14 Sep 2010

Ujian DNA Dilakukan Ke Atas Waris Mangsa

Kes Sosilawati: Waris empat mangsa jalani ujian DNA

Gambar: Ibu Allahyarham Noorhisham Mohamad, pegawai bank yang mati dibunuh bersama jutawan kosmetik Allahyarhamah Datuk Sosilawati Lawiya, Satinah Mokhtar, meninggalkan perkarangan Hospital Kuala Lumpur (HKL) setelah menjalani ujian DNA di HKL di sini, hari ini. Foto: Bernama

Waris keempat-empat mangsa bunuh dan bakar di Banting, Selangor menjalani ujian asid deoksiribonukleik (DNA) bagi membantu mengenalpasti identiti mangsa di Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini hari ini.

Kesemua mereka termasuk ibu pegawai bank CIMB Noorhisham Mohammad, 38, Satinah Mokhtar, 50-an dilihat berada di HKL sejak pukul 1 tengah hari sebelum meninggalkan hospital itu satu setengah jam kemudian ditemani anak bongsunya, Azlan Shah Aziz, yang merupakan adik tiri Noorhisham berlainan bapa, serta seorang anggota keluarga mangsa yang tidak dikenali.


Turut kelihatan salah seorang anak perempuan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya.

Kesemua mereka sebelum itu dilihat memasuki Balai Polis Dang Wangi dengan disertai isteri Noorhisham, Suzana Radim Pangat, 38, kira-kira tiga jam untuk memberi keterangan berkaitan hal peribadi mereka bagi membantu siasatan.

Sementara itu malam ini difahamkan merupakan malam terakhir kenduri tahlil diadakan di rumah Noorhisham di Taman Seraya, Ampang sejak Ahad lepas.

Sosilawati, 47, bersama tiga individu iaitu pemandu peribadinya, Kamaruddin Shansuddin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Abd Karim, 32, dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting untuk urusan pembelian tanah.

Polis mengesahkan kempat-empat mangsa dipukul sampai mati sebelum dibakar dan abu dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong, Banting. – Reuters


DNA masih boleh dikenalpasti

SHAH ALAM - Proses pengecaman asid Deoksiribonukleik (DNA) melalui bukti biologi yang ditemui anggota forensik berhubung kes kematian jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya bersama tiga yang lain mampu melancarkan lagi siasatan dan membantu pendakwaan.

Penganalisis Jenayah, Kamal Efendi Hashim berkata, DNA adalah proses saintifik untuk mengenal pasti pertalian genetik yang boleh didapati di bahagian tertentu di tubuh manusia.

“Sekiranya berlaku kematian, ada bahagian dalam badan manusia yang masih mempunyai DNA dan boleh dikenal pasti seperti tulang, tisu badan, rambut dan bulu yang mempunyai akar, air liur dan peluh.

“Dalam kes ini, setakat ini bukti biologi atau fizikal membolehkan DNA milik keempat-empat mangsa dianalisis dengan tepat,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Program Kaunseling Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Dr Sapora Sipon berkata, setakat ini pembunuhan mereka dipercayai disebabkan sifat tamak selain faktor sampingan lain.

“Walaupun kes ini masih samar dan belum dibawa ke mahkamah, saya percaya ia berlaku disebabkan kepentingan peribadi sehingga bertindak tidak rasional,” katanya.

Mengulas mengenai kesanggupan penjenayah melakukan pembunuhan kejam, Sapora berkata setiap pembunuhan dipengaruhi faktor berlainan.

“Terdapat kes-kes tekanan mental yang mendorong seseorang melakukan pembunuhan kejam, seperti dialami penghidap skizofrenia, atau dikenali sebagai penyakit mental.

“Malah, jika seseorang mengalami penyakit seperti ini, nasib akan menyebelahi mereka kerana kebanyakan pesalah yang mengalami penyakit ini sering terlepas daripada menerima hukuman,” katanya.

Sapora berkata, natijah daripada kes pembunuhan kejam seperti ini kadang kala berjaya mengheret penjenayah kepada penderitaan mental akibat rasa bersalah, sementara ada yang tidak merasa kesal. -SH


Chua Terpaksa Membodek Untuk Survival Dirinya Dan Anaknya

Tidak pernah dengar pemimpin UMNO mengatakan Melayu lebih superior

Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek berkata beliau tidak pernah dengar mana-mana pemimpin UMNO mengatakan Melayu lebih superior daripada bangsa lain.

Beliau berkata, jika hubungan bangsa di Malaysia “tidak begitu baik seperti yang sepatutnya”, adalah tidak adil untuk menuduh semua pemimpin UMNO sering memperkatakan kedudukan tinggi orang Melayu.

"Dalam hubungan saya dengan UMNO, saya tidak pernah dengar mana-mana pemimpin UMNO yang mengatakan Melayu lebih superior daripada bukan Melayu,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan sesi dialog kepimpinan Cina mengenai Bajet 2011 di Wisma MCA di sini hari ini.

Soi Lek mengulas kenyataan negarawan Singapura Lee Kuan Yew dalam temu bual di New York Times pada 1 Sept, yang menyifatkan Malaysia sebagai dalam “keadaan yang paling tidak menggembirakan”.

Lee antara lain dilaporkan dalam temu bual itu berkata, “tidak seperti Singapura, tidak terlalu mempertahankan budaya Cinanya, Malaysia mengambil perkembangan lain dengan rakyat Malaysia melihatnya sebagai sebuah negara Melayu di mana semua yang lain adalah orang tumpangan”.

Soi Lek menerangkan bahawa hubungan bangsa “bukanlah begitu baik seperti yang sepatutnya” kerana selepas pilihan raya umum Mac 2008, terdapat persaingan hebat untuk meraih sokongan.

"Di Malaysia, bangsa merupakan satu isu yang mudah untuk mendapatkan sokongan, tetapi saya tidak fikir ia adalah adil untuk mengatakan bahawa pemimpin Melayu sentiasa mengatakan kedudukan tertinggi Melayu. Ini adalah taktik pembangkang untuk menjadikan UMNO dilihat teruk,” kata beliau. — Bernama

Ulasan GB

Kenyataan Chua Soi Lek mengenai isu kuota bumiputera sebanyak 30% yang hendak dibahagi-bahagikan mengikut merit membuatkan penyokong dan segelintir pemimpin UMNO panas punggung sehingga PERKASA membuat laporan polis. Chua disoalsiasat lantarannya.

Kedua, anak beliau, Chua Tee Yong, 33, telah dilantik sebagai Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani dalam rombakan Kabinet Najib yang baru lalu.

Kedua-dua faktor di atas amat memerlukan Chua membodek UMNO, jika tidak nahas. Ia adalah survival dirinya dan sekaligus anaknya di dalam politik BN.

Beberapa blogger pro-UMNO sebelum ini mengecapnya kafir harbi, satu gelaran yang mereka tujukan kepada DAP. Malah akhbar pencacainya telah terang-terangan membidas Chua sebelum ini. Tengok muka depan Utusan yang dilampir di sebelah ini.

Tetapi, esok hari akhbar pencacai itu tanpa segan silu juga akan memutarkan perkataan mereka sendiri. Menjilat semula ludah yang mereka telah hamburkan ke muka Chua.

Malah rakyat melihat Chua akan rela lepaskan jawatan Presiden MCA demi kedua-dua faktor di atas. Suara ramai ahli MCA tak penting lagi baginya.


MB Selangor Kunjungi Keluarga Sosilawati

Presiden KEADILAN, MB Selangor Ziarah Keluarga Sosilawati

Presiden Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini mengunjungi keluarga Allahyarhamah Datuk Sosilawati Lawiya bagi menyampaikan ucapan takziah daripada KEADILAN dan juga kerajaan negeri.

Kedua-dua pemimpin tersebut turut diiringi Ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali, Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin Selangor, Dr Xavier Jayakumar, Ketua Angkatan Muda KEADILAN Malaysia, Shamsul Iskandar Mohd Akin dan pimpinan serta anggota parti.

Mereka tiba di rumah Allahyarhamah di Taman Harmonis di sini kira-kira pukul 2.30 petang dan meluangkan lebih sejam bertanya khabar kepada anak-anak Sosilawati serta memberikan mereka semangat sebelum mengadakan majlis tahlil.

Ketika bercakap kepada media, Menteri Besar mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarhamah sambil menyifatkan pembunuhan Sosilawati sebagai mengejutkan, kejam dan tidak berperikemanusiaan.

"Saya mengucapkan tahniah kepada pihak polis bagi pihak kerajaan negeri Selangor dapat menyelesaikan kes pembunuhan ini dengan pantas dan kita berharap polis juga mampu membuat penyiasatan terperinci sehingga pihak yang bersalah dihadapkan ke pengadilan," kata Abdul Khalid.

Abdul Khalid menganggap Sosilawati seorang usahawan wanita yang gigih dan berjaya dan kehilangan beliau amat dirasai terutamanya oleh ahli Dewan Perniagaan Melayu Wilayah Persekutuan dan Selangor.

Sosilawati, 47, dan tiga lagi lelaki yang hilang sejak 30 Ogos dibunuh sebelum mayat mereka dibakar disebuah ladang ternakan di Telok Gadong berhampiran Tanjung Sepat, Morib pada tengah malam Sabtu lalu.

Jutawan kosmetik yang merupakan pengasas Nouvelle Visages hilang selepas dikatakan ke Banting atas urusan jual tanah. -SK


MB Selangor: Sosilawati Usahawan Berjaya, Disegani

KUALA LUMPUR, 14 Sept – Jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya, yang dibunuh dengan kejam bersama tiga individu lain, merupakan usahawan berjaya dan disegani, kata Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Beliau berkata Sosilawati, yang juga ahli Dewan Perniagaan Melayu Wilayah Persekutuan dan Selangor, mempunyai kebolehan dan keupayaan dalam bidang perniagaan.

Abdul Khalid berharap agar penyiasatan terhadap kes itu dapat dilakukan segera untuk mententeramkan kembali keadaan.

“Saya yakin pihak polis telah menjalankan kerja dengan sebaiknya dan setakat ini pun mereka telah menunjukkan kecekapan dalam mencari maklumat berikutan kes ini,” katanya kepada pemberita selepas melawat ahli keluarga Sosilawati di Gombak dekat sini hari ini.

Menteri Besar Selangor itu berkata beliau sempat menemui mangsa semasa menghadiri majlis berbuka puasa di Masjid Sultan Abdul Aziz Shah, Shah Alam, dua hari sebelum Sosilawati dilaporkan hilang.

Sosilawati bersama tiga lelaki iaitu pemandu peribadinya, Kamaruddin Shansuddin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting, Selangor untuk urusan pembelian tanah.

Pada Ahad, Polis mengesahkan kempat-empat mangsa dipukul sampai mati sebelum dibakar dan abu dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong, Tanjung Sepat di Kuala Langat. – Bernama





Pisau Dan Seutas Lagi Jam Ditemui

Pembunuhan Sosilawati : Pisau Dan Jam Ditemui

Gambar: Bahan bukti baru - Pisau ditemui dari Sungai Kanchong hari ini — Foto: ARIF KARTONO

Polis Marin hari ini menjumpai sebilah lagi pisau dan seutas jam tangan dari Sungai Kanchong Laut, Kampung Endah pada jam 4.30 petang tadi.

Bahan bukti terbaru itu dijumpai oleh tiga penyelam yang bertungkus lumus meredah sungai tersebut sejam jam 11.30 pagi tadi..

Mengikut laporan The Malay Mail, polis masih belum mengesahkan sama ada pisau berpemegang hitam dan jam tangan tersebut ada kaitan dengan kes pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagirakannnya.

Pencarian hari ini ditamatkan pada jam 4.55 petang tadi.

Awal tengahari tadi, polis membawa dua suspek ke Sungai Kanchong yang mana dipercayai bukan pasangan peguam berstatus ‘Datuk ‘ dan adiknya yang merupakan suspek utama dalam kes ini.

Ladang Gadong masih lagi ditutup oleh polis setakat ini.

Polis juga belum mengeluarkan apa-apa kenyataan rasmi berhubung kes ini.-ILIA FD


Sosilawati murder: Another knife and watch found
G. PRAKASH

NEW EVIDENCE? The knife recovered from Sungai Kanchong earlier today

BANTING: The Marine police have recovered another knife and watch from Sungai Kanchong Laut in Kampung Endah, here at 4.30pm today.

In their effort to recover more evidence pertaining to the murders of Datuk Sosilawati Lawiya and her associates, the police have been combing the stream from 11.30am. Three divers were despatched.

The knife, recovered by the divers, was something of a kitchen knife, with a black handle. The police are still in the midst of determining if the two items found are connected to the murder case.

As of 4.55pm, the search for evidence has been called off for the day.

Earlier in the afternoon, the police also brought two of the suspects to Sungai Kanchong. While it is not known whom the two suspects are, it has been ascertained that the duo were not the Datuk lawyer and his brother, who are the two main suspects in this case.

At Press time, the road at Ladang Gadong is still sealed off by police.

Despite being continuously prompted by reporters, the police are still not commenting on the case. -malaymail




Rangka Manusia Ditemui Dekat Bukit Mantin: Malaysia Jadi Darul Hilang?

Rangka manusia ditemui dalam belukar dekat Bukit Mantin

Satu rangka manusia ditemui oleh seorang lelaki yang sedang mencari buluh di dalam belukar berdekatan dengan Bukit Mantin, Batu 7, jalan Seremban-Mantin di sini pagi ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban Supt Mohd Yusoff Awang berkata ia dipercayai rangka seorang lelaki berumur 25 tahun ke atas yang ditempatkan di kawasan belukar itu sejak 2 minggu lepas.

Beliau berkata rangka itu ditemui pada kira-kira pukul 8 pagi dalam keadaan mengiring dengan mulutnya disumbat kain dan ditutup dengan pita pelekat berwarna merah.

Menurutnya turut dijumpai pada rangka itu ialah sebuah jam tangan berjenama Tag Heuer dan sekotak rokok Marlboro.

“Ada cebisan kulit pada betis kanan rangka itu dan ada tatu yang pudar. Bangsanya tidak dapat dipastikan dan tingginya antara 175 dan 180sm,” katanya ketika dihubungi di sini.

Mohd Yusoff seterusnya meminta orang ramai yang kehilangan anggota keluarga di kawasan berhampiran supaya menghubungi ibupejabat Polis Daerah Seremban dengan menelefon 06-6033222 bagi membantu siasatan.

Sementara itu seorang saksi, Mohd Japri Che Mustafa yang menemui rangka itu ketika dihubungi Bernama berkata, beliau ke kawasan belukar itu untuk mencari buluh.

“Bila sampai, saya terbau bau busuk yang amat sangat. Selepas mencari punca bau, saya ternampak rangka itu,” kata beliau yang merupakan pekerja sebuah pusat pemeliharaan pokok. – Bernama

Ulasan GB

Sekalipun diumumkan NKRA mengenai jenayah menurun tahun ini, namun yang nyata satu demi satu kes jenayah yang begitu mengerikan terbongkar saban hari.

Di dalam era pemerintahan Najib ini pelbagai hal yang bersangkutan dengan "kehilangan manusia" berlaku.

Kita masih ingat sebelum Najib menjadi PM, laporan mengenai kehilangan wakil rakyat yang kemudiannya diketahui berada di Pekan Pahang tidak lain tidak bukan adalah satu konspiasi Najib untuk merampas Perak satu ketika dulu. Kemudian kisah kehilangan Altantuya yang akhirnya diketahui dibunuh dengan ngeri.

Dan banyak lagi kes jenayah yang dasyat berlaku selapsnya.

Kini seperti ia membentuk satu mata rantai yang panjang... Di era Najib, Malaysia menjadi Darul-Hilang?

Gambar Terkini Suspek Pembunuh Sosilawati. Pakar Forensik Didatang Khas Ke Lokasi.

Pakar forensik didatang khas ke lokasi pembunuhan Sosilawati

Gambar: Wajah terkini suspek utama itu(Pathmanaban) diiringi anggota Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman ke pejabat beliau di Jalan Kemboja bagi membantu siasatan di sini, hari ini. -foto BERNAMA

Sepasukan anggota unit forensik yang terdiri daripada pelbagai pakar telah didatangkan khas ke Ladang Gadong, dekat sini, bagi mengumpul bukti pembunuhan Datuk Sosilawati dan tiga yang lain.

Seramai 32 orang anggota terbabit telah memasuki kawasan ladang berkenaan kira-kira jam 11 pagi.

Bagaimanapun tiada sebarang kenyataan dikeluarkan oleh pihak terbabit termasuk polis.

Difahamkan beberapa penemuan terbaru di lokasi berkenaan, tetapi tidak diketahui sama ada ia mempunyai kaitan dengan pembunuhan jutawan kosmetik itu, atau membabitkan kes lain.

Sementara itu, suspek utama kes berkenaaan dilihat memasuki kawasan ladang berkenaan kira-kira jam 2.15 petang.

Ia dipercayai bagi membantu siasatan di ladang yang menjadi lokasi pembunuhan keempat-empat mangsa.

Suspek yang dikawal ketat dilihat keluar dari kawasan ladang dengan menaiki kereta Proton Waja warna kelabu kira-kira jam 2.55 petang.

Wakil media juga telah dimaklumkan dua lagi suspek telah dibawa ke Sungai Kanchong Laut, lokasi yang dipercayai menjadi tempat bahan bukti dan milik mangsa dibuang.

Unit Marin dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) berada di sungai itu sejak 12 tengah hari untuk menyelam bagi mengesan barang berkenaan.

Jalan utama iaitu Jalan Tanjong Sepat berhampiran sungai itu ibarat pesta selain media, orang ramai turut berada di kawasan itu bagi mengetahui perkembang terkini.





Kes Sosilawati: Pemimpin UMNO BN Jadi Sang Bisu

Muhyiddin Kutuk Pembunuhan Kejam Sosilawati Dan Tiga Lagi Individu

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengutuk perbuatan pembunuhan kejam melibatkan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya and tiga individu lain.

Terkejut dengan kes pembunuhan empat individu itu di bulan Syawal yang mulia ini, Muhyiddin dalam satu kenyataannya hari ini berkata: "Tiada insan yang berfikiran waras akan bertindak sedemikian".

Muhyiddin turut menyampaikan salam takziah kepada anggota keluarga Sosilawati, Kamaruddin Shansuddin, Ahmad Kamil Karim dan Noorhisham Mohammad berikutan kehilangan orang tersayang dan berharap kaum keluarga terbabit tabah menghadapi tragedi itu.

"Saya berdoa agar roh mereka ditempatkan di kalangan para solihin. InsyaAllah. Amin Ya Rabbal Amin," katanya.

Sosilawati bersama tiga lelaki iaitu pemandu peribadinya, Kamaruddin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur, Noorhisham, 38, dan peguam peribadi, Ahmad Kamil, 32, dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting, Selangor untuk urusan pembelian tanah.

Polis mengesahkan kempat-empat mangsa dipukul sampai mati sebelum dibakar dan abu dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong, Tanjung Sepat di Kuala Langat.

Muhyiddin berkeyakinan pihak berkuasa akan memastikan pembunuh terbabit akan dihadapkan ke muka pengadilan.

"Saya meminta kerjasama semua untuk bertenang dan menghulurkan bantuan sekiranya mempunyai sebarang maklumat berhubung kes tersebut kepada pihak berkuasa agar ia dapat diselesaikan dengan segera," katanya. -- BERNAMA

Ulasan GB

Sudah beberapa hari berlalu, baru muncul suara TPM, Tan Sri Muhyiddin mengutuk pembunuhan kejam Sosilawati dan mengucapkan takziahnya, mungkin terlupa, mungkin terlalu kenyang makan ketupat, mungkin rasa ia tak penting dan seribu satu macam mungkin lagi.

Sementara PM sendiri, Datuk Seri Najib dan lain-lain anggota kabinet serta pemimpin UMNO BN lain kecuali Murugiah dan Mashitah, menjadi sang-sang bisu yang kehilangan kata-kata dan lansung tak peduli nasib keluarga mangsa.

Mungkin masing-masing menunggu dan melihat, khuatir untuk memberikan komen dan pendapat yang takut bersalahan dengan pemimpin atasan atau lebih-lebi menyatakan ia masih di dalam siasatan polis.

Sementara di pihak polis pula, kes pembunuhan ini saja diletupkan bertepatan hari dimana Musa Hassan bersara. Musa tahu tindakannya itu tidak disenangi oleh beberapa orang kenamaan, tetapi itu saja secebis jasa yang dapat dilakukan di hari terakhirnya setelah sekalian banyak noda dan dosa kepada rakyat dilakukan semasa menjawat jawatan KPN tersebut.

Beginilah mentaliti menteri dan pemimpin yang ada di dalam negara. Yang lansung tidak perihatin terhadap nasib rakyat.

Terkini : Suspek Dibawa Ke Pejabatnya, Polis Rampas 7 CPU Dan Dokumen

Suspek utama kes Sosilawati dibawa ke pejabatnya, tujuh CPU dan dokumen dirampas

Gambar: ANGGOTA Jabatan Siasatan Jenayah Berat D9 Bukit Aman membawa keluar Unit Pemprosesan Pusat (CPU) dan sistem komputer lain dari pejabat suspek utama bergelar Datuk yang terbabit kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya. - Foto Mohd Yusni Ariffin

BANTING - Suspek utama Datuk Sosilawati dibawa ke pejabatnya, di pekan Banting, bagi membantu siasatan berhubung kes pembunuhannya.

Beliau yang dikawal ketat oleh sepasukan anggota polis tiba di pejabatnya kira-kira jam 10.50 pagi.

Bagaimanapun pihak polis dan suspek tidak dapat memasuki premis berkenaan berikutan kunci yang digunakan salah.

Pihak polis kemudiannya membawa suspek ke Ibu Pejabat Polis (IPPD) Kuala Langat dan tiba semula kira-kira jam 11.05 pagi.

Beberapa dokumen berserta dengan tujuh CPU telah dibawa bersama setelah pihak polis dan suspek, berada di pejabat berkenaan selama satu jam setengah.

Selain daripada pihak media, orang ramai turut berkumpul di kawasan berkenaan bagi mendapat perkembangan terkini mengenai kes itu.

Pihak polis yang berada ditempat kejadian enggan memberikan sebarang kenyataan.

Sementara itu, sepasukan unit forensik dilihat memasuki Ladang Gadong yang menjadi lokasi pembunuhan jutawan kosmetik dan tiga yang lain.

Unit Marin Polis Diraja Malaysia (PDRM) ditempatkan di Sungai Kanchong Laut, bagi mengesan sebahagian daripada bahan bukti serta barangan milik peribadi mangsa yang dipercayai dibuang kedalam sungai berkenaan. -SH

Wanita India Bongkar Misteri Ladang Berpuaka

Isteri jejak suami hilang selepas jumpa peguam 18 Januari lalu

Isteri ahli perniagaan dari Chennai, India, S Usharani, 24, bimbang suaminya yang hilang sejak 18 Januari lalu turut menerima nasib sama seperti jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya.

Suri rumah itu yang menetap di Ramapuram, Chennai ketika dihubungi Berita Harian, semalam, mendakwa suaminya, Allal Kathan Muthuraja, 34, tiba di Malaysia pada 18 Januari lalu untuk bertemu rakan karibnya iaitu dua beradik yang juga peguam yang disyaki terbabit dalam kes pembunuhan Sosilawati.

“Sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), suami menelefon dan memberitahu beliau dijemput dua beradik itu. Mereka saling mengenali sejak 10 tahun.

“Dalam perbualan itu, selain bertanyakan khabar anak perempuan kami berusia tiga tahun, beliau juga memberitahu dua peguam terbabit akan membawanya ke ladang milik mereka di Banting.

“Keesokan harinya (19 Januari), saya cuba menghubungi telefon bimbit suami beberapa kali tetapi gagal.

“Saya bimbang keselamatan suami lalu menghubungi Pejabat Pesuruhjaya Tinggi India di Malaysia, namun tiada maklum balas sehingga sekarang,” katanya.
Muthuraja antara empat individu yang hilang sejak setahun lalu selepas berurus niaga dengan peguam bergelar Datuk di Banting.

Usharani berkata, pada 12 Februari lalu, beliau menerima panggilan misteri seorang lelaki yang mendakwa dirinya polis dan memaklumkan suaminya ditahan polis kerana kesalahan memiliki dadah.

“Dia meminta RM1 juta untuk membantu menyelesaikan kes itu, bagaimanapun saya tidak mempedulikannya. Pada 20 Februari, saya menerima satu lagi panggilan daripada seorang yang turut memperkenalkan dirinya sebagai polis dan meminta RM1 juta untuk tujuan sama. Dia meminta RM500,000 sebagai pendahuluan.

“Saya keliru dengan kedua-dua panggilan itu dan sekali lagi hubungi pejabat pesuruhjaya di Kuala Lumpur untuk mendapat kepastian sama ada suami ditahan polis seperti didakwa, namun tiada jawapan,” katanya.

Selepas lapan bulan tidak mendapat berita mengenai suaminya, Usharani datang ke Malaysia.

Saya tiba di KLIA pada 8 September lalu dan membuat laporan di Balai Polis Banting. Saya turut memaklumkan suami menyebut beliau dibawa ke ladang milik seorang peguam di Banting,” katanya.

Difahamkan, berdasarkan maklumat Usharani itulah polis menyerbu Ladang Gadong sebelum menemui lokasi Sosilawati dan tiga rakannya dibunuh dan dibakar.


Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Nordin Manan mengesahkan laporan Usharani, tetapi enggan mengulas lanjut.

Sementara itu, sumber polis memberitahu nasib empat mangsa yang hilang belum dapat dipastikan, namun tidak menolak kemungkinan mereka menerima nasib seperti Sosilawati dan rakan.

“Pasukan forensik dan Jabatan Kimia masih meneruskan siasatan termasuk mencari spesimen dan bukti berkaitan empat mangsa itu.

“Suspek dipercayai menjadikan ladang mereka yang lengkap dengan chalet, blok pejabat dan rumah kelab sebagai lokasi bertemu dan memperdayakan mangsa mereka.

Ia bukan sekadar ladang sawit dan kandang ternakan, tetapi lengkap dengan semua kemudahan. Lokasinya yang terpencil dan dikelilingi tembok setinggi dua meter menyukarkan kegiatan mereka dikesan,” katanya. -BH

Kembalikan Royalti, Bukan Guna Hasil Kamu Rompak Untuk Berjanji Air Bersih

Air Bersih Agenda Utama Umno Kelantan Pada Pilihan Raya Umum Akan Datang

Masalah air bersih yang dihadapi oleh sebahagian besar rakyat Kelantan akan dijadikan agenda utama dalam perjuangan Umno Kelantan membela nasib rakyat jika diberi peluang memerintah Kelantan pada pilihan raya umum ke-13 kelak.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata ini berpunca kegagalan PAS mengatasi masalah itu walaupun diberi peluang memerintah selama 20 tahun di negeri itu.

"Di mana-mana pun saya pergi sama ada di bandar dan di kampung ketika turun padang saya terpaksa menerima rintihan rakyat agar masalah itu (bekalan air bersih) diberi keutamaan," katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Awang Adek, yang juga Timbalan Menteri Kewangan, berkata walaupun kerajaan pusat sudah meluluskan pinjaman mudah sebanyak RM600 juta kepada kerajaan negeri itu bagi menyelesaikan masalah berkenaan, ia masih gagal ditangani malah semakin membebankan mereka.

Awang Adek berkata sebahagian rakyat Kelantan yang menghadapi masalah itu terpaksa mencari alternatif lain seperti menggali telaga dan membina telaga tiub malangnya air yang diperoleh daripada bawah tanah itu berbau busuk.

Beliau berkata memburukkan lagi keadaan apabila ratusan ribu rakyat Kelantan pulang menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama sanak saudara di kampung halaman masing-masing mengeluh kerana tiada air yang mencukupi.-- BERNAMA


SEKRETARIAT MISI MUNAJAT ROYALTI RAKYAT

Alamat : D/A Madrasah Diniah Bakriah, Pondok Pasir Tumboh, 16150 Kota Bharu, Kelantan
Telefon: Tuan Haji Zulaimi – 017-5353007 / Cikgu Nuri - 013-9952598
Email: munajatroyalti@yahoo.com Web: http://www.munajatroyalti.com

KHAS UNTUK ANDA , RAKYAT NEGERI KELANTAN
YANG PRIHATIN DAN DIRAHMATI ALLAH.
MARI SAMA-SAMA BERJUANGAN, BERI SOKONGAN DAN BANTUAN
DALAM
PERJUANGAN UNTUK MENUNTUT ROYALTI MINYAK NEGERI KELANTAN

MISI MUNAJAT RAKYAT INI MENDAPAT RESTU DAN SOKONGAN PADU
DARI Y.A.B MENTERI BESAR KELANTAN,
TUAN GURU DATO’ BENTARA SETIA HAJI NIK ABDUL AZIZ B. NIK MAT

RAYUAN DERMA – DERMA BOLEH DISALURKAN KE:

NAMA AKAUN: TABUNG MISI MUNAJAT RAKYAT
BANK: BANK ISLAM
NO. AKAUN: 03102010000093
CAWANGAN BANK : BANK ISLAM JALAN SULTAN IBRAHIM, KOTA BHARU

* CEK DAN WANG TUNAI DITERIMA *

Objektif Derma:

Kutipan Derma dari seluruh Rakyat Negeri Kelantan yang tercinta adalah untuk menampung kos misi munajat 40 ulamak serta tok guru pondok dari seluruh Kelantan untuk bermunajat secara khusus di Kelantan selama 40 hari dan 40 waktu di Baitullah ( Mekah) bertujuan untuk memberi sokongan spiritual yang padu rakyat seluruh Negeri Kelantan kepada Kerajaan Negeri Kelantan dan Rakyat Kelantan di dalam Kes Tuntutan Royalti Minyak Kelantan.

40 Ulamak & Tok Guru Pondok dari seluruh Kelantan akan bermunajat untuk memohon kerahmatan dan kesejahteraan khusus buat rakyat negeri Kelantan semuanya dan untuk seluruh rakyat Malaysia amnya.

Tujuan kami adalah untuk mempertahankan dan memartabatkan kepimpinan ulamak / alim ulama / ahli agama di dalam kehidupan hal ehwal seharian kita sebagai umat islam

Sumbangan derma Individu & Syarikat Swasta / Korporat adalah dialu-alukan.


Ulasan GB

Khabarkan kepada Awang Adek, khabarkan kepada Mustapa Mohd, khabarkan kepada Najib, khabarkan kepada UMNO BN, BAHAWA rakyat Kelantan tidak berahi dengan janji-janji manis kamu. Kamu pernah memerintah Kelantan sebelum PAS mengambil-alihnya, kamu yang "mengeruhkan" air Kelantan sebelum mewariskannya kepada kerajaan PAS.

Kamu rompak hak royalti kerajaan PAS Kelantan. Kamu gunakan hasil rompakan itu untuk menabur janji baru kepada rakyat Kelantan. Kamu gunakan hasil rompakan itu untuk mengukuhkan kedudukan kamu dan UMNO kamu di Kelantan. Kejahatan di atas kejahatan.

Rakyat tidak akan menghalalkan apa jua hasil rompakan yang telah kamu terima dan belanja dan rakyat Kelantan telah bertekad untuk hapuskan dan terus mengkuburkan UMNO BN di Kelantan di dalam pilihanraya yang akan datang ini.


Kes Bunuh Sosilawati: Kebumi Walau Secebis Tulang

Tak kisahlah apa saja yang ditemui pihak berkuasa, walaupun hanya secebis tulang kami akan tetap membawa pulang jenazah (Datuk Sosilawati Lawiya) ke kampung untuk dikebumikan,” kata adik ipar arwah, Misjan Jamikun, 48, ketika ditemui semalam.

Menurutnya, perbincangan dengan semua anak kakak iparnya itu sebulat suara mencapai persetujuan, jenazah akan disemadikan di tempat kelahirannya di Kampung Sri Menanti, Sri Medan di sini.

“Bagaimanapun, semua urusan itu hanya akan dilakukan selepas segala urusan membabitkan pihak berkuasa termasuk pengesahan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) selepas dilakukan.

“Anak-anak Kak Wati (Sosilawati) menyerahkan segala urusan menguruskan jenazah termasuk membawa pulang jenazah kepada saya.

“Kami sependapat, tidak kira apa saja yang ditemui dan walaupun hanya secebis tulangnya, kami tetap akan membawanya pulang ke sini bagi memberi penghormatan terakhir dan tanda kasih kami kepadanya yang banyak berjasa kepada keluarga,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sri Menanti, Sri Medan, di sini, lewat petang semalam.

Misjan antara ahli keluarga paling rapat dengan kakak iparnya itu selain isterinya, Rosnani Lawiya, 45, kerana mempunyai tarikh lahir sama dengan arwah iaitu 12 Julai, selain usianya hanya setahun lebih tua.

Ketika ditanya mengenai ibu Sosilawati, Misjan berkata, ibu mentuanya itu belum bersedia menemui saudara-mara serta jiran yang bertali arus mengunjungi rumah selepas mereka pulang daripada ibu kota awal pagi semalam.

Menurutnya, ibu mentuanya, Yatmah Abdul Rahman, 80, perlu berehat dan menenangkan diri kerana baru saja kehilangan anak sulung serta menantunya, April lalu, selain tragedi kehilangan Sosilawati.

“Ibu lebih banyak memendam perasaan dan mendiamkan diri, sejak awal tahun dia ditimpa kesedihan menyebabkannya tertekan.

“Kak Wati sangat prihatin dan biasanya akan menghubungi saya untuk bertanyakan khabar ibunya,” katanya.

Menurutnya, arwah seorang yang ceria dan tidak suka berahsia serta mengambil berat urusan keluarga.

Katanya, keluarga reda dengan pemergian Sosilawati, namun cara dia meninggal dunia sukar diterima ahli keluarga serta anak-anak kakaknya itu.

“Kami sekeluarga berharap mereka yang bertanggungjawab menerima balasan setimpal,” katanya. -hmetro


Penyempurnaan pengebumian boleh diurus seperti jenazah biasa

Walaupun yang tinggal hanya cebisan tulang dan abu mayat, jenazah keempat-empat mangsa pembunuhan iaitu jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya serta tiga individu lain, masih boleh diurus dan disempurnakan pengebumiannya seperti jenazah biasa.

Bagaimanapun, ada keringanan dalam memandi dan mengkafankan jenazah kerana dikhuatiri proses itu akan mengakibatkan kerosakan teruk dan menjejaskan keseluruhan bahagian yang masih tinggal kerana ia tidak lagi sempurna dan sukar dikenal pasti.
Tokoh agama yang juga penceramah dan pendakwah bebas, Datuk Abu Hassan Din al-Hafiz, berkata walaupun keadaan mayat langsung tidak dikenali dan hanya tinggal tulang, semua tulang dan abu milik mangsa perlu dikumpul dan dibungkus dengan kain putih secara tertib dan disembahyang serta dikebumikan seperti biasa.

“Apabila semua tulang dan sisa mayat itu dikumpul dan ia disahkan memang mayat mangsa beragama Islam, cukup sekadar berniat ia dimandikan atau ditayammumkan dan ketika ia dibungkus, cukup sekadar berniat mayat dikafankan kerana keadaan fizikal mayat yang tidak mengizinkan, lalu disembahyangkan dan dikebumikan seperti biasa,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cara terbaik menguruskan jenazah yang tidak menyerupai fizikal asal termasuk jika jenazah hanya tinggal debu dan tulang akibat terbakar.

Akhbar semalam melaporkan, Sosilawati, 47, bersama pemandu peribadinya, Kamaruddin Shansuddin, 44, pegawai CIMB Bank cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Abd Karim, 32, yang hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting, Selangor untuk urusan pembelian tanah, dipukul sampai mati, sebelum mayat mereka dibakar dan abunya dibuang ke dalam sungai di Ladang Gadong, Tanjung Sepat di sini.

Abu Hassan yang juga bekas Penasihat Agama Istana Negara, berkata setiap mayat umat Islam yang mati wajib disempurnakan dan diurus mereka yang masih hidup iaitu dimandi, dikafan, disembahyangkan dan dikebumikan dengan sempurna.

Bagaimanapun, katanya, keadaan fizikal mayat tidak normal atas beberapa sebab seperti syahid di medan perang, yang tenggelam, sudah menjadi debu dan sebagainya, hanya sebahagian daripada empat perkara itu yang menjadi fardu kifayah.

“Jenazah gagal ditemui, terlalu sukar dikeluarkan atau berada jauh, mengikut hukum fekah sebaik diketahui dan diyakini meninggal dunia, ahli keluarga boleh melaksanakan sembahyang mayat ghaib bagi mendoakan kesejahteraan mereka,” katanya. -BH

Kes Sosilawati: Mayat Dibakar Guna Tahi Lembu Dan Petrol

Mangsa, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lelaki dipercayai telah dibakar menggunakan tahi lembu dan petrol, satu kaedah tradisional amat berkesan untuk menghancurkan satu badan manusia dan menghasilkan abu di antara 30 minit hingga sejam.

Badan manusia yang sederhana mengambil masa kira kira dua atau tiga jam untuk membakar sepenuhnya apabila berada dalam sebuah keranda atau relau, dengan kepanasan 1,100°C.

Kaedah tradisional ni yang berasal dari India, melibatkan penggunaan tahi lembu yang dilumur pada tubuh dan mencurahkan minyak petrol utk dibakar.



Peta Ladang Gadong dari sumber The Star


Satu gas dibebaskan dari tahi lembu dapat meningkatkan kepanasan yang tinggi dan dapat memusnahkan tubuh badan serta menghasilkan abu dengan cepat. Kesannya, hanya tinggal femur (tulang paha) dan tulang pelvis yang masih utuh. -nurizspace


Traditional burning method used

PETALING JAYA: The remains of Datuk Sosilawati Lawiya and the three men she was last seen with were believed to have been burnt using cow dung and petrol, a highly effective traditional method which can reduce a human body to ashes in between 30 minutes and an hour.

The average human body takes from two to three hours to burn completely when in a coffin and placed in the furnace, pre-heated at 1,100°C.

However, the traditional method, which originates from India, involves placing cow dung on the body and sprinkling some petrol which is then lit.

“A gas released from the burning cow dung increases the intensity of the fire which reduces the body to ash very quickly, often leaving only the femur (thigh bone) and pelvic bone still intact,” a source said. -thestar


Peguam Bedebah Itu Selama Ini Bijak Bersandiwara

Kes bunuh Sosilawati: Bijak main sandiwara

Peguam yang merancang penipuan dan pembunuhan kejam jutawan kosmetik, Sosilawati Lawiya, 47, dianggap bijak bersandiwara sebagai pembela masyarakat apabila kerap tampil menghulurkan bantuan termasuk khidmat guaman percuma.

Difahamkan peguam berusia 41 tahun terbabit turut bijak menggunakan publisiti media bagi meraih populariti dan keyakinan masyarakat berhubung imejnya yang dilabelkan bersih dan boleh diyakini.

Berdasarkan maklumat, peguam berkenaan pernah beberapa kali memanggil media untuk mengadakan sidang akhbar berhubung mangsa yang dianiaya majikan selain kes membabitkan gangguan seksual.

Perwatakannya seolah-olah individu prihatin menyebabkan suspek popular di kalangan masyarakat India di Banting, Selangor, di sini.

Bagaimanapun, Datuk ‘muda’ berkenaan yang merancang komplot jahat dengan adik kandungnya berusia 38 tahun, didakwa pernah dikenakan tindakan tatatertib Majlis Peguam Malaysia tiga tahun lalu.

Menurutnya, amalan guaman suspek pernah digantung selama setahun mulai 9 Mac 2007 hingga 30 Mac 2008 lalu.

Individu yang digantung terbabit adalah suspek berkenaan, adiknya dan seorang lagi proksi yang dikenakan tindakan dalam Perkara Akta Undang-Undang Profesyen 1976.

Hukuman terbabit menyebabkan Datuk berkenaan tidak layak menjalankan amalan guaman dan menawarkan perkhidmatan kepada orang ramai.

Sumber polis berkata, adik suspek berusia 38 tahun yang juga seorang peguam turut pernah dikaitkan dengan tiga tuduhan kes pecah amanah membabitkan pertukaran hak milik tanah milik seorang wanita bernilai RM200,000 akhir tahun lalu.

“Berdasarkan siasatan, adik suspek dihadapkan ke mahkamah awal Ogos lalu. “Suspek didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda. Dia bagaimanapun dibebaskan dengan ikat jamin RM50,000 sementara menunggu tarikh sebutan semula kes pada 20 September depan,” katanya.

Menurutnya, walaupun polis percaya terdapat sekurang-kurangnya empat mangsa lain turut dibunuh dan dihilangkan dengan kaedah sama, namun polis tidak menolak kemungkinan lebih ramai keluarga mangsa akan tampil memberi maklumat.

“Setakat ini polis ada maklumat penting berhubung pemilikan suspek terhadap beberapa hartanah yang dipercayai diperoleh secara tidak sah selain membabitkan penipuan terancang,” katanya. -hmetro


Kes Sosilawati: Ladang ternakan ‘mewah’, polis buka sembilan kes lama

KUALA LUMPUR, 14 Sept — Polis dilaporkan sedang menyiasat dan membuka semula fail sembilan kes lama — yang mirip modus operandi pembunuhan jutawan produk kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga pengiring beliau yang disahkan mati kelmarin.

Siasatan awal polis menunjukkan kesemua mereka dibunuh dan kesan mayat dihilangkan menggunakan cara yang sama.

Akhbar The Star hari ini melaporkan, kesemua yang dilaporkan hilang setakat dikaitkan dengan dua peguam adik-beradik yang ditahan berhubung kes Sosilawati.

Kebanyakan kes lama membabitkan peguam.

Kedua-dua adik-beradik berkenaan dikatakan suspek utama kes empat mangsa terbaru ini yang dilaporkan hilang selepas kali terakhir meninggalkan Kuala Lumpur 30 Ogos lalu.

Kelmarin, polis berkata pihaknya sedang menyiasat empat kes lama yang dilaporkan tahun lalu termasuk membabitkan seorang warganegara India ekoran pengakuan daripada suspek yang ditahan.

Akhbar The Star memetik Ketua Polis Pulau Pinang Timbalan Pesuruhjaya Datuk Wira Ayub Yaakob melaporkan, pihaknya akan membuka kes pembunuhan melibatkan seorang peguam R Thinakaran yang mati dibunuh pada 27 Julai 2009, peguam sivil kanan Datuk S.P. Annamalai pada 6 November 2007, peguam Chew Sien Chee, 39, pada 2 Mac 2000, peguam jenayah S. Pathmanathan, 29 pada 19 Oktober 1997 dan Triptipal Singh, 60 pada 15 Oktober 1992.

Akhbar itu juga berkata polis sedang menyiasat laporan orang hilang sepanjang tempoh 36 bulan lalu tetapi kebanyakan aduan dibuat tidak cukup bukti yang kukuh.

Laporan New Straits Times pula melaporkan kesemua empat mangsa terbaru mati selepas mereka dikelar oleh pembunuh mereka.


Sosilawati dikatakan menemui peguam-peguam terbabit untuk mendapatkan semula wang pendahuluan berhubung urusan jual beli sebidang tanah di Bukit Jambul, Pulau Pinang yang telah gagal.

Sosilawati dijanjikan wang yang mencecah jutaan ringgit itu akan dipulangkan tetapi perlu menemuinya di firma mereka di Banting.

Bagaimanapun peguam adik-beradik berkenaan dikatakan terkejut apabila mendapati Sosilawati datang bersama pegawai bank dan peguam sedangkan mereka menjangkakan Sosilawati hanya akan datang bersama pemandunya.

Mereka sepatutnya mengadakan pertemuan di firma peguam tetapi disebabkan pejabat tutup mereka bertemu di ladang ternakan yang terdiri daripada kemudahan mewah dan canggih.

Kesemua empat mereka dikatakan dibunuh pada hari yang sama.

Laporan sebelum ini menyebut mereka dipukul sampai mati dan kemudian dibakar.

Sementara itu, Berita Harian menyebut, senjata berbentuk cangkuk diguna untuk membunuh Sosilawati sebelum dibakar.

Akhbar itu melaporkan perkara tersebut didedahkan oleh seorang suspek berusia dalam lingkungan 20-an semalam, yang turut membawa polis ke tempat senjata berkenaan dan beberapa barang peribadi mangsa dibuang di bawah jambatan Sungai Kanchong Laut.

Akhbar yang sama juga melaporkan bahawa 'ladang maut' itu yang terletak di Ladang Gadong, Tanjung Sepat dipercayai dilengkapi dengan pelbagai kemudahan mewah.

Pusat penternakan itu juga mempunyai chalet dan rumah kelab yang dipercayai lengkap dengan bar dan sistem hiburan canggih termasuk bilik karaoke.

Kelmarin, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berkata, kesemua suspek mengaku membawa mangsa ke ladang seluas empat hektar itu sebelum dipukul sehingga mati dan mayat mereka dibakar.

Abu mayat mangsa kemudian dibuang ke dalam sebatang sungai berhampiran Ladang Gadong, Tanjong Sepat.

Selain Sosilawati, pengasas syarikat kosmetik Nouvelle Visages (NV) tersebut, turut dibunuh ialah pemandunya Kamaruddin Shamsudin, 44, pegawai bank CIMB Kampung Baru Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abdul Karim, 32.

Jutawan wanita berusia 47 tahun itu yang juga bekas isteri penyanyi rock Nash dan tiga yang lain dilaporkan hilang sejak 30 Ogos, selepas datang ke Banting untuk urusan pembelian tanah.

Mengenai motif kejadian tragis itu, Bakri berkata ia lebih menjurus kepada persaingan perniagaan di antara kedua-dua peguam dengan Sosilawati.

Peguam berkenaan, yang dipercayai pernah digantung amalan guaman selama setahun pada 2007, dikenali sebagai broker tanah di kalangan penduduk setempat dan dipercayai mengendalikan beberapa urus niaga bernilai jutaan ringgit bagi pihak Sosilawati.

Malah menurut Bakri, suspek turut mengaku pernah menggunakan modus operandi serupa sebelum ini, dan polis sedang menyiasat kehilangan empat individu lain di kawasan tersebut sejak setahun lalu. -TMI


Senjata Cangkuk Diguna Bunuh Sosilawati

Senjata berbentuk cangkuk sepanjang 30 sentimeter dikatakan digunakan untuk membunuh jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain sebelum mangsa dibakar dan abu mayat mereka dibuang ke dalam sungai di Ladang Gadong, Tanjung Sepat di sini.

Gambar: ANGGOTA forensik bersama jam tangan (dalam bulatan) yang ditemui ketika mencari bukti kes bunuh Sosilawati di Sungai Kanchong Laut.

Perkara itu didedahkan salah seorang suspek berusia dalam lingkungan 20-an semalam, yang turut membawa polis ke tempat senjata berkenaan dan beberapa barang peribadi mangsa dibuang di bawah jambatan Sungai Kanchong Laut.

Dalam operasi bermula jam 4.30 petang yang turut mendapat bantuan Unit Penyelam Pasukan Gerakan Marin, polis bagaimanapun hanya menjumpai seutas jam tangan dipercayai milik seorang mangsa, manakala cangkuk berkenaan gagal ditemui.

“Pasukan penyelam yang mencari semua bahan bukti itu, termasuk senjata terbabit, menghadapi kesukaran kerana air sungai terlalu keruh dan cetek,” katanya.

Beliau berkata, operasi mencari bahan bukti itu terpaksa dihentikan, kira-kira 7 malam berikutan keadaan gelap.

Kelmarin, polis menemui beberapa spesimen, termasuk tulang dipercayai milik mangsa yang dibuang dalam Sungai Mesuk dan Panchau. Beberapa barang peribadi mangsa turut ditemui daripada beberapa suspek dan di tempat kejadian, termasuk jam tangan Sosilawati.

Pembunuhan kejam Sosilawati, 47, bersama pemandunya, Kamaruddin Shansuddin, 44, pegawai CIMB Bank cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38 dan peguamnya, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, terbongkar selepas lapan suspek termasuk seorang peguam bergelar Datuk dan adiknya juga seorang peguam, ditahan bagi membantu siasatan berhubung kehilangan mangsa sejak 30 Ogos lalu.
Sementara itu, tinjauan di firma peguam terbabit di Jalan Sultan Alam Shah di sini, mendapati premis itu ditutup dan diletakkan garisan polis, petang semalam.

Difahamkan, premis itu adalah lokasi terakhir semua mangsa dilihat sebelum dibunuh dan dibakar di ladang milik suspek.

Sumber memberitahu firma guaman itu dipercayai lokasi urus niaga di antara suspek dan mangsa dilakukan sebelum ini, manakala tinjauan di rumah suspek utama di Taman Cempaka di sini mendapati ia tidak berpenghuni dan berkunci.

Dalam perkembangan berkaitan, ibu bapa dua beradik peguam itu dipercayai tiba di tanah air malam kelmarin selepas sebulan bercuti di India sebaik dimaklumkan mengenai penahanan kedua-dua anak mereka. -BH


Empat juga disembelih

Pendedahan terbaru berhubung kes pembunuhan kejam jutawan kosmetik terkenal, Sosilawati Lawiya, 47, lebih menyentap perasaan apabila hasil siasatan tidak menolak kemungkinan mangsa bersama tiga lelaki lain disembelih menggunakan senjata tajam.

CARI...anggota pasukan penyelam polis mencari bukti di Sungai Kanchong Laut, semalam.
Sumber yang rapat dengan siasatan kes terbabit berkata, berdasarkan siasatan dilakukan, mangsa dikelar di leher sebelum dibakar oleh kumpulan penjenayah terbabit hingga menjadi debu.

“Hasil maklumat dikumpul setakat ini, polis mendapati pembunuhan itu adalah tindakan jenayah sadis yang dirancang dengan begitu rapi. Lebih mengerikan apabila semua mangsa seolah-olah dilayan seperti binatang tanpa perikemanusiaan.

“Polis turut percaya, abu dan sisa tulang semua mangsa yang dibakar terbabit bukan hanya dibuang di dalam Sungai Panchau, malah turut dibuang ke dalam beberapa parit kecil berhampiran yang arusnya mengalir ke laut,” katanya.

Dalam sidang akhbar kelmarin, Sosilawati bersama tiga mangsa lain disahkan dibunuh kejam di ladang persendirian milik suspek utama yang terletak di Sungai Gadung, Tanjung Sepat.

“Bagaimanapun, polis berjaya mengesan suspek utama bergelar Datuk berusia 41 terbabit dan adiknya berusia 38 tahun sebelum kedua-dua mereka ditahan di rumah mereka yang terletak di Taman Cempaka, kira-kira jam 5 petang Sabtu lalu.

“Setakat ini, polis menemui pisau yang digunakan untuk tujuan pembunuhan terbabit selepas melakukan pemeriksaan rapi di kawasan sungai dan parit berhampiran tapak ladang berkenaan malam Ahad lalu,” kata sumber itu.

Berdasarkan maklumat dikumpul, pisau terbabit dibuang ke dalam sungai bersama abu mayat mangsa bagi menghilangkan bukti jenayah kejam dilakukan.

“Pisau milik kumpulan pembunuh itu ditemui selepas salah seorang suspek yang ditahan memberikan maklumat kepada polis. Setakat ini, polis percaya, pisau itu digunakan untuk membunuh semua mangsa berkenaan” katanya.

Menurutnya, dalam operasi kelmarin, polis Unit Forensik Bukit Aman, Selangor dan Kuala Lumpur melakukan siasatan rapi terhadap lokasi kejadian manakala anggota polis dari Jabatan Kimia Bukit Aman melakukan pemeriksaan di kawasan Sungai Panchau di sini.

Difahamkan polis turut menemui sisa pembakaran antaranya tulang dan tisu tubuh yang boleh dikaitkan dengan identiti mangsa yang hilang.

Sementara itu, pasukan penyelam polis meneruskan usaha menyelam di dasar Sungai Kanchong Laut, Kampung Endah bagi mencari objek yang boleh dikaitkan dengan kes pembunuhan berkenaan, semalam.

Dalam sidang akhbar kelmarin, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Bakri Zinin memberitahu empat mangsa berkenaan dipercayai diseksa, dibelasah, selain ditikam menggunakan senjata tajam oleh sekumpulan penjenayah hingga mati berlumuran darah.

Penjenayah yang seolah-olah tidak mempunyai belas kasihan mencurahkan petrol sebelum membakar mayat mangsa sehingga menjadi abu bertujuan menghilangkan bukti jenayah.

Penjenayah kemudian mengutip cebisan dan abu mayat semua mangsa yang dimasukkan ke dalam guni atau bekas tertentu sebelum dibuang ke Sungai Panchau, di sini, kira-kira dua kilometer dari lokasi mangsa dibunuh.

Susulan kes itu, polis memberkas lapan suspek termasuk dua wanita antara Jumaat hingga Ahad lalu membabitkan suspek berusia 19 hingga 45 tahun.-metro


Tindakan Atasi Hasutan Perkauman: Jangan Berat Sebelah

SKMM tubuh pasukan khas untuk tangani hasutan perkauman di Internet

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia(SKMM) telah menubuhkan sebuah pasukan khas bersama polis untuk menangani ancaman terhadap keselamatan dan perpaduan negara menerusi internet, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Beliau berkata, sejak awal tahun ini, SKMM telah menerima 533 aduan mengenai salahguna kemudahan internet khususnya rangkaian sosial seperti Facebook dan Twitter.

“Dari 533 aduan itu, 26 peratus merupakan aduan mengenai percubaan merosakkan perpaduan kaum di negara ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran kementeriannya di Kuala Klawang di sini malam ini.

“Berdasarkan aduan ini, kerajaan berpendapat sudah tiba masanya untuk membuat tindakan tegas kerana (ada) pihak telah ingkar dengan nasihat kita. Sudah sampai masanya...kalau tidak soal perkauman ini akan sentiasa dipermainkan,” katanya.

Rais berkata, kerajaan tidak menyalahkan Facebook atau Twitter kerana medium ini sepatutnya boleh diguna untuk meninggikan tamadun negara, sebaliknya ada pihak cuba meranapkan perpaduan sedia ada.

Kira-kira 7,000 orang menghadiri majlis itu yang diselang seli dengan persembahan nyanyian, tarian serta penyampaian bantuan kepada warga Jelebu yang mengalami kesusahan. – Bernama

Ulasan GB

Umumnya, rakyat mengalu-alukan langkah kerajaan untuk bertindak tegas bagi mengatasi hasutan perkauman di internet.

Namun, ia tidak seharusnya berat sebelah dan ditumpukan hanya kepada golongan pembangkang dan golongan yang tidak disenangi oleh kerajaan, sedangkan jika mereka yang terlibat itu dari UMNO BN, maka kerajaan memejamkan sebelah matanya. Itu, blogger-blogger penyokong UMNO yang terang-terangan mencarut dan meniupkan api perkauman, jangan lansung buat tidak peduli. Jangan hanya menangkap Namewee yang dikatakan "kurang ajar" sedang guru Melayu yang menanamkan unsur perkauman yang tebal menghasut murid dengan perkataan keterlaluan tak diambil tindakan.

Bukan saja di internet api perkauman dinyalakan begitu semarak, namun di dunia sebenar, kerajaan dilihat tidak lansung menambil peduli api perkauman yang ditiupkan oleh golongan seperti Perkasa, beberapa orang menteri dan ahli politik yang mengeluarkan kenyataan-kenyataan rasis, akhbar-akhbar arus perdana yang terang-terang menghasut rakyat membenci sesuatu kaum - yang kebanyakannya beralasan kononnya "membela kepentingan bangsa sendiri".