12 Feb 2010

Dulu Ada Bukti Kukuh, Sekarang Dah Tak Ada

Bekas pengerusi GERAK, Nazree Mohd Yunus mengesyaki keputusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menutup siasatan terhadap Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim atas dakwaan penyelewengan pembelian lembu korban, adalah konspirasi badan itu menutup mulut pimpinan pakatan dari terus lantang mengkritik badan itu.

SPRM hari ini mengumumkan menutup siasatan terhadap 8 individu berprofil tinggi termasuklah Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, bekas Speaker DUN Perak, V Sivakumar, dan bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Mohd Fairus Khairuddin.

Penutupan siasatan itu diumumkan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) SPRM, Datuk Shukri Abdull (gambar). SPRM berkata, siasatan kes- kes ini terpaksa ditutup berikutan kekurangan bukti.

"Ada kemungkinan- kemungkinan yang dilakukan oleh SPRM untuk menutup kes- kes berprofil tinggi melibatkan pimpinan Umno-BN. Jawatankuasa disiplin Umno sendiri bahawa Ali Rustam terlibat dalam rasuah politik, bagaiman SPRM kata tidak ada?,"katanya.

Sebelum ini, dakwaan terhadap Ali Rustam membabitkan politik wang dalam pemilihan Umno lalu manakala Khalid mengenai dakwaan penyelewengan pembelian lembu korban.

Dakwaan terhadap Sivakumar ialah salah guna kuasa menggantung Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Exconya daripada menghadiri sidang Dewan.

Siasatan terhadap Fairus pula membabitkan dakwaan beliau mempunyai kepentingan dalam meluluskan projek kuari.

Nazree membidas SPRM yang sebelum ini angkuh apabila mewar- warkan badan itu mempunyai bukti kukuh untuk mensabitkan kesalahan kepada setiap pertuduhan melibatkan pimpinan Pakatan Rakyat.

"Sebagai contoh kes Tan Sri Khalid mengatakan ada bukti kukuh untuk mensabitkan Tan Sri Khalid tapi sekarang kata tiada bukti kukuh pula. Adakah ini konspirasi SPRM untuk menjatuhkan karier politik Tan Sri Khalid, dan adakah suruhanjaya itu sengaja mewar- warkan kes melibatkan pimpinan Pakatan Rakyat demi untuk tujuan menjatuhkan kreadibiliti Pakatan Rakyat," katanya. -TVS


Lapan Kes Rasuah Berprofil Tinggi Ditutup

Sebanyak lapan kes rasuah berprofil tinggi yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini, tidak akan dibawa ke mahkamah termasuk yang melibatkan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Mohd Shukri Abdull berkata kesemua kes tersebut telahpun selesai disiasat dan telah dimajukan kepada Timbalan Pendakwaraya, bagaimanapun ia diputuskan tiada pendakwaan akan dibuat.

"Keputusan dibuat oleh Timbalan Pendakwaraya dan ia telah dirujuk kepada Panel Penilaian Operasi, kita jelaskan sebab-sebab kenapa kes-kes ini tidak boleh dituduh di mahkamah dan panel seramai tujuh orang ini berpuas hati dengan penerangan itu, sama ada daripada pihak SPRM sendiri ataupun daripada pihak bahagian perundangan dan pendakwaan," katanya kepada pemberita di sini Jumaat.

Mohd Shukri bagaimanapun berkata, ia tidak bermakna kes-kes tersebut bebas daripada kegiatan rasuah, kerana kekurangan saksi dan bukti juga boleh menyebabkan SPRM gagal membina sebuah kes yang kukuh.

Kes-kes lain yang turut ditutup termasuklah melibatkan bekas speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak V. Sivakumar, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk T. Murugiah, bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang Mohammad Fairus Khairuddin, Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Jawi, Pulau Pinang Tan Beng Huat, anggota DUN Batu Tiga, Selangor Rodziah Ismail serta dua anggota Majlis Tertinggi Parti Keadilan Rakyat yang didakwa cuba merasuah calon Bebas DUN Penanti, Pulau Pinang Aminah Abdullah.

Mohd Shukri berkata: "Bukti yang ada mesti mencapai 90 peratus baru pihak pendakwaan boleh membuat keputusan untuk mendakwa.

"Bukan semua kes-kes yang tidak dituduh ini tak berlaku rasuah, tapi sesetengahnya tak mencapai tahap yang ditetapkan dan banyak kelemahan-kelemahan wujud jadi Timbalan Pendakwaraya membuat keputusan bahawa tak boleh dituduh di mahkamah," katanya.

Mohd Shukri justeru merayu orang ramai dan saksi-saksi yang terlibat agar tampil dan memberikan keterangan yang betul supaya SPRM dapat membina kes yang kukuh.

Beliau berkata siasatan kes-kes tersebut juga boleh dibuka semula sekiranya ada saksi baru yang tampil memberikan keterangan.

Ditanya mengenai kes-kes berprofil tinggi yang lain termasuk yang melibatkan bekas Menteri Pelancongan Datuk Seri Azalina Othman Said, Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) Datuk M Kayveas dan Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2), Mohd Shukri berkata siasatan telahpun selesai dan telahpun dimajukan kepada pihak pendakwaan untuk memutuskan sama ada ia akan dibawa ke mahkamah.

Mohd Ali sebelum ini disiasat mengenai dakwaan mengamalkan politik wang bagi bertanding jawatan Timbalan Presiden Umno dalam pemilihan parti tahun lalu, manakala Abdul Khalid pula disiasat mengenai penyalahgunaan dana kerajaan negeri untuk membeli 46 ekor lembu korban bagi bahagian Parlimen Bandar Tun Razak.

Bagaimanapun dakwaan penyalahgunaan wang kerajaan untuk penyelenggaraan kereta jenis Lexus nombor pendaftaran WQR779 milik Abdul Khalid masih belum ditentukan sama ada akan didakwa atau tidak, walaupun kertas siasatan telah dimajukan kepada pihak pendakwaan.

Manakala siasatan bagi Sivakumar dibuat atas dakwaan salahguna kuasa apabila menggantung dan melarang Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir bersama enam Exco kerajaan negeri daripada menghadiri sidang DUN, Murugiah disiasat atas tuduhan rasuah dalam pemilihan PPP dan kes rasuah Mohammad Fairus dikaitkan dengan aktiviti kuari haram di negeri itu.

Manakala bagi Tan, beliau didakwa menyalahguna peruntukan untuk pembelian barangan elektrik dan Rodziah didakwa menyeleweng peruntukan kerajaan negeri.

-- BERNAMA




Ulasan GB

Nak lepaskan pemimpin UMNO sahaja ketara sangat ketidak-adilan. Nak dakwa pemimpin Pakatan Rakyat, tiada bukti yang kukuh.

Jadi itulah kisahnya. Lepaskan semua.

1 ulasan:

Awanama berkata...

Mamat ni sedang mengintai tempat yang baik di SPRM tu.