26 Dis 2013

"Guling Kerajaan": Kain Rentang Memfitnah Pakatan Dikesan


Sungai Jarum - Pemuda Pas Kuala Langat kesal tindakan pihak tidak bertanggungjawab mengaitkan PR dengan penggantung kain rentang mengajak masyarakat menyertai perhimpunan menggulingkan kerajaan pada 31 Disember ini.

Ketuanya, Hairul Nizam Tohar berkata, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan tegas ke atas pihak yang cuba mengganggu gugat keharmonian dan kesejahteraan penduduk negara ini.

Menurutnya, pihaknya masih percaya sistem demokrasi dan menghormati ketenteraman awam, namun jika menyalahgunakan nama dalam mengajak masyarakat untuk menjatuhkan sesuatu pihak tidak sepatutnya berlaku.

“Saya menerima maklumat satu kain rentang telah digantung di Jalan Telekom Lama, Banting sekali gus mengarahkan ahli supaya menurunkan kain rentang terbabit supaya tidak meragukan masyarakat.

“Tindakan itu menunjukkan ada unsur sengaja ingin menjatuhkan imej PR selain menunjukkan sikap tidak profesional mereka dalam menimbulkan isu baru,” katanya kepada Sinar Harian di pejabatnya.

Hairul Nizam berharap penyebaran fitnah seperti itu dihentikan supaya tiada berlakunya sikap menuding jari.

Katanya, orang ramai juga diharapkan segera melaporkan kepada polis sekiranya menerima maklumat berhubung pemasangan kain rentang berkenaan.

Selain itu, Hairul Nizam berkata, pihaknya difahamkan pemasangan kain rentang berkenaan bakal dipasang lagi namun pihaknya mengambil langkah berwaspada untuk membanteras pemasangan tersebut daripada berleluasa.

Dalam pada itu, semalam, lebih 20 ahli Pemuda Umno Bahagian Kuala Langat, Puteri Umno Bahagian Kuala Langat bersama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengadakan bantahan secara aman mengenai pemasangan kain rentang mengajak masyarakat menyertai aktiviti menggulingkan kerajaan pada 31 Disember di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat. -SH

Najib Di Ambang Kejatuhannya...

Berapa Lama Lagikah Najib Mampu Bertahan?

Kritikan demi kritikan yang diterima Najib sejak kebelakangan ini jelas memperlihatkan kerajaan yang sedang dipimpinnya semakin lemah dan ditolak oleh rakyat. Jika sebelum ini kegagalannya menangani kenaikan harga barang lebih banyak dikritik oleh pihak pembangkang, mutakhir ini pula memperlihatkan suara dari dalam UMNO sendiri semakin lantang mengenainya.

Selain Ahli Parlimen Pulai dan Pengerusi PAC, Nur Jazlan Mohamed, ahli akademik pro BN, Ridhuan Tee Abdullah yang sudah bersuara mengenainya, semalam pula bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Saifuddin Abdullah turut bersuara dengan nada yang serupa.

NGO Perkasa yang sejak penubuhannya dilihat pro kerajaan dan Najib juga sudah mulai berbeza nada, malah memberi amaran mahu mengambil alih peranan UMNO dalam membela nasih rakyat lantarah UMNO dilihat semakin jauh daripada perjuangan membela nasib Melayu dan rakyat sejak kebelakangan ini.

Ada yang mengatakan di belakang Perkasa ialah Mahathir Mohamad dan jika dilihat hubungan Perkasa dengan Mahathir sejak sekian lama, malahan Ibrahim Ali dapat bertanding sebagai calon Bebas dalam pilihanraya umum lalu di Pasir Mas sehingga membuatkan calon UMNO, Johan Che Pa tidak mengemukakan borang pencalonannya, turut dikaitkan dengan campurtangan bekas Perdana Menteri itu.

Sementara pembangkang dan pelbagai NGO mereka terus menguatkan tekanan terhadap Najib dan kerajaan supaya lebih memikirkan kenaikan kos sara hidup rakyat yang sedang terhimpit sekarang, suara-suara dari dalam yang sebelum ini pro UMNO dan kerajaan juga sudah memperlihatkan rentak dan nada yang seirama.

Puncanya tentulah tidak lain kerana mereka juga sudah dapat mengesan kesengsaraan rakyat akibat kenaikan kos sara hidup ini. Selepas ini, mungkin ada lagi yang turut bertindak sama.

Jika dulu Pak lah mula menerima kesan penolakan rakyat akibat tindakannya menaikkan harga minyak sebanyak 78 sen yang kemudian dihubung-kaitkan dengan pelbagai kelemahannya yang lain, Najib pula dilihat mula menerima kesan yang sama akibat tindakannya menaikkan beberapa jenis barang dan perkhidmatan sejak kebelakangan ini.

Najib bukan saja sedang menuruti jejak Pak Lah, bahkan langsung tidak mengambil teladan daripadanya.

Satu demi satu kenaikan yang gagal dikawalnya telah menyebabkan populariti Najib kini hanya tinggal 52 mata berbandinpg 62 mata sebelumnya berdasarkan kajian Merdeka Center manakala Umcedel pula dalam kajian terbarunya turut mendapati kenaikan harga barang akan menjadi beban yang akan terus menurunkan sokongan rakyat terhadap kerajaan.

Selain mendapati 42 peratus kemarahan rakyat adalah kerana kenaikan harga minyak, 34 peratus kerana kenaikan harga barang dan 24 peratus disebabkan kenaikan tarif letrik, kajian Umcedel juga mendapati bantuan BR1M tidak lagi berkesan dalam meringankan beban kehidupan rakyat.

Yang lebih buruk ialah, di sebalik kemarahan rakyat kian meningkat, pembangkang makin agresif meningkatkan prestasinya dan lebih banyak pula dari dalam UMNO dan kerajaan sendiri yang mengkritik kepimpinan Najib, tindakan mempertahankan Najib pula hampir tidak kedengaran.

Lebih ramai yang memilih untuk berdiam diri daripada mengeluarkan suara mempertahankan Najib. Najib seolah-olah mula keseorangan dalam menpertahankan diri dan kerajaan yang sedang dipimpinnya sekarang. Dalam isu melibatkan isterinya yang diserang baru-baru ini, Rosmah Mansor akhirnya terpaksa tampil sendiri mempertahankan diri dengan menulis surat yang panjang mengenainya.

Suara-suara dari sayap parti iaitu Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO juga hampir-hampir tidak kedengaran membela dan menpertahankan Najib dan kerajaan sedangkan dalam Perhimpunan Agung UMNO baru-baru, masing-masing mengaku merekalah tulang belakang dan tulang depan kepada parti dan kerajaan.

Apakah tulang-tulang ini sudah bengkok dan hampir patah sekarang ini? Mana jentera siber Pemuda UMNO dalam hal ini?

Jentera media sosial yang diakui sebagai medium paling utama dalam menghadapi pilihanraya akan datang pula, dilihat sudah terkulai sebelum masuk medan perjuangan. Selain terdapat blog dan media sosial pro UMNO yang berdiam diri daripada mempertahankan Najib dan kerajaan, selebihnya turut juga lantang mengkritik. Yang mengaku sudah menjadi bebas dan tidak lagi mahu dikaitkan dengan pro mana-mana parti juga sudah ada.

Semua ini memperlihatkan kedudukan Najib sekarang ini sebenarnya lebih parah berbanding ketika Pak Lah diserang dan mahu dijatuhkan dulu. Ketika itu Mahathir terpaksa bekerja keras ke seluruh negara dan menghadiri pelbagai program di merata tempat untuk menjustikasikan perlunya Pak Lah diturunkan sebagai Perdana Menteri, namun menteri kabinet dan pemimpin UMNO ramai yang masih lantang mempertahankannya.

Namun sekarang ini, sementara tekanan kian meningkat, suara yang mempertahankannya juga hampir tidak ada. Kalau ada pun yang bersuara hanyalah daripada pemimpin yang semakin terhakis wibawanya seperti Isa Samad dan Ahmad Maslan, manakala yang lain-lain lebih selesa memilih berdiam diri dan menjaga hal masing-masing.

Ini menjadikan persoalan yang bermain di fikiran ramai orang ialah sampai bilakah Najib mampu bertahan menghadapi semua tekanan ini? Tetapi dengan sokongan yang semakin merosot hari demi hari ini, semakin ramai yang percaya bahawa Najib tidak akan dibenarkan terus mengetuai UMNO dan BN dalam PRU 14 nanti kerana kemungkinan BN hilang kuasa lebih besar jika beliau terus kekal

Yang paling tidak mahu melihat UMNO dan BN kalah pastinya Mahathir. Yang lain-lain ada yang merasakan hanya kekalahan dan hilang kuasa merupakan pengajaran bermakna bagi UMNO dan para pemimpinnya. Selebihnya pula merasakan apa salahNya PR diberi peluang pula.

Dan ramai juga yang percaya kerja Mahathir jauh lebih mudah kali ini. Berbanding ura-ura dan tohmahan bahawa kerajaan mahu digulingkan melalui demonstasi, Najib sebenarnya lebih mudah tergolek jika Mahathir mulai bersuara. -shahbudindotcom

Kerajaan BN, PM jenis apa tidak hiraukan masalah rakyat – NJ


BARISAN Nasional (BN) ini kerajaan jenis apa dan Datuk Seri Najib Razak pula Perdana Menteri jenis apa yang sanggup membutakan mata, memekakkan telinga sehingga membuatkan rakyat berpendapatan rendah semakin meluat kerana penderitaan mereka yang dibebani kenaikan harga barang tidak dipeduli dan dihiraukan.

Kalau macam inilah kerajaan BN dan Perdana Menteri yang menjadi sanjungan dan sokongan juak-juak UMNO, maka mereka patut terus memilih BN dan pemimpin sedemikian mentadbir negara untuk menjadi ‘lintah’ menghisap darah rakyat sehingga menjadi papa kedana, manakala kroni mereka terus dibelai menjadi kaya raya.

Ketika ini tidak ada orang yang tidak mengeluh dan terkejut dengan kenaikan harga barangan berikutan kenaikan harga petroleum sebanyak 20 sen, pemansuhan subsidi gula sebanyak 34 sen, menaikkan tarif elektrik hampir 15% dan terbaru bakal menaikkan kadar tol mulai tahun depan serta Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) mulai April 2015.

Masalahnya bukan setakat harga petrol dan diesel serta gula yang naik, tetapi ia membabitkan barangan lain kerana kos pengangkutan turut meningkat.

Ramai terkejut termasuk sendiri ketika berkunjung ke sebuah pasar raya baru-baru ini apabila mendapati harga ikan naik melambung termasuk ikan jenis pelaling dan selayang (sardin) (jenis ikan makanan orang miskin) kini dijual sehingga RM10 sekilogram berbanding sebelum ini hanya RM6 atau RM7 sekilogram.

Saya juga mengambil kesempatan meninjau harga beberapa jenis ikan lain, termasuk cencaru dan kembung, juga ikan jenis murah yang mampu dibeli rakyat miskin. Tetapi semua ikan itu juga dijual sehingga RM12 sekilogram.

Disebabkan harganya mahal, jadi saya tidak membeli ikan berkenaan, sebaliknya balik hampa tanpa membeli apa-apa.

Pada malamnya saya meninjau pula harga ikan yang dijual di pasar malam. Saya lagi terkejut apabila ikan yang dijual di situ lagi mahal sedangkan ia menjadi tumpuan orang Melayu.

Di pasar malam itu, ikan jenis sama dijual dengan harga lebih tinggi iaitu pelaling dijual dengan harga RM12 sekilogram dan ikan tongkol dijual RM13 sekilogram.

Ramai suri rumah juga mulai merungut dan mengeluh kerana mendakwa kalau pergi ke pasar raya atau kedai runcit sekarang ini tidak cukup jika membawa wang hanya RM50 kerana semua barangan beli harganya mahal.

Bapak menteri terutama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan wajar ambil langkah meninjau sendiri harga barangan di pasaran sekarang baru mereka tahu sendiri keadaan sebenar yang sedang menghantui rakyat miskin.

BN tidak langsung memperdulikan masalah rakyat sebaik sahaja memenangi Pilihan Raya Umum ke-13 lalu, sebaliknya mengumumkan kenaikan harga petrol, diesel dan gula menyebabkan barangan keperluan lain turut naik.

Sedangkan sebelum PRU-13, BN berjanji macam-macam termasuk memberi jaminan tidak akan menaikkan harga petroleum dan gula bagi mengurangkan subsidi dan tidak lama lagi rakyat akan dibelenggu dengan masalah kenaikan tol, tarif elektrik dan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang didakwa tidak dapat dielakkan.


Kerajaan BN bertindak demikian kerana mereka tahu rakyat akan terus memilih BN memerintah negara kerana mendakwa rakyat tidak yakin dengan parti lain, termasuk Pakatan Rakyat yang dianggotai PAS, DAP dan PKR.

Kenapalah rakyat masih ‘buat hati’ sehingga tidak dapat menilai kemampuan Pakatan Rakyat yang terbukti lebih baik, tidak membazir, tidak rasuah, tidak menyeleweng dan salah guna kuasa ketika mentadbir Pulau Pinang, Selangor, Kedah dan Kelantan berbanding ketika negeri itu ditadbir BN.

Kebelakangan ini bukan setakat pemimpin Pakatan Rakyat yang membantah keras tindakan kerajaan yang rasuah, boros dan melakukan pembaziran, malah beberapa pemimpin UMNO sendiri mula bersungut dan bimbang dengan kenaikan itu akan menyebabkan BN kalah teruk pada PRU-14 nanti.

Diharap rakyat tidak lagi mudah ‘dibeli’ ketika pilihan raya umum sebaliknya bertekad mengajar pemimpin dan BN pada PRU-14 nanti.

Ada juga cadangan agar semua rakyat turut ke jalan raya menyertai demonstrasi anjuran NGO dan PR untuk menuntut kerajaan menarik balik cadangan menaikkan tarif elektrik, tol dan pelbagai kenaikan yang diputuskan sebelum ini.

Bagaimanapun, langkah itu agak sukar kerana BN bergantung sepenuhya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk bertindak dapat menghalang demonstrasi itu.

Tidak dapat dinafikan, Malaysia yang dipimpin Najib kini berhadapan masalah ekonomi, defisit kian melebar, hutang semakin meningkat, inflasi terus menjalar dan tabungan semakin sukar.

Walaupun transformasi dijana dan janji dijaja, barah rasuah dan disiplin integriti masih kekal di tahap lama.

Kerajaan dilihat mengambil formula mudah untuk mengatasi masalah ini – cukai dinaikkan, subsidi dikurangkan, integriti dipertikaikan.

Jika demokrasi adalah pemerintahan “dari rakyat, untuk rakyat, oleh rakyat”, ekonomi yang sihat juga begitu sifatnya.


ULASAN GB

Hukum kebenaran dan keadilan akan tetap berjalan. Kemenangan dengan penipuan adalah satu jenayah dan tiada keberkatannya.

Seperti yang GB katakan sebelum ini, kemenangan melalui penipuan adalah kemenangan yang rapuh ... dan ia akan tumbang dengan sendirinya kerana "dasarnya" lemah.

Sakmongkol pernah mendedahkan:

Najib bukanlah pemimpin yang kuat. Dalam kawasan parlimen nya, kita amat hairan bagaimana jumlah pengundi mencecah 80,260 orang. Orang yang tidak datang dari Pekan tentulah tidak memahami perkara ini. Sesak dan semak Pekan jika ada orang seramai ini.

Dari tahun 2004 hingga 2008, jumlah pengundi bertambah pada kadar 5534 orang sahaja. (dari 52, 683 dalam tahun 2004 kepada 58,217 dalam tahun 2008). Ini pertambahan yang munasabah memandangkan ada kem tentera wataniah dan kolej2. Tapi sejak tahun 2008 hingga 2013, yakni 5 tahun, jumlah pengundi bertambah secara mendadak dengan tambahan 22,043. Ini pertambahan yang menakjubkan. Dari mana datang nya 22,043 ini?

Kita tahu pegawai2 Najib menjalankan operasi membawa masuk orang asing dan memberi kad pengenalan kepada mereka. Sekurang kurang 18,000 warga asing dari kemboja dan Myanmar dijadikan rakyat negara ini dan beralamat di Pekan. Kalau kita tolak 18,000 dari majoriti Najib dalam tahun 2013, maka majoriti nya hanyalah 17,000. Dan mengikut maklumat dari orang Pekan sendiri, pertambahan pengundi asing amat mendadak antara 2008-2013.

Sekarang Najib dihempuk dengan pelbagai masalah. Kajian membuktikan popularitinya merudum, hutang negara meningkat, kenaikan harga meniyak, gula dan barang keperluan lain dan cadangan kenaikan tol serta pengenaan GST yang bakal menyebabkan kos sara hidup rakyat meningkat yang mengakibatkan kemarahan rakyat juga meningkat.

Langit juga seperti turut tidak merestui - banjir menenggelamkan Kuantan dan Kemaman dengan dasyat, termasuk kawasan parlimennya sendiri Pekan yang melihat diantara mangsa banjir paling ramai dipindahkan sewaktu UMNO sedang sibuk bersidang di PWTC!

GB pernah juga mengulas bahawa GB amat yakin sekali jika kerajaan Najib dan UMNO BN memperolehi kemenangan dengan cara penipuan, kerajaannya akan tumbang tidak berapa lama lagi.

Dan semua yang terlibat dengan penipuan akan tetap dihukum walaupun penipuan itu licik dan tidak diketahui orang. Tetapi Allah Maha Mengetahui! Anda tidak boleh lari.

Kebatilan tidak akan dapat mengalahkan kebenaran selama-lamanya. Itu hukum alamiah, itu hukum Allah swt!

Azan Safar Dibebaskan, Himpunan TURUN 31.12.13 Diteruskan

Pemimpin Gerakan Turun Kos Sara Hidup (TURUN) Azan Safar berkata sisasatan polis ke atasnya tidak menghalang beliau untuk meneruskan kempen '2014 Tahun Sengsara Rakyat' melalui perhimpunan besar di Dataran Merdeka pada malam 31 Disember.

Azan, yang dibebaskan polis selepas ditahan selama 20 jam semalam turut mempersoalkan tindakan berkenaan, serta tuduhan “serkap jarang” ke atasnya, kerana didakwa terlibat dalam usaha untuk menggulingkan kerajaan.

Adakah dengan memperjuangkan hak dan suara rakyat supaya bebanan kos sara hidup mereka diturunkan, maka, saya digelar penjenayah berat dan diserbu sebagai seorang penjenayah?

“Hakikatnya, saya menyeru masyarakat turun dan menyatakan sokongan mereka supaya kerajaan tidak mengambil ringan dan memandang enteng masalah beban kos sara hidup rakyat menjelang 2014.

“Di manakah salahnya?,”
katanya lagi dalam kenyatannya, yang mengimbau semula detik-detik ketika beliau ditahan sepasukan anggota polis semasa sedang makan di Kampung Baru, Kuala Lumpur pada malam Isnin.

Beliau turut menegaskan bahawa TURUN sama sekali tidak terlibat dengan satu lagi perhimpunan yang dipromosi sebagai "Himpunan Guling Kerajaan", juga pada malam tersebut.

"TURUN sentiasa menghormati sistem demokrasi berparlimen di negara kita," katanya. -mk


Himpunan Turun lebih baik dari konsert lalai tahun baru


: Gerakan Turun Kos Sara Hidup (Turun) yang dijanakan oleh mahasiswa membawa perjuangan agar kerajaan minoriti 47% yang ditunjangi Umno BN memahami keperitan rakyat dalam mendepani kenaikan melampau dan mendadak kos sara hidup.

“Sama ada sedar atau tidak, sepatutnya menjadi tekanan dan tanggungjawab lebih terpikul kepada BN untuk lebih mendengar saranan dan desakan yang dibawa rakyat kerana kedudukan minoriti mereka,” ujar Exco Perhubungan Awam SRC UIAM 2013/2014, Nor Azhar Baharum.

Namun, katanya tema Turun yang digerakkan mahasiswa sudah disalahtafsirkan oleh pihak pendakwaan (tidak pasti arahan sulit daripada Kementerian Dalam Negeri) sehingga difahami sebagai proses penggulingan kerajaan pusat.

Baginya, himpunan yang dirancang Turun pada 31 Disember 2013 sebagai suatu himpunan bagi meluaskan penerangan membumi kepada massa bawahan.

Menurutnya, Himpunan Turun yang akan dianjurkan kelak juga jauh lebih baik daripada penganjuran konsert hiburan sambutan tahun baru yang melalaikan.

Ini, ujarnya kerana diyakini Turun akan mengetuk dan menjetik minda belia agar lebih cakna akan kehidupan masa depan yang mencabar pasca kenaikan kos sara hidup.

Beliau berkata, penangkapan Pengerusi Turun, Muhammad Azan Safar membuktikan suara mahasiswa dan belia masih dianggap ancaman bahaya dan bukannya kritikan membina kepada kerajaan.

Katanya lagi, kerajaan seharusnya beruntung memiliki barisan pemuda Malaysia yang lantang menyuarakan suara dan tampil ke depan mengkritik untuk membangunkan sebuah negara demokratik dan selamat.

“Penangkapan ini menambah lagi siri episod hitam dalam lipatan perjuangan mahasiswa dalam negara kita,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Justeru, kata beliau SRC UIAM menyatakan sokongan terbuka kepada Turun kerana menyedari kehidupan zaman universiti dan pasca graduasi adalah masa perit mahasiswa dan belia pedih menanggung kos kenaikan sara hidup.
-HD