6 Feb 2015

Susulan Kes Nur Syuhada: Pelajar Perempuan Dinasihat Keluar Dalam Kumpulan


Ketua Jabatan Usuluddin Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor, Dr Norsaleha Mohd Salleh berkata, ibu bapa juga hendaklah lebih prihatin dan berwaspada dengan sentiasa mengingatkan anak-anak gadis tentang kejadian yang tidak diingini.

Beliau mengulas keganasan yang dilakukan ke atas pelajar IPT, Nursyuhada Johari, 20, yang meninggal dunia selepas dikelar di leher oleh seorang lelaki dikenalinya di tepi Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran kawasan Rehat dan Rawat Bukit Gantang, Isnin lalu.

Pelajar perempuan di institusi pengajian tinggi (IPT) perlu lebih berhati-hati ketika berada di luar rumah dan perlu sentiasa bergerak dalam kumpulan bersama rakan atau saudara terdekat bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

“Kaedah keluar berteman dan berkumpulan sangat baik diamalkan oleh anak gadis bagi mengelakkan unsur-unsur keganasan berlaku.

“Anak gadis juga dinasihatkan mengamalkan peraturan Islam ketika keluar rumah seperti meminta izin dengan ibu bapa dan mengamalkan doa perlindungan ketika keluar,”
katanya yang mengutuk serangan kejam ke atas Allahyarham.

Selain itu, beliau berkata, anak lelaki juga perlu dididik dari kecil untuk menghormati dan melindungi kaum wanita daripada sebarang keganasan dan penderaan.

“Keganasan bukan amalan dan budaya orang Islam. Suasana yang seumpama ini boleh menimbulkan kegelisahan ibu bapa terutamanya mereka yang mempunyai anak gadis.

“Masyarakat perlu lebih prihatin dan peka terhadap kes keganasan seumpama ini.

“Tidak mustahil kes seumpama ini berulang sekiranya tiada usaha pencegahan daripada semua pihak,”
katanya.


Ibu Nur Syuhada minta UiTM tingkat keselamatan


JITRA - Keluarga pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Permatang Pauh, Pulau Pinang yang maut dikelar seorang lelaki di Perak Isnin lalu, meminta agar kawalan keselamatan di kampus itu ditingkatkan supaya tragedi yang menimpa anak mereka tidak berulang.

Ibu kepada Nur Syuhada Johari, Nor Azlina Dawari, 44, berkata, tragedi yang menimpa anak perempuannya itu patut dijadikan iktibar oleh pihak keselamatan universiti tersebut supaya tidak mudah membenarkan orang luar memasuki kawasan kampus.

“Sebelum ini anak saya (Nur Syuhada) ada beritahu senang nak masuk kampus, hanya perlu lambai tangan pada pengawal keselamatan sahaja dah boleh masuk.

“Saya amat berharap, kawalan keselamatan di sana ditingkatkan selepas kejadian ini berlaku kerana saya sayangkan pelajar-pelajar di sana, saya tidak mahu kejadian sama berulang,” katanya, semalam.

Menurutnya, dia dan keluarganya terkilan dan kecewa apabila membaca kenyataan Timbalan Naib Canselor Bahagian Hal Ehwal Pelajar UiTM, Prof Datuk Dr Abdullah Mohamad Said, yang dilaporkan Nur Syuhada mengikut suspek itu secara sukarela.

“Saya masih simpan mesej diterima daripada rakan anak saya yang memberitahu lelaki terbabit mengacukan pisau kepada anak saya.

“Macam mana, UiTM tahu anak saya ikut lelaki itu secara sukarela. Kami kecewa dengan kenyataan ini,” katanya.

Sementara itu, bapa Nur Syuhada, Johari Hashim, 55, berkata, dia berharap pembunuh anaknya dikenakan hukuman setimpal.

Isnin lalu, Nursyuhada yang juga penuntut jurusan Diploma Pengurusan Hotel dan Pelancongan universiti tersebut maut selepas dipercayai dikelar seorang lelaki di Kilometer 228.2 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan berhampiran Bukit Gantang, Perak.

Berikutan kejadian itu, seorang lelaki berusia 25 tahun, dipercayai bekerja sebagai tukang masak di Melaka ditahan reman tujuh hari bermula kelmarin untuk membantu siasatan.
-SH




[BERGAMBAR] Parkir Kereta "Macam Celaka" Akan Masuk Facebook Khas


Awas kalau parkir 'macam celaka'

Hati-hati apabila meletakkan kenderaan. Jangan menyusahkan orang lain.

Ini kerana anda bukan sahaja boleh menjadi objek cemuhan tetapi juga mungkin dimalukan di Internet.

Laman Facebook You Park Like An Asshole (Malaysia) mengambil inisiatif itu dengan memuat naik gambar-gambar kenderaan yang diletakkan secara mementingkan diri sendiri.

Setakat ini kumpulan itu dapat menarik sebanyak lebih 18,000 ahli untuk menyertainya sejak diwujudkan enam bulan lalu.

Menurut pengendalinya, laman itu bertujuan memberi maklumat kepada masyarakat dan mendidik pengguna kenderaan agar lebih berdisiplin.

Antara gambar yang dimuat naik termasuk gambar kereta yang parkir dengan senget atau tidak masuk dalam petak.

Turut menjadi sasaran utama adalah pemandu yang meletakkan kenderaan di petak Orang Kurang Upaya (OKU) dan parkir berganda di tepi jalan sehingga menghalang pengguna lain.

Laman itu juga memuat naik beberapa keping gambar motosikal yang diparkir di petak letak kereta.

Facebook itu juga menjadi tempat orang ramai melepaskan kemarahan.

Ini dilihat melalui beberapa nota berang yang antaranya berbunyi “Kepada si celaka, anak perempuan 17 tahun aku parkir lagi baik daripada kau”, "Dulu kecil-kecil tak nak mati, dah besar menyusahkan orang" dan "Pandai bawa kereta, bodoh parkir".