1 Jun 2013

BN Fail 50 Petisyen: Zahid Hamidi Dah Boleh Berhijrah ke Negara Lain!


Fail petisyen PRU, kenyataan Zahid kena batang hidung sendiri

Kenyataan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi agar rakyat yang tidak bersetuju dengan proses pilihan raya berpindah ke luar negara ibarat terkena batang hidung sendiri, kata Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN, Datuk Johari Abdul.

Beliau mengulas tindakan Umno BN mahu memfailkan lebih 50 petisyen membabitkan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (Dun) di Mahkamah Tinggi sebelum 11 Jun nanti.

“Sebelum ini Zahid Hamidi dengan angkuh menyuruh rakyat Malaysia yang tidak menerima keputusan PRU lalu supaya keluar dari negara ini.

“Kenyataan Zahid ini tidak ubah seperti menjilat ludah sendiri apabila Umno BN pula mahu failkan petisyen pilihan raya. Mungkin mereka sendiri pun sudah tidak yakin dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),”
ujar Johari sinis.

Justeru katanya, Zahid sepatutnya mengkaji terlebih dahulu sebelum membuat kenyataan dan melemparkan tuduhan terhadap Pakatan Rakyat.

Zahid, yang juga Naib presiden Umno sebelum ini menyeru golongan yang enggan menerima sistem pilihan raya agar meninggalkan negara ini dan berhijrah ke negara lain.

Kenyataan itu turut disokong Timbalan Pengerusi Perhubungan BN Selangor, Datuk Seri Noh Omar yang meminta rakyat yang tidak bersetuju dengan sistem pilihan raya agar “duduk di dalam hutan”.

Mengulas lanjut, Johari yang juga Ahli Parlimen Sungai Petani menambah, bilangan petisyen yang ingin difailkan BN menunjukkan tahap kepercayaan mereka kepada SPR jauh lebih buruk berbanding Pakatan Rakyat.

“Pakatan hanya (mahu fail petisyen) 30 lebih sahaja tetapi Umno BN lebih 50 petisyen, ini sudah parah dan terus memburukkan kredibiliti SPR sebagai badan bertanggungjawab.

“Jadi saya gesa, eloklah Pengerusi SPR dan timbalannya meletakkan jawatan ekoran krisis kepercayaan oleh parti yang bertanding dalam PRU lalu,” ujarnya. -KD

Malaysia Juara Pengubah Wang Haram Berpusat Di Amerika Syarikat


Perkhidmatan kiriman wang tidak berlesen di Malaysia didakwa menjadi sebahagian daripada operasi besar pengubahan wang haram berpusat di Amerika Syarikat yang bernilai US$6 bilion (RM18.3 bilion).

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, berkata reputasi buruk Malaysia sebagai juara aliran wang haram per kapita menjadi dalil kukuh kegagalan Barisan Nasional (BN) dan Bank Negara melenyapkan rasuah dan mencegah pengubahan wang haram di Malaysia.

Katanya, ketika berada di London beliau sedih apabila membaca laporan akhbar New York Times bahawa skim pengubahan wang haram yang beroperasi di bawah Liberty Reserve memiliki jutaan pelanggan di seluruh dunia yang ‘bersifat penjenayah’ itu melakukan 55 juta transaksi dalam tempoh tujuh tahun lalu.

“Dalam kes pengubahan wang haram dalam talian terbesar dalam sejarah, Liberty Reserve bergantung sepenuhnya kepada penukar pihak ketiga untuk menerima dan membuat bayaran bagi pihak mereka, yang selalunya adalah ‘usahawan pengirim wang tidak berlesen yang tidak mempunyai badan pemantau kerajaan atau undang-undang yang signifikan, berpusat di Malaysia, Rusia, Nigeria dan Vietnam’.

“Global Financial Integrity Report yang berpengkalan di Washington menyenaraikan negara China di tangga pertama dalam aliran keluar wang haram yang selalunya berunsur rasuah berjumlah US$2.8 trilion dan Malaysia berada pada kedudukan kelima di dunia dengan US$291 bilion. Namun atas dasar per kapita, China kalah kepada juara dunia Malaysia dengan hanya RM6,400 seorang setahun berbanding RM32,000 bagi Malaysia,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, di England, malangnya Malaysia mempunyai sejarah silam apabila warganya ada yang menjadi ‘bookie’ mengatur perlawanan bola sepak Liga Perdana Inggeris.

Menurutnya, reaksi negatif daripada hal itu kini kian pudar berikutan kesan positif pembabitan Malaysia dalam pemilikan kelab Liga Perdana Inggeris seperti Queen Park Rangers dan Cardiff City.

Beliau berkata, malangnya, budaya rasuah kerajaan Malaysia dan kurangnya ketelusan kewangan serta akauntabiliti menyebabkan Malaysia menjadi fokus dunia sebagai pusat operasi pengubahan wang haram global.

“Reputasi antarabangsa Malaysia kini lebih teruk daripada Thailand atau Indonesia dan hampir sebaris dengan negara seperti Nigeria dan Rusia dalam hal pengubahan wang haram.

“Masanya sudah tiba bagi Kerajaan Persekutuan BN berhenti hidup dalam penafian dengan melaksanakan reformasi kewangan yang tulen untuk membersih dan menghentikan aktiviti jenayah aliran keluar wang haram serta pengubahan wang haram.

“Jika tidak, tidak ada ertinya Bank Negara mendapat pelbagai penghargaan untuk apa yang disangkakan sebagai pengurusan ekonomi yang baik sedangkan isu sebenar berkaitan ketelusan dan akauntabiliti tidak boleh diuruskan,” ujarnya

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, kerajaan tidak boleh terus bergantung kepada negara luar seperti Hong Kong untuk menyiasat dan menahan mereka yang terbabit menyeludup puluhan juta ringgit.-Roketkini

UMNO Terkuat? Najib, PM 47% Itu Tertipu & Menipu Dengan Ilusinya!


Najib: Umno muncul parti terkuat dalam PRU13

Umno kekal sebagai parti pilihan rakyat berdasarkan pencapaian parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) pada 5 Mei lepas, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana menteri berkata ini terbukti dengan kejayaan Umno menambah bilangan kerusi Parlimen daripada 79 pada PRU12 2008 kepada 88 pada pilihan raya kali ini.

"Jika dibandingkan dengan pembangkang, mereka mempunyai 89 buah kerusi, bererti Umno sebagai parti tunggal boleh menyamai gabungan parti pembangkang yang terdiri daripada tiga parti tersebut (DAP, PKR dan PAS)," kata Presiden Umno itu kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno hari ini.

Najib berkata prestasi Umno juga diukur berdasarkan kejayaannya merampas kembali Kedah dan Perak berserta bilangan undi yang diperolehi yang semakin bertambah.

"Mengikut kajian kita, lebih kurang 30 peratus peningkatan undi yang diberikan kepada Umno berbanding tahun 2008, katanya.

Justeru, Najib berkata Umno akan terus berjuang dengan memantapkan gerak kerjanya melalui beberapa penambahbaikan pentadbiran di peringkat ibu pejabat seperti dicadangkan oleh timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan.

Beliau berkata antara penambahbaikan tersebut ialah mewujudkan beberapa bidang pengkhususan sepenuh masa seperti penyelidikan dan latihan, media sosial dan bidang penerangan.

Beliau berkata penyusunan semula tersebut perlu bagi memastikan usaha, mesej dan segala keputusan daripada Majlis Tertinggi itu dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Menurutnya khidmat tenaga profesional sepenuh masa dan berdedikasi akan digunakan untuk melaksanakan tugas dan arahan majlis itu.

Sementara itu, Naib Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata pengumuman Najib mewujudkan pelbagai pengkhususan dalam memantapkan lagi parti itu akan menjadikan Umno lebih fokus untuk mendekati golongan muda.

"Ini merupakan tumpuan baharu parti kerana pada 2017 atau 2018 nanti (jika pilihan raya umum diadakan), dijangka hampir 2.5 juta pengundi muda, dan ini harus diberikan tumpuan bagi mendekati kumpulan berkenaan," katanya.

Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin pula berpendapat pewujudan pelbagai pengkhususan itu adalah cadangan yang tepat bagi memulakan usaha parti itu menghadapi pilihan raya umum ke-14.

"Kita pisahkan media sosial daripada penerangan, jadi kita akan memberi input untuk kaedah menjalankan kempen melalui media alternatif dengan lebih berkesan. Pemuda Umno akan menyumbang idea untuk memperkukuhkan bidang itu," katanya. - Bernama

Ulasan GB

Najib membnicarakan soal kerusi, lansung tak sentuh tentang undi.

Dengan penuh bangga beliau menyatakan "kejayaan Umno menambah bilangan kerusi Parlimen daripada 79 pada PRU12 2008 kepada 88".

Oleh kerana Najib berbicara tentang "kerusi" kita jawab dengan kerusi juga.

UMNO meningkatkan kerusinya daripada 79 kepada 88 katanya, TETAPI jangan terlepas pandang bahawa kerusi Barisan Nasional merosot 7 kerusi dari 140 (2008) kepada 133 (2013). Pakatan Rakyat yang dapat menambahkan 7 kerusi daripada 82 (2008) kepada 89 (2013)

Jadi peningkatan kerusi UMNO datang dari mana kalau bukan dari kalangan anggota BN sendiri iaitu MCA? MCA kalah teruk dengan kehilangan 8 kerusi iaitu daripada 15 (2208) kepada cuma 7 (2013).

Rumusannya? UMNO bertambah kuat dengan menambah kerusinya dengan mengkorbankan MCA!

Sokongan kaum India yang digembar-gemburkan telah kembali kepada BN juga palsu kerana MIC cuma menambah 1 kerusi sahaja iaitu dari 3 (2208) kepada 4 (2013).

Ditinjau dari sudut undi popular keadaannya bertambah buruk dan Najib lansung tak sentuh lansung mengenainya.

UMNO menerima sejumlah 3,241,286 (29.32%) undi popular, jauh lebih rendah daripada Pakatan Rakyat yang memperolehi 5,623,984 (50.87%).

UMNO parti terkuat?

Dengan jumlah undi popular yang diterima oleh UMNO sebanyak 3.2 juta itu, ia menyamai keahlian UMNO yang juga dikhabarkan seramai 3.2 juta. Ini bererti UMNO hanya menerima undi daripada ahlinya sendiri, menjelaskan kepada kita bahawa UMNO tidak layak untuk mewakili rakyat "Melayu" Malaysia kerana jumlah pengundi Melayu ialah 7.8 juta. Sejumlah 4.6 juta lagi pengundi Melayu tidak memilih UMNO sebaliknya memilih Pakatan Rakyat! Itu GB tak ulas pengundi bukan-Melayu yang masing-masing dah tahu, malah Najib sendiri akui, majoritinya sudah tidak mengundi BN!

Najib benar-benar sedang berilusi, tertipu dan hendak menipu rakyat Malaysia,,

Isu Batal Pasport: Peguam Tempelak Ketua Pengarah Imigresen Sebagai Jahil Undang-undang


Peguam: Tiada peruntukan untuk batal pasport

Akta Pasport 1966 tidak mempunyai peruntukan bagi pembatalan pasport Malaysia seperti yang didakwa oleh Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Alias Ahmad, kata para peguam.

"Selepas meneliti Akta Pasport, saya tidak dapat mencari peruntukan mana yang membolehkan (Imigresen membatalkan pasport)," kata peguam Syahredzan Johan (kiri).

Malah, katanya, beliau tidak tahu adanya sebarang undang-undang yang membolehkan kerajaan membatalkan pasport Malaysia.

Bagaimanapun, katanya, terdapat undang-undang individu yang memperuntukkan kuasa untuk menghalang individu daripada meninggalkan Malaysia, contohnya, di bawah Akta Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) 1997 dan Akta Kebankrapan 1967, dan juga mereka yang diikatjamin berkaitan kesalahan jenayah.

Dalam mesej teks kepada Malaysiakini, Syahredzan bagaimanapun menegaskan bahawa akta-akta tersebut hanya melarang individu keluar negara ini, tetapi bukan membatalkan pasport Malaysia yang sah.

David Matthews, seorang pakar dalam bidang tersebut, berkata sekatan ke atas individu di bawah undang-undang yang berasingan itu, bagaimanapun, tidak boleh dilakukan secara pentadbiran oleh ketua pengarah (KP), tetapi mesti melalui suatu perintah mahkamah.

Menurutnya, Akta Pasport merupakan satu undang-undang pentadbiran dan tidak berurusan tentang kewarganegaraan dan lain-lain.

Ketika dihubungi, David berkata, ia hanya membolehkan KP mengeluarkan bukan warganegara yang memasuki Malaysia secara haram, dan tidak terpakai kepada rakyat tempatan.

Beliau berkata KP boleh berhujah bahawa di bawah Seksyen 12D akta tersebut, beliau boleh diberikan kuasa oleh menteri, tetapi ini lebih merujuk kepada perkara-perkara dasar.

Tetapi, tambahnya, apa-apa arahan seumpama itu hendaklah munasabah dalam erti kata undang-undang pentadbiran dan juga adil.

'Mencemarkan imej negara di luar negara', tambahnya, adalah samar-samar dan tidak boleh dijadikan sebab untuk membatalkan pasport.

Dalam soal pembatalan kewarganegaraan, katanya, ini adalah dinyatakan di dalam Perlembagaan Persekutuan, tetapi hanya boleh diguna jika seseorang warganegara itu melakukan perkara-perkara yang membatalkan kewarganegaraannya.

Katanya, ini termasuk perkara-perkara seperti menerima kewarganegaraan negara lain atau melaksanakan hak-hak rakyat negara lain, seperti mengundi.

"Tetapi ia bukan pembatalan per se. Seseorang itu tidak boleh dinafikan hak kewarganegaraan," katanya.

Beliau menambah, jika 6,564 orang yang disebut itu, didakwa di negara asing, maka mereka akan menghadapi hukuman undang-undang di sana.

Semalam, Alias dipetik oleh Berita Harian sebagai berkata, jabatan itu akan membatalkan pasport Malaysia 6,564 rakyat Malaysia, antaranya kerana "mencemarkan imej Malaysia di luar negara".

Alias memberitahu akhbar tersebut bahawa ini selaras dengan Akta Pasport, tetapi tidak menyatakan secara khusus seksyen Akta tersebut.


Bagaimanapun, beliau kemudiannya berkata undang-undang itu hanya membenarkan kerajaan menghalang rakyat Malaysia daripada keluar negara, dan bukan menghalang mereka memasuki Malaysia.

Pada hari Isnin, beliau telah dilaporkan oleh Berita Harian sebagai berkata rakyat Malaysia yang memprotes di luar negara boleh dihalang daripada pulang dan pasport mereka boleh dibatalkan di bawah Seksyen 8 Akta Imigresen 1959/1963.

Menurut Matthews, adalah mengejutkan bagi Alias berkata demikian kerana ia menunjukkan satu kejahilan undang-undang.


Seluruh seksyen itu merujuk kepada pendatang, kata Mathews sambil menambah bahawa cara Alias beralih dari satu akta kepada yang lain, menunjukkan beliau tidak tahu apa yang dicakapkannya.

Seksyen 8, Akta Imigresen menyatakan bahawa KP Imigresen boleh mengklasifikasikan mana-mana bukan warganegara sebagai pendatang yang dilarang, sebagaimana yang ditakrifkan dalam Seksyen 8 (3) akta yang sama, dan melarangnya daripada memasuki negara ini.

Dalam satu kes, kerajaan telah membatalkan pasport pemimpin Hindraf - yang kini menjadi timbalan menteri, P Waythamoorthy - memaksanya ketika itu hidup dalam buangan di London.

Agensi Sempatan United Kingdom, dalam jawapan bertulis kepada permohonan peguam Waythamoorthy di bawah Akta Kebebasan Maklumat, berkata pasport itu "dibatalkan kerana pihak berkuasa Malaysia mahu menangkap Waythamoorthy untuk menghadapi tuduhan jenayah."

Malaysiakini telah berulang kali cuba menghubungi Alias untuk mendapatkan penjelasan mengenai seksyen Akta Pasport yang mahu digunakan untuk membatalkan pasport, tetapi belum berjaya menghubungi. -mk
,br>

Kritik kerajaan akan dibatalkan pasport mereka? Kenapa begitu?


Dalam keadaan kedua-dua pihak pembangkang dan parti kerajaan sedang berperang mulut berhubung dengan banyak isu, keluar pula kenyataan yang sangat mengelirukan dari Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Dato' Alias Ahmad. Mengapa dan kenapa kenyataan yang sangat mengelirukan ini dikeluarkan, hanya beliau sahajalah yang tahu.

Dato' Alias telah mengeluarkan kenyataan bahawa Jabatan Imigresen mempunyai hak untuk membatalkan pasport rakyat Malaysia yang mengkritik kerajaan di luar negara dan ini tidak dapat diterima. Mengkritik kerajaan yang memerintah adalah hak rakyat negara ini dan ia boleh dilakukan di mana-mana, samada di dalam atau dari luar negara.

Kita bersetuju rakyat yang mengkritik dan memburukkan negara itu wajar diambil tindakan seperti itu, tetapi setakat mengkritik kerajaan yang mereka anggap rasuah dan menyalahgunakan kuasa itu bukannya mengkritik negara. Jika seorang rakyat mengkritik kehadiran sistem negara seperti kedudukan Raja-Raja Melayu dan apa yang berkaitan dengannya adalah salah bagi negara ini dan wajar pasport mereka dibatalkan.

Tetapi jika seseorang mengkritik kerajaan yang rasuah dan menyalahgunakan kuasa dan membantutkan usaha memperkayakan perpaduan kaum itu tidak salah dan adalah ‘ultra-vires’ jika tindakan diambil terhadap rakyat itu. Jika semua kritikan terhadap kerajaan itu membolehkan pasport mereka terbatal maka negara kita seolah-olah sebuah negara yang zalim dan tidak bertamadun.

Rakyat dan pemimpin yang meminta pertolongan kuasa asing, misalnya CIA, untuk menumbangkan kerajaan, itu adalah tindakan yang jahat dan perlu pasport mereka itu ditarik balik atau dibatalkan terus. Tindakan ini adalah tindakan memusuhi negara dan Yang Di Pertuan Agong, maka mereka wajar dibatalkan pasport mereka.

Tetapi jika setakat mengatakan Najib atau Muhyiddin sebagai pemimpin yang tidak sesuai dengan negara, itu adalah isu politik dalaman dan tidak sepatutnya pihak imigresen membatalkan pasport mereka. Tuduhan seperti itu pun sememangnya ada kebenarannya.

Apabila kita mendengar kenyataan-kenyataan seperti ini dikeluarkan oleh mereka yang memegang amanah untuk mentadbir jabatan dan negaranya, kita amat khuatir dengan jenis apa negara kita akan berada pada masa-masa yang akan datang.

Saya secara peribadi berharap Ketua Pengarah Imigresen itu akan membuatkan pencerahan yang betul kerana ramai rakyat yang sedang tertanya-tanya kenapa kenyataan itu keluar dalam waktu yang sangat panas ini. Adakah kenyataan itu untuk menyediakan pemikiran rakyat yang jika ada pimpinan mana-mana pihak yang akan dibatalkan pasportnya nanti, rakyat diminta tidak bertindak dengan cara ganas atau apa?

Ramai yang sangat keliru sekarang ini. Ada pihak yang menggunakan kuasa sejak berdekad-dekad lamanya. Ada pihak yang telah merasakan akan dapat menggantikan kuasa sudah begitu celupar untuk mengambil tindakan dan memenjarakan pihak yang akan digantikannya itu.

Kalau hendak ambil tindakan pun biarlah setelah kuasa diperolehi. Tidak perlu bercakap besar di atas nama ketegasan dan pembaharuan. Apabila ternampak 'rusa di hutan tembak dahulu baru bersorak'. Tetapi mereka ini bersorak baru hendak menembaknya. Belum pun sempat menembak rusa sudah cabut lari.

Bila rusa sudah lari, marah-marah pula kepada semua orang kerana kesalahan sendiri itu. Diri sendiri tidak pernah bersalah. -aspanaliasnet

[VIDEO] Nurul Izzah Akan Bawa Kes Halangnya Masuk Sabah Ke Mahkamah


MMenyifatkan tindakan menghalangnya memasuki Sabah sebagai “penahanan anti demokratik”, Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar akan mengambil tindakan perundangan terhadap kerajaan negeri barisan nasional (BN) Sabah atas tindakan mereka di mahkamah.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu bagaimanapun menegaskan, beliau tidak mempersoalkan undang-undang di negeri Borneo berkenaan, sebaliknya hanya menuntut kerajaan pimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman mengemukakan sebab-sebab kukuh larangan yang dikenakan terhadapnya.

“Sekiranya saya dianggap mengancam keselamatan warga Sabah, maka kemukakan rasional serta penjelasan atas dakwaan tersebut,” katanya kepada pemberita ketika sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini.

“Sebagai seorang Ahli Parlimen Malaysia, dan warganegara Malaysia, tindakan menyekat kemasukan yang tidak rasional dan bersebab ini merupakan salah guna kuasa yang melampau dan cukup anti-demokratik,” tegasnya lagi.

Beliau yang tiba di Lapangan Terbang Kota Kinabalu pada petang Khamis bagi tujuan menyambut Pesta Kaamatan telah ditahan dan seterusnya dihantar pulang ke Semenanjung.

Pemimpin muda Pakatan Rakyat (PR) itu juga tidak menolak kemungkinan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim turut dihalang daripada memasuki negeri berkenaan.

“Atas sebab kerahsiaan, permintaan saya untuk mendapatkan nama-nama pemimpin PR lain yang dihalang tidak dibenarkan.

“Saya percaya Datuk Seri Anwar Ibrahim juga akan dihalang memasuki Sabah,” katanya kepada pemberita.

“Saya sudah berbincang dengan YB Darrell Leiking, ahli Parlimen Penampang untuk ambil tindakan undang-undang terhadap Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman di Kota Kinabalu,” katanya, dan menambah,”sampai bila saya dilarang?”

Beliau menegaskan, PKR juga akan menghantar surat rasmi kepada Pejabat Ketua Menteri Sabah bagi menuntut penjelasan dan menggesa mereka kemuka kepada umum senarai nama pemimpin PR yang dihalang, supaya rakyat tahu apa sebabnya mereka mengancam keselamatan Sabah.

Insiden berkenaan turut mendapat reaksi negatif daripada pemimpin Barisan Nasional (BN) Sabah, iaitu ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Bung Mokhtar Radin, yang menganggap keputusan kerajaan negeri perlu diubah segera sekiranya tiada alasan kukuh untuk mereka melakukan sedemikian.

“Jika tiada alasan kukuh untuk sekatan ke atas Nurul, dan menjadi yang benar-benar adil dan memberikan keadilan, keputusan itu harus diubah segera,” kata ahli majlis tertinggi Umno itu dipetik The Star Online.

Beliau meminta supaya rakyat diberikan penjelasan daripada kerajaan negeri Sabah mengenai kenapa Ahli Parlimen Lembah Pantai itu dihalang masuk pada petang Khamis.

“Pihak berkuasa perlu mengeluarkan kenyataan yang kukuh dan diterima.

“Saya tidak melihat Nurul sebagai satu ancaman kepada negeri Sabah atau pun rakyat Sabah,” kata Bung.

Nurul Izzah turut melahirkan kekecewaan dan menggesa isu keselamatan negara dan persempadanan tidak boleh sama sekali dipolitikkan.

“Malang, tindakan menghalang saya daripada masuk ke Negeri di Bawah Bayu ini berlaku di kala Sabah berhadapan dengan kebolosan sempadan - termasuklah pengeluaran kad pengenalan secara haram seperti yang sedang disiasat oleh Suruhanjaya Siasatan DiRaja Sabah.

“Seharusnya tumpuan kerajaan negeri adalah mengawal selia masalah kebolosan yang mendesak ini, bukan menyalahgunakan kuasa dengan menafikan hak demokrasi dan aktiviti politik pimpinan Pakatan Rakyat demi mempertahan kedudukan Umno mahupun BN.”

Justeru itu, jelas beliau isu keselamatan dan kedaulatan negara sepatutnya tidak diperlekehkan dengan menjadikan ia alat politik menindas rakyat.-TMI