2 Jan 2014

Tiada Peserta Naik Pentas, SAMM Nafi Laporan TV3


Petaling Jaya: NGO Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) menafikan peserta demonstrasi Himpunan 31 Disember yang naik ke pentas sehingga mengganggu persembahan konsert seperti yang dilaporkan media TV3.

Pengarah Propaganda SAMM Edy Noor Reduan sebaliknya berkata, persembahan konsert dihentikan oleh penganjur setelah melihat peserta berbaju hitam memenuhi keseluruhan padang.

“Ucapan Datuk Bandar yang berbaur provokasi juga tidak berjaya membangkit kemarahan rakyat untuk merampas pentas, malah hadirin tetap bertenang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

SAMM juga berkata pihaknya akan memulakan proses saman kerajaan dalam masa terdekat bagi membersihkan nama NGO itu yang dilabel Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai penganjur ‘himpunan guling kerajaan’.

“Lebih 1300 laporan polis yang dibuat oleh Umno dan NGO pro-BN kononnya akan berlaku keganasan pada malam tahun baru termasuk ‘himpunan guling kerajaan’ meleset sama sekali.

“Protes berlangsung dengan aman, tiada yang cedera dan tiada kerajaan yang terguling,” katanya.

NGO itu turut mengutuk tindakan PDRM memuat naik gambar palsu dalam Facebook rasmi kononnya terdapat seorang anggota polis cedera parah ketika bertugas di Dataran Merdeka malam 31 Disember lalu.

PDRM bagaimanapun dalam laman yang sama kemudiannya memohon maaf atas dan menganggapnya sebagai ‘manusia biasa yang tidak dapat lari dari melakukan kesilapan’ namun akan sentiasa dan terus memperbaiki kelemahan yang ada.

“Walaupun permohonan maaf telah dibuat oleh PDRM melalui laman yang sama, integriti polis dalam menyebarkan berita cukup terjejas.

“Ini juga bukan kali pertama, ketika Bersih 3.0 dulu berita kematian anggota polis disebar dan polis percaya propaganda jahat ini lalu bertindak ganas terhadap peserta,” katanya.

Edy berkata, akan ada lagi demonstrasi mega yang dijangka berlaku pada 1 Mei depan sempena Hari Buruh memprotes kenaikan harga barang.

“Protes akan diteruskan selagi kerajaan tidak ‘turun’ dan SAMM akan mengganda usaha untuk mobilisasi lebih besar dalam satu lagi himpunan raksasa yang dijangka berlaku pada Hari Buruh tahun 2014,” katanya. -FMT

Malam Tahun Baru: Najib & Rosmah Terbang Bercuti Ke LA, Sydney?

Gosip atau cakap-cakap politik, barangkali ada kebenarannya, apatah lagi jika ia ditulis atau dibicarakan oleh individu yang memiliki hubungan rapat dengan ahli-ahli politik.

Tokoh wartawan, A Kadir Jasin, dalam tulisan di blognya pada 30 Disember lalu menimbulkan soalan ke mana perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor ketika sambutan tahun baru.

Dalam tulisannya, Kadir menulis- ketika orang ramai berhimpun di Dataran Merdeka bagi memprotes kenaikan harga barang dan kos sara hidup, Najib tiada di Malaysia untuk mendengar tuntutan mereka.

“Ketika penunjuk perasaan, menentang kerajaan, menuntut itu dan ini, mereka perlu tahu bahawa perdana menteri, Mohd Najib Abdul Razak, tiada di sini untuk mendengar tuntutan mereka secara langsung,” tulis Kadir diblognya, kadirjasin.blogspot.com.

Menurut Kadir, maklumat diperolehi menyatakan Najib berada di luar negara ketika sambutan tahun baru walaupun pada awalnya dinafikan kumpulan ‘Penasihat Komunikasi Najib’ (CAG).

Katanya, dalam satu kiriman di blognya bertajuk “Wanita Chief and the Grandmaster” pada 11 Disember lalu, seorang bernama Zainol memberi komen Najib dan isterinya, bercuti ke Los Angeles (LA) dan terbang ke Sydney, Australia sempena tahun baru.

“…Dia kata Najib akan pergi cuti di LA dengan Isteri… Mereka terbang dari LA ke Sydney nak tengok matahari naik di Sydney. “Jam itu kita masih tidor di Malaysia. Lepas itu mereka akan terbang dari Sydney pergi ke Las Vegas untuk tengok kali kedua matahari naik. Sebab Amerika satu hari lambat dari Australia,” komen itu dipetik Kadir.

Menurut Kadir, beliau mengirimkan pesanan ringkas (SMS) kepada ‘anggota CAG’ untuk bertanyakan kebenaran perkara itu, namun ia dinafikan.

Bagi mengesahkan ia bukan sekadar gossip atau fitnah, Kadir pada 30 Disember lalu mengirim SMS kepada Setiausaha Najib, Tengku Sharifuddin Tengku Ahmad yang mengesahkan Najib ke luar negara dan tugasnya diambil alih oleh timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Kadir menambah, beliau juga bertanya kepada editor dua buah akhbar, salah seorangnya juga anggota ‘CAG’ melalui SMS, bagi mengetahui sekiranya ada kenyataan rasmi dibuat.

Editor berkenaan kemudian mengesahkan bahawa tiada kenyataan rasmi dikeluarkan, namun enggan namanya dipetik.

Kadir yang sebelum ini dianggap bekas orang kuat Tun Mahathir Mohamad mencuri perhatian apabila menyindir Najib dan isterinya, Rosmah Mansor di blognya.

Secara sinis beliau mencadangkan Rosmah dilantik ke jawatan menteri, malah ke jawatan perdana menteri kerana peranannya mengambil tugas menteri-menteri kabinet.

Ia ekoran pujian Najib terhadap isterinya itu pada Perhimpunan Agung Umno awal Disember lalu, selepas mendapat kritikan menggunakan jet kerajaan untuk lawatan peribadi ke luar negara.

Tulisan Kadir itu, dilihat oleh ramai pemerhati politik sebagai serangan awal terhadap kepimpinan Najib dan mewakili pandangan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. -KD

Najwa Latif Pula Jadi Mangsa Fitnah Oleh Macai UMNO!

Najwa Latif nafi burukkan peserta himpunan Turun

‘ITU tidak benar. Saya tidak ‘tweet’ sebegitu’. Demikian reaksi penyanyi yang terkenal dengan lagu ‘Cinta Muka Buku’, Najwa Latif berhubung penyebaran mesej bergambar yang menyerupai akaun Twitter miliknya, semalam.

Mesej bergambar itu seolah-olah mendakwa peserta himpunan Turun di Dataran Merdeka semalam melakukan keganasan dan gangguan seksual.

Mesej bergambar itu dikatakan menjadi “viral” di laman sosial dan mendapat kritikan hebat daripada peminat dan peserta himpunan terbabit yang kesal dengan tuduhan liar tersebut malah ia turut mengaitkan seorang isteri pemimpin tertinggi negara.


Najwa atau nama sebenarnya, Imratul Najwa Abdul Latif mendakwa kenyataan yang dimuat naik dengan menggunakan laman mikro, Twitter menyerupai akaunnya itu dipercayai direka oleh pihak tidak bertanggungjawab dengan tujuan menjatuhkan reputasinya sebagai seorang artis yang berhijab.

Menurutnya, perkara itu disedari pada lewat malam semalam selepas membuat persembahan sempena sambutan ambang tahun baharu 2014 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

“Itu tidak benar, saya tidak ada ‘tweet’ sebegitu, dan saya boleh katakan ia palsu. Setakat ini benda itu tiada dalam Twitter saya sendiri, jadi, saya rasa itu adalah palsu, ada orang lain edit, mungkin menggunakan perisian grafik komputer.

“Semalam, selepas saya buat persembahan di Dataran Merdeka anjuran DBKL dalam pukul 1 pagi saya perasan perkara itu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian Online, hari ini.

Najwa turut menafikan terlibat dengan sebarang aktiviti selepas selesai membuat persembahan di Konsert KL New Year Countdown 2014’ anjuran Dewan Bandar raya Kuala Lumpur (DBKL).

“Saya memang berada di Dataran Merdeka kerana ada persembahan tahun baru. Cuma, saya tidak terlibat dengan apa-apa aktiviti selepas itu.

“Saya menyanyi pada jam 11.15 malam, ketika itu keadaan masih tenang lagi. Tiada apa-apa yang berlaku dan semua orang masih OK. Sekitar jam 11.40 malam saya sudah berada dalam kereta untuk balik,” katanya.

Biarpun perkara tersebut telah menjejaskan reputasinya, namun Najwa tidak berhasrat untuk membuat laporan polis dan sudah memaafkan pelaku tersebut.

“Setakat ini tiada (laporan polis) kerana saya sebelum ini pernah kena, apa pun berlaku saya maafkan.

“Apa pun Tuhan tahu, dan apa yang berlaku semalam, pengurus saya, kakak saya tahu. Tak perlu nak buat fitnah kerana ia boleh menjatuhkan imej orang lain juga. Jadi, berhentilah daripada buat perkara sebegitu,” katanya. -SH