24 Jul 2013

Rasuah BN Terang-terangan Di Bulan Ramadhan: SPR Merestuinya?


Pengundi dilihat beratur ambil duit rumah ketua kpg

Pengundi telah dilihat beratur untuk mendapatkan wang tunai di luar rumah sekurang-kurangnya dua ketua kampung di Kuala Besut hari ini, kononnya untuk elaun perjalanan mereka.

Mereka dilihat di kediaman ketua kampung Lay Out dalam daerah mengundi Tok Saboh dan kediaman ketua kampung di kampung yang berdekatan.

Malaysiakini tidak menyiarkan nama kampung tersebut sementara menunggu untuk mendapatkan komen.

Menurut beberapa pengundi yang ditemui Malaysiakini berhampiran pusat mengundi di SK Kampung Nangka dan di luar rumah ketua kampung itu - kebanyakan mereka enggan dinamakan - wang itu untuk pengundi yang pulang dari luar untuk mengundi.

Jumlahnya ialah antara RM50 bagi mereka yang pulang dari Kota Baru, sehingga RM200 bagi mereka yang pulang dari Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, apabila diminta untuk mengesahkannya, seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai ketua kampung Lay Out, 'Rajees' menjawab, "Saya jutawan di sini. Saya boleh memberikan wang kepada sesiapa sahaja yang saya suka."

Ketika ditanya mengapa pengagihan wang itu dibuat serentak dengan hari pengundian pilihan raya kecil Kuala Besut, beliau mendakwa wang itu untuk duit raya.

Beliau menambah bahawa borang-borang yang dikemukakan oleh pengundi bagi menuntut elaun itu adalah bagi tujuan pengauditan.

Beliau enggan memberitahu nama penuhnya atau membenarkan gambar diambil di rumah, di mana kira-kira 50 orang beratur untuk menuntut wang mereka, dengan bendera BN dan menghias pintu pagar.

Sementara itu, seorang penduduk tempatan yang ditemui berhampiran rumah Rajees, yang ingin dikenali hanya sebagai 'Rizal', berkata wang itu adalah untuk elaun perjalanan dan perkara yang sama berlaku semasa pilihan raya umum lepas.

Keadaan yang sama juga dilihat di kediaman ketua kampung lain pada sekitar tengah hari, di mana Malaysiakini ternampak seorang kerani menyerahkan RM200 kepada pengundi manakala yang lain beratur menunggu giliran mereka.

Bagaimanapun, seorang penduduk kampung kemudiannya meminta wartawan Malaysiakini supaya beredar dari situ.

Malaysiakini tidak dapat memperolehi jawapan konkrit dari penerima wang tersebut sama ada penyokong parti politik tertentu sahaja yang menerima wang tersebut.

Menurut seorang daripada mereka - seorang pemuda dari Kuala Lumpur yang hanya mahu dikenali sebagai Hilmi - dia dihubungi melalui telefon sebelum hari mengundi dan di masukkan ke dalam senarai nama. Dia juga ditemui berhampiran rumah Rajee. -mk

[VIDEO & GAMBAR] Siaran Lansung: Pengundian PRK Kuala Besut Bermula -updated


Selepas 12 hari masa berkempen, hari ini pemilih di Kuala Besut akan menentukan, antara dua 'anak kampung' BN dan PAS, siapakah yang akan menjadi pilihan mereka untuk ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu.

Nasib calon BN Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman, seorang jurutera dan calon PAS, ahli perniagaan, hari ini akan ditentukan oleh 17,713 pemilih di kawasan berjiran dengan negeri Kelantan itu.

Jika Tengku Zaihan memang, status quo akan kekal.

Bagaimanapun, jika keadaan sebaliknya, situasi baru yang tidak pernah terjadi akan disaksikan apabila BN dan Pakatan Rakyat masing-masing mempunyai kerusi sama banyak dalam DUN.

Keadaan itu, oleh kerana tidak pernah berlaku dalam sejarah Malaysia, membolehkan segala kemungkinan.

Peti undi dibuka pada jam 8 pagi. Keputusan paling awal akan diketahui pada jam 10 malam ini, selepas umat Islam selesai menunaikan solat tarawih.

Berikut laporan langsung oleh wartawan Malaysiakini di lapangan:

5.27pm: Seramai 13,188 pengundi atau 79.76 peratus keluar mengundi pada PRK Kuala Besut

5pm: Baki tujuh pusat mengundi telah ditutup.

Sementara itu kira-kira 100 orang penyokong dan perayu undi PAS berhimpun berdekatan sekolah kebangsaan Kg Baharu sambil membaca doa dan melaung takbir beberapa kali.

Petugas parti PAS memberitahu Malaysiakini bahawa calon parti itu mendahului dengan majoriti lebih 100 undi di peti undi Kg Baharu yang mempunyai kira-kira 2,400 pengundi.

Malaysiakini juga difahamkan bahawa BN menang di pusat mengundi Pulau Perhentian.

4.40pm: Menjelang 20 minit Sekolah Kebangsaan Nail, Sekolah Kebangsaan Alor Peroi dan Sekolah kebangsaan Kampung Nangka, hanya perayu undi PAS sahaja yang masih terus merayu undi berdekatan pondok panas mereka.

Sementara sekumpulan Wanita Umno dilihat masih merayu di Sekolah Keb Alor Peroi.

Mereka dilihat dalam keletihan dan hanya sekadar mengibarkan poster calon kepada kenderaan yang lalu lalang di situ.

4.15pm: Suasana pengundian semakin lembab di pusat mengundi di SK Kuala Besut dan SMK Kuala Besut.

Di kedua-dua sekolah, hanya tinggal sekumpulan perayu undi PAS sahaja yang masih giat menjalankan tugas mereka.

Manakala perayu undi BN tidak kelihatan kecuali beberapa orang dalam pondok panas berhampiran.

Turut hadir di situ 'Aunty Mei' turut berkempen untuk calon PAS Che Long sambil memegang banting calon PAS.

"Saya sudah sampai empat hari. Tinggal bersama Muslimat PAS. Saya naik bas datang sini seorang diri," katanya

3pm: Setakat ini, seramai 12,207 orang (73.93 peratus) telah membuang undi. Jumlah keseluruhan, termasuk undi awal sebanyak 911, menjadikan seramai 13,127 orang (74.24 peratus) keluar mengundi.

Sementara itu, Pusat pengundian Pulau Perhentian ditutup. Pulau Perhentian merupakan satu daripada lapan daerah mengundi di DUN Kuala Besut. 1:00pm: Setakat jam 1 petang, jumlah keluar mengundi sebanyak 10,160 orang (61.45 peratus), termasuk undi awal 911, sebanyak 11,072 (62.61 peratus)

Sementara itu, di SK Kampung Baharu I, di luar pusat mengundi itu, masih ramai lagi penyokong PAS berbaris di kiri dan kanan jalan raya untuk merayu undi.

Penyokong BN pula kini kebanyakkan berada di pondok panas.

Di pusat mengundi SK Kampung Nangka, kedua-dua penyokong tidak lagi merayu undi berbanding gelagat mereka di sebelah pagi. Sebaliknya, hampir keseluruhannya bersurai, mungkin keletihan memandangkan bulan Ramadan.

12.30pm Menurut seorang pegawai SPR, peratus keluar mengundi setakat jam 12 tengah hari, seramai 9,022 pengundi atau 54.57 peratus sudah keluar mengundi.

11.50am Setakat jam 11 pagi, seramai 7,356 orang (44.49 peratus) sudah keluar mengundi.

Jika dicampur undi awal, jumlah keseluruhannya 8,268 (46.76 peratus).

10.45am Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata jumlah keluar mengundi setakat jam 10 pagi cukup tinggi.

"Saya harap ia berterusan," katanya dalam sidang media.

10.30am: SK Nail - 'Kempen sihat' kelihatan di Kampung Nail apabila terdapat penyokong PAS mengambil peluang bergambar dengan calon BN Tengku Zaihan.

"Saya tiada masalah, ini kempen sihat," kata seorang penyokong PAS dari Dungun yang enggan dinamakan.

10.20 am - Peratus keluar mengundi setakat ini sebanyak 31 peratus atau 6,039 orang

10.00 am - Sehingga pukul 9 pagi, jumlah keluar mengundi ialah seramai 2,406 atau 15 peratus.

9.48am: Jeti Kuala Besut - Ketika suasana di pusat pengundian makin panas, sekitar kawasan jeti masih kekal tenang. Orang ramai kelihatan kurang berbanding hari-hari lain.

Pelancong seperti biasa bersarapan dan bersedian menaiki feri ke Pulau Perhentian.

Sementara itu, laman Facebook rasmi pilihan raya kecil Kuala Besut PAS melaporkan, Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat juga turun melawat di unit peti undi Kg Nangka sebentar tadi.

9.15 amMalaysiakini melaporkan: Pemilih enggan kerusi roda disorong MB.

Ahmad Said cuba membantu menyorong seorang warga emas yang berkerusi roda memasuki pusat mengundi tetapi dibantah oleh seorang penyokong parti, menyebabkan perselisihan kecil.

Akhirnya, setelah ditenangkan, Ahmad membatalkan hasratnya itu dan memasuki kawasan sekolah itu. Warga emas kemudian disorong oleh individu lain.

Di SK Kg Nangka - Calon PAS Che Long beredar daripada pusat pengundian itu, selepas 20 minit meluangkan masa membuat lawatan di situ dan beramah mesra dengan pengundi.

Tidak berapa lama kemudian, menteri besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said turut beredar daripada pusat pengundian itu.

Sementara kedua-dua penyokong berbaris di luar kawasan sekolah di tepi jalan sambil memegang dan menunjukkan poster calon masing-masing kepada pengundi yang berjalan ke pusat pengundian dan kenderaan yang lalu lalang di situ.

Sementara itu, di SM Kuala Besut, Naib Ketua Wanita MCA Heng Seai yang berdiri di depan sekolah itu berkata, perjalanan hari mengundi setakat ini nampak aman dan harmoni.

"Walaupun mereka daripada parti yang berbeza, tetapi mereka saling mengenali antara satu sama lain, ini budaya yang sangat berbeza," katanya.

Terdapat 148 pengundi Cina di Kuala Besut, tidak sampai 1 peratus daripada jumlah pemilih keseluruhan.

Seramai 114 daripada mereka akan mengundi di Sebarang Barat dan selebihnya di Bukit Puteri.

9.08am: SMK Kuala Besut - Beberapa penyokong PAS memasuki kawasan kawasan 50 meter dekat pusat pembuangan undi yang tidak dibenarkan tetapi tiada pihak yang tampil memberhentikan mereka setakat ini.

Penyokong PAS mula mempamerkan kain rentang dan plakad di kedua-dua tepi jalan di hadapan sekolah bagi merayu undi.

8.50am: SK Kg Baharu - Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said tiba di pusat pengundian itu tetapi disambut dengan laungan takbir oleh majoriti penyokong PAS.

Bagaimanapun beliau hanya mampu tersenyum. Manakala laungan "Hidup BN" oleh penyokong BN tenggelam laungan takbir penyokong PAS.

"Setakat ini saya berpuas hati perjalanan pilihan raya. Semuanya aman dan saya berharap ia berterusan sehingga pusat pengundian ditutup.

"Saya berharap penyokong kedua-dua pihak tidak mencetuskan provokasi.

"Insya-Allah, BN mampu mempertahankan DUN Kuala Besut," katanya ketika ditemui pemberita diluar pusat mengundi.

8.25am SK Kg Baharu - Pengurus kempen kepada calon PAS mengakui hari ini merupakan pertarungan sengit antara Azlan dan calon BN Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman.

"Hari ini kita akan mendapat undi PAS dan undi Che Long (daripada pengundi). Dapat dua undi. Kalau ada penipuan, itu yang menyebabkan kita jatuh.

"Rakyat teruja dengan Che Long kerana beliau sangat friendly, kebaikan dan kemurahan hati yang terjalin sebelum itu.

"Sentimen politik itu tak ada dengan rakyat di sini. Semua orang didampingi oleh Che Long mungkin kerana dia seorang kontraktor," kata Hanafiah yang ditemui Malaysiakini di luar sekolah.

8.20am: SMK Kuala Besut - Tengku Zaihan, calon BN tiba untuk membuang undi ditemani isteri berpakaian baju Melayu merah.

Menariknya, beliau menunaikan kertas undi ketika mengundi, yang menunjukkan beliau memangkah diri sendiri.

"Saya nasihatkan pemilih keluar mengundi seawal mungkin untuk terus memangkah BN," katanya.

8:15am: SK Kampung Baharu - Ketika ditemui pemberita, Azlan berkata beliau berpuas hati dengan kempen yang dilaksanakan dan akan menunggu keputusannya pada petang nanti.

"(Kita) yakin akan menang, apa pun nantilah (keputusannya)," katanya ringkas.

Beliau mengakui sedikit berdebar dan bangun awal untuk bersahur dan bersolat subuh sebelum menuju ke pusat pengundian.

8am: SK Kampung Baharu - Calon PAS Azlan Yusof tiba bersama isterinya di pusat mengundi itu sejak 7.45 pagi.

Beliau disambut oleh sekumpulan penyokongnya yang menunggu lebih awal dengan laungan takbir.

Beliau juga ditemani oleh wakil calon, Hanafiah Mat dan Wan Azhar Wan Ahmad.

Azlan atau lebih dikenali Che Long menjadi orang kedua mememasuki pusat mengundi.

Langit cerah pagi ini. Ramalan cuaca bagaimanapun meramalkan hujan ribut petir mungkin melanda di sebelah petang.







dikemaskinikan setiap 10 mini. Sila refresh

Sekolah Keb Seri Pristana Diarah Tukar Tempat Makan


Kementerian Pendidikan mengarahkan Bahagian Pengurusan Sekolah Harian (BPSH) supaya memindahkan tempat makan sementara Sekolah Kebangsaan Seri Pristana, Sungai Buloh, ke tempat lebih bersih dan munasabah.

Timbalan Menteri Pendidikan P. Kamalanathan berkata menjadikan bilik persalinan sebagai tempat makan sementara untuk para pelajar bukan beragama Islam pada bulan Ramadan adalah tidak sesuai sama sekali.

"Perkara ini tidak harus berlaku. Saya kecewa. Kementerian memandang serius perkara ini dan meminta BPSH membuat siasatan serta-merta dan katakan pada kita mengapa tindakan tidak boleh diambil terhadap pegawai yang membuat keputusan ini (makan di bilik persalinan)," katanya kepada Bernama di pejabatnya di bangunan Parlimen di sini, hari ini.

"Ia hanya bilik persalinan dan bukanlah tandas. Walaupun ia bilik persalinan, itu bukanlah tempat untuk kita makan, no foods allowed," tegasnya sambil berkata beliau difahamkan kantin sekolah itu baru memulakan proses penambahbaikan hari ini.

Beliau mengulas dakwaan kononnya murid bukan Islam di sebuah sekolah rendah dipaksa makan di tandas semasa Ramadan.

Gambar yang tersebar di laman sosial memaparkan sebilangan murid yang dikatakan bukan beragama Islam berada di sebuah bilik menyerupai bilik air, dengan botol air dan bekas makanan berada di atas sebuah meja.

Kamalanathan berkata: "Sekiranya pengusaha kantin tidak mahu beroperasi pada bulan Ramadan, pihak sekolah boleh melantik pengurusan kantin sementara.

"Sekiranya kantin dalam proses baik pulih, mereka harus mencari lokasi yang sesuai di mana ada keperluan untuk sesebuah kantin seperti tempat yang bersih, ada tempat untuk mencuci tangan dan ada tempat duduk untuk makan dan minum."

Sambil memohon maaf sekiranya apa yang berlaku mewujudkan perasaan tidak selesa dalam kalangan ibu bapa, timbalan menteri itu berharap kejadian seumpama itu tidak berulang. - Bernama


Sekolah Sungai Buloh silap, kata pemimpin Islam


Tokoh-tokoh Islam terkejut dengan langkah sebuah sekolah di Sungai Buloh yang mengarahkan murid bukan Islam untuk makan di bilik mandi bagi menjaga kesucian bulan Ramadan.

Mereka mengatakan ia bukan cara sesuai untuk mendidik murid bukan Islam dalam menghormati Ramadan.

“Sekalipun sekolah mahu mendidik murid menghormati umat Islam yang berpuasa, ia harus dilakukan dengan cara memberi nasihat, bukan tindakan sebegini.

“Kalau insiden ini benar-benar berlaku, ia bukanlah sesuatu yang wajar,” kata Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Timbalan Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Dr Mahfodz Mohamed juga bersetuju ia bukan cara untuk mendidik murid bukan Islam.

Katanya, sekolah seharusnya menyediakan tempat lebih baik bagi murid bukan Islam jika kantin sedang diubah suai.

“Sekolah seharusnya memilih tempat yang lebih baik seperti bilik darjah jika mahu mengasingkan pelajar Islam yang berpuasa dan bukan Islam.

“Walaupun orang Islam berpuasa di bulan Ramadan ini, tidak wajarlah kalau diasingkan bukan Islam di tempat seperti bilik air. Mereka pun hilang selera untuk makan,” katanya.

Sekolah SK Seri Pristana heboh di media selepas laporan keluar murid bukan Muslim diarah makan di bilik mandi semasa waktu rehat pada bulan Ramadan.

Gambar menunjukkan murid sedang makan di bilik mandi tersebar luas di Facebook.

Setakat ini, pentadbiran sekolah belum mengeluarkan kenyataan tetapi Kementerian Pendidikan semalam mengarahkan sekolah itu menghenti perbuatan murid bukan Islam makan di bilik mandi.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga mengarahkan Kementerian Pendidikan menjalankan siasatan berhubung dakwaan itu dan memberi amaran tindakan akan diambil jika benar.

Timbalan Menteri Pendidikan, P Kamalanathan mengatakan walaupun Ramadan merupakan bulan suci kepada umat Islam, tidak seharusnya menghalang bukan Muslim untuk makan di tempat awam.

Setakat ini, satu laporan polis dibuat terhadap sekolah itu, semalam.

Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) pula mengatakan: “Salah bagi sekolah untuk melakukan perkara ini di atas nama agama.”

Presiden NUTP, Hashim Adnan berkata mereka yang bertanggungjawab harus meminta maaf kepada murid dan ibu bapa mereka.

Bagaimanapun, beliau mengatakan guru besar mungkin tidak sedar perkara itu dan mungkin berlaku disebabkan oleh orang bawahannya.

“Sesiapa sahaja yang membuat keputusan itu, salah.

Tidak boleh diterima untuk memaksa murid makan di bilik mandi.”

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru-guru Nasional, Datuk Mohd Ali Hassan menyifatkan tindakan sekolah itu 'tidak berperikemanusiaan'.

Beliau menggesa Jabatan Pendidikan untuk menjalankan siasatan dan mengambil langkah sepatutnya agar insiden itu tidak merebak ke sekolah lain.
-TMI

"Memang Itu Bilik Persalinan, Tetapi Ada 2 Bilik Mandi & 2 Tandas!"

Ibu bapa kesal dengan tindakan sekolah

KUALA LUMPUR - Ibu bapa terkilan dengan tindakan pengurusan Sekolah Kebangsaan Seri Pristana, Saujana Utama, Sungai Buloh kerana didakwa menempatkan pelajar bukan Islam makan di bilik persalinan sekolah itu pada bulan Ramadan.

Celestina A/L Sokya, 40, dari Sarawak berkata beliau kesal dengan keputusan pihak sekolah itu dan tidak mahu lagi menghantar anaknya, Destiny Yeeling, 8, pelajar tahun dua untuk bersekolah di situ.

"Sebelum ini anak saya kata dia makan di tandas, saya ingat dia bergurau. Tidak sangka wajah anak saya ada dalam gambar yang disiarkan dalam Facebook hari ini mengenai pelajar bukan Islam makan di tandas," katanya kepada pemberita ketika mengambil anak gadisnya pulang dari sekolah itu.

Beberapa gambar tersebar di laman sosial hari ini yang memaparkan sebilangan murid yang dikatakan bukan beragama Islam berada di sebuah bilik menyerupai bilik air, dengan botol air dan bekas makanan berada di atas sebuah meja.

Berikutan itu, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengarahkan Kementerian Pendidikan untuk menyiasat dakwaan pelajar di sebuah sekolah rendah mengenai keadaan itu.

Seorang suri rumah Rebecca Joseph, 32, berkata anak perempuannya Jessica James, 10, ada mengadu mengenai perkara itu dua hari lepas.

"Memang itu bilik persalinan, tetapi dalamnya ada dua bilik mandi, ada dua tandas. Macam mana sekolah boleh bagi mereka makan dalam tandas kan," katanya.

Ayahnya, James Subramanian, 45, seorang pengawal keselamatan Indah Water, berkata beliau susah hati apabila dengar berita mengenai anaknya makan dalam tandas.

Seorang ibu, Jagteep Kaur, 34, berasa sangat sedih sebab dua anak lelakinya terpaksa makan di bilik persalinan itu iaitu Eekongkar Dilmarditl Singh, 9, dan Kuljeet Sing, 10, sejak seminggu lalu.

Eekongkar Dilmarditl berkata beliau diminta untuk makan di bilik persalinan kerana kantin sekolah sedang dibaiki.

"Saya sudah dua hari muntah-muntah dan diarahkan duduk situ kerana hujan. Kalau duduk di kantin nanti kotor," katanya.

Sementara itu tinjauan Bernama untuk mendapatkan penjelasan daripada Guru Besar sekolah itu menemui jalan buntu apabila wartawan tidak dibenarkan masuk ke perkarangan sekolah.

Menurut sumber Kementerian Pendidikan, sekolah itu mempunyai dua sesi persekolahan, 74 guru, dengan 1,373 pelajar, iaitu 696 lelaki dan 677 perempuan.

Dua bilik persalinan di sekolah itu digunakan sebagai kantin sementara bagi 28 pelajar bukan Islam sepanjang bulan Ramadan ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Supt Junaidi Bujang ketika dihubungi Bernama mengesahkan bahawa satu laporan polis dibuat seorang kerani hari ini terhadap guru besar sekolah itu. - Bernama

Ulasan GB

Memang tak ada akal. Hairan bagaimana seorang gurubesar dan guru-guru sekolah berkenaan boleh bertindak keterlaluan sedemikian.

BOIKOT CELCOM: Talian 019 & 013 Diklon Untuk Memfitnah Pemimpin PAS!

YDP PAS Besut dakwa telefon diklon, maklumat palsu disebar

Hari terakhir kempen pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut hari ini dicemari insiden pengedaran maklumat palsu terhadap Barisan Nasional (BN) dan PAS.

Yang Dipertua PAS Besut, Wan Azhar Wan Ahmad mendakwa nombor telefon miliknya diklon untuk mengedar maklumat palsu berhubung pemberian zakat oleh calon PAS, Endut@Azhar Yusof.

Wan Azhar, pembantu kepada kempen Azhar yang lebih dikenali sebagai Che Lon, mengetahui hal itu lewat malam tadi apabila sekitar 15 warga emas berkumpul di rumahnya untuk menuntut zakat.

"Malam tadi sekitar jam 9, di perkarangan rumah saya dapati ada 15 warga emas datang untuk mendapatkan bantuan zakat yang diedar melalui SMS. Saya agak terkejut kerana tiada maklumat," katanya.

"Nombor telefon yang digunakan pihak tidak bertanggungjawab itu adalah nombor saya yang diklon," katanya..

Antara kandungan SMS ialah: "Adik kakok pengundi upu kg baru yg nak undi atau doa utk che long diminta mari rumah che long malam ni che long nak beri zakat sempena ramadhan," dan ditulis nama pengedarnya sebagai Wan Azhar.

Wan Azhar berkata, laporan polis dibuat pihaknya jam 3.53 pagi di Balai Polis Kuala Besut.

Pihaknya juga menyenaraikan 50 nombor telefon yang menghubunginya berhubung perkara itu.

"Saya percaya ia cubaan untuk menimbulkan kemarahan kepada kami," katanya tanpa menamakan pihak yang disyakinya.

Sementara itu, BN menafikan pengedaran maklumat palsu bahawa parti pemerintah berkenaan akan mengedar duit raya.

Ia berlaku berikutan keratan risalah diedar, mendakwa BN akan memberi duit raya sempena sambutan Aidilfitri di Kuala Besut.

Malah, jumlah peruntukan itu juga dipecahkan kepada beberapa kategori dengan paling tinggi bernilai RM800 kepada setiap warga emas.

Risalah itu turut tertera tandatangan Setiausaha Jentera BN Kuala Besut, Salleh Abdul Latif.

Pada sidang media, Pengarah PRK Kuala Besut BN Datuk Seri Idris Jusoh mendakwa pembangkang menjadi dalang di sebalik kejadian itu.

"Saya tahu bagaimana mereka bekerja. Mereka seharusnya tidak menggunakan taktik kotor ketika Ramadhan ini," katanya.

Laporan polis dibuat sekitar jam 7 pagi tadi oleh Salleh yang menafikan perkara itu melibatkan dirinya.

Esok adalah hari besar untuk DUN Kuala Besut apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan 24 Julai untuk PRK kerusi DUN berkenaan.

Keputusan PRK berkenaan akan menjadi penentu sama ada BN kekal mengusai DUN atau menjadikan kedudukan seri, 16:16 antara kedua-dua parti berkenaan.

Sejumlah 17, 683 pengundi berdaftar dianggarkan akan mengundi esok, dengan 55 peratus adalah pengundi muda. -TMI

Ulasan GB

Sebelum ini, semasa PRU13 berlansung nombor telefon Naib Presiden PAS, Salehuddin Ayub yang pangkalnya bernombor 013 telah diklon oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk menyebarkan maklumat yang berunsur hasutan dan perkauman. Begitu juga dengan telefon Timbalan presiden PAS< Hj Mohammad Sabu.

Kini YDP PAS Kuala Besut pula jadi mangsa.

Nampaknya 019 dan 013 mudah diklon dan kedua-dua adalah dari CELCOM. Samada ia dilakukan oleh orang luar atau pun oleh "orang dalam" sendiri, hal sedemikian tidak sepatutnya berlaku.

Dan malangnya apabila aduan dikemukakan, syarikat berkenaan mengambil sikap berlepas tangan dan ambil mudah terhadap aduan tersebut.

Oleh kerana setakat ini hanya nombor celcom yang dilaporkan telah diklon, maka sewajarnya rakyat yang majoritinya telah memberikan sokkngan dan undi kepada Pakatan Rakyat perlu bangun untuk mengajar syarikat telekomunikasi berkenaan dengan BOIKOT CELCOM! Itu sahaja jawapannya.

ABC
ASAL BUKAN CELCOM