21 Sep 2011

Bekas Atlet Boling SUKMA Dipenjara 5 Tahun Perkosa Gadis Bawah Umur

Melaka: Bekas atlet boling Sukan Malaysia (Sukma) negeri, Nor Afizal Azizan, 20, yang sebelum ini dilepaskan dengan bon jaminan berkelakuan baik selama lima tahun tanpa cagaran RM25,000 atas kesalahan merogol seorang gadis bawah umur tahun lalu, dihukum penjara lima tahun oleh Mahkamah Tinggi, di sini, semalam.

Hakim Datuk Ahmad Nasfy Yasin membuat keputusan itu selepas meneliti secara terperinci fakta kes dan keseluruhan hujahan timbalan pendakwa raya (perayu) dan peguam tertuduh (responden) pada prosiding rayuan silang itu.

Beliau turut menegaskan mahkamah perlu berhati-hati menggunakan peruntukan Seksyen 294 Kanun Acara Jenayah (KAJ) bagi kes rogol.

“Mengikut fakta, kedua-dua pihak iaitu mangsa dan responden sepatutnya dipersalahkan kerana mangsa juga sukarela dalam kejadian rogol ini. Namun, ini kesalahan serius walaupun ada fakta responden seorang atlet Sukma dan punya masa depan cerah, ia tidak cukup untuk mahkamah memberi pertimbangan hukuman mengikut peruntukan Seksyen 294 KAJ.

“Kesalahan Seksyen 376 Kanun Keseksaan ini dilaporkan berlaku setiap hari ketika ini, sebab itu timbul isu buang bayi dan sebagainya.

“Jika mahkamah mengesahkan perintah seksyen berkenaan, bermakna ia mengizinkan kejadian (rogol) berlaku,”
katanya.

Ahmad Nasfy berkata, jika mahkamah meneruskan perintah Seksyen 294 KAJ akan menjadi rujukan yang tidak berpatutan (bad president) kepada mahkamah rendah dalam kes berkaitan selepas ini.

“Terpulang kepada mahkamah atasan menimbang keputusan ini. Atas semua sebab dinyatakan ini, saya mengubah keputusan hukuman dan perintah Seksyen 294 KAJ diketepikan dan diganti penjara lima tahun mulai hari ini (semalam),” katanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Ifa Sirrhu Samsudin merayu diketepikan keputusan hukuman Mahkamah Sesyen bertarikh 5 Julai lalu dan berhujah atas beberapa faktor, perbezaan umur responden dan mangsa, isu tiada paksaan atau suka sama suka serta status responden sebagai atlet boling bukan ‘tiket’untuk mendapat hukuman ringan.

“Beza umur responden enam tahun dengan mangsa sepatutnya dia lebih matang memikirkan kesan dan akibat perbuatannya. Malah, sebagai pemain boling dia sepatutnya menjaga imejnya dan tidak melakukan perbuatan salah di sisi agama Islam dan undang-undang.

“Selain itu, dia tidak patut menggunakan statusnya untuk dapatkan hukuman rendah.

Adakah semua atlet mesti diberikan peluang seperti responden jika melakukan kesalahan?” katanya.

1 ulasan:

Awanama berkata...

apo nk jd ni weeh??? xabis2,.. rogol pkosa, zina, khalwat... tkaut jgk pkara ni dh jd lumarah @kebiasaan generasi akn dtg.. laksanakanlah hukum hukum Islam wahai pemimpin.. ni dh tahap kritikal.. sampai kapan mau di dgr perkra yg memalukan sbegini..