5 Okt 2012

[WASPADA] Ada Gambar Khinzir Pada Tasbih

Permatang Pauh : Seorang penduduk Taman Pauh Indah di sini terkilan apabila tasbih yang dibelinya didapati terdapat gambar binatang.

Ramli Awang, 50, berkata, dia terkejut apabila isterinya memaklumkan bahawa gambar yang terdapat pada tasbih itu kelihatan seperti khinzir.

Menurutnya, tasbih itu dibeli di sebuah gerai yang dibuka pada hari minggu berhampiran dengan kediamannya.

“Saya tertarik dengan tasbih yang diperbuat daripada kayu ini kerana terdapat kalimah ALLAH pada hujungnya. Sewaktu hendak membelek-belek untuk melihat dengan lebih dekat lagi, peniaga di situ terus meletakkan tanda harga pada belakang kalimah Allah.

“Tanpa berfikir panjang saya terus bersetuju membeli tasbih ini kerana peniaganya menawarkan harga RM8 berbanding harga asal RM11.

“Saya sendiri tidak perasan ada sesuatu pada tasbih itu sehinggalah pada hari Selasa lalu,” katanya yang ditemui Sinar Harian.

Ramli bagaimanapun tidak mahu menyalahkan peniaga itu yang berkemungkinan turut tidak sedar barang jualannya mengandungi gambar seperti itu.

“Saya tidak mahu tuduh peniaga kerana mungkin dia tidak sedar.

“Bagi saya, isu ini merupakan perkara yang sensitif kerana membabitkan agama.

Tambahan pula, tasbih digunakan untuk berzikir dan di tasbih ini juga mengandungi kalimah Allah,” katanya.

Tambah Ramli, dia juga tidak mahu ada umat Islam lain yang turut tertipu dengan membeli tasbih seperti itu –SH

PR Anjur Siri Jelajah Selangor "Benamkan Umno"

Pakatan Rakyat Selangor akan melancarkan siri Jelajah Selangor membabitkan semua 22 kawasan Parlimen dan 56 Dewan Undangan Negeri (DUN).

Ketua Penerangan KEADILAN Negeri, Shuhaimi Shafiei berkata, jelajah yang dimulakan di Parlimen Selayang pada 14 Oktober ini akan berakhir di Parlimen Klang pada 8 Disember depan.

Menurutnya, program ini melibatkan semua anggota parti komponen di setiap peringkat dan dipantau oleh Sekretariat Penerangan Pakatan Rakyat Selangor.

Ia bagi memantapkan organisasi dan sistem jentera pilihan raya agar selari dengan misi dan visi Pakatan Rakyat.

“Kita akan jelajah semua 22 Parlimen dan 56 DUN untuk terangkan prestasi program yang dilaksana di bawah agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES),” katanya dalam sidang media di Pejabat KEADILAN Selangor, di sini hari ini.

“Kita ingin pastikan setiap maklumat dan fakta penting kejayaan kerajaan negeri sampai kepada rakyat,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Muda itu lagi.

Tambah beliau, risalah dan maklumat akan diedar untuk menangkis propaganda Umno BN, seperti isu air dan hutang Talam Corporation.

Hadir sama dalam sidang media itu, Ketua Penerangan PAS Negeri, Saari Sungib dan Setiausaha Publisiti DAP Negeri, Janice Lee.

Saari berkata, program ini pertama kali dirangka bersama oleh Sekretariat Pakatan Rakyat.

“Sebelum ini memang kita bekerjasama…Biasanya kalau PAS anjur program, kita akan jemput penceramah dari KEADILAN dan DAP.

“(Tetapi) kali ini, kita rangka secara bersama untuk tewaskan Umno BN sehabis-habisnya pada PRU akan datang dan bawa perubahan yang lebih besar,” kata Adun Hulu Kelang itu. -KD

[DEDAH] Menteri, Dua Ketua Pemuda BN Dikait Dengan Gangsterisme

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr S Subramaniam, Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dan Ketua Pemuda MIC, T Mohan antara yang didakwa mempunyai kaitan dengan kumpulan gangster berkaitan kaum India.

Sepucuk surat yang bertarikh 20 April 2012 ditulis oleh ‘Ahli Umno Selayang Baru’ dihantar ke peti surat pejabat Gabungan Hak dan Kebajikan Rakyat (Power) menyatakan, ketiga-tiga pemimpin terbabit menghadiri satu majlis Deepavali di The Mines, Sri Kembangan.

Surat tersebut diajukan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyatakan, majlis Deepavali itu dihadiri oleh 7,000 orang pemuda-pemuda India yang merupakan ahli geng kongsi gelap 36.

Turut dimaklumkan dalam surat berkenaan, tetamu kehormat yang hadir diberikan cenderahati dengan logo agama Hindu geng 36.

Pengerusi Power, S Gobi Krishnan berkata, beliau menerima surat berkenaan pada 3 Oktober lalu yang diletakkan pada peti surat pejabatnya di Sentul.

Khuatir dengan perkara berkenaan, beliau yang ditemani oleh Setiausaha NGO Warga Aman (Warga Aman), S Barathidasan membuat satu laporan polis di Balai Polis Travers bagi menggesa pihak polis menyiasat kesahihan surat berkenaan.

“Saya terkejut memandangkan surat ini memberitahu perkara ini dengan teliti.

“Saya minta polis menyiasat kebenaran adakah ketiga-tiga individu berkenaan terlibat dalam kumpulan gangster kerana ini adalah tuduhan berat,” katanya ketika ditemui di luar balai polis.

Terangnya lagi, perkara ini mampu menjejaskan negara dan ketenteraman awam. -selangorku

[GILA] Kos Tangki Air Plastik 1Malasyia RM2500 Seunit

Harga tangki air plastik sehingga lima kali ganda dari harga pasaran telah menimbulkan keraguan dan mengejutkan ramai pihak dengan peruntukan RM100 juta oleh Kerajaan Persekutuan Barisan Nasional dalam Belanjawan 2013 mereka untuk Sabah dan Sarawak bagi menyediakan 40,000 tangki plastik untuk simpanan dan tadahan air rakyat di kawasan pedalaman negeri tersebut.

Menurut Ahli Parlimen Kota Kinabalu Dr. Hiew King Cheu, harga RM2,500 setiap sebuah tangki plastik adalah tidak masuk akal dan tidak boleh diterima.

“Dalam satu semakan yang dibuat untuk sebuah tangki yang hampir serupa dengan tangki 1Malaysia yang dibekalkan sebelum ini, kita dapati harga sebenarnya cuma sekitar RM500 sebuah. Jika ditambah dengan kos pengangkutan dan keuntungan, ia tidak akan semahal itu,” Menurut beliau, kerajaan BN tanpa segan silu membuka pekung mereka sendiri kerana apa yang paling diperlukan penduduk di kampung dan kawasan pedalaman ialah bekalan air paip yang terawat bukannya tangki air plastik.

“Sampai sekarang, bekalan air terawat tidak boleh didapati walaupun rumah penduduk kampung mempunyai paip air. Kenapa ini boleh berlaku? Kenapa penduduk kampung terutamanya di Sabah ini dipinggirkan?” soalnya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Katanya lagi, pemberian tangki plastik ini bukanlah satu penyelesaian masalah jangka panjang.

“Apa gunanya tangki tersebut dalam musim kemaru yang panjang atau lebih dari seminggu? Penduduk akan tetap menderita ketiadaan air,” ujar Dr.Hiew.

Dalam perkara yang sama, satu-satunya Ahli Parlimen DAP di Sabah itu berkata bahawa air yang ditakung dari air hujan tersebut tidaklah bersih dan biasanya menjadi tempat nyamuk bertelur.

“Kekotoran pada bumbung rumah juga boleh menyebabkan air takungan tersebut tercemar.” jelasnya lagi.

“Oleh yang demikian, perkara yang perlu diutamakan bukanlah tangki air plastik tetapi membekalkan bekalan air bersih terawatt kepada kawasan pedalaman untuk memastikan kesihatan penduduk terjamin.” – Roketkini



Azan Dikumandangkan Apabila Masuk Waktunya Oleh Ahli Parlimen Mesir



Ketika perbahasan di parlimen Mesir, azan dilaungkan oleh salah seorang ahli parlimen apabila masuk waktu asar & maghrib.

Patut juga dicontohi parlimen Malaysia sebagai amalan perlembagaan Malaysia yang menobatkan Islam sebagai agama rasmi.

Tidak kira dimana-mana jua, tiada alasan untuk kita tidak melaksanakan...

Ambil Iktibar

Buruk Sangat Azalina Mengamuk, Fitnah Peserta Perhimpunan Dibayar RM30 Seorang

Pengerang: Peserta datang dengan rela hati

Ahli Parlimen Kubang Kerian Salahuddin Ayub menyangkal tuduhan liar Ahli Parlimen Pengerang Datuk Azalina Othman bahawa perserta Himpunan Hijau membantah projek petrokimia di Pengerang pada 30 September dibayar.

Azalina di dalam perbahasan Bajet 2013 di Dewan Rakyat hari ini mendakwa mereka yang mengambil bahagian dalam himpunan hijau tempoh hari masing-masing dibayar RM30.

Salahuddin menafikan dakwaan itu dan menyatakan beliau tidak mengeluarkan satu sen pun untuk membayar setiap peserta himpunan.

Malah beliau percaya, kehadiran peserta ke himpunan hijau tempoh hari kerana kerelaan hati mereka untuk melahirkan solidariti terhadap penduduk Pengerang.

"Itu tidak betul.

Saya tidak keluar satu sen pun untuk membayar mereka agar mereka datang himpunan itu," katanya ketika ditemui.

Salahuddin mengakui, Datuk Abdul Ghani Othman seolah-olah berdiam diri dalam hal ini dan beliau bersedia bersemuka dengan Menteri Besar Johor itu pada bila-bila masa.

Salahuddin akan menghantar surat rasmi kepada beliau untuk menyatakan kesediaanya duduk berbincang menyelesaikan masalah itu.

"Tak mahu debat pun tak apa, janji kita boleh duduk berbincang.

Kami bersedia bila-bila masa," katanya.

Terdahulu, Azalina mendakwa tindakan membayar peserta antara sebab pihak penganjur berjaya menarik orang ramai menghadiri perhimpunan tersebut.

Malah Azalina menafikan seramai 7,000 peserta yang hadir dalam himpunan tersebut sebagaimana diuar-uarkan penganjur.

"Kawasan itu kecil sahaja, boleh tampung kira-kira 3,000 orang yang hadir.

Saya tidak tahu macam mana kawasan itu boleh muatkan seramai 7,000 orang," katanya sambil mendakwa mereka yang hadir adalah orang luar.

Dalam membahaskan isu itu, Azalina kelihatan cukup beremosi turut mengundang celahan Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar yang bangun bagi mendapatkan penjelasan mengenai asas tuduhan tersebut Namun, Azalina enggan memberi laluan kepada Nurul Izzah menyebabkan berlakunya pertikaman lidah, dan kedengaran Nurul Izzah meminta beliau mengawal emosi ketika berbahas.

"Jangan emosi Pengerang, jangan emosi," celah Nurul Izzah berulang kali.

Azalina sebelum ini mencabar Salahuddin Ayub untuk berdebat mengenai projek tersebut, bagaimanapun Salahuddin menolaknya dengan berkata beliau sebaliknya mahu berdebat dengan Abdul Ghani Othman, kerana hanya menteri besar yang boleh bercakap mengenai perkara yang berkaitan dengan tanah. -HD

MP Pengerang dakwa setiap peserta perhimpunan dibayar

Mereka yang mengambil bahagian dalam Himpunan Hijau membantah projek petrokimia Pengerang pada 30 September lalu masing-masing dibayar RM30, dakwa ahli Parlimennya, Datuk Azalina Othman hari ini.

Membahaskan bajet di Dewan Rakyat, Azalina berkata itulah sebabnya pihak penganjur berjaya menarik orang ramai, yang didakwanya kebanyakannya orang luar, untuk menghadiri perhimpunan tersebut.

Azalina berkata pihak penganjur mendakwa perhimpunan itu dihadiri 7,000 tetapi beliau sebaliknya mendakwa telah difahamkan hanya 3,000 orang yang hadir kerana kawasan tersebut kecil.

Oleh itu, beliau tidak tahu bagaimana kawasan itu boleh memuatkan seramai 7,000 orang, sambil mendakwa ramai daripada mereka yang hadir itu adalah orang luar dan dibayar RM30 setiap orang.

Kenyataan itu mendorong Nurul Izzah Anwar (PKR-Lembah Pantai) bangkit untuk mencelah bagi mendapatkan penjelasan mengenai asas tuduhan tersebut, tetapi Azalina enggan memberi laluan kepadanya untuk bercakap.

Azalina sebelum ini mencabar ahli Parlimen PAS Kubang Kerian, Salahuddin Ayub untuk berdebat mengenai projek tersebut, kerana naib presiden PAS itu mendakwa penduduk Pengerang telah menjadi mangsanya.

Salahuddin bagaimanapun, menolaknya dengan berkata beliau sebaliknya mahu berdebat dengan Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman, kerana hanya MB yang boleh bercakap mengenai perkara yang berkaitan dengan tanah.

Isu Pengerang menjadi semakin panas, apabila Himpunan Hijau yang dianjurkan PAS tempoh hari mendapat sambutan menggalakkan.





Artis Bertudung Perdalami Ilmu Islam Melalui Usrah Fitrah

Sejak awal tahun ini, ramai artis yang sudah mengenakan hijab.

Malah bukan golongan wanita saja yang menjurus ke arah itu, artis lelaki turut sama menuju ke jalan yang sama.

Melihat kepada perkembangan positif itu Ustaz Rusydi Ramli Al Jauhari telah mengilhamkan pergerakan yang dinamakan sebagai Usrah Fitrah buat selebriti yang ingin mendalami ilmu agama.

Antara selebriti yang mengikuti program ini adah Irma Hasmie dan Yatt Hamzah.
Irma, 30, berkata, dia terharu apabila usaha mengumpulkan golongan artis dalam mendalami ilmu agama semakin mendapat sambutan.

“Pada awalnya kumpulan ini hanya terdiri daripada 4 orang pelakar dan 5 orang tenaga pengajar sahaja tetapi usaha murni ini telah berkembang dan sekarang mempunyai lebih 30 orang ahli dari berbagai bidang serta 7 orang guru.

“Ia bukan sahaja disertai oleh golongan selebriti yang ingin mendalami ilmu agama tetapi juga mendapat perhatian daripada individu daripada profesion lain,” katanya yang dipetik menerusi MStarOnline, baru-baru ini.

Antara artis yang aktif lain yang bergiat dalam Usrah Fitrah antaranya Heliza Helmi, Diana Amir, Farah Asyikin, Siti Nordiana, Iqram Dinzly, Zoey Rahman dan Enot.

Sementara itu, Yatt memberitahu antara guru yang mengajar mereka adalah Ustaz Azhar Idrus.

Namun dia mengaku bukan ahli PAS, tetapi hanya menyokong perjuangan Islam.

Yatt turut menambah, Usrah Fitrah turut mendapat pelbagai undangan daripada pihak penganjur untuk menjayakan program yang dianjurkan mereka.

“Sebagai contoh, bulan November ini kami (Usrah Fitrah) akan terlibat dengan Festival Hijab yang akan dijayakan bersama-sama selebriti yang lain,” katanya.

-mynewshub