5 Jul 2010

Jawapan Kepada Semua Kemelut Negara: PR Perlu Tawan Putra Jaya!

Bukan setakat Penasihat Undang-undang

- PROFESOR DR ABDUL AZIZ BARI

Meskipun Datuk Seri Mohd Nazri Tan Sri Aziz cuba menyerang keseluruhannya apa yang beliau buat dalam menangani gerak yang dimulakan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim nampak defensif. Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu sebenarnya tidak perlu membaca peruntukan perlembagaan kerana kita sudah tahu apa isinya. Bukan itu yang dibangkitkan oleh Ketua Pembangkang itu di Parlimen Selasa lalu.

Isu yang berbangkit dalam soal penasihat undang-undang negeri yang dihantar Jabatan Peguam ke Negara ke negeri-negeri itu ialah dakwaan sabotaj dan enggan menurut perintah. Meskipun gaji dibayar Kerajaan Negeri pegawai berkenaan – yang juga anggota Exco negeri – merujuk kepada Putrajaya dan bukan Menteri Besar. Inilah yang berlaku di Kelantan, Perak dan khabarnya di Selangor juga.

Kenyataan tegas Anwar itu sebenarnya telah lama saya suarakan; khususnya selepas timbulnya masalah antara Kerajaan Negeri di Kelantan dengan istana pada pertengahan 1996. Pada masa sama ia juga menghadapi tekanan daripada perkhidmatan tadbir negeri yang dipimpin setiausaha kerajaan. Ini pelik bunyinya tetapi di Malaysia hal-hal ganjil seperti ini boleh berlaku.

Di negara lain – sebagaimana yang kita lihat di United Kingdom April lalu – parti yang menang diberi laluan. Istana Buckingham tidak mengada-ngada atau kacau daun. Dalam pada itu para pegawai kerajaan dibenarkan menemui parti yang akan membentuk kerajaan baru.

Berbalik kepada Nazri, beliau sepatutnya ditanya mengapa Kerajaan Persekutuan yang UMNO terajui menubuhkan JPP di negeri-negeri yang ia jadi pembangkang. Soalan ini penting sebab Nazri mahu kita ikut perlembagaan sedangkan JPP itu bertentangan dengan konsep negara persekutuan yang ada di Malaysia dan di seluruh dunia. Saya tidak anti UMNO. Saya cuma mahu permainan yang baik; mengikut peraturan. Pemain hebat seperti Diego Maradona pun dikritik apabila dia menjaringkan gol dengan tangan! Kritikan itu masih kita dengar sampai sekarang meskipun yang salah ialah pengadil membenarkan gol curi itu. Bukan dia.

Apa yang didakwa dilakukan pegawai persekutuan di negeri yang Pakatan perintah itu sebenarnya tidak berbeza dengan sikap pasukan polis. Cuma ia tidaklah seteruk pada 1999-2004 di Terengganu apabila ketua mereka di situ, Datuk Othman Talib dengan selamba meremehkan penentangannya kepada kerajaan pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai Menteri Besar.

Sebenarnya ada masalah lebih besar dalam isu yang Anwar bangkitkan itu. Ia berkait dengan kedudukan tiga pegawai kerajaan dalam Exco. Tak kiralah pegawai PTD, pegawai Kamar Peguam Negara atau pegawai perkhidmatan tadbir negeri. Dalam konteks kerajaan bertanggungjawab yang menjadi tunjang dalam sistem demokrasi berparlimen atau Westminster, kerajaan – yakni Kabinet atau Exco negeri – perlu menjadi ahli Dewan. Pegawai bukan ahli Dewan sebab mereka tidak dipilih rakyat. Sebab itu mereka disebut sebagai ahli kerana jawatan; yakni ahli ex-officio.

Peruntukan itu adalah peninggalan sistem yang dibina Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 yang kita kekalkan. Ada banyak sebab kita boleh kemukakan mengapa peruntukan ini perlu dimansuhkan. Tetapi biarlah ini kita bincangkan pada ruangan lain.

Terlanjur membincangkan peruntukan mengenai Kerajaan Negeri sebenarnya di Sabah pun ada peruntukan yang ganjil. Peruntukan ini membenarkan pelantikan ahli DUN, dan peruntukan inilah menyebabkan berlakunya krisis di Sabah selepas pilihan raya negeri 1985 apabila pemimpin Usno Tun Datu Mustapha, menggunakan peruntukan itu, menyerbu masuk ke istana dan meminta Yang di-Pertua Negeri Tun Adnan Robert melantiknya sebagai Ketua Menteri.

Peruntukan-peruntukan yang sedemikian itu bukan sahaja ketinggalan zaman, tetapi bertentangan dengan demokrasi, dan kita sudah lihat bagaimana ia digunakan untuk membuat sabotaj. Rakyat perlu prihatin soal ini.

Apa pun Anwar tidak perlu bertindak sekarang kerana sebagaimana diduga, musuh mereka akan menyeret istana. Ini kita dapat hidu dalam sidang akhbar Nazri Rabu lalu. Apa yang Anwar perlu buat ialah pastikan Pakatan berada di Putrajaya terlebih dahulu. Tanpa kuasa persekutuan sukar untuk Pakatan membuat perubahan. Dengan kuasa itu saya rasa mudah sedikit untuk mereka berkira dengan istana. Tetapi sebenarnya kuasa tadi jarang digunakan, itu mungkin kerana UMNO tidak lupa membawa persembahan yang baik-baik. Ini hanya boleh Anwar sembahkan kalau beliau duduk di Putrajaya. -SH

Ulasan GB

Tidak ada pilihan lain - demi untuk mengembalikan keamanan dan kesejahteraan rakyat, demi untuk menamatkan segala jenis kepincangan dan korupsi yang diamalkan oleh UMNO BN - Pakatan Rakyat perlu tawan Putra Jaya. The faster the better.


Wahai Shafie Apdal, Sebab Pulut Santan Binasa

PAS Johor hari ini membuat laporan polis terhadap Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berhubung ucapannya yang didakwa menuduh parti Islam itu sebagai parti ajaran sesat.

Laporan polis itu dibuat di balai polis Sentral Johor Bahru yang diketuai ketua penerangannya Mazlan Aliman, yang diiringi kira-kira 20 penyokong parti itu, pada jam 11.30 pagi tadi.

Bercakap kepada Malaysiakini pagi ini, Mazlan mendakwa Mohd Shafie yang juga naib presiden Umno, dalam ucapannya perasmian mesyuarat perwakilan Umno bahagian Kulaijaya kelmarin, telah menuduh PAS sebagai parti ajaran sesat.

"Itu kenyataan yang biadap, amat keterlaluan. Maka kami membuat laporan meminta pihak polis menyiasat kenyataan beliau itu dan kami mendesak agar beliau memohon maaf serta menarik balik kenyataan itu," katanya.

Mazlan yang juga ahli jawatankuasa PAS pusat berkata, kenyataan Mohd Shafie itu dilaporkan oleh akhbar Sinar Harian semalam

Laporan itu memetik Mohd Shafie menyifatkan PAS sebagai parti ajaran sesat kerana didakwanya hanya memperjuangkan kemenangan kerusi DUN dan Parlimen berbanding kepentingan rakyat.

Mengulas lanjut, Mazlan yang juga pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) berkata dakwaan yang dilemparkan kepada parti itu "tidak boleh diterima sama sekali".

"Ahli PAS kini berjumlah satu juta, adakah beliau berani menyatakan (mereka) sesat. PAS menguasai Kelantan, memimpin di kerajaan Kedah dan suatu ketika dahulu memerintah di Perak, adakah beliau menyatakan majoritinya sebagai sesat," tegasnya.

Sehubungan itu, beliau mencabar Mohd Shafie yang juga ahli parlimen Semporna untuk berdebat bagi membuktikan siapa yang sebenarnya sesat.

Katanya, jika Mohd Shafie tidak memohon maaf dan menarik balik kenyataan beliau itu, PAS Johor akan mengarahkan ahlinya di negeri itu untuk membuat laporan polis secara bersiri terhadap menteri itu.



PR Akan Tentang Habis-habisan Kenaikan Tol Jambatan Pulau Pinang

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng tetap mempertahankan pendirian yang telah dibuat oleh kerajaan negeri menentang kenaikan tol Jambatan Pulau Pinang seperti mana yang dilaporkan sebelum ini daripada RM7 kepada RM9.40 iaitu kenaikan 34 peratus mulai 2013.

Menurut Guan Eng sebagai sebuah kerajaan negeri yang berjiwa rakyat dan prihatin terhadap beban yang bakal ditanggung, kenaikan harga tol jambatan tersebut harus ditentang dan dibantah kerana ia menyusahkan kehidupan lebih 1.5 juta rakyat Pulau Pinang.

"Namun begitu kita kesal dengan penangguhan mesyuarat yang sepatutnya diadakan setelah tidak ada seorang pun daripada pemimpin Barisan Nasional yang diundang untuk menghadiri mesyuarat bagi membincangkan isu tol Jambatan Pulau Pinang ini hadir.

"Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku Pengerusi Umno Pulau Pinang dan Naib Presiden MCA, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen tidak dapat hadir kerana mempunyai program lain manakala Presiden Gerakan yang juga merupakan mantan Ketua Menteri Pulau Pinang, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon tidak hadir seperti mana yang dinyatakan oleh media.

"Apabila mereka sendiri tidak hadir setelah jemputan diberikan secara rasmi, maka ini membuktikan pemimpin BN tidak mempedulikan kesukaran dan beban yang ditanggung oleh rakyat negera ini. Mereka sepatutnya memberi keutamaan dalam isu yang melibatkan rakyat negeri ini.

"Kerajaan Negeri akan tetap menentang kenaikan tol Jambatan Pulau Pinang. Wakil BN negeri hanya berani bersuara di hadapan media sahaja dalam isu membantah kenaikan harga tol Jambatan Pulau Pinang ini. Mereka tidak berani untuk mengatakan perkara yang sama kepada Kerajaan Pusat. Ini membuktikan mereka mengamalkan sikap talam dua muka," kata Guan Eng setelah menanti selama setengah jam kehadiran wakil dan pemimpin BN sebelum membatalkan mesyuarat yang sepatutnya diadakan di pejabat beliau di Komtar semalam. -SK