6 Jun 2015

[VIDEO] Usul Putus PAS-DAP, Mat Sabu Letak Jawatan Dalam K'jaan PP


Mat Sabu lepas jawatan dalam kerajaan Pulau Pinang

Mohamad Sabu yang sering didakwa tidak sehaluan dengan presiden parti mengambil keputusan melepaskan jawatannya dalam kerajaan negeri Pulau Pinang dan menggesa ahli PAS lain mengambil langkah sama, susulan keputusan parti itu memutuskan hubungan dengan DAP.

Bekas timbalan presiden PAS itu mengumumkan meletak jawatan sebagai pengarah dalam Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) dan Penang International Halal Hub.

"Saya akan letak jawatan dalam PBAPP dan lembaga pengarah halal hub.

"Saya ikut cakap ulama, kalau tak, saya dikata tak ikut cakap ulama," katanya dalam ucapan penggulungannya pada Muktamar Tahunan PAS ke-61 di Kuala Selangor hari ini.

Semalam, muktamar tersebut meluluskan tanpa dibahas usul Dewan Ulama PAS Pusat memutuskan hubungan dengan DAP dan pada masa sama, kekal kerjasama dengan PKR dalam Pakatan Rakyat (PR).

Hari ini, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang juga setiausaha agung DAP berkata peletakan jawatan yang dijangkakan daripada wakil PAS dalam kerajaan negeri akan diterima dengan segera tanpa soalan kerana ia tidak mempunyai sebarang impak terhadap kestabilan, kesinambungan dan kredibiliti kerajaan negeri. -TMI


PP tak sabar tunggu peletakan jawatan PAS

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng meminta semua wakil PAS yang menduduki jawatan dalam kerajaan negeri supaya meletak jawatan.

Kata Lim, tindakan itu perlu dibuat selepas muktamar PAS meluluskan usul supaya parti itu memutuskan semua hubungannya dengan DAP.

"Peletakan jawatan yang dijangkakan daripada wakil PAS dalam kerajaan Pulau Pinang akan diterima dengan segera tanpa soalan kerana tiada sebarang impak terhadap kestabilan, kesinambungan dan kredibiliti kerajaan negeri," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurut Lim, beliau menikmati hubungan kerja yang mesra dan baik dengan kebanyakan wakil PAS dalam kerajaan negeri.

Bagaimanapun, katanya, individu yang mewakili PAS terbabit perlu melepaskan jawatan masing-masing atas alasan etika dan moral.

"Adalah suatu yang tidak dapat dipertahankan dari segi politik bagi mereka untuk kekal dalam kerajaan negeri yang diketuai oleh saya dalam kapasiti saya sebagai Setiausaha Agung DAP, apabila Muktamar PAS telah memutuskan hubungan dengan DAP," katanya.

Usul ulama sensitif

Semalam muktamar menerima usul daripada Dewan Ulama PAS untuk parti itu memutuskan hubungannya dengan DAP.

Bagaimanapun PAS mendakwa mereka akan kekal dalam gabungan Pakatan Rakyat.

Usul berkenaan diterima tanpa dibahaskan atas alasan ianya "sensitif".

Kata Lim, walaupun tiada perdebatan dibenarkan semasa muktamar untuk usul "sedemikian penting", kepimpinan PAS yang baru berhak untuk mengemudi parti mereka dengan cara yang difikirkan wajar, sama ada melalui demokrasi atau autokrasi.

"Saya tidak akan mengulas tetapi menyerahkannya kepada PAS untuk menjawab kedudukan bercanggah mereka apabila PAS memutuskan hubungan dengan DAP tetapi masih kekal dalam PR sedangkan PR terdiri daripada ketiga-tiga parti DAP, PKR dan PAS.

"PR berfungsi atas konsensus semua tiga parti dan tidak ada satu parti pun boleh membuat keputusan bagi pihak PR.

"Namun PAS mempunyai kebebasan dan hak untuk memutuskan hubungan dengan DAP," katanya.

Antara lantikan dinikmati ahli PAS di Pulau Pinang ketika ini ialah di peringkat kerajaan tempatan dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK).

"Kestabilan, kesinambungan dan kredibiliti kerajaan negeri Pulau Pinang tidak akan terjejas akibat ketiadaan wakil PAS dalam kerajaan. DAP dan PKR masih menikmati majoriti dua pertiga," katanya.
-mk



ULASAN GB

Tahniah Mat Sabu. Sekalipun beliau mempunyai hubungan akrab dengan Ketua Menteri Pulau Pinang, tetapi di atas rasa tanggungjawab dan bertika, dengan usul Dewan Ulamak yang memutuskan hubungan PAS dan DAP, Mat Sabu mengambil langkah meletak semua jawatannya di dalam kerajaan Pulau Pinang.

Itu membuktikan kejujuran di dalam perjuangan.

Kita menunggu mereka di Pulau Pinang dari kumpulan yang mehokong Haji Hadi berbuat perkara yang sama.

[MENGEJUTKAN] Markas PAS Diroboh, Bendera PAS Dibakar Protes Keputusan Pemilihan (?)


Usai pemilihan di Muktamar PAS Kali Ke 61 di Kuala Selangor yang menyaksikan golongan Haj Hadi menyapu bersih jawatan-jawatan di dalam PAS Pusat, ahli-ahli PAS cawangan Telok Bachok kelantan telah bertindak merobohkan markas dan membakar bendera-bendera PAS.

Berita ini amat mengejutkan dan menurut maklumat ianya berpunca akibat dari perselisihan dalaman parti PAS yang dikatakan berlakunya pertembungan paling hebat dalam sejarah pemilihan PAS.

Ianya juga dikaitkan dengan kecenderungan berlakunya adu domba dan gelaran yang diberikan terhadap profesional dan progresif yang dilihat lebih ke hadapan dalam soal permasalahan dalam negara setakat ini.

Golongan progresif biasanya menjuarai ke hadapan bersama rakan pakatan yang lain ketika Umno sedang diasak dengan berbagai skandal, sedangkan puak ulamak dilihat memperlekehkan golongan ini dengan panggilan Jebon, Anwarinas, dan pelbagai gelaran sehinggakan ianya menimbulkan polemik politik malahan menjadi viral mengecam untuk PAS keluar dari gabungan Pakatan Rakyat setelah apa yang berlaku.

Di dalam pemilihan yang baru berlansung telah menyaksikan golongan profesynal telah diketepikan oleh perwakilan muktamar dan cuma mengekalkan Sdra Mazlan Aliman, manakala yang lain semuanya diboloti kumpulan Haji Hadi. Mazlan pula di dalam satu kenyataannya semalam telah menyatakan pertimbangannya untuk melepaskan jawatan AJK yang dimenanginya kerana begitu sedih ramai rakan akrab puluhan tahun berjuang dan berkorban tewas dalam pemilihan.

Muktamar PAS semalam juga telah menerima usul Dewan Ulama PAS tanpa bahas supaya Majlis Syura dan PAS pusat memutuskan hubungan dan kerjasama politik dengan DAP tetapi kekal bersama PKR dan Pakatan Rakyat.

Mazlan Aliman Pertimbang Lepaskan Jawatan AJK


Terimakasih atas kepercayaan perwakilan dalam Muktamar Tahunan PAS kali ke 61, yang memilih saya dalam kelompok AJK Kerja PAS Pusat sesi 2015-2017. Amanah ini amat berat, manakala harapan rakyat begitu tinggi.

Buat tempoh tertentu, saya mahu menumpukan perhatian terhadap Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan(ANAK) yang mempunyai pejabat baru di Ukay Perdana. Memperkasa organisasi dan menangani isu FGV serta kebajikan warga Felda adalah fokus utama. Ia disentuh dalam Ucapan Dasar Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang.

Sungguh pun komitmen terhadap Ngo Anak akan diteruskan, kemelut dalaman parti telah memberi kesan yang mendalam terhadap diri saya. Sebagai manusia biasa dan penglibatan dalam PAS sejak tahun 1986, situasi ketika ini paling mencabar dan menuntut kesabaran yang tinggi.

Apatah lagi ramai rakan akrab puluhan tahun berjuang dan berkorban telah tewas dalam pemilihan. Saya amat sedih dengan suasana ini dan mengganggu emosi saya. Ia detik yang sukar; kepada Mu Ya Allah, hamba Mu memohon pertolongan.

Justeru, saya akan umumkan dalam masa yang sesuai, samada kekal sebagai AJK Kerja PAS Pusat atau membuat keputusan melepaskan jawatan. Apa pun keputusan yang saya buat, perjuangan mendaulatkan Islam dan pembelaan terhadap nasib rakyat adalah keutamaan hidup. Ia segala galanya dalam hidup saya.

Moga Allah beri kekuatan kepada hambaNya ini.

Mazlan Aliman
5 Jun 2015