tua yang bertubuh kecil?

Kami rakyat marhaen mengharapkan PR memerintah Malaysia. Tidak ada gunanya PKR dan DAP kuat jikalau PAS tidak bersama. Bermakna, selagi Presiden PAS terus degil untuk mengungguli kerusi presiden, bukan PAS sahaja yang sakit, tetapi PKR dan DAP juga akan demam menghadapi UMNO.

Janganlah Presiden PAS menjadi seperti Samy Vellu yang mahu mati sebagai Presiden MIC. Jadilah seperti Pak Lah yang berundur sebelum UMNO merempat. Jadilah pesara politik yang disegani oleh kawan dan lawan. Biarlah PAS disusun semula. Apakah PAS milik ulama? Apakah tokoh-tokoh lain seperti MB Nizar dan Husam Musa tidak boleh memimpin PAS? Apakah Tuan Ibrahim Tuan Man tidak boleh diharap untuk menjadi Presiden PAS yang baru? Tetapi jikalau Nasharudin Mat Isa dan Nasrudin Tantawi masih mahu bertanding dan menang pula, usahlah diharap lagi yang PR akan memerintah Malaysia pada PRU 13.

Saya bukan ahli PAS yang aktif. Saya bukan perwakilan atau pemegang jawatan dalam PAS. Saya adalah pengundi biasa yang hanya menyumbang satu undi untuk PR. Mungkin satu undi saya ini tidak diperlukan oleh PAS. Maklumlah PAS disokong oleh rakan barunya UMNO! -Dango Mamamat