3 Nov 2011

[Bergambar] Ribuan Pekerja Berpiket Seluruh Negara - BN Di Ambang Keruntuhan

Ribuan piket seluruh negara bantah pindaan Akta Kerja

Piket besar-besaran anjuran Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) bagi membantah pindaan Akta Kerja 1955 bermula di seluruh negara bermula petang tadi. Gambar: Piket pekerja Di Shah Alam - FMT

Di Kuala Lumpur, kira-kira 200 pekerja daripada pelbagai kesatuan sekerja dan juga parti-parti politik berhimpun di hadapan bangunan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di Jalan Raja Laut.

Sejak kira-kira jam 5 petang, ahli kesatuan mula berhimpun.

Turut hadir, adalah beberapa pemimpin Pakatan dan PSM. Antara mereka ialah pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang dan naib presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar. Turut memberi sokongan adalah beberapa wakil rakyat, termasuk Wong Ho Leng dan Dr Mohd Hatta Ramli.

Pekerja membentangkan hampir 10 kain rentang membantah pindaan akta kerja itu.

Mereka juga membawa plakad yang tertulis "Jangan Gadai Hak Pekerja" dan "Menteri Tipu Pekerja".

Mereka melaungkan "Henti Pindaan", "Turun Menteri", Tarik Balik Pindaan Akta" dan "Hidup MTUC" beberapa kali.

Tindakan itu menarik perhatian orang ramai yang memerhatikan piket itu dari kawasan yang berdekatan.

Di Pulau Pinang, hujan yang mencurah tidak menghalang kira-kira 1000 orang daripada berhimpun bagi menyatakan sokongan mereka kepada MTUC.

Pekerja berbaris di jalan utama menuju Prai dan juga membanwa sepanduk yang tertera mesej yang hampir sama.

Hujan di Pulau Pinang

Sebaik hujan yang mula reda 40 minit kemudian, peserta himpunan semakin ramai.

Hadir bersama adalah penyokong Pakatan Rakyat yang datang dengan payung.

Setiausaha MTUC Pulau Pinang, KVeeriah berkata pihak pekerja membidas pindaan yang disifatkan tidak bertanggungjawap terhadap pekerja.

Katanya, undang-undang tersebut akan mengesahkan pekerja kontrak yang akhirnya menyebabkan majikan daripada mengabaikan hak pekerja.

Di Melaka, seramai 400 orang berhimpun secara aman.

Perhimpunan yang diadakan bermula jam 5.15 petang tadi itu, turut mewakili seramai 426,000 pekerja di negeri ini.

Setiausaha Kesatuan Sekerja Malaysia negeri Melaka, Azlan Tajuddin berkata, pihak kerajaan seharusnya memandang berat terhadap tuntutan itu demi nasib rakyat negara ini pada masa depan.

“Kami meminta pindaan ini ditarik balik kerana ia bukan sahaja untuk masa depan kami tetapi masa depan anak cucu kita dikemudian hari,” katanya.

Lupa sumbangan swasta

Di Petaling Jaya, kira-kira 90 ahli MTUC mengadakan piket di depan Wisma Kesatuan Sekerja.

Piket ini diketuai setiausaha agung MTUC, Halim Mansor.

Ia bermula jam 5.10 petang tadi dengan peserta memegang sepanduk bagi menyatakan bantahan terhadap pindaan akta berkenaan.

Antara ungkapan yang tertera ialah "Martabatkan Pekerja Swasta", "Kerajaan Lupa Sumbangan Swasta" dan "Pindaan Akta Kerja 1955 Rampas Hak Pekerja."

Lokasi lain yang terbabit dengan demo meliputi Seksyen 15, Shah Alam; Teluk Panglima Garang; Jalan Barat, Petaling Jaya; Bukit Raja, Klang; Sungai Choh, Rawang; Lebuh Raya Persekutuan; Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur; Prai, Pulau Pinang; dan Jalan Bukit Beruang, Melaka.

Padang Majlis Perbandaran Seremban, Negeri Sembilan; depan bangunan MTUC Negeri Perak; padang Masjid Negeri di Kuantan, Pahang; depan Pusat Dagangan Kota Bharu, Kelantan; Jalan Skudai, Johor; Mergong, Kedah; Kuching, Sarawak; serta jalan menuju ke Wisma Merdeka, Sabah.

Antara bantahan pindaan Akta Pekerjaan 1955 ini adalah mengenai kontraktor tenaga kerja yang diwujudkan dan mengembalikan sistem kontrak yang telah dihapuskan apabila Akta Pekerjaan 1955 ini digubal dulu.

MTUC menegaskan dengan pindaan itu kedudukan pekerja menjadi tidak tetap dan tiada jaminan pekerjaan, selain mendapat kadar gaji yang sama tanpa kenaikan atau bonus, termasuk faedah lain.

Piket MTUC berjalan lancar

SHAH ALAM: Piket anjuran Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) bagi membantah pindaan Akta Kerja 1955 berjalan dengan lancar petang tadi.

Walaupun hujan renyai, kira-kira 200 pekerja daripada pelbagai kesatuan sekerja dan pimpinan politik bersama-sama berhimpun di bulatan Persiaran Selangor, Seksyen 15, di sini sejak jam 5.00 petang.

Mereka membawa kain rentang dan kad tertulis seperti ‘Union basting’, ’Jangan perkosa hak kami’ ‘Jangan lupa pekerja swasta pengundi terbesar’ dan ‘Akta Kerja 1955 wujudkan kunta kinte Malaysia’.

Mereka turut melaungkan ‘hidup pekerja’ dan ‘tindas pekerja’.

Tindakan itu menarik perhatian orang ramai yang melalui kawasan tersebut, sambil kedengaran bunyi hon kenderaan masing-masing ketika mereka melalui kawasan piket.

Berlaku kesesakan lalu lintas di kawasan terbabit namun kehadiran pihak polis berjaya memastikan keadaan lebih terkawal.

Antara pemimpin yang hadir termasuklah Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu @ Mat Sabu, bekas presiden MTUC Syed Shahir Syed Mohamud dan Exco Selangor Dr Xavier Jeyakumar.

Mat Sabu yang ditemui berkata piket ini sebagai isyarat kepada kerajaan untuk memberi perlindungan kepada para pekerja tidak kira dalam mahu pun luar negara.

“Ini isyarat kepada kerajaan agar tarik semula akta ini dan beri perlindungan kepada para pekerja tidak kira dalam atau pun yang berada di luar negara,” katanya. -FMT













Ulasan GB

Kedegilan dan keangkuhan kerajaan untuk meminta Akta Pekerja dijawab dengan jelas hari ini apabila pekerja-pekerja seluruh negara keluar beramai-ramai untuk berpiket membantah pindaan berkenaan.

Sebelum ini MTUC telah memberi amaran keras kepada Datuk Seri Najib Razak bahawa undi melibatkan 5.7 juta pekerja akan menjadi penentu dalam arah aliran sokongan ketika pilihan raya umum ke-13 melainkan pindaan Akta Kerja 1955 yang menjadi kontroversi sekarang ditarik balik.

Hari ini, dilaporkan MTUC bercadang mengemukakan aduan berhubung pindaan Akta Kerja 1955 kepada Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) sekiranya permintaan mereka tidak dilayan kerajaan.

Setiausaha Agung MTUC, Abdul Halim Mansor, berkata langkah itu sebagai susulan selepas pertemuan dengan Kementerian Sumber Manusia sebanyak 18 kali tidak membuahkan hasil. Beliau berkata, bantahan seperti ini akan diteruskan sehingga Kerajaan menarik balik pindaan akta yang seharusnya menjamin hak asasi pekerja di Malaysia.

Laporan sebelum ini
klik untuk baca





Isu Pendaftaran Pakatan Rakyat: PR Perlu Heret ROS Ke Mahkamah

Pendaftaran Pakatan: ROS didakwa menipu

Pakatan Rakyat hari ini menafikan dakwaan Pendaftar Pertubuhan (ROS) bahawa gabungan itu tidak membuat permohonan baru untuk mendaftar diri mereka.

Malah, kata setiausaha agung PKR, Saifuddin Nasution,pihak mereka telah menghambat jabatan berkenaan sejak Mac lalu supaya segera mendaftarkan Pakatan Rakyat.

Saifuddin berkata selepas pengerusi pro-tem Pakatan Datuk Zaid Ibrahim berpaling tadah pada November tahun lalu, jawatankuasa itu pada mesyuarat tergemparnya (EGM) telah melantik ahli jawatankuasa pusat PAS Datuk Kamaruddin Jaafar untuk memegang jawatan itu pada Mac lalu.

Saifuddin merujuk laporan akhbar New Straits Times yang memetik Ketua Pengarah ROS, Abdul Rahman Othman, bahawa Pakatan tidak berusaha mendaftarkan gabungan itu.

“Kami kesal dengan kenyataan ini kerana semasa EGM, kita telah menamakan pengerusi pro-tem yang baru... kami telah mengaturkan perjumpaan dengan timbalan pengarah ROS (bahagian pertubuhan) bagi menyerahkan permohonan dengan beberapa pindaan sepatutnya.

“Tetapi ROS enggan menerimanya, alasan mereka, permohonan lama masih menunggu keputusan berhubung permohonan yang dibuat oleh Zaid, walaupun mengikut perlembagaan PKR, Zaid bukan lagi seorang ahli,” kata Saifuddin yang juga ahli parlimen Machang

Katanya, sejak Mac, Pakatan berhubungan dengan ROS setiap tiga hingga empat minggu untuk menentukan status permohonan tetapi tidak menerima sebarang jawapan. -mk


Muslihat politik tidak lulus daftar Pakatan
KUALA LUMPUR, 3 Nov: Pakatan Rakyat mengesyaki terdapat ‘muslihat politik’ apabila Pendaftar Pertubuhan (ROS) enggan meluluskan permohonan pendaftaran mereka untuk menjadi satu parti.

Ketua Pemuda DAP, Anthony Loke berkata, ROS sengaja tidak mahu meluluskan pendaftaran Pakatan Rakyat kerana takut mereka menjadi satu gaubungan yang kuat dalam pilihan raya umum ke-13.

Mereka (ROS) sengaja tidak mahu mendaftarkan Pakatan Rakyat kerana takut kita akan menjadi satu entiti yang kuat untuk mencabar BN.

"Untuk pilihan raya akan datang, kita tidak boleh letak calon Pakatan tapi letak calon PAS, DAP dan PKR kerana belum berdaftar. Saya lihat ini ada muslihat politik," kata beliau yang juga Ahli Parlimen Rasah pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Sementara itu, Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution menyelar jawapan Pengarah ROS, Datuk Abdul Rahman Osman baru-baru ini bahawa pedaftaran Pakatan Rakyat tidak diluluskan kerana mereka tidak membuat permohonan baru selepas pengerusi Pakatan waktu itu, Datuk Zaid Ibrahim keluar parti.

"Majlis Presiden Pakatan kesal dengan kenyataan tersebut kerana Pakatan telah ambil langkah yang perlu sejurus Datuk Zaid tinggalkan Pakatan.

"Kita lantik pengerusi Pakatan Rakyat yang baru iaitu Ahli Perlimen Tumpat Datuk Kamaruddin Jaffar menggantikan Datuk Zaid," katanya yang juga Ahli Parlimen Machang.

Beliau berkata, dalam tempoh dua tahun lalu, mereka sering mengadakan pertemuan dengan pihak ROS untuk mengetahu perkembangan mengenai permohonan tersebut tapi gagal mendapatkan sebarang jawapan.

ROS, katanya masih memberi alasan bahawa permohonan lama Pakatan Rakyat iaitu sewaktu Zaid masih bersama PKR masih belum diluluskan dan Pakatan tidak membuat permohonan baru.

"Mengikut perlembagaan Pakatan Rakyat, sesiapa yang keluar parti, kedudukannya sebagai pengerusi akan terbatal. Jadi tiada masalah dalam hal itu," katanya.

Sehubungan itu katanya, Majlis Presiden Pakatan yang bermesyuarat petang semalam memutuskan untuk membuat keputusan baru sekiranya permohonan mereka masih tergantung.

"Sekarang kita buat keputusan untuk teruskan permohonan tapi kalau tidak ada jawapan juga, kita akan putuskan tindakan baru," katanya.

Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS, Dr, Hatta Ramli pula berkata, tindakan ROS itu menggambarkan kelemahan pegawai-pegawai kerajaan menjalankan tugas.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Krai, ROS sepatutnya memaklumkan kepada Pakatan sekiranya terdapat kesalahan dalam borang permohonan atau sebagainya.

"Kalau ada sebarang kesilapan dalam permohonan atau perlu maklumat biasanya mereka akan hubungi pemohon tapi tiba-tiba kata tak hantar permohonan baru sedangkan pertukaran individu dalam jawatankuasa penaja adalah perkara biasa.

"Ini memberi gambaran yang tidak baik kepada pegawai kerajaan dan ada orang yang dijadikan mangsa," katanya. -HD





Ulasan GB

Agensi-agensi kerajaan pusat yang bertindak secara diskriminasi dan berpihak seperti Registrar Of Society (ROS) ini perlu diheret sahaja di mahkamah.

Pengarahnya perlu disumbatkan ke penjara lantaran tidak melaksanakan kerja dan tugas secara adil dan telus, tetapi di dalam banyak waktu, menjadi ejen kepada UMNO dan BN untuk menghalang dan menyukarkan apa-apa urusan yang berkaitan dengan Pakatan Rakyat.

Hanya Menteri Bermentaliti Lapuk Seperti Nazri & Khaled Nordin Mahu AUKU Dikekalkan

Tiga MP BN gesa Putrajaya tak rayu, mansuh Seksyen 15 AUKU

KUALA LUMPUR, 3 Nov — Tiga pemimpin Barisan Nasional (BN) termasuk seorang timbalan menteri menggesa Putrajaya tidak membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan Isnin lalu yang memutuskan Seksyen 15(5)(a) Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Pada masa yang sama mereka menggesa kerajaan memansuhkan Seksyen 15 AUKU dimansuhkan selaras dengan program transformasi politik dibawa Datuk Seri Najib Razak.

Kelmarin, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata keputusan Mahkamah Rayuan berhubung peruntukan itu akan dibawa ke Kabinet, sebelum memutuskan sama ada perlu atau tidak kes itu dibawa ke Mahkamah Persekutuan.

Kata beliau, perbincangan teliti akan dibuat di peringkat kementerian, sebelum ia dibawa ke mesyuarat Kabinet, secepat mungkin.

Hari ini, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah, Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin dan Naib Presiden MCA Gan Peng Siew berpendirian bahawa Seksyen 15 AUKU perlu dimansuhkan selaras dengan program transformasi politik.

Mereka juga menegaskan dengan keputusan Mahkamah Rayuan itu peruntukan 15(5)(a) sudah tidak lagi wujud dan kini mahasiswa bebas untuk berpolitik.

“Boleh, dengan sendirinya,” kata Saifuddin pada sidang media di Mines Resort City, Seri Kembangan dekat sini hari ini.

Khairy menambah: “Dengan keputusan mahkamah itu, ia dah jadi lapuk.”

Sementara itu Gan berkata, “mahkamah sudah buat keputusan, Seksyen 15(5)(a) sudah tidak wujud. Mahasiswa boleh terlibat dalam politik.”


Saifuddin menambah keputusan sama ada mahu membuat rayuan kemungkinan akan dibangkitkan dalam mesyuarat Kabinet esok, namun beliau bersama Khairy dan Gan berharap Putrajaya tidak akan membuat rayuan.

“Keputusan nak buat rayuan atau tidak akan dibuat dalam Kabinet esok, mungkin perkara ini akan ditimbulkan. Pertimbangan yang ada sama ada mahu membuat rayuan di Mahkamah Persekutuan atau tidak.

“Kalau buat rayuan dan kemudian mahkamah tolak dari segi moral kita sudah kalah, jadi tidak perlu buat rayuan. Kalau tidak buat rayuan kita perlu teruskan perbincangan untuk meminda AUKU,” katanya. -TMI


I - Nazri: AUKU masih kekal, keputusan mahkamah satu pandangan

KUALA LUMPUR, 2 Nov — Kerajaan menegaskan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) kekal terus digunakan meskipun mahkamah telah memutuskan peruntukan undang-undang itu melanggar Perlembagaan Persekutuan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz (gambar) memberitahu Parlimen hari ini bahawa “akta itu masih satu akta.”

Kata beliau, undang-undang itu yang melarang pelajar daripada menyertai aktiviti politik masih kekal tidak berubah sebab keputusan Mahkamah Rayuan hanya satu pandangan institusi kehakiman.

“Sekarang terpulang kepada Peguam Negara sama ada mahu membuat rayuan dengan keputusan itu. Sehingga perkara itu dimuktamadkan, kita tida boleh kata apa-apa,” kata Ahli Parlimen Padang Rengas ini.

Kelmarin, Mahkamah Rayuan memutuskan AUKU yang melarang penuntut universiti menyertai politik bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan — keputusan yang dilihat bersejarah dalam undang-undang melibatkan pentadbiran dan pengurusan institusi pengajian tinggi negara ini.

Mahkamah membuat keputusan 2-1 dalam permohonan yang dibawa oleh empat penuntut Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mencabar peruntukan 15(5)(a) AUKU.

Permohonan itu dikemukakan awal tahun lalu selepas mereka dikenakan tindakan oleh UKM kerana berada di Hulu Selangor ketika pilihan raya kecil kerusi itu April 2010.

Keempat-empat pelajar itu sudah pun menawatkan pengajian mereka dan menerima ijazah pada majlis konvensyen September lalu.

Mereka berempat, ketika itu pelajar jurusan sains politik, ditahan oleh polis di Pekan Rasa dan Ampang Pecah, Hulu Selangor pada 22 April 2010.

Mereka terdiri daripada Muhammad Hilman Idham, Woon King Chai, Muhammad Ismail Aminuddin dan Azlin Shafina Mohamad Adzha sebelum ini mendakwa tindakan tatatertib yang dikenakan oleh UKM bagi kesalahan mengikut Seksyen 15(5)(a) AUKU adalah tidak berasas dan tidak sah di sisi undang-undang. -TMI

II - Menteri Pengajian tinggi perjelas isu Seksyen 15 (5)(a) AUKU



SERDANG: Seksyen 15(5)(a) Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang melarang pelajar berpolitik bertujuan memastikan matlamat utama pendidikan untuk membina minda dan keupayaan intelektual pelajar dipenuhi.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam penjelasannya semalam, berkata ia juga bagi mengelakkan mereka terikat secara langsung dengan parti politik, manakala Perlembagaan memang membenarkan sekatan tertentu untuk kepentingan pendidikan.

Beliau berkata, jika dibenarkan menjadi ahli atau memegang jawatan politik, pelajar akan terikat dengan ideologi dan peraturan parti yang perlu dipatuhi, sekali gus menjejaskan matlamat pendidikan untuk membina minda dan keupayaan berfikir pelajar.

“Dari sudut pendidikan, Perlembagaan membenarkan supaya ada sekatan dan perkara ini perlu diberi penekanan kerana memang menjadi matlamat institusi pengajian tinggi dan matlamat utama pendidikan untuk membina pemikiran pelajar.

“Ada orang kata jika menyertai parti politik akan menerbitkan keintelektualan di kalangan pelajar, tetapi kita lihat ramai pelajar tidak menyertai parti politik pun untuk mencapai tahap itu (intelek),” katanya selepas merasmikan Kompleks Fakulti Perubatan Veterinar Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini, semalam.

Beliau mengulas keputusan Mahkamah Rayuan kelmarin yang memutuskan Seksyen 15(5)(a) AUKU yang melarang pelajar menyatakan sokongan dan simpati atau bangkangan kepada mana-mana parti politik dalam dan luar negara, bercanggah dengan Perlembagaan.

Pada 28 September lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan empat pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Muhammad Hilman Idham, Wong King Chai, Muhammad Ismail Aminuddin dan Azlin Shafina Mohamad Adza yang didakwa terbabit dalam kempen pilihan raya kecil Hulu Selangor pada April tahun lalu sebelum membawa kes itu ke Mahkamah Rayuan Putrajaya.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled bagaimanapun berkata, seksyen itu membenarkan pelajar menjemput wakil parti politik menyertai program di kampus bagi membolehkan mereka mendengar pandangan parti politik berhubung sesuatu perkara.

Beliau juga berkata, orang ramai perlu memahami mengapa AUKU tidak membenarkan pelajar menjadi ahli kepada parti politik. -BH


Ulasan GB

Kedua-dua menteri berkenaan sepatutnya sudah boleh dikenakan tindakan MENGHINA MAHKAMAH.

Setiap keputusan mahkamah adalah "undang-undang" yang mengikat dan perlu dipatuhi di bawah Common Law, iaitu sistem undang-undang yang digunapakai di negara ini. Keputusan mahkamah BUKAN sekadar pandangan.

Dua menteri berkenaan juga adalah contoh menteri yang bermentaliti kolot yang masih ingin mempertahankan kuasa melalui pengenaan undang-undnag yang tidak demokratik.

Lelaki Dipenjara Kerana Belasah Isteri

Kuala Terengganu - Hanya kerana menegur suaminya agar jangan berbuat bising, seorang isteri terpaksa berhadapan detik mencemaskan apabila dibelasah dengan teruk oleh si suami pada bahagian kepala menggunakan sehelai kain sehingga mendatangkan kecederaan.

Bagaimanapun, perbuatan sang suami yang panas baran itu terbalas apabila Mahkamah Majistret, di sini, semalam, menjatuhkan hukuman denda RM1,000 selepas dia mengaku bersalah mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Tertuduh, Wan Badarul Azmani Wan Abdullah, 35, dari Kampung Bukit Bayas, bagaimanapun memilih menjalani hukuman penjara selama sebulan kerana tidak mempunyai wang untuk membayar jumlah denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, pada 26 Julai lalu kira-kira jam 5 pagi di sebuah rumah di Jalan Gong Penaga, Pasir Panjang, di sini, tertuduh didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan ke atas isterinya, Mazlina Mohamed, 31.

Dengan itu, dia yang juga seorang penagih dadah didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Zainuddin Abd Ghani di hadapan Majistret Noradila Abd Latif.

Berdasarkan fakta kes, pada 26 Julai lalu kira-kira jam 5 pagi, mangsa terjaga dari tidur di rumahnya di Jalan Gong Penaga, Pasir Panjang, di sini, dan ketika itu mendapati dua anaknya berada di dalam bilik lain bersama suaminya iaitu tertuduh.

Mangsa sebelum itu terdengar suara mereka bising di dalam bilik berkenaan dan masih belum tidur lagi. Bimbang suasana bising itu boleh mengganggu jiran sebelah rumah mereka, mangsa menegur tertuduh dari luar bilik memandangkan pintu bilik berkunci dari dalam.

Tidak lama kemudian, tertuduh membuka pintu dan keluar dari bilik lalu terus memukul kepala mangsa. Perbuatannya itu dilihat oleh anak kedua mangsa dan selepas itu, tertuduh terus berlalu masuk semula ke dalam bilik serta menutup pintu.

Sebelum ini, tertuduh kerap kali memukul dan menerajang mangsa serta pernah beberapa kali ditahan polis kerana penyalahgunaan dadah.

Keesokan harinya iaitu kira-kira jam 2 pagi, polis membuat serbuan ke rumah tertuduh sebelum menangkapnya untuk siasatan lanjut. -SH

Banjir Di Kamboja Ganggu Eksport Daging Tikus

Banjir terburuk yang melanda Kamboja selama satu dekad, membuat perdagangan daging tikus negara tersebut mengalami kerugian. Kerana, banjir juga menenggelamkan tikus-tikus yang berpotensi untuk dieksport ke Vietnam.

Gambar: Sedapnya.... seorang kanak-kanak di kota Battambang, Kamboja, memakan daging tikus

"Setiap tahunnya Kamboja mengeksport 17 ton daging tikus ke Vietnam. Tahun ini persediaan daging tikus menurun secara drastik kerana banjir menenggelamkan banyak tikus," kata Perdana Menteri Kamboja Hun Sen, seperti dikutip dari MSN, Khamis 3 November 2011.

Tidak disebutkan seberapa besar industri penjualan daging tikus di Vietnam. Namun, daging tikus dikenali sebagai makanan yang murah dan lazat di negara tersebut. Hal ini menjadikan Vietnam pengeksport tikus hidup terbesar dari kampung-kampung di perbatasan Kamboja.

Ketua Pemeriksaan Perbatasan Chrey Thom, Ros Sothea, mengatakan masih belum mengetahui statistik penjualan daging tikus tahun ini. Namun, beliau yakin daging tikus yang berhasil dijual ke Vietnam tahun ini jumlahnya susut dengan drastik.

"Hampir tak ada tikus yang dapat dieksport ke Vietnam kerana banjir menenggelamkan kesemuanya. Padahal tahun lalu, banyak sekali tikus yang berhasil dieksport," kata Sothea.

Kamboja menjadi salah satu negara delta sungai Mekong di Asia yang mengalami bencana banjir. Sekurang-kurangnya 247 orang di Kamboja tewas dan sepersepuluh kawasan sawah rosak pada bencana banjir terburuk sejak tahun 2000 tersebut. -vivanews

Bukti NKRA Gagal: Persepsi Rasuah, Malaysia Di Kedudukan Terendah Global


Malaysia merekodkan kedudukan rendah daripada purata global dalam kajian syarikat-syarikat setempat yang memberi rasuah ketika menjalankan perniagaan di luar negara, demikian menurut laporan Transparency International (TI) hari ini.

Indeks Pemberi Rasuah (BPI) TI 2011 menunjukkan Malaysia merekodkan paras 7.6 daripada 10 mata, dengan mata 10 menunjukkan persepsi bahawa syarikat-syarikat dari sesebuah negara tidak mungkin mengamalkan rasuah apabila mengadakan perniagaan di luar negara manakala sifar pula menggambarkan kedudukan sebaliknya.

Paras dicatatkan oleh Malaysia rendah daripada purat global 7.8 daripada 28 negara yang disenaraikan dalam indeks itu.

Malaysia diletakkan di paras 15 bersama Hong Kong, Itali dan Afrika Selatan.

BPI menyenaraikan 28 negara ekonomi terbesar dunia yang berkemungkinan mempunyai syarikat-syarikat memberi rasuah ketika menjalankan bisnes di luar negara.

Indeks itu adalah berdasarkan pandangan melibatkan lebih 3,000 eksekutif perniagaan.

Senarai negara dan wilayah yang disenaraikan dalam BPI 2011 merangkumi pelbagai bahagian dunia dan mewakili 80 peratus jumlah aliran keluar barangan, perkhidmatan dan pelaburan.

Syarikat-syarikat dari Belanda dan Switzerland dilihat sebagai mempunyai syarikat yang sangat kecil memberi rasuah ketika berada di luar negara manakala syarikat-syarikat dari Rusia dan China pula sebaliknya.

“Malaysia kelihatan terumbang-ambing sekitar atau di bawah paras purata (global). Ini menunjukkan masih ada ruang untuk penambahbaikan,” kata Presiden TI Malaysia Datuk Paul Low.

Kata beliau, syarikat-syarikat multinasional Malaysia berada di kedudukan berisiko tinggi ditangkap dan ditahan bagi rasuah ekoran tindakan negara-negara luar memperketatkan undang-undang antirasuah. -TMI

[Waspada] Kerana Mahu Badan Lansing, Gadis Dungun Menderita Kulit Melecur

Sura Gate (Dungun): Impian seorang gadis sunti untuk memiliki badan langsing lebur apabila sebahagian daripada kulitnya hampir melecur dipercayai kesan penggunaan alat kosmetik selepas melalui beberapa siri rawatan di sebuah pusat kecantikan di sini.

Lebih mendukacitakan, wang untuk membiayai kos rawatan terbabit berjumlah RM1,030 turut hangus, biarpun dia dikatakan gagal mendapat faedah daripada rawatan diterima.

Menceritakan pengala­man­ pahit itu, mangsa, Noor Aishah Azmi, 22, berkata, dia terpedaya dengan iklan yang ditawarkan di pusat kecantikan itu, yang mendakwa dapat melangsingkan badan, sebelum mendaftar untuk mendapatkan rawatan di pusat kecantikan yang beroperasi di Pusat Niaga Sura Gate itu.

Aishah berkata, dia membuat pembayaran secara beransur-ansur dan selepas lima kali menerima rawatan, dia sudah menjelaskan wang RM1,030 seperti yang dipersetujui.

Namun selepas kali terakhir mengikuti rawatan itu, kulitnya menggelupas dan terasa pedih, sebelum melecur serta melekat pada seluar.

Aishah berkata, dia juga turut mengalami muntah-muntah, sengal badan selain bengkak pada paha.

“Apabila saya memaklumkan kejadian itu kepada pihak pengurusan pusat kecantikan tersebut dan memohon wang saya dikembalikan, mereka tidak mahu bertanggung jawab dengan pelbagai alasan tidak munasabah.

“Akhirnya saya membuat satu laporan polis di Balai Polis Dungun pada 17 Oktober lalu agar kes saya ini mendapat pembelaan daripada pihak berwajib,” katanya.
Menurut Aishah, dia juga sudah melantik peguam dan bercadang mengambil tindakan undang-undang ke atas pusat kecantikan itu, selain membuat tuntutan ganti rugi pelbagai. -SH

Ancaman Baru Banjir Thailand: 50 Maut Kena Renjatan Elektrik

Bangkok: Banjir dilaporkan semakin buruk di ibu negara Thailand berikutan lebih banyak kawasan tenggelam manakala jalan raya tidak dapat dilalui.

Lebih 50 penduduk dilaporkan maut akibat terkena renjatan elektrik sewaktu memindahkan barangan mereka ketika meredah banjir.

Ketua Jabatan Kawalan Penyakit, Dr Pornthep Siriwanarangsan melahirkan kebimbangannya berikutan semakin ramai penduduk yang terbunuh terkena renjatan elektrik.

Beliau berkata, walaupun angka rasmi kematian akibat terkena renjatan elektrik ketika banjir masih lagi 17, lawatan beliau ke penempatan dan pertemuan dengan penduduk terjejas mendapati jumlahnya 50 kes.

Sementara itu, Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA) mengarahkan penduduk berpindah dari kawasan Bang Phai, berikutan banjir semakin buruk. Bang Phai berada di daerah Bang Khae di Bangkok.

BMA menyenaraikan kawasan daerah Bang Chan di daerah Klong Sam Wa di Bangkok sebagai kawasan dalam pemerhatian.
Gabenor Bangkok, MR Sukhumbhand Paribatra turut bimbang mengenai zon barat di ibu negara itu.

“Sistem saliran air di sana tidak baik seperti di zon timur,” katanya.

Kawasan yang dilanda banjir, Bang Khae dan Thawee Watthana adalah antara daerah di zon barat.

“Paras banjir kini melebihi satu meter,” kata Samart Khemthong, seorang daripada mangsa di sana. Kampungnya, Sakunthip berada berhampiran dengan terusan Thawee Watthana.

Katanya 30 daripada 350 keluarga berkhemah di luar perkampungan mereka bagi menghalang harta benda mereka dicuri.

“Kami sangat memerlukan sebuah bot sekarang ini,” kata Samart.

Sanya Sheenimit, yang mengetuai Jabatan Saliran dan Pengairan BMA berkata bahawa pegawai BMA menggunakan bot di kawasan barat yang dilanda banjir.

“Kami sudah memasang lebih banyak pam dan meletakkan penghadang air,” katanya.

Sukhumbhand berkata, banjir menjadi ancaman di zon timur Bangkok selepas kerajaan mengarahkan pintu air di terusan Klong Sam Wa dialihkan.

“Lebih banyak tempat di zon timur termasuk kawasan perindustrian Bang Chan berisiko dilanda banjir,” katanya. – Agensi

Banjir di barat Bangkok semakin buruk

Kawasan di barat Bangkok sekali lagi diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga peringkat tinggi berikutan keadaan banjir di kawasan itu semakin buruk ekoran Sungai Chao Phraya melimpah dan kerosakan pada dinding tebatan banjir.

Perdana Menteri Yingluck Shinawatra berkata paras air adalah satu meter lebih tinggi daripada dinding tebatan banjir di situ.

Beliau berkata pihak berkuasa juga mengesan kerosakan di 11 tempat pada dinding tebatan banjir dan kerja-kerja membaik pulih keseluruhan kerosakan itu dijangka siap pada 10 Nov.

Banjir di beberapa daerah di barat Bangkok iaitu Thawi Wattana, Taling Chan dan Bang Phlad telah merebak ke Bang Kae dan Thon Buri, semalam.

Pengarah Pusat Operasi Bantuan Banjir Plodprasop Suraswadi yang juga Menteri Sains dan Teknologi hari ini memberi amaran bahawa keseluruhan barat Bangkok boleh dilanda banjir dalam tempoh 15 hingga 20 hari kerana terdapat kira-kira tiga bilion meter padu air banjir di kawasan itu.

Yingluck berkata pihak berkuasa berdepan masalah untuk mengalirkan keluar air banjir di kawasan barat Bangkok akibat terusan yang tersumbat dan sempit.

Dalam langkah yang mengejutkan, Yingluck semalam mengubah keputusannya Selasa lalu mengenai menaikkan paras di pintu air sluis di Klong Sam Wa.

"Kami akan kurangkan pembukaan pintu air," katanya tanpa menyatakan secara spesifik paras baru dan alasan berbuat demikian.

Dua hari lalu, beliau mengarahkan Dewan Bandaraya menaikkan pintu air kepada satu meter daripada 80sm ekoran bantahan keras penduduk di situ.

Pada awalnya, penduduk di daerah Klong Sam Wa di timur Bangkok mendesak pihak berkuasa membuka pintu air daripada 0.6 meter kepada 1.5 meter kerana kawasan mereka telah ditenggelami banjir kira-kira tiga bulan.

Mereka mengadakan protes di pintu air sluis itu pada Isnin dan bersetuju dengan paras 0.8 meter selepas berunding dengan pihak Dewan Bandaraya pada Isnin.

Bagaimanapun, penduduk mengadakan satu lagi protes Selasa lalu dan mendesak paras dinaikkan kepada 1.5 meter, mendorong campur tangan daripada Perdana Menteri yang mengarahkannya dinaikkan lagi kepada 1 meter.

Beberapa penduduk malahan merosakkan pintu air itu dalam protes semalam yang dikawal oleh kira-kira 200 anggota polis.
Tindakan Yingluck itu telah dikritik oleh pentadbiran Bangkok Metropolitan dan pembangkang.

Timbalan Gabenor Bangkok Thirachon Manomaipiboon berkata menaikkan pintu air sluis itu kepada 1 meter akan mendedahkan seluruh Bangkok kepada ancaman banjir walaupun 19 daerah lain di tengah kota Bangkok terselamat daripada bencana alam itu buat masa ini.

Parti Demokrat menyelar tindakan Yingluck kerana kerajaan tidak sepatutnya tunduk kepada tekanan semasa mengendalikan krisis banjir.

Jurucakap parti pembangkang itu, Chavanond Intarakomalyasut mahu kerajaan melaksanakan dekri darurat bagi memudahkan usaha kerajaan menangani banjir serta mengawal penunjuk perasaan.

Konfrontasi antara pihak berkuasa dan penduduk mengenai isu pintu air sluis turut dilaporkan berlaku di wilayah-wilayah lain tetapi situasi keseluruhannya adalah terkawal.

Dalam kes tertentu, pekerja telah meminta perlindungan polis semasa membaik pulih dinding tebatan banjir dan pintu air sluis dan dalam satu kes, tembakan amaran dilepaskan di udara oleh seorang penduduk yang cuba menghalang pekerja menjalankan kerja mereka.

Kira-kira satu pertiga daripada negara ini masih ditenggelami banjir dengan 2.1 juta orang dari lebih 10,000 kampung di 26 wilayah terjejas oleh banjir yang melanda negara ini secara berperingkat bermula 25 Julai. Angka kematian meningkat kepada 427 orang hari ini. - Bernama


Mufti Tegur Khairul Fahmi: Elak Perkara Yang Datangkan Syubhah

Elak majlis hidang arak

KOTA BHARU: Biarpun mendakwa dirinya tidak mengambil minuman keras tetapi penjaga gol sensasi negara, Khairul Fahmi Che Mat, 22, atau lebih dikenali sebagai Apek, perlu mengelak daripada mengunjungi tempat berkenaan kerana tindakannya ke situ turut dikira bersubahat.

Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamed, berkata orang Islam wajar mengelak menghadiri majlis yang menyediakan benda haram seperti arak.

“Perumpamaannya mudah dan diibaratkan seperti kita ke tempat menjual minyak wangi. Badan kita sudah tentu berbau harum kerana minyak wangi dan begitu jugalah situasinya jika berada di majlis yang menyediakan minuman keras.

“Dalam isu ini, penjaga kol itu seharusnya mengelak daripada menghadiri majlis berkenaan kerana memang ada benda terlarang (haram) disediakan dan boleh bersubahat berada dalam keramaian yang menyediakannya,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Mengulas mengenai perkara itu, Mohamad Shukri berkata orang Islam yang tidak mengetahui majlis dihadiri itu menyediakan minuman keras tidak dikira bersubahat, tetapi dianggap sebaliknya jika perkara itu diketahuinya terlebih dulu. -hm

Lagi Kes Pensyarah Perkosa Pelajar

Pensyarah hati syaitan

KUALA LUMPUR: Seorang pelajar perempuan kolej swasta diheret dari sebuah tempat letak kereta di Sentul di sini, sebelum dirogol pensyarahnya sendiri, pagi kelmarin. Gambar fail.

Sebelum kejadian, pensyarah berusia lingkungan 40-an berkenaan memperdaya mangsa berjumpa di pejabatnya di sebuah kolej swasta di ibu kota dengan alasan berbincang mengenai pelajaran, jam 9 pagi.

Sebaik mangsa tiba di biliknya, lelaki terbabit mengugut akan menggagalkan pelajar itu dalam peperiksaan pada setiap semester jika enggan keluar bersarapan dengannya.

Sumber polis berkata, mangsa yang bimbang dengan ugutan berkenaan terpaksa akur, namun sebaik masuk ke dalam kereta, pensyarah itu membawa pelajar itu ke rumahnya di Sentul. “Ketika dalam perjalanan, telefon bimbit mangsa dirampas dan sejurus tiba di kawasan letak kereta di kediamannya, pensyarah itu mengheret mangsa hingga ke rumahnya.

“Sebaik masuk ke dalam rumah, mangsa dipukul dan dua tangannya diikat. Baju mangsa dikoyak sebelum dia dirogol pensyarah itu,” katanya.

Menurutnya, sebelum meninggalkan pelajar itu bersendirian, pensyarah berkenaan membasahkan pakaian mangsa dipercayai bagi mengelakkannya melarikan diri.

“Biarpun pakaiannya basah, mangsa tetap memakai semula pakaiannya sebelum cuba meloloskan diri namun gagal disebabkan pintu berkunci.

“Lelaki itu mengugut membunuh mangsa jika menceritakan kejadian itu kepada sesiapa,” katanya.

Sumber itu berkata, lelaki terbabit menghantar mangsa ke stesen transit aliran ringan (LRT) di Jalan Tun Razak, di sini, sebelum sekali lagi mengugut membunuh mangsa sekiranya mendedahkan kejadian itu kepada orang lain.

Katanya, mangsa menghubungi kakaknya sebelum menceritakan kejadian berkenaan.

Mangsa yang ditemani kakaknya membuat laporan di Balai Polis Sentul di sini, untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Operasi dan Risikan) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Arasa ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan.

Katanya, sehingga kini masih belum ada tangkapan dibuat namun usaha mengesan suspek giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 376/511 Kanun Keseksaan.

Ini kejadian kedua dalam tempoh tidak sampai seminggu membabitkan pensyarah melakukan jenayah seksual terhadap penuntut wanita masing-masing.

Pada 29 0ktober lalu, Harian Metro melaporkan perbuatan seorang pensyarah sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di Lembah Klang berusia lingkungan 50-an yang mencabul pelajar perempuan di bilik universiti berkenaan
.

Pensyarah terbabit didakwa memaksa pelajar berusia 23 tahun berkenaan melakukan aksi ringan-ringan dengan mengumpan meluluskan pelajar itu dalam peperiksaan. -hm

Laporan sebelum ini
klik untuk baca




Gambar Wanita Separuh Bogel Pada Iklan Yang Diedar Di rumah

Seremban: Seorang suri rumah terkejut apabila melihat gambar wanita separuh bogel dipaparkan pada iklan sebuah syarikat penjagaan diri dalam katalog yang diedarkan di sekitar kawasan kediamannya di bandar ini, baru-baru ini.

Hasnidah (bukan nama sebenar), 29, berkata, keadaan itu disedarinya semasa sedang membelek-belek katalog berkenaan di rumahnya.


“Syarikat penjagaan diri dan penerbit katalog sepatutnya bersikap lebih peka terhadap sensitiviti orang ramai terutamanya kaum wanita dan orang Islam,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, lebih dikesali, katalog terbabit diedarkan secara terbuka kepada orang ramai dan sesiapa sahaja boleh memperolehinya dengan mudah termasuk kanak-kanak.

Kata Hasnidah, syarikat berkenaan sepatutnya memikirkan kaedah-kaedah lain untuk mempromosi produk dan perkhidmatan yang ditawarkan kepada pelanggan.

“Iklan sebegini kelihatan seperti merendahkan martabat kaum wanita dengan menganggap mereka sebagai pelaris produk sahaja.

“Sehubungan itu, saya berharap pihak berkaitan memantau dan mengambil tindakan agar gambar yang menjolok mata ini tidak dipaparkan lagi dalam katalog berkenaan,” katanya. -SH

>

Guna FBC Tak Langgar Undang-undang Tapi Bangang Guna Syarikat Yang Nak Muflis

Nazri: Guna FBC tak langar mana-mana undang-undang

Sekiranya FBC Media yang berpangkalan di UK dan digunakan oleh kerajaan untuk kerja-kerja komunikasi melakukan apa-apa kesalahan atau melanggar mana-mana undang-undang, ia tidak membabit unsur-unsur jenayah.

“FBC ini dia mempunyai masalah melanggari peraturan di negara dia, saya difahamkan dia lebih rupai conflict of interest, ada perkara patut diisytiharkan, gagal diisytiharkan.

“Perkara-perkara dituntut untuk diisytiharkan di United Kingdom. Lebih merupakan melanggar peraturan United Kingdom, tak ada kena mengena dengan perkara yang boleh dianggap jenayah yang boleh menjejaskan penggunaan kita terhadap FBC sebagai agensi untuk membantu kita,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Abdul Aziz di Dewan Rakyat semasa sesi soalan hari ini.

Menjawab soalan daripada Mohd Hatta Md Ramli (PAS-Kuala Krai), Nazri berkata kontrak tiga tahun kerajaan dengan FBC Media yang dilantik sebagai perunding komunikasi bagi tempoh 2007-2010, dengan kos 19.6 juta Euro, berjaya memperkukuhkan hubungan antara Malaysia dan negara-negara barat.

"Oleh kerana kita gunakan FBC, kita lihat tahap penerimaan negara-negara Barat terhadap kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak ada meningkat," kata Nazri.

Rancangan FBC yang memaparkan Malaysia juga menyaksikan berita mengenai negara ini mendapat tempat di media-media negara Barat. -mk

Guna FBC Media RM84 juta, k’jaan nafi peranan kementerian

KUALA LUMPUR 2 Nov: Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Mohd Hatta Md Ramli mempertikaikan peranan Kementerian Luar Negeri mahupun kedutaan luar negara dalam usaha menaikkan imej negara di peringkat antarabangsa.

Beliau mempersoalkan jawapan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz berhubung tindakan kerajaan menggunakan syarikat media asing bagi menonjolkan imej Malaysia.

“Adakah terdapat kekurangan kepada mereka yang telah dilantik untuk mewakili negara di luar sebagai kedutaan, Matrade dan juga Kementerian Luar sehinggakan kita terpaksa melantik media asing sebagai konsultan bagi menaikkan imej negara ini?

“Kita melihat lantikan media asing itu bukan mendatangkan kebaikan tetapi sebaliknya telah menjatuhkan imej negara di persada antarabangsa apatah lagi FactBased Communication (FBC) Media yang berada di United Kingdom itu telah dikenakan tindakan kerana salah laku yang dilakukan oleh mereka,” katanya.

Sebelum itu, Nazri menjelaskan kerajaan melantik FBC Media sebagai konsultan untuk menaikkan imej Malaysia dan juga Perdana Menteri di peringkat antarabangsa, lapor Harakah Daily.

Nazri juga memberitahu kontrak selama setahun itu disambung sebanyak dua kali dan tamat pada 2010 dengan kos perbelanjaan selama tiga tahun sebanyak Euro 19.6 juta (RM84 juta).

Dr Hatta yang merujuk jawapan Nazri itu berkata, jika dilihat secara menyeluruh ia mengambarkan satu usaha yang baik tetapi hakikatnya mendatangkan kesan buruk kepada negara.

“Kita melihat apa yang dilakukan oleh FBC Media itu melanggar etika kewartawanan dan juga penyiaran di United Kingdom sehinggakan British Broadcasting Corporation (BBC) telah mengambil tindakan kepada FBC Media,” tambahnya lagi.

Beliau juga memberitahu FBC Media sekarang sudah hampir bankrap. (rujuk laporan di bawah)

Katanya, pihak-pihak lain juga tidak lagi mahu menggunakan khidmat mereka sebagai konsultan yang mana lebih mendatangkan keburukan daripada kebaikan kepada sesebuah negara -KD


FBC hadapi kemungkinan muflis

Penerbit kandungan televisyen London FactBased Communications (FBC Media), yang menerbitkan program bagi menggilap imej ahli politik Malaysia baru-baru ini, kini dilapor menghadapi kemungkinan muflis.

FBC Media dan syarikat induknya FBC Group kini sedang disusun semula bawah pentadbiran Hillier Hopkins Corporate Recovery, lapor media United Kingdom The Independent.

"Pada akhirnya, jika terdapat wang untuk pemiutang, ia akan dibayar melalui dividen," pentadbir David Butler dilaporkan sebagai berkata.

Harian itu melaporkan Hillier Hopkins sebagai berkata, ia kini cuba mewujudkan keadaan "sejauh mana aset syarikat untuk memaksimumkan segala potensi pulangan kepada bekas pekerja dan lain-lain pemiutang".

Pentadbir itu menambah bahawa keadaan sekitar insolvensi juga akan disiasat. -mk


Jamil Khir Selewengkan Wang Zakat Keluarkan Buku Burukkan PAS

Kuala Lumpur 2 Nov: Ahli parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar menuntut penjelasan segera Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom kerana menyeleweng wang zakat untuk tujuan politik.

Gambar: Mahfuz menunjukkan surat arahan Jamil kepada Yayasan Taqwa untuk membayar sebuah syarikat yang membekal buku bertajuk ' Bukti Pas bukan parti Islam'

Mahfuz menunjukkan surat arahan Jamil kepada Yayasan Taqwa untuk membayar sebuah syarikat yang membekal buku bertajuk ' Bukti Pas bukan parti Islam'.

"Berdasarkan satu surat, katanya, menteri itu didakwa mengarah Yayasan Taqwa membayar kepada sebuah syarikat yang membekal buku bertajuk ‘Bukti Pas bukan parti Islam’ kepada sekumpulan imam dan bilal.

Yayasan Taqwa ialah badan yang berada di bawah kementerian Jamil Khir yang menerima dan mengagih wang zakat.


Buku itu pula diberi kepada sekumpulan bilal dan imam masjid dalam sebuah program anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Beliau difahamkan, kandungan buku itu turut diulas dengan memburukkan Pas.

“Kita tiada masalah jika diserang, tetapi isunya ialah, mengapa serang Pas guna wang zakat?.

“Miskin sangatkah Umno sampai wang zakat pun diseleweng untuk tujuan politik umno,”
katanya dalam sidang media di parlimen hari ni.

Petikan surat itu berbunyi ‘sukacita dimaklumkan bahawa YB Mejar Jeneral Datuk Seri Jamil Khir Bin Baharom, Menteri di JPM telah bersetuju untuk membeli buku itu sebanyak 250 unit,’

‘Mohon kerjasama tuan untuk membuat pembayaran ke syarikat itu,’ kenyataan surat itu dipetik dan ditandatangani oleh Setiausaha Sulit Jamil Khir, Leftenan Kolonel Ab Jabar Mohamad Aris.

Beliau difahamkan, kursus yang sudah tiga kali diadakan itu turut dihadiri pegawai tertinggi polis Bukit Aman dalam setiap siri.

Manakala ucapan penutup disampaikan oleh bekas perdana menteri dan bekas presiden Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Kesemua bilal dan imam dari seluruh Kedah itu dibawa ke sebuah dewan di Bangi untuk mengikuti kursus berkenaan.

“Kursus itu kata peserta tidak lebih kepada brainwash untuk mereka dan mebmuruk-burukkan Pas atas nama program Jakim,” kata Mahfuz yang turut mengedar salinan surat itu kepada media.

Jamil sebelum ini didakwa menggunakan wang zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) sebanyak RM32 ribu bagi membiayai yuran guaman beliau dan Ketua Pengarah Jawi, Datuk Che Mat Ali dalam isu qazaf yang difailkan Datuk Seri Anwar Ibrahim. -KD