13 Mac 2009

Plak Kerajaan Nizar Dibawah Pokok Dipecahkan

Terlalu besar phobia yang melanda manusia yang dengki dan sakit hati melihat Pokok Demokrasi yang menjadi tempat sidang tergempar Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada 24 Februari lalu.

Apatah lagi kini ia menjadi tumpuan para pelancong yang ingin mengabadikan kenangan mereka di bawah pokok itu.

Plak yang dipasang bagi mengingati 'pokok demokrasi' tiba-tiba menjadi mangsa perbuatan khianat golongan yang phobia tersebut setelah baru lima hari ianya dipasang.



Bagaimanapun bahagian utama plak tersebut yang menceritakan sidang DUN yang bersejarah tersebut tidak dirosakkan.

Edisi dalam talian China Press melaporkan bahawa tempat tersebut kini menjadi tumpuan orang ramai apabila mengetahui mengenai kejadian tersebut.

Speaker DUN V Sivakumar, yang turut ke situ pagi tadi, menyifatkan perbuatan tersebut sebagai "tidak bermoral".

Sementara itu, exco Pakatan, Ngeh Kor Ming berkata, Pakatan akan lancarkan kempen - seorang RM1 - untuk membina tugu baru yang mengandungi empat bahasa.

"Ini kerana ramai pelancong datang untuk melawat pokok demokrasi tersebut, menjadikannya tempat tarikan pelancongan terbaru.

"Pagi ini, tiga orang pelancong luar negara dari California, Australia dan Jerman, yang melawat tempat tersebut," katanya.



Hina Sultan: Enam Pengguna Internet Didakwa

Bahana kemelut politik Perak bukan sahaja menimpa nasib Dato Mohamad Nizar tetapi juga ke atas mereka yang telah menggunakan internet untuk menghina Sultan yang telah menitahkan Dato Seri Nizar meletakkan jawatannya.

Hari ini enam orang dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan menghina Sultan Perak Sultan Azlan Shah menerusi Internet. Seorang mengaku salah dan didenda RM10,000.

Ini adalah kali pertama kerajaan menggunakan Akta Komiunikasi dan Multimedia untuk bertindak ke atas pengguna Internet.

Kesemua enam orang itu mengutuk Sultan Azlan Shah atas peranannya dalam krisis dua Menteri Besar di Perak yang tercetus selepas Barisan Nasional melancarkan rampasan kuasa.

Sultan Azlan Shah tidak berkenaan untuk mengadakan pilihanraya bagi mengembalikan mandat kepada rakyat untuk memilih kerajaan negeri.

Baginda sebaliknya melantik Zambry Kadir dari UMNO sebagai Menteri Besar walaupun Nizar Jamaluddin dari Pakatan Rakyat masih Menteri Besar sah di sisi perlembagaan dan tidak meletak jawatan.

Di Kuala Lumpur, seorang pembantu makmal mengaku bersalah menghina Sultan Azlan Shah menerusi Internet dan didenda RM10,000.

Azrin Mohd Zain, 33, didakwa mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia kerana karyanya "mengandungi isu kandungan sumbang, lucah, palsu, mengancam atau jelik sifatnya dengan niat mengacau, mendera, menggugut atau mengganggu".

Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman denda maksima RM50,000 atau hukumen penjara setahun atau kedua-duanya sekali.

Jika gagal membayar denda tersebut, Azrin berdepan dengan hukuman penjara lima bulan.

Di mahkamah sama, Muslim Ahmad didakwa atas tuduhan serupa. Beliau bagaimanapun, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.

Muslim dibebaskan dengan ikatjamin RM3,000. Kesnya akan disebut pada 8 April.

Manakala di Mahkamah Sesyen Butterworth, dua orang dihadapkan di mahkamah atas tuduhan sama. Mereka ialah Chan Hon Keong dan Khoo Hui Shuang.

Di Sabah, seorang pemilik kedai telefon bimbit didakwa di Mahkamah Sesyen di Kota Kinabalu atas tuduhan memberi komen-komen dalam blog yang menjurus kepada perbuatan menghina Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

Dalam pendakwaan kira-kira jam 9 pagi itu, tertuduh, Rutinin Suhaimin, 35, yang berasal dari Kundasang, Ranau mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan.

Beliau dibenarkan ikat jamin RM10,000 dengan deposit RM5,000 bersama dua penjamin. Kes itu akan dibicarakan pada 25 dan 26 Mei depan.

Manakala di Petaling Jaya pula, seorang juru ukur tanah berusia, Nor Hisham Omar 36 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas tuduhan menghantar komen bersifat jelik melalui Internet untuk menghina Sultan Perak.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu pada pukul 12.34 tengah hari, 11 Februari lalu di No. 16-01-06, Blok 16 Pangsapuri Sri Indah, Taman Lestari Perdana, Sri Kembangan dekat sini.

Mahkamah membenarkan Nor Hisham yang diwakili peguam Edmund Bon dibebaskan dengan ikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin. Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 14 April ini.


Keputusan Rayuan Sivakumar Pulihkan Harapan Kerajaan Pimpinan Nizar

Keputusan Mahkamah Rayuan yang memutuskan bahawa Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V.Sivakumar boleh melantik peguamnya sendiri untuk mewakilinya dalam dua kes saman terhadapnya ekoran krisis kepimpinan di negeri itu telah dapat memulihkan harapan kerajaan Pakatan Rakyat di bawah pimpinan Dato Seri Nizar untuk berdepan dengan kemelut politik yang berlaku ekoran rampasan kuasa oleh UMNO-BN oleh Najib Tun Razak di Perak.

Hakim Datuk Md Raus Sharif, Datuk Abdull Hamid Embong dan Datuk Ahmad Maarop hari ini telah sebulat suara berpendapat bahawa tidak ada peruntukan undang-undang yang menyatakan Speaker harus diwakili oleh Penasihat Undang-Undang Negeri Perak Datuk Ahmad Kamal Md Shahid.

"Seorang Speaker bukan merupakan pegawai negeri atau kerajaan negeri. Sivakumar bebas melantik peguam pilihannya," kata Raus dalam keputusan lisannya semasa membenarkan rayuan Sivakumar untuk mengenepikan perintah Mahkamah Tinggi Ipoh bahawa hanya Penasihat Undang-Undang Negeri sahaja boleh mewakilinya.

Pada 3 dan 5 Mac lalu, Pesuruhjaya Kehakiman Ridwan Ibrahim enggan membenarkan peguam swasta mewakili Sivakumar.

Sivakumar kini berhadapan dengan kes saman. Yang pertama pada 2 Mac, dimana Menteri Besar lantikan UMNO, Datuk Dr Zambry Abd Kadir dan enam exconya telah memfailkan saman terhadapnya untuk menuntut perisytiharan bahawa keputusan Speaker menggantung dan menghalang mereka menghadiri persidangan DUN selama 18 bulan (Zambry) dan 12 bulan untuk ahli exco itu sebagai tidak sah.

Saman kedua dikemukakan terhadap Sivakumar oleh tiga Ahli DUN bebas Jamaluddin Md Radzi, Kapt.(B) Mohd Osman Jailu dan Hee Yit yang memohon mahkamah mengisytiharkan bahawa kerusi DUN masing-masing di Behrang, Changkat Jering dan Jelapang tidak kosong dan mereka masih sah sebagai wakil rakyat.

Tommy Thomas, yang mewakili defendan iaitu Sivakumar dan anggota DUN pembangkang yang terkejut dengan keengganan Pesuruhjaya Kehakiman Ridwan Ibrahim membenarkan peguam swasta mewakili Sivakumar sebelum ini turut hadir di mahkamah.

"Mereka membantah dengan menyatakan kami tidak mempunyai locus standi mewakili Sivakumar kerana Speaker adalah sebahagian daripada kerajaan dan hanya Peguam Negara atau peguam yang dilantik Peguam Negara boleh mewakili Speaker," katanya.

Tommy berkata Ridwan juga menolak hujah pihaknya bahawa akan berlaku konflik sekiranya penasihat undang-undang kerajaan negeri mewakili Speaker.

Ridwan juga, katanya, menolak permohonan mereka untuk menjadi peguam pemerhati dengan hak untuk mengemukakan hujah bagi pihak Speaker.

Dengan keputusan penal hakim di Mahkamah Rayuan hari ini, akan membolehkan Tommy Thomas mengetuai semula penal peguam yang akan mewakili Sivakumar. Selain Tommy, peguam lain yang turut mewakili Sivakumar termasuklah Can Kok Leong, Philip Koh Tong Ngee dan Augustine Antony.

Berita sebelum ini


Norza Menjadi Kambing Hitam Menjelang Pemilihan?

Ramai beranggapan bahawa Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan Datuk Mohamad Norza Zakaria telah dijadikan kambing hitam untuk memulihkan imej UMNO yang tercalar hebat mengenai isu rasuah yang melanda parti itu menjelang pemilihan UMNO akhir bulan ini.

Ini kerana jumlah aduan rasuah setakat November lalu sahaja ialah sebanyak 900 aduan dan Pengerusi Lembaga Disiplin Umno, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail telah menyifatkan rasuah pada pemilihan kali ini adalah yang paling serius.

Justeru itu ramai beranggapan adalah sesuatu yang tidak masuk akal dari kesekalian 900 aduan hanya seorang sahaja ahli majlis tertinggi yang didakwa. Norza adalah seorang rakan emas Khairy Jamaluddin.

Sebelum ini, sebuah blog, politica-net.blogspot.com, yang dipercayai dikendalikan oleh seorang ahli parti itu mendedahkan ada "orang besar" menghalang siasatan ke atas salah seorang calon Timbalan Presiden Umno yang dibabitkan dengan hampir 400 dakwaan rasuah.

Mohamad Norza, 43, hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas dua tuduhan rasuah bagi memenangi jawatan pada pemilihan parti akhir bulan ini.

Beliau yang juga anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno, didakwa melakukan perbuatan itu pada 6.30 petang di No 38, Pinggiran Tasik, Taman Bandar Temerloh, di sini, pada 20 Jan lepas.

Beliau didakwa secara rasuah telah memberikan kepada Khadri Musa melalui Halimi Kamaruzzaman suatu suapan iaitu wang tunai RM1,500 sebagai dorongan untuk diagihkan kepada anggota-anggota perwakilan yang boleh membantu mengundi beliau untuk memenangi jawatan sebagai anggota MT Umno.

Bagi tuduhan kedua, dia didakwa memberikan suatu suapan iaitu wang tunai RM1,900 kepada Mohammad Anuar Yunus, juga melalui Halimi Kamaruzzaman, untuk tujuan sama di tempat, waktu dan tarikh yang sama.

Beliau didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di bawah Seksyen 16(b)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, beliau boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, mana-mana lebih tinggi.

Ramai yang tertanya-tanya, apakah Norza seorang sahaja yang dikenakan tindakan pendakwaan sedangkan terdapat beratus-ratus lagi aduan yang melibat pemimpin-pemimpin kanan UMNO tidak lansung disentuh aduannya.

"Apakah yang lain itu besih belaka dengan alasan tidak ada bukti kukuh? Mustahil daripada 900 aduan cuma seornag sahaja ahli majlis tertinggi yang ada bukti kukuh melakukan rasuah," bentak seorang ahli UMNO.

Beliau beranggapan apa yang berlaku kini ialah politik cantas-mencantas diantara beberapa kumpulan di dalam UMNO dengan apa cara sekalipun untuk mempastikan golongan yang terpilih nanti bersesuaian dengan misi dan visi bakal Presiden UMNO.

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini dilaporkan berkata, jika orang yang menghulur rasuah menang dalam pemilihan Umno Mac ini, kerajaan Malaysia dan kerajaan negeri akan dipimpin oleh perasuah selepas Pilihanraya Umum ke 13 jika Barisan Nasional (BN) menang.

"Jika yang menang adalah orang yang menghulur rasuah maka Umno akan dipimpin oleh perasuah.

"Dan kerajaan Malaysia dan kerajaan negeri akan dipimpin oleh perasuah selepas Pilihanraya Umum ke 13 jika BM menang. Dan pemimpin jenis ini akan sauk duit kerajaan dan duit siapa sahaja yang berurusan dengan kerajaan," kata bekas Presiden Umno itu.



Pejabat peguam Nizar dipecahmasuk - 3 komputer hilang

Pejabat salah seorang peguam Menteri Besar Perak dari Pakatan Rakyat, Mohamad Hanipa Maiden yang terletak di Taman Sri Gombak dipecah masuk baru-baru ini dan membawa lari sebuah komputer riba dan dua buah komputer meja.

Turut dibawa lari adalah beberapa fail penting, kata Mohamad Hanipa Maiden kepada Siasah.

"Saya tidak dapat mengesyaki sesiapa tetapi tiga buah komputer yang mengandungi maklumat penting hilang di samping beberapa fail," kata Hanipa.

Hanipa adalah antara penal peguam untuk Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaludin dalam samannya terhadap MB perak dari BN, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir.

Seorang kakitangan Hanipa telah membuat laporan polis tentang kejadian itu.


laporan siasahdaily.blogspot.com

Ketua Pesuruhjaya SPRM Mesti Letak Jawatan

Keputusan Mahkamah rayuan yang sebulat suara memutuskan bahaw Speaker Dewan Undangan Negeri Perak berhak menggunakan peguam persendiriannya dengan sendiri menafikan kenyataan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Dato Seri Ahmad Said Hamdan yang sebelum ini berlagak pandai untuk mentafsirkan seseorang Speaker adalah "seorang penjawat awam."

Menurut Ahmad Said Hamdan, SPRM mempunyai kuasa menyiasat dakwaan salah laku Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V. Sivakumar berhubung tindakannya menggantung Menteri Besar, Datuk Dr. Zambry Abd. Kadir dan enam Exco kerajaan negeri daripada menghadiri sidang DUN.


“Speaker merupakan seorang pegawai awam. Jika beliau didapati menyalahgunakan kedudukan dan jawatannya, beliau juga tidak terlepas daripada melakukan kesalahan di bawah seksyen itu,” tambahnya.

Akibat daripada pendirian Ketua Pesuruhjaya SPRM itu V.Sivakumar telah disoalsiasat oleh SPRM sekurang-kurangnya sebanyak dua kali.

Sekalipun sebelum ini kami telah menyuarakan bantahan kami terhadap pendirian SPRM tersebut, tetapi oleh kerana keghairahan mereka untuk menunjukkan kuasa serta menjadi lembu-lembu kepada kerajaan UMNO-BN yang berkuasa, mereka melakukan tekanan ke atas Speaker Dewan Undangan Negeri Perak tersebut.

Kita telah menyatakan dengan tegas sebelum ini,


"SPRM tiada hak untuk mentafsir apa-apa istilah atau kalimat yang ada di dalam sebarang akta atau undang-undang. Ia hanya tugas judiciary selepas pihak legislatif membahas dan meluluskan sesuatu undang-undang."

Pencabulan SPRM terhadap bidangkuasa judiciary terlalu jelas dan terlalu besar kesannya terhadap proses keadilan yang kebenaran yang sepatutnya dijunjung tinggi oleh sebuah badan suruhanjaya yang telah dibentuk di Parlimen.

Justeru itu, kami dengan ini meminta supaya Ketua Pesuruhjaya SPRM, Dato Seri Ahmad Said Hamdan meletakkan jawatannya serta-merta kerana telah melakukan pengkhianatan terhadap bidang tugasnya dengan melangkaui batas bidangkuasa yang telah diberikan kepadanya untuk bertindak secara terpilih, menjustifikasikan perbuatan-perbuatan mereka yang jelas menyalahi undang-undang serta membelakangkan prinsip keadilan yang sepatutnya menjadi teras di dalam mengendalikan tugasnya.


Nizar Masih Ada harapan - Sivakumar Boleh Guna Peguam Sendiri

Mahkamah Rayuan hari ini memutuskan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V. Sivakumar boleh diwakili oleh peguam peribadi.

Panel tiga hakim memutuskan perkara itu selepas mendapati tiada peruntukan yang menyatakan Speaker mesti diwakili oleh penasihat undang-undang negeri kerana di bawah Akta Tatacara Kerajaan, Speaker bukan seorang pegawai kerajaan negeri.

Panel tiga hakim berkenaan ialah Datuk Md Raus Sharif, Datuk Abdull Hamid Embong dan Datuk Ahmad Ma’arop membuat keputusannya sebulat suara.

"Kami tidak menemui sebarang peruntukan di dalam undang-undang yang speaker mesti diwakili ole Penasihat Undang-undang negeri. Di bawah Akta Tatacara Kerajaan, seorang speaker bukan merupakan seorang penjawat awam atau seorang pegawai kerajaan negeri.

“Perayu adalah bebas untuk menggunakan khidmat peguam persendiriannya,” tegas hakim Raus yang membacakan keputusan tersebut.

Kelab Greenboc sebelum ini pernah mempertikaikan penghakiman Pesuruhjaya Kehakiman Ridwan Ibrahim di Mahkamah Tinggi Ipoh yang mengarahkan supaya Sivakumar diwakili oleh Penasihat Undang-undang Negeri Ahmad Kamal Md Shahid dan bukan oleh peguam peribadi beliau, Tommy Thomas, yang turut hadir di mahkamah. Hujjah kami menyamai dengan keputusan yang dikeluarkan oleh Penal hakim-hakim Mahkamah Rayuan yang membuat keputusannya hari ini yang menetapkan bahawa Sivakumar berhak menggunakan peguam Persendiriannya kerana beliau bukan seorang penjawat awam.

Sebelum ini Kelab Greenboc telah menyemak bahawa:

Artikel 132(3)(b) adalah jelas instruktif yang mengkategorikan bahawa “perkhidmatan awam tidak melibatkan” Speaker Parlimen dan juga Speaker dewan-dewan undangan negeri.

Keputusan Mahkamah Rayuan hari ini memberikan sedikit harapan untuk penyelesaian kemelut politik Perak yang berpanjangan serta harapan kepada kerajaan Pakatan Rakyat untuk kembali berkuasa di Perak. Ini adalah kemenangan pertama kerajaan Nizar di dalam mahkamah.

Keputusan Mahkamah rayuan hari ini juga akan membolehkan Tommy Thomas mengetuai semua penal peguam yang mewakili V.Sivakumar di dalam beberapa kes saman di Mahkamah Tinggi Ipoh. Tommy Thomas ialah seorang pakar perlembagaan dan seorang peguam yang terkenal di dalam kes-kes yang melibatkan perundangan dan perlembagaan.

Jika Sivakumar memenangi mana-mana kesnya samada sebagai plaintif atau defenden, kerajaan BN yang dipimpin oleh Zambry akan tercabar dan akan membolehkan Nizar kembali untuk menjadi Menteri Besar.

UMNO Sebuah Parti Yang Mengamalkan Rasuah

UMNO menerima tamparan hebat menjelang perhimpunan agongnya, dengan kebanyakan responden di dalam satu kajian melihat UMNO, sebuah parti politik terbesar di negara ini sebagai sebuah parti yang mengamalkan rasuah dan tidak memahami masalah rakyat akar-umbi.

Sejumlah 61 peratus dari 1,031 responden melihat "rasuah" merupakan masalah UMNO paling serius, sementara 13 peratus menyatakan "tidak memahami masalah rakyat" merupakan masalah kedua paling serius yang dihadapi oleh UMNO.

Ramai juga yang menyuarakan kebimbangan bahawa UMNO dipimpin oleh pemimpin yang lemah dan juga oleh "pengurus ekonomi yang lemah".

Penolakan pengundi Cina terhadap UMNO, kajian menunjukkan hanya 1 peratus dari responden berbangsa Cina meletakkan harapan untuk UMNO “terus memimpin negara”.

Hanya 3 peratus dari responden India menyatakan harapan yang serupa dan 19 peratus dari responden Melayu yang inginkan UMNO terus memimpin negara.

Keputusan yang serupa cuma 1 peratus respon Cina menyatakan mereka mengharapkan UMNO untuk membangunkan negara, namun tiada lansung yang mengharapkan Umno akan “mampu melaksanakan dan menemuhi janji-janjinya”.

Untuk pemilihan UMNO yang bakal berlansung, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Mukhriz Tun Mahathir dan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dianggap mempunyai peluang cerah untuk memenangi jawatan ditandingi masing-masing hujung bulan ini.

Muhyiddin bertanding jawatan Timbalan Presiden manakala Mukhriz saingi kerusi Ketua Pemuda dan Shahrizat pula mencabar Tan Sri Rafidah Aziz untuk kedudukan Ketua Wanita.

Dua calon lain bagi kerusi Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam memperoleh sokongan populariti 11 peratus manakala Tan Sri Muhammad Muhammad Taib pula tujuh peratus.

Ketiga-tiga mereka - yang mempunyai pengalaman memegang kerusi Naib Presiden, bertanding kerusi itu buat kali pertama.

Di kalangan responden Melayu pula Muhyiddin memperoleh 61 peratus sokongan berbanding 14 peratus dan lapan peratus bagi Mohd. Ali dan Muhammad.

Bagi jawatan Ketua Pemuda, Mukhriz dilihat sebagai calon paling popular dengan memperoleh 52 peratus sokongan berbanding 11 peratus masing-masing untuk Naib Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin dan bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Muhd. Khir Toyo. Di kalangan respon Melayu pula, 58% melihat Mukhriz sebagai calon paling popular, Khairy 20% dan Khir Toyo 15%.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan itu, Pengarah Eksekutif Merdeka Center, Ibrahim Suffian berkata, penemuan kajian kali ini menunjukkan masyarakat umum turut menunjukkan minat terhadap keputusan pemilihan pusat Umno.

"Mereka juga mempunyai pandangan mendalam tentang masalah yang dialami parti tetapi pada masa yang sama mengharapkan mereka yang dipilih kelak akan memenuhi kehendak ahli dan parti," katanya.

Kajian ini dikendalikan oleh Merdeka Center dengan kerjasama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Teresa Kok Saman Syed Hamid Bersama 3 Lagi

Laporan Bernama menyebut anggota Parlimen Seputeh Teresa Kok Suh Sim hari ini mengemukakan saman terhadap Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar dan tiga yang lain kerana mendakwa beliau ditangkap dan ditahan secara salah di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tahun lepas.

Kok memfailkan saman dan pernyataan tuntutan itu melalui Tetuan S.N. Nair & Partners di Pejabat Pendaftaran Mahkamah Tinggi di sini pada kira-kira pukul 8.40 pagi.

Selain Syed Hamid sebagai defendan pertama, Kok, selaku plaintif, turut menamakan Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan, DSP E Kim Tien dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan kedua, ketiga dan keempat.

Dalam tuntutan itu, Kok mendakwa pada pukul 11.15 malam, 12 Sept, 2008, defendan-defendan telah menangkapnya di pintu masuk kediaman beliau di Pearl Tower OG Heights di sini, secara paksa dan merbahaya, sebelum dibawa ke Balai Polis Wangsa Maju di mana beliau ditahan selama lebih dua jam tanpa diberi kebenaran untuk menghubungi saudara terdekat atau peguamnya.

Kok mendakwa pada pukul 2 pagi, 13 Sept, 2008, di Balai Polis Wangsa Maju, beliau telah dimaklumkan oleh defendan ketiga bahawa beliau ditahan di bawah seksyen 73(1) ISA 1960 atas alasan telah melibatkan diri dalam kegiatan yang boleh mencetuskan ketegangan dan pergaduhan antara kaum.

Selanjutnya Kok mendakwa beliau telah dihantar ke sebuah tempat penahanan rahsia dan ditahan di situ sehingga 19 Sept, 2008, tanpa dibicarakan.

Kok mendakwa alasan penangkapan dan penahanannya adalah tidak benar dan tidak berasas.

"Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Ismail Omar telah membuat kenyataan rasmi akhbar pada 19 Sept, 2008 yang diterbitkan di media bahawa plaintif telah dilepaskan tanpa syarat kerana 'the police was satisfied that she was not a threat to public order and security'.

"Disebabkan oleh kecuaian, sewenang-wenangnya dan secara semberono defendan-defendan dalam membuat tangkapan dan penahanan yang tidak sah, plaintif telah diletakkan di bawah tekanan mental yang teruk, kesakitan dan kesengsaraan akibat keracunan makanan, penafian yang tidak sah terhadap hak berperlembagaan," kata Kok dalam tuntutan itu.

Kok memohon mendapatkan gantirugi untuk tangkapan salah dan penahanan tidak sah, gantirugi kesakitan dan kesengsaraan, gantirugi untuk tekanan mental, gantirugi am dan khas dan relif-relif lain daripada mahkamah.

Video - Seloka TG Nik Aziz Dibawa Ke Batang Ai

Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Kawasan Batang Ai telah lama dipermainkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) dengan janji-janji dusta.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Terengganu merangkap Timbalan Ketua AMK Pusat, Cikgu Fariz Musa, berkata demikian ketika mengulas tinjauan beliau ke DUN tersebut baru-baru ini.

Menurut beliau, pengundi DUN Batang Ai telah sedar mereka telah tertipu dan berjanji akan membuat perubahan dalam pilihanraya kecil yang akan diadakan pada 7 April depan.

“Penerimaan orang (Batang Ai) terhadap kita sudah berbeza, kalau tujuh, lapan tahun dulu kita pergi, kita akan dihalau, tapi kini, mereka menerima dengan baik,”katanya yang juga Timbalan AMK Malaysia.

Beliau berkata PKR akan menggunakan isu-isu tempatan berkaitan pembangunan dan janji dusta BN sebagai bahan kempen sepanjang PRK Batang Ai.

“Isu-isu tempatan, terutama sekali janji-jani yang dibuat oleh BN yang tidak ditunaikan, contohnya (pembinaan) jalan utama dari Lubuk Antu ke Batang Ai, sehingga sekarang sudah 28 tahun masih tidak siap, masih dalam keadaan berbatu-batu,”ujarnya ketika ditemui, Buletinonline, disini semalam.

Katanya ramai penduduk DUN Batang Ai yang masih bergelap kerana tidak mendapat bekalan elektrik dan juga mandi air telaga kerana belum mendapat bekalan air bersih.

“Menteri-menteri BN juga yang datang sebelum ini pernah berjanji, antaranya Menteri Pelajaran, Dato’ Hishamudin pernah berjanji akan mendirikan bangunan sekolah tiga tingkat, sehingga kini, sekeping bata pun tak ada,”tambah Fariz

Katanya, potensi Pakatan Rakyat yang akan diwakili PKR untuk menang amat cerah sekiranya BN tidak menggunakan tipu helah dan politik wang (rasuah) dalam PRK itu.

Justeru, seloka tersohor ungkapan Mursyidul Am PAS Dato’ Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat menjadi azimat bagi menyedarkan pengundi supaya tidak lagi termakan dengan tawaran BN dalam kempen PRK nanti.

“Bagi gula, kacau - bagi kain, pakai - bagi duit, ambik, tapi bila pangkah, pangkah PKR,”kata Fariz ketika berceramah di rumah panjang Kampung Nga, Tutung, Batang Ai, pada 8hb, Mac lalu.

Seramai lebih 150 orang keluarga besar rumah panjang tersebut, yang diketuai oleh Entrong anak Bayang, hadir mendengar ceramah pada malam itu.

Turut menyampaikan ceramah adalah Ketua AMK Malaysia, Shamsul Iskandar dan Ketua AMK Sarawak, Rahmat Aidil bin Latip.

buletinonline



Tabung Altantuya Dilancarkan Di Bangkok

Sekumpulan wartawan di Bangkok menubuhkan Yayasan Altantuya bagi membantu menyara ayah dan dua anak warga Mongolia itu yang dibunuh secara kejam di Malaysia.

Yayasan berkenaan akan di selaraskan oleh Arnaud Dubus, wartawan akhbar Liberation yang mendedahkan hubung kait Najib Razak dan isterinya Rosmah dengan kes pembunuhan Altantuya Shaaribuu pada tahun 2006.

Arnaud berkata ayah Altantuya tidak mampu menyara dua cucunya itu yang berusia lima tahun dan 12 tahun.

“Apabila saya saya menemui Encik Shaaribuu di Ulan Bator Januari lalu, beliau memberitahu sudah dua tahun dia tidak membeli pakaian kerana tidak mampu,” kata Arnaud dalam e-mail kepada beberapa wartawan di Malaysia.

“Orang berusia enam puluh tahun ini terpaksa memegang dua pekerjaan untuk menyara dua cucunya yang kini yatim piatu,” tambah Arnaud. “Saya seorang wartawan tetapi saya juga berperikemanusiaan dan saya amat kesian melihat keadaan keluarga Shaaribuu,” kata Dubus.

Dubus telah ke Ulan Bator, Kuala Lumpur dan Paris untuk mengesahkan latar belakang yang membawa kepada pembunuhan ngeri Altantuya.

Siasatan beliau mendapati Najib pernah ke Paris pada tahun 2005 dan menemui Altantuya dan pasangannya Abdul Razak Baginda di sebuah kelab serta telah bergambar dengan mereka.

Razak adalah antara sekutu kuat Najib yang dikatakan mengurus transaksi membabitkan kontrak Kementerian Pertahanan di bawah naungan Timbalan Perdana Menteri itu.

Najib selama ini nafi mengenali Altantuya.

Rosmah pula, menurut laporan akhbar Liberation, dikaitkan dengan kes itu kerana membantah pembayaran komisyen kepada Altantuya untuk kontrak pembelian kapal selam oleh Malaysia.

Selepas bantahan Rosmah itu, keputusan dibuat untuk bertindak terhadap Altantuya kerana terus warga Mongolia itu terus mendesak Razak Baginda memberikannya komisyen USD500,000, akhbar Liberation melaporkan.

Dalam e-mailnya, Dubus berkata kedutaan Mongolia di Bangkok merestui penubuhan Yayasan Altantuya dan bersetuju mengelolakannya.

“Semua derma yang dikutip menerusi Yayasan Altantuya akan diserahkan kepada kedutaan yang akan menyalurkannya terus kepada keluarga Sharibuu,” kata Dubus.

Antara yang pertama menghulur sumbangan ialah Danthong Breen, seorang aktivis hak asasi manusia di Thailand.

Dubus berkata setiap derma,walaupun kecil, akan memberi makna amat besar kepada keluarga mendiang Altantuya.

“Sumbangan ini juga mampu mencerminkan sokongan sejagat daripada pelbagai negara terhadap keluarga mangsa yang dibunuh dengan begitu kejam pada usia 28 tahun,” kata Dubus.

TVANTARA

PPSMI - Gara-gara Pengkhianat Bangsa dan Bahasa

Ramai juga Melayu yang sokong bahasa Melayu dihapuskan perlahan-lahan melalui projek PPSMI, dengan memberi alasan bahasa Inggeris adalah bahasa dunia yang akan memberi pekerjaan kepada anak-anak kita nanti. Mereka berhujah seperti tabiat katak puru bahawa tanpa kefasihan berbahasa Inggeris, siswazah tidak akan dapat kerja dalam semua organisasi swasta yang mengutamakan bahasa Inggeris dan Mandarin. Mereka bercakap seolah-olah tiap organisasi yang hendakkan bahasa Inggeris itu perlukan 30-40,00 pekerja yang semuanya mesti fasih berbahasa Inggeris. Mengapa mereka tidak sebut para ahli Dewan Rakyat bercakap Melayu seperti orang kelemasan, tidak saja tidak fasih, tetapi biadab pula hingga terpaksa ditegur oleh Agong.

Tapi kita perhatikan Dewan Rakyat sekarang sudah mula menggunakan bahasa Inggeris, hatta oleh Speaker sendiri. Tak perlu sebut “dengan izin” lagi. Sudah bebas betul. Adakah ini gara-gara projek PPSMI? Kata mereka, dengan mengukuhkan PPSMI di sekolah-sekolah, bahasa Melayu tidak diketepikan, hanya tidak dijadikan bahasa matematik dan sains. Bahasa Melayu terus diajar dan terus dipertuturkan di rumah dan di sekolah, oleh itu tidak ada sebab PPSMI mesti dihapuskan. Pandangan cetek dan bodoh begini begitu yakin diucapkan, begitu membanggakan, walaupun setelah 51 tahun lebih merdeka, membuktikan betapa kuatnya pengaruh kolonial dalam cara berfikir.

Mereka yang berpandangan begini hanya mementingkan keperluan jangka pendek diri sendiri (misalnya alasan untuk senang dapat kerja), tetapi langsung tidak memberi perhatian kepada akibat jangka panjang apabila bahasa Melayu diketepikan sebagai bahasa ilmu. Mengapa bahasa Melayu diperlekehkan begitu rupa? Sebab pertama ialah tidak ada kepercayaan kepada kemampuan bahasa Melayu menjadi bahasa ilmu. Ini pandangan orang yang agak fasih berbahasa Inggeris, tetapi bukan golongan berilmu. Silapnya ialah merekalah yang diberi kuasa dan yang membuat dasar. Sebab kedua, pakar-pakar yang telah dihasilkan melalui bahasa Melayu selama 40-50 tahun ini dianggap sangat lekeh, masih bergantung pada bahasa Inggeris dan akan lumpuh sebagai ahli matematik dan ahli sains jika tidak kerana bahasa Inggeris.

Penghinaan ini dilakukan oleh golongan pertama tadi, yang berasa sudah ketinggalan kerana bahasa ilmu dalam bahasa Melayu berada di luar kemampuan mereka untuk difahami. Ketiga, dan paling penting, ahli politik yang berkuasa lebih 51 tahun di kalangan UMNO/BN melihat lubuk kekayaan yang melimpah ruah jika bahasa Inggeris dijadikan bahasa pendidikan moden. Mereka memperdagangkan bahasa Inggeris, dan sekali gus mengetepikan bahasa Melayu. Yang perlu diberi perhatian di sini ialah hakikat bahawa mereka memang mengetepikan bahasa Melayu yang dianggap menghalang mereka daripada mendapat kekayaan melalui perdagangan pendidikan itu.

Siapa mahu belajar bahasa Melayu di Malaysia? Tetapi pelajar seluruh dunia akan tertumpu ke Malaysia jika bahasa Inggeris dijadikan bahasa pengantar. Sekarang orang Melayu harus faham bahawa mereka telah ditipu oleh para pemimpin mereka, ahli-ahli politik yang seronok bercakap tentang masa depan bangsa dan bahasa Melayu, tetapi perbuatan mereka menuju kepada terhapusnya bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Ini satu pengkhianatan, dan ini mesti difahami oleh orang Melayu/Malaysia. Kita harus memanggil mereka pengkhianat kerana pada dasarnya mereka adalah berjiwa pengkhianat. Tidak saja mereka pengkhianat, tetapi cara mereka mengaut keuntungan daripada perdagangan bahasa Inggeris itu terlalu kasar dan biadab.

Jika tujuan mereka untuk mencerdikkan bangsa Melayu, mengapa tidak boleh dibuat dengan meningkatkan mutu bahasa itu sebagai bahasa ilmu? Mengapa mesti digantikan dengan bahasa Inggeris? Jika mereka ingin menjadikan matematik dan sains sebagai asas pembinaan tamadun Malaysia, mengapa mesti melalui bahasa Inggeris, tidak bahasa Melayu? Inilah kekeliruan mereka yang lahir dari jiwa mereka yang memang memperlekehkan bahasa Melayu. Inilah bukti bahawa mereka sebenarnya hanya berminat mendapat kekayaan kebendaan, bukan membina tamadun. Sebab itulah mereka mesti disebut dan dianggap sebagai pengkhianat.

Sekarang pengkhianat ini melemparkan semua jenis kejahatan kepada pejuang bahasa, dengan tuduhan paling keji bahawa para pejuang itu tak lebih daripada alat pembangkang untuk mencapai cita-cita politik mereka. Satu lagi jenis perlekehan para pengkhianat ini terhadap sesiapa juga yang tidak bersetuju dengan mereka dan menentang mereka. Mengapa orang Melayu melahirkan dan membiarkan hidup pemimpin seperti ini? Semuanya kerana kekeliruan mereka terhadap peranan sebenar UMNO. Orang Melayu tidak diajar untuk membezakan antara “perunding” kemerdekaan, iaitu peranan UMNO dan para pemimpinnya yang ditaja oleh Inggeris (tegasnya: UMNO adalah tajaan penjajah Inggeris), dengan “pejuang” kemerdekaan yang sebenarnya.

UMNO telah berjaya menghapuskan nama-nama penting pejuang kemerdekaan dalam sejarah Malaysia, dengan mendakwa merekalah “pejuang” sebenar yang telah pun berjaya mendapatkan “kemerdekaan” daripada Inggeris tanpa tumpah setitik darah. Satu kejayaan besar dan satu keistimewaan, kata mereka. Mereka lupa pembunuhan terjadi selepas merdeka, hasil hasutan mereka setelah diketepikan dalam pilihan raya 1969. Sekarang mereka menunggu 13 Mei II untuk membuang dasar PPSMI ke Lautan China yang mereka harap akan terjadi untuk memastikan mereka terus berkuasa.

Segala ucapan mereka pada waktu ini semuanya terarah untuk menimbulkan huru-hara, penuh amaran dan fitnah untuk menyediakan suasana yang membolehkan mereka mencetuskan huru-hara. Ada yang sampai melanggar Dewan Rakyat untuk menunjukkan kehebatan mereka. Sanggupkah orang Melayu berbunuhan kerana PPSMI? Nampaknya mereka disediakan oleh para pengkhianat ini untuk menuju ke arah itu. (9/3/2009)

Mohd Affandi Hassan

(* Mohd Affandi Hassan ialah sasterawan, pengkritik sastera dan pemikir budaya yang banyak menghasilkan novel, cerpen dan artikel yang berkaitan budaya dan sastera Melayu. Beliau juga pesara PTD dan bekas pegawai tinggi dalam beberapa kementerian yang lantang menyuarakan pandangan dari kritikan yang bernas.)

prima

Sial Penyapu Menghambat Khir Toyo Sampai Ke Lubang Cacing

Lepas satu satu terdedah, sehingga akhirnya Khir Toyo hilang kewarasannya apabila mantan menteri besar Selangor itu menarik janggut Adun Hulu Klang, Saari Sungib sambil memberi amaran keras supaya jangan membabitkan isterinya dalam isu pembelian dua kereta Mercedes dan sebuah Range Rover.

Khir Toyo mengugut tidak akan memaafkan Shaari jika isterinya mengalami keguguran kononnya akibat tekanan daripada isu berkenaan.

“Pada mulanya saya ingat ia satu teguran biasa, tetapi nadanya semakin serius dan beremosi. Saya tidak takut dan akan meneruskan pendedahan apa juga penyelewengan yang berlaku semasa pentadbiran kerajaan yang lalu,” kata Shaari ketika ditemui.

Shaari membuat pendedahan itu ketika membahaskan titah ucapan Sultan Selangor dengan merujuk kepada pelbagai penyelewengan dan salah guna kuasa oleh Khir Toyo ketika menjadi Menteri Besar.

Umpamanya langkah KDEB membeli kereta Mercedes berharga RM1.5 juta untuk Khir Toyo dan RM900 ribu untuk Presiden syarikat beberapa bulan sebelum pilihan raya umum Mac tahun lalu.

KDEB seterusnya menjelaskan RM1 juta untuk kedua-dua kereta berkenaan kepada agen Cycle & Carriage, tetapi anak syarikat kerajaan negeri itu tidak menerima kereta berkenaan sehingga sekarang.

Shaari seterusnya mendedahkan KDEB merestui pembelian sebuah kereta Range Rover berharga RM500 ribu menerusi syarikat Cekal Tulin. KDEB memiliki 51 peratus ekuiti Cekal Tulin.

Saari berkata kereta mewah itu dibeli untuk kegunaan syarikat, tetapi kenderaan itu diserahkan kepada isteri Khir Toyo Datin Seri Zaharah Kechik untuk digunakan.

Sementara itu Dewan Undangan Negeri Selangor diberitahu kerajaan BN yang lalu membelanjakan hampir RM350,000 untuk Khir Toyo melakukan lawatan ke luar negara.

Semua tempahan penerbangan Khir Toyo ke destinasi seperti London, Los Angeles, Venice dan Amsterdam dimonopoli oleh syarikat Green Adventure Holiday, kata Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim menjawab pertanyaan Azmin Ali (Bukit Antarabangsa).

Azmin berkata selain menguruskan 21 lawatan Khir Toyo ke luar negara, Green Adventure turut diberi keistimewaan untuk memberi khidmat sama kepada barisan exco BN serta kakitangan anak syarikat negeri.

Azmin mendakwa keluarga Khir Toyo mempunyai kepentingan dalam syarikat Green Adventure.

Beliau menggesa Jawatankuasa Khas Mengenai Akauntabiliti, Ketelusan dan Kompetensi (Selcat) menjalankan siasatan terhadap mantan Menteri Besar itu .

Tan Sri Khalid berkata lawatan luar negara Khir Toyo antara September 2001 hingga Januari 2008 menanggung penggunaan dana awam RM349,134, tidak termasuk kos makan minum dan penginapan.

Beliau berkata kerajaan negeri Pakatan Rakyat telah melantik Tourism Selangor Sdn Bhd untuk mengendalikan segala urusan perjalanan kerajaan negeri manakala khidmat ejen bebas digunakan dalam keadaan tertentu untuk mengelak urusan berkenaan dimonopoli oleh satu pihak.

"Kebanyakan Exco kerajaan negeri lebih berminat membeli tiket penerbangan mereka secara terus melalui internet, terutamanya Air Asia memandangkan kos yang tinggi terpaksa dibelanjakan jika pembelian dibuat melalui ejen," Tan Sri Khalid.