21 Sep 2011

Dr.Asri: Pas Kelantan Tidak Bersalah

Pas Kelantan tidak bersalah jika gagal melaksanakan hukum hudud seperti yang dikehendaki sejak 1993 kerana suasana kondusif masih tidak mencukupi selain kuasa Kerajaan Negeri yang terhad.

Sehubungan dengan itu, Bekas Mufti Perlis, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin (gambar) menyarankan kepimpinan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menggiatkan kempen kebaikan undang-undang Islam itu terlebih dahulu bagi mengelak tanggapan negatif masyarakat khususnya bukan Islam.

“Kerajaan Negeri tiada kuasa penuh untuk laksanakan hukum ini.

“Jika dibuat ia akan terdedah kepada eksploitasi dan ini bahaya. Bagi saya Kelantan elok kempenkan keindahan hudud itu dahulu, tidak payah fikir dan buat hudud kerana melaksanakannya bukan bidang kuasa Kerajaan Negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membentangkan kertas kerja “Hudud suatu Perbincangan Tanggapan, Suasana dan Keberkesanan” di seminar Undang-Undang Syariah Peringkat Kebangsaan sempena Sambutan Hari Hududullah Kelantan yang dirasmikan Nik Abdul Aziz.

Menurutnya, jika Pas Kelantan tidak melaksanakan hudud ia tidak melanggar syariat Islam kerana undang-undang itu gagal dibuat disebabkan suasana negeri itu yang tidak kondusif.

“Saya faham perasaan bimbang Menteri Besar Kelantan sebagai pemerintah untuk laksanakan hudud kerana beliau takut disoal Allah kelak, tetapi kuasa Kerajaan Negeri terhad dan ia ditentukan Kerajaan Pusat.

“Jika tidak laksanakan hudud, beliau tidak melanggar syariat Islam kerana faktor-faktor itu. Dalam isu ini ia harus dilihat dalam kerangka lebih luas,” katanya.

Menurutnya, hukum hudud memerlukan ijtihad-ijtihad baru sebelum dilaksanakan kerana keadaan masyarakat majmuk di negara ini menyebabkan ia tidak boleh terikat dengan teks lama.

Dalam usaha itu, katanya, kerajaan perlu mempromosikan aspek keadilan dalam pemerintahan, kebajikan rakyat, kesaksamaan dan sebagainya secara habis-habisan supaya masyarakat benar-benar memahami syariat Islam itu.

Dr Asri berkata, Malaysia tidak kondusif melaksanakan hukum hudud setakat ini tetapi usaha ke arah itu perlu dilakukan supaya masyarakat bukan Islam dan antarabangsa mendapat gambaran jelas mengenai hukum berkenaan. -SH

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

kami ank klate udh sedia dr dlu lg.. cepat lasnakan hukum islam wpun dpringkat klate dlu pung.. truskan pjuangan tok guru... skong ulamak n tolak pemimpin zalim... islam mjadi panji pjuangan.. moga kita smua dlm rahmat Allah..