6 Jan 2012

Presiden PAS Hadir Perhimpunan 901, Salehuddin Minta Hassan Ali Patuh Arahan Ketua

901: Saya akan hadir, ahli terserah - Presiden PAS

KUALA LUMPUR, 6 Jan: "Saya akan hadir, dan untuk ahli PAS pula, terserah masing-masing," kata Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang ketika ditanya apakah beliau akan hadir dalam perhimpunan aman 9 Januari ini.

Perkara ini disampaikan Setiausaha Politik beliau, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar kepada Harakahdaily.

Manakala itu Dewan Muslimat PAS, Dewan Pemuda dan PAS Selangor membuat keputusan akan menyertai perhimpunan aman di hadapan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, 9 Januari ini.

Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Pusat, Aiman Athirah Al-Jundi meminta mana-mana pihak tidak salah faham dengan perhimpunan tersebut dengan menganggap ianya merupakan sokongan peribadi terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Muslimat PAS akan memberi sokongan kepada perhimpunan pada 9 Januari bukan semata-mata atas isu Anwar.

"Isu Anwar adalah sebahagian yang menampakkan kepincangan sistem kehakiman negara, tetapi lebih daripada itu ianya adalah manifestasi kebencian rakyat terhadap kezaliman Umno BN yang mencampur adukkan sistem pengasingan kuasa iaitu Eksekutif, Perundangan, Legislatif dan Kehakiman," katanya kepada Harakahdaily, hari ini.

Pimpinan PAS Selangor juga memutuskan untuk turun 9 Januari ini, kata Pesuruhjayanya, Dr Rani Othman.

"Kita akan bersama presiden di sana. Dalam perbincangan di peringkat negeri juga, kita sudah putuskan akan turun," katanya kepada Harakahdaily.

Pemuda PAS pula sedang memobilisasi ahlinya untuk turun pada perhimpunan tersebut.

Ketuanya, Nasrudin Hassan berkata, pemuda memberi komitmen untuk mencapai sasaran 100,000 orang yang ditetapkan oleh penganjur.

"Jika Datuk Seri Najib kena zalim pun kita akan turun," kata Nasrudin.

Bersama Presiden

Aiman turut berkata, muslimat tidak perlu takut untuk bersama-sama 9 Januari ini atas kapasiti parti kerana Presidennya sendiri, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan pimpinan tertinggi yang lain sudah menyatakan komitmen untuk menyertai perhimpunan tersebut.

"Muslimat tidak perlu ragu-ragu kerana PAS sendiri termasuk Presiden kita akan turun bersama-sama. Jadi tidak ada masalah di peringkat parti," katanya.

Zalim kepada mahasiswa

Sementara itu, beliau menambah sudah tiba masanya rakyat berani menyatakan kebencian terhadap kerajaan Umno BN yang bertindak zalim ke atas mahasiswa sendiri.

Sambil mengucapkan tahniah kepada kebangkitan mahasiswa yang menuntut Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) dimansuhkan, Aiman berkata mahasiswa sekarang sudah bijak berfikir dan bertindak tanpa mengabaikan pelajaran.

"Muslimat juga mengucapkan syabas dan tahniah di atas kebangkitan gerakan mahasiswa yang bermula daripada Adam Adli dan tragedi berdarah di UPSI.

"Muslimat berpendapat mahasiswa pada abad ke-21 ini mesti lebih cekap dan cerdik iaitu meletakkan pelajaran nombor satu tetapi gerakan kebangkitan rakyat bukan di tempat kedua.

"Yang paling penting dalam kehidupan seorang manusia apabila dia dapat melawan kelemahan dalam dirinya dan juga melawan kezaliman di sekelilingnya," tegasnya. -HD

Kempen 901: Patuh keputusan parti, Salahuddin jawab Hasan Ali

SHAH ALAM - Naib Presiden Salahuddin Ayub menegaskan Pas hanya mempunyai seorang presiden dan oleh itu setiap ahli perlu patuh arahan ketua, bukannya pihak lain berhubung keputusan menyokong perhimpunan Bebaskan Anwar 901.

Mengulas kenyataan bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Ali semalam, Salahuddin berkata, partinya tidak memiliki presiden lain selain Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Sehubungan itu tegas beliau, Hadi sendiri akan sama-sama menyertai perhimpunan Bebaskan Anwar 901, Isnin ini.

"Apa yang setiap ahli perlu dengar dan lihat ialah daripada arahan presidennya. Kita tidak ada presiden lain. Presiden sendiri akan turun pada hari itu (9 Januari), jadi sekarang tidak timbul apa-apa masalah lagi," katanya kepada Sinar Harian Online hari ini.

Semalam, Hasan berkata perhimpunan Bebaskan Anwar 901 Isnin ini tidak perlu disertai dan tidak wajar diadakan kerana tujuannya hanya membabitkan isu peribadi seorang pemimpin, bukannya soal masyarakat.

Tambah Salahuddin, beliau menyerahkan kepada ahli Pas dan rakyat untuk membuat penilaian terhadap kenyataan Hasan semalam. "Itu saya serahkan pada ahli dan rakyat untuk menilai apa yang telah beliau (Hasan Ali) katakan semalam. Saya tidak mahu mengulas apa-apa," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tidak harus timbul isu berhubung keputusan mengambil bahagian dalam perhimpunan Isnin ini.

"Kita sudah membuat keputusan untuk menyertai perhimpunan, jadi tidak timbul langsung isu... kita buat keputusan (menyertai perhimpunan) dalam mesyuarat baru-baru, pimpinan Pas akan turun sama," kata beliau yang juga Pesuruhjaya Pas Pahang.

"Ya, ya, kita kena menghormati apa yang telah diputuskan oleh parti," katanya lagi.

Selain itu kata beliau, keputusan untuk mengambil bahagian dalam perhimpunan Isnin ini juga merupakan "keputusan bersama dicapai dalam mesyuarat Pakatan Rakyat." -SH


Adam Adli Dakwa Dinafikan Hak Diwakili Peguam Dan Diajukan Soalan "Pelik" [updated]

Tatatertib UPSI: Saya dinafi hak diwakili peguam- Adam Adli

KUALA LUMPUR 6 Jan: Pemimpin Mahasiswa, Adam Adli Abdul Halim berkata beliau kesal kerana dinafi hak diwakili peguam pada sesi pendengaran tatatertib oleh pentadbiran Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), 9 Januari ini.

Ini kerana katanya, khidmat guaman itu tidak tertakluk kepada Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) yang memberi kuasa terlalu besar kepada pihak universiti membuat sesuatu keputusan.

“Auku memberi kuasa yang terlalu luas kepada Naib Canselor Universiti dan mengikut akta ini juga, saya hanya boleh hadir seorang diri dan dinafikan hak untuk mendapatkan khidmat peguam.

“Situasi ini jelas bertentangan dengan undang-undang tertingggi negara iaitu Perlembagaan Persekutuan di mana seseorang itu mempunyai hak untuk membela diri dengan mendapatkan khidmat peguam,” katanya pada sidang media di balai polis Dang Wangi hari ini.

Mahasiswa UPSI itu dipanggil pentadbiran UPSI berhubung tindakannya menurunkan bendera yang memaparkan gambar Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak di Pusat Perdagangan Dunia Putra (PWTC), 17 Disember tahun lalu.

Menurutnya, beliau akan menilai terlebih dahulu keputusan yang akan diambil UPSI sebelum memutuskan tindakan susulan.

“Jika ada unsur ketidakadilan terhadap saya dalam keputusan itu, tindakan susulan akan saya umum kelak.

“Ketika ini saya masih menunggu dan saya pun tidak tahu apa keputusan universiti, Isnin ini,” katanya.

Pada 24 Disember lalu, dua kakitangan UPSI menghantar notis yang mengarahkan Adam diminta hadir ke universiti itu pada 3 petang, 9 Januari ini berhubung tindakannya menurunkan bendera yang memaparkan gambar Datuk Seri Najib Razak di PWTC pada 17 Disember 2011.

Sementara itu, Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) bersama aktivis mahasiswa lain akan hadir pada hari itu bagi memberi sokongan moral terhadap Adam. -KD

Turunkan bendera Najib: Adam diajukan 'soalan pelik'

Aktivis pelajar yang terbabit dalam kejadian menurunkan bendera di ibu pejabat Umno bulan lalu dipanggil hari ini untuk memberi keterangan berikutan laporan polis yang dibuat ke atasnya.

Adam Adli Abdul Halim, 23, disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan.

Mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu diiringi oleh peguamnya Fadiah Nadwa Fikri untuk diambil keterangannya di ibu pejabat polis daerah Dang Wangi, pagi tadi.

Menurut Fadiah, inspektor polis yang mencatatkan kenyataan itu mengemukakan 11 soalan kepada Adam yang memilih untuk tidak menjawap soalan berkenaan.

Katanya, beliau mendapati salah satu daripada soalan berkenaan yang berbunyi "agak pelik", iaitu Adam ditanya sama ada beliau ada memijak bendera Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

"Soalan itu berbunyi adakah awak memijak bendera yang diturunkan. Ini dakwaan palsu, tidak ada kejadian memijak bendera,"
kata Fadiah.

"Apa yang Adam turunkan juga bukan sehelai bendera, ia hanya kain yang tertera gambar Najib," katanya.

Sehubungan itu, Fadiah menafikan berlakunya sebarang salah laku dan mendakwa bahawa tindakan menurunkan bendera adalah cara yang sah bagi meluahkan pendapat ataupun kebebasan bersuara.

“Tindakan Adam ini adalah kebebasan berekspresi beliau dan ia dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan iaitu undang-undang tertinggi negara kita,” katanya.

Berat sebelah

Bagaimanapun menurut Fadiah, pegawai polis berkenaan tidak menyatakan asas mengapa Adam dipanggil dan enggan membenarkan beliau melihat laporan tersebut.

“Timbul persoalan sama ada laporan itu wujud atau sekadar alasan agar Adam boleh dipanggil ke balai untuk dirakamkan keterangannya dengan diaju 11 soalan,
katanya.

Sementara itu, Adam berkata, beliau terkejut kerana pihak polis benar-benar mengheretnya untuk disiasat meskipun mereka tidak mempunyai asas untuk berbuat demikian.

Walau bagaimanapun, aktivis pelajar yang berusia 22 tahun berkata beliau tidak mempunyai masalah atau gentar jika pihak polis mahu mendakwanya di mahkamah.

Katanya, beliau kesal dengan tindakan berat sebelah polis mengenai kes beliau.

“Saya disiasat di bawah seksyen 504 Kanun Keseksaan. Perlu diketahui, sebelum seksyen 504, ada seksyen 503 dan di bawah seksyen itu saya sebelum ini membuat laporan mengenai ugutan bloggers dan pihak tertentu.

“Sejak insiden 17 Disember sehingga saya dipanggil ke balai hari ini, polis tiada jawapan status laporan mengenai ugutan itu,” tegasnya.

Seksyen 504 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atas kesalahan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan menjejaskan keamanan. -mk





901: PAS Tidak Layan Hassan Ali, Akan Tetap Hadir Perhimpunan

Mat Sabu: Ahli PAS boleh hadir 'Bebaskan Anwar'

Ahli, pemimpin dan penyokong PAS boleh menghadiri perhimpunan ‘Bebaskan Anwar’ pada 9 Januari ini meskipun tiada arahan bertulis daripada pemimpin atasan, kata timbalan presiden parti itu Mohamad Sabu.

Beliau mengulas kenyataan bekas pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Hasan Ali yang semalam mengeluarkan kenyataan bahawa adalah tidak sesuai mengheret rakyat menyertai perhimpunan haram itu semata-mata bagi mempertahankan isu peribadi Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Hasan yang juga exco kerajaan negeri Selangor juga mengumumkan bahawa beliau tidak akan hadir pada Isnin ini.

"Itu kehendak dia. Presiden dan saya akan hadir... Setakat ini tidak ada arahan bertulis (daripada PAS Pusat).

"Kalau presiden dan timbalan presiden hadir, maknanya ahli boleh hadir,”
katanya ketika dihubungi Malaysiakini petang semalam.

"Ahli dan penyokong PAS, boleh mengiringi presiden dan timbalan presiden untuk mengikuti keputusan perbicaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 9 Januari ini," kata Mohamad yang popular dengan panggilan Mat Sabu.

Sementara itu, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang (berserban) dilaporkan oleh Harakahdaily berkata bahawa terserah kepada ahli parti itu untuk menentukan sama ada untuk menghadiri perhimpunan aman berkenaan.

"Saya akan hadir, terserah masing-masing,"
katanya yang disampaikan setiausaha politiknya, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar kepada organ rasmi parti itu.

Pandangan peribadi

Hasan juga semalam turut menasihatkan mahasiswa dan pelajar khususnya yang sedang menghadapi peperiksaan dalam tempoh ini supaya tidak menghadiri perhimpunan itu.

Pemimpin PAS yang rapat dengan Umno itu juga mempersoalkan kewajaran Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Rani Osman yang mengarahkan ahli-ahli PAS supaya hadir dengan berkata bahawa ia adalah tidak sesuai, meskipun Abdul Hadi dan Mohamad telah mengesahkan kehadiran mereka.

Hasan juga mencadangkan supaya Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat atau presiden parti itu Datuk Seri Abdul Hadi Awang diangkat menjadi perdana menteri jika ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim didadapati bersalah pada perbicaraan kes liwatnya, Isnin ini.

Hasan secara tidak langsung menyindir ketua pembangkang itu dengan berkata apabila memilih seseorang pemimpin, selain rekod prestasi mereka dalam kerajaan dan peringkat antarabangsa, latar keluarga mereka juga perlu diberi perhatian.

Mengulas keceluparan pemimpin PAS itu, Mohamad berkata ia adalah pandangan peribadi dan bukan pendirian rasmi PAS.

"Beliau masih lagi ahli jawatankuasa PAS Pusat, beliau boleh mengemukakan (cadangan itu) dalam mesyuarat jawatankuasa. Beliau ada saluran dalam PAS.

"Kemudian PAS akan mengemukan cadangannya itu dalam Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat. Keputusan mesyurat (Pakatan) adalah pandangan yang sebenar.

"Sistem kita sistem parti, bukan sistem individu," katanya.

Buta hati, buta mata

Menurut Mohamad lagi, adalah lebih baik cadangan tersebut disalurkan melalui parti daripada terus diumumkan kepada umum.

Tindakan Hasan itu juga mengundang keberangan daripada PKR.

“Hasan Ali sudah buta hati dan buta mata. Hanya mampu mengulangi skrip Umno.

“Ketika Hasan Ali mencerca Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada masa yang sama, 5 petang tadi (semalam) YAB Tuan Guru Datuk Nik Aziz sedang meraikan Anwar di Kota Bharu,”
tulis timbalan presiden PKR Mohamed Azmin Ali di twitter.

Menjawab cadangan yang dikemukakan di twitter oleh Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin supaya Menteri Besar Selangor memecat Hasan, Azmin membalas “Apakah Umno bersedia menerimanya?” -malaysiakini

Pas tidak 'kisah' Hasan Ali, tetap sertai 901

SHAH ALAM - Pas Selangor tetap dengan pendirian akan menyertai perhimpunan Bebaskan Anwar 901 Isnin ini, sambil menyifatkan kenyataan Datuk Dr Hasan Ali semalam sebagai "pandangan peribadi" beliau semata-mata.

Pesuruhjayanya, Dr Abd Rani Osman juga menolak dakwaan Hasan bahawa beliau hanya mengeluarkan pandangan peribadi, bukannya pendirian parti Islam itu apabila menggatakan akan menggerakkan ahli dan pengikutnya menyertai perhimpunan minggu depan.

Abd Rani, yang menggantikan Hasan sebagai Pesuruhjaya Pas Selangor Jun lalu menambah, pemimpin-pemimpin tertinggi parti termasuk Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Naib Presiden Datuk Mahfuz Omar sendiri sudah mengatakan bakal menyertai perhimpunan yang akan diadakan pada hari Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dijadual mengumumkan keputusan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Ini bukan pandangan peribadi saya. Ketua Penerangan Pas Selangor pun sudah mengatakan akan menghantar SMS meminta ahli-ahli Pas sertai perhimpunan 901, malah Presiden Pas dan Datuk Mahfuz juga sudah mengatakan akan sertai.

"Jadi apa isunya? Ini bukan pandangan peribadi saya, tetapi saya lihat apa yang dikatakan oleh Datuk Hasan semalam adalah pandangan peribadi beliau semata-mata," katanya kepada Sinar Harian Online pagi ini.

Abd Rani berkata kenyataan beliau tempoh hari ini sebenarnya telah diputuskan oleh pemimpin-pemimpin parti dalam mesyuarat-mesyuarat yang telah diadakan sebelum ini, yang mana Hasan sendiri tidak hadir.

"Sudah tiga kali kami menjemput Datuk Hasan agar hadir mesyuarat (Pas Selangor). Beliau sendiri tidak datang.

"Jadi, jangan kata ini pendirian peribadi saya, apa yang dikatakan oleh Datuk Hasan tidak betul,"
katanya lagi.

Dalam satu kenyataan semalam, Hasan berkata perhimpunan Bebaskan Anwar 901 Isnin ini tidak harus disertai dan tidak wajar diadakan kerana ia adalah isu peribadi seorang pemimpin, yang tidak membabitkan soal masyarakat.

Exco Kerajaan Negeri Selangor itu berkata tindakan Rani itu hanya pendapatnya sendiri dan telah membelakangi pandangan pimpinan pusat.

Hasan, salah seorang pemimpin yang menjadi perhatian dalam kontroversi berkaitan isu bakal calon Pas bulan lalu menegaskan, beliau tidak akan menyertai perhimpunan Isnin ini.

“Pas Selangor nampak proaktif dalam cara yang salah sebab sebelum ini dihalang ahli pergi Himpun 2011, padahal itu perkara baik membincangkan isu agama yang sebenarnya hala tuju parti Pas.

“Kalau diteruskan sikap seperti ini, pandangan parti nampak tak cantik. Jangan malukan parti dengan kenyataan dia (Rani) yang tidak mewakili Pas, itu kenyataan peribadi dia," katanya.

Sebaliknya Abd Rani menambah, Pas Selangor sebenarnya tidak mahu "melayan sangat" isu membabitkan Hasan, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri kerusi Gombak Setia.

"Cakap terus-terang, saya tidak memberi perhatian sangat isu Datuk Hasan ini. Kita ada banyak lagi isu besar untuk diuruskan, mengadakan kempen Gelombang Hijau misalnya, bagi menghadapi pilihan raya umum.

"Kita serahkan kepada Pas pusat untuk mengendalikan isu-isu membabitkan Datuk Hasan," katanya lagi. -SH


Laporan sebelum ini
klik untuk baca




JAKIM Ketinggalan Halang 901 Melalui Khutbah Jumaat, Polis Sudah Benarkan

Khutbah ingatkan umat Islam tak sertai himpunan 901

Umat Islam yang menunaikan solat Jumaat di masjid-masjid sekitar Wilayah Persekutuan hari ini diberi amaran supaya tidak melakukan "kesilapan besar" dengan menghadiri demonstrasi jalanan.

Menurut khutbah Jumaat yang disediakan oleh Jabatan Kemajuan Islam (Jakim), mereka yang bersekongkol dengan penganjur demonstrasi jalanan melakukan kesalahan besar dan menzalimi umat Islam.

Amaran itu dikeluarkan menjelang perhimpunan yang dirancang oleh penyokong-penyokong ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Kuala Lumpur pada hari keputusan perbicaraan kes liwat membabitkan dirinya dan pembantu peribadinya diumumkan pada 9 Januari ini.

“Kita sedar hari ini sekali lagi pelbagai cara dilakukan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab untuk melemahkan perpaduan umat Islam dan keamanan negara di antaranya melalui pembohongan fakta, pencemaran budaya, penyebaran racun perpaduan samada melalui media massa dan alam siber, melanggari undang-undang negara.

“Mereka juga cuba meruntuhkan keamanan yang dikecapi selama ini dengan mengadakan pelbagai helah dan cara termasuklah mencetuskan perhimpunan haram dan demonstrasi jalanan.

“Mereka menghasut rakyat dengan menyemai perasaan tidak puas hati dan benci kepada pemerintah dengan melaungkan slogan tertentu yang digambarkan sebagai gelombang rakyat yang membantah,” petik khutbah yang dibacakan itu.

haze in kuala lumpur mosqueMenurut khutbah itu lagi, penganjur perhimpunan itu yang bertopengkan atas dasar menuntut keadilan dan ketulusan sebenarnya mahu mengheret rakyat ke jalanan supaya dapat dijadikan sebagai perisai.

“Tetapi hakikatnya mempunyai agenda tersendiri untuk menghuru-hara negara, melemahkan pemerintah dan perpaduan rakyat yang akhirnya membawa tanggapan di mata dunia bahawa negara ini tidak lagi berada dalam keamanan.

“Mimbar ingin menegaskan kepada jemaah dan umat Islam sekalian bahawa sesiapa yang terlibat dan bersekongkol dengan golongan ini sebenarnya telah melakukan kesalahan yang besar dan menzalimi umat Islam serta keamanan negara,” petik khutbah itu lagi. -mk

Polis Benarkan Penyokong Anwar Berhimpun Di Tempat Letak Kereta Mahkamah

KUALA LUMPUR, 6 Jan (Bernama) -- Polis Kuala Lumpur membenarkan penyokong ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan perhimpunan di tempat letak kereta di luar perkarangan Kompleks Mahkamah, Jalan Duta, di sini pada Isnin depan.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh berkata persetujuan itu dicapai selepas beliau mengadakan perbincangan dengan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Azmin Ali di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini, hari ini.

"Penganjur mesti memastikan perhimpunan itu dijalankan secara aman dan tidak mengganggu ketenteraman awam," katanya kepada pemberita selepas pertemuan itu di sini hari ini.

Azmin bertemu dengan Mohmad pada 10 pagi ini.

Azmin dalam sidang media bersama Mohamad itu memberi jaminan perhimpunan itu akan berjalan secara aman dan teratur.

Beliau turut berterima kasih dan menghargai polis kerana menjemputnya http://www.blogger.com/img/blank.gifbagi membincangkan berkenaan perhimpunan tersebut.

"Perbincangan agak panjang dan saya setuju perhimpunan akan dijalankan dengan teratur dan aman selaras dengan kerjasama yang diberikan polis dan Kementerian Dalam Negeri," katanya. -- BERNAMA


Laporan sebelum ini
klik untuk baca




Isu Jamil Khir Salahguna Wang Zakat: NGO Serah Surat Kepada Ketua Jabatan Audit Negara

Ssebuah NGO, Jingga 13 semalam menyerahkan surat kepada Ketua Audit Negara, Tan Sri Dato Setia Haji Ambrin Bin Buang berhubung Penyelewengan dan Salahguna kuasa menggunakan wang zakat terhadap Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Pengarah MAIWP Datuk Che Mat Che Ali dan Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan Encik Shamsuddin Hussain.

Jingga 13 diketuai oleh Ketua Koordinator, Fariz Musa telah hadir ke Jabatan Audit Negara di Presint 2, ditemani oleh 10 orang ahli-ahlinya pada pukul 2.00 petang.

Ketibaan NGO tersebut disambut Pegawai Khas, Jamilah Binti Jais yang menerima surat bagi pihak Ambrin yang sedang bermesyuarat.

Pertemuan selama 15 minit tersebut berlangsung secara baik.

Pada 21 November lalu, Ambrin mengesahkan bahawa kos guaman dibayar menggunakan peruntukan zakat pada Februari dan April 2010 meskipun akhirnya digantikan pada hujung tahun 2010.

Namun sekalipun menerima geran kerajaan sebanyak RM700,000 pada 22 Jun lalu, pembayaran semula kepada wang zakat hanya dibuat pada Disember 2010 sebagai proses ‘pelarasan semula'.

Khir bersama Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Datuk Che Mat Che Ali dan Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan Shamsuddin Hussain didakwa melakukan penyelewengan wang zakat yang digunakan bagi pembayaran kos guaman beliau dalam kes tuntutan qazaf Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebelum ini terdapat kes amil zakat di Johor, Redzuan Mohd Said yang menyalahgunakan RM19,510 dan memulangkannya tetapi dipenjarakan empat tahun dan dihukum tiga kali sebatan tahun ini.

Pada 30 Disember lalu, Jingga 13 hari ini mendesak Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan dua lagi individu Datuk Che Mat Che Ali serta Shamsuddin Hussain memohon maaf secara terbuka dalam tempoh 48 jam kepada seluruh umat Islam berhubung isu penggunaan wang zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP). -tvsnews


Berikut adalah isi kandungan surat yang dihantar kepada Ketua Audit Negara semalam

Y.Bhg. Tan Sri Dato’ Setia Haji Amrin bin Buang,

Ketua Audit Negara,
No. 15, Aras 4, Persiaran Perdana,
Persint 2,
62518 Putrajaya.

Y.Bhg. Tan Sri Dato’ Setia,

MOHON PENJELASAN TERHADAP ISU PENYELEWENGAN DAN PENYALAHGUNAAN WANG ZAKAT MAIWP OLEH YB SENATOR MENTERI JABATAN PERDANA MENTERI DATO’ SERI JAMIL KHIR BAHAROM, PENGARAH JABATAN AGAMA ISLAM WILAYAH PERSEKUTUAN DAN KETUA PENDAKWA SYARIE WILAYAH PERSEKUTUAN

Adalah dengan segala hormat perkara di atas adalah dirujuk.

2. Untuk makluman Y.Bhg. Tan Sri Dato’ Setia bahawa kami Jingga 13 telah membuat laporan dan aduan rasmi di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 30 Disember 2011 berkaitan isu penyelewengan dan salahguna kuasa menggunakan wang zakat terhadap YB Senator Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Dato’ Seri Jamil Khir Baharom, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Datuk Che Mat Che Ali dan Ketua Pandakwa Syarie Wilayah Persekutuan En. Shamsuddin Hussain.

3. Berdasarkan laporan pemeriksaan audit telah dijalankan di MAIWP terhadap pembelanjaan bagi kos guaman RM63,650 bersabit kes tuntutan qazaf YB Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ahli Parlimen Permatang Pauh seperti mana laporan yang dihantar kepada YB. Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara, rujuk Fail : AUDIT/BBP/147/379/15(12) bertarikh 21 November 2011 oleh Y.Bhg. Tan Sri Dato’ Setia menyatakan :

3.2 YBhg. Datuk Haji Che Mat bin Che Ali telah meluluskan bayaran interem berjumlah RM 31,500 menggunakan peruntukan sumber am bagi perkhidmatan perundangan pada 28 januari 2010. Bayaran ini diluluskan pada 9 Februari 2010 melalui baucar no. 2010B01304 menggunakan peruntukan zakat terlebih dahulu kerana geran. Kerajaan belum diterima pada tarikh tersebut.

3.3 Pada 29 April 2010, MAIWP telah membuat pembayaran baki kos guaman berjumlah RM 32,150 ( termasuk perbelanjaan pelbagai berjumlah RM650) menggunakan peruntukan sumber zakat terlebih dahulu. Bayaran ini dibuat apabila menerima laporan penuh perbicaraan daripada Tetuan Zainul Rijal Talha Dan Amir setelah kes selesai.

3.4 MAIWP telah menerima geran Kerajaan berjumlah RM700,000 pada 22 Jun 2010 untuk peruntukan sumber am. Pada bulan Disember 2010, MAIWP telah menyelaraskan perbelanjaan peruntukan wang zakat yang telah dibayar untuk kos guaman berjumlah RM63,650 kepada peruntukan sumber am melalui jurnal pelaras. Dengan pelarasan ini, wang zakat berjumlah RM63,650 telah dikembalikan kepada sumber zakat dan kos guaman dikenakan kepada peruntukan sumber.

4. Kenyataan YB Senator DatO’ Seri Jamil Khir Baharom, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri pada 31 Disember 2011 sepertimana dilaporan oleh Bernama, bertajuk “Jamil Khir Perjelas Dakwaan Seleweng Wang Zakat” ternyata menyimpang daripada laporan tersebut dan cuba memutarbelitkannya malah memperlekehkan laporan rasmi yang dikeluarkan oleh pihak jabatan yang diketuai oleh Y.Bhg. Tan Sri Dato’ Setia selaku Ketua Audit Negara.

5. Kami tidak menafikan bahawa berlaku pembayaran balik wang zakat tersebut oleh MAIWP pada bulan Disember 2010 sepertimana dijelaskan oleh laporan pihak Y.Bhg Tan Sri Dato’ Setia sepertimana di bawah :

6. Isu pembayaran balik oleh MAIWP adalah tidak timbul namun laporan tersebut telah mengesahkan bahawa wujud penyelewengan dan salahguna kuasa terhadap wang zakat selama hampir sebelas (11) bulan ( Februari – Disember ) yang cuba dinafikan oleh YB Senator Menteri yang mengurustadbir Hal-Ehwal Agama Islam malah kini memutarbelitkan kenyataan dan fakta.

7. Pada 21 Jun 2011, Timbalan Menteri Jabatan perdana Menteri, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim telah mengakui bahawa kos guaman dibayar menggunakan peruntukan wang zakat ketika menjawab soalan YB Saifuddin Nasution, Ahli Parlimen Machang dalam perbahasan Perbekalan Tambahan 2011 di Parlimen.

8. YB Senator Dato’ Seri Jamil Khir juga secara nyata dan jelas telah MEMPERLEKEHKAN INTEGRITI DAN KREDEBILITI laporan daripada jabatan yang dipimpin oleh Y.Bhg. Tan Sri Dato’ Setia dan BERBOHONG kepada seluruh rakyat Malaysia.

9. Sehubungan dengan itu, kami memohon jasa baik Y.Bhg. Tan Sri Dato’ Setia menjelaskan kepada umum berkaitan percanggahan fakta yang telah di buat oleh YB Senator Dato’ Seri Jamil Khir Baharom yang menyangkal bahawa penggunaan wang zakat oleh beliau dan dua yang lain.

Sekian, terima kasih.

MUAFAKAT*PRIHATIN*BERANI

Saya yang menjalankan tugas,
( FARIZ MUSA )
Ketua Koordinator Jingga 13






Lagi Dibiarkan, Hassan Ali Semakin Melampau

Hasan bantah pendirian PAS Selangor sokong perhimpunan haram

SHAH ALAM: Tokoh kontroversi PAS, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali yang juga EXCO Kerajaan Selangor membantah pendirian PAS Selangor menyokong perhimpunan haram yang dirancang Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada hari keputusan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim, di ibu negara Isnin ini.

Hasan yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, sebaliknya berkata parti itu sudah membazirkan masa lebih tiga tahun hanya kerana seorang pemimpin, sedangkan banyak kerja lain lebih berfaedah untuk negara boleh dilakukan dalam tempoh berkenaan.

Sehubungan itu, beliau tidak akan menghadiri perhimpunan berkenaan dan mempersoalkan tindakan Pesuruhjaya PAS negeri, Dr Abdul Rani Osman mendahului kepemimpinan PAS pusat dalam membuat pendirian berhubung isu berkenaan.

Katanya, PAS Selangor juga dilihat begitu proaktif dan taksub terhadap perkara yang salah, manakala perkara lain yang lebih penting iaitu membabitkan agama Islam dipinggirkan.

"Jemputan kepada ahli PAS untuk sertai perhimpunan itu adalah pendapat peribadi dan bukan suara ahli PAS negeri. PAS Selangor kena betul. Kenapa Himpunan Sejuta Umat sebelum ini Dr Rani larang sertai, tetapi apabila hal yang membabitkan peribadi seorang individu dia begitu bersungguh-sungguh," katanya pada sidang media di Pejabat Jabatan Agama Islam (JAIS), di sini semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor itu juga berkata rakyat, terutama mahasiswa perlu merenung semula cadangan perhimpunan berkenaan kerana ia boleh menimbulkan suasana anarki dan bahana terhadap negara.

"Saya tidak rela pakatan pembangkang dapat kuasa dan selepas itu timbul kekecohan. Saya tidak reda dengan isu ini. Orang muda perlu belajar bersungguh-sungguh dan takluk semua universiti ternama dunia, barulah dikira hebat. Mahkamah sudah beri ruang yang banyak untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan 60 kali penangguhan. Kita habis berpuluh-puluh ribu jam hanya untuk isu ini.

"Kalau di negara lain seperti Korea, mereka tidak ada masa untuk fikir soal peribadi kerana mereka fikir bagaimana untuk menjalin hubungan dengan negara lain dan memajukan negara," katanya.

Ditanya mengenai kenyataan Ketua Penerangan PAS Selangor, Saari Sungip bahawa semua pemimpin parti perlu menyertai perhimpunan itu kerana ia arahan kepemimpinan pusat, Hasan berkata, beliau tidak tahu menahu mengenai perkara itu.

“Saya salah seorang pemimpin di peringkat pusat dan setahu saya belum ada arahan untuk semua ahli PAS turun kecuali ia arahan daripada Pesuruhjaya PAS Selangor itu sendiri," katanya.

Beliau juga berkata, seorang pemimpin perlu bebas daripada masalah moral dan berpendapat hanya Mursyidul Am, Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang layak digelar pemimpin.

Katanya, apabila memilih seseorang pemimpin, selain rekod prestasi dalam kerajaan dan peringkat antarabangsa, latar belakang keluarga mereka juga perlu diberi perhatian. -sumber: BH


Hadi, Kit Siang sertai kempen 901

PETALING JAYA - Pemimpin-pemimpin tertinggi Pas dan DAP akan menyertai kempen Bebas Anwar 901 bagi menyatakan sokongan ke atas Ketua Umum Pakatan Rakyat (PR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan mengetahui keputusan kes liwatnya, Isnin depan.

Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali berkata, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang telah bersetuju untuk turut serta dalam perhimpunan itu.

Menurutnya, sokongan itu bukan sekadar menunjukkan sokongan kepada Anwar, malah sepakat bahawa sistem sedia ada perlu diubah termasuk sistem politik, ekonomi, kehakiman dan pendidikan.

"Kita jamin tiada insiden yang tidak baik berlaku pada 9 Januari nanti, melainkan ada pihak tidak bertangggungjawab yang sengaja memprovokasi.

"Perhimpunan besar-besaran itu bagi memastikan rakyat sentiasa bersama-sama PR pada pilihan raya umun akan datang," katanya pada sidang media selepas mesyuarat pimpinan PR di sini.

Sementara itu, Abdul Hadi berkata, sekiranya mahukan sistem pemerintahan yang adil, perubahan besar perlu digerakkan dengan bersungguh-sungguh.

"Kalau ia tidak berlaku, tidak akan wujud pilihan raya umun yang bersih dan adil yang mengikut amalan demokrasi yang telah diamalkan oleh negara-negara lain," katanya.

Dalam pada itu, Kit Siang pula mencadangkan supaya pelajar universiti diberi kuasa bagi menyatakan sebarang pandangan dan cadangan bagi menambahbaiki sistem pentadbiran negara.

"Sistem sedia ada mengekang pergerakan pelajar dan perlu diubah. Kita tidak mahu mereka menjadi mangsa keadaan.

"Jadi, bagi merealisasikan perubahan ini, DAP akan bersama-sama dan menyokong sebarang usaha termasuklah kempen untuk membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Isnin depan," katanya. -SH


Ulasan GB

Sehari demi sehari, kebenaran terdedah siapa itu Hassan Ali.

Setelah beliau "meludah" muka TG Nik Aziz dengan penafian memohon maaf di Kelantan sebelum ini, kini beliau meludah pula Presiden PAS sendiri.

Beliau lansung tidak layak untuk berada di dalam jemaah PAS.

Itu sebab GB katakan semakin dia dibiarkan, Hassan Ali semakin melampau.

Perhimpunan 901 Dibenarkan. Ayuh Jom Turun

Polis benar penyokong Anwar berhimpun di tempat lain

Polis membenarkan penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan perhimpunan Isnin ini, tetapi ia hendaklah diadakan di lokasi lain dan bukan di hadapan Kompleks Mahkamah, di Jalan Duta demi menjaga ketenteraman awam.

Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata pihak penganjur perlu bertemu dengan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh bagi membincangkan lokasi yang bersesuaian untuk mengadakan perhimpunan itu.

"Kami boleh benarkan perhimpunan itu dijalankan tetapi bukan di mahkamah. Mereka boleh berhimpun di tempat yang tidak mengganggu ketenteraman awam dan
kelancaran trafik.

"Walaupun undang-undang Akta Perhimpunan Aman 2011 belum digazetkan, kami sedia membenarkan penganjur meneruskan perhimpunan itu dengan syarat mereka membatalkan perhimpunan di hadapan mahkamah itu bagi menjaga kepentingan umum," katanya pada sidang media khas di Bukit Aman hari ini.

Beliau berkata jika nasihat untuk membatalkan perhimpunan itu tidak diendahkan,pihaknya bersedia untuk mengawal keadaan serta mengambil tindakan bersesuaian supaya tidak terjadi kekacauan dan juga tekanan kepada mahkamah.

Jika keadaan demonstrasi di luar kawalan, Ismail berkata polis akan menggunakan elemen penyuraian seperti penggunakan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), 'water cannon' dan gas pemedih mata sekiranya perhimpunan itu mengancam keselamatan awam.

"Saya menyeru orang ramai supaya tidak menyertai perhimpunan di hadapan mahkamah itu kerana dikhuatiri kedatangan mereka itu hanya akan mengganggu ketenteraman awam dan keselamatan negara dan mendatangkan ancaman kepada orang lain," katanya.

Beliau turut mengingatkan orang awam agar matang dan menghormati keputusan mahkamah dan sebarang tindakan yang menentang atau melawan keputusan mahkamah merupakan satu kesalahan di bawah Akta Hasutan.

Ismail berkata dalang-dalang perhimpunan itu kini dipantau dan polis sentiasa memantau keadaan terkini melalui laman siber dan media.

Beliau berkata pihak penganjur juga tidak sepatutnya menggunakan slogan 'Bebaskan Anwar' kerana ia seolah-olah membelakangkan mahkamah dan tidak menghormati sistem keadilan negara kerana keputusan belum dikeluarkan.

"Hormati keputusan mahkamah. Saluran rayuan sentiasa terbuka kepada mana-mana pihak yang terkilan dengan keputusan mahkamah dan bertindaklah dengan kematangan, bukan emosi seiring dengan amalan demokrasi dan budaya masyarakat Malaysia," katanya.

Sehingga hari ini, polis menerima 535 laporan daripada pelbagai pihak di seluruh negara kerana membantah perhimpunan itu yang dirancang diadakan Isnin ini. - Bernama


Pakatan Rakyat Selangor Akan Turun Beramai-ramai pada Jan 9

SHAH ALAM, 4 JAN : Pakatan Rakyat Selangor hari ini berikrar akan menggerakkan sebanyak mungkin anggota parti bagi perhimpunan Bebaskan Anwar 901 yang diadakan di hadapan kompleks mahkamah Jalan Duta minggu hadapan.

Perkara ini dinyatakan oleh ketiga-tiga ketua penerangan parti komponen Pakatan Rakyat, iaitu Shuhaimi Shafie (PKR), Jenice Lee (DAP) dan Saari Sungib (Pas) di dalam satu sidang media di sini hari ini.

"iIni adalah menjadi tanggungjawab PR dan pencinta keadilan untuk bersama-sama hadir bagi mendengar keputusan yang pastinya akan mengubah lanskap politik negara ini," ujar Shuhaimi.

Saari Sungib turut memberitahu bahawa PAS akan menggerakkan semaksimum mungkin ahli-ahli PAS untuk sama-sama berhimpun pada 9 Januari ini menyatakan sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Bagi kami perkara ini merupakan hak asasi rakyat untuk berhimpun secara aman yang dibenarkan oleh perlembagaan negara dan ini merupakan perkara biasa bagi mana-mana negara yang mengamalkan demokrasi.

"Perkara ini juga merupakan kesinambungan kepada usaha-usaha yang telah dilakukan oleh rakyat negara ini yang telah dilakukan pada tahun 1998 lagi pada peringkat pertama reformasi," ulas Saari.

Mahkamah akan menentukan samada Anwar bersalah atau dibebaskan daripada tuduhan meliwat bekas pembantunya Saiful Bukhari Azlan pada 9 Januari.

Jenice pula berpendapat keadaan akan menjadi terkawal seandainya polis menjalankan tanggungjawab sebagai anggota keselamatan.

Mengikut pengalaman sebelum ini seperti Bersih 2.0 pada 9 Julai, jelas kekecohan tidak dicetuskan oleh orang awam sebaliknya dilakukan oleh pihak tertentu, Jenice berkata. -tvsnews




Ulasan GB

GB pernah menyatakan begini:

Kita perlu membela "keadilan" untuk Anwar, bukan membela "Anwar" untuk keadilan.

Itu dua perkara yang berbeza.

Membela keadilan untuk Anwar ialah perjuangan kita untuk membetulkan sistem kehakiman negara yang pincang, melepaskan institusi kehikman daripada diperalat dan diperkudakan pihak berkuasa.

Masihkah Kau Ingat Kisah Sufiah Yusof?

Kuala Lumpur - Wanita genius matematik yang juga bekas pelajar Universiti Oxford, Sufiah Yusof, 23, menyesal dengan tindakannya terbabit pelacuran. Perkara itu didedahkan Pengarah Perancangan dan Strategi Kumpulan Penyokong dan Pengasuh Profesional Islam (Pisang), Hanafi Abdul Malek yang dihubungi Harian Metro, semalam. Untuk mengesahkan perkara itu, Hanafi berkata, pihaknya menghubungi pengurusan yang pernah menjadi ejen wanita itu menjual tubuh yang turut mengakui dia tidak lagi terbabit dengan kegiatan itu.

“Dia dah tak buat lagi kerja tu dan kini hanya aktif melakukan kerja amal. Melalui e-mel yang dihantar kepada saya kira-kira seminggu selepas Aidilfitri lalu, Sufiah kata dia betul-betul menyesal dengan perbuatan itu.

“Kami juga ada menghubungi agensi teman sosial yang menguruskan Sufiah dan mengesahkan mereka tidak dapat menghubunginya serta tidak tahu di mana dia berada,” katanya.

Kisah kehidupan Sufiah disiarkan akhbar News of the World keluaran 31 Mac lalu yang mendedahkan wanita yang dianugerah kepintaran semula jadi itu menawarkan khidmat seks melalui Internet dengan bayaran 130 paun Sterling (RM845) bagi satu sesi.

Wanita itu bertemu wakil akhbar terbabit yang menyamar sebagai pelanggan di laluan masuk ke fletnya dengan hanya memakai skirt pendek, but kulit dan baju-T.

Apabila wartawan itu berbual dengannya, Sufiah menyatakan dia masih belajar untuk mendapatkan ijazah sarjana dalam bidang ekonomi menerusi kursus separuh masa selama dua tahun di London.

Sufiah yang ibunya berasal dari Malaysia dan bapa dari Pakistan dilaporkan terpaksa menawarkan khidmat seks kerana kesempitan hidup. Dia dikatakan menjalani kehidupan di flet terbabit dengan menjual tubuhnya untuk membayar sewa.

Pembabitan wanita itu dalam pelacuran di Salford, Manchester, adalah tragedi hitam yang menimpa hidupnya sejak zaman kegemilangannya ketika dia bergambar dengan topi graduan di depan wartawan di luar Kolej St Hilda yang begitu berprestij.

Pendedahan akhbar itu berlaku serentak ketika bapanya, Farooq yang berasal dari Pakistan mula menjalani hukuman penjara kerana mencabul dua gadis berusia 15 tahun ketika memberi mereka tuisyen matematik.

Mengulas lanjut, Hanafi berkata, Sufiah kini lebih tenang selain senang dan gembira dengan rakyat negara ini yang mengambil berat mengenai dirinya. "Bagaimanapun melalui e-mel sama, dia jelaskan belum bersedia untuk bertemu keluarga, terutama ibunya (Halimaton Yusof).

“Sungguhpun begitu, saya gembira dengan perkembangan positif ditunjukkan Sufiah dan menasihatkannya supaya sentiasa ingat serta memohon pertolongan kepada Allah,” katanya. Kata Hanafi, rancangan untuk merawat Sufiah menggunakan kaedah Islam mungkin dapat dilaksanakan sekitar bulan depan. Ini kerana dia akan ke Belanda atas urusan kerja sebelum ke England untuk bertemu Sufiah. ~hm(3/12/2008)


LAPORAN SEBELUMNYA

Sufiah tak kesal jadi pelacur

LONDON: Seminggu selepas kisah hidupnya sebagai pelacur terbongkar, wanita pintar matematik, Sufiah Yusof, membuat satu lagi kejutan apabila mengakui tindakannya menjual tubuh memberinya kehidupan jauh lebih seronok dan glamor, berbanding kejayaannya memasuki Universiti Oxford pada usia 13 tahun.

Malah, Sufiah membuat pengakuan berani sebagai ‘wanita penuh berahi’ yang suka membaca kisah hidup dan watak pelacur dalam drama televisyen serta mampu menerima bayaran £1,000 (RM7,000) bagi setiap sesi perkhidmatannya atau pendapatan tahunan kira-kira £60,000 (RM420,000).

Anak ketiga daripada lima beradik itu juga mengakui masih trauma dan terus dihantui pengalaman peritnya ketika zaman kanak-kanak apabila didera bapanya, Farrooq Yusof, termasuk sehari suntuk belajar matematik di dalam bilik amat sejuk atas alasan dapat menambah daya ingatannya.

Sufiah, janda berusia 23 tahun, mendakwa hubungannya dengan keluarga kini semakin renggang.

“Saya tergamam dengan apa yang berlaku kepada ibu. Ya, saya ada menghubungi mereka, tetapi saya tidak mahu mengandaikan pandangan mereka terhadap kehidupan baru ini. Saya tidak rasa kesal langsung. Saya lebih yakin dengan tubuh ini serta pekerjaan saya,” katanya dalam temubual dengan wartawan tabloid, News of The World.

Sufiah memutuskan untuk membuat pengakuan itu selepas tabloid berkenaan sebelum ini mendedahkan kisah hidupnya yang melacur dengan mendapat bayaran kira-kira £130 (RM910) sejam.

Pendedahan tabloid berkenaan minggu lalu, menjadi perkembangan penuh tragik bagi Sufiah yang sebelum ini melalui kehidupan yang dipenuhi banyak peluang cerah, tetapi bertukar sebaliknya selepas melarikan diri dari universiti dan keluarga pada usia 15 tahun kerana tidak tahan dengan sikap buli bapanya.

Ibu Sufiah, Halimaton Yusof berasal dari Muar, Johor, bapanya, Farooq dari Pakistan. Bapanya kini menjalani hukuman penjara 18 bulan selepas didapati bersalah mencabul dua pelajar perempuan berusia 15 tahun ketika mengajar matematik di rumah mangsa.

Farooq juga pernah dipenjara tiga tahun pada 1992 kerana didapati bersalah dalam kes pemalsuan pembiayaan sewa beli. Halimaton kini dalam proses menuntut cerai dengan Farooq selepas berkongsi hidup lebih 30 tahun.

Kakak Sufiah, Aisha, 25, pula sudah berkahwin dan tinggal berasingan, manakala abangnya, Abraham, 26, serta dua adik, Iskander, 21, dan Zuleika, 14, tinggal dengan Halimaton.

Mengimbau detik pertamanya bertukar daripada pelajar pintar kepada pelacur, Sufiah berkata dia bekerja sebagai pembantu pentadbiran dengan pendapatan kira-kira £16,000 (RM112,000) setahun di Manchester, apabila dihampiri ketua agensi teman sosial yang menyebabkannya terjerumus ke kancah pelacuran.

Ketika itu, dia dihimpit hutang termasuk bebanan kad kredit kira-kira £3,500 (RM24,500).

Namun, Sufiah tanpa segan silu atau rasa kesal, yakin statusnya sebagai pekerja seks memberi jawapan kepada semua permasalahannya.

“Saya menjadikan pelanggan tidak keruan dengan membacakan formula matematik ketika kami berasmara. Pelanggan saya sukakan kemampuan saya kerana dapat merangsang minda dan badan mereka secara serentak.

“Saya tidak berasakan semua pendidikan yang diterima selama ini sia-sia. Malah, saya lazimnya membawa kertas tugasan yang perlu diselesaikan sebelum temu janji dengan pelanggan,” katanya.

Lapan tahun selepas mencipta nama sebagai pelajar pintar, Sufiah, dakwa tabloid itu, tidak menunjukkan sebarang kekesalan apabila memandang tinggi karier barunya sebagai pelacur.

“Ramai yang memandang rendah tugas sebagai teman sosial ini, tetapi saya tidak menganggapnya sedemikian. Lagi pun saya sememangnya mempunyai nafsu seks yang tinggi.

“Kini saya memperoleh semua seks yang saya ingini. Lelaki juga jauh lebih baik di ranjang dengan teman sosial berbanding teman wanita sendiri.

“Saya mempunyai pelanggan yang terpesona dengan keupayaan matematik saya. Malah, ada seorang pelanggan yang meminta saya membacakan kaedah matematik termasuk algebra ketika kami berasmara. Ia terbukti menjadikannya lebih seronok,” katanya.

Sufiah juga mendakwa pendapatannya tidak kurang hebat kerana memberinya wang yang lumayan.

“Ya, saya menikmati kehidupan yang baik dan mampu mengawalnya. Saya bencikan pandangan masyarakat yang stereotaip mengenai tugas sebagai teman sosial. Ia jauh berbeza daripada tanggapan salah mereka.

“Pelanggan saya juga tidak kurang hebatnya dan melayan saya seperti puteri. Ada seorang lelaki yang sering saya temui di London membelikan saya pakaian Gucci berharga £700 (RM4,900) dan membawa saya ke Selfridges untuk memilih apa juga beg tangan yang saya mahukan.

“Pada sebelah malam, kami makan malam bersama dan dia membawa saya pulang ke hotel. Saya berasa seperti (aktres) Julia Roberts dalam Pretty Woman.” -Agensi/BH (7/4/2008)


Ulasan GB

Sudah lama benar kita tidak mendengar khabar berita mengenai Sufiah Yusof dan GB paparkan kembali kisah tersebut sebagai renungan kita bersama.

Pendedahan hangat kisah pelajar cemerlang yang mengejutkan mutakhir ini melalui blog-blog (termasuk blog GB) ini bukanlah bertujuan untuk mengaibkan sesiapa terutamanya ahli keluarga pelajar berkenaan, tetapi kita tidak mahu perulangan kes Sufiah. Kita wajar mengambil iktibar dari kes itu sebelum Allah menurunkan "peringatan" kepada kita di dalam bentuk murkaNya.

GB nyatakan kekhuatiran itu kerana ia bakal mengundang kemurkaan Allah tersebut kerana apabila sesuatu kemungkaran itu berlaku maka bala Allah akan turun, tak mengira siapa yang akan terkena.

Kemurkaan Allah swt datang dengan pelbagai bentuk.

Firmanullah s.w.t.


Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan buruk mereka, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).
[Ar-Rum : 41]

Ummu Salamah Radiallahu `anha berkata: aku mendengar Rasulullah Salallahu `alaihi wa sallam bersabda:

“Apabila maksiat sudah merajalela di kalangan umatku, Allah akan menurunkan siksa dari sisi-Nya kepada mereka secara merata…” -HR. Ahmad dll. Hadith Sahih

SECARA MERATA bermaksud "yang tak berdosa" pun akan ditimpa bencana akibat perbuatan orang berdosa, kerana kelalaian dan keengganan orang yang tidak berdosa mencegah kemungkaran orang yang berbuat dosa.