2 Jun 2010

Kabinet Senator - Petanda Umno-BN Bakal Hancur

Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani Abdul Hamid menyifatkan rombakan kabinet yang dilakukan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak merupakan tindakan yang bertentangan dengan prinsip KPI (Petunjuk Prestasi Utama) yang beliau sendiri laungkan.

"Najib cenderung untuk memilih mereka yang dirasakan mudah bekerja untuk kepentingannya. Beliau mengenepikan pandangan akar umbi dengan melantik kroni menjadi menteri melalui jawatan senator.

"Secara rasionalnya, kredibiliti barisan kabinet itu terletak kepada kewibawaan Najib sebagai Perdana Menteri dan lantikan barisan kabinet baru ini sebenarnya akan memburukkan lagi imej negara," ujarnya ketika dihubungi Suara Keadilan.

Menurut Abdullah Sani lagi, Najib masih lagi mahu melantik orang yang diragui prestasi dan rekodnya, malahan ada di antara mereka turut terpalit dengan beberapa skandal yang melibatkan dana awam dengan jumlah peruntukan yang besar.

Beliau turut mempersoalkan tindakan Najib yang tidak melantik ahli parlimen di kalangan Umno seperti Ahli Parlimen Johor Bahru, Datuk Shahrir Samad yang dilihat lebih baik dan meyakinkan.

"Individu seperti ini boleh memberikan harapan kepada rakyat untuk melaksanakan tugas dan amanah. Saya menganggap kestabilan politik dalam Umno-BN bagaikan 'telur di hujung tanduk'.

"Mereka ini tidak lagi relevan dan bakal hancur dan ini adalah ketentuan Ilahi," katanya lagi.

Tambah beliau, semua ini berpunca apabila kerajaan tidak memberikan keutamaan kepada orang yang berwibawa.

"Saya cadangkan Datuk Seri Najib Razak segera meletak jawatan sebagai Perdana Menteri, kerana jawatan itu tidak sesuai untuk beliau," katanya dalam nada sinis. - SK


MP BN tak layak anggotai kabinet Najib

PETALING JAYA: Penyenaraian lebih banyak senator dalam rombakan kabinet yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, semalam, memberi tanggapan bahawa ahli parlimen BN tidak layak dilantik menjadi menteri dan timbalan menteri, kata Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Bagi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, kebanyakan ahli-ahli parlimen yang kanan di Dewan Rakyat mungkin tidak layak menjadi menteri dan timbalan menteri dalam kabinet baru ini," kata beliau selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pemimpin Pakatan Rakyat di ibu pejabat PKR, Tropicana lewat petang semalam.

Sehubungan itu, Anwar yang juga ahli parlimen Permatang Pauh mencabar Najib supaya mengadakan pilihan raya kecil dengan meletakkan para senator baru dilantik bertanding dan menjadi ahli parlimen bagi menggantikan ahli parlimen BN yang sedia ada.

"Elok Datuk Seri Najib adakan suatu pilihan raya kecil untuk memilih dari kalangan senator-senator terbabit menjadi ahli parlimen, ganti mana-mana ahli parlimen BN yang dirasakan Najib tidak layak," katanya.

Bukan Kabinet Rakyat

Terdahulu, penasihat DAP, Lim Kit Siang turut mempersoal tindakan Najib melantiksebegitu ramai senator untuk menganggotai kabinet barunya.

Kata Lim, perlantikan berkenaan langsung tidak mencerminkan sebuah ‘Kabinet Rakyat’.

Ini kerana, menurut ahli parlimen Ipoh Timur itu, senator yang dilantik itu bukannya dipilih oleh rakyat melalui pilihan raya yang demokratik, tetapi dipilih oleh Najib berasaskan kepentingan politik sempit parti-parti komponen BN semata-mata.

Menurut Lim lagi, tindakan Najib melantik lebih ramai pemimpin MCA walaupun mungkin untuk menangani konflik kepentingan dalam parti perkauman Cina itu, tetapi perlantikan tersebut adalah sia-sia.

"Saya tidak nampak (perlantikan) ini sebagai suatu nilai tambah untuk MCA dan BN tidak mungkin boleh memulihkan keyakinan rakyat dengan perlantikan itu," katanya.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali pula mengganggap pembentukan kabinet yang baru itu semata-mata untuk memulihkan kepercayaan rakyat.

Kabinet masalah MCA

Perlantikan tersebut menurut beliau, sebenarnya lebih untuk menangani masalah dalaman MCA dan BN sendiri.

Petang semalam, Najib mengumumkan rombakan kabinet yang menyaksikan bekas Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat digugurkan manakala Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Chor Chee Heung dilantik Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan menggantikan Datuk Seri Kong Cho Ha yang kini menjadi Menteri Pengangkutan, menggantikan Tee Keat.

Beliau juga mengumumkan pelantikan dua ahli parlimen sebagai timbalan menteri iaitu MP Serian, Datuk Richard Riot Jaem sebagai Timbalan Menteri Luar dan MP Labis yang juga anak Datuk Seri Dr Chua Soi Lek – Chua Tee Yong sebagai Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani.

Empat senator turut dilantik sebagai timbalan menteri yang baru ialah bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk G Palanivel sebagai Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi; Datuk Donald Lim Siang Chai (Timbalan Menteri Kewangan); Naib Presiden Kanan Parti Progresif Rakyat (PPP), Datuk Maglin Dennis D’Cruz (Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan) dan Gan Ping Shou@Gan Ping Sieu (Timbalan Menteri Belia dan Sukan).

Katanya, Yang di-Pertuan Agong juga telah memperkenankan pelantikan Senator Datuk Donald Lim Siang Chai, Senator Datuk Maglin Dennis D’Cruz dan Senator Gan Ping Shou@Gan Ping Sieu sebagai ahli Dewan Negara. -mk


41% Penjawat Awam Rasuah. Ini Yang Membangkrapkan Negara!

CUEPACS: 41 peratus penjawat awam terlibat rasuah tahun lepas
June 02, 2010

TEMERLOH, 2 Jun — Seramai 418,200 atau 41 peratus daripada 1.2 juta penjawat awam dikesan terbabit dengan aktiviti penerimaan rasuah sepanjang tahun lalu, kata Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Omar Osman.

Beliau berkata jumlah tersebut adalah membimbangkan dan harus ditangani segera.

Bagi menangani masalah tersebut, Cuepacs akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya mereka yang terbabit dengan aktiviti rasuah diambil tindakan dan diheret kemuka pengadilan, katanya.

“Kita mahu memerangi rasuah di kalangan penjawat awam dan juga membuat laporan kepada SPRM terhadap pihak yang cuba menyogokkan rasuah kepada penjawat awam.

“Cuepacs tidak akan berkrompomi atau bertolak ansur dengan melindungai mana-mana penjawat awam dengan gejala ini yang boleh menjejaskan pembangunan negara,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung kali ke-8 Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Jabatan Kerja Raya dan Air Cawangan Temerloh, di sini hari ini.

Omar berkata selain rasuah, Cuepacs juga tidak akan melindungi penjawat awam yang terbabit dalam masalah disiplin termasuk cubaan memalsukan sijil cuti sakit dan ponteng kerja.

Beliau mengulangi kenyataannya bahawa dianggarkan antara 1,000 hingga 2,000 penjawat awam didapati memalsukan sijil cuti sakit atau mengubah jumlah asal cuti sakit yang diberikan oleh doktor.

“Mereka mendapatkan sijil cuti sakit palsu daripada klinik yang bukan panel dan ada sesetengahnya klinik berkenaan tidak wujud pun.

“Ada sesetengahnya pula mengubah jumlah cuti sakit yang ditulis oleh doctor misalnya 1 hari kepada 11 hari,” kata Omar. — Bernama

PM Jepun Letak Jawatan, PM Malaysia Bila Lagi?

Perdana Menteri Jepun, Yukio Hatoyama meletakkan jawatan hari ini, kurang sembilan bulan selepas mengambil alih tampuk pentadbiran negara Jepun.

Hatoyama, 62 yang menamatkan setengah abad penguasaan parti konservatif di Jepun, hujung Ogos lalu mengumumkan peletakan jawatannya itu dalam sidang khas Parlimen.

Jutawan dan berasal dari keluarga berpengaruh yang menerima jolokan "Keluarga Kennedy Jepun" itu meletakkan jawatan sebagai ketua Parti Demokratik Jepun (DPJ).

"Saya akan meletakkan jawatan" katanya sambil menitis air mata.

“Pentadbiran kerajaan akan berjalan dan ia tidak memberi kesan terhadap sokongan yang diberikan orang awam," kata Hatoyama, yang hanya akan meninggalkan jawatan itu selepas penggantinya dipilih nanti.

DPJ dijangka mengundi untuk memilih ketua yang baru, Jumaat ini.

Menteri Kewangan, Naoto Kan, yang juga Timbalan Perdana Menteri, disebut-sebut sebagai pengganti Hatoyama.

Spekulasi tersebar beberapa hari lalu bahawa Hatoyama akan berundur selepas menerima tekanan berikutan melakukan hubungan baik dengan Amerika Syarikat khususnya berhubung pertikaian isu pangkalan udara tentera marin Amerika Syarikat di Pulau Okinawa.

Sebelum itu beliau berjanji akan mengalihkan pangkalan itu bagi menamatkan kesulitan penduduk yang mengadu mengenai pencemaran serta kadar jenayah yang tinggi tetapi menukar fikiran selepas itu. -FMT

Ulasan GB

Itulah tindakan terhormat (letak jawatan) seorang PM apabila beliau dikatakan ada melakukan hubungan baik dengan Amerika Syarikat.

Tetapi di Malaysia, PM yang bernama Mohd Najib Tun RAzak tidak lansung berfikir untuk melakukan sedemikian sekalipun telah dikaitkan dengan pelbagai isu seperti rasuah Scorpene, lesen judi dan hubungan baik dengan APC O, sebuah syarikat Yahudi.

Namun, hukum alam akan terus berlaku, sekalipun Najib enggan meletak jawatan secara terhormat,namun Tuhan akan memaksanya meletakkan jawatan juga akhirnya nanti. Ingatlah bagaimana Pak Lah terpaksa berundur sekalipun beliau amat ingin menghabiskan tempoh jatawannya sebanyak 2 penggal - namun ia tidak diizinkan Tuhan.

Syed Sobri Sudah Temui Pemimpin PAS - Azizan

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak mengesahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Nerang daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Syed Sobri Syed Hashim bertemu dengan beberapa pemimpin Pas negeri di Kuala Nerang, Sabtu lalu.

Pesuruhjaya Pas Kedah itu berkata, Syed Sobri yang disebut-sebut akan keluar parti dan menyertai Pas, menerima jemputan perwakilan Pas yang diketuai Timbalan Pesuruhjaya I Pas Kedah, Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi untuk menghadiri satu majlis kenduri dan dialog anjuran Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Daerah Padang Terap.

Menurutnya, antara topik utama yang dibincangkan dalam pertemuan itu lebih menjurus isu tanah di daerah berkenaan dan juga perihal aduan rakyat.

Beliau bagaimanapun menyatakan, tiada perbincangan menjurus kepada hasrat Syed Sobri untuk keluar daripada UMNO dan menyertai Pas.

“Hingga setakat ini, kami masih tidak menerima sebarang permohonan daripada Syed Sobri dan sekiranya beliau benar-benar berniat hendak masuk Pas, beliau kena mohon dan tunggu hingga bulan depan untuk Jawatankuasa Pas Negeri mengesahkan permohonannya.

“Hendak menyertai Pas bukan seperti makan tosai, waktu hendak makan, dalam tempoh lima minit dah siap terhidang,” katanya pada sidang media sempena Majlis Pelancaran Program Bersih dan Indah Peringkat Negeri di Dataran Darul Aman di sini semalam.

Azizan juga menafikan beliau atau mana-mana pemimpin Pas negeri pernah mengadakan perjumpaan dengan Syed Sobri secara senyap-senyap bagi membincangkan hasrat ADUN Kuala Nerang itu menyertai Pas. Namun katanya, pintu Pas sentiasa terbuka luas untuk beliau masuk, jika benar-benar berhasrat mahu menyertai parti itu.

“Kita tiada halangan (hasrat Syed Sobri sertai Pas). Cuma kita kena tunggu keputusan muktamad daripadanya sendiri. Tak guna kita canang seluruh kampung sekiranya ADUN yang terlibat tidak memberi apa-apa keputusan lagi,” katanya.

Sementara itu, Ir Phahrolrazi ketika ditemui mengesahkan menemui Syed Sobri pada majlis dialog anjuran PTG di Kuala Nerang dan menjelaskan, pihaknya sengaja tidak memanggil media untuk membuat liputan bagi menjaga imej ADUN Kuala Nerang yang sudi menghadiri program anjuran Kerajaan Negeri.

Menurutnya, hubungan Syed Sobri dengan pemimpin Pas Kedah sememangnya mesra, bagaimanapun menjelaskan pertemuan itu tidak menyentuh langsung isu keluar UMNO dan masuk Pas.

“Sebagaimana Menteri Besar cakap, kita tidak pernah bincang apa-apa (mengenai isu sertai Pas) dengannya,” katanya. -SH

Manikavasagam Sendiri Mengikat Tangannya

MP Kapar: ‘Tangan terikat, tapi saya hadap Selcat pagi ini’

Ahli Parlimen Kapar S. Manikavasagam akhirnya memutuskan untuk menghadap Jawatankuasa Pilihan Khas Keupayaan Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat) pagi ini walaupun mendakwa ‘tangannya terikat’ dengan implikasi perundangan bakal dihadapinya dari pelbagai sudut.

“Saya memang dalam dilema sekarang.... saya baru sahaja bercakap dengan peguam saya dan 80 hingga 90 peratus saya sudah memutuskan untuk pergi.

“Saya akan pergi menemui Selcat tetapi saya tidak boleh mendedahkan maklumat kepada Selcat dengan mendalam,” kata beliau ketika dihubungi 7.30 pagi tadi.

Notis telah dikeluarkan oleh Setiausaha Dewan Negeri Selangor Mohamad Yasid Bidin untuk memanggil Manikavasagam menghadiri sesi pendengaran awam berhubung kes itu pukul 10 pagi ini.

Wakil rakyat tidak membuat keputusan sehingga malam tadi sama ada perlu menghadapi Selcat ataupun sebaliknya dengan merujuk kepada amalan Parlimen dan batasan di bawah undang-undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Kalau saya tak pergi ke Selcat pun masalah, kalau pergi pun bermasalah... saya dalam situasi dilema,” kata beliau dengan cuba menenangkan dirinya dengan menambah, “saya akan pergi dan hanya menyerahkan beberapa dokumen asas, yang saya telah beri kepada polis sebelum ini.”

“Saya akan menjelaskan kepada Selcat masalah yang saya hadapi, masalah yang saksi-saksi saya hadapi... mereka terima ugutan,” kata beliau kepada The Malaysian Insider hari ini.

Manikavasagam berkata, beliau juga telah meminta Selcat agar menulis kepada Speaker Dewan Rakyat bagi meminta kebenaran membolehkannya memberi keterangan kepada jawatankuasa itu.

“Hari ini peguam saya akan menulis kepada Speaker dan kemudian kepada SPRM mengenai kehadiran saya di Selcat,” katanya lagi.

Tindakan susulan akan bergantung kepada respons kepada surat-surat itu, katanya.

Peguam yang mewakili wakil rakyat itu, N. Surendran mengesahkan kepada The Malaysian Insider malam tadi bahawa Manikavasagam tidak akan menghadiri sesi pendengaran Selcat hari ini, yang dijadual untuk bersidang menyiasat dakwaan amalan rasuah dalam perniagaan pasir anak syarikat kerajaan negeri Selangor, Kumpulan Semesta Sdn Bhd.

Surendran berkata anak guamnya itu terikat dengan implikasi undang-undang dan amalan Parlimen.

Dalam surat yang dihantar kepada Selcat semalam, beliau berkata, dengan merujuk Amalan Parlimen Erskin May, seorang Ahli Parlimen tidak boleh dipanggil untuk memberi keterangan di hadapan Selcat.

Pada minggu lalu Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Teng Chang Selcat tidak mempunyai kuasa untuk mendakwa sesiapa tanpa kebenaran Peguam Negara.

Teng yang juga Pengerusi Selcat berkata, mengikut Seksyen 3 Enakmen Penghinaan Dewan 2008, Manikavasagam menghina DUN jika beliau gagal menghadiri sesi itu atau memberi kenyataan atau menyediakan dokumen yang diperlukan.

Jika didapati bersalah, beliau boleh dipenjara maksimum 12 bulan atau denda RM5,000, tetapi hukuman itu bergantung atas kelulusan Peguam Negara.

Katanya Mohamad Yasid memetik seksyen itu dalam saman notisnya sebagai peringatan kepada Manikavasagam.

Teng berkata beliau akan mempengerusikan sesi pendengaran awam itu yang diadakan oleh Selcat selama tiga hari mulai hari ini.

Jawatankuasa itu hanya akan mencadangkan bentuk tindakannya jika ia membabitkan kakitangan kerajaan negeri kerana kes itu dilihat dari perspektif pentadbiran, katanya.

Teng berkata terpulang kepada SPRM atau polis untuk membuat siasatan susulan dengan apa terjadi dalam sesi itu.

Ulasan GB

Rujuk ulasan GB sebelum ini di Isu Pasir: Manickavasagam Terperangkap Sendiri.