21 Mac 2010

Penubuhan Petronas Tidak Sah?

Exco Kerajaan Negeri Kelantan Datuk Husam Musa berkata, pihaknya memang sudah lama menyedari penubuhan Petronas kemungkinan besar tidak sahih tetapi tidak mengambil berat soal tersebut.

Sebaliknya beliau yang bertanggungjawab terhadap soal membawa tuntutan mendapatkan royalti minyak berkata, kerajaan negeri mahu memberi fokus terhadap pertikaian itu berbanding soal status Petronas semata-mata.

“Sebenarnya, semasa peguam-peguam penasihat Kerajaan Negeri berbincang sebelum ini, isu seperti ini ada dibangkitkan.

“Termasuk sudut lain bahawa perjanjian yang dibuat oleh Kerajaan Negeri dengan Petronas adalah tidak sah dan tidak terpakai berasaskan sebab-sebab yang lain.

“Namun, kami mengambil pendirian mengenepikan sementara waktu pandangan seperti itu kerana ia akan merosakkan Petronas,” kata beliau dalam tulisan blognya hari ini.

Semalam profesor undang-undang Datuk Dr Shad Saleem Faruqi berkata kewujudan firma minyak negara Petronas kemungkinan tidak sah kerana undang-undang penubuhannya telah diluluskan sebelum ia menandatangani perjanjian dengan semua negeri.

“Saya merasakan beberapa aspek dalam akta Petronas adalah tidak sah,” kata Shad pada satu forum di sini.

Di bawah perjanjian yang ditandatangani pertengahan 1970-an semua negeri telah dijanjikan bayaran tunai lima peratus ke atas minyak yang dikeluarkan di pesisir pantai atau di luar pesisir pantai sebagai balasan kepada penyerahan hak kawalan ke atas sumber-sumber petroleum kepada Petronas.

Shad berkata, akta itu diluluskan sebelum kesemua negeri menandatangani perjanjian dimaksudkan.

Dalam tulisan di blognya hari ini, Husam memberitahu beliau memilih pandangan yang lebih sederhana iaitu mengikut undang-undang dan perjanjian serta konvensyen selama ini, Kelantan berhak mendaapatkan royalti bagi semua pengeluaran minyak dan gas di luar pantainya.

“Petronas sebuah entiti haram - sekurang-kurang itu pendapat Prof Shad Faruqi. Petronas sebuah badan perniagaan haram?

“Jika itu bukan sebuah letupan di muka Petronas, menunggu letupan yang lebih besar takut nanti sudah terlewat dan hanya meranapkan terus integriti Petronas,” katanya.

Beliau juga mempersoalkan “adakah berbaloi bagi sebuah badan koporat bertaraf dunia untuk dihalakan peluru yang menembusi maruah korporatnya semata-mata kerana cuba mengelak membayar kepada Kelantan apa sebenarnya terhak?”

“Ketika Petronas sedang cergas melabur berpuluh bilion dolar di luar negara, kedudukan penubuhannya sendiri di sisi undang sampai dipertikaikan.

“Apa akan jadi jika pendapat Shad Faruqi itu sampai kepada negara-negara Petronas ada berikat?

“Apa akan jadi jika ada pihak menggunakan pandangan Shad Faruqi untuk mengisytiharkan Petronas bukan sebuah entiti yang sah?” katanya.

Tambah beliau, Petronas dan pemimpin kerajaan pusat nampaknya memilih permainan yang lebih kasar.

Husam menambah, bekas timbalan perdana menteri Tun Musa Hitam pula menjadi tokoh Umno kedua secara terbuka memberi pandangan yang berbeza tentang bayaran royalti berbanding pendirian rasmi kerajaan pusat.

“Apa pun nama bayaran yang diberikan, pembayarannya hendaklah kepada kerajaan negeri Kelantan — kata Tun Musa,” katanya. Justeru Husam menyoal selama mana Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mahu menunggu untuk membetulkan semula sikapnya.

“Berapa ramai tokoh lagi ditunggu Najib untuk memberikan 'tamparan demi tamparan'?' katanya. -MI



Sultan Kelantan berkemampuan lafaz talak kepada isteri kedua

Mahkamah Tinggi Syariah di sini diberitahu bahawa Sultan Kelantan Tuanku Ismail Petra sudah berkemampuan membuat keputusan termasuk melafazkan perkataan cerai talak tiga terhadap isteri kedua baginda Cik Puan Elia Suhana Ahmad.

Peguam Syarie Zainul Rijal Abu Bakar yang berhujah di hadapan Hakim Syarie Abdullah Man berkata, ini berdasarkan keterangan tiga doktor pakar dari Hospital Mount Elizabeth, Singapura melalui surat bertarikh 1 Feb lalu kepada Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Pemangku Raja Kelantan Tengku Muhammad Faris Petra.

“Berdasarkan kepada surat itu, baginda Sultan berkemampuan membuat keputusan sendiri,” kata beliau sewaktu berhujah menafikan dakwaan defendan melalui peguamnya Fakhrul Azman Abu Hassan.

Sultan Kelantan kembali ke Kota Baru dari Singapura awal bulan ini.

Zainul Rijal berkata, Sultan Kelantan didakwa telah menjatuhkan talak itu kepada Elia Suhana pada 12 Feb lalu.

Beliau juga turut membacakan satu perenggan daripada surat itu yang berbunyi “His Royal Highness (HRH), Sultan of Kelantan Sultan Ismail Petra is currently capable of making his own decision”.

“Pihak kami (plaintif) akan berhujah mengikut undang-undang syariah kenapa pihak ketiga yang membuat permohonan cerai ini,” katanya.

Fakhrul Azman berkata, pihaknya telah memfailkan permohonan interlokutori atau permohonan dalam permohonan pagi ini untuk membatalkan permohonan lafaz cerai Sultan Kelantan terhadap Elia Suhana yang difailkan seorang wanita Nik Rorhana Wan Abdul Rahman, 60, baru-baru ini.

Beliau berkata permohonan pembatalan itu menyebut tidak sepatutnya ada pihak ketiga yang membuat permohonan lafaz cerai.

Selain itu, defendan turut memohon satu pemeriksaan kesihatan dilakukan terhadap baginda kerana meragui kedudukan kesihatan

Sultan Kelantan yang kini dilaporkan dalam keadaan gering.

Zainul Rijal kemudiannya berhujah mendakwa permohonan membuat pemeriksaan itu tidak relevan, yang sepatutnya perlu dilakukan sebelum berlakunya lafaz cerai oleh baginda.

Beliau kemudiannya berkata pihak plaintif akan menerangkan secara terperinci mengenai penggunaan pihak ketiga dalam membuat permohonan lafaz cerai itu.

Dalam pada itu, Fakhrul Azman memberitahu Sultan Ismail Petra disiasat dan ditemui oleh Majlis Ulama Kelantan berhubung lafaz talak tiga dalam kes permohonan pengesahan cerainya terhadap Elia Suhana memandangkan Sultan adalah ketua agama.

“Kita tidak mahu isu ini akan mencemarkan kedaulatan sultan sebagai ketua agama yang didakwa melafazkan talak tiga,” kata beliau ketika ditemui di pekarangan Mahkamah Tinggi Syariah.

Sementara itu pada prosiding hari ini, Elia Suhana memohon untuk membuat bantahan awal berhubung kes tersebut yang telah difailkan bulan lalu.

Sebelum ini dilaporkan Nik Rorhana adalah individu yang bertanggungjawab memfailkan permohonan tersebut.

“Bagi pihak Cik Puan (Elia Suhana), kami tidak bersetuju dengan permohonan dikemukakan oleh pihak ketiga yang memang mencurigai lebih-lebih lagi dalam keadaan kesihatan Tuanku sendiri yang dikatakan sedang gering.

“Malah berdasarkan kenyataan sebelum ini kerajaan negeri mengatakan Sultan Kelantan belum berkemampuan, maknanya masih gering,” katanya.

Sehubungan itu Zainul Rijal yang mewakili Nik Rorhana berkata, pihaknya telah bersedia bersama hujahnya untuk menghadapi kes tersebut.

“Kita akan berhujah dari sudut hukum termasuk undang-undang syariah dalam kes ini selepas menerima surat bantahan itu,” katanya.

Hakim Syarie menangguhkan prosiding sehingga 4 April ini untuk mendengar semula kes itu.

Abdullah menetapkan 4 April ini sebagai tarikh sebutan semula bagi membolehkan pihak plaintif menerima salinan permohonan pembatalan lafaz cerai itu.

Abdullah juga bersetuju agar kes itu didengar bersama tuntutan defendan yang meminta pihak Istana akur terhadap keputusan mahkamah yang sama membenarkan beliau melawat baginda seperti yang diputuskan.

Pada 4 Feb lepas, Mahkamah Tinggi Syariah di sini membenarkan Elia Suhana secara rasmi melawat Sultan Kelantan dari pukul 7 pagi Sabtu sehingga 7 pagi Isnin setiap minggu, namun perintah itu gagal dipatuhi.

Pada 21 Feb pula, mahkamah yang sama mengeluarkan notis tunjuk sebab terhadap Raja Perempuan Kelantan Tengku Anis Tengku Abdul Hamid dan dua kakitangan istana yang lain mengapa tindakan tidak boleh diambil kerana mengingkari perintah itu.

Elia Suhana dan Nik Rohana hadir sama pada prosiding hari ini.



Siasat Anwar Untuk Tutup Isu APCO

Tindakan Umno membuat laporan polis dan mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana di dakwa menggunakan nama Yang DiPertuan Agong dan Angkatan Tentera berhubung agenda 16 September di lihat usaha menutup kesilapan negara dengan penglibatan APCO Worldwide.

Ahli Parlimen Balik Pulau Yusmadi Yusoff menegaskan dakwaan yang di buat oleh Ahli Parlimen Bayan Baru Datuk Seri Zahrain Hashim di dalam Dewan Rakyat tidak boleh disiasat dan diambil tindakan undang-undang.

"Apa yang saya ingin nyatakan isu yang dikeluarkan di dalam Dewan tidak boleh diambil tindakan pihak berkuasa dan disiasat, kalau boleh di ambil tindakan maka semua Ahli Parlimen akan membuat laporan polis dan di siasat jika tidak puashati dengan apa yang di bahas di dalam Dewan.

"Bagi saya isu yang besar sekali adalah lihat dulu siapa watak Zahrain ini, seorang wakil rakyat yang melompat parti. Pihak polis dan SPRM perlu membuat siasatan terhadap semua wakil rakyat yang lompat parti kerana secara tidak langsung tindakan mereka melibatkan sogokan wang dan elemen rasuah.

"Zahrain yang sepatutnya disoalsiasat terlebih dahulu kerana kenyataan beliau tersirat satu agenda. Beliau yang sebelum ini kecewa kerana tidak mendapat apa yang dikehendaki sewaktu berada di dalam Pakatan Rakyat telah membuat pendedahan besar dan seolah-olah menutup kesilapan yang beliau lakukan.

"Zahrain telah menjadi orang suruhan Umno-Barisan Nasional dan tindakannya disebabkan terdapat unsur-unsur imbuhan yang telah dijanjikan oleh Umno-BN dan mempunyai motif politik," jelas beliau.

Yusmadi juga menjelaskan sepanjang bersama Zahrain dalam Pakatan Rakyat isu 16 September tidak pernah disuarakan oleh beliau melainkan isu kepimpinan sahaja.

"Sepanjang saya bersama beliau sehingga dia keluar parti, isu 16 September tidak pernah diperkatakan beliau dan yang selalu dikatakan hanya isu kepimpinan parti sahaja. Dalam isu ini saya berharap rakyat perlu melihat kepada apa yang dihujah oleh Anwar tentang penglibatan APCO Worldwide dengan kerajaan.

"Ini adalah isu yang paling penting sekali kerana melibatkan faktor keselamatan negara. Kita nak maklumkan APCO mempunyai hubungan dengan Israel dan salah satu konsultan APCO, Itamar Rabinovich adalah Duta Israel di Amerika dulu selain itu juga Klaus Naumann yang merupakan bekas Pengerusi Jawatankuasa Tentera Nato.

"Jika kita lihat pembabitan mereka adakan keselamatan negara kita terjamin? Pihak berkuasa sepatutnya menyiasat penglibatan Israel dalam aspek keselamatan negara bukannya tertumpu kepada kes 16 September yang hanya keluar dari mulut Zahrain yang secara terang rakyat tahu pembohongannya," tegasnya lagi.

Yusmadi menambah beliau akan membuat terus membangkitkan isu pembabitan APCO Worldwide dengan kerajaan dalam sidang Dewan akan mendesak pendirian kerajaan berkaitan isu itu. -SK

Musa Hassan, Anda Perlu Bersara Segera !

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, kebelakangan ini "semacam ada tekanan kepada pasukan polis, sama ada dari pihak politik atau orang-orang tertentu".

Menurutnya, mereka cuba memberi tekanan, mungkin kerana kurang selesa dengan tindakan yang beliau arahkan.

"Jadi, ada juga arahan yang diberikan terus kepada pegawai-pegawai bawahan saya tanpa pengetahuan pengurusan atasan," kata Musa dalam wawancara dengan Mingguan Malaysia hari ini.

"Bagi saya, ini merupakan satu trend yang salah kerana dalam pasukan polis, terdapat perintah dan kawalan.

"Yang hanya boleh memberi arahan adalah KPN kalau ikut undang-undang," katanya sambil menegaskan bahawa Seksyen 4 Akta Polis 1957 mengatakan bahawa semua arahan dan kawalan PDRM adalah di bawah KPN.

"Maka kalau ada mereka yang cuba campurtangan, ini boleh merosakkan polis. Kerana pada masa itu, anggota akan merasa serba salah kerana terdapat autoriti lain yang memberi arahan kepada mereka," tegasnya.

Musa menjelaskan, kalau ada seorang ketua yang memberi arahan, maka ketua berkenaan akan bertanggungjawab terhadap arahan itu.

"Dalam polis, jika ketua memberi arahan yang salah, maka dia perlu bertanggungjawab terhadap arahan itu," katanya sambil menambah bahawa tindakan undang-undang boleh diambil terhadap mereka.

"Tetapi jika orang ketiga yang memberi arahan dan kita tidak tahu siapa mereka, kemudiannya pegawai pula menjalankan kerja yang salah, jadi pegawai saya yang akan menjadi mangsa.

"Ini kerana kesalahan yang dilakukan, mengikut arahan yang tidak sepatutnya. Jika orang yang memberi arahan kemudiannya nafi memberi arahan tersebut, maka ia akan merosakkan pasukan polis," tegas Musa lagi.

Sehubungan itu, beliau berharap agar perkara sedemikian perlu dihentikan kerana pentadbiran kepolisian dan segala tindakan dan operasi dijalankan adalah di bawah bidang kuasa KPN dan pegawai atasan yang mengendalikan operasi berkenaan.
Ketika diminta mengulas mengenai laporan sebuah akhbar yang mendakwa beliau telah menghantar surat peletakan jawatannya, Musa berkata beliau hairan dan terkejut kenapa berita itu boleh keluar.

"Benda yang saya tidak buat, kata saya buat. Ini seolah-olah macam hendak mempercepatkan pemergian saya dari jawatan ini.

"Kita pun tahu bila hendak pergi, jadi tidak perlulah suruh dipercepatkan.

"Tapi kalau seseorang itu mahu mempercepatkan(nya), saya kena dapat arahan dari kerajaan untuk bersara awal.

"Jika demikian saya akan bersaralah. Itu yang saya boleh cakap tapi sekarang ini di pihak kerajaan tidak ada apa-apa yang berlaku," tambahnya.

Musa juga ditanya mengenai dakwaan yang menyatakan terdapat menteri yang tidak berapa sebulu dengan beliau.

"Itu saya tidak tahu. Saya hanya menjalankan tugas saya sama ada orang suka atau tidak selesa dengan cara saya menjalankan tugas, saya tidak tahu," jawabnya.

Ditanya sama ada isu tersebut akan memberi kesan kepada PDRM, Musa berkata: "Saya rasa begitulah".

"Kalau dilihat apabila seorang ketua boleh diperkotak-katikkan sebegini rupa, maka anggota bawahan akan turut merasa begitu," kata beliau sambil menambah, ada yang menghantar SMS bertanyakan kenapa jadi begitu.

"Saya pun tidak tahu nak jawab. Jadi saya suruh anggota saya bersabar. Saya pun faham, saya akan pencen pada bulan September ini," tambahnya.

Ulasan GB

Sikap menyalahkan orang lain tetapi gagal melihat kelemahan sendiri amat nyata di jawapan-jawapan Ketua Polis Negara di atas.

Anda sebenarnya TIDAK LAYAK sebagai untuk menjawat jawatan KPN. Itulah setidak-tidaknya pendapat kebanyakan rakyat. And atidak melakukan kerja anda dengan adil dan profesyenal. Dalam banyak ketika anda didorong oleh sikap ingin menonjolkan diri anda sebagai "pengampu" kepada kerajaan dengan mengabaikan tugas-tugas keselamatan yang lebih prioriti seperti mengurangkan jenayah dan sebagainya.

Anwar Anggap Usul Seret Ke Jawatankuasa Parlimen Jenaka Basi

London, Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan tindakan Jawatankuasa Peraturan Mesyuarat Parlimen untuk menggantung beliau daripada menghadiri parlimen berikutan pendedahan beliau slogan 1 Malaysia dan 1 Israel sebagai jenaka basi.

Kata beliau,"APCO Worldwide, sebuah firma perunding antarabangsa berpangkalan di Amerika Syarikat tidak seharusnya terbabit dalam sebarang urusan politik di negara ini".

Bercakap pada sidang media selepas berucap di London School of Economics, Anwar yang sebelum ini ditohmah kononnya ejen

Yahudi, menyifatkan persamaan Satu Malaysia dan One Israel sebagai satu “kebetulan aneh”.

Ironinya, Umno yang mendabik dada sebagai juara Melayu dan memperjuangkan Islam khususnya dalam isu kalimah Allah, melantik APCO yang dipimpin sebahagian Yahudi berfahaman Zionis.

Anwar menyifatkan beban tanggungjawab bagi menerangkan peranan sebenar APCO terletak di bahu pimpinan Umno.

Khamis lalu semasa membahaskan titah Yang Dipetuan Agong di dalam Dewan Rakyat Anwar telah memdedahkan hubung kait APCO dengan pemerintah Zionis Israel dan mempersoalkan bagaimana

Perdana Menteri sanggup menggunakan khidmat syarikat tersebut untuk memperbaiki imej kerajaan.

Walau bagaimanapun dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam APCO yang mempunyai pejabat di Malaysia menafikan syarikat tersebut terbabit dalam menasihati Najib berhubung gagasan 1Malaysia.

"Bertentangan dengan kenyataan yang dibuat di Parlimen Malaysia, 1Malaysia telah diilhamkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebelum kerajaan Malaysia melantik APCO. APCO tidak mempunyai peranan dalam mengadun konsep 1Malaysia yang telahpun terbentuk sebelum pembabitan APCO.

"Adalah tidak benar APCO mewakili kerajaan Israel seperti yang didakwa dalam Parlimen Malaysia. APCO tidak pernah terlibat dalam kempen hubungan awam berkaitan konsep Satu Israel," kata kenyataan itu.

4 Anggota Tentera Bawa Remaja Perempuan Kemalangan Di Ampang

Seorang wanita maut manakala empat lelaki termasuk tiga anggota tentera parah dalam satu kemalangan di KM 22 Jalan Lingkaran Tengah 2 (MMR2) dekat susur Bukit Antarabangsa, Ampang, Sabtu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang itu, kereta Proton Iswara yang dinaiki Nurul Adibah Mohammed Hazim, 19, bersama tiga rakannya yang merupakan anggota tentera terbabas sebelum melambung dan menghempap sebuah kereta Proton Waja di laluan bertentangan.

Ketua Trafik Ampang Jaya DSP Nordin Mahmood berkata wanita itu yang berasal dari Alor Gajah, Melaka mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala selepas tercampak keluar kira-kira 10 meter dari kenderaannya.

"Proton Iswara yang dinaiki mereka sedang dalam perjalanan dari arah Gombak menghala ke selatan sebelum hilang kawalan dipercayai akibat dipandu laju dan melanggar pembahagi jalan lalu melambung ke laluan sebelah.

"Kereta mereka kemudiannya menghempap Proton Waja yang dipandu seorang lelaki yang turut cedera parah," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Katanya mayat Nurul Adibah dibawa ke Hospital Ampang untuk dibedah siasat manakala empat yang cedera parah turut dikejarkan ke hospital yang sama. -- BERNAMA



Perlukah Siva Keluarkan Notis?

Nampaknya kemelut politik Perak belum lagi berakhir meskipun Mahkamah Persekutuan memutuskan Dr Zambry Abdul Kadir adalah menteri besar yang sah pada 9 Februari lalu.

Keputusan mahkamah itu sendiri merupakan satu keputusan yang kontroversi kerana para hakim membuat tafsiran sendiri dengan mencabuli Perkara 16 Klausa 7 Perlembagaan Negeri Perak dan memberi kuasa kepada sultan untuk memecat menteri besar.

Walaupun isu menteri besar dianggap selesai, timbul pula isu lain.

Siapakah speaker Dewan Undangan Negeri yang sah, R Ganesan yang dilantik oleh Umno-Barisan Nasional (BN) atau masih lagi V Sivakumar, yang diangkut keluar dewan secara paksa oleh anggota polis.

Perhatian kini tertumpu pula kepada notis yang dikeluarkan oleh Sivakumar memanggil sidang DUN pada 30 Mac ini. Adakah surat notis ini sah atau tidak?

Di sebelah pihak Pakatan Rakyat, jelas bahawa mereka tidak mengiktiraf Ganesan kerana beliau dilantik oleh ADUN-ADUN Umno-BN dengan cara tidak mengikut peraturan dewan.

Ganesan lapor polis (tajuk kecil) Pengerusi DAP Negeri, Ngeh Koo Ham sebelum itu meminta Zambry membenarkan Sivakumar mempengerusikan sidang DUN yang akan datang memandangkan kedudukan Ganesan yang dilantik secara kontroversi bulan Mei tahun lalu.

Seperti mana yang dijangka, Zambry enggan memberi jawapan kepada permohonan Ngeh dan mungkin kerana beliau sendiri tidak pasti siapakah speaker yang sah.

Lebih merumitkan lagi keadaan ialah apabila Ganesan membuat laporan di ibu pejabat polis daerah Ipoh semalam mendakwa Sivakumar menyamar sebagai speaker.

Ganesan mendakwa Sivakumar menggunakan kepala surat Speaker DUN Perak untuk menghantar notis untuk memanggil DUN supaya bersidang pada 30 Mac ini.

"Sivakumar telah dilucutkan dari jawatan speaker pada 7 Mei tahun lepas dan perkara ini telah disahkan oleh Mahkamah Tinggi Ipoh," kata beliau kepada para pemberita selepas membuat laporan polis itu.

Pelantikan Ganesan sendiri sebagai speaker sukar diterima kerana beliau dianggap gugur sebagai speaker kerana tidak meletak jawatan sebagai peguam dalam tempuh tiga bulan beliau dilantik sebagai speaker.

Dalam satu sidang media di Ipoh kelmarin, Sivakumar enggan mendedahkan apakah strategi Pakatan Rakyat dalam menghadapi sidang DUN yang akan datang dengan hanya berkata, "kita tunggu dan lihat sahajalah apa yang akan berlaku. Ia sukar untuk diramal."

Sivakumar juga sehari sebelum peristiwa yang tragik pada 7 Mei itu, telah menolak usul menyingkir speaker (Sivakumar) dan melantik speaker baru yang dibawa oleh Zambry dan ADUN Sungai Rapat Hamidah Osman.

Walau apa pun, prosiding sidang DUN 30 Mac sukar diramal hala tujunya kerana Umno-BN akan memperalatkan pasukan polis untuk mengawal pintu masuk bangunan DUN bagi menghalang penyokong-penyokong daripada kedua-dua belah pihak dari menghampiri bangunan itu.

Bagi Umno-BN, mereka akan menggunakan apa sahaja cara sekali pun bagi mengekalkan kuasa di negeri yang suatu ketika dahulu kaya dengan bijih timah itu, walaupun dengan cara yang tidak sah, tidak demokratik, tidak berperaturan dan tidak berpelembagaan.

Ulasan GB

Politik Perak bakal bergolak lagi. Pada pandangan GB, Sivakumar tidak perlu lagi keluarkan sebarang notis. Apabila PR Perak telah memboikot sidang DUN yang dipanggil oleh Ganesan, maka biarkan saja dahulu ADUN-ADUN BN tersebut mengadakan sidangnya. Ia tidak membawa makna apa-apa jika benar semua DUN PR memboikotnya. Dunia mengetahui persidangan DUN itu tidak sah kerana speakernya adalah speaker yang tidak sah dan biar dunia mengutuk dan menghukumnya.

Dengan keluarnya notis Sivakumar, sekalipun di atas nama Speaker yang sah, ia memberi ruang untuk BN memanipulasi isu, dan untuk menimbulkan kekacauan baru yang kelak bakal pula dieksploitasikan sedemikian rupa oleh media pro-kerajaan bagi menggambarkan kononnya PR rakus kuasa.

Buat bertenang dahulu, perhatikan perjalanan mereka, lihat dan belajar rentak-tari mereka. Nanti di sana akan tampak ketempangan sidang DUN yang mereka adakan, tanpa suara rakyat sepenuhnya, sidang DUN itu tidak bererti apa-apa.



Ku Li: Perdana Menteri Jelas Tersimpang

Demi laba politik, kerajaan Datuk Seri Najib Razak menyimpang dari matlamat membantu negeri-negeri miskin di pantai timur melalui hasil khazanah petroleum seperti yang dirancang oleh bapanya Perdana Menteri Kedua, Tun Abdul Razak.

Hakikat ini didedahkan dalam Forum Royalti Minyak Hak Perlembagaan? hari ini oleh Pengasas Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah yang membentangkan bagaimana Tun Abdul Razak mahu Petronas ditubuhkan demi membangunkan Pantai Timur.

"Tun Razak berkata, walau apapun, kita perlu wang minyak itu untuk Pantai Timur. Jadi saya pun cuba lakukan apa yang dianggap mustahil dan saya siapkan draf (undang-undang Petronas) dan menhantarnya ke Jabatan Perdana Menteri untuk dinilai," katanya.

Beliau menerangkan konsep asas perjanjian minyak antara Petronas dan kerajaan negeri ialah pemberian royalti 5 % kepada kerajaan negeri kerana menyerahkan hak pengurusan hasil minyak kepada Petronas.

Malah Akta Pembangungan Petroleum 1974 ditulis sebegitu rupa untuk memberikan lebih peluang kepada anak-anak negeri di pantai timur mendapat manfaat hasil bumi negeri mereka.

Tengku Razaleigh berkata, pada semangatnya amalan pengagihan hasil petroleum di Terengganu sebelum ini tidak menghadapi sebarang masalah ketika di bawah pentadbiran Umno-BN.

"Akhirnya semua negeri bersetuju memberi hak petroleum kepada kita tetapi sebagai ganti mereka dapat 5% atas hak untuk petroleum di luar pantai yang mereka beri kepada Petronas . Mudah. Saya tak faham kontroversi ini kerana berdasarkan keadaan ini, Terengganu dibayar berbillion dollar. Tetapi bila tahun 99, PAS menang, bayaran dihentikan. Kerajaan Negeri diberi wang ehsan duit itu disalurkan pada agensi kerajaan. Saya pelik kerana tiada apa dalam peruntukkan undang-undang ini yang megatakan kerajaan Persekutuan boleh campur isu negeri," jelas beliau.

Cubaan Kerajaan Umno BN ini dilihat sebagai tindakan menghalang usaha pembangunan kerajaan Negeri yang tidak ‘sehaluan politik’ dengan mereka.

Tengku Razaleigh juga mempertikaikan mekanisme kewangan yang cuba digunapakai di Kelantan berhubung isu royalti petroleum kerana ketelusan dan keberkesanannya seperti apa yang berlaku dalam amalan ‘wang ehsan’ di Terengganu.

"Tapi kita lihat apa yang berlaku di Terengganu, penyalahgunaan, korupsi, kerana ia tidak bertanggungjawab. Hampir 20 bilion dibelanjakan dalam wang ehsan. Kerajaan Negeri Terengganu walau telah disambung pemberian wang ehsan tidak bersetuju memerima baki royallti kerana tidak mahu bertanggungjawab dengan penyalahgunaan wang ehsan selama 5 tahun ini. Buat stadium, runtuh, bus stop, runtuh, swimming pool, bocor," katanya.

Seorang lagi ahii Panel, Tommy Thomas, yang juga peguam dalam kes royalti minyak Terengganu mendedahkan bahawa perkara ini hanyalah penderaan politik oleh kerajaan Barisan Nasional dengan memberi contoh pengalaman Terengganu.

"Nov 99, selepas pilihanraya umum, Pas telah menang di Terengganu tapi selepas Mac 2000, tiada bayaran royalti diberikan. Kita boleh pergi kepada September 2000. Tiada asas undang-undang untuk hentikan bayaran tetapi ia keputusan politikal yang dibuat oleh Mahathir sebelum itu untuk halang PAS dari dapat bayaran," jelasnya. -TVS