24 Jun 2015

Kumpulan G-18 Ganti PAS Dalam PAKATAN 2.0


Penubuhan pakatan pembangkang baharu dibincang semalam?

Sekumpulan pemimpin progresif PAS yang menggelarkan diri mereka sebagai G-18 mengadakan pertemuan dengan pimpinan PKR dan DAP semalam.

Pengerusi jawatankuasa bertindak G-18, Mohamad Sabu berkata, pertemuan di Kuala Lumpur semalam berjalan dengan baik dan dihadiri pemimpin kanan PKR dan DAP.

Bekas timbalan presiden PAS itu berkata, selepas Ramadan nanti, G-18 akan membuat pengumuman rasmi mengenai masa depan politik mereka.

"Ia sangat berjaya dengan semua pemimpin kanan menyertainya," kata Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu kepada The Malaysian Insider, tanpa mahu mengulas panjang.

Ditanya sama ada terdapat perbincangan menubuhkan pakatan pembangkang baharu, Mat Sabu berkata: “Tunggulah lepas raya nanti.”

Semalam, hampir kesemua anggota G-18 yang tewas dalam pemilihan lepas menyertai majlis berbuka puasa di rumah bekas setiausaha agung PAS, Datuk Kamarudin Jaffar, di Kemensah Heights, Kuala Lumpur.

Kamarudin yang juga ahli Parlimen Tumpat mengesahkan kehadiran pemimpin kanan PKR dan DAP.

"PKR datang dengan diketuai presidennya sendiri Kak Wan (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail) manakala DAP juga datang," kata Kamarudin kepada The Malaysian Insider.

Selain Dr Wan Azizah, antara yang turut hadir dari PKR ialah Chua Tian Chang atau Tian Chua, Datuk Saifuddin Nasution Ismail, Datuk Johari Abdul dan Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali yang juga timbalan presiden PKR dikatakan tidak sempat hadir kerana terlibat dengan program di Kuala Selangor.

DAP pula disertai Lim Kit Siang, Teresa Kok, Liew Chin Tong dan lain-lain.

Dipihak G-18 pula, selain Mat Sabu, turut hadir ialah Salahuddin Ayub, Dr Dzulkefly Ahmad, Datuk Dr Mujahid Yusof, Asmuni Awi, Dr Mariah Mahmood.

G-18 sedang dalam siri pertemuan dengan pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan, susulan penubuhan jawatankuasa bertindak pada 16 Jun lalu di Muar, Johor. –TMI.


Pembangkang bincang tubuh Pakatan 2.0?

Pada hari yang sama bekas ketua pembangkang menyeru penyusunan semula dan muncul pembangkang yang kuat, para pemimpin gabungan pembangkang itu dilihat mengadakan satu pertemuan.

Sekeping foto menunjukkan sekumpulan anggota parlimen dan pemimpin progresif PKR, DAP dan PAS duduk bersama-sama dalam satu kumpulan dengan dilaporkan mereka berbincang menubuhkan Pakatan 2.0.

MP Teresa Kok yang memuatnaik gambar tersebut dalam laman Facebooknya semalam berkata ia diambil dalam satu majlis berbuka puasa di rumah anggota parlimen Tumpat Datuk Kamaruddin Jaafar di Kuala Lumpur malam tadi.

"Ketika keputusan muktamar PAS untuk memutuskan hubungan dengan DAP, tetapi malam ini ia seolah-olah memberi harapan lahirnya Pakatan Rakyat 2.0," tulis beliau.

Antara pemimpin yang hadir dalam gambar tersebut ialah bekas timbalan presiden Mohamad Sabu, tokoh DAP Lim Kit Siang, bekas naib presiden Salahuddin Ayub, MP Shah Alam Khalid Samad, MP Sungai Petnu Datuk Johari Abdul, penyanyi dan ahli PAS Wan Aishah Wan Ariffin dan Naib Presiden PKR Tian Chua dan Shamsul Iskandar Mohd Akin.
-mk



Aktiiviti Pertama G-18 Harapan Baru

Laporan Polis Berhubung Isu FGV oleh ANAK dan Isu Pembelian Hartanah Mara di Melbourne oleh G18 Harapan Baru.

Tarikh :
25hb Jun 2015 (Khamis)

Jam :
11 Pagi

Lokasi :
IPD Dang Wangi, KL.

Semua Media dijemput hadir.
Sekian, Terima Kasih.

SUHAIZAN KAIAT
Penolong Setiausaha
G18 HARAPAN BARU

Semua pls come n join
ULASAN GB

InsyaAllah, PAKATAN 2.0 bakal muncul di persada politik tanahair menggantikan Pakatan Rakyat. Kali ini kita berharap ia tanpa PAS. Terlalu banyak masalah apabila PAS berada di dalam Pakatan Rakyat. PAS tidak layak untuk berkawan dengan sesiapa pun.

Biarlah PAS bersendirian. PAS merasa dirinya sudah cukup bagus, dah cukup kuat sehingga membuang semua profesional yang telah banyak berjasa kepadanya. Malah PAS sudah tidak memerlukan undi kaum Cina lagi apabila presidennya sendiri secara sinis, bongkak dan angkuh menyatakan “Kita (PAS) sedia kerja dengan semua parti yang tidak cauvinis". Dia tak sebut DAP tapi itulah maksudnya sedangkan selama ini DAP banyak membantu PAS di dalam pilihanraya.

Semalam GB sudah ulas, petikan:

Dan semalam G-18 bersama pimpinan PR telah hadir bersama-sama di dalam satu majlis berbuka puasa. Sekalipun PAS telah mengusulkan putus kerjasama dengan DAP, sehingga menyebabkan DAP dan PKR membuat keputusan Pakatan sudah tidak wajud lagi, maka pertuemuan semalam adalah satu permuafakatan untuk Pakatan 2.0 tanpa melibatkan PAS lagi. InsyaAllah ia akan lebih kukuh dan lebih kuat, lebih cemerlang dan gemilang demi menghadapi PRU14 nanti. PAS jangan pula segan dan malu untuk terima pelawaan Chua Soi Lek, untuk bersama UMNO dan BN.... kalau tak memang tenggelam habis pru nanti...
Mustafa Ali pasti gembira dengan pelawaan sahabat baiknya itu...




Parti Baharu: Bukan Gila Jawatan Tetapi Untuk Pakatan 2.0


Siapa Tenggelam Dan Siapa Bimbang?

Kewujudan sebuah parti baru yang bakal diterajui oleh kumpulan progresif Pas yang kalah dalam pemilihan baru-baru ini nampaknya semakin hampir menjadi kenyataan.

Tidak saja PasMa dengan penuh yakin mengumumkan penubuhan parti baru itu akan direalisasikan tidak lama lagi bersama beberapa NGO dan bakal menjadi pengganti kepada Pas dalam Pakatan Rakyat, bahkan kumpulan progresif itu sendiri sudah ada jenamanya sendiri yang dinamakan G18 yang sekaligus menggambarkan iltizam untuk terus mara ke hadapan dengan wadah baru dan tidak mahu lagi menoleh ke belakang bersama kenangan silam.

Kumpulan G18 ini turut mempunyai jawatankuasa penajanya yang diketuai oleh Mohamad Sabu manakala timbalannya pula ialah Salahuddin Ayub yang ditawarkan oleh Pas menduduki kerusi Ahli Jawatankuasa lantikan bersama Mahfuz Omar dan Mohd Taufek Abdul Ghani, dua hari lalu.

Maka, tidak syak lagi tawaran yang dibuat kepada Salahuddin itu ada maksudnya yang terselindung.

Dalam perkembangan yang sama, PasMa akan terus kekal sebagai NGO yang bersama-sama mendukung perjuangan Pakatan Rakyat bagi mencapai hasrat mengambil alih pentadbiran negara ini daripada BN.

Sumber yang dekat dengan kumpulan progresif juga memberitahu, parti baru itu sebenarnya sudah pun ada melalui pengambilalihan sebuah parti yang sudah lama ditubuhkan tetapi selama ini tidak aktif. Ia hanya menunggu masa untuk diumumkan saja lagi.

Kemungkinan juga parti yang diambil alih itu akan menjalani proses pertukaran nama bagi menyesuaikannya dengan perjuangan Islam yang progresif, moden dan inklusif yang mahu dibawanya nanti.

Bagi kumpulan progresif ini, penubuhan sebuah parti baru tidak dapat dielakkan lagi berikutan Pas pro ulama sekarang lebih condong untuk mempertahankan Najib Razak serta mempunyai kecenderungan mahu bekerjasama dengan UMNO berbanding menumbangkan BN.

Beberapa kenyataan Presiden Pas, Haji Hadi Awang seperti Najib wajar terus dikekalkan sehingga habis tempohnya kerana telah dipilih melalui sistem yang sah dan "UMNO tidaklah seburuk Firaun", jelas menggambarkan pendirian berbeza parti itu ketika ini.

Demi meneruskan perjuangan menukar kerajaan BN bersama Pakatan Rakyat, kumpulan progresif tidak melihat ada pilihan lain selain mencari wadah baru, tambahan pula keseluruhan mereka sudah "disapu licin" daripada menduduki kepimpinan tertinggi Pas baru-baru ini.

Sesetengah yang lain seperti bekas Menteri Besar Perak, Nizar Jamaluddin dan bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Dr Rani Osman, mereka juga sudah "ditanam" ketika pemilihan di peringkat kawasan lagi.

Serentak dengan keyakinan yang membuak-buak daripada kumpulan progresif terhadap parti baru itu sehingga anak bekas Presiden Pas, Faiz Fadzil juga mengatakan jika arwah ayahnya, Allahyarham Ustaz Fadzil Noor masih hidup ketika ini, pasti beliau turut menyokong penubuhannya, Haji Hadi Awang secara tiba-tiba mengeluarkan surat terbuka mengingatkan agar jangan sesiapa meninggalkan Pas.

Beliau seterusnya memberi ingatan bahawa berdasarkan sejarah, sudah ramai pemimpin tertingginya yang meninggalkan Pas untuk menyertai parti atau pertubuhan lain, akhirnya akan tenggelam begitu saja.

Tanpa menyebut nama atau ditujukan kepada sesiapa tetapi tentulah difahami ia ditujukan khusus kepada kumpulan progresif G18 dan PasMa, beliau juga menyeru mereka yang terbabit supaya istiqamah dalam perjuangan dengan mengambil contoh apa yang berlaku di zaman Rasulullah SAW dahulu.

Soalnya, kenapa Haji Hadi berasa sangat perlu mengeluarkan surat terbuka dan mengingatkan tentang timbul dan tenggelam kepada kumpulan progresif itu?

Bukankah mereka sudah ditenggelamkan oleh kumpulan ulama dalam pemilihan baru-baru ini?

Dan mereka menubuhkan parti Islam baru yang sesuai dengan kehendak rakyat serta bersandarkan aspirasi berbilang kaum masyarakat di negara ini adalah untuk menjadikan diri mereka terus timbul dalam persada politik negara ini.

Memilih untuk timbul bersama Pakatan Rakyat adalah pilihan yang jauh lebih baik daripada tenggelam dalam mempertahankan Najib dan UMNO.

Haji Hadi juga tidak harus selama-lamanya bersandar kepada sejarah dalam menghukum sesuatu yang belum berlaku kerana sejarah sentiasa mencipta perkara-perkara yang baru dan bukannya statik mengikut acuan sebelumnya.

Mana tahu sejarah kali ini mencatitkan bahawa mereka yang meninggalkan Pas akan terus timbul dan hidup, manakala yang kekal bersamanya pula akan tenggelam.

Atau barangkali Haji Hadi memberikan ingatan itu kerana jauh di sudut hatinya sudah mula terselit rasa bimbang tentang masa depan yang suram akibat ketiadaan kumpulan progresif dalam Pas nanti? -shahbudindotcom

ULASAN GB

InsyaAllah, semuga segala-galanya dipermudahkan Allah swt.

Namun ada juga yang dari penyokong grup ulama yang menyatakan bahawa penubuhan parti baharu itu hanya kerana mereka dari kumpulan proresif itu telah kalah di dalam pemilihan. Jadi menurutnya asas pembentukan parti baharu sudah tidak betul..

Ingin kita tegaskan bahawa penubuhan parti baharu bukan kerana progresif kalah dan tiada jawatan. Tetapi kerana sikap tamak dan fitnah puak ulamak yang menggunakan taktik kotor dan keji untuk menang. Jadi asas pembentukan parti baru adalah benar, malah wajib apabila PAS sudah terpesong jauh dari perjuangan Islam, dengan menghalalkan cara-cara yang tidak Islam di dalam pemilihan..

Dahulu betul Mat Sabu tak mahu tubuh parti baharu sebab disangkanya para ulama akan bersikap "profesional" seperti mereka di dalam pemilihan. Rupa-rupanya para ulama meniru gaya UMNO untuk mencapai kemenangan iaitu dengan cara fitnah, dengan caci-maki, dengan cai, dengan label-melabel dan seumpamanya. Jadi tak salah untuk Mat Sabu membatalkan hasratnya yang dahulu dan kemudian membuat keputusan baru. Itulah politik, itulah kebijaksanaan. Kaum profesyenal tidak mahu dan tidak mmudah jatuh ke dalam lubang biawak dua kali. Itulah ppemimpin yang profesyenal bukan macam ulamak yang dah lapan kali masuk lubang biawak...

Berkiblatkan PKR dan DAP? itulah fitnah dari grup ulama terhadap progresif. Tahaluf siyasi bukan maksud berkiblat. Habis sebelum ini sebelum berkrisis PAS, bertahaluf siyasi dengan PKR dan DAP ok pulak.

Dan semalam G-18 bersama pimpinan PR telah hadir bersama-sama di dalam satu majlis berbuka puasa. Sekalipun PAS telah mengusulkan putus kerjasama dengan DAP, sehingga menyebabkan DAP dan PKR membuat keputusan Pakatan sudah tidak wajud lagi, maka pertuemuan semalam adalah satu permuafakatan untuk Pakatan 2.0 tanpa melibatkan PAS lagi. InsyaAllah ia akan lebih kukuh dan lebih kuat, lebih cemerlang dan gemilang demi menghadapi PRU14 nanti. PAS jangan pula segan dan malu untuk terima pelawaan Chua Soi Lek untuk bersama UMNO dan BN....

PAS Cawangan & Kawasan Ternanti-nanti Kemunculan Parti Baharu...


Ayah sokong parti baharu jika masih hidup, kata anak Fadzil Noor

Anak kepada bekas presiden PAS, Muhammad Faiz Fadzil yakin jika bapanya Datuk Fadzil Mohd Noor masih hidup, beliau akan menyokong parti baharu yang sedang dalam proses pembentukan.

Faiz mengulas video Youtube yang disebarkan di laman sosial bagi menunjukkan Fadzil akan menentang penubuhan parti baharu sekiranya masih hidup.

"Anda mungkin tak setuju dengan saya, tapi saya percaya Ustaz Fadzil Noor (UFN) pasti menyokong parti baharu yang didokongi oleh pemimpin yang dilahirkannya yang banyak berjasa kepada karier perjuangannya,” tulis Faiz dalam laman Facebooknya hari ini.

"Parti baharu adalah meneruskan perjuangan UFN walau berlainan.”

Menurut Faiz, ayahnya satu-satunya pemimpin zaman 70-an yang menentang kemasukan PAS ke dalam Barisan Nasional (BN) semasa pemerintahan perdana menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein.

Katanya, Fadzil pada ketika itu beralih untuk bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim, termasuk menjadikan Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) kumpulan pendesak Islam yang kuat di negara ini.

"Dia kembali aktif bersama PAS setelah PAS ditendang keluar daripada BN dan sertai PRU 1978 sehingga sanggup dibuang kerja dari UTM. Jelas perjuangan UFN istiqamah menentang Umno-BN dan mahu tubuhkan kerajaan.

“Sebab itu UFN merencana pelbagai strategi politik termasuk menarik golongan profesional menyertai PAS, memadamkan fahaman ahli terhadap Amanat Hadi dan Tahaluf dengan Angkatan Perpaduan Ummah dan Barisan Alternatif," katanya merujuk kerjasama PAS dengan parti politik lain sebelum ini.

Menurut Faiz, video yeng disebarkan mengenai Fadzil menyebut pemimpin yang gilakan jawatan sampai sanggup tubuh parti baru, menjelaskan keadaan ketika itu.

"Itu keadaan ketika itu. Tapi keadaan sekarang lain. Ahli dan rakyat yang nakkan parti baru kerana PAS sekarang sudah terpesong daripada peta perjuangan menentang Umno-BN.

“Dalam keadaan rakyat dahagakan sebuah pemerintahan baru yang bersih adil dan berkebajikan melibatkan penyertaan semua kaum, maka parti baru yang memperjuangkan semua prinsip Islam ini dan aspirasi rakyat adalah menjadi wajib," katanya.

Beliau yakin parti baharu yang bakal dipimpin G-18, kumpulan yang tewas dalam pemilihan PAS baru-baru ini, akan terus mendaulatkan Islam.

"Insya Allah parti baru ini akan terus menentang Umno-BN, mendaulatkan Islam dan akhirnya menyelamatkan ahli PAS yang masih keliru dengan halatuju politik PAS sekarang," katanya. – TMI


Hanipa: Senario politik dulu, kini berbeza

Sekalipun Presiden PAS Abdul Hadi Awang memberi amaran bahawa mereka yang meninggalkan perjuangan PAS akan 'tenggelam', namun pemimpin progresif yang kalah dalam pemilihan parti menegaskan mereka boleh kekal bertahan.

Bekas ahli jawatankuasa PAS Pusat Hanipa Maidin memberitahu Malaysiakini bahawa senario politik sekarang berbeza berbanding senario yang dinyatakan Hadi.

"Sekiranya kita cuba membandingkan keadaan sebelum ini, biasanya mereka yang meninggalkan PAS tak kemana. Tapi senario politik berbeza sekarang.

"Saya percaya terdapat ramai ahli PAS yang waras, mahu PAS untuk mengambil peranan utama dalam politik Malaysia dan bersama dengan Pakatan (Rakyat)," katanya, mempertahankan pembentukan kumpulan baru dalam parti itu, yang digelar G18.

Kumpulan G18 dibentuk oleh pemimpin yang disingkirkan dalam kepimpinan PAS dalam muktamar PAS sesi ini.

Salah seorang daripada mereka MP Khalid Samad yang berkongsi sentimen dengan Hanipa.

"Sebelum ini (serpihan PAS) Berjasa dan Hamim berkait rapat dengan Umno dan BN, sebab itu mengapa mereka berakhir dengan kegoyahan.

"Tetapi kami mahu lawan BN dan Umno, dan memperkukuhkan Pakatan, ini bukan hanya perjuangan semata-mata.

"Saya tidak fikir apa (Hadi) cakap ada kaitan dengan kami," katanya kepada Malaysiakini.
-mk


ULASAN GB

Kegusaran golongan ulama terhadap kemunculan sebuah parti baharu begitu ketara. Bermacam-macam kenyataan dibuat untuk menggambarkan keresahan dan ketakutan mereka, kononnya parti baharu itu tidak tahan lama, kononnya parti baharu itu akan mengikuti jejak langkah BERJASA, HAMIM dan seangkatannya, kononnya ahli-ahli PAS akan tolak menyertai parti baharu, kononnya parti baharu akan tenggelam... dan bermacam-macam lagi.

Diputarkan video lama Ustadz Fadzil Noor kononnya Ustadz Fadzil Noor menyebut pemimpin yang gilakan jawatan sampai sanggup tubuh parti baru, sedangkan senario pada masa itu amat berlainan dan berbeza. Yang gila jawatan pada ketika ini bukan mereka yang nak tubuh parti baharu, tetapi yang gila jawatan dan gila kuasa pada masa ini ialah ulamak-ulamak yang sanggup menggunakan apa cara dan kaedah sekalipun termasuk memfitnah, mencaci, memaki, menggunakan cai untuk menang jawatan dan menyingkirkan golongan profesional di dalam pemilihan PAS baru-baru ini.

Dikatakan kononnya ahli PAS tidak akan memberi sambutan terhadap parti baharu. Sedangkan hakikatnya, ahli-ahli PAS peringkat akar umbi di seluruh negara sekarang ini begitu ternanti-nanti dan mendoakan kemunculan parti baharu dan jika hari ini diedarkan borang keahlian parti baharu itu, nescaya banyak cawangan-cawangan dan kawasan-kawasan PAS yang akan "bertukar" menjadi cangan-cawangan dan kawasan-kawasan parti baharu.

Sambutan ke atas G-18 di Muar beberapa hari lalu amat luarbiasa. Di himpunan "perjuangan baru bermula" itu, ahli-ahli PAS sendiri meminta-minta dan menjerit-jerit supaya parti baharu segera ditubuhkan. Ia diulangi di dalam satu forum di Seremban dimana akar umbi terus-terusan meminta supaya parti baharu menggantikan PAS segera ditubuhkan.

Kemenangan besar hampir 100% golongan ulama di dalam pemilihan PAS baru-baru ini sebenarnya bersamanya adalah "malapetaka" buat PAS sendiri mereka dari kumpulan profesional yang selama ini telah menjulang PAS ke aras yang ada kini telah disingkirkan seperti pembersihan etnik Rohingya.

Masyarakat Cina telah terang-terangan menyatakan tidak akan mengundi PAS lagi walaupun selama dua pilihanraya sebelum ini masyarakat Cina inilah yang telah banyak memberikan undinya kepada calon-calon PAS. Tanpa undi dari masyarakat Cina, PAS akan menjadi parti kampungan semula. PAS bakal kehilangan banyak kerusi di Parlimen dan DUN di dalam pilihanraya akan datang. Itu pasti.



Malah pertama kali berlaku di dalam sejarah, ahli-ahli PAS cawangan Telok Bachok Kelantan telah bertindak merobohkan markas dan membakar bendera-bendera PAS.


GB sudah ulas sebelum ini. Petikan:

Haji Hadi sebagai Presiden dan Mustafa Ali sebelum ini sebagai Setiausaha Agung membiarkan fenomena buruk dan jahiliyah itu berlaku di dalam parti untuk memberi kemenangan kepada golongan ulama. Oleh itu kemenangan golongan ulama adalah dengan cara yang begitu keji dan hina, yang mana sudah pasti tiada keredhaan dan keberkatan dariNya.

Jika bukan Islam sudah tidak sokong PAS lagi, hendak diharap daripada siapa lagi yang menyokong PAS? Malah separuh dari akar umbi PAS pun sudah tidak akan menyokong PAS lagi. Mereka bersimpati dengan golongan profesional yang disingkirkan di dalam muktamar lalu sedangkan golongan profesional inilah yang telah mengangkat martabat PAS ke aras yang ada sekarang ini.

Dengan ketiadaan sokongan bukan Islam, ketiadaan separuh akar umbi PAS, kat siapa lagi PAS nak raih undi? Raih daripada UMNO... mungkin... tetapi mahukah UMNO memberi undi kepada mereka sedangkan dalam UMNO sendiri sudah ramai calon yang perlu mereka fikirkan?

Siapa yang mahu sokong PAS di bawah ulama yang suka maki hamun?

Sebagai seorang Islam, kita dilarang mengambil pemimpin yang tidak berakhlak Islam seperti memaki-hamun dan memfitnah walaupun ia seorang ulama. Akhlak sedemikian tidak selaras dengan hukum hudud yang diperjuangkan. Kelak kita akan ditanya oleh Allah swt mengapa kalian memilih pemimpin yang tidak mempunyai akhlak Islam? Nak jawab apa?


Sebenarnya ulama PAS inilah yang sedang menghantar PAS ke liang lahad.