21 Ogo 2010

UMNO Bikin Karpal Jadi Keliru Terhadap Islam

Kenyataan Karpal tolak hukum hudud pandangan peribadi, kata Nik Aziz

Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berpendapat kenyataan pengerusi DAP Karpal Singh yang tidak bersetuju dengan cadangan PAS untuk melaksanakan hukum hudud adalah pandangan peribadi pemimpin parti pembangkang itu.

Menteri Besar Kelantan berkata suara-suara sumbang yang timbul mengenai hukum hudud adalah pendapat peribadi dan bukan kenyataan rasmi parti itu.

“Pemimpin DAP lain senyap, hanya dia yang timbul isu itu. Ini kerana apa yang ditimbulkan oleh pemimpin DAP itu merupakan pendapat perseorangan dan bukannya keputusan parti,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Pulau Melaka, di sini hari ini.

Nik Abdul Aziz berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Karpal semalam yang tidak bersetuju dengan cadangan beliau pada Khamis lepas bahawa cara terbaik menangani masalah jenayah dan sosial ialah meminda undang-undang sivil dan digantikan dengan undang-undang hudud.

“Adalah silap bagi orang seperti Nik Aziz bercakap sesuatu yang tidak boleh diperkenalkan di negara ini. Perlembagaan Persekutuan hanya membenarkan Kanun Keseksaan dan undang-undang sivil lain dan tidak ada ruang untuk undang-undang hudud,” kata Karpal.

Mursyidul Am PAS itu berkata beliau yakin Karpal menentang hukum hudud kerana tidak mendapat penerangan yang jelas mengenainya.

“Kebanyakan pemimpin DAP adalah terdiri daripada golongan berpelajaran, mereka sepatutnya mendapat penerangan mengenai perkara itu (hudud) daripada mereka yang arif di peringkat pusat,” katanya dan menurutnya beliau sedia memberikan penerangan mengenai hukum hudud kepada Karpal.

Ketika ditanya apakah tindakan PAS untuk mengelak wujudnya suara-suara sumbang daripada rakan politiknya berhubung isu hukum hudud itu, Nik Abdul Aziz berkata ia adalah sesuatu yang sukar.

“Nak mengelak tu memang tak boleh... tugas kita ialah memberi, menerangkan kepada manusia jalan ke arah kebaikan,” katanya. — Bernama


Karpal Cadang Perogol Kanak-kanak Dihukum Mati

KUALA LUMPUR: Pengerusi DAP kebangsaan Karpal Singh hari ini meminta kerajaan meminda Seksyen 376 Kanun Keseksaan agar perogol kanak-kanak boleh dikenakan hukuman mati.

Karpal berkata walaupun sebelum ini beliau memperjuangkan agar hukumn mati dimansuhkan, tetapi memandangkan saban hari, semakin banyak kanak-kanak menjadi mangsa penjenayah, termasuk perogol, maka sudah tiba masanya kerajaan bertindak menjaga kepentingan awam dengan melaksanakan tindakan lebih tegas dan berkesan.

"Ini boleh memberi mesej jelas kepada mereka yang bercita-cita untuk melakukan kesalahan bahawa undang-undang tidak akan lagi bertolak ansur dengan perbuatan merogol kanak-kanak yang tidak bersalah," katanya dalam kenyataan di sini Sabtu.

Karpal berkata kes terbaru bahawa seorang kanak-kanak berusia 10 tahun didakwa telah dirogol oleh pemandu bas sekolah yang dinaikinya, menuntut perhatian khusus tentang perlunya hukuman sedia ada bagi perbuatan itu, dikaji semula.

Kata beliau mengikut Seksyen 376 (2) (e), Kanun Keseksaan, hukuman bagi kesalahan merogol kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah ialah penjara tidak melebihi 30 tahun dan sebatan.

Beliau berkata memang tidak dapat dinafikan bahawa kesalahan tertuduh perlu dibuktikan melebihi keraguan munasabah, tetapi dalam kes di mana tertuduh didapati melakukan perbuatan demikian secara terang-terangn serta disokong oleh saksi berwibawa yang melihat perbuatan itu dilakukan, maka tiada masalah untuk membuktikan kes berkenaan di luar keraguan munasabah.

"Saya sedar tentang bahaya kemungkinan seseorang yang tidak bersalah, dikenakan hukuman. Pelaksanaan hukuman mati tidak boleh diubah kembali. Kesengsaraan yang dialami seseorang insan yang tidak bersalah, tetapi dikenakan hukuman mati, memang tidak dapat digambarkan," katanya.

Bagaimanapun, kata beliau, perbuatan merogol kanak-kanak yang tidak berdosa di hadapan orang lain, menuntut agar undang-undang sedia ada, dibuat pindaan. - BERNAMA


Ulasan GB

Karpal menolak hukum hudud, tetapi pada masa yang sama tanpa menyedarinya, beliau juga yang mencadangkan hudud dilaksanakan.

Cuma Karpal tidak mengetahui intipati hukum hudud, lantas beliau menolaknya. Beliau dikelirukan selama ini tentang hukum Islam itu. Oleh siapa? Oleh UMNO. UMNO sentiasa memberikan gambaran negatif terhadap hudud dengan matlamat untuk menjauhkan bukan Islam terhadap PAS.

Fitrah manusia, tanpa mengira agama, tidak suka kepada jenayah, waimma apa jenayah sekalipun. Dan Tuhan Yang Maha Tahu menyediakan undang-undang dan peraturan untuk manusia sejagat - hudud namanya - untuk manusia hidup secara sejahtera dan harmoni agar pesalah jenayah dihukum.

Tetapi oleh kerana hudud itu berada di dalam perundangan agama Islam, maka mereka yang bukan Islam mungkin skeptikal, apakah perlaksanaan hukum itu nanti akan memaksa mereka menganut Islam, atau setidak-tidaknya satu pengesahan (endorsement) dari dirinya terhadap kebaikan Islam?

Mungkin Guan Eng yang banyak membaca tentang tamadun Islam berupaya membantu PAS menjelaskan kepada Pengerusi DAP tersebut. Tapi malang sekali, UMNO kini pula yang menyusahkan Guan Eng dengan fitnah terbarunya konon masjid di Pulau Pinang menggantikan nama Agong dengan namanya di dalam khutbah Jumaat.

UMNO selamanya musuh yang nyata terhadap Islam.

PAS Dan Operasi Lalang

Operasi Lalang - sesuatu yang begitu digeruni oleh rakyat Malaysia. Satu peristiwa hitam yang dilancarkan pada 27 Oktober 1987 di era Mahathir sebagai Perdana Menteri dan juga Menteri Dalam Negeri oleh polis Malaysia bagi menangkap mereka yang konon dikatakan mengeruhkan suasana politik 1987.

Selepas pemilihan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) pada tahun 1987, UMNO telah berpecah kepada dua kumpulan, iaitu Pasukan A yang diketuai oleh Dr Mahathir di bawah UMNO Baru dan Pasukan B yang diketuai oleh Tengku Razaleigh Hamzah di bawah parti Semangat 46. Semangat 46 kemudian menubuhkan sebuah parti campuran dengan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) bernama Angkatan Perpaduan Ummah untuk bertanding dengan UMNO BN.

Untuk menentang Angkatan Perpaduan Ummah, Operasi Lalang dilancarkan. Dalam Operasi Lalang ini, 106 ahli politik terutama parti pembangkang ditahan di bawah ISA dan pembatalan dua akhabar harian berlesen, The Star dan Sin Chew Jit Poh serta dua akhbar mingguan, The Sunday Star dan Watan.

Operasi Lalang ini menimbulkan kontroversi kerana mereka yang 'bersalah' terlepas. Sebaliknya pemimpin pembangkang yang berada di tepi 'arus' telah ditangkap dan dipenjarakan di Kem Tahan Kamunting, Taiping, selama 2 tahun atau lebih.

Namun, "hikmah" terbesar daripada Operasi Lalang ialah pada pilihanraya 1990, UMNO BN hanya mampu memenangi 127 kerusi daripada 180 kerusi dalam Dewan Rakyat, ini merupakan 70.6% daripada jumlah kerusi, dan merupakan satu penurunan sebanyak 2.4% berbanding pilihan raya yang terakhir; bilangan undi sebanyak 53.4% merupakan satu pengurangan sebanyak 7.8%. UMNO-BN hilang kuasa di Kelantan di tangan PAS-Angkatan Perpaduan Ummah dan Sabah ditangan Parti Bersatu Sabah (PBS).

Lim Kit Siang yang ditahan di dalam Operasi Lalang dilantik sebagai Ketua Pembangkang. Mohd Sabu yang di kurung di Kamunting sehingga Januari 1990 telah menang di dalam pilihanraya 1990 mengalahkan Datuk Annuar Musa dengan majoriti hampir 8,000 undi, dan menjadi Ahli Parlimen Nilam Puri pada masa itu.

Walaupun parti-parti pembangkang memperolehi lebih kurang 30% jumlah kerusi akibat pembahagian sempadan yang senget sebelah oleh Suruhanjaya Pilihanraya, namun pada keseluruhannya parti pembangkang ketika itu memperoleh 46.6% daripada jumlah undi.

Hal yang hampir sama berlaku pada pilihanraya 1999 dan 2008.

Sebelum pilihanraya 1999, satu konpirasi berlaku dimana mantan Timbalan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, telah ditahan oleh pihak polis atas tuduhan-tuduhan yang dianggap secara meluas seperti liwat sebagai ditimbulkan oleh alasan politik dan pertentangan pendapat antara Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohammad dengan timbalannya.

Rakyat seluruh negara memberikan protesnya dengan menyokong Barisan Alternatif yang dibentuk pembangkan menghadapi UMNO BN, dan di dalam pilihanraya 1999 itu UMNO BN hanya mampu meraih kerusi parlimennya sebanyak 148, jatuh 8.6% berbanding 162 kerusi yang diperoleh pada tahun 1995.

Barisan Alternatif mensasarkan untuk menghapuskan majorti 2/3 UMNO BN di Parlimen, namun tidak kesampaian. Namun apa yang menarik, PAS mencapai prestasi yang melonjak. Selain daripada mengekalkan negeri Kelantan, parti ini juga mengambil alih kerajaan Trengganu daripada BN. Kekuatan PAS di Parlimen bertambah dari hanya 7 kerusi pada tahun 1995 sehingga 27 kerusi, iaitu satu lompatan hampir empat kali ganda.

Serupa juga pada peringkat negeri, kekuatannya bertambah hampir tiga kali ganda dari 33 kerusi sehingga 98 kerusi dalam pilihan raya ini. Berdasarkan keputusan ini, Ustaz Abdul Hadi Awang dari PAS mengambil alih kepimpinan pembangkang dalam Parlimen yang dipegang oleh Lim Kit Siang daripada parti DAP.

Di dalam pilihanraya 2008 pula, rakyat Malaysia telah menyaksikan keganasan dan kezaliman polis terhadap beberapa siri perhimpunan rakyat seperti perhimpunan Bersih 2007 untuk menuntut pilihan raya yang adil dan disertai oleh 100, 000 orang. Tian Chua yang merupakan Ketua Penerangan KeADILan telah ditahan di bawah Akta Polis, Seksyen 27(5)(a), di Johor Bahru, jam 5.15 petang pada 9 Disember 2007 kerana menjadi penggerak perhimpunan Bersih itu.

Polis juga telah bertindak ganas pada perhimpunan rakyat di Kuala Terengganu 2007. Polis telah melepaskan peluru hidup kepada Suwandi dan Azman. Malangnya anggota polis yang menembak dilepaskan, Suwandi dan Azman pula yang didakwa di bawah Seksyen 149 Kanun Keseksaan.

Akibatnya pada pilihanraya 2008, UMNO Barisan Nasional telah dinafikan majoriti 2/3 dan hanya boleh membentuk kerajaan pusat dengan majoriti mudah (iaitu lebih daripada 1/2 jumlah kerusi, tetapi kurang daripada 2/3 jumlah kerusi). Pembangkang yang membentuk Pakatan Rakyat akhirnya berjaya mencapai sasaran: menafikan 2/3 majoriti. Menariknya Tian Chua yang dibelsah cukup-cukup oleh polis telah dihantar rakyat ke Parlimen!

Bagi Dewan Undangan Negeri pula, Barisan Nasional gagal mempertahankan kerajaannya di negeri Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor serta gagal mencapai hasratnya untuk membentuk kerajaan di negeri Kelantan.

Pilihan raya kali ini juga melihatkan kegagalan banyak ahli politik veteran mempertahankan kerusi mereka, antaranya termasuk Koh Tsu Koon, Samy Vellu, Shahrizat Abdul Jalil, M. Kayveas, Zainuddin Maidin.

Harus diperhatikan bahawa Barisan Nasional hanya berjaya meraih kemenangan besar di Sabah, Sarawak dan Johor atas sebab pembahagian kawasan parlimen yang memihak kepadanya - banyak kerusi diwujudkan di kawasan-kawasan ini, tetapi kepadatan penduduknya adalah jauh lebih rendah daripada kepadatan penduduk di negeri-negeri lain seperti Selangor, Perak dan Pulau Pinang. Rekod kekalahan Barisan Nasional kali ini adalah yang paling buruk diikuti Pilihan Raya 1969 dan 1999.

GB memutarkan kembali kisah-kisah itu untuk memberikan satu gambaran jelas kepada semua ahli-ahli PAS dan Pakatan Rakyat yang begitu takut dengan Operasi Lalang.

PAS seperti sudah menjadi pondan semenjak era UG. Diperburukkan lagi oleh penyokong-penyokong taksub UG sehinggakan PAS menjadi semakin hari semakin lesu lantarannya. Ditambah pula dengan YB-YB khianat yang sudah tidak lagi bersama rakyat dan perjuangan, tetapi telah leka dan alpa dengan kemewahan, pangkat dan kekayaan.

Ceramah-ceramah PAS sudah lesu, ceramah pemimpin-pemimpin tertinggi parti terutama dari mereka yang dikaitkan dengan UG sudah kurang, dan kalau ada pun tidak mendapat sambutan rakyat kerana sudah tiada "roh perjuangan" di dalam ceramah-ceramah tersebut. Pemimpin tertinggi parti adanya sudah tidak bersama rakyat lagi di dalam perhimpunan-perhimpunan seperti Perhimpunan Anti-ISA, Anti-Kenaikan Harga dan sebagainya kerana sayangkan kedudukan dan takut ditangkap polis!

Malah sudah ada pemimpin PAS yang beralasan "selsema", itu sebab tak dapat hadir di perhimpunan. Belum lagi hilang tangan hilang kaki seperti para pejuang peperangan Badar, Uhud dan Khandak.

Pemimpin PAS sudah dijangkiti penyakit futur (lembab). Futur ialah suatu penyakit yang dapat menimpa sebahagian aktivis dan akan menimpa mereka secara praktikal (dalam bentuk perbuatan). Tingkatannya yang paling rendah berupa kemalasan, menunda-nunda atau melambat-lambatkan. Sering memberi alasan bahawa tugas dakwah itu sukar dan tidak mampu untuk melaksanakannya, meminimakan penglibatan diri dalam misi dakwah organisasi atau sekadar menawar diri untuk membuat tugasan yang paling mudah sahaja. Sedangkan kemuncak penyakit futur ini adalah berhenti sama sekali setelah sebelumnya rajin dan bersemangat.

Ada yang memberikan alasan "wala' kepada pemimpin" untuk terus mempertahankan pemimpin yang futur ini.

GB sudah mengulasnya sebelum ini sempena sambutan Maal Hijrah. Petikan:


PAS kini sedang melalui proses perkembangan dan kematangan sebagai sebuah organisasi dakwah dan politik sehingga timbul fenomena yang dilihat seperti ianya digoncang sekuat-kuatnya bagi melihat keutuhannya untuk mengharungi cabaran di era baru.

Zaman transisi dari sebuah organisasi dakwah yang sifatnya begitu tradisional kepada sebuah organisasi yang progresif untuk berdepan dengan cabaran-cabaran baru seperti globalisasi, ledakan teknologi maklumat, diikuti dengan kehadiran golongan masyarakat yang berdasarkan pengetahuan (k-community) dan seumpamanya memerlukan perubahan kepimpinan dan struktural.

Ia sekaligus menyaksikan sudah berlalunya zaman "zon selesa" untuk pemimpin dan organisasi parti untuk sekadar mempertahankan status quo.

Tulisan ini GB bawa untuk sama-sama kita renungkan mengenai kepincangan yang sedang dialami oleh PAS kini, sebagai satu bahan penelitian untuk menerima seadanya apa yang berlaku kini sebagai satu "sunatullah" untuk mentransformasikan PAS kepada sebuah organisasi dakwah dan politik yang lebih berjaya.

Suka atau tidak suka, perubahan pasti berlaku. Tidak ada dua hari yang bernar-benar serupa pada manusia dan sekalian alam, begitulah kepada PAS. Kesemua faktor perubahan berlaku dengan mengakui adanya nilai konstans - iaitu dasar perjuangan yang tetap.

Hari ini tidak ada sesuatu pun yang tersembunyi lagi. Kejayaan dan kegagalan, kekuatan dan kelemahan sesbuah organisasi dan kepimpinannya diteliti, dibedah, disiasat, dianalisa dan didokumentasikan di bilik-bilik kuliah universiti di dalam pelbagai matapelajaran di dalam bentuk "case study" dan PAS tidak terlepas darinya.

Malah dalam beberapa keadaan ia kini menjadi desertasi untuk seseorang bergelar sarjana dan pemegang PhD.

Zaman untuk merajuk, zaman untuk bersembunyi, zaman untuk mempertahankan sikap "futur" telah tersangat semalam.

Persoalan "adab jemaah" yang ditimbulkan oleh beberapa rakan di lingkaran usrah-usrah kini perlu ditafsirkan dengan parameter baru. "Adab jemaah" bukan lagi dengan mengakui keperluan untuk mengkritik secara berbisik atau apa yang dikatakan "mengikut saluran parti". Cara itu sudah terlalu semalam, sudah ketinggalan zaman.

Kini sudah ada istilah-istilah baru yang mengambil tempat yang diterima sebagai "adab jemaah", seperti "wistle-blowing" - satu kaedah di mana ahli organisasi mendedahkan kepincangan yang dikesannya secara terbuka, "pengurusan strategik" di mana penetapan visi, misi dan objektif organisasi dibuat secara telus dan dipacu bersama oleh pemimpin dan ahli serta "etika professional" dimana nilai-nilai sejagat diakui diterima pakai oleh segenap lapisan petugas dan pekerja organisasi. Mereka yang berdiam diri terhadap kepincangan dan berrahsia untuk menutup kelemahan dilihat sebagai "tidak beradab" malah dikira bersubahabat dengan kegagalan organisasi di zaman kontemporari ini.


Tanpa melupai fakta bahawa sebagai sebuah organisasi dakwah, PAS akan menghadapi tribulasi-tribulasi, tetapi di dalam bentuk baru. PAS akan menempuh gelombang tribulasi Badar, Uhud dan Khandaqnya sendiri, malah PAS akan mengharungi "Perjanjian Hudaibiyah" dan "fathul Makkah"nya sendiri.

Sebagai entiti politik pula PAS perlu bersedia untuk berdepan dengan mehnah baru. Perlu memperlengkapkan diri untuk diheret ke mahkamah bila-bila masa. Perlu bersedia menghadapi tantangan daripada ahlinya sendiri yang akan mencabar kepimpinan yang futur (lembab). Perlu menerima hakikat bahawa struktur yang ada boleh dirombak bila-bila masa pabila ia dilihat sudah tidak mampu menatangi zamannya. Kitar hayatnya (Life cycle) akan menetapkan bahawa proses kematangan parti tidak lagi menunggu pasang-surut sokongan terhadapnya.



Justeru itu, kita ingin menyatakan kepada polis, kepada UMNO BN. Teruskan rancanganmu untuk Operasi Lalang II jika ada. Masukkan Anwar ke dalam penjara sekali lagi jika anda berani. Masyarakat dunia akan saksikan UMNO BN dikuburkan pada pilihanraya akan datang!

Kepada seluruh ahli PAS dan Pakatan Rakyat, JANGAN TAKUT!

82% Melayu Luar Bandar Masih Miskin, UMNO BN Selewengkan DEB Untuk Bolot Kekayaan

Akibat Umno-BN Seleweng DEB 82 Peratus Melayu Luar Bandar Masih Miskin

Penyelewengan Dasar Ekonomi Baru oleh Umno-Barisan Nasional selama 40 tahun yang melibatkan ratusan bilion ringgit telah gagal meningkatkan taraf sosio ekonomi masyarakat Melayu sehingga 82 peratus rakyat di luar bandar dan 62 peratus di bandar yang miskin masih terdiri daripada kaum Melayu.

Sehubungan itu Ahli Parlimen Selayang, William Leong berkata kenyataan Pengerusi SP Setia Berhad, Tan Sri Liew Kee Sin berhubung DEB tidak memberi gambaran realiti yang sebenar kerana dasar itu hanya dibolot segelintir golongan kaya yang tamak.

Sebelum ini Kee Sin menyediakan statistik bagi menunjukkan ahli perniagaan Cina maju dan berkembang di bawah DEB dengan menguasai 73 peratus kekayaan.

Beliau sendiri tersenarai antara 40 rakyat Malaysia yang terkaya dan menduduki tangga ke lapan daripada sepuluh orang terkaya di Malaysia.

"Semua orang tahu siapa mereka. Mereka bukan sahaja antara yang terkaya di Malaysia, tetapi juga di dunia. Semua orang tahu bagaimana mereka mencipta kekayaan sepanjang tempoh 40 tahun yang lalu.

"Keluhan selama ini bukan berkisar sekitar soal bahawa Cina, India, Sikh, Kadazan, Dusun, Iban dan bukan Bumiputera lain turut bersama mencipta peluang kekayaan di bawah Dasar Ekonomi Baru. Biarpun di negara yang diperintah oleh rejim yang paling menekan rakyat, memang akan wujud golongan yang berjaya," jelas beliau.

Menurut Willaim, penyalahgunaan DEB telah mengakibatkan rakyat dinafikan hak sebagai warga yang bermaruah sedangkan semua rakyat tanpa mengira kaum, agama berhak sebagai warganegara dan mempunyai kesaksamaan dalam meningkatkan taraf hidup untuk diri dan keluarga.

"Rakyat Malaysia tertakluk untuk menikmati kehidupan dengan penuh bermaruah. Tidak perlu untuk bergelut seperti Raja Tikus dalam novel John Clavell yang memaksa kita untuk melakukan rasuah dan terlibat dalam pasaran gelap semata-mata untuk hidup dalam kem tahanan perang Jepun," ujar William.

Menurutnya, watak Raja Tikus dalam novel itu telah menjadi satu kuasa kuat di dalam penjara dengan menjadi orang yang paling berjaya menerusi amalan rasuah dan pasaran gelap.

"Tentera Jepun hanya memberi tahanan sebuah tempat tinggal yang kecil dan makanan yang terhad. Semua pegawai hanya memakai cebisan pakaian buruk dan diberi layanan yang tidak berperikemanusiaaan. Bahkan pegawai kanan terpaksa mendekati Raja Tikus untuk menjualbarang-barang bernilai demi mendapatkan makanan.

"Raja Tikus bergelut dengan keadaan penjara yang cukup zalim. Penyalahgunaan dan kegagalan DEB sepertimana yang didakwa oleh Datuk Seri Nazir Razak telah mencipta satu keadaan yang serupa dalam kisah Raja Tikus," ujar beliau.

Menurut Wiliam lagi, pelaksanaan DEB telah memberi kuasa yang besar kepada pegawai kerajaan untuk meluluskan lesen, permit dan segala bentuk intervensi dalam akitiviti ekonomi.

"Dengan memiliki kuasa sebesar itu, peluang itu digunakan oleh pegawai untuk mendapatkan bayaran daripada pemilik perniagaan besar sehinggalah ke peniaga jalanan untuk mendapatkan kelulusan permit dan lesen. Penjaja dan peniaga jalanan membuat bayaran bawah kaunter untuk mendapatkan lesen.

"Peniaga besar terpaksa membayar sejumlah wang besar untuk berniaga. Inilah yang menimbulkan persepsi rasuah dan sebagainya. Bagaimana anda dapat mencari nafkah di negara yang berada pada tangga 56 dalam Indeks Persepsi Rasuah Transparency International?," soal beliau.

Menurut William, rakyat umumnya mengetahui seruan Kee Sin yang meminta peniaga Cina bekerjasama dengan rakan kongsi Melayu di bawah semangat DEB kerana kebanyakan kontrak yang diberikan kepada Melayu telah disubkontrakkan kepada kontraktor Cina.

"Kontrak kelas F yang diberikan khasnya kepada Bumiputera dianugerahkan mengikut citarasa pegawai kerajaan ataupun Yang DiPertua Majlis Perbandaran dan bukan melalui cara bidaan terbuka. Sistem Ali Baba ini diwujudkan atas nama suci memberikan kontrak, lesen dan permit kepada peniaga Melayu untuk meningkatkan taraf ekonomi mereka.

"Selagi majoriti Melayu masih berada dalam keadaan miskin, Perkasa dan ekstremis akan menuntut bahawa DEB masih perlu diteruskan. DEB kemudian akan digelar Never Ending Policy, ataupun dasar yang tidak ada penamatannya," ujar beliau. -SK